Thursday, February 26, 2009

Polemik hukum ASB dan ASN

Baru-baru ini Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan bahawa hukum membuat pelaburan dalam Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) adalah harus. Keputusan ini juga termasuk bagi pembayaran dividen dan bonus. Kenyataan daripada majlis fatwa ini juga menggesa umat Islam di Malaysia tidak perlu ragu-ragu tentang status pelaburan kedua-dua skim berkenaan.

‘Umat Islam boleh menyertai skim pelaburan ini dan tidak perlu ragu-ragu terhadap status pelaburan yang dibuat serta dividen atau bonusnya.’

Pihak majlis fatwa mengambil ketetapan berkenaan selepas skim itu dilancarkan pada tahun 1990 lalu. Objektif ASB ialah menjana pulangan jangka panjang yang kompetitif dan konsisten kepada pemegang-pemegang unit di samping memastikan pengekalan modal pada tahap toleransi risiko yang minimum. Kelayakan terbuka kepada mereka yang berumur 18 tahun ke atas (akaun dewasa) dan remaja yang berumur 12 hingga 18 tahun ke bawah dengan pengesahan ibu bapa atau penjaga sah (akaun remaja).

Pengurusan pelaburan diuruskan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB). Pelabur boleh menyimpan wang mereka di bank-bank terpilih yang menyediakan khidmat pelaburan ASB dan ASB dengan pelbagai faedah yang menarik.

Implikasi daripada keputusan ini memberi kesan yang sangat besar kepada kesediaan umat Islam di Malaysia kerana ia telah mengubah persepsi mereka terhadap pelaburan itu dengan serta-merta. Jika sebelum ini mereka menjauhkan diri daripada melabur dalam skim ASB atau ASN, kini kedua-dua skim itu mula menjadi perhatian.

Permodalan Nasional Berhad telah mula menggerakkan kempen mencari pelabur-pelabur baru melalui pembukaan cawangan di seluruh negara termasuk di Kompleks Perbadanan Putrajaya. Di sepanjang jalan di Putrajaya telah dipasang kain rentang bagi memaklumkan pembukaan cawangan baru itu di Putrajaya.

Walaupun dihukum harus, terdapat pihak yang belum atau enggan mengakui keputusan majlis fatwa kerana meragui kaedah pelaburan yang diguna pakai. Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia berpendapat kaedah dan implementasi ASB dan ASN bercanggah dengan panduan sesebuah saham amanah yang diiktiraf ‘patuh syarak’ yang dikeluarkan.

Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dianggotai oleh para pakar yang berpengalaman dalam bidang muamalat dan kewangan Islam. Berpandukan kepakaran dan pengalaman mereka, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia tidak membenarkan bank-bank Islam di Malaysia memberikan pembiayaan tunai kepada pelanggan yang ingin menyertai kedua-dua skim berkenaan.

Perselisihan hukum di antara Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia tidak memberi faedah kepada umat Islam di Malaysia yang berhajat untuk melabur dalam skim ASB dan ASN kerana tidak ada kata putus yang diyakini.

Bagi umat Islam yang melihat ASB dan ASN sebagai lubuk mencari untung, inilah masa yang paling tepat untuk memulakan pelaburan. Namun bagi mereka yang tidak mahu terjebak dalam pelaburan haram, melibatkan diri dalam skim berkenaan adalah sia-sia kerana menjejaskan amalan soleh yang dilakukan.

Pemantauan di laman-laman blog turut menarik ramai pengendali blog menerbitkan artikel hukum berkenaan di samping perbincangan yang aktif. Ada pelabur yang telah membatalkan pinjaman daripada bank (kerana melabur dalam ASB), sedekah dividen kepada mereka yang miskin, berusaha meyakinkan rakan-rakan bahawa pelaburan skim berkenaan belum boleh dikira halal namun ada yang mengalu-alukan keputusan majlis fatwa.

Polemik ini tidak harus dipandang ringan dan dibiarkan begitu sahaja, sama ada oleh Majlis Fatwa Kebangsaan atau Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Kedua-dua pihak wajar memberi masa untuk berjumpa dengan masyarakat Islam dan menerangkan sebab-musabab pendirian mereka. Sebaik-baiknya dianjurkan forum atau seminar bagi memudahkan masyarakat Islam mendapat gambaran jelas tentang kaedah pelaburan dan bagaimana ia memberi manfaat kepada ekonomi umat Islam keseluruhannya.

No comments:

Post a Comment