Wednesday, June 30, 2021

Perubahan pada masa yang tepat


Perbezaan antara orang yang cemerlang atau berjaya dengan gagal ialah sikap mereka. 

Saya bawakan kisah dua sifat ikan yang sangat berbeza dan kedua-duanya sangat jelas berbeza. 

Ikan pertama adalah ikan laut flounder (sejenis ikan laut yang berbentuk sebelah). Ikan ini hidup di dasar laut dan memiliki sikap tunggu dan lihat. 

Oleh kerana ia menunggu, pergerakannya amat perlahan dan sentiasa mengikut gelombang laut. Nelayan tidak menghadapi masalah untuk menangkap ikan ini. 

Namun nelayan akan menghadapi masalah menangkap ikan air tawar kerana sifatnya yang lincah dan suka melawan arus. 

Ia sangat memilih makanan dan mempunyai prinsip diri yang tegas apabila membuat keputusan.

Orang yang memiliki ciri ikan laut adalah orang yang menunggu semuanya berubah, baharulah ia akan bertindak. Sebaliknya ciri ikan air tawar adalah perubahan yang dibuat sesuai dengan keinginannya. 

Rumusannya ialah jadilah orang yang cepat membuat perubahan pada masa yang tepat.


Tuesday, June 29, 2021

Bijaksana dan sabar mengurus hidup


Kehidupan yang kita lalui semalam, hari ini dan esok umpama medan pertempuran yang hebat. Untuk memenangi pertempuran ini, kita perlukan senjata dan sistem pertahanan yang kuat supaya hidup kita, di akhirnya adalah kejayaan. 

Apakah senjata yang paling ampuh dalam peperangan hidup? 

Jawabnya adalah kebijaksanaan. 

Bagaimana hendak mendapat kebijaksanaan ini? Tentulah dengan belajar, berfikir, mencuba, memerhati, mengkaji dan bertanya. 

Apakah pula sistem pertahanan paling kebal diri kita? 

Jawabnya ialah sabar. 

Apabila kita gabungkan bijaksana dan sabar, insya Allah kita dapat merancang kehidupan dengan lebih teratur, terencana dan berkesan. 

Jika kita ingin hidup dengan selesa lebih berumur 60 atau 70 tahun, rancanglah kewangan hari ini, urus perbelanjaan dengan teratur dan membuat pelaburan dalam pelbagai bidang.

Kesihatan diri sentiasa dipantau supaya berada dalam keadaan terbaik. Malah menjadikan setiap masa yang ada sentiasa dalam keadaan aktif dan dinamik.


Monday, June 28, 2021

Pantas dan aktif dalam kerja


Baru-baru ini saya menghadirkan diri untuk kursus pembangunan diri di sebuah resort yang menarik. 

Jadual harian sangat padat dan setiap masa diisi dengan program-program yang mencabar mental dan fizikal. Pukul lima pagi kami bangun, solat subuh dan bersedia dengan aktiviti kecergasan diri. 

Hampir satu jam semua peserta berlari dan bergerak dengan pantas sambil memberi perhatian kepada arahan jurulatih. 

Walaupun badan keletihan, saya tidak ada masa hendak tidur kerana badan yang cergas telah mengaktifkan otak. 

Kita boleh bezakan siapa yang cergas dan siapa yang malas dengan cara melihat kepantasan pergerakan peserta. 

Jika kita perasan, orang yang bergerak pantas lebih aktif dalam kerja atau berfikir. 

Aktif dalam kerja bermaksud sebaik sahaja diberi tugasan, terus dibuat tanpa berlengah-lengah. Insya Allah, pekerja seperti ini lebih cepat berjaya dalam hidup dan kerjaya mereka.


Sunday, June 27, 2021

Serius dengan masa


Saya mengenali seorang rakan yang boleh berbahasa Jepun dengan baik. Beliau pernah belajar bahasa Jepun selama dua tahun seterusnya menyambung pengajian di sebuah universiti di negara matahari terbit itu. 

Selepas melalui proses pembudayaan masyarakat Jepun, perwatakannya sedikit sebayak sebanyak telah berubah kerana dipengaruhi oleh nilai-nilai yang ada dalam masyarakat Jepun. Salah satu amalan yang saya sangat kagum adalah disiplin masa. 

