Wednesday, March 10, 2021

Jangan mengalah



“Never stop doing your best just because one person doesn’t give you credit”. 

Kadangkala kita hendakkan pujian yang berlebih-lebihan dan berasa sangat susah hati jika tidak mendapat pujian. 

Kita dipuji kerana kualiti kerja yang bagus. Kalau tidak bagus tentulah tidak mendapat sambutan. 

Kadangkala ada orang yang tidak suka melihat orang lain berjaya lalu membuat kritikan. Orang yang tidak tahan kritikan akan merendahkan dirinya dan beredar. 

Sebenarnya adalah lumrah bagi orang yang tidak suka kepada orang lain kerana pelbagai sebab. 

Namun janganlah kritikan tidak suka ini melemahkan semangat untuk berusaha dan memberikan khidmat yang terbaik.

Tuesday, March 09, 2021

Di mana ada kemahuan di situ ada jalan



“Where there is a will, there is a way”. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. 

Prinsip ini nampak sangat mudah tetapi kesannya sangat besar. Kemahuan diri sangat berkait dengan apa yang kita hendak, apa sasarannya atau apa habuannya. 

Contohnya, saya ingin mendapatkan ijazah doktor falsafah dalam tempoh tiga tahun.

Sasarannya seolah-olah sesuatu yang besar dan sukar. Untuk merealisasikan cita-cita dan kemahuan ini, saya perlu belajar dan berusaha dengan apa juga cara bagi memastikan gelar doktor falsafah berada dalam genggaman saya. 

Contoh lain ialah mendapat pekerjaan. Hari ini, dalam keadaan pandemik Covid-19, ramai orang yang menganggur walaupun lulusan universiti. 

Kalau prinsip ini diamalkan, lulusan universiti akan berusaha dan berikhtiar mencari pekerjaan tanpa jemu dan tidak memilih malah terus berusaha.

Monday, March 08, 2021

Berani gagal akan berjaya



Hanya mereka yang berani gagal akan meraih kejayaan. 

Kata-kata ini boleh kita lihat dalam masyarakat yang semakin hari semakin berani menghadapi cabaran. 

Saya ambil contoh seorang anak muda remaja yang memulakan perniagaan menjual pisang goreng. Lokasi gerai jualannya ialah di simpang jalan tetapi menjadi tumpuan orang ramai.

Simpang ini adalah tempat ketiga selepas dua tempat sebelum itu yang kurang mendapat sambutan. 

Anak muda ini mahu mencuba lagi kerana beliau percaya bisnes pisang gorengnya boleh berjaya, cuma beliau perlu mengubah lokasi dan membaiki kualiti pisang goreng jualannya. 

Hari ini beliau memiliki lima buah dapur menggoreng dengan tiga orang pekerja.

Sunday, March 07, 2021

Kaedah kurangkan konflik



Banyak kaedah untuk mengurangkan konflik yang berlaku antara persorangan atau individu. 

Di sini saya ketengahkan tiga kaedah yang boleh membantu mengurangkan dan meleraikan konflik yang timbul. 

Pertama, berhenti. Berhenti apabila menyedari terdapat konflik yang sedang berlaku. Maksud berhenti ialah usaha-usaha untuk mengurangkan tekanan ketika konflik sedang memuncak. Contohnya, berjalan-jalan untuk mengurangkan tekanan fikiran yang sedang berkecamuk. 

Kedua, fikir. Fikir sebelum bertindak. Elakkan daripada membuat kesimpulan awal kerana banyak perkara harus diberi perhatian dan pertimbangan. Bijak berfikir adalah penentu kepada kejayaan bagi menyelesaikan konflik. 

Ketiga, dengar. Dengar sebelum bercakap. Kecenderungan kebanyakan orang ialah mempertahankan diri sejurus mendengar kritikan berbanding mendengar keseluruhan ucapan.

