Friday, March 24, 2017

Periksa kesihatan kita







Pemeriksaan kesihatan sangat penting lebih-loebih lagi kepada mereka yang berusia 40 tahun dan ke atas. Ia boleh dilakukan di hospital dengan jumlah bayaran serendah RM125 mengikut bentuk pemeriksaan yang dikehendaki.

Seorang rakan saya yang berusia 50-an lebih prihatin. Beliau akan mengambil cuti rehat pada hari ulang tahun kelahirannya untuk membuat pemeriksaan kesihatan menyeluruh di hospital. Setakat hari ini, beliau kelihatan ceria dan dapat mengekalkan kecergasan tubuh badan dengan baik sekali.

Antara pemeriksaan yang perlu dilakukan ialah pemeriksaan fizikal, tinggi dan berat (BMI), tekanan darah, kolesterol, saringan barah dan ujian gula dalam darah. Semua ujian ini perlu kerana tabiat dan budaya makan di negara ini menyebabkan kualiti kesihatan mudah merosot. Masyarakat kita mengambil makanan antara empat hingga enam kali sehari, Ia bermula dengan sarapan pagi, minum pagi, makan tengah hari, minum petang, makan malam dan makan lewat malam. 

Giliran makan begini menyebabkan banyak sumber tenaga terkumpul dalam badan seperti karbohidrat, protein dan vitamin yang tidak sempat digunakan. Apatah lagi masyarakat kita juga kurang mengambil berat keperluan bersenam menyebabkan Malaysia dikenal pasti sebagais alah satu negara yang mempunyai penduduk berlebihan berat (obes) yang tinggi.
  
Tidak menghairankan jika kita mendengar orang muda berusia 30-an sudah pun mempunyai satu atau dua penyakit barah yang boleh membawa maut.

Kesedaran umum terhadap pemeriksaan kesihatan yang menyeluruh perlu ditingkatkan dalam kalangan rakyat Malaysia dari semasa ke semasa melalui kempen yang berterusan. Hal ini kerana budaya makan yang sinonim dengan masyarakat perlu diubah sedikit demi sedikit. Budaya makan makanan segera juga wajar dimasukkan ke dalam kempen ini supaya masyarakat dapat menilai kesan dan akibat mengambil makanan jenis berkenaan.

Selain itu, kewujudan pusat rekreasi di kawasan perumahan sama ada di bandar atau luar bandar dapat mengenengahkan idea hidup sihat sepanjang hayat.



Saturday, March 18, 2017

Abdul Khair dalam kenangan







Abdul Khair bin Abdul Halim, kaunselor Sekolah Menengah Gunung Semanggol, Perak adalah rakan serumah ketika saya berada di tahun akhir pengajian di Universiti Putra Malaysia. Beliau baru sahaja meninggal dunia akibat kompilasi penyakit kencing manis di Hospital Taiping.

Abdul Khair menjadi rakan serumah saya sekitar tahun 1996 iaitu tahun akhir pengajian kami di Universiti Putra Malaysia. Rumah tersebut di Taman Seri Sedang, menghala ke Seri Kembangan. Tuan rumah berketurunan India dan sewa rumah ketika itu lebih kurang RM550 sebulan.

Terdapat tiga bilik semuanya dan Abdul Khair tinggal di bilik tengah yang lebih luas. Saya pula memilih bilik belakang untuk tidur dan berehat bersama seorang lagi rakan.

Penghuni rumah ini kebanyakannya dari Kolej Kediaman Ketujuh, Universiti Putra Malaysia. Abdul Khair bukanlah seorang yang banyak bercakap sebaliknya bercakap apabila perlu seperti selepas mengulang kaji pelajaran atau berehat selepas makan malam. 

Saya rasa ia bersesuaian dengan bidang pengajian yang diambilnya iaitu bimbingan dan kaunseling.

Sesekali kami keluar makan bersama atau memesan makanan khususnya semasa rehat tengah hari. Biasanya kami beli nasi bungkus di kedai Pakcik Senget di tepi jalan raya menghala ke Seri Serdang. Tidak pun kami makan di Restoran Sabar Menanti, bersebelahan sekolah rendah Cina.