Beliau sentiasa memakai jam tangan dan dalam setiap kali mesyuarat atau perjumpaan, biasanya beliau yang akan hadir paling awal. 

Dalam konteks global, masyarakat di negara-negara maju sangat mementingkan masa berbanding negara-negara sedang membangun atau belum maju. 

Dalam sebuah rancangan televisyen, hasil kajian ke atas kehadiran pelajar untuk mereka menunjukkan sangat ramai pelajar yang datang lewat ke kuliah. 

Malah ada yang datang lewat setengah jam selepas kuiah berjalan. Antara alasan kehadiran lewat ini ialah bersarapan pagi, tidak ada kenderaan dan ketiduran. 

Jika kita hendak jadi seorang yang maju, kita perlu sentiasa serius dengan masa.


Saturday, June 26, 2021

Sahsiah positif


Setiap orang diberikan bakat, kemahiran dan keupayaan yang berbagai-bagai. 

Dalam keluarga, anak pertama atau anak sulung berbeza dengan anak kedua, ketiga atau anak bongsu. 

Perbezaan inilah yang menentukan kualiti diri yang ada pada setiap orang seterusnya menentukan sahsiah positif atau negatif. 

Sahsiah positif adalah kekuatan diri yang ada pada seseorang untuk melonjakkan kecemerlangan. 

Contoh-contoh sahsiah positif ialah bertanggungjawab. Sikap ini adalah sangat mustahak kerana menyiapkan mental dan fizikal untuk bersedia menghadapi semua rintangan dan cabaran sama ada kecil ataupun besar, senang ataupun susah, risiko tinggi ataupun rendah.

Bagi pencari kayu, majikan amat suka kepada pekerja yang bertanggungjawab kerana beliau tahu semua kerja akan disempurnakan dengan sebaik-baiknya.


Friday, June 25, 2021

Kenal diri


Apakah ciri-ciri seseorang yang dikatakan telah mengenal dirinya? 

Banyak ciri yang sebenarnya seperti memiliki keyakinan diri dalam hidup. 

Membentuk keyakinan diri bermula sejak kecil dan tentulah pengalaman hidup mematangkan fikiran dan tindakan.

Pengalaman hidup menjadi pendorong yang sangat hebat untuk membina keyakinan diri kerana terdapat unsur-unsur kepercayaan diri yang sangat tinggi apabila kita menempuh pengalaman berjaya atau gagal. 

Seorang pekerja yang diberi dorongan dan galakan akan berusaha dengan bersungguh-sungguh berbanding pekerja yang tidak dipedulikan. 

Dorongan dan galakan tadi merupakan asas kepercayaan bahawa beliau boleh melakukannya ditambah pula dengan dorongan, sokongan dan perhatian berterusan.


Thursday, June 24, 2021

Pergi sekolah


Dunia akademik di Barat khususnya Amerika Syarikat dan Eropah kerap membuat kajian tentang manusia. 

Salah satu bidang kajian ini ialah tentang diri manusia atau diri kita sendiri. 

Hasil kajian-kajian ini dirumuskan sebagai ramai orang yang kurang menyedari siapa diri mereka yang sebenarnya dalam hal arah tuju, keperluan-keperluan yang diperlukan untuk menghadapi cabaran dan peluang-peluang yang boleh diambil sepanjang hidup. 

Kunci kepada menjual bakat dan kebolehan diri ialah mengetahui di mana kedudukan diri sendiri dalam pelbagai aspek hidup seperti tahap pengetahuan, emosi, rohani dan jasmani. 

Sebab itulah pendidikan formal sangat penting kerana lebih tinggi ilmu, lebih cepat dan mudah kita mengenal diri sendiri. 

Jadi, kepada anak-anak muda, belajarlah rajin-rajin.

Wednesday, June 23, 2021

Bayangkan kejayaan



Fikiran kita tidak mampu membezakan di antara realiti dan fantasi. Maksudnya, apa-apa yang kita bayangkan kemungkinan besar boleh diraih. 

Bagaimana kita hendak mempercayai konsep ini? 

