Saturday, November 20, 2021

Cari ruang untuk ketenangan


Walaupun krisis bukan perkara baru, kita tentu berasa agak gelisah apabila melihat salah saku dan peningkatan salah guna teknologi media sosial hari ini. 

Kebimbangan bercampur harapan turut bersaing dan merebut perhatian. Kebanjiran media dan maklumat menambahkan keadaan statik dan stres. 

Bagi mereka yang sentiasa mahu mengikut perkembangan berita mutaakhir, minda dan tubuh badan bergerak pantas kerana sentiasa mengejar berita terkini. 

Kajian kesihatan mendedahkan apabila seseorang itu cuba mencerna timbunan maklumat sehingga menyebabkan degup jantungnya bertambah laju, dia cenderung berjaga lebih lama. 

Nasihat saya, dalam krisis berkaitan kerja atau apa-apa sahaja, carilah ruang ketenangan bagi mendapatkan perspektif baru.


Friday, November 19, 2021

Semarakkan semangat dengan menelaah


Jika anda bertanya kepada saya, apakah buku yang menyemarakkan semangat dan sumber inspirasi saya, saya akan menjawab begini. 

Pertama, al-quran. Kemudian saya bahan bacaan tentang buku biografi yang menonjolkan keberanian dan stamina sehingga berjaya melepasi jurang halangan. 

Bukankah satu daripada pembangkit semangat kita adalah dengan melihat pintu harapan yang dibuka oleh hero-hero kita? 

Ramai pemimpin yang meninggalkan legasi mereka melalui perkongsian pengalaman dalam memoir yang menarik. 

Umur, tidak kita tua atau muda, tidak sepatutnya menjadi penghalang untuk mencari hero yang dapat memberi inspirasi apabila diperlukan. 

Hero itu mungkin ibu bapa, sahabat, tokoh ataupun sesiapa sahaja yang boleh memberi teladan.


Thursday, November 18, 2021

Hari-hari terbaik untuk diri kita berada di hadapan


Prinsip pertama dalam melakukan transformasi diri ialah “hari-hari terbaik untuk diri kita berada di hadapan”. 

Apabila kita mengguna pakai falsafah ini, kita sudah membuat persediaan bagi mengambil langkah awal melakukan transformasi. 

Jika kita masih bertangguh untuk membuat perubahan yang drastik, pertimbangan yang perlu difikirkan ialah masa sekarang. 

Tidak perlu menunggu masa yang sesuai atau tempat yang sesuai untuk deklarasi transformasi kerana masa sekarang adalah yang paling sesuai untuk bertindak kerana masa hadapan adalah masa yang terbaik. 

Bulatkan tekad dan azam, mulakan transformasi hidup kita pada hari ini juga.


Wednesday, November 17, 2021

Cari peluang sampai dapat


Peluang yang datang dan masa bertindak yang sesuai tentu mencipta dan mencetuskan kejayaan. 

Masalahnya kadangkala kita menghadapi satu-satu keadaan yang memerlukan kita terpaksa membuat keputusan tanpa ada peluang dan masa yang sesuai. 

Pada waktu-waktu lain, kita bertindak berpandukan pilihan sendiri. Jarang kita mendapat lampu hijau yang menandakan ketibaan satu peluang. 

Yang ada ialah kita terus bekerja dan mencipta peluang mengharapkan keajaiban tetapi ia tidak semudah itu. Ray Kroc, jutawan usahawan makanan segera pernah melakukan bermacam-macam kerja dengan melaburkan wang simpanan sehingga habis. 

Tidak ramai yang tahu, ketika beliau menjumpai peluang untuk merealisasikan impiannya, beliau sudah pun berusia 52 tahun dan mempunyai hutang sebanyak 100 ribu dolar.


Tuesday, November 16, 2021

Nisan zon selesa


Kebanyakan orang, termasuk saya, lebih suka berada dalam zon selesa, walaupun situasi persekitaran telah berubah. 

Rasionalnya? 

Yelah, kita tidak perlu memerah tenaga ekstra. 

Apabila kita terpaksa melakukan perubahan, lebih banyak tenaga yang kita perlukan untuk berfikir dan bertindak kerana menghadapi situasi yang tidak pasti. 

