Friday, April 19, 2024

UPKK iktiraf kecemerlangan murid


Keputusan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) 2023 yang diumumkan telah mencatatkan 12.37 peratus daripada 230,857 murid telah mendapat keputusan 8A. Jumlah ini menggambarkan banyak lagi usaha yang perlu diusahakan oleh ibu bapa dan guru untuk melonjak peratusan yang lebih tinggi untuk mendapat 8A.

UPKK dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai satu bentuk penilaian kemajuan kepada murid-murid yang mengambil pengajian agama Islam di sekolah. Matlamat UPKK adalah menilai tahap kemahiran, kebolehan dan penghayatan murid-murid tahun lima dalam lapan bidang pengajian iaitu al-quran, ulum syariah (aqidah dan ibadat), sirah, adab (akhlak Islamiah), jawi dan khat, asas lughatul quran, penghayatan cara hidup Islam dan amali solat.

Empat bentuk penilaian yang digunakan adalah lisan (al-quran), amali (amali solat), lisan dan pemerhatian (penghayatan cara hidup Islam) dan penulisan (ulum syariah, sirah, adab, jawi dan khat serta asas lughatul quran).

Murid-murid yang hendak mengambil ujian ini mesti memenuhi kriteria seperti belajar KAFA sekurang-kurangnya tiga tahun, menggunakan kurikulum yang disediakan dan berumur 11 tahun. Manakala gred pencapaian berdasarkan tahap cemerlang, baik, memuaskan dan kurang memuaskan.

Peperiksaan bersijil ini dikendalikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Latar belakang UPKK ini bermula pada tahun 2013 sebagai ganti kepada Peperiksaan Sijil Rendah Agama (PSRA). Ia dilaksanakan kepada semua murid tahun lima yang bersekolah KAFA. Di samping menilai tahap pengetahuan dan kemahiran bidang pengajian al-quran dan sunnah, menghayati nilai-nilai Islam dalam kehidupan seharian serta memastikan kualiti pengajaran dan pembelajaran dapat ditingkatkan.

Setiap komponen dinilai mengikut tahap kemahiran, kebolehan dan penghayatan murid-murid. Bagi setiap mata pelajaran, tahap kemahiran merujuk kepada kecekapan murid manakala tahap kebolehan pula adalah berkaitan tahap kefahaman murid. Tahap penghayatan merujuk kepada tahap kesedaran murid terhadap kepentingan pengajian agama dan keupayaan untuk mengamalkannya dalam kehidupan seharian.

Pendidikan agama merupakan aspek penting dalam pembentukan akhlak dan identiti murid beragama Islam terutama dalam masyarakat Malaysia yang majmuk. Pelaksanaan UPKK di Malaysia merupakan salah satu mekanisme untuk menilai pencapaian pelajar dalam pendidikan agama Islam di peringkat sekolah rendah. Ujian ini memiliki beberapa kelebihan serta kekurangan yang mempengaruhi pelaksanaannya dan impaknya kepada pelajar dan masyarakat.

Kelebihan dan Kekurangan UPKK

Kelebihan yang paling utama adalah UPKK memberi peluang kepada murid untuk mendalami ilmu agama Islam secara formal dan sistematik berdasarkan kurikulum yang dirangka dengan teliti, diuji dan mencakupi ilmu asas kefahaman Islam. Kurikulum ini dapat memastikan murid mendapat asas yang kukuh dalam aqidah, ibadah, akhlak dan pengetahuan Islam yang lain.

Pendidikan agama yang diajar dalam kurikulum KAFA diuji melalui UPKK bagi membantu membentuk jati diri murid berlandaskan nilai-nilai Islam. Ujian dapat menentukan tahap kefahaman murid dan boleh menjadi rujukan pembuat kurikulum untuk menilai pencapaian murid dari semasa ke semasa. Perubahan dalam kurikulum boleh dilaksanakan jika terdapat keperluan untuk menambah baik pengajaran dan pembelajaran sedia ada.

UPKK memberikan sijil yang diiktiraf oleh JAKIM dan sangat berguna untuk murid melanjutkan pendidikan di sekolah menengah atau institusi pengajian tinggi agama kerana dapat memberi nilai tambah kepada murid.

Di sebalik kejayaan melaksanakan UPKK ini, terdapat beberapa kelemahan yang boleh diatasi. Antaranya adalah tekanan terhadap sistem pendidikan sedia ada. Pelaksanaan UPKK dapat menambahkan tekanan kepada murid yang sudah menghadapi banyak ujian dalam sistem pendidikan Malaysia. Berhadapan dengan satu lagi ujian mungkin mengurangkan keberkesanan pembelajaran mereka kerana tekanan untuk mendapatkan keputusan yang terbaik dalam peperiksaan.

Seterusnya, walaupun UPKK meliputi aspek penting pendidikan Islam, kurikulumnya mungkin tidak mencakupi secara mendalam isu-isu semasa dan aplikasi praktikal ilmu dalam kehidupan seharian. Keadaan ini menyebabkan ilmu yang dipelajari kurang relevan dengan keperluan semasa.

Di beberapa tempat, KAFA mungkin menghadapi kekurangan dalam sumber dan fasiliti seperti buku, bahan pengajaran dan guru yang berkualiti. Salah satu keberkesanan pembelajaran KAFA adalah keselesaan semasa belajar, kekurangan kemudahan ini boleh menghalang penyampaian ilmu yang efektif.

Terakhir adalah terdapat perbezaan yang ketara dalam kualiti pengajaran antara satu kelas KAFA dengan kelas yang lain kerana perbezaan kualiti latihan untuk guru dan pengalaman guru dalam pengajaran. Perbezaan ini boleh mempengaruhi tahap pencapaian pelajar dalam peperiksaan yang mencerminkan ketidaksamaan dalam peluang pendidikan agama di seluruh negara.

Kesimpulannya, UPKK merupakan satu mekanisme penting dalam sistem pendidikan Islam di Malaysia yang memiliki banyak kelebihan terutama dalam membina asas agama yang kuat dalam kalangan murid. Walau bagaimanapun, terdapat juga ruang untuk penambahbaikan khususnya dalam mengurangkan tekanan peperiksaan, memperluaskan kurikulum dan menyamakan kualiti pengajaran di seluruh KAFA. Peningkatan dalam aspek-aspek ini boleh membantu memaksimumkan potensi UPKK sebagai alat pembentuk individu yang berilmu dan berakhlak mulia.

No comments:

Post a Comment