Saya berkongsi beberapa kajian yang telah dibuat. 

Pertama, Dr Maxwell Maltz, seorang doktor perubatan telah melakukan eksperimen ke atas dua pasukan bole keranjang. 

Satu pasukan diminta berlatih secara bebas iaitu membayangkan lemparan bola tanpa melakukannya secara fizikal. Manakala satu pasukan lagi benar-benar membuat latihan. 

Selepas itu, kedua-dua pasukan masuk bertanding dan anehnya pasukan pertama tadi yang telah menang. 

Kedua, kajian Dr Denis Waitley ke atas atlet olimpik Amerika Syarikat. Beliau meminta atlet olahraga ‘berlari’ dengan membayangkan otot-otot mereka bergerak pantas semasa berlari.

Dalam kedua-dua kaedah ini, konsep yang digunakan ialah ‘Act as If’ iaitu teknik yang mengajar berpura-pura seakan-akan hal itu akan berlaku. 

Andai kita dapat bayangkan dapat naik pangkat, cemerlang dalam peperiksaan, hal itu boleh direalisasikan.


Tuesday, June 22, 2021

Menghadap masalah



Apakah tempat yang paling bebas daripada masalah? 

Saya terfikir soalan ini apabila membaca kisah Dr Norman Vincent Peale dengan seorang anak muda. Anak muda ini datang berjumpa beliau kerana tidak sanggup lagi menanggung beban hidup dan meminta Dr Norman memberikan penyelesaian. 

Apabila Dr Norman bersetuju untuk menunjukkan sebuah tempat di mana ramai orang tidak lagi memiliki sebarang masalah anak muda ini tersenyum kerana berpuas hati dan minta ditunjukkan segara. 

Dr Norman membawa anak muda in ke sebuah kawasan da berkata, ‘Di sini terbaring lebih daripada 150,000 orang yang tidak lagi memiliki masalah hidup’. 

Tahukah anda apakah nama kawasan tersebut? Tempat itu adalah kubur. 

Kita yang masih hidup tidak terlepas daripada berhadapan dengan masalah yang perlu dihadap setiap hari, sama ada masalah itu kecil ataupun besar. 

Jadi, masalah memang tidak dapat dielakkan.

Monday, June 21, 2021

Setiap kejadian ada hikmah


Apabila umur kita semakin meningkat dewasa dan melangkaui umur tua, tentu banyak kenangan sama ada yang memberi bekas dalam hidup ataupun menjadi bekas dalam hidup ataupun menjadi hiburan. 

Dalam beberapa keadaan, banyak peristiwa yang tidak dapat dijelaskan semasa peristiwa itu berlaku. 

Seorang penulis Inggeris, Somerset Maugham pernah menceritakan seorang pembantu yang berpangkat rendah telah bekerja di sebuah rumah ibadat di kota London. 

Sebaik sahaja diketahui beliau tidak boleh membaca dan menulis, majikan telah bertindak memecatnya. Kita boleh bayangkan apa yang berlaku pada emosinya. 

Namun fikirannya ligat berfikir. 

Beliau mengeluarkan semua wang simpanan dan mula mendirikan sebuah gerai. 

Rezekinya murah, gerai jualannya berkembang dan membolehkannya mengumpulkan kembali wang untuk memiliki simpanan, harta dan wang yang bayak. 

Suatu hari, ketika memasukkan wang ke bank, seorang petugas bank bertanya, ‘Tuan mampu menjadi kaya walaupun buta huruf, kalau tuan boleh menulis dan membaca, mesti tuan akan hebat?’ 

Lalu dijawabnya, ‘Jika saya boleh membaca dan menulis, saya akan jadi pembantu rumah ibadat selama-lamanya’.

Sunday, June 20, 2021

Cari mentor yang betul


Eksplorasi kecemerlangan berhadapan dengan banyak cabaran, masalah dan isu. 

Cabaran utama ialah mendengar nasihat daripada orang-orang yang belum pernah merasai kejayaan. 

Contohnya, ketika peluang pekerjaan yang kecil, anda berminat hendak memulakan bisnes. Andainya anda bertanya kepada orang yang telah gagal berulang kali dalam bisnes, minat dan keinginan untuk memulakan bisnes akan menurun dengan pantas. 