Apa yang menanti di hadapan belum tentu menjanjikan apa-apa dan itu yang kita takut. Kita perlu sedar yang perubahan amat perlu untuk terus maju. 

Jika kita tidak mencipta perubahan untuk kebaikan diri, zon selesa tetap akan berubah dengan sendirinya. Ketika itu barulah kita merasai bahawa kita sedang berhadapan dengan masalah yang lebih besar dan sukar. 

Sama ada bersedia ataupun tidak, perubahan tetap akan berlaku dan kita harus menyesuaikan diri dengan corak perubahan tersebut.


Monday, November 15, 2021

Berubah= kerja keras + fokus


Kita pilih apa sahaja yang kita ada pada hari ini, sama ada kecil atau besar. Intipati kepada pilihan yang jelas terletak pada kuasa kebijaksanaan daya fikir dan gerak hati kita. 

Kita boleh mengubah sesuatu perkara melalui kerja keras dan fokus yang tinggi dan kedua-dua sifat ini sepatutnya menjadi asas dalam semua proses ke arah pilihan tadi. 

Gunakan keupayaan dan kebolehan diri yang ada pada diri kita sebaik mungkin. 

Mulakan dengan apa yang ada pada diri kita dan semarakkan dengan kepercayaan yang kita pegang. 

Walaupun apa yang kita ada ini mungkin tidak sehebat orang lain, sekurang-kurangnya kita meyakini konsep, “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’.


Sunday, November 14, 2021

Naik anak tangga satu-satu


Kebanyakan pengajaran mengenai kehidupan sebenarnya sebati dengan hidup kita hingga kita lupa banyak perkara. 

Saya suka dengan konsep ‘sedikit demi sedikit, lama-lama menjadi bukit’. Ia menjadi prinsip saya dalam mencari kejayaan peribadi. 

Saya teringat kata-kata Martin Luther King Jr., ‘Kamu mungkin tidak dapat melihat keseluruhan tangga itu tetapi amatlah penting untuk kamu menaiki satu anak tangga dahulu’. 

Kata-kata ini menjadi panduan yang sangat baik untuk membuang jauh-jauh kemusykilan dalam fikiran saya untuk tidak memulakan sebarang usaha. 

Ia juga membuatkan saya tidak menyerah kalah dan berani meneroka kaedah dan cara terbaik untuk memotivasikan diri. 

Walaupun perlahan, perjalanan mesti diteruskan. Lama-kelamaan, kita akhirnya akan sampai ke matlamatnya.


Friday, November 12, 2021

Berhenti daripada terus berharap


Bagaimana kita dapat menepis perasaan berputus asa dan tidak patah semangat? 

Untuk menjawab soalan ini, saya mengajak anda untuk melihat dan mengimbau filem-filem Barat, Hindi, Tamil atau Cina dari dahulu hingga sekarang. 

Malahan filem dan drama tempatan kita yang malar segar. Setiap filem ini pasti mempunyai seorang hero. Kemuncak filem ialah apabila hero seolah-olah telah kalah dan hilang segala-galanya. 

Hero ini dikelilingi oleh samseng dan penjahat yang mahu memukul dan membelasahnya. Pembantunya sudah jatuh tertiarap dan pistol sudah kehabisan peluru. 

Walau apa pun yang berlaku, hero ini menang juga. Kemenangan menjadi miliknya kerana dia berhenti daripada terus berharap dan bertindak membantu dirinya sendiri. 

Faktor lain ialah kepintaran untuk mengubah nasib.


Thursday, November 11, 2021

Empowerment


Kita semua mempunyai kuasa memilih siapa diri kita pada masa hadapan. Kata-kata saya ini mungkin tidak memberi sebarang perubahan dramatik kepada anda, namun boleh membuatkan orang yang berada dalam keadaan stres, susah hati atau kecewa akan menangis keseorangan.

Seorang wanita yang perlu berdikari sejak kecil memilih untuk berusaha sendiri sehingga memiliki sebuah butik baju sendiri. 

Seorang pelajar yang kurang cemerlang memilih untuk melupakan cerita-cerita sedih sebagai pelajar dan memberi tumpuan untuk menjadi usahawan cemerlang. 

Dalam kedua-dua contoh ini, membuat satu keputusan sama ada ia menuju ke arah yang lebih baik ataupun lebih teruk, sebenarnya ia memberikan kita ‘empowerment’.