Sunday, February 28, 2021

Kenapa diuji?



Saya memetik sebahagian daripada maksud ayat 2 hingga 3 Surah Al-Ankabut yang berbunyi: Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata- Kami beriman, sedang mereka tidak diuji? 

Hidup kita sentiasa diuji setiap masa. Di mana-mana saja selagi masih bernyawa. 

Dalam rumah, pejabat, jalan raya atau ketika beriadah. Sama ada seorang diri atau berkumpulan, berpangkat atau tidak, sememangnya ujian dan cubaan hidup adalah menyakitkan. 

Ketika hati resah menjadi gelisah, fikiran gundah-gulana dan badan menjadi lemah. Tidak ada semangat untuk bekerja dan serba tidak kena. 

Dalam ayat ini, Allah SWT menyebut bahawa Dia tidak akan membiarkan kita bersenang-lenang dengan menyatakan “Aku orang beriman” tanpa diberi ujian. 

Tanda beriman tidak terletak semata-mata pada pakaian, kopiah atau manisnya bahasa tetapi terletak pada keupayaan menghadapi pelbagai ujian dan cubaan.

Saturday, February 27, 2021

Bersedia dengan kejayaan



Kita suka berbincang tentang kejayaan berbanding kegagalan. 

Sebut saja “berjaya”, dalam minda kita tergambar imej gembira, suka, bahagia dan nampak masa hadapan. Cuba kita ambil contoh remaja yang berumur dalam lingkungan 15 hingga 20 tahun. 

Apakah persediaan kejayaan mereka? 

Kita boleh bagi sepuluh senarai kejayaan untuk mereka dengan senarai nombor satu ialah pelajaran. Jadi, bagaimana persediaan untuk berjaya dalam pelajaran? 

Pertama, sokongan ibu bapa dan guru sekolah. Ibu bapa dan guru sekolah adalah pendorong terbaik untuk pelajar berjaya dalam pelajaran. 

Membuat pelaburan dalam pelajaran harus diberi keutamaan kerana ia adalah aset yang amat berfaedah bagi jangka masa panjang. 

Kedua, membaiki cara atau kaedah dalam teknik belajar kerana teknik belajar yang betul membantu pelajar menjawab peperiksaan dengan baik.

Friday, February 26, 2021

Jaga kesihatan untuk masa hadapan


Purata umur orang Asia semakin panjang, melebihi 70 tahun. 

Maknanya lebih ramai orang yang telah menikmati hidup yang lebih baik,kediaman yang selesa dan tahap pendidikan yang lebih tinggi. 

Walaupun umur panjang, tidak semestinya seseorang itu sihat kerana penyakit zaman moden sangat berkait dengan kesihatan. Jantung, tekanan darah dan paras gula dalam darah mesti sentiasa diawasi apabila umur mencecah 40 tahun. 

Kita wajar mengambil tahu jenis makanan yang dimakan, minuman yang diteguk dan skop pekerjaan yang dilakukan. 

Sekali-sekala membuat temu janji dengan doktor untuk membuat pemeriksaan kesihatan menyeluruh bagi mengetahui status jantung, tekanan darah, paras kolestrol dan kandungan gula dalam darah. 

Biarlah bersusah-susah mengambil cuti atau mengeluarkan sedikit perbelanjaan asalkan kesihatan tubuh badan kita dalam keadaan mantop.

Thursday, February 25, 2021

Gagal sekali bukan gagal selamanya


Berjaya dan gagal silih berganti, ia adalah perkara biasa dalam hidup. Setiap orang, kecil atau besar, tua atau muda, miskin atau kaya. 

Terdapat kanak-kanak yang mengukir kejayaan sejak kecil dan berterusan sehingga dewasa. Ada juga terhenti di tengah jalan dan tidak dapat dikesan.

Ada yang zaman kanak-kanak seperti biasa saja tetapi mula berjaya apabila menjadi dewasa. 

Ada juga yang baru selepas berhenti kerja makan gaji dan memulakan bisnes sendiri. 

Dalam bisnes, kalau sekali atau kali pertama buat bisnes sudah berjaya, memang hebatlah. 

