Saturday, December 28, 2019

Travel dari Brunei ke Labuan







Labuan adalah sebuah pulau kecil yang tidak jauh dari Brunei. Pengunjung boleh ke Labuan melalui feri yang disediakan di Terminal Feri Serasa, Muara, Brunei sama ada waktu pagi atau petang. Perjalanan Ke Labuan bermula pukul 8.30 pagi dari Muara menggunakan feri Suria.

Terminal Feri Serasa telah ditambah baik, dibesarkan dan lebih selesa. Suasana muram dan kurang berseri ditukar kepada lebih ceria, moden dan teratur.

Pengunjung boleh meletakkan kenderaan mereka di kawasan parkir yang disediakan. Jika mereka mahu bermalam di Labuan, caj parkie B$5 sehari dikenakan. Jika tiga hari kereta ditinggalkan di situ, mereka perlu membayar B$15. Kenderaan yang ditinggalkan berada dalam keadaan selamat kerana kawasan parkir adalah kawasan berpagar.

Pengunjung yang menggunakan bas, mereka boleh turun di hentian bas yang disediakan.

Di kawasan kaunter tiket, terdapat tiga kaunter jualan termasuk kaunter bagi mereka yang mahu membawa kenderaan ke Labuah dengan Shuttle Hope. Di sebelah kaunter ini terdapat kaunter tukaran wang yang dibuka sebelah pagi hingga petang.

Harga tiket bagi dewasa adalah B$15 seorang, kanak-kanak 3 tahun hingga 12 tahun sebanyak B$10 seorang dan bayi sehingga berumur 2 tahun adalah percuma. Setiap penumpang dikenakan caj perkhidmatan terminal sebanyak B$2 termasuk bayi. Tiket yang dibeli perlu diletakkan di dalam pasport untuk pemeriksaan polis dan petugas feri bagi memastikan bilangan penumpang yang tepat.

Kemudahan kerusi untuk pengunjung juga lebih banyak dan teratur. Mereka boleh pilih kerusi yang mahu diduduki mengikut keselesaan.

Di hadapan pintu masuk ke kaunter kastam dan imigresen terdapat sebuah gerai cenderamata yang kecil. Saya dapati tidak banyak gerai di sini walaupun ruang terminal kelihatan luas.

Pintu masuk ke kaunter kastam dan imigresen sangat hampir dengan pintu masuk ke laluan feri. Terdapat sebuah kaunter kastam yang akan memeriksa barangan pengunjung bagi memastikan tidak ada barangan tegahan yang dibawa keluar seperti telur masin. Biasanya urusan di sini berjalan lancar.

Feri yang saya naik ini tidak memiliki nombor kerusi, jadi semua penumpang bebas memilih tempat duduk masing-masing. Saya memilih tempat duduk di hadapan supaya lebih senang dan cepat keluar apabila tiba di Labuan.

Sepanjang perjalanan, penumpang akan dihiburkan dengan tayangan filem aksi kerana tempoh perjalanan satu jam tanpa aktiviti amat membosankan.

Di pertengahan perjalanan iaitu antara sempadan laut Brunei dan Malaysia, krew feri akan menurunkan bendera Brunei dan menaikkan bendera Malaysia. Ia berlaku setiap kali feri bertukar sempadan negara.

Di Terminal Feri Antarabangsa Labuan, keadaan terminal jauh lebih meriah kerana ketibaan penumpang dari Brunei, Menumbok, Limbang, Lawas dan Kota Kinabalu. Bagi penumpang dari Brunei, Limbang atau Lawas, mereka perlu ke kaunter masuk imigresen dan kastam.

Selepas itu, penumpang bergerak ke laluan keluar dan disambut oleh beberapa buah kaunter kereta sewa dan hotel. Ada berbagai-bagai jenis kereta sewa dengan harga berbeza. Jika kita berminat dengan kereta yang kecil dan separuh hari, kita boleh pilih dan akan dapat serta-merta.

Di bahagian luar terminal, terdapat banyak gerai jualan makanan dan minuman serta kedai coklat. Terdapat bahagian kaunter jualan tiket, bilik air, simpanan bagasi dan tempat tunggu ke destinasi. Susun atur terminal feri yang baru ini lebih selesa berbanding terminal feri lama di sebelahnya.

Terminal feri lama terbiar tanpa digunakan kecuali terdapat sebuah kedai bebas cukai coklat dan agensi pelancongan. Di hujung terminal feri ini terdapat restoran Melayu yang menghidangkan pelbagai masakan tengah hari.

Restoran Raff memang sedap dan kita akan dapat melihat pemandangan jeti terminal lama dan baru. Sekiranya kita tidak perasan, sukar mencari restoran ini kerana papan tanda di luar restoran masih menggunakan papan tanda presmis lama berbahasa Inggeris dan bertulisan Cina. Kita hanya akan masuk apabila ternampak dua tiga orang pekerja restoran wanita yang memakai tudung dan juga pelanggan wanita Islam yang bertudung.

Paling menarik di Restoran Raff ini ialah bentuk nasi segitiga yang dihidangkan kepada pelanggan. Nasi separuh berbentuk semi bulat.

Di sebelah Restoran Raff terdapat sebuah surau yang agak besar untuk kegunaan masyarakat sekitar.

Kali pertama saya menjejakkan kaki ke Labuan selepas hampir sepuluh tahun adalah persekitaran yang bersih. Tidak banyak sampah yang kelihatan di kawasan terminal dan sekitarnya. Namun saya perasan keadaan jalan raya semakin sesak.

Berjalan-jalan sekitar kawasan gerai, kebanyakan kedai di hadapan terminal feri menjual minuman alkohol dan rokok bebas cukai. Terdapat pelbagai jenis minuman alkohol di sini yang dijual oleh peniaga etnik Cina. Rata-ratanya mereka mendominasi penjualan arak. Tidak terdapat penjual Islam yang menjual arak kerana minuman keras ini diharamkan dalam agama Islam.

Selain minuman alhokol berjenama, jenama Tiger, Heineken dan Carlsberg juga banyak dijual. Ia menjadi pemandangan biasa jika kita nampak berkotak-kotak minuman Heineken diletakkan pada kaki tangga khususnya berhampiran kelab malam.

Labuan memiliki banyak kelab malam sama ada kecil atau besar, baru atau lama dari satu bangunan ke satu bangunan.

Rokok juga sangat mudah dilihat di sini. Saya dapati suasana yang janggal semasa berjalan di sekitar pekan Labuan iaitu kebanyakan lelaki sama ada muda atau lanjut usia dilihat santai menghisap rokok. Di restoran merokok, di kaki lima merokok, menunggu penumpang teksi pun merokok, berjalan-jalan sambil merokok, menunggu bas pun merokok dan memandu kereta sambil merokok.

