Thursday, September 30, 2021
Mentaliti positif, hidup lebih aktif
Pada hari ini dan beberapa hari yang akan datang saya hendak berkongsi dengan anda tentang mentaliti positif.
Barangkali ada yang pernah mendengar konsep ini tetapi kurang jelas. Mentaliti adalah cara kita berfikir.
Jadi, pemikiran positif merupakan satu penekanan berfikir dari perspektif yang baik-baik dan berhikmah. Memiliki mentaliti positif sangat baik untuk kesihatan fizikal dan emosi kita.
Contohnya, mentaliti positif membantu seorang yang putus cinta melihat kegagalan bercinta dari ruang lingkup yang positif iaitu melihat kembali kelebihan dan kekurangan diri.
Apabila dapat menerima dengan redha, kegagalan bercinta tidaklah begitu difikirkan sangat tetapi memberi tumpuan kepada bagaimana boleh membina kekuatan diri dan mungkin ada pengganti yang lebih baik.
Mentaliti positif, hidup perlu lebih aktif.
Wednesday, September 29, 2021
Dua cara urus masa produktif
Apabila kita melaksanakan tugas yang diberi dengan jaya dan lengkap, tentulah kita berasa puas hati dan sangat gembira.
Lebih-lebih lagi jika ketua jabatan yang puji. Pujian yang kita dapat merupakan hadiah dari segi keberkesanan pengurusan masa dan kesungguhan kita melaksanakan arahan.
Sama ada kita sebagai pelajar atau pekerja, menguruskan masa dengan produktif akan memudahkan urusan seharian.
Bagaimana hendak menguruskan masa yang produktif ini?
Pertama, kenal pasti masa yang paling produktif yang kita boleh beri komitmen. Contohnya, saya suka menulis pada waktu malam, itulah masa produktif saya.
Kedua, latih diri buat senarai yang mesti diselesaikan setiap hari. Cara ini perlukan sedikit disiplin diri tetapi kesannya amat bagus.
Kita tidak perlu tunggu hari esok untuk kerja yang boleh diselesaikan pada hari ini.
Tuesday, September 28, 2021
Perbaharui cara fikir
Perbaharui minda adalah antara istilah yang biasa dalam mengubah cara berfikir.
Minda yang diperbaharui ini bermaksud kita mengarahkan hala tuju pemikiran kita ke arah daya saing. Pada saya, setiap hari minda perlu diperbaharui supaya keupayaan minda sentiasa ditingkatkan.
Bagaimana caranya hendak tingkatkan keupayaan minda ini?
Caranya ialah pertama, aktif berfikir dengan mencari jalan penyelesaian dan aktif membaca. Semua aktiviti ini mencabar minda untuk berfikir dengan serius.
Kedua, beriadah atau bersenam.
Saya lihat di kawasan riadah seperti persiaran Sungai Damuan, Bukit Shahbandar dan sebagainya lengkap dengan kemudahan rekreasi. Di kawasan-kawasan ini ramai orang yang berjoging dan bersenam.
Jadi, minda yang cekap mestilah dibina dengan berfikir dan beriadah secara fizikal.
Monday, September 27, 2021
Realisasikan niat
Tindakan dan perbuatan kita bergantung kepada niat. Niat yang hebat boleh dibentuk dan diarahkan. Contohnya hendak mengejar cita-cita, impian dan harapan.
Ia boleh direalisasikan dengan banyak cara. Antaranya ialah mengikuti ceramah, seminar dan kursus untuk mengetahui pembangunan dan penambahbaikan diri.
Kita juga boleh lakukannya untuk keluarga kita seperti tingkatkan kecemerlangan mendidik anak-anak melalui kursus atau seminar.
Bagi anak-anak remaja, boleh meminta ibu atau bapa belikan cakera padat yang berkaitan dengan menjadi anak yang cemerlang atau anak yang soleh.
Jadi, dalam hidup ini, mengurus niat juga penting selain daripada mengurus rumah tangga, mengurus pejabat dan sebagainya.
Sunday, September 26, 2021
Bijak memilih kawan
Membesar menjadi seorang anak yang membahagiakan dan membanggakan ibu bapa dan keluarga menjadi idaman setiap orang.
Walaupun bahagia dan bangga ini bersifat subjektif tetapi kedua-dua sifat ini boleh ditunjukkan dalam pelbagai cara. Antaranya ialah bijak memilih kawan.