Biasanya, jarang sangat berjaya kali pertama. Terdapat usahawan yang tiga kali membuat bisnes, pelbagai barang yang dijual. 

Bisnes pertama gagal kerana tidak cukup pengalaman, kali kedua gagal kerana tidak cukup modal, kali ketiga barulah boleh berkembang maju kerana pengalaman gagal kali pertama dan kedua mengajarnya lebih kuat dan tahu selok-belok berniaga.

Wednesday, February 24, 2021

Tingkatkan kesedaran diri



Kesedaran diri membantu kita untuk mengenal pasti jurang dalam banyak perkara seperti mengetahui tahap kekuatan dan kelemahan diri, mengembangkan kemahiran membuat keputusan dan menguatkan kemahiran kepimpinan.

Bagaimana kekuatan dan kelemahan diri boleh membantu mengingkatkan dan mengukuhkan kesedaran diri? Kuat dan lemah diri kita berkaitan dengan penilaian diri.

Apabila kita tahu di mana kedudukan kita, baharulah kita dapat membuat tindakan terbaik.

Katakan seorang lelaki yang berumur 45 tahun, jarang sekali dia membuat pemeriksaan kesihatan. Satu hari dia pergi ke hospital kerana selalu sakit ada sebelah kiri.

Selepas pemeriksaan dan keputusan berada ditangan doktor, didapati lelaki berkenaan mengalami masalah jantung.

Apakah perkara pertama yang akan dilakukan oleh lelaku berkenaan? Tentulah akan mula memikirkan kesihatan diri dengan menjaga makan dan ubat supaya kesihatannya kembali pulih seperti sedia kala.

Tuesday, February 23, 2021

Kembangkan kesedaran diri


Kita sudah banyak berkongsi panduan untuk mengembangkan kesedaran diri iaitu personaliti. Tip tambahan untuk mengembangkan personaliti diri ini ialah dua perkara iaitu nilai dan tabiat.

Pertama, nilai iaitu elemen yang amat penting untuk kita memberi fokus kepada diri sendiri iaitu peribadi dan watak kita. 

Contohnya keutamaan saya ialah sentiasa memahami kehendak kawan-kawan maksudnya nilai utama saya ialah persahabatan. 

Saya akan mengutamakan persahabatan berbanding yang lain. 

Kedua, tabiat iaitu tingkah laku atau perlakuan yang kita ulangi secara rutin dan selalunya dibuat secara automatik. 

Contohnya setiap kali berjumpa ucapan salam dan berjabat tangan. Tabiat ini menjadi sebahagian daripada hidup dan telah menjadi budaya. 

Personaliti, nilai dan tabiat boleh mengembangkan kesedaran diri jika dibentuk dengan betul.

Monday, February 22, 2021

Sedar diri


Kejadian atau penciptaan manusia adalah kompleks. Bagaimanapun kejadian kita ini adalah sebaik-baik penciptaan. Telah sempurna.

Walaupun telah sempurna, pengetahuan, pembentukan watak, personaliti dan akhlak mesti dikembangkan supaya kita dapat mengenal diri, mengenal kehidupan dan paling penting adalah mengenal tuhan.

Bidang-bidang utama yang boleh mengembangkan kesedaran diri ialah ciri-ciri personaliti, nilai, tabiat, emosi dan keperluan psikologi yang membentuk tingkah laku kita.

Personaliti seseorang adalah unik. Memahami personaliti membantu kita bersedia dengan situasi yang menjadikan kita lebih kuat.

Nilai pula amat penting untuk memberi fokus kepada peribadi.

Contohnya, keutamaan saya ialah ‘sentiasa memahami kehendak kawan’, maksudnya nilai utama saya ialah persahabatan.

Saya akan mengutamakan persahabatan berbanding yang lain-lain. Seterusnya tabiat iaitu tingkah laku atau perlakuan yang diulangi secara rutin dan selalunya dibuat secara automatik.

Contohnya ialah setiap kali berjumpa dengan rakan-rakan, saya akan senyum, memberi ucapan salam bertanya khabar.

Tabiat ini menjadi sebahagian daripada hidup dan telah menjadi budaya. Personaliti, nilai dan tabiat boleh mengembangkan kesedaran diri jika dibentuk dengan betul.