Merokok adalah pemandangan biasa di Labuan ketika ini.

Status bebas cukai menjadikan harga rokok dan arak relatifnya lebih murah di Labuan.

Dari segi pembangunan infrastruktur, Labuan menunjukkan perubahan yang ketara. Kini lebih banyak hotel bajet dibuka bagi memenuhi permintaan pelancong. Di kawasan sekitar hotel ini terdapat kedai dobi layan diri 24 jam pada harga yang lebih mahal sedikit. Untuk mencuci pakaian, biasanya berharga enam ringgit dan mengering pada harga lima ringgit.

Selain itu, hampir semua bank utama berada di sini.

Perubahan yang jelas ialah pembinaan Urban Transformation Centre (UTC) yang menempatkan agensi kerajaan, pasar, restoran dan kedai. UTC memudahkan orang ramai berurusan dengan kerajaan dan membeli-belah barangan keperluan seharian.

Ujana Kewangan juga semakin aktif dengan pembukaan banyak kiosk di aras bawah. Penjualan pelbagai jenis barang dapat menarik lebih ramai pengunjung untuk datang ke kompleks tersebut. Kewujudan kiosk yang banyak juga disumbangkan oleh pertambahan pejabat dan pekerja di situ.

Jalan raya sekitar pulau Labuan semakin baik, bertar dan menghubungkan semua laluan utama. Terdapat projek menaik taraf jalan raya yang dilakukan di banyak laluan.

Saya memilih untuk makan ketam segar di Anjung Ketam Kampung Nagalang, tidak jauh dari lapangan terbang. Di sini hanya da satu gerai yang menyediakan masakan laut khususnya ketam dan ikan. Saya memilih ketam dan ikan segar untuk makanan tengah hari. Memang sedap dan menyelerakan. Sebelum itu, pada sebelah malamnya saya menjamu selera ketam segar di Mr Crab Seafood & Steamboat Restaurant.

Harga tiket dari Labuan ke Brunei lebih murah. Feri paling akhir bertolak pukul 3.30 petang.

Saya akan datang lagi ke Labuan untuk makan ketam segar dan murah.

Tuesday, December 17, 2019

Travel dari Brunei ke Kundasang






Travel dari Brunei ke Kota Kinabalu, Sabah menjadi pengalaman yang sangat menyeronokkan. Banyak perkara yang perlu dilakukan lebih awal seperti mencari kereta sewa, menempah hotel dan merangka aktiviti.

Perjalanan dari Bandar Seri Begawan bermula seawal jam 8 pagi. Dari sini saya bertolak ke Kuala Lurah iaitu sempadan Brunei dan Malaysia untuk mengecop pasport keluar. Berjalan kaki dari sempadan Brunei ke pos imigresen Limbang, Malaysia hanya dua tiga minit. Saya telah menghubungi Pakcik Daimon, pemandu teksi yang tinggal di kampung berhampiran sempadan untuk menunggu pada jam 9 pagi.

Selesai mengecop pasport, saya terus menuju pintu pagar sempadan dan melihat Pakcik Daimon sedang menunggu.

“Assalamu’alaikum Pakcik”, saya saya dengan menghulurkan tangan bersalam.

“Wa’alaikumussalam”, jawabnya dengan senyuman.

“Jom tah , kita jalan Pakcik”, sapa saya.

Jawabnya, “Baik tah”.

Saya memasukkan beg pakaian ke dalam bonet belakang teksinya dan terus duduk di tempat duduk hadapan sebelahnya.

Keadaan sempadan pada hari Ahad agak sibuk kerana ramai orang berkunjung ke sempadan Malaysia atau Brunei. Orang Brunei akan ke Temburong kerana mengunjungi saudara-mara atau kenduri kahwin manakala orang Limbang akan ke Miri untuk pelbagai urusan.

Sempadan juga agak sibuk kerana ini sahaja laluan darat rasmi antara kedua-dua negara sementara menunggu Jambatan Temburong dibuka pada hujung tahun ini.

Perjalanan ke Limbang mengambil masa 45 minit. Pakcik Daimon sentiasa menunggu saya lebih awal kerana saya telah membina hubungan hati dengannya. Apabila saya menempah teksi, beliau tidak akan mengambil orang lain ke Limbang.

Di Limbang, saya mengambil kereta sewa Proton Persona kerana ruang bonet yang agak luas. Sehari dicaj RM110. Dengan harga ini saya mendapat kereta yang agak baik. Saya perlu cerewet mengenai kereta sewa ini kerana tidak tahu keadaan jalan dan situasi yang tidak dijangka akan berlaku. Kereta mesti dalam keadaan baik supaya tidak menimbulkan masalah sepanjang perjalanan.

Sebaik-baiknya tangki minyak kereta mesti diisi penuh kerana perjalanan jauh tidak perlu kerap berhenti semata-mata mengisi petrol. Lagi pun stesen minyak paling dekat selepas Limbang adalah di Lawas.

Untuk urusan kereta sewa ini, saya berurusan dengan Encik Simon, pengusaha etnik Cina yang turut mengusahakan kedai runcit dan hotel bajet.

Saya fikir beliau hanya menjadi ejen kepada syarikat kereta sewa yang berpengkalan di Kuala Lumpur.

Dari Limbang, saya menuju ke Temburong. Di sini saya mengecop pasport keluar dari Limbang dan meneruskan perjalanan ke sempadan Brunei di Labu. Saya dapati kedua-dua pos imigresen ini lancar dengan bilangan kenderaan yang sedikit. Di sini juga kereta Malaysia perlu mengimbas kod QR apabila memasuki Brunei.

Dari sempadan Brunei, saya memandu ke Lawas, Sarawak untuk menuju ke sempadan Sabah.

Lawas adalah daerah paling akhir di utara Sarawak yang bersempadan dengan Sindumin, Sabah. Pekan Lawas kelihatan lebih tersusun, kemas dan teratur berbanding pekan Limbang. Dari Lawas saya bergerak ke Sindumin, Sabah.

Seratus meter sebelum masuk ke pos imigresen Sindumin, saya disambut dengan replika pokok periuk kera di bulatan jalan ke arah sempadan. Kenderaan agak panjang kerana urusan mengecop pasport melibatkan dua negeri.

Menariknya, imigeren Sarawak dan Sabah duduk sebelah-menyebelah. Kakitangan imigresen Sarawak dan Sabah berada dalam pos yang sama, boleh berbual-bual dan berkongsi cerita dalam sebuah bilik.