Pengalaman bersama Abdul Khair yang saya masih iangat adalah ketika berkursus di Pulada, Kota Tinggi, Johor. Kursus ini merupakan "annual camp" kami yang pertama sebagai anggota Palapes UPM iaitu sekitar tahun 1993. 

Satu malam kami dan rakan-rakan yang lain keluar makan malam ke Ulu Tiram dengan menaiki trak askar. Pakaian juga kemas iaitu berseluar hitam, baju putih dan bertali leher. Saya dan Abdul Khair makan bersama dan sesekali berborak-borak tentang kursus tersebut. Kalau ke Ulu Tiram hari ini, saya yakin masih ingat kedai makan berkenaan.

Kami berpisah membawa haluan masing-masing selepas menamatkan pengajian pada tahun 1997.

Apabila mengetahui keadaan kesihatan Abdul Khair, saya berdoa mudah-mudahan beliau diberikan kekuatan untuk terus hidup dan kembali sihat seperti sedia kala. Namun, berita kematiannya beberapa hari lalu amat mengejutkan. Usianya masih muda. 

Semoga Allah swt menerima amal kebajikannya dan meletakkannya dalam kalangan orang-orang bertakwa. Al-fatihah.  


Thursday, March 16, 2017

Jana pendapatan melalui e-Usahawan dan e-Rezeki







Kerajaan sentiasa berusaha melaksanakan pelbagai pembangunan ekonomi peringkat kebangsaan khususnya meningkatkan kualiti hidup kumpulan sasar.

Salah satu daripadanya ialah membangunkan ekonomi digital negara dan memastikan kesinambungan faedah ekonomi semasa dapat dinikmati oleh rakyat. Justeru, kerajaan mempromosi program #YOUCANDUIT melalui Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC).

 #YOUCANDUIT membuka jalan kepada usaha-usaha melatih isi rumah yang berpendapatan rendah tentang bagaimana mendapatkan pendapatan  dalam dunia digital hari ini. Bagi merealisasikan usaha ini, MDEC memperkenalkan dua program iaitu e-Usahawan dan e-Rezeki.

e-Usahawan disasarkan kepada golongan belia dan usahawan mikro untuk meneroka sektor bisnes digital. Pendedahan kepada ilmu keusahawanan digital melalui program ini sudah pasti memberi faedah kepada mereka di samping memberi galakan kepada orang ramai agar lebih memahami bisnes digital.

e-Rezeki umpamanya lebih prihatin kepada kumpulan B40 yang mewakili 40 peratus golongan berpendapatan rendah. Program ini menyediakan platform kepada kumpulan sasar untuk menjana pendapatan tambahan melalui aktiviti yang memenuhi keupayaan mereka sebagai sebahagian daripada sumber tenaga manusia bisnes digital ini.

Sehingga kini terdapat 51,000 pelajar TVET dan usahawan mikro telah melalui kursus e-Usahawan yang menyaksikan jumlah penjanaan sebanyak RM48 juta.

Manakala bagi program  e-Rezeki, penjanaan dianggarkan lebih RM17 juta kepada lebih 50,000 peserta. Bernama melaporkan pihak kerajaan melalui MDEC dan agensi kerajaan mensasarkan jumlah peserta dua program ini adalah 150,000 orang pada akhir 2017 dengan penjanaan sebanyak RM130 juta.



Monday, March 13, 2017

NLP dalam pengajaran dan pembelajaran








Saya telah mendengar istilah Neuro-Linguistic Programming (NLP) kira-kira 17 tahun lalu tetapi mengenali Anthony Robbins sejak 22 tahun lalu. Kursus dua hari pengajaran berimpak tinggi mengingatkan saya kembali kepada NLP, suatu kaedah pembangunan diri yang semakin mendapat sambutan orang ramai pelbagai peringkat.

Informasi berkaitan NLP sangat banyak di internet. Di Malaysia, terdapat akademi yang mengendalikan latihan khusus kepada mereka yang berminat menjadi pengamal NLP yang berkelayakan.

