Thursday, April 11, 2019

Keperibadian anggota Ikhwan







Dalam buku Bersama Kafilah Ikhwah tulisan Abbas As-Siisi, mursyidul am Ikhwanul Muslimin, Ustaz Hasan al-Hudaibi ditemu bual oleh seorang wartawan yang berasa hairan melihat sikap orang yang lalu-lalang di hadapannya sambil memberi salam. 

Lalu wartawan tersebut bertanya, 'Apakah orang ini adalah Ikhwan?' 

Beliau menjawab, 'Tidak'.

Wartawan itu bertanya kembali, 'Bagaimana kamu membezakan anggota Ikhwan daripada yang lain?'

Ustaz Hasan al-Hudaibi menjawab bahawa beliau mengenal setiap anggota Ikhwan melalui kelembutan dan ciri-cirinya yang menenangkan hati, dari senyumannya yang menawan dan tatapan matanya yang sejuk.

Anggota Ikhwan Muslimin tidak dikenali melalui nama mereka sebaliknya melalui watak dan sikap mereka. 

Kelembutan yang dimaksudkan ialah nada suara dan jenis bahasa yang digunakan.

Mereka juga tidak meninggikan suara untuk memekik atau ketawa terbahak-bahak sebaliknya bercakap dengan suara yang jelas dan perkataan yang baik-baik.

Merendah diri dan memuliakan orang lain menjadi keutamaan mereka.

Seorang anggota Ikhwan sentiasa memulai pertemuan dengan memberi salam dan bertanya khabar sambil diiringi senyuman. Boleh dikatakan sepanjang perbualan mereka cuba mempamerkan senyuman yang dapat mengekalkan keinginan untuk berbicara.

Manakala memandang mata mereka menjadikan hati tenteram dan damai. Pandangan ini tidak dibuat-buat sebaliknya telah melalui proses tarbiah yang panjang. Proses ini sentiasa diperkukuhkan dalam ijtima' am atau mukhayyam supaya wajah yang manis dan mendamaikan itu menjadi sumber dakwah yang berkesan.

Barangkali setiap pejuang Islam inginkan peribadi yang dimiliki oleh Ikhwanul Muslimin. Peribadi seperti ini sukar diproses jika berseorangan tetapi menjadi lebih mudah apabila berada dalam kelompok jama'i yang bercita-cita melahirkan pendokong dakwah dan tarbiah yang cekap, berkesan dan berupaya pula berbakti kepada masyarakat.


Wednesday, April 10, 2019

Peranan ahli akademik







Pengaruh fakta terhadap sesuatu keputusan tidak dapat disangkal biarpun kuasa politik mendominasi proses membuat keputusan. Fakta yang tepat dan munasabah boleh melemahkan hujah dan meredakan emosi.

Justeru keberanian empat orang ahli akademik berkongsi kepakaran mereka berkaitan kesan Statut Rome ke atas institusi beraja amat bertepatan dengan konsep ketinggian ilmu dalam menidakkan keputusan kerajaan ketika menandatangani statut berkenaan.

Sesebuah negara yang berkembang maju dan dihormati adalah kerana peranan ahli akademik di institusi pengajian tinggi. Kepakaran ahli akademik dalam pelbagai bidang dapat menyumbang kepada pembuat polisi untuk menentukan langkah dan hala tuju peraturan-peraturan yang bakal dilaksanakan.

Kenapa mereka dikatakan pakar bidang?

Ia terletak pada proses latihan dan tahap kelayakan untuk menjadi pakar. Apabila seseorang akademik mendapat ijazah kedoktoran, ilmu yang diterokai akan berkembang ke tahap lebih tinggi. Pengkhususan bidang ilmu ini menjadikan pemikiran dan pandangan ahli akademik sentiasa diberi perhatian kerana mereka memiliki aset yang lebih bernilai dari segi logik ilmu.

Proses latihan dalam menyelidik sesuatu ilmu juga menjadikan mereka memahami prosedur dan kaedah kajian. Tidak kira bidang sains, sains sosial, kejuruteraan atau teknologi maklumat, ahli akademik berkongsi kaedah kajian dan hasil penyelidikan mereka dalam penerbitan dan persidangan.

Sudah tentu dapatan kajian itu diangkat sebagai bahan bernilai kerana ia dapat menjadi rujukan dalam merancang dan melaksana pelbagai program pembangunan negara.

Negara yang maju dan berkembang pesat dalam pelbagai bidang melahirkan ahli akademik bertaraf global dan menjadi rujukan. 

Di Malaysia sendiri, terdapat 20 universiti awam dan berpuluh-puluh universiti swasta bagi melatih generasi muda dan pelbagai lapiran masyarakat ke arah sebuah negara yang berilmu. 