Saturday, March 06, 2021

Jejak pendidikan Rasullah SAW



Pendidikan hati dan jiwa seharusnya boleh menjejaki dan menuruti langkah-langkah yang telah dilalui Rasulullah SAW. Kita dapat melihat kesan besar pendidikan yang dilalui oleh baginda SAW apabila membuat perubahan besar kepada masyarakat Mekah yang dilingkungi pemikiran dan amalan jahiliah. 

Dua instrumen yang menggerakkan perubahan sepanjang proses pendidikan ini ialah al-quran dan persekitaran (bi’ah) yang sentiasa menyokong perubahan. Susunan proses yang diberikan Allah SWT melibatkan penanaman nilai dan amalan yang mengasuh, melatih, menunjuk ajar, menasihat dan membimbing ke arah pembentukan jiwa yang suci dan akhlak serta adab yang terpuji. Impak didikan al-quran ini telah melahirkan peribadi unggul dan diberi penarafan terbaik oleh Allah SWT.


وَاِنَّكَ لَعَلٰى خُلُقٍ عَظِيْمٍ

Maksudnya: Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang mulia. (Al-Qalam ayat 4)

Pembentukan nilai dan kerektor Rasulullah SAW juga dibentuk oleh persekitaran iaitu secara berkumpulan. Rumah Arqam bin Abi Arqam menjadi medan dakwah pertama bagi membentuk jati diri beragama dan tauhid yang kukuh. 

Di rumah ini Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat yang awal belajar dan menerima didikan ilahi melalui kumpulan kecil yang dipanggil ‘halaqah’ atau lebih dikenali sebagai usrah pada masa kini. Melalui halaqah ini, empat sifat yang menjadi teras dakwah Rasulullah SAW kukuh dan mantap ialah siddiq (benar), amanah (dipercayai), tabligh (menyampaikan) dan fathonah (bijaksana). 

Halaqah ini berkembang dan menampung lebih ramai sahabat yang tertarik dengan perubahan minda, pola pemikiran dan rasionalisasi ketauhidan yang esa. Aktiviti tarbiah dalam halaqah tidak dapat menampung jumlah peserta yang bertambah, akhirnya halaqah yang kecil tadi dibuat dalam bentuk massa yang dipanggil kuttab iaitu tempat berkumpul yang biasanya di beranda masjid.

Apakah teras kepada perubahan pemikiran dan kedinamika sikap dan budaya masyarakat jahiliah selepas berada dalam halaqah? Rasulullah SAW sebagai murabbi memulakan proses perubahan hati dengan membacakan al-quran sebagai instrumen tunggal. 

Seterusnya ayat-ayat al-quran ini dihafal dan diberi kefahaman melalui komunikasi aktif dalam bentuk dialog, diskusi, demonstrasi, eksperimen, syarahan dan perumpamaan. Bimbingan langsung dari ilahi menjadikan proses pendidikan hati dan jiwa menancap teguh di dalam minda dan hati para sahabat sehingga mengubah kerektor diri lebih kuat, berdisiplin dan sedia maju ke hadapan.

Memulakan proses transformasi hati ini memberi impak yang sangat ketara kepada kejayaan dakwah di Mekah selama 13 tahun. Fokus pendidikan hati ini ialah pembinaan jiwa dan aqal yang telah menyebabkan tempoh sepuluh tahun di Madinah dapat ditumpukan kepada pembinaan sosial, politik, akhlak dan negara. 

Amalan masyarakat jahiliah yang menindas dan terkebelakang seperti mempersekutukan Allah SWT, memuji tuhan-tuhan yang dibuat sendiri, perilaku tanpa batasan, penindasan dalam ekonomi, kewujudan kelompok elit dan marhaen, ketaksuban kepada pemimpin dan nasionalisme tanpa batasan serta undang-undang yang memihak telah diubah kepada sistem hidup yang teratur, mengangkat martabat manusia dan mengembalikan rasa ‘izzah’ atau kemuliaan kepada hamba yang bertuhan.