Neuro-Linguistic Programming adalah gabungan penggunaan saraf dan bahasa untuk mengubah kelemahan diri kepada kekuatan. Contohnya, katakan ada rakan kita yang begitu takut dan sangat gementar untuk bercakap di hadapan orang ramai, takut kepada lipas atau amat gerun melihat darah. Melalui NLP, perasaan takut atau fobia ini boleh dirawat dan dihilangkan.

Nampaknya seperti satu magik atau keajaiban. Masakan sesuatu perkara yang bertahun-tahun takut, dalam tempoh beberapa jam sahaja boleh dihilangkan?

Kursus dua hari ini didedahkan kepada tools yang terdapat dalam NLP seperti war cry. Saya dapat rasakan war cry ini berupaya menukar mood negatif kepada mood positif. Ungkapan “hari ini, saya ceria, saya confident, saya excited, Yes! Yes! Yes!” boleh membantu merangsang minda untuk menggerakkan minda bawah sedar supaya bangkit daripada keadaan monyok kepada aktif. War cry yang dibuat oleh salah seorang peserta Haji Fauzi amat meriah kerana beliau menggabungkan ekspresi muka dan suara yang benar-benar bertenaga.

Satu lagi tool adalah pernyataan terhadap tiga perkara iaitu “want, belief dan action”. Saya diminta memberi nilai satu hingga sepuluh kepada setiap perkara tersebut berdasarkan satu matlamat yang hendak dicapai.

Bagi item “want”, saya berikan sepuluh markah kerana memang saya mahu menjadi pensyarah yang berkesan. Sudah tentulah saya mahu sepuluh. Bagi item “belief” pula, saya berikan tujuh markah sahaja kerana saya tidak percaya dapat menjadi pensyarah yang berkesan berdasarkan keupayaan ilmu dan kemahiran yang saya miliki ketika ini. Saya juga akui betapa lemahnya saya dalam pengajaran dan pembelajaran, justeru perlu lebih banyak belajar. Namun bagi item “action”, saya letakkan sepuluh markah iaitu gambaran yang saya mahu bekerja lebih kuat dan bersungguh-sungguh untuk menjadi pensyarah berkesan.

Sesi lain yang memberi lebih banyak pengetahuan dan pendedahan ialah watak VAK iaitu visual, auditori dan kinestetik. Sebelum ini saya membaca ciri-ciri VAK ini tetapi dalam kusrus ini saya mendapat pendedahan praktikal bagaimana caranya mengenali orang yang berada di sekitar kita khususnya pelajar.

Cara mudah untuk mengenali ketiga-tiga ciri ini ialah dengan melihat pergerakan dan kedudukan mata semasa individu itu menceritakan pengalaman dan memberi pandangannya.

Kedudukan mata orang visual adalah melihat ke atas dan berkedudukan sebelah kiri. Semasa bercakap, kedudukan begini lebih dominan seolah-olah beliau nampak apa yang sedang digambarkannya.

Kedudukan mata orang auditori adalah separas mata dengan rakan bualnya. Sekali-sekala beliau memandang ke atas, menghiaskan ucapannya dengan ekspresi wajah yang pelbagai seperti senyum, sengih atau ketawa.

Kedudukan mata orang kinestetik adalah lebih ekstrem iaitu memandang ke bawah seolah-olah melihat kaki sendiri atau mencari-cari sesuatu di lantai. Beliau perlu fokus sesuatu di bawah supaya dapat menceritakan apa yang dimahukannya.

Saya dapati kaedah mengenali watak dan ciri individu ini lebih mudah dan cepat tanpa perlu menggunakan pelbagai alat atau borang. Sebagai pensyarah, saya boleh mengetahui ciri-ciri pelajar yang ramai hanya dalam beberapa minit.

Di samping mendengar tools baru ini, saya juga berkongsi dengan rakan-rakan kursus tentang mengenali watak dan peribadi melalui empat bentuk iaitu bulatan, segitiga, segiempat dan ombak.