Selepas dicop pasport keluar Sarawak, ia disambung dengan cop masuk ke Sabah. Sistem begini menyebabkan masa mengecop pasport lebih lama dan kenderaan perlu beratur panjang.

Saya masih ingat ketika kali pertama ke Kota Kinabalu 20 tahun lalu. Semasa masuk ke sempadan Sabah, saya perlu turun dari kereta untuk mengecop pasport. Tetapi suasana tersebut telah berubah hari ini.
Betul-betul bersempadan dengan pos imigresen ini terdapat sebuah masjid yang besar. Sekiranya pengunjung ingin menunaikan solat, mereka boleh berehat sebentar di masjid ini sebelum merancang perjalanan.

Sebaik sahaja masuk ke Sabah, saya terus memandu laju ke arah pekan Sindumin, merasai keunikan pekan ini yang sedang pesat membangun. Jalan raya sedang dinaik taraf dan bakal menggiatkan usaha-usaha pembangunan di sepanjang laluan Sindumin-Sipitang ini.

Saya tidak singgah di Sindumin kerana ingin terus melihat pemandangan indah Kundasang.

Laluan Sindumin-Sipitang-Beaufort sedang dinaik taraf iaitu pelebaran jalan ke empat lorong. Perjalanan yang lancar akan tergendala sekali-sekala kerana terdapat laluan jalan raya yang sedang diturap atau baru sahaja dikorek. Saya tidak tahu bila projek ini akan berakhir tetapi sudah tentu ia akan memberi keselesaan apabila laluan ini siap kelak.

Di laluan ini juga terdapat gerai menjual barangan kering laut seperti beraneka jenis ikan masin, ikan kering dan ikan bilis. Ia bergantung kepada kita untuk memilih dan membuat tawaran harga.

Melihat kepada keadaan rumah penduduk, saya jangkakan mereka hidup sederhana dan mungkin ada juga yang dalam kategori miskin relatif memandangkan sumber ekonomi yang sangat terhad seperti nelayan, petani dan aktiviti hlliran perikanan dan pertanian. 

Saya juga tidak singgah di Beaufort kerana hari hampir petang dan terus menuju ke Bedoni, sebuah pekan kecil. Di situ saya singgah makan sate di Sate Lembah Brunei yang terletak berhampiran jalan raya utama.

Ketika sampai, banyak meja yang sudah terisi dan masih ada beberapa buah sahaja yang masih kosong. Saya perhatikan pelayan tidak menang tangan mengangkat makanan dan minuman pelanggan.

Saya mengambil tempat duduk dan memesan sate ayam dan sate kambing. Kuih terkenal Brunei, kulapis juga saya pesan.

Ketika makan saya dihiburkan oleh kumpulan kugiran yang menyanyikan lagu-lagu 70-an dan 80-an. Sedap juga. Harga makanan dan minuman agak berpatutan di sini.

Sate Lembah Brunei ada cawangan di pekan Beaufort.

Selepas Bedoni, saya memandu ke Kota Kinabalu untuk menginap di hotel yang sudah ditempah, KK Times Square Hotel. Biliknya agak selesa dan di kawasan utama membeli-belah Imago.

Perkara pertama saya lakukan ialah meninjau lokasi dobi layan diri untuk memastikan pakaian saya dicuci. Tidak jauh dari situ terdapat sebuah dobi layan diri. Harganya kompetitif dan perlu membeli cecair cucian sendiri.

Dari situ saya mencari lagi kalau-kalau terdapat dobi layan diri yang lain.

Saya menggunakan Google Maps untuk mencari lokasi dobi berdekatan dan bergerak ke arah Kampung Api-Api iaitu kawasan perumahan flat. Ia mengambil masa sekitar 10 hingga 15 minit berjalan kaki dari hotel.

Di situ terdapat lima premis yang menyediakan khidmat dobi layan diri. Kebanyakan mesin basuh tidak menyediakan cecair cucian automatik sebaliknya perlu membeli di mesin yang disediakan atau membawanya sendiri. Terdapat sebuah premis yang menyediakan mesin basuh beserta cecair pencuci tetapi harganya lebih mahal iaitu RM7.50 sekali cucian, jauh lebih mahal daripada harga sedia ada.

Di kawasan ini juga saya dapati terdapat banyak premis yang menjalankan perniagaan refleksologi. Saya fikir lebih daripada 10 premis yang rata-ratanya dihiasai dengan pelbagai jenis iklan tarikan seperti diskaun untuk dua jam mengurut, spa percuma dan sebagainya.

Kedai makan mamak juga banyak yang dibuka sepanjang hari.

Tingkat bawah dan tingkat satu digunakan untuk perniagaan manakala tingkat dua dan ke atas digunakan untuk kediaman. Di bahagaian bawah terdapat kiosk kecil yang menjual sarapan pagi seperti kuih-muih, nasi lemak dan minuman.

Sarapan pagi saya hanya di restoran sebelah hotel. Itupun restoran mamak. Sama seperti restoran mamak yang lain, mereka menyediakan minuman kelapa muda yang berharga empat hingga enam ringgit bergantung pada saiz buah.

Dari hotel di Kota Kinabalu, saya bergerak ke arah Kundasang.

Sepanjang perjalanan, saya melihat semakin banyak kawasan lapang dan terbiar yang telah dan sedang dibangunkan. Contohnya kawasan lapang sebelah Centrepoint telah dibina kompleks perniagaan dan hotel. Di sebelah Pasar Filipina juga didirikan gerai menjual makanan kering.

Seterusnya di jajaran dermaga didirikan Hotel Meridian dan kompleks perniagaan.

Aktiviti pembinaan kompeks perniagaan dan penginapan ini telah mengubah lanskap bandaraya Kota Kinabalu yang lesu 20 tahun lalu. Rumah dan bangunan terbiar digantikan dengan hotel dan apartment yang moden dan teratur. Restoran dan kedai makan makanan laut juga semakin banyak.

Terminal pengangkutan awam juga terdapat di kawasan ini. Perkhidmatannya lebih baik dan teratur.

Tidak ada lagi kelibat orang yang duduk bertenggek di tepi-tepi jalan atau bangunan kerana kewujudan kompleks dan bangunan itu telah mewujudkan ruang dan peluang pekerjaan kepada penduduk sekitar Kota Kinabalu.

Cuma yang masih kelihatan adalah anak-anak kecil yang berjalan di antara premis dan kedai makan menjual barangan. Namun bilangan ini semakin berkurangan kerana pelbagai usaha dan inisiatif pihak berkuasa menangani kehadiran mereka.

Dari segi kebersihan, bandaraya ini semakin bersih tetapi masih boleh ditingkatkan kerana terdapat penduduk yang tidak prihatin dengan sampah. Ada yang membiarkan sahaja minuman tin di tepi-tepi laluan dermaga dan sampah dibiarkan penuh dalam tong sampah.

Puntung rokok ada di mana-mana dan orang ramai masih bebas merokok.

Laluan ke Kundasang melalui Universiti Malaysia Sabah, Politeknik Kota Kinabalu dan institusi pendidikan latihan. Saya mengambil kesempatan makan lokan bakar di persimpangan bulatan beberapa kilometer dari Politeknik Kota Kinabalu. Di situ terdapat puluhan gerai yang menjual lokan bakar dalam pelbagai saiz.

Menu setiap gerai hampir sama, yang membezakannya adalah saiz lokan. Bagi selonggok lokan bersaiz kecil, harganya RM12 dan bersaiz besar RM15. Di samping lokan, saya juga memesan jeli kelapa.

Walaupun makanannya sedap. keadaan premis masih tidak berubah. Kelihatan usang dan tidak menarik. Aspek kebersihan nampaknya kurang diberi perhatian. Saya cadangkan mereka yang mahu makan di sini memilih gerai yang kelihatan bersih dan pelayan yang berpakaian kemas.

Kita boleh lihat kebersihan diri mereka pada kuku jari. Jika kuku jarinya dipotong dan kemas, ia sudah dikira sangat baik. Pakaian dan penampilan pelayan juga melambangkan kebersihan diri.

Perjalanan seterusnya adalah Tamparuli dan Kundasang.

Jambatan Tamparuli memberi perkhidmatan kepada pengguna jalan raya tanpa jemu. Di sini saya sudah merasai kedinginan hawa kaki gunung.

Perjalanan ke Kundasang melalui laluan selekoh dan bukit yang curam. Terdapat kawasan memotong di sepanjang laluan mendaki ini dan saya perlu memandu dengan cermat. Ada kawasan yang sudah berkabus dan mengehadkan pandangan. Cabaran utama mendaki ialah lori bermuatan yang bergerak sangat perlahan.

Di laluan ini juga saya melihat papan tanda di persimpangan jalan yang menunjukkan kewujudan gereja di situ. Semakin ke atas, semakin banyak pula papan tanda ini. Saya fikir kebanyakan penduduk di laluan ini beragama kristian. Saya jarang melihat papan tanda menunjukkan kewujudan masjid atau surau.

Satu lagi yang menarik ialah kewujudan gerai menjual sinalau bakas.

Saya singgah sebentar di Pekan Nabalu untuk melihat pemandangan bukit-bukau yang indah. Walaupun masih petang, keadaan dingin mencengkam tulang. Terdapat banyak gerai menjual sayur-sayuran dan buah-buahan yang didirikan. Gerai menjual cenderamata juga banyak di sini.

Dari Pekan Nabalu saya meneruskan perjalanan ke Kundasang. Sepanjang laluan terdapat banyak papan tanda inap desa (homestay) yang diusahakan oleh penduduk tempatan dengan harga yang lebih murah berbanding di Kundasang. Tetapi saya rasa di sini kurang sejuk.

Di pekan Kundasang, kita dapat melihat atap rumah dan bangunan yang berwarna-warni. Ada sebuah masjid besar di atas bukit. Di sekitar masjid ini terdapat banyak gerai makanan dan minuman halal.

Di laluan arah Ranau, gerai menjual buah, sayur dan madu lebah juga semakin banyak. Gerai makan halal juga mudah diperoleh berbanding lima atau enam tahun lepas. Di kawasan bangunan KFC, terdapat pasar tamu yang didirikan di kawasan parkir. Harga makanan dan minuman lebih murah. Sekurang-kurangnya aktiviti ekonomi ini dapat menjana pendapatan tambahan kepada penduduk Kundasang.

Pertambahan penduduk Kundasang dapat diperhatikan melalui pembukaan premis perniagaan seperti Bataras Supermarket di sini di samping pembukaan kedai-kedai runcit.

Perkara utama yang saya paling gembira ialah kewujudan lebih banyak kedai makanan dan minuman halal di Kundasang. Ia menunjukkan keperluan terhadap permintaan makanan halal kerana kehadiran lebih ramai pengunjung muslim di sini. Saya tidak perlu bersusah-payah lagi membeli ayam goreng di KFC atau membawa maggi.

Saya bermalam di Dream World Resort, di kaki Gunung Kinabalu. Resort ini menyediakan dua bilik dengan ruang dapur yang luas beserta jakuzi air panas. Bilik memang tidak ada pendingin hawa, yang ada cuma kipas.

Suhu malam sangat mendinginkan. Saya mengenakan jaket selepas mandi kerana benar-benar sejuk.

Wajah Gunung Kinabalu dapat dilihat dengan jelas sekitar pukul 7 hingga 8 pagi. Selepas itu kabus akan mula menyelubungi kawasan puncak gunung sehingga ke petang.

Sarapan pagi disediakan dengan menu istimewa. Harganya pun jauh lebih mahal.

Selepas itu saya melawat Desa Dairy Farm, ladang ternakan lembu tenusu yang popular, tidak jauh dari Dream World Resort, kira-kira sepuluh minit. Tiket masuk ke sini dibahagikan kepada dewasa dan kanak. Untuk dewasa berharga RM5 seorang dan kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun sebanyak RM4 seorang.

Ladang lembu ini sangat baik untuk pembelajaran pertanian dalam kalangan pengunjung khususnya kanak-kanak dan pelajar sekolah. Mereka boleh didedahkan kepada proses penternakan, penghasilan susu dan produk tenusu. Dari jam 2 hingga 4 petang, mereka boleh menyaksikan sendiri proses memerah susu.

Di ladang ini juga dijual produk susu seperti susu lembu segar, yogurt, ais krim dan cenderamata.

Saat paling indah ialah pengunjung dapat bergambar dengan lembu dan ladang lembu berlatar belakang Gunung Kinabalu.

Sebelah petang, saya bergerak turun ke arah pekan Kundasang. Saya berhenti di tepi jalan berhampiran bulatan di pekan itu untuk membeli buah-buahan dan madu lebah tualang.

Di sini kereta sewa mula buat hal. Papan pemuka pada pintu depan pemandu tersekat pada bingkai pintu apabila ditutup. Ia tidak dapat ditarik atau ditolak untuk dibuka. Saya terpaksa masuk dan keluar melalui pintu penumpang hadapan.

Tayar belakang sebelah kiri juga bermasalah. Ia berbunyi sepanjang jalan dan sangat jelas apabila cermin tingkap diturunkan. Untuk mengelakkan sebarang kemalangan yang tidak dijangka, saya memandu dengan cermat untuk perjalanan seterusnya.

Setibanya di Likas, saya memutuskan untuk bermalam di hotel sekitar 1Borneo, tidak jauh dari Universiti Malaysia Sabah. Laluan hadapan universiti dan hotel sangat sibuk dan kenderaan bertali arus. Mungkin kerana kerja-kerja pembinaan jalan raya yang sedang dilakukan.

Keesokan hari, saya membuat carian restoran yang menjadi tumpuan sekitar Likas, Akhirnya saya memilih Restoran Pokdi Kelate yang jauhnya kira-kira 15 minit dari hotel. Di restoran ini, banyak jenis masakan yang disediakan. Ketika saya sampai, tempat duduk sudah penuh dan terpaksa menunggu beberapa ketika untuk duduk.

Restoran ini menjadi tumpuan kerana nasi kerabu dan pelbagai jenis lauk-pauk yang sesuai dengan selera orang ramai. Harganya juga bersesuaian.

Selepas makan, saya bertolak ke arah Pasar Besar Kota Kinabalu untuk membeli kuih tempatan seperti amplang dan kuih cincin. Di samping itu, di Pasar Filipina saya membeli cenderamata untuk dibawa pulang.

Sepanjang perjalanan pulang, saya memilih laluan Kinarut, sebuah pekan lama yang jarang dilihat. Suasana pekan ini nampak seperti tempat “klasik” dengan deretan kedai kayu, keadaan dalaman kedai yang sesak dengan barang dan stesen keretapi yang kelihatan tradisional.

Oleh kerana perjalanan masih panjang dan hari semakin gelap, saya memutuskan untuk tinggal semalam lagi di Beaufort. Saya memilih Hotel River Bank, betul-betul di sebelah sungai. Kawasan hotel menempatkan banyak premis bank utama dan kedai makan. Waktu operasi mesin ATM setiap bank ialah dari pukul 6 pagi hingga 12 tengah malam. Tidak jauh dari hotel terdapat Beaufort Sentral iaitu kawasan perniagaan yang baru dibuka. Di sini terdapat sebuah kedai dobi layan diri yang besar.

Selepas mendaftar keluar, saya bergerak ke arah pekan Beaufort untuk melihat masjid daerah yang unik bersebelahan bangunan Tabung Haji. Selepas merentasi jambatan sungai, saya membelok ke arah pasar basah Beaufort, melewati sekolah Cina dan memasuki kawasan masjid. Tidak jauh dari masjid, terdapat deretan bangunan kayu yang menempatkan kedai runcit dan kedai makan yang masih meriah dengan orang ramai. Di sebelahnya terdapat bangunan konkrit yang lebih moden.

Saya berkata dalam hati, “Kalau terbakar, habislah semua kedai ini”.

Dari situ saya bergerak ke Sipitang, sebuah pekan di bahagian teluk. Di sini saya berhenti makan tengah hari di gerai makan tepi pantai. Parkir kereta agak mudah. Saya dapati kebanyakan gerai menjual sate dan kepak ayam. Pengunjung juga tidak makan makanan yang berat seperti nasi sebaliknya memesan soto, sate atau mee goreng.

Saya sendiri memesan tomyam seafood, ikan masak masam manis, sayur kangkung, udang masak butter, sotong goreng tepung, cendol special dan air kelapa. Masakannya boleh dikira sedap juga.

Laluan seterusnya adalah Sindumin. Jalan raya menghala ke sini masih dalam pembinaan. Terdapat jalan yang berlopak dan berlubang di sana sini.

Penghujung Sindumin adalah pos imigresen Sabah dan Sarawak. Ia menempatkan kakitangan imigresen sebelah-menyebelah.

Selepas itu saya terus ke Lawas. Sebelum memasuki pekan Lawas, saya perhatikan paras air di sebelah kanan jalan agak tinggi. Terdapat beberapa buah kereta yang diletakkan di tepi jalan.

Akhirnya saya faham.

Sebenarnya kawasan itu telah dinaiki air dan kebanyakan rumah digenangi air. Struktur rumah yang menggunakan tiang menyebabkan air tidak masuk ke rumah tetapi menenggelamkan laluan jalan ke rumah. Saya dapati ada penghuni rumah yang duduk menunggu di tangga rumah untuk diselamatkan.

Terdapat kawasan pertanian seperti kebun pisang dan ladang kelapa sawit yang ditenggelami air. Nasib baik laluan utama jalan raya tidak terhalang.

Oleh kerana hendak mengejar masa, saya tidak singgah di pekan Lawas sebaliknya terus menuju ke pos imigresen sempadan Lawas dan Brunei. Jarak antara Lawas dan Limbang lebih kurang 40 minit hingga 50 minit. Jalan raya juga baik dan lancar.

Tiba di Limbang, saya terus berjumpa dengan Pakcik Daimon yang sedang menunggu untuk membawa saya ke sempadan Kuala Lurah bagi meneruskan perjalanan ke Brunei.

Kesimpulannya, travel dari Brunei ke Kota Kinabalu dan Kundasang perlukan perancangan yang rapi dari segi kereta sewa, penginapan dan aktiviti sepanjang perjalanan.

Bagi pengkaji sosial seperti saya, pembinaan jalan raya dilihat menjadi pemangkin kepada aktiviti pembangunan ekonomi dan sosial masyarakat sekitar. Saya dapati banyak sekolah dan klinik desa didirikan sehingga ke kawasan kampung. Dari segi aktiviti dan promosi agama, papan tanda kewujudan gereja di sesuatu kawasan menunjukkan jenis etnik dan agama anutan mereka. Agak sukar mencari masjid kerana tidak banyak papan tanda masjid yang didirikan di sepanjang jalan.

Begitu juga dengan kereta sewa. Mendapatkan sebuah kereta sewa yang memiliki ciri-ciri keselamatan sangat penting kerana perjalanan jauh bakal menempuh banyak perkara yang di luar jangka. Untuk kereta sewa Encik Simon, saya rasakan lebih baik cari perkhidmatan lain kerana pengalaman yang saya lalui amat meresahkan. Kita membayar untuk sebuah kereta yang selamat pergi dan pulang.

Masyarakat di Beaufort, Sipitang, Sindumin dan Papar dilihat masih dahagakan pembangunan. Alangkah baik jika agensi kerajaan atau penyelidik dari universiti dapat membuat kajian mengenai kehidupan masyarakat pelbagai etnik di sini supaya keperluan mereka dapat dipenuhi khususnya dari segi pekerjaan, penjanaan pendapatan, kualiti pendidikan, pembangunan komuniti dan isu-isu setempat. Kawasan hutan masih tebal dan melimpahkan aktiviti ekonomi ke kawasan-kawasan ini akan dapat menjana pendapatan kepada penduduk.


Tuesday, November 26, 2019

Didik anak baik-baik







Maghrib hari ini saya singgah di Pasar Tani, Tedungan, Limbang. Biasanya surau di kawasan ini dibuka sehingga ke waktu isyak.

Selepas solat maghrib, saya meredah hujan barai-barai melintasi bonet hadapan teksi berwarna merah kuning kepunyaan Pakcik Daimon, pemandu teksi yang sentiasa bersiap sedia membawa saya ke Limbang untuk makan-makan di samping melihat perkembangan sosial masyarakat di sana.

Setiba di hujung deretan gerai, saya terlihat seorang lelaki sedang mengcekak rambut kanak-kanak lelaki, sekitar 9 atau 10 tahun yang sedang menangis tersedu-sedu. Saya tidak tahu apa sebabnya lelaki berkenaan berbuat begitu. 

Mata tertumpu kepada mulut lelaki yang sekali-sekala menjerkah seperti memarahi kanak-kanak itu.

Dia juga menepuk belakang kepala kanak-kanak itu dan bercakap seolah-olah marah memberitahu sesuatu. 

Saya menuju ke gerai menjual kepak ayam dan memesan sepuluh ringgit bersamaan enam kepak. Sambil melihat penjual remaja perempuan memanaskan enam kepak yang diminta, mata saya menjeling ke arah lelaki tadi.

Lelaki tadi berjalan ke arah gerai kepak ayam sambil dua jari kananya menyepit sebatang rokok yang masih tinggal suku batang, dia memeriksa beberapa buting kepak ayam, hati buyah dan bontot ayam di bahagian belakang gerai. Mungkin dia sebahagian daripada pengusaha kepak ayam ini.

Selepas membayar harga kepak ayam, saya beredar dan melalui tempat duduk kanak-kanak tadi. Kali ini saya lihat lelaki berkenaan menyua sehelai tuala kecil berwarna biru tetapi kanak-kanak itu tidak mempedulikannya. Sambil teresak-esak dia membiarkan lelaki berkenaan mengesat air mata yang mengalir keluar sambil bercakap sesuatu. 

Saya lihat kanak-kanak ini mengangguk sahaja, tersedu-sedan.

Peristiwa ini mengingatkan saya kepada kisah seorang ayah yang menengking anak perempuan berumur dalam lingkungan enam hingga tujuh beberapa tahun lalu. Ia berlaku di sebuah restoran yang saya kerap  bersarapan dan makan tengah hari.

Mungkin kerana marahkan anak,  si ayah menguatkan suara meminta anaknya pergi ke sekolah. Dengan marah-marah beliau mengambil motosikal dan meminta si anak membonceng. Hidupkan dan enjin dan terus pergi. 

Baiknya dia tidak menyokoh kepala atau menampar pipi si anak.

Menjadi ayah atau bapa sangat mencabar. Lebih-lebih lagi ketika anak-anak sedang meniti umur lapan hingga sebelas tahun. Perkembangan emosi, psikologi dan mental mereka sedang berkembang dan ingin tahu banyak perkara. 

Dalam mencari dan menemui nilai dan norma hidup yang betul, kadangkala mereka melakukan salah dan silap. Di sinilah peranan bapa untuk menunjuk ajar dan membimbing anak-anak menggunakan pelbagai pendekatan kreatif dan sesuai dengan personaliti anak-anak.

Ada anak lelaki yang sangat sensitif dengan ucapan dan tindakan bapa. Kata-kata yang menyinggung emosi membuatkannya bebai atau merajuk sepanjang hari. Ada anak perempuan yang tidak kisah malah senang dipujuk dengan kata-kata manis.

Pokoknya, bapa kenalah mengambil tahu kaedah menunjuk ajar anak-anak supaya perkembangan emosi, psikologi dan mental mereka dapat dibina ke tahap optimum.

Sunday, November 10, 2019

Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah







Pembinaan Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah ini telah mula dilaksanakan pada tahun 2015 dan dirasmikan pada Oktober 2019 sempena Konvensyen Ilmu. Pembukaan balai Islam ini dibuat secara gilang-gemilang kerana ia menandakan satu lagi pencapaian masyarakat Brunei bagi mengangkat memartabatkan syiar Islam di Asia Tenggara.

Pembinaan balai Islam ini dikuasakan dengan empat menara tinggi yang memagari dewan berkubah bagi menunjukkan kemegahan dan keagungan syiar Islam di Brunei. Pengunjung dapat melihat keempat-empat menara ini dari jauh kerana kedudukannya di atas tanah tinggi. 

Sebelahnya adalah pejabat mufti kerajaan Brunei. 

Sepanjang pameran yang diadakan bagi meraikan perasmian balai, semua maklumat menggunakan tulisan jawi sepenuhnya bertemakan manuskrip. Banyak maklumat berguna dikongsikan bersama pengunjung seperti penutupan premis semasa menunaikan solat Jumaat, ekonomi halal, negara zikir dan pengharaman arak. 

Di galeri satu, diterangkan sejarah perkembangan Islam di Brunei. Selain itu terdapat titah sambutan sempena penerbitan buku 'Raja Melakar Sejarah'. Menariknya dalam titah ini terdapat ayat ‘Untuk jadi bangsa yang hebat, kita perlu memiliki khazanah ilmu dan sekali gus mempunyai para penulis kreatif dalam pelbagai bidang. Tanpa buku dan para penulis kreatif, tamadun boleh saja hakis dan lemah’. 

Terdapat sembilan galeri yang mempamerkan manuskrip lama, himpunan mushaf al-quran, koleksi tongkat dan pedang serta paling istimewa adalah sehelai rambut Rasulullah saw. 

Di samping sebagai tempat pameran,Balai Pameran Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah ini juga berfungsi sebagai tempat penyelidikan, perkongsian ilmu dan persidangan antarabangsa.


Tuesday, November 05, 2019

Travel dari Miri ke Brunei






Sempadan Brunei dan Malaysia dihubungkan oleh bandaraya Miri, Sarawak melalui Sungai Tujuh. 