Al-quran merupakan instrumen paling ampuh dan menepati keperluan pendidikan yang diperlukan oleh manusia. Status al-quran sebagai mukjizat menjadikan setiap saranan sebagai pengajaran berkesan dalam pembelajaran sepanjang masa kepada Rasulullah SAW. Setiap petikan wahyu yang sampai kepada telinga baginda SAW akan terus turun dan melekat di hatinya.

Al-quran mendidik baginda SAW secara langsung dan tidak langsung. Impak pendidikan al-quran ini melahirkan sahabat-sahabat baginda SAW yang bersifat mandiri, berdiri di atas kaki sendiri, menepati manhaj atau sistem hidup ilahi. 

Pada usia muda, mereka ditempa dan didik oleh kurikulum deen yang luar biasa yakni dengan ilmu agama yang kukuh kemudian dilingkungi oleh aqal dan jiwa yang kuat dari serangan ideologi jahiliah. Mereka hidup dalam lingkungan yang baik dibawa ke dalam urusan harian yang sifatnya sama. 

Jika urusan hati, jiwa, kekukuhan, keyakinan dan sebagainya, kemandirian dalam masalah ekonomi dan harta juga sama. Rasulullah SAW mendidik para sahabat untuk menjadi mandiri bagi menyediakan mereka dengan nilai-nilai teras jati diri.

Jelasnya pendidikan Islam dijadikan sebagai satu proses mengasuh dan mendidik, membela, melatih, menyucikan, membaikkan, mengawal hawa nafsu, membentuk ketaatan kepada Allah SWT membentuk sikap sopan dan beradab (mempunyai akhlak yang baik) dan memadamkan semua sifat tercela yang ada dalam diri manusia. 

Kitaran proses ini telah mencanaikan nilai-nilai unggul, terpimpin dan kukuh sehingga pemerintahan terakhir khalifah Othmaniyyah di Turkey 1924.

Negara yang menonjol dalam ekonomi, sosial, politik dan komuniti dilihat memberi perhatian yang serius kepada pendidikan. Program pembangunan pendidikan sentiasa diberi tumpuan dan diangkat ke tahap paling tinggi. Peruntukan tahunan juga disalurkan kepada pendidikan supaya komuniti dapat diberi ilmu untuk membuat perubahan.


Friday, March 05, 2021

Fokus dalam bisnes



Seorang rakan mengajak saya makan di sebuah restoran selepas kami penat berjalan. 

Rakan saya bertanya kepada seorang pelayan restoran: Makanan apa yang ada? 

Lalu dijawab: Semua ada. 

Hari yang lain pula, kami singgah di sebuah lagi restoran untuk makan malam. Kali ini saya pula yang bertanya: Makanan apa yang ada di sini? 

Lalu dijawab: Asam pedas ikan pari. Rakan di sebelah saya berkata: Ini barulah hebat, ada yang favoret. 

Kedua-dua kisah ini berkenaan dengan ciri penting dalam bisnes iaitu fokus. 

Restoran pertama tidak mempunyai fokus kerana menyediakan bermacam-macam jenis makanan menyebabkan pelanggan tidak nampak keistimewaan berbanding restoran kedua.

Untuk berjaya dalam persaingan, kita perlu ada fokus supaya kita berbeza dengan orang lain.


Thursday, March 04, 2021

Bahagia dalam rumah tangga



Banyak cabaran yang dihadapi oleh pasangan yang berkahwin pada usia awal 20-an. 

Bagi pasangan yang telah memiliki kerjaya dan pendapatan yang stabil, barangkali masalahnya kurang serius. 

Antara cabaran biasa yang dihadapi adalah kurang kefahaman terhadap tanggungjawab dan pengurusan ekonomi keluarga kurang mantap. 

Bagi cabaran kurang kefahaman tanggungjawab sebagai suami, isteri, ibu dan ayah, keadaan ini kerap berlaku kepada keluarga muda yang masih lagi bergelut dengan cabaran hidup fasa baru kehidupan. 

Namun, pengkayaan terhadap tanggungjawab ini boleh ditambah melalui pembacaan buku atau hadir ke program-program keluarga bahagia yang sering dianjurkan. 

Bagi cabaran kedua iaitu pengurusan ekonomi, ia sememangnya satu isu yang perlu dihadapi dan diterima. 

Kos hidup yang semakin meningkat membuatkan pasangan mengehadkan perbelanjaan. 

Faktor wang kadangkala menyebabkan pergaduhan yang menggugat keharmonian rumah tangga.

Wednesday, March 03, 2021

Bahagia dalam keluarga



Kasih dan sayang menjadi idaman setiap keluarga kerana bahagian hanya akan muncul apabila adanya rasa kasih dan sayang antara suami dan isteri, anak-anak dengan ibu bapa dan adik-beradik yang lain. 

Allah SWT menumpahkan kasih dan sayang kepada setiap pasangan dan keluarga supaya kita kita berfikir tentang bahagia. 

Saya memetik ayat 21 Surah Ar-Rum yang bermaksud: Bahawa Dia yang menjadikan kamu dari jenis kamu jodoh-jodoh dan kamu bersenang-senang kepadanya dan Dia jadikan antara kamu percintaan dan kasih sayang. 

Untuk bahagia dalam keluarga, ayah atau suami khususnya harus mempunyai peribadi yang baik, soleh, bertanggungjawab dan matang supaya keputusan atau tindakan adalah adil, berhati-hati dan membawa kebaikan.

Tuesday, March 02, 2021

Konflik rumah tangga



Sesekali datang ke majlis perkahwinan bagi memenuhi jemputan amat menggembirakan hati.

Saya sentiasa mendoakan pasangan yang berkahwin ini akan bahagia dan kekal hingga ke akhir hayat. 

Dalam rumah tangga, konflik adalah sebahagian daripada kehidupan dan tidak dapat dielakkan. Walaupun sedikit, konflik tetap ada. Bagaimana konflik ini berlaku? 

Ia bermula apabila salah seorang ahli keluarga, katakan isteri yang kurang setuju tentang sesuatu perkara, biasanya isu kewangan. 

Puncanya adalah kerana kaedah pengurusan dan pembahagian sumber yang kurang bijak.

Contohnya, pendapatan isi rumah sebanyak RM1000 tetapi perbelanjaan sebanyak RM1500.

Jadi, tidak ada wang untuk disimpan menyebabkan timbul konflik yang berpanjangan. 

Dalam hal ini, suami dan isteri perlu juga mempunyai sedikit sebanyak ilmu pengurusan kewangan rumah tangga supaya dapat menguruskan kewangan dengan berhemah.

Monday, March 01, 2021

Kenapa terus diuji?



Ujian Allah SWT mempunyai banyak hikmah yang kita tidak ketahui. Setiap kali diuji, Allah SWT akan menumpahkan sifat sabar ke dalam hati. 

Sabar adalah anugerah yang sangat hebat. 

Dengan sabar, kita dapat bertahan dan berani menghadapi cabaran, kepayahan, tekanan dan ancaman. 

Ada ibu bapa yang diuji dengan anak-anak yang mendapat penyakit yang sangat serius seperti hydrocephalus (kepala membesar kerana digenangi air), penyakit jantung berlubang ataupun masalah-masalah kesihatan yang lain. 

Ada sesetengah orang yang mendapat penyakit ketika awal usia 40-an kerana serangan angin ahmar dan bermacam-macam lagi. 

Kita mesti membetulkan persepsi kita terhadap ujian-ujian hidup seperti ini. Kita wajar melihat kebaikan dalam semua perkara walaupun kita mengalami kepayahan yang melampau. 

Biarpun susah, apabila kita merasai ada sesuatu yang tidak kena, itulah cara Allah SWT menguatkan semangat diri, mengukuhkan keyakinan dan memperkasa azam yang membara.