Secara umum, orang yang suka bentuk bulatan adalah mereka yang yang sukakan keharmonian dan cuba mengelak konflik. Orang yang serasi dengan segitiga memiliki sasaran yang jelas namun tidak mempedulikan orang lain semata-mata hendak mencapai cita-citanya. Ciri-ciri orang yang suka dengan segiempat ialah terlalu rigid dengan peraturan, kekemasan dan ketepatan yang mana jika kita bersama orang ini beliau akan memberi banyak teguran dan nasihat untuk kelihatan lebih kemas atau lebih rajin buat kerja. Manakala orang yang memilih bentuk ombak lebih cenderung kepada kepelbagaian, fleksibel dan lebih selesa jika diajak berunding.

Kejayaan melaksanakan kaedah NLP dalam pengajaran dan pembelajaran sangat bergantung kepada kemahuan yang tinggi pensyarah. Mereka boleh mempraktikkan tools yang telah dikongsi biarpun sedikit. Malah Coach Jai dan Coach Aziz sering mengingatkan bahawa kesediaan pelajar memberi tumpuan hanyalah 30 minit, selebihnya pensyarah boleh berkongsi kaedah NLP untuk merangsang minda pelajar.


Sunday, March 12, 2017

Memahami polisi luar negara







Polis Diraja Malaysia telah mengesahkan identiti mayat Kim-Chol sebagai Kim Jong-nam, abang tiri pemimpin rejim Koea Utara, Kim Jong-un yang mati dibunuh pada 13 Februari lalu di Kuala Lumpur International Airport2 (KLIA2). Kim Jong-nam dibunuh oleh dua orang wanita dari Indonesia dan Vietnam yang mana kedua-duanya telah pun dituduh di mahkamah atas kesalahan membunuh.

Banyak perkara yang kita dapat pelajari apabila berlaku kes jenayah seperti ini. Dalam hubungan diplomatik, negara yang terbabit akan mengukuhkan pendirian dan prinsip negara masing-masing seakan-akan tidak mahu mengalah. Ia  mungkin berakhir di meja rundingan apabila terdapat sesuatu yang luar biasa yang mungkin menjejaskan keselamatan atau nyawa mana-mana pihak.

Ramai pihak meramalkan Malaysia akan berdepan laluan sukar untuk menyelesaikan kes berkenaan kerana sikap rejim Korea Utara yang tidak dapat ditentukan di samping bersikap angkuh dengan kehebatan sendiri. Mereka inginkan kemenangan dan sanggup memperkecilkan keupayaan orang lain.

Dalam konteks negara Malaysia, kita belajar untuk menyelesaikan perkara besar yang menarik minat ramai pihak sama ada rakan baik kita mahupun musuh yang sedang menanti masa. Penglibatan Malaysia dalam pertubuhan peringkat global menunjukkan negara itu diterima banyak pihak. Antara pertubuhan ini adalah seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Negara-Negara Berkecuali (NAM), World Trade Organization (WTO) dan World Health Organization (WHO). Di peringkat serantau, Malaysia menyertai Asia Cooperations Dialogue (ACD), Asian Development Bank (ADB), Association of Southeast Asian Nations (ASEAN), Asia-Pacific Economic Cooperation (APEC) dan Asian African Legal Consultative Organization (AALCO).

Selain itu, Malaysia juga menyertai Organization of the Islamic Conference (OIC), Commonwealth of Nations dan The Group of Fifteen (G-15).

Dalam dasar hubungan luar Malaysia, negara itu mempunyai hubungan dengan lebih seratus buah negara manakala Korea Utara hanya mempunyai hubungan dengan 24 buah negara. Sikap dan sistem pentadbiran yang diguna pakai oleh Korea Utara menyebabkan negara itu kehilangan peluang ekonomi, sosial, pendidikan dan budaya kerana banyak pihak yang tidak mahu bersahabat dengannya.

Malaysia mengamalkan pendekatan berbeza khususnya mengambil pendekatan pragmatik. Negara itu menggunakan semua ruang dan peluang untuk membina hubungan yang memberi faedah ekonomi, sosial, politik dan ketenteraan. Ia juga mengambil langkah awal membina hubungan dengan blok komunis China dan membuka ruang kepada rakyat Korea Utara memasuki Malaysia tanpa visa.