Walaupun kenderaan awam lebih mudah namun perkhidmatan bas dan teksi menjadi pilihan kaki jalan atau mereka yang bekerja rentas sempadan. 

Bagi kaki jalan yang mahu mencuba bas, mereka boleh menggunakan perkhidmatan bas PHLS Express yang menyediakan dua laluan waktu pagi dan petang. Bas bertolak pada pukul 8.45 pagi dan 3.45 petang dari Terminal Bas Pujut, Miri. 

Perjalanan mengambil masa hampir empat jam untuk sampai ke Bandar Seri Begawan melalui laluan Kuala Belait, Seria dan Tutong. Harga tiket bagi dewasa adalah RM50.00 dan kanak-kanak RM35.00 (3 hingga 10 tahun). 

Tiket boleh dibeli dipondok jualan tiket Bintang Jaya Express, di dalam bas atau melalui easybook.com (harga lebih mahal). 

Perjalanan dengan bas lebih santai kerana kita dapat melihat persekitaran bandaraya Miri yang semakin bersih dan selesa. 

Di pos kawalan imigresen kedua-dua negara, penumpang perlu turun untuk pengesahan masuk dan keluar sempadan. Jika penumpang tidak ramai, proses mengecop lebih singkat. 

Selain daripada bas ekpres, travel ke Brunei juga boleh menggunakan perkhidmatan van sewa yang banyak diusahakan dengan harga berpatutan.


Monday, November 04, 2019

Masyarakat Brunei utamakan kebersihan







Jika kita menaiki kereta atau berjalan di sekitar Bandar Seri Begawan, kita akan dapati bandar ini sangat bersih, sukar melihat sampah berselerakan atau vandalisme. Sudah tentu suasana ini sangat menarik kerana kita dapat menikmati keindahan bandar dan kawasan sekitar dengan selesa. 

Menjaga kebersihan merupakan sebahagian daripada amalan yang disuruh dalam agama Islam dan ia menjadi budaya masyarakat Brunei. 

Oleh kerana ia telah membudaya dalam masyarakat, sukar bagi orang luar melihat lori sampah di atas jalan raya. Ia adalah kerana pembuangan sampah merupakan kesedaran dan tanggungjawab individu. Tempat pembuangan sampah telah disediakan di beberapa kawasan khususnya di tepi jalan raya yang jauh daripada kawasan perumahan dan masyarakat perlu membuang sampah di kawasan berkenaan. 

Di premis perniagaan juga disediakan kawasan pembuangan sampah yang dijaga dengan baik supaya tidak mencacatkan pandangan. 

Satu perkara yang agak janggal ialah tidak banyak tong sampah yang disediakan tetapi kawasan sekitar masih lagi bebas daripada sampah-sarap. 

Usaha menjaga dan membisaikan persekitaran daripada sampah turut diungkayahkan oleh pelajar-pelajar Universiti Islam Sultan Sharif Ali yang menyediakan lapan jenis tong sampah. Kategori sampah ialah makanan, plastik, tin, kertas, kaca, elektronik, tubuh-tumbuhan dan barangan umum. 

Inisiatif seperti ini dapat membantu pengguna lebih berdisiplin apabila mengumpul sampah untuk dibuang kerana ia boleh dikitar semula. Sudah tentu idea ini sebahagian daripada amalan agama Islam yang menganjurkan kebersihan.




Sunday, November 03, 2019

Rangkaian kedai runcit India







Sekitar Brunei, sekiranya kita berhenti di kedai runcit untuk membeli barang keperluan, kita akan dapati pekerjanya adalah orang-orang India. Jarang kita berjumpa orang tempatan kecuali di sesetengah kedai runcit. 


Rata-ratanya menjual pelbagai barang keperluan rumah dari skala kecil hingga sederhana. 

Jika kita bertanya kepada penjaga kaunter berapa lama beliau tinggal di Brunei, kita akan dengar jawapan yang pelbagai, biasanya lebih sepuluh tahun. 

Kenapa kedai runcit dikuasai peniaga dari India? 

Di mana kedai runcit yang diusahakan oleh masyarakat Melayu Brunei sendiri atau etnik Cina? 

Orang tempatan lebih cenderung memberi kepercayaan kepada orang India untuk membuka kedai runcit dengan usahasama perniagaan. Rangkaian kedai runcit ini menjadikan orang India dapat menguasai peruncitan barangan keperluan masyarakat Brunei. 

Justeru, sudah tentu mereka cuba mendapatkan keuntungan dengan mengeluarkan kos operasi yang lebih rendah khususnya dari segi upah. Pekerja dari India dibayar upah yang lebih rendah berbanding mengupah pekerja tempatan. 

Tambahan pula pekerja India boleh berkongsi masakan dan tempat penginapan. Setiap dua tahun sekali mereka akan pulang ke India. 

Penguasaan terhadap kedai runcit ini telah menyebabkan kawasan ‘little India’ muncul di Kampung Serusop dan Sengkurong. Setiap malam kita akan dapati pekerja India berkumpul di kedai-kedai tertentu untuk berjumpa sambil makan dan minum bersama. 

Sekiranya kita mahu mengetahu jumlah keramaian pekerja India, kita boleh berjemaah maghrib atau isyak di masjid berdekatan. Biasanya mereka akan memenuhi ruang solat masjid dengan pakaian kerja masing-masing.



Saturday, November 02, 2019

Pasar pelbagai barangan Gadong








Setiap petang, kawasan Pasar Gadong menjadi tumpuan masyarakat. Di sini terdapat pelbagai jenis makanan, minuman dan buah-buahan yang dijual sehingga pukul sepuluh malam. Pembahagian kawasan jualan mengikut jenis barangan seperti makanan dan minuman di satu tempat, buah-buahan di satu tempat lain dan pakaian pula di tempat lain.

Boleh dikatakan jualan dilakukan di bawah satu bumbung dan pengguna boleh mendapatkan barangan mereka di sini. 


Sebelum diubah suai, kawasan ini merupakan tapak pasar malam yang menggunakan ruang parkir kereta. Setiap malam, sambutan pengunjung sangat menggalakkan. Jika hari hujan, keadaannya sangat sukar kerana tidak banyak ruang berteduh dan mengganggu urusan jual-beli. Justeru pihak kerajaan mengambil keputusan membina mode baru pasar malam yang lebih selesa.

Kini, Pasar Gadong terkenal kerana menjual pelbagai jenis makanan dan minuman seperti nasi katok, nasi pusu, laksa, kelupis dan buah tarap. Harga makanan dan minuman memang sangat murah kerana berada dalam lingkungan satu hingga dua ringgit. Ia menjadi tempat bersosial yang paling santai kerana dapat mengeratkan hubungan keluarga dan menjadi tempat menjamu selera pada harga berpatutan.