Kita mahu separuh daripada penduduk negara ini memiliki kelayakan akademik sehingga ke universiti supaya dapat menzahirkan sebuah negara berilmu ini.

Thursday, April 04, 2019

Wakil rakyat wajar berhemah







Kisah seorang wakil rakyat di Melaka yang mengatakan penarik beca perlu disekolahkan kembali menarik perhatian ramai. Beliau juga dilihat pernah bertelagah dengan penduduk kampung kerana kes penutupan laluan jalan pintas di sebuah taman di Pengkalan Batu.

Barangkali semua orang sudah maklum dan dapat mengagak wakil rakyat berkenaan kerana sikap dan tingkah lakunya telah tular di laman sosial beberapa bulan lalu.

Sebelum itu, dalam perbahasan Dewan Undangan Negeri Melaka, bekas ketua menteri, Datuk Seri Idris Harun membangkitkan keupayaan beliau dalam mengenal pasti maksud dan perkataan yang sesuai apabila berhujah. Beliau menyebut ‘parti-parti di Sungai Udang’ tetapi ayat yang betul adalah ‘parti-parit di Sungai Udang’. Sesi perbahasan berkenaan dipenuhi dengan jerkahan dan pekikan yang berterusan.

Perkataan popular yang beliau selalu sebut apabila berhadapan dengan orang ramai adalah 'Awak kenal siapa saya?’ Ia menjadi gurauan hingga ke Dewan Rakyat.

Dalam sejarah politik negara, wakil rakyat yang sombong tidak dapat bertahan lama berbanding wakil rakyat yang lebih berhemah dan menghormati adab susila bangsa. Kesombongan dimusnahkan dalam pilihan raya akan datang apabila pengundi tidak lagi berkenan dengan sikap dan perangai yang dipamerkan walaupun kerja dan khidmatnya berkesan. Pengundi tidak dapat menerima watak wakil rakyat yang bertelagah untuk menyelesaikan masalah.

Rakyat masih lagi sabar dengan kerenah wakil rakyat itu dan menasihatkannya supaya dapat mengurus emosinya dengan baik apabila ‘angin barannya’ datang. Malah ada yang menasihatkannya menghadirkan diri ke dalam kursus pengurusan marah supaya hubungannya dengan orang ramai dapat diharmonikan.

Sementelahan pula, wakil rakyat bukannya menyelesaikan masalah di kawasan pengundinya sahaja malah turut berkhidmat di kawasan yang tidak popular dengan harapan akan memperoleh undi pada pilihan raya akan datang.

Ketegasan pemimpin boleh dilihat dalam pelbagai perkara seperti keputusan yang diambil, tidak lari daripada pendirian dan enggan tunduk pada desakan. Meninggikan suara dan berkata ‘Awak kenal siapa saya?’ bukannya lambang keputusan tetapi satu bentuk pelarian kepada menggunakan aktiviti untuk melemahkan orang lain.

Pelaksanaan aktiviti yang berkesan semasa diberi kuasa dapat melonjakkan imej positif wakil rakyat tetapi jika tidak dapat melaksanakannya dengan berkesan, pengundi tidak akan mempedulikannya dalam pilihan raya yang akan datang. Penggunaan kekerasan tidak dapat menghalang orang ramai daripada menyimpan dan memendam perasaan marah terhadap wakil rakyat yang bangga terhadap aktiviti mereka.

Monday, March 18, 2019

Keganasan di rumah ibadat







Selepas beberapan insiden serangan pengganas di seluruh dunia, kita sudah lali dengan kekejaman yang dilakukan oleh mereka. Keganasan atas nama ideologi kebencian menyebabkan 50 orang Islam dibunuh di dua buah masjid ketika bersiap-siap mengerjakan solat Jumaat.

Masjid Al Noor dan Masjid Linwood menjadi saksi pemikiran ektremis sedang bermaharajalela di Barat atas nama anti pendatang, Islamophobia dan isu migrasi rentas sempadan. Dunia sedang menanti penjelasan daripada pakar keganasan dan keazaman ahli politik untuk menghalang fahaman ini dari terus merebak dan mengucar-ngacirkan keharmonian hidup.

Tidak ada bahasa yang dapat menggambarkan betapa zalim si pengganas yang menembak jemaah yang sedang khusyuk mendengar khutbah Jumaat tanpa ditentang oleh sesiapa pun kerana tidak menyangka waktu itu digunakan untuk memulakan serangan.

Kejadian tembakan ketika bersolat kerap kali berlaku di wilayah konflik Selatan Thai tetapi biasanya dilakukan pada waktu solat subuh atau isyak, bukannya solat Jumaat.