Namun, kini semua kemudahan tersebut ditarik balik. Korea Utara bakal kehilangan satu lagi negara yang banyak memberi ruang untuk negara itu mengubah diri sendiri.

Kezaliman rejim Korea Utara yang sanggup membunuh saudara sendiri semata-mata kerana kuasa bakal menyaksikan negara itu tidak lagi dihormati. Apatah lagi ketakutan mereka terhadap aktiviti latihan ketenteraan di Semenanjung Korea bakal meresahkan Kim Jong-un, orang paling berkuasa di negara itu ketika ini.

  

Saturday, March 11, 2017

Ihsan dan kecemerlangan kerjaya








Alangkah indahnya kalau kita dapat masuk ke syurga tanpa ada apa-apa halangan seperti mudahnya kita keluar dan masuk di dalam rumah sendiri. Ia bukanlah mustahil kerana ada beberapa syarat yang perlu dipenuhi untuk masuk ke syurga yang dikenali sebagai "tanpa hisab".

Syarat paling utama ialah memahami isi al-quran.

Rasulullah saw meninggalkan kita sebuah hadiah yang sangat bernilai kepada umat manusia khususnya umat Islam. Di dalamnya terdapat panduan hidup yang menjadi obor kepada kehidupan seorang Islam meliputi semua aspek hidup dari sekecil-kecilnya sehingga sebesar-besarnya, yang mudah dan susah serta yang remeh dan rencah. 

Selepas beriman dengan al-quran, kita perlu pula memahami dan melaksanakan isinya dalam kehidupan, barulah dikatakan sebagai faqeh.

Ayat 133 surah ali-Imran menyeru supaya kita bersegera memohon taubat kepada Allah swt. Ketika usia muda inilah kita perlu perbanyakkan doa memohon keampunan Allah swt  kerana hari ini suasana sekitar menjadikan kita lebih mudah mendapat dosa. Banyak dosa yang kita dapat seperti mengumpat dan mengeji biarpun hanya mengetik papan kekunci komputer atau telefon pintar, membantah cakap ibu dan bapa atau bersangka buruk kepada rakan-rakan sekerja.

Memohon keampunan adalah kunci kepada laluan ke syurga. Makan dengan tiga jari, menyimpan janggut atau memakai celak tidak dapat membantu kita untuk masuk ke syurga kerana ada kunci lain yang lebih utama.

Keindahan syurga tidak dapat digambarkan. Luasnya syurga dikatakan sebesar bumi dan langit. Syurga ini disediakan untuk orang yang bertakwa, justeru tidak boleh berbangga dengan bangsa atau keturunan. Antara bait-bait dalam lirik lagu Iman Mutiara kumpulan Raihan adalah, "iman tak dapat diwarisi, dari seorang ayah yang bertakwa, ia tak dapat dijual-beli, ia tiada di tepian pantai, walau apapun caranya jua, engkau mendaki gunung yang tinggi, engkau merentas lautan api, namun tak dapat jua dimiliki, jika tidak kembali pada Allah".

Kenapa takwa begitu penting?

Takwa umpama visa ke syurga. Abdullah bin Mas'ud r.a berkata takwa adalah, "hendaklah Allah itu ditaati jangan dimaksiati (taat), hendaklah Allah selalu diingat jangan dilupakan (zikir), hendaklah Allah selalu disyukuri jangan diingkari (syukur)". 

Mendapatkan takwa perlukan usaha yang bersungguh-sungguh. Kita wajar bertindak seperti termostat yang dapat mengawal perubahan suhu, bukannya seperti termometer yang hanya boleh memberi bacaan suhu. Bersikap seperti termostat bererti mengetahui senario dan mengambil pendekatan proaktif. 

Contoh bersikap seperti termostat ialah "dakwah kepada non-muslim masih kurang", "KPI kerja kita masih jauh, perlu berusaha lebih gigih" atau "kita kena buat sesuatu supaya iman dan amal kita bertambah". Manakala contoh bersikap seperti termometer ialah "biar pi kat depa lah", "apa pula orang kata" atau "tak boleh buat apa dah".