Selain orang ramai, pelancong juga kerap berhenti di sini untuk makan malam selain daripada pelajar di institusi pengajian tinggi di sekitar. 


Masa paling baik untuk berkunjung ke sini ialah selepas solat maghrib kerana pengunjung belum ramai dan ruang parkir yang berdekatan masih banyak.

Dari aspek kebersihan, Pasar Gadong kelihatan sentiasa bersih, tersusun dan kemas. Pekerja pembersihan sentiasa memastikan tong sampah disenggara dengan kerap dan sebarang sampah yang dibuang akan segera dipungut dan dibersihkan. Meja makan akan dilap selepas pengguna meninggalkannya supaya dapat digunakan oleh pengguna lain. 

Pekerja pembersihan ini kebanyakannya dari Bangladesh.

Di sebelah Pasar Gadong terdapat pasar basah yang menjadi tumpuan masyarakat sekitar. Di pasar ini terdapat pelbagai barangan keperluan harian seperti ikan, sotong, daging hinggalah barangan kering seperti telur, lada kisar, serbuk kunyit dan sos cili. Harga ikan dan daging tidak mahal (jika menggunakan mata wang Brunei) dan boleh diperoleh dalam keadaan segar. Bilangan petak parkir juga sangat banyak dan percuma. 


Di sekitar pasar disediakan sebuah surau bagi kegunaan orang ramai.

Friday, November 01, 2019

Kawasan pinggir bandar







Menelusuri kawasan kampung dari arah Bandar Seri Begawan ke Kuala Lurah, sempadan Brunei dan Limbang, kita akan dapat melihat rumah-rumah kampung yang berselang-seli dengan rumah reka bentuk moden dan lebih besar. Di Kampung Junjongan atau Kampung Limau Manis terdapat rumah kayu bertiang yang didiami keluarga besar. Di sekitar rumah ini terdapat kawasan lapang untuk bercucuk tanam, meletak kenderaan atau sebagai kawasan bermain kanak-kanak.

Keadaan ini menunjukkan masih terdapat masyarakat Brunei yang berpendapatan rendah dan sederhana kerana masih ada dalam kalangan mereka yang perlu bekerja keras setiap hari untuk perbelanjaan hidup. Apatah lagi terdapat rumah yang didiami tiga generasi iaitu ibu bapa, anak dan cucu. Keluarga seperti ini perlu berkongsi perbelanjaan untuk mengurangkan beban kewangan.

Biarpun begitu, kerajaan Brunei menyediakan banyak bantuan kewangan dan subsidi bagi rakyat negara itu supaya mereka dapat merasai kesenangan hidup dan bersama-sama menyumbang kepada kemajuan negara. Harga barangan khususnya bahan mentah seperti beras, ikan dan sayur masih tidak banyak berubah dan mampu dibeli kerana mekanisme kawalan harga yang berkesan. Harga petrol yang tidak pernh berubah juga menyumbang kepada kestabilan harga barangan ini.

Begitu juga dengan penyediaan infrastruktur jalan raya yang menjalar ke seluruh kawasan luar bandar membantu meningkatkan aktiviti ekonomi dan sosial masyarakat. Akses kepada laluan utama membantu menambah pendapatan masyarakat luar bandar untuk mendapatkan pendidikan berkualiti, kesihatan yang lebih baik dan galakan aktiviti sosial yang lebih menyeluruh.

Monday, October 07, 2019

Duit syiling Brunei





Duit syiling di Brunei terdapat dalam bentuk 50 sen, 20 sen, 10 sen, 5 sen dan 1 sen. Semuanya mempunyai wajah Sultan Brunei iaitu Sultan Haji Hassanal Bolkiah dan pelbagai motif di sebelahnya.

Motif-motif ini menunjukkan budaya Brunei yang pernah menjadi sebahagian daripada hidup masyarakat. Syiling 50 sen menunjukkan jata negara iaitu dua tangan yang sedang berdoa dan gabungan unsur perlambangan kedaulatan Brunei iaitu bendera, payung diraja, sayap dan bulan sabit. Jata ini telah digunakan sejak tahun 1940.

Terdapat tulisan jawi yang bermaksud 'Sentiasa membuat kebajikan dengan petunjuk Allah' dan 'Brunei Darussalam'.

Duit syiling 1 sen memaparkan gambar payung di raja. Ia berwarna keemasan dan kelihatan besar. Manakala syiling 10 sen dan 20 sen memaparkan motif khusus yang jarang diketahui sebagai pendekatan paling mudah bagi masyarakat masyarakat luar untuk mengetahui lebih lanjut tradisi kebruneian.

Saturday, October 05, 2019

Beribi 'Auto City'








Di kawasan perindustrian Beribi, deretan bilik pameran kereta disediakan kepada bakal pelanggan yang mahu memilih kereta idaman. Antaranya jenama Ford, Nissan dan Mitsubishi manakala di sebelah jalan pula ada jenama Jaguar. Jenama Renault dan Proton berada agak jauh dari deretan ini. 

Bilik pameran kereta dari Korea Selatan, Hyundai terletak bersebelah stesen minyak Taib. Bilik pameran kereta berjenama Audi dan Porche berada di bahagian dalam kawasan ini iaitu bertentangan dengan pejabat surat khabar Borneo Bulletin dan Media Permata. 

Sejak 20 tahun lalu, kawasan ini menjadi tumpuan masyarakat Brunei untuk membeli kereta yang relatifnya lebih murah. Data dari Sekretariat ASEAN tahun 2005 hingga 2017 mencatatkan Brunei adalah negara paling banyak memiliki kenderaan berbanding nisbah penduduk iaitu 971 kenderaan berbanding 1000 penduduk. 

Umumnya jalan raya diisi oleh kereta import pelbagai jenis seperti Toyota, Nissan, Mazda, Hindari atau Kia. Jenama yang popular ketika ini adalah Suzuki yang memberikan pelbagai pilihan saiz kereta. 

Oleh kerana jumlah kenderaan semakin bertambah, jalan raya menghala ke arah pusat bandar sentiasa sesak ketika waktu puncak sebelah pagi dan petang. 

Laluan Kilanas ke Sengkurong dan Berakas ke  Serusop atau Lambak Kanan mengambil masa lebih lama untuk kenderaan bergerak pada waktu puncak. Jika tidak banyak laluan alternatif dibuka, keadaan laluan sedia ada dijangka bertambah sesak.