Namun jika anda berjumpa dengan tokoh usahawan kebangsaan, melihat cara kerja dan merasai kegilaannya terhadap usaha mencari wang, minat anda akan meningkat berkali-kali ganda. 

Hati anda berbunga-bunga untuk menjadi kaya-raya dan mula berangan-angan tinggi. 

Untuk berjaya dalam eksplorasi bidang pilihan kita, carilah tokoh atau model yang telah merasai susah payah dan pernah mengecap kecemerlangan.


Saturday, June 19, 2021

Bina strategi belajar


Saya selalu diminta memberikan ceramah kepada para pelajar sekolah yang akan menghadapi peperiksaan utama. 

Satu soalan yang saya selalu lontarkan ialah adakah anda mempunyai matlamat belajar?

Kebanyakan pelajar akan menyahut, ‘Ya’. Masing-masing ada keinginan yang tinggi untuk meraih keputusan yang hebat dalam peperiksaan mereka. 

Kemudian saya bertanya lagi soalan kedua, apakah strategi dan tindakan anda untuk mencapai matlamat tersebut? 

Tidak ramai yang boleh menjawab soalan ini kerana tidak pernah terfikir strategi terbaik untuk mencapainya. 

Sama ada pelajar, kakitangan awam atau sesiapa sahaja, kita perlu memiliki strategi dalam merancang dan mencapai sasaran. Kelemahan dalam strategi sering kali menyebabkan matlamat tidak tercapai dan jauh daripada kejayaan. 

Bertindaklah sekarang, bina matlamat dan bentuk strategi yang mantap supaya matlamat tadi boleh dicapai dengan jaya.


Friday, June 18, 2021

Ketepikan rasa malu untuk berjaya


Jurang pemisah antara orang yang berjaya dan orang yang gagal adalah sangat jelas. 

Orang yang berjaya memiliki cara berfikir yang lebih berfokus kepada keuntungan dan mengelakkannya daripada kerugian apabila mengambil keputusan. Kelompok ini sangat berkira-kira dalam melaksanakan sesuatu perkara. 

Sebaliknya terjadi kepada orang yang gagal. Fokus kelompok ini ialah pada risiko, perasaan takut dan memikirkan kerugian. 

Bagi mereka adalah lebih baik memikirkan nikmat jika tidak melakukan perkara tersebut.

Seorang jurujual yang gagal memberi fokus pada ketakutan untuk membuat temu janji dengan pelanggan, baginya lebih baik duduk-duduk di pejabat. 

Jurujual yang berjaya tidak begitu, beliau akan memberi fokus pada beberapa banyak pendapatan jika berjaya membuat jualan, mengenepikan perasaan malu dan takut untuk berjumpa pelanggan serta maju ke hadapan untuk berjaya.

Thursday, June 17, 2021

Mentaliti proaktif mentaliti juara


Dalam organisasi, setiap anggota kerja sentiasa diuji supaya mereka cekap dan dapat memberi khidmat yang terbaik. 

Pihak majikan, sama ada kerajaan atau swasta tentu berasa bangga andainya mendapat kakitangan yang mampu berfikir tiga atau empat langkah ke hadapan, dapat meramalkan sebarang risiko yang sedang menunggu dan mencadangkan langkah-langkah pencegahan.

Anggota kerja seperti ini dikatakan memiliki sikap proaktif dan boleh menjadi orang kepercayaan organisasi. 

Berlawanan dengan sikap proaktif ialah reaktif iaitu menunggu untuk disuruh baru hendak bertindak. 

Bagi seorang juruteknik yang proaktif, beliau akan bertindak sebaik menerima laporan kerosakan tanpa mengira waktu, sebaliknya juruteknik yang reaktif akan mengambil masa dua atau tiga hari, itupun pada waktu pejabat. 

Mentaliti juara hanya berada pada juruteknik yang proaktif.

Wednesday, June 16, 2021

Menguji kepintaran pekerja



Bagaimana pekerja yang dimahukan oleh majikan untuk naik pangkat? 

Saya ingin berkongsi dengan anda kisah dua orang rakan yang sama-sama belajar di universiti dan bekerja di tempat yang sama. Selepas tiga tahun, salah seorang daripada mereka yang bernama Salihin telah dinaikkan pangkat menjadi Pengurus Kanan sementara seorang lagi yang bernama Mustafa masih kekal sebagai Pengurus. 

Dalam situasi ini, Mustafa perlu melaporkan aktiviti syarikat kepada Salihin, suatu yang tidak digemari olehnya. 

Bagi mengetahui kenapa beliau tidak dinaikkan pangkat, Mustafa berjumpa majikannya dan diminta ke pasar untuk membuat tinjauan dan kembali dengan laporan harga sekilo buah kelapa. 

Sekejap sahaja ke pasar, Mustafa kembali ke pejabat dan memaklumkan harga sekilo buah kelapa yang diperolehnya. 

Lalu beliau ditanya sekiranya syarikat mahukan 50 kilo buah kepala, adakah syarikat boleh membeli dengan harga yang istimewa? 

Mustafa kembali ke pasar, berunding tentang harga yang lebih rendah dan mengambil masa yang agak panjang untuk membuat keputusan. 

Kelemahan Mustafa ialah tidak dapat menjangkakan apa yang bakal berlaku apabila diminta membuat tugasan. 

Oleh kerana itu beliau kalah dalam persaingan dengan Salihin.


Tuesday, June 15, 2021

Manfaatkan masa



Masa lebih berharga daripada wang ringgit tetapi kita boleh mencari atau dapatkan wang, bukannya masa. 

Peribahasa Melayu menyatakan ‘masa umpama emas’, pepatah Arab pula ‘masa umpama pedang’ dan seorang tokoh agamawan berkata, ‘masa adalah kehidupan’. 

Tidak ada satu pun peribahasa yang menyamakan masa dengan wang ringgit kerana masa tidak pernah sama dengan nilai wang. 

Apa yang kita boleh labelkan kepada seorang yang kerap tidur pada siang hari berjaga malam mempunyai tubuh badan yang kuat tetapi enggan berusaha mencari pekerjaan? 

Antara label yang sesuai ialah pemalas. 

Bagaimana pula dengan ciri-ciri ini iaitu bekerja keras, tidur awal malam, bangun awal pagi dan syarikat berbangga dengannya? 

Tentulah beliau digelar pekerja contoh. Pekerja pertama lebih banyak mensia-siakan masa manakala pekerja kedua lebih banyak memanfaatkan masa hidupnya.


Monday, June 14, 2021

Pantang kalah, buat sampai jadi



Bagi orang-orang muda yang baru keluar dari alam persekolahan dan masuk ke alam pekerjaan, persaingan mencari kerja sangat sengit. Bahkan saya yakin, dengan kelulusan SPM, mereka perlu bersaing dengan lulusan universiti dan kolej. 

Andai lulusan universiti belum tentu mendapat pekerjaan, bagaimana pula dengan lulus SPM atau STPM? Kepada orang-orang muda yang telah mencuba dan gagal, anda jauh lebih baik jika dibandingkan dengan mereka yang tidak pernah mencuba. 

Ramai orang yang berjaya telah pernah gagal berulang kali. 

Contohnya, dua orang penulis buku inspirasi berpusing-pusing mencari penerbit, kedua sehingga ke-33, semuanya menolak. 

Namun dengan semangat juang dan pantang kalah, mereka berjumpa dengan penerbit ke-34 yang mahu merealisasikan impian mereka berdua. 

Akhirnya, buku ‘Chicken Soup for the Soul” telah terjual lebih 80 juta naskah.

Sunday, June 13, 2021

Syukur dengan perubahan


Banyak kaedah yang digunakan untuk mengubah sikap-sikap negatif, perangai buruk atau pemikiran mundur. 

Ada yang melihat perubahan mesti dalam bentuk material seperti menetapkan sasaran untuk meraih kereta mewah, tempat melancong yang menarik atau barangan yang mahal-mahal. 

Cara fikir ini adalah cara berfikir yang mahukan kemajuan. 

Selain cara ini, terdapat satu cara yang lebih cepat dan mudah untuk menukar sikap positif.

Caranya ialah mengembangkan budaya bersyukur. 

Bersyukur kepada Allah swt, berterima kasih kepada orang yang membantu perubahan supaya kita dapat membuat yang terbaik dalam semua perkara. 

Bersyukur bukannya berpuas hati tetapi menambah lagi keinginan untuk membuat yang terbaik.

Saturday, June 12, 2021

Model ikutan anda



Kadang-kadang saya sangat kecewa melakukan bermacam-macam cara untuk kekal bersemangat melakukan kerja. 

Saya ada matlamat yang baik tetapi kaedah untuk mencapai matlamat tersebut kadangkala menyusahkan diri sendiri. 

Bagaimana saya boleh mengekalkan semangat dan motivasi diri sehingga mencapai matlamat tadi? 

Satu jalan pintas yang berkesan ialah mencari contoh atau model ikutan yang telah berjaya dalam bidangnya. 

Pakar perubahan diri, Anthony Robbins berkata, “Jika anda hendak berjaya, carilah seseorang yang mencapai matlamat seperti anda mahukan dan ikut apa yang mereka lakukan, anda akan dapat hasil yang sama”. 

Seseorang di sini ialah yang boleh memberi inspirasi supaya kita kuat bekerja, tidak mudah mengalah dan tinggi cita-cita.


Friday, June 11, 2021

Kegilaan yang luar biasa


Ramai daripada kita yang meneruskan hidup tanpa memikirkan apa yang benar-benar diinginkan dalam hidup. Lalu kita menutup mata, telinga dan hati untuk mengejar kehidupan tadi.

Jadi, tidak adalah usaha dan daya fikir untuk bertindak. Keadaan ini berbeza dengan orang-orang yang berjaya dalam bidang yang mereka ceburi. 

Malah dianggap sebagai gila-gila kerana tumpuan dan perhatian terhadap bidang yang mereka suka sangat melampau? 

Para saintis, teknokrat, pemimpin dan ahli sukan tersohor semuanya memiliki kegilaan luar biasa dalam bidang mereka. 

Setiap masa mereka berusaha berfikir dan bertindak untuk mencapai kejayaan. Andainya kita tidak ada semangat untuk bekerja hari ini, kita sudah boleh berfikir apa yang patut dilakukan sepanjang hidup. 

Masih belum terlambat untuk melakukan apa-apa yang kita sukai kerana masa masih ada.


Thursday, June 10, 2021

Sarung kehidupan


Suatu hari saya membeli sebuah bekas kotak tisu yang akan diletakkan di dalam kereta.

Harganya tidaklah mahal tetapi corak luarannya sangat menarik. Sebelum ini saya hanya membiarkan kotak tisu tanpa ada sarung, kini ia nampak lebih cantik dan bergaya di dalam sarung. 

Walaupun kisah ini sangat ringkas tetapi ia memberi kesan yang besar dalam hidup.

Kadangkala kita tidak mengambil berat sesuatu hal atau perkara yang kita pandang remeh, menyebabkan orang lain memberi persepsi yang salah tentang watak, personaliti dan cara fikir kita. 

Dengan adanya bekas kotak tisu dalam kereta, saya berharap rakan-rakan akan melihat saya sebagai seorang yang pentingkan semua perkara walaupun mereka anggap ia perkara yang sangat kecil.


Wednesday, June 09, 2021

Marah jejaskan imej diri


Jika seseorang cepat marah dan tidak dapat dikawal, beliau dikatakan kurang sabar. 

Andai tidak dapat ditenteramkan, marah hanya akan memburukkan keadaan. Apakah maknanya jika seseorang itu marah? 

Pertama, harga diri yang rendah. Sukar bagi orang lain hendak menghormati orang yang marah kerana tidak berupaya mengawal emosi. 

Kedua, merana sepanjang masa. Pernahkah kita lihat bagaimana keadaan orang yang marah-marah. Tentulah ada yang menghempas barang, menumbuk dinding, pukul orang atau menjerit?

Dalam kalangan rakan-rakan kita, sudah tentu ada yang dihimpit masalah hutang kad kredit, kereta, sewa rumah atau kecewa ditinggalkan kekasih. 

Andainya masalah ini dilayan dengan marah, tentu masalah tidak selesai.


Tuesday, June 08, 2021

Betulkan yang biasa



Citra diri dan keyakinan diri kita terbentuk dari disiplin dan kebiasaan yang kita yakini.

Contohnya begini. Seorang pemandu teksi mempunyai rutin harian yang tetap. Beliau mesti bangun pagi seawal jam 4 pagi untuk menunggu penumpang yang mahu keluar bekerja. 

Bagi kebanyakan orang, jam 4 pagi adalah masa untuk mengekalkan keenakan tidur. 

Namun pemandu teksi yang percaya jika beliau bangun awal tentulah ramai penumpang yang akan naik teksinya. 

Keyakinan ini telah digabungkan dengan disiplin diri menyebabkannya sanggup bangun awal pagi bagi memulakan tugas. 

Sama ada banyak atau sedikit pendapatan yang diperolehi dalam sehari, beliau perlu bangun awal keesokan paginya untuk bekerja.



Monday, June 07, 2021

Tetapkan sasaran, beri tumpuan


Kita sentiasa berusaha untuk mencapai sesuatu tahap yang lebih baik dalam hidup. 

Jika pelajar, sasarannya adalah memastikan meraih kecemerlangan dalam peperiksaan. 

Jika usahawan, sasarannya ialah mencapai volum yang ditetapkan. Sebagai staf dalam organisasi, sasarannya ialah mencapai sasaran kerja tahunan supaya nampak peningkatan dalam kerjaya. 

Dalam satu konvensyen, pemimpin syarikat telah mengucapkan terima kasih kepada semua ahlinya kerana membantu syarikat meningkatkan volum jualan ke tahap yang membanggakan.

Katanya, tanpa bantuan dan kerja keras, tentulah syarikat tidak akan mendapat jualan yang hebat. 

Satu prinsip yang sama dalam apa juga kejayaan ialah menetapkan sasaran dan berusaha ke arah sasaran tersebut. 

Masalah yang berlaku kepada orang yang gagal dan enggan menerima kegagalan ialah menetapkan sasaran tetapi tidak mahu berusaha.


Sunday, June 06, 2021

Bangkit dari kegagalan


Ramai antara kita yang masih meraba-raba untuk memberi definisi kecemerlangan. 

Oleh sebab itu, ada yang mengaitkan kecemerlangan dengan memiliki harta atau aset yang banyak, memiliki rumah yang besar dan mahal dan sebagainya. 

Walau bagaimanapun kecemerlangan bukannya terhad kepada persepsi yang digambarkan.

Sebaliknya kecemerlangan ataupun kejayaan ialah keupayaan bergerak dari satu kegagalan atau kekecewaan tanpa hilang keinginan untuk berusaha dan meraih kejayaan. 

Ataupun dengan maksud yang lain, kejayaan adalah kemampuan untuk beredar dari satu kegagalan yang lain tanpa kehilangan semangat yang membara. 

Orang-orang yang kecewa dalam kerja dan kecewa dalam percintaan seterusnya bangkit dari kegagalan telah merancang kembali hidup mereka. 

Akhirnya mereka merasai kebahagiaan dengan apa yang dipilih.


Saturday, June 05, 2021

Inovasi pemikiran



Idea yang hanya sepuluh peratus penambahbaikan daripada produk terdahulu mampu menghasilkan jutaan ringgit. 

Banyak produk hari ini sebenarnya merupakan produk inovasi yang ditemui kerana orang memikirkan sepuluh peratus yang baru tadi. 

Televisyen hari ini telah melalui proses inovasi yang sangat canggih sehinggakan kotak televisyen hitam putih susah hendak dicari. Alat atau gajet lain yang sangat pantas berubah ialah telefon bimbit. 

Dengan sedikit inovasi, jenama-jenama terkenal telefon bimbit berlumba-lumba menarik pelanggan dengan ciri-ciri tambahan yang unik dan berkualiti. 

Begitu juga kita sebagai seorang pelajar, remaja, ibu bapa atau sesiapa sahaja, andai kata dapat membuat inovasi pemikiran, tentu dapat menjadikan hidup kita lebih bermakna. 

Andainya kita dapat berfikir satu idea satu hari, insyaAllah kita akan berkembang sebagai individu yang hebat.


Friday, June 04, 2021

Optimis dan pesimis



Secara sedar ataupun tidak, kita lebih banyak bercakap dengan diri sendiri dalam fikiran kita iaitu internal dialogue berbanding bercakap dengan orang lain. 

Cuba kita ingat kembali semasa menghadapi saat-saat sukar, contohnya tersangkut dalam kesesakan jalan raya, kekerapan menerima panggilan telefon dari pihak bank atau menghadapi tekanan kerja. 

Bagaimana reaksi kita ketika itu? 

Apakah ungkapan yang sering kita keluarkan? 

Apabila menghadapi situasi seperti ini, reaksi berkenaan merupakan refleksi diri kita iaitu sama ada seorang yang optimis atau pesimis. 

Orang yang optimis mengambil pendekatan yang aktif iaitu cepat bangkit daripada kegagalan, kepercayaan diri yang tinggi dan melihat masa hadapan yang cerah dengan peluang.


Thursday, June 03, 2021

Luaskan nisan sosial


Seorang pemikir berkata, “Lima tahun dari sekarang kita akan tetap seperti sedia kala kecuali dua perkara iaitu buku yang kita baca dan rakan-rakan yang kita miliki”. 

Masa berubah dan suasana turut berubah tetapi adakah ilmu kita bertambah. Adakah jaringan sosial kita juga turut bertambah? 

Kita tidak akan ke mana andainya masih enggan mencari ilmu untuk meningkatkan taraf hidup, ilmu untuk menjadi seorang bapa yang lebih baik, seorang pekerja yang cemerlang dan sebagainya. 

Kita akan hidup keseorangan tanpa ramai kawan jika tidak menerima nasihat dan teguran malah akan ditinggalkan jika tidak bercampur dengan masyarakat. 

Sepatutnya apabila umur meningkat, ilmu semakin banyak dan rakan-rakan semakin ramai.



Wednesday, June 02, 2021

Bersedia dengan perubahan



Apa yang berada di sekitar kita boleh mempengaruhi pemikiran, sikap dan watak kita.

Contohnya orang yang malas akan berubah menjadi rajin jika berkawan dengan rakan-rakan yang rajin, begitu juga sebaliknya. Saya ingin berikan tamsilan ini dengan keadaan burung-burung camar. 

Di satu kawasan pantai, sekelompok burung camar akan berkumpul di kawasan nelayan untuk mendapatkan ikan-ikan percuma yang dibuang oleh nelayan kerana tidak diperlukan. 

Oleh kerana senang mendapat makanan, burung-burung itu menjadi malas, gemuk dan lambat bergerak. Namun apabila nelayan mendapat idea bagaimana menggunakan anak-anak ikan yang tidak diperlukan tadi, burung-burung camar kembali kelaparan. 

Bagaimana hendak mencari makanan kalau malas? Akhirnya sebahagian daripada burung camar ini mati kelaparan. 

Begitu juga dalam realiti hidup, apabila kita tidak bersedia ketika berhadapan dengan kesukaran, kehidupan amat menyiksakan.


Tuesday, June 01, 2021

Refleksi pilih perkataan



Baju t-shirt dengan tulisan yang berbagai-bagai jenis boleh didapati di mana-mana dengan harga yang murah. 

Dengan RM10, kita boleh dapat sehelai baju t-shirt yang baik. Kalau baju yang ada tulisan, beraneka jenis tulisan dengan gaya tersendiri. 

Namun saya tertarik dengan tulisan “Born to lose”. Orang yang memakai t-shirt dengan tulisan ini tidak pula rasa bersalah, sebaliknya berbangga dengan menayang kepada orang lain. 

Saya bertanya kepada diri sendiri adakah pembeli baju t-shirt ini benar-benar ingin menzahirkan bahawa beliau seorang yang tidak mampu meraih kejayaan? 

Adakah beliau tidak rasa tercabar apabila orang lain mula membentuk persepsi negatif terhadap keupayaannya? 

Sebaik-baiknya apabila memilih perkataan pada baju tersebut, biarlah yang dapat memberi semangat kepada kita.