Tuesday, January 28, 2025

Donald Trump 2.0


Kem Donald Trump bergembira kerana kembali ke Rumah Putih dengan bergaya selepas memenangi pilihan raya presiden Amerika Syarikat pada tahun lepas. Trump kembali membawa beragam kisah dan fiil kerana beliau seorang yang cakap lepas dan berfikir di luar kebiasaan. Contohnya, beliau ingin menjadikan Kanada negeri ke-51, mengambil Greenland, menuntut kembali Terusan Panama dan merancang memindahkan penduduk Gaza ke Mesir dan Jordan.

Ideanya besar dan gila-gila yang mungkin berjaya atau hanya menjadi manisan di bibirnya sahaja.

Ketika menjadi presiden kali pertama, Trump menandatangani arahan yang menghalang kemasukan warganegara dari beberapa buah negara Islam yang dilabel sebagai penyedia pengganas. Antaranya ialah Yemen, Syria, Iran, Libya dan Somalia. Untuk kali ini, belum ada sebarang pengharaman kemasukan rakyat dari negara-negara Islam melainkan Trump ingin menukar Teluk Mexico kepada Teluk Amerika.

Beliau sedar betapa sokongan pengundi Islam di beberapa buah negeri adalah sangat signifikan kepada kemenangannya dan amat berhati-hati dengan tindakannya kali ini.

Umumnya masyarakat antarabangsa sedang melihat dan menilai tindakan Trump khususnya menyelesaikan dua perang iaitu Russia-Ukraine dan Israel-Palestin ketika ini. Ketika Putin mengalu-alukan kembalinya Trump ke Rumah Putih, media Barat menonjolkan kejayaan gencatan senjata dengan pembebasan tiga orang tebusan Israel.

Dua tindakan ini ditafsir sebagai keazaman Trump untuk menyelesaikan konflik seperti mana yang diikrarkan ketika kempen pilihan raya lalu.

Namun, perkara lain yang lebih besar dan menyebabkannya tidak tidur malah ialah persaingan teknologi dengan China yang dilihat semakin agresif dan dapat mengancam penguasaan syarikat-syarikat Amerika sendiri.

Walaupun Trump 1.0 berjaya membenamkan pengembangan teknologi telefon pintar Huawei di peringkat global, tindakan tersebut telah menyebabkan gergasi telekomunikasi China itu mencipta operasi sistem sendiri yang dikenali sebagai HarmonyOS. Seterusnya Huawei akan menghentikan penggunaan Android pada tahun 2025 dan menggantikannya dengan HarmonyOS Next yang dibuat khusus untuk telefon pintar Huawei. Jenama Huawei sangat gah di China dan menjadi pilihan pengguna berbanding jenama lain.

Sekarang, Trump harus berfikir lebih jauh tentang strategi terbaik untuk menghalang China daripada menguasai sektor-sektor baharu dalam telekomunikasi, automatif malah kepintaran buatan.

Melihat perjalanan jauh Amerika Syarikat sebagai kuasa utama dunia, ia telah merdeka sejak 1776 iaitu 249 tahun lalu, negara ini telah muncul sebagai pemimpin dalam peperangan dunia pertama dan kedua, mencatur perjalanan politik, ekonomi dan sosial dunia melalui pelbagai agensi yang bersekutu supaya dapat menguasai semua kehendak dan kepentingannya. Nama-nama besar seperti IMF, WHO dan NATO adalah antara agensi yang berperanan memastikan dasar-dasar Amerika Syarikat terus menyerlah.

Pengaruh dasar dan perancangan ke atas kehidupan masyarakat dunia telah melata. Pengaruh ini menjadikan banyak kisah benar yang tidak memihak kepada Barat disembunyikan, Islam dikaitkan dengan keganasan dan pengganas manakala negara-negara yang enggan menurut kehendak Washington akan dipulau.

Penguasaan gergasi media ke atas maklumat menjadikan tindakan ganas dan tidak berperi kemanusiaan tentera Israel ke atas rakyat Palestin tidak diketahui oleh orang Amerika sendiri sehinggalah produk ‘Made in China’ iaitu TikTok muncul sebagai platform pilihan 139 juta pengguna di negara itu.

Hari ini, generasi muda Amerika yang mendapat persepsi baharu tentang penindasan ke atas rakyat Palestin mula mempersoalkan peruntukan ketenteraan berbilion dolar kepada Israel

sehingga membunuh lebih daripada 40 ribu penduduk Gaza yang sebahagian besarnya adalah wanita dan kanak-kanak.

Melihat kehadapan, pentadbiran Trump 2.0 akan berhadapan dengan ancaman yang lebih besar dan menggerunkan. Dalam ekonomi, kedudukan Amerika sebagai negara yang kaya-raya hanya menunggu masa untuk digantikan oleh China.

Masanya tidak lama, mungkin lima tahun sahaja lagi. Negara-negara Eropah yang dulunya menjadi rakan ekonomi Amerika semakin cenderung menjadikan China sebagai rakan dagang melalui lawatan dan penyertaan dalam pameran perniagaan di China. Justeru, kemunculan blok ekonomi BRICS telah membawa sekali 45 peratus dagangan ekonomi dunia yang bakal melemahkan pengaruh G7 dalam merencana perkembangan ekonomi dunia untuk tempoh seratus tahun akan datang.

Terlalu awal untuk meramal keberkesanan beberapa tindakan Trump untuk mengurangkan tekanan konflik di luar negara. Kemajuan China dalam teknologi maklumat dan kecerdasan buatan sedikit sebanyak sedang menggugat kewibawaan Amerika, manakala pengembangan ahli BRICS menjadikan tumpuan ekonomi negara-negara yang mempunyai jutaan penduduk lebih aktif berbanding Amerika dan Eropah.

Amerika Syarikat sedang menulis nasib buruknya sendiri iaitu menuju ke arah kehilangan kuasa ekonomi dunia.

No comments:

Post a Comment