Sunday, February 21, 2021

Matlamat pendidikan



Apakah matlamat pendidikan yang sebenarnya?

Adakah kerana orang lain pergi ke sekolah, ke universiti, kita juga ikut serta?

Atau adakah kerana terpaksa supaya mendapat pekerjaan?

Matlamat pendidikan sangat murni iaitu memberi nilai, mengembangkan potensi diri, memperkasa bakat supaya menjadi individu yang memberi sumbangan.

Namun, matlamat sebegini kurang diberi perhatian kerana tumpuan sekarang ialah pekerjaan. Lalu, ramailah yang berlumba-lumba belajar dan lulus dalam peperiksaan.

Tempat akhir di universiti.

Dengan peluang pendidikan yang lebih banyak, kemasukan ke universiti adalah lebih luas dan kompetitif.

Jadi, bagaimana kita boleh memastikan graduan kita di universiti seorang yang bijak dalam akademik dan pekerjaan?

Salah satu caranya ialah memasukkan nilai-nilai komunikasi, etika, kepimpinan, pemikiran kritis dan kemahiran keusahawanan dalam pengajian mereka.

Saturday, February 20, 2021

Cari rakan di mana saja



Selepas memberi kuliah Hubungan Etnik, saya bergegas ke kedai gunting rambut.

Sejak dua atau tiga hari lepas saya rasa tidak begitu selesa kerana rambut mulai panjang dan kulit kepala rasa gatal.

Sebaik duduk di kerusi, tukang gunting bertanya bagaimana gaya potongan yang dikehendaki.

Saya jawab, ‘fesyen umrah’.

Saya lihat riak mukanya berubah kerana terkejut dengan jawapan saya.

Selepas itu beliau tersenyum. Melalui fesyen umrah ini saya mendapat seorang lagi rakan yang telah lama bekerja sebagai tukang gunting rambut.

Kami berbual-bual dan mengenali secara ringkas latar belakang masing-masing.

Untuk mencari rakan, kita perlu ada strategi dan kaedah yang betul supaya ia berkesan.

Friday, February 19, 2021

Tsunami



Negara Jepun terkenal dengan gempa bumi yang disertai ombak kuat,

Malapetaka ini dipanggil tsunami. Setiap gempa yang kuat akan memberi kesan kepada kedudukan pulau-pulau kecil serta menghanyutkan rumah kediaman, kereta atau harta benda berdekatan pantai.

Keadaan paling sukar ialah letupan rektor nuklear.

Ramai yang bersimpati dengan mangsa tsunami dan berharap mereka akan kembali kepada kehidupan normal.

Saya yakin, Jepun akan kembali kuat kerana mereka memiliki ciri-ciri kekentalan jiwa yang unggul. Jepun terkenal dengan ‘samurai’ iaitu pahlawan yang sedia bertarung dan sanggup berhadapan dengan maut.

Jiwa ‘samurai’ masih tebal dalam kalangan masyarakat Jepun membolehkan mereka berjaya mengharungi cabaran.

Kita juga wajar memiliki sifat-sifat kental dan ketahanan diri yang hebat ini supaya dapat mengharungi cabaran, bencana dan malapetaka dengan sempurna.

Thursday, February 18, 2021

Inovasi




Alvin Toffler, pengarang buku terkenal ‘Future Shock’ berkata;

"Rasa takut terhadap cemuhan, hukuman atau kehilangan pekerjaan telah memusnahkan daya pembaharuan (inovasi). Pengurusan gaya ‘cerobong asap’ hanya menganggap usaha menghapuskan kesilapan sebagai tugas utama".

Inovasi, sebaliknya memerlukan kegagalan semasa menghadapi ujian atau dugaan untuk mencapai kejayaan.

Intipati idea ini ialah jangan takut untuk gagal dalam usaha kita.

Membuat inovasi memang terdedah kepada kegagalan supaya kita boleh belajar untuk bezakan yang mana satu cara yang boleh memberi kejayaan dan yang mana memberi laluan kepada kegagalan.

Kita akan benar-benar menghargai kemenangan atau kejayaan selepas mengalami sendiri kegagalan.