Menjadi seperti termostat bermakna mengubah diri dan nasib diri seperti membaiki akhlak dan adab, akidah dan memperkasa syariat. Dalam hal ini, akhlak jauh berbeza daripada moral kerana akhlak ada elemen ketuhanan, terbit dari hati yang dibuat secara spontan dan mempengaruhi tindakan kita. Membetulkan akhlak ini melibatkan riadah akhlak iaitu praktis membina akhlak yang benar-benar menuruti al-quran dan sunnah.

Kecemerlangan kerjaya bergantung kepada dua ciri iaitu kuat dan amanah. Kedua-dua ciri ini mempengaruhi prestasi organisasi dan menambah baik iman dan takwa. Al-quran dalam surah al-Qasas ayat 26 menjelaskan perkara berkenaan, "Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: Wahai ayah, ambillah dia memjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah".


*Petikan daripada ceramah Dato Dr Danial Zainal Abidin di Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Universiti Teknikal Malaysia Melaka pada 10 Mac 2017.




Tuesday, March 07, 2017

Lupakan kegagalan lepas







Jangan fikir kegagalan lepas kerana ia dapat menghalang pemikiran dan tindakan kita. Meletakkan kegagalan secara berterusan dalam minda dan jiwa hanya akan menyebabkan banyak masa dan usaha tergendala. Contohnya kecewa dengan pelbagai keputusan dalam hidup yang tidak menyebelahi kita. Bertahun-tahun kita membawa "kecewa" itu sehingga bersarang dan berkarat dalam jiwa. Lama-kelamaan pemikiran kita terperangkap dalam saluran "kecewa" yang berpanjangan. 

Kenapa penting bagi kita mengambil langkah meninggalkan jauh-jauh kegagalam dalam hidup?

Pertama, makan hati. Ramai orang yang menghabiskan banyak masa memikirkan masalah sendiri dengan menimbulkan pelbagai alasan untuk diselesaikan. Persoalan kenapa dan mengapa nasib malang menimpa diri sentiasa ditanya tetapi tidak ada jawapan yang benar-benar memuaskan hati. Keadaan ini mempengaruhi aktiviti harian kita seperti rutin makan, minum, tidur dan bersosial telah berubah. Makan dan minum jadi tidak menentu, tidur dan jaga berubah-ubah, aktiviti sosial menjadi hambar dan akhirnya menyebabkan masalah kesihatan seperti tekanan jiwa, perubahan selera makan dan tingkah laku songsang.

Kedua, beban kepada orang yang berada di sekeliling. Orang yang paling terkesan adalah orang yang paling rapat dengan kita seperti ibu bapa, suami atau isteri dan anak-anak. Mereka memiliki hubungan emosi dan fizikal yang akrab serta mampu mempengaruhi sebarang bentuk perubahan hidup kita. Contohnya, andai kata kita yang berhadapan dengan masalah ini telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan pemulihan, mereka inilah yang bersusah-payah menjaga makan dan minum sepanjang berada di hospital. Mereka perlu membagi masa dan melebihkan tumpuan yang mungkin menimbulkan rasa cemburu kepada adik-beradik dan saudara-mara yang lain.

Menghadapi kegagalan hidup adalah realiti. Bertindak menjauhi kegagalan merupakan langkah ke belakang yang menambah kekusutan masalah. 

Langkah terbaik adalah berkonfrantasi dengan kegagalan dan menyediakan laluan keluar yang selesa dan selamat. Jika memilih konfrantasi, kita perlu kuat mental, fizikal dan spiritual kerana cabaran dalam konfrantasi datang dari pelbagai arah. Di sinilah kita perlukan rakan-rakan sebagai penyokong yang dapat membantu mengukuhkan mental, fizikal dan spiritual.

Kita wajar berdiri sebagai entiti diri yang mempunyai prinsip hidup supaya dapat memberi keyakinan menghadapi kegagalan hidup sebelum ini.