Tuesday, August 15, 2023

Pilihan raya medan pilih calon atau parti


Keputusan pilihan raya negeri 2023 baru-baru ini yang melibatkan enam buah negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan menunjukkan perubahan yang ketara dari segi kecenderungan pengundi untuk memilih parti politik yang mentadbir negeri.

Di Kedah umpamanya, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menjadi tokoh penting untuk menggerakkan kempen pilihan raya bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Perikatan Nasional. Beliau digasak bertubi-tubi oleh pasukan lawan namun di akhir proses pengundian Perikatan Nasional telah menambah kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN). Manakala di Kelantan dan Terengganu, Perikatan Nasional menyapu bersih kemenangan.

Kerusi DUN Selangor menunjukkan persaingan yang sangat sengit antara Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan. Kedua-dua parti yang memiliki kekuatan dan kelebihan masing-masing bertembung di kerusi strategik. Selepas pengundian, Pakatan Harapan tidak dapat menghalang kemaraan Perikatan Nasional dengan kehilangan status dua per tiga kerusi DUN.

Di Negeri Sembilan, Umno kembali menguasai lebih banyak kerusi DUN dan mengukuhkan kedudukan Pakatan Harapan di negeri tersebut di sebalik kemaraan kecil pemimpin Perikatan Nasional.

Apa yang kita boleh lihat di sini ialah keupayaan Perikatan Nasional menambah kerusi DUN. Banyak faktor yang menyumbang kepada perubahan besar dalam jumlah kerusi yang dimenangi oleh Pakatan Harapan yang selama ini mendominasi Pulau Pinang dan Selangor. Dominasi Pakatan Harapan di Selangor dan Pulau Pinang menunjukkan pengurangan yang signifikan. Daripada sebuah negeri yang memiliki dua per tiga kerusi DUN, Pakatan Harapan tidak mampu lagi untuk menahan kemaraan Pakatan Nasional yang membentuk ketumbukan pasukan pembangkang yang lebih kuat.

Senario pengundi-pengundi di Kedah jauh berbeza. Serangan terhadap peribadi dan kepimpinan Datuk Seri Sanusi dibalas dalam tempoh yang singkat melalui kempen dan ceramah setiap malam dan dikongsi dalam media sosial khususnya Tiktok. Pengundi tertarik mendengar hujah balas beliau dalam siaran langsung yang mana telah menarik perhatian sehingga lebih 60,000 pelayar. Fenomena ini merupakan satu refleksi kepada peranan media sosial hari ini untuk memberi maklum balas yang pantas dan juga lebih berkesan.

Keadaan ini juga sesuai dengan kecenderungan pengundi muda yang menjadikan media sosial ini sebagai medan untuk mendapatkan maklumat dan juga berkongsi pandangan. Ruangan sembang atau ‘chat’ ini dipenuhi pandangan yang sedikit sebanyak dapat mempengaruhi persepsi pengundi.

Rumusannya, apabila sesebuah parti politik ataupun komponen parti politik menguasai media sosial, mereka akan mudah menguasai pemikiran pengundi melalui persepsi yang dibina lebih awal. Di sinilah letaknya keupayaan Perikatan Nasional dalam menangkis serangan demi serangan dan mengembalikan jawapan yang berasaskan kepada fakta dan laporan sahih yang diberikan oleh agensi berkaitan.

Selain itu, kesedaran pengundi muda untuk memilih Perikatan Nasional sejak dari pilihan raya umum lepas diteruskan dalam pilihan raya negeri sehingga menggegarkan jentera pilihan raya Pakatan Harapan di Selangor dan Pulau Pinang.

Faktor ketiga adalah berkaitan kekuatan daya kepimpinan khususnya di Barisan Nasional yang mana pengundi melihat barisan kepimpinan Umno sudah tidak begitu relevan dengan aspirasi negara iaitu pemimpin yang bersih dan bebas daripada rasuah dan salah guna kuasa. Kepimpinan Umno diketahui sedang berhadapan dengan kes mahkamah yang menimbulkan pelbagai persepsi negatif terhadap parti keseluruhannya. Persepsi ini menular dari peringkat pimpinan atasan sehingga ke akar umbi. Apabila tercetusnya persepsi seperti ini, ahli parti yang tidak berpuas hati tentulah merasa ralat dan kecewa.

Keputusan akhir ialah mereka membuat keputusan untuk menolak calon parti, membantah arahan untuk keluar mengundi atau mengundi calon lawan. Penambahan kerusi yang dimenangi oleh calon-calon Perikatan Nasional di Selangor dan Pulau Pinang serta kemenangan mutlak di Terengganu boleh dijadikan kes bagaimana persepsi ini diterjemahkan dalam peti undi.

Sebagai rumusan untuk pilihan raya negeri pada kali ini, terdapat perubahan yang besar dari segi kecenderungan pengundi muda untuk memilih Perikatan Nasional sebagai parti politik yang mewakili suara mereka. Walaupun kemenangan bersifat status quo, pola pengundian tentu akan berubah dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang. Banyak usaha yang perlu dilakukan oleh Perikatan Nasional jika mahu menembusi lebih banyak kubu kuat Pakatan Harapan di Pahang, Melaka dan Johor.

Kemenangan dan kekalahan ini bersifat dinamik dan boleh bertukar arah. Justeru wakil rakyat yang telah pun dipilih mewakili kawasan DUN masing-masing perlu bekerja keras untuk memantapkan prestasi kerja dan menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada kawasan mereka.

Trend percaturan politik di Malaysia mungkin dipengaruhi oleh pemilihan calon berasaskan parti, kaum atau agama. Ketiga-tiga elemen ini menjadi lebih besar dan menonjol kerana perubahan demografi penduduk yang akan memberi kesan kepada pola pengundian dan kecenderungan pengundi untuk memilih wakil rakyat mereka pada masa akan datang.

No comments:

Post a Comment