Wednesday, February 17, 2021

Sandwich




Andainya kita masih ingat, tahun 1997-1998 adalah tahun-tahun gelap bagi pasaran saham di Asia Tenggara.

Nilai mata wang menyusut, orang kaya turun pangkat dan sesetengah perniagaan ditutup.

Namun saya hendak berkongsi dengan anda kisah seorang lelaki yang kaya, Sirivat yang telah menjadi miskin. Ia berlaku di Thailand.

Beliau asalnya seorang multijutawan, seorang broker saham dan mengusahakan projek kondominium.

Daripada multijutawan, Sirivat terpaksa berhutang untuk hidup.

Apa yang Sirivat lakukan untuk terus hidup? Beliau memilih untuk menjadi seorang penjaja sandwich.

Tidak malu untuk bergerak ke sana dan sini menjual sandwich, Sirivat menjadi inspirasi kepada ramai orang yang tidak ada wang dan pekerjaan ketika ekonomi dilanda masalah.

Setiap pagi Sirivat dan isterinya bangun awal untuk menyediakan sandwich, dimasukkan ke dalam kotak dan dijaja di Bangkok.

Selepas 12 tahun berniaga, Sirivat sudah hidup senang kerana beliau memiiki kilang sandwich sendiri.

Tuesday, February 16, 2021

Cemerlang




Kaizen, itqan dan success adalah maksud yang sama iaitu kecemerlangan. Masyarakat Jepun berbangga dengan kaizen kerana negara Jepun mampu bangkit selepas perang dan negara yang ketiga di dunia memiliki ekonomi yang kukuh.

Itu negara Jepun. Bagaimana pula kita boleh membina kecemerlangan diri?

Saya mengajak anda untuk melakukan perkara-perkara berikut sebagai tugasan harian, mingguan atau bulanan supaya kita dapat merasai kecemerlangan diri.

Pertama, mulai membaca dua artikel akademik setiap minggu. Artikel ini boleh jadi di akhbar, majalah atau jurnal, kedua, membalas e-mel dan mesej rakan-rakan setiap hari tanpa bertangguh, ketiga, menabung RM300 sebulan untuk melanjutkan pelajaran, dan keempat, mengambil maklum masalah dan isu-isu masyarakat di tempat tinggal.

Insya Allah kita akan berkembang sebagai seorang yang cemerlang.

Monday, February 15, 2021

Tinggal rutin harian



Seorang rakan yang saya kenal mengambil keputusan untuk berhenti kerja di agensi kerajaan kerana telah jemu dengan rutin kerja.

Sebelum masuk ke sektor awam, beliau pernah bekerja di sektor swasta.

Rakan saya ini ingin bebas dalam melaksanakan tanggungjawabnya dan sangat tidak selesa kalau dikongkong atau melakukan kerja yang berulang-ulang.

Rutin harian ada dua iaitu yang berkaitan dengan ibadat dan yang berkaitan dengan pekerjaan atau kehidupan.

Solat, menjaga adab dengan ibu bapa, guru, sentiasa berdoa adalah dalam kelompok rutin harian yang boleh menguatkan hubungan dengan Allah, ibu bapa dan orang sekitar kita.

Rutin harian yang berkaitan dengan pekerjaan kadangkala menjemukan.

Saya tidak mahu ada yang mengikut jejak rakan saya tadi yang berhenti kerja kerana jemu dengan rutin harian sebaliknya kita berfikir kreatif dan melakukan inovasi ke atas cara kerja supaya lebih menarik dan berkesan.

Sunday, February 14, 2021

Atasi kebimbangan



Adakah kita tahu terdapat satu perasaan yang sangat dahsyat, mempengaruhi jiwa, menggoncang kehidupan dan menyebabkan sakit perut dan pening kepala? 

Perasaan ini ialah bimbang. 

Bimbang memberi impak kepada saraf dan pemikiran. Pada saraf, ia boleh sebabkan kekejangan otot, salur darah mengembang dan hilang selera makan. 

Katakan kita ambil contoh seorang pelajar PhD yang akan membentangkan hasil kajian selama empat tahun pagi esok tetapi pada malam ini, beliau tidak dapatkan lelapkan mata, fikirannya runsing dan banyak memikirkan perkara negatif. 

Bagaimana kita boleh memberi nasihat kepadanya? 

Dua atau tiga patah perkataan mungkin mampu menstabilkan emosinya. Kata-kata ini ‘Insya Allah kamu boleh lakukannya’ mungkin boleh meredakan resah dan risaunya.

Saturday, February 13, 2021

Terima tanggungjawab atau lari


Tugas atau peranan yang kita laksanakan diiringi dengan tanggungjawab. 

Sebagai pelajar, guru, kakitangan awam atau sebagai anak, ibu, bapa, suami, isteri, abang atau sesiapa sahaja, sudah tentu ada tanggungjawab. 

Pelajar bertanggungajwab belajar dengan tekun, berdisiplin dan berusaha sehingga berjaya bagi mengembalikan kejayaan tersebut kepada kedua ibu dan bapa serta masyarakat. Sebagai bapa, tanggungjawabnya sebagai pemimpin atau ‘commander’ dalam rumah tangga, memimpin semua ahli keluarga. 

Dunia akan bahagia jika kita semua melaksanakan tanggungjawab dengan baik dan sempurna.

Namun, dunia dipenuhi porak-peranda jika suami gagal bertanggungjawab terhadap keluarga, pelajar gagal bertanggungjawab terhadap pelajaran atau pengurus gagal bertanggungjawab terhadap majikannya. Kita akan bahagian jika menerima tanggungjawab dengan sepenuh hati.

Friday, February 12, 2021

Bina keyakinan diri



Keyakinan dan kejayaan umpama adik-beradik. 

Keyakinan diri biasanya membawa kejayaan. Keyakinan diri bermakna kita mengambil sikap-sikap positif, memberi kepercayaan sepenuhnya kepada kebolehan diri dan memiliki kehendak yang kuat ke arah kejayaan. 

Kejayaan menguatkan lagi keyakinan diri. 

Lima kaedah untuk memperoleh keyakinan diri adalah; pertama, menyuburkan sifat-sifat positif dalam diri untuk ruang kejayaan; kedua, mulai kejayaan-kejayaan yang kecil supaya ruang keyakinan dapat berkembang; ketiga, mencari rakan-rakan yang ada keyakinan diri; keempat, baiki penampilan diri seperti cara bercakap, pilih perkataan, cara berjalan, pemilihan pakaian dan sebagainya; kelima, kawan-kawan yang dipercayai.

Thursday, February 11, 2021

Keyakinan diri tidak cukup dengan kata-kata



Ketika kita meminta orang lain ataupun diri kita sendiri untuk menukar atau mengubah cara tindakan atau tingkah laku, begitu sukar untuk diterima kerana mengubah cara tindakan atau tingkah laku yang telah lama sebati dengan hidup adalah sesuatu yang sangat susah dilakukan.

Kita tidak akan bebas daripada tingkah laku negatif yang menghalang perkembangan keyakinan diri melainkan kita bersedia menerima pandangan orang lain dengan fikiran terbuka dan bersedia membuat perubahan. 

Untuk mengubah ini, kata-kata sahaja tidak mencukupi kerana kata-kata tidak memberi makna sama sekali. 

Kadang-kadang perubahan mudah berlaku apabila kita dapat melihat proses atau kesan sesuatu perubahan.

Wednesday, February 10, 2021

Kekalkan momentum



Medan selera sering menjadi kebiasaan kepada kita untuk minum dan makan. Kita boleh pilih jenis makanan yang kita suka. 

Biasanya pengunjung paling ramai beratur untuk membeli nasi campur kerana pelbagai jenis lauk-pauk yang boleh diletakkan dalam pinggan. 

Satu hari saya rasa sangat lapar selepas selesai menguruskan beberapa perkara di pejabat. 

Saya berjalan ke medan selera sebuah pusat membeli-belah dan melihat deretan kedai makan, ada nasi minang, nasi ayam, masakan Thai, yang tau fu dan nasi campur. 

Seperti saya katakan tadi, kedai yang paling ramai pelanggan adalah nasi campur. 

Bagaimana nasi campur ini mengekalkan momentum dan mampu menarik ramai pelanggan?

Antara sebabnya ialah sedap, murah dan penjual yang ramah.

Tuesday, February 09, 2021

Setia sahabat



Kayu ukur kesetiaan dalam persahabatan atau pekerjaan berbeza-beza. 

Dalam persahabatan, semakin lama berkawan, kita semakin kenal hati budi rakan kita, susah dan senang bersama. 

Dalam pekerjaan, bagaimana hendak mengukur kesetiaan pekerja atau kakitangan dalam organisasi? 

Tempoh lama bekerja adalah satu ciri tetapi yang lebih penting adalah bagaimana pekerja melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya. 

Adakah tugasnya 100 peratus terbaik? Sempurna? Capai sasaran? Memberi keuntungan dan kurangkan kos? Membantu meningkatkan imej organisasi? 

Satu perkara yang menarik hari ini ialah tugas tidak terikat dengan masa iaitu rakan kita boleh sahaja mencari kerja di tempat lain andai kata beliau tidak lagi ada hati di tempat kerja sedia ada. 

Orang muda hari ini banyak yang tertarik dengan tawaran lumayan yang diberikan oleh majikan dan boleh bekerja bila-bila masa.


Monday, February 08, 2021

Kawan setia



Sepanjang hidup kita, mungkin 20 tahun, 30 tahun atau 50 tahun, ramai orang yang kita kenal dan menjadi kawan yang sangat baik, sentiasa bertanya khabar malah menjadi pemberi nasihat yang berkesan. 

Barangkali ada rakan-rakan yang kita kenal telah meninggal dunia kerana mendapat musibah, ditimpa penyakit atau kemalangan. 

Saya yakin, ramai daripada kita yang mempunyai rakan yang setia. 

Bagaimana kita mengenali rakan-rakan yang setia? 

Satu caranya ialah beliau akan membantu kita ketika susah, bagaimana keadaan sekali pun, beliau akan berusaha untuk membantu. 

Kedua, berapa lama berkawan? 

Tempoh yang panjang adalah satu ciri yang kesetiaan.

Sunday, February 07, 2021

Bina standard tinggi untuk diri dan orang lain



Buat jangkaan dan harapan yang terbaik daripada orang lain. 

Kalau lebih kerap terdedah kepada cabaran, keyakinan diri akan meningkat dari semasa ke semasa. Berikan peluang untuk diri sendiri dan orang lain cemerlang dalam hidup mereka.

Tanpa peluang, bagaimana hendak menyinar? 

Diri kita, rakan-rakan, anak murid atau siapa sahaja ada potensi untuk berjaya. Kalau kita berjaya, jadikan satu impian dan cita-cita untuk melihat orang lain berjaya pula. 

Kita boleh jadi pemangkin untuk membuka laluan kepada kejayaan orang lain. 

Selepas berjaya, jadikan kehidupan sebagai satu taman yang indah dan bermakna.


Saturday, February 06, 2021

Kesan pekerja bersikap negatif



Pepatah lama menyebut: Sebiji epal yang buruk boleh merosakkan sebakul buah. 

Orang yang memiliki sikap negatif boleh menyebarkan perasaan dan emosi negatif umpama virus yang berbahaya, menghilangkan motivasi pekerja dan memusnahkan semangat kerja berpasukan. 

Kajian-kajian menunjukkan tingkah laku negatif boleh merosakkan sesebuah organisasi lebih cepat daripada tingkah laku positif boleh lakukan. 

Berapa orang pekerja yang memiliki sikap negatif boleh merosakkan suasana kondusif tempat kerja. 

Gosip, khabar angin dan adu domba lebih suka didengar dan lebih cepat tersebar. 

Cerita-ceria beginilah kadang kala menyebabkan produktiviti organisasi menjadi lemah dan ketinggalan dalam persaingan.

Friday, February 05, 2021

Kuasa fikiran negatif



Berfikiran negatif tidak selamanya buruk. 

Kadang-kadang kita wajar berfikiran negatif untuk melindungi diri. Sama ada kita sedar ataupun tidak, ancaman semakin banyak hari ini seperti gempa, tsunami, ribut, banjir dan orang-orang yang berperangai buruk. 

Kita meletakkan fikiran negatif di hadapan apabila pernah ditipu dalam bisnes, pernah dihalau keluar dari rumah atau pernah diancam bahaya dan dipulau kerana tuduhan palsu. 

Cara berfikir begini tidak salah malah membuatkan kita mengelakkan diri daripada risiko yang lebih buruk dan bahaya. 

Janganlah kita membuat rumah di tepi pantai andainya kita tahu tsunami akan datang. 

Kuasa fikiran negatif itu ialah enggan membuat rumah di tepi pantai kerana takut ombak besar yang boleh menghanyutkan rumah.


Thursday, February 04, 2021

Atasi marah



Marah berkaitan dengan pengurusan minda yang betul dan berkesan. 

Orang yang marah atau sedang marah mengumpulkan banyak tenaga negatif dalam mindanya. Tenaga-tenaga negatif ini digelar sebagai berfikiran negatif akan memusnahkan fokus dan tumpuan serta meleburkan semua rancangan. 

Adalah lebih baik berfikir positif menguruskan minda dengan menguatkan tenaga-tenaga positif.

Kalau kita marah, salurkan tenaga-tenaga negatif kepada aktiviti yang mengalirkan stamina, mengeluarkan peluh dan memenatkan otak. 

Kalau kita boleh berjoging, lakukannya, kalau kita suka bermain bola sepak, lakukannya juga. Dan kalau kita suka berlari, lakukannya dengan terbaik.


Wednesday, February 03, 2021

Ambil masa untuk berjaya dan terkenal



Sergey Brin, pengasas Google dan Jerry Yang, pengasas Yahoo! menjadi terkenal dan kaya-raya dengan teknologi maklumat. 

Media menonjolkan kisah-kisah kejayaan ini sehingga mempengaruhi orang-orang muda sekitar usia 20-an hingga 30-an berhenti kerja dan menubuhkan syarikat teknologi maklumat sendiri. Idea bekerja dalam jangka masa panjang, sabar dan berjimat digantikan dengan konsep ‘I want it all right now’. 

Tidak semua orang boleh jadi Sergey Brin atau Jerry Yang. Kedua-duanya berjaya kerana persediaan yang mereka lakukan telah bertemu dengan peluang dan direalisasikan. 

Bagi orang seperti kita, perlu kerja lebih kuat supaya peluang akan bertambah banyak.


Tuesday, February 02, 2021

Membentuk nasib diri



Gary Player, seorang pemain golf yang terkenal telah memenangi tiga kejuaraan golf master walaupun fizikal badannya lebih kecil. 

Kelebihan Gary Player ialah kuat bekerja. Beliau sentiasa gigih berlatih memukul bola golf, membaiki kemahiran dan teknik. 

Lalu seseorang bertanya kepadanya: Bagaimana kamu boleh bernasib baik? 

Beliau menjawab: Lebih gigih saya berlatih, nasib baik saya lebih banyak. 

Gary Player lebih kecil tetapi kuat berlatih, berlatih buat push-up, latih tubi setiap pagi dan berada di padang golf berjam-jam lamanya untuk menajamkan hayunan kayu golf.


Monday, February 01, 2021

Nasib baik



Nasib baik atau ‘luck’ berbeza-beza bagi setiap orang.

Sesetengah orang lebih bernasib baik berbanding orang lain. Contohnya sesetengah wanita dilahirkan dengan wajah yang sangat cantik. Mereka tidak dapat berbuat apa-apa. Itulah nasib baik mereka. 

Sesetengah orang mudah sahaja mendapat untung daripada bisnes yang dilakukan. Mereka juga bernasib baik. 

Sesetengah orang terpaksa bekerja berhempas-pulas dari pagi hingga ke malam, namun hasilnya biasa sahaja, tidak ada yang luar biasa. 

Ada ibu bapa yang hidup di kampung, kawasan luar bandar, keadaan hidup biasa-biasa sahaja tetapi dianugerahkan anak yang pintar dan bijak. 

Adakah ini dinamakan nasib baik? Seorang ahli perniagaan berkata: There is no such thing as luck. You make your own luck. 

Mana satu yang kita hendak pilih?