Di sekolah, maktab, universiti atau tempat kerja, kita boleh mencari kawan untuk bersosial. Pilihan yang kita ada ialah memilih kawan yang ‘ngam’ atau serasi dengan kita.
Ada orang yang memilih kawan kerana hendak buat rakan bisnes dan ada juga kerana sebagai teman sosial.
Pada saya, bijak memilih kawan ialah kesannya kita menjadi lebih baik. Baik budi pekerti, budi bahasa, nilai dan tentunya pandai bawa diri serta boleh beri kebaikan kepada orang lain.
Saturday, September 25, 2021
Tiga langkah positif perubahan
Kali ini saya ingin berkongsi tiga panduan ringkas dan mudah untuk memotivasi orang lain dan juga diri sendiri.
Pertama, mulakan sekarang. Jangan buang masa, buatkan persediaan untuk bertindak. Sesuatu tindakan yang baik tidak perlu menunggu lama untuk dilaksanakan.
Kedua, fikirkan inisiatif iaitu kita yang mulakan tindakan. Semangat, keyakinan dan disiplin diri boleh membantu permulaan inisiatif ini.
Ketiga, sedia mental, fizikal dan spiritual untuk berhadapan dengan kesukaran.
Jika ketiga-tiga panduan ini diamalkan, insya Allah kita boleh mulakan perubahan.
Friday, September 24, 2021
Setiap masalah ada jalan keluar
Dalam pembacaan dan pemerhatian saya, orang-orang yang berjaya dalam pelbagai bidang seperti kepimpinan, perniagaan, sukan dan pendidikan semuanya menghadapi masalah.
Bezanya adalah berhadapan dengan masalah yang besar atau kecil.
Saya juga berfikir orang yang lebih banyak berjaya seharusnya lebih banyak menghadapi masalah. Faktor penting di sini ialah bentuk atau kaedah yang digunakan untuk menyelesaikan masalah tadi.
Prinsip yang digunakan ialah bijak dalam membuat keputusan dan mengambil tindakan.
Orang bijak pandai selalu berkata, ‘Setiap masalah ada jalan penyelesaiannya’.
Maknanya, kita perlu usahakan jalan-jalan penyelesaian yang dapat merungkai keserabutan masalah tadi.
Jika asyik bergaduh atau bertengkar dengan rakan-rakan atau bermasam muka dengan adik-beradik, mencari puncanya adalah penyelesaian terbaik.
Thursday, September 23, 2021
Doa sumber kekuatan hidup
Kita harus selalu ingat iaitu kehidupan kita adalah tanggung jawab kita untuk menjaganya. Maksud tanggung jawab di sini ialah tanggung jawab dalam setiap tindakan yang diputuskan dan pada masa yang sama bertanggungjawab terhadap pencapaian dalam hidup.
Dalam kata lain, kita sendiri yang mengambil tanggungjawab terhadap penambahbaikan ilmu pengetahuan, tahap kecekapan atau kemahiran.
Sebenarnya, sebagai individu, ketua keluarga atau sesiapa sahaja, melaksanakan tanggungjawab adalah satu amanah yang perlu dijaga dan diselesaikan.
Sebarang bentuk tindakan, pencapaian, harapan dan masa hadapan terletak pada usaha sendiri.
Sumber kekuatan dalam melaksanakan tanggung jawab ini ialah doa, jadi selalulah berdoa.
Wednesday, September 22, 2021
Sudah senang hidup berkeluarga
Salah seorang suami atau isteri, ibu atau bapa mesti selalu ingat bahawa hidup yang dilalui adalah milik bersama dan bertanggungjawab memastikan keluarga dalam keadaan sempurna.
Suami atau bapa yang bertindak sebagai ketua wajar menyedari tugasnya yang paling banyak. Sebarang bentuk tindakan, pencapaian, harapan dan masa hadapan terletak pada keupayaan dan kepintarannya.
Peranan isteri pula sebagai pembantu untuk menggerakkan hala tuju keluarga. Kadang-kadang terjadi, bapa dalam keluarga hilang upaya sebagai ketua keluarga dan dalam keadaan ini, ibu dan anak-anaklah yang memikul tanggungjawab mengemudi susah dan senang keluarga.
Anak-anak yang bersabar dengan kesusahan keluarga, Insya Allah mereka lebih tabah menjalani kehidupan yang mencabar hari ini.
Subscribe to:
Posts (Atom)