Pengganas kulit putih, Brenton Tarrant, 28 tahun menjadikan media sosial sebagai insturmen menyebarkan tindakan ganas dan menggila dengan harapan menjadi inspirasi kepada pendokong ideologi pelampau neo nazi.

Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan serangan pengganas kulit putih di Christchurch, New Zealand sebagai dorongan mencetuskan kebencian dan menggalakkan keganasan merentas seluruh dunia serta mendorong masyarakat Islam bertindak balas.

Sehingga kini belum ada tindak balas daripada mana-mana kumpulan bersenjata Islam tetapi kejadian itu menarik simpati komuniti yang hidup bersama dengan masyarakat Islam.

Di United Kingdom, seorang lelaki menawarkan diri sebagai pemerhati dan penjaga pintu masuk masjid Madina. Andrey Graystone menulis di poster yang dipegangnya “You are my friends. I will keep watch while you pray”.

Keadaan yang sama turut dilihat di Birmingham Central Mosque.

Di Washington, Amerika Syarikat, Gregory Glaros memegang poster berbunyi “We stand with Islamic brother, Christian men of faith”.

Rata-rata masyarakat bukan Islam menunjukkan kesatuan mereka bersama komuniti Islam. Kemungkinan besar ramai orang Islam yang berasa bimbang keselamatan mereka kerana ada kemungkinan berlaku serangan di kawasan komuniti mereka. Kehadiran polis yang mengawal urusan ibadat di kawasan masjid dapat mengurangkan kebimbangan berkenaan tetapi tidak ada sesiapa yang dapat memastikan keadaan akan tenang selamanya.

Pihak berkuasa di negara-negara Barat sudah pasti mengambil iktibar tembakan ke atas masjid di New Zealand. Tindakan membiarkan keganasan di rumah ibadat hanya menjejaskan imej dan merosakkan keharmonian masyarakat beragama di sana.

Wednesday, March 13, 2019

Jenayah kebencian rosakkan masyarakat






Menghina agama atau tokoh agama dianggap sebagai kesalahan serius di Malaysia, Justeru, apabila mahkamah menjatuhkan hukuman sepuluh tahun penjara ke atas seorang lelaki yang menghina Nabi Muhammad saw, ramai yang terkejut kerana beranggapan hukuman tersebut adalah keterlaluan. Mereka mahukan hukuman itu dinilai semula berdasarkan keadaan mental orang yang didapati bersalah itu.

Perbuatan menghina ini dijelaskan sebagai mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati, provokasi atau memperlekeh seseorang, kumpulan atau ideologi yang boleh mencetuskan perasaan marah atau tindak balas ganas. Akibat penghinaan seperti ini boleh mencetuskan ketegangan dan konflik keharmonian yang berpanjangan dalam masyarakat.

Dewasa ini, kaedah penghinaan ke atas agama dan kaum semakin canggih khususnya melalui media sosial. Salinan mesej yang menghina itu boleh ditangkap layar dan dilaporkan kepada pihak berkuasa. Bukti yang ditunjukkan itu tidak memberi ruang kepada pelaku untuk melepaskan diri.

Amalan menggunakan kuatkuasa undang-undang untuk mengatasi jenayah benci ini patut diteruskan tetapi pada masa yang sama masyarakat harud dididik dengan kaedah penggunaan media sosial sejak di sekolah rendah. 

Kaedah ini tidak sukar dilaksanakan kerana rata-rata hari ini kanak-kanak sudah tahu menggunakan telefon pintar dan tidak kekok untuk menggunakannya dengan pemantauan ibu dan bapa. Kurikulum khusus pelaksanaannya harus dirangka dengan mengambil kira pelbagai cabaran semasa khususnya berkaitan celik undang-undang.

Kanak-kanak dan pelajar patut diajar etika penggunaan media sosial pada bahagian 'komen' atau 'ulasan' supaya dapat mengawal emosi ketika mula membuat maklum balas. Kempen yang berterusan juga boleh membantu pengguna berhati-hati ketika membalas mesej yang kontroversi. Strategi kempen harus berkala supaya pengguna sentiasa diingatkan tentang akibat daripada kegagalan mengawal emosi ketika membalas mesej.

Jenayah benci dan menghina agama dilihat semakin meluas ketika ini dan menjadi cabaran kepada agensi penguatkuasa untuk mengekang perkara ini daripada terus merosakkan masyarakat. Tindakan tegas perlukan perancangan yang jelas dan berarah supaya keamanan dan keharmonian hidup yang dinikmati ketika ini akan terus berkekalan.

Tuesday, February 26, 2019

Inisiatif baru ATM Beras di masjid







Pengenalan mesin ATM Beras di masjid menjadi insiatif baru pihak berkuasa agama Islam di Kuala Lumpur untuk membantu golongan miskin dan berpendapatan rendah mendapatkan bekalan makanan keluarga. Inisiatif ini juga menjadi dimensi baru kepada masyarakat untuk bersama-sama membantu golongan asnaf membaiki kualiti hidup mereka.

Pendekatan ini dapat membantu kumpulan sasar mengurangkan kebergantungan mereka terhadap bantuan tunai yang diterima dari pelbagai agensi. Ia juga membantu mengurangkan beban kenaikan harga barang dan kos hidup di bandar.

Memberi beras adalah pendekatan terbaik yang boleh diguna pakai oleh institusi bantuan jika mahukan penerima mendapat makanan langsung berbanding pemberian wang tunai yang belum tentu digunakan untuk membeli makanan.

Pemberian beras dua kilogram untuk seminggu dapat meringankan emosi penerima yang lsudah biasa menggunakan wang tunai bagi memberi beras atau nasi. Dalam tempoh sebulan, penerima layak menerima lapan kilogram beras dan mereka boleh menambah kuantiti beras apabila mendapat wang bantuan di akhir bulan.

Kehidupan di bandar memang mencabar dan keluarga besar perlu memastikan kedudukan kewangan mereka sentiasa dalam keadaan stabil untuk perbelanjaan. Penyertaan bilangan isi rumah yang lebih ramai dapat meringankan beban keluarga namun bagi keluarga muda yang sedang membesarkan anak-anak, melakukan dua pekerjaan sehari adalah langkah menambah pendapatan keluarga.

Pengenalan gaji minimum dapat membantu keluarga miskin di bandar untuk memiliki lebih banyak wang di tangan dan mampu membeli lebih banyak barang untuk keperluan isi rumah. Di samping itu, peluang pekerjaan yang lebih banyak perlu diwujudkan supaya isi rumah mempunyai lebih banyak wang, mengelak dari merempat dan tidak tertekan kerana ketiadaan wang.

Walau bagaimanapun, pemberian barangan seperti beras dapat membantu isi rumah untuk mendapat makanan yang lebih baik dan berterusan. Kualiti kesihatan yang memuaskan dapat mengekalkan kecergasan dan keaktifan ahli keluarga untuk belajar dan bekerja seterusnya mengubah keadaan hidup.

Pengenalan mesin ATM Beras di masjid boleh menjadi ikutan kepada pentadbir masjid seluruh negara supaya mereka bersama-sama membantu kumpulan sasar yang perlukan makanan. Kita juga berharap kemudahan ini turut digunakan oleh penerima bantuan bukan Islam yang sudah tentu perlukan beras untuk dimasak bagi menghilangkan kelaparan.

Tuesday, February 19, 2019

Memoir Radin Umar Radin Sohadi: aku dan amanah-MU







Tahun: 2014
Penerbit: Penerbit Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor.

Membaca memoir ini, kita turut merasai penderitaan hidup yang dialami Radin Umar. Beliau berjuang siang dan malam untuk melawan sel-sel kanser yang mengganas di bahagian usus dan merebak ke seluruh anggota dalaman bahagian abdomen dan tulang.

Pengalaman Radin Umar sebagai pentadbir di agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi memberi ilham kepada kita untuk memahami corak kerja beliau khususnya dalam menyelesaikan masalah-masalah besar yang memberi kesan kepada masyarakat dan negara.

Ketika membaca dari awal muka surat hingga ke akhir, kita boleh merasai Radin Umar mahu berkongsi sepenuhnya cara beliau menyelesaikan isu-isu utama yang dipertanggungjawabkan.

Di Universiti Putra Malaysia, beliau diminta menyelesaikan empat perkara besar iaitu MTDC, Dewina, Hospital Serdang dan ERCL. Tiga isu besar dapat diselesaikan manakala yang terakhir diteruskan oleh penggantinya.

Satu kaedah yang digunakan oleh Radin Umar ketika berhadapan dengan masalah besar itu ialah menggunakan masa makan tengah hari dan malam sebagai peluang berbincang dan mencari penyelesaian. Ia tidak perlukan pendekatan serius sebaliknya memahami keperluan dan memberikan penyelesaian kerana matlamat utama ialah masalah yang dihadapi akan selesai. Isu lama yang tidak berkesudahan juga lebih cepat diselesaikan.

Saya melihat isu Hospital Serdang lebih sukar diselesaikan kerana beliau berhadapan dengan pemimpin yang tidak mahu mengalah, enggan mendengar dan tidak ada empati kepada UPM sendiri kerana enggan melayan cadangan yang dikemukakan.

Pandangan beliau terhadap dunia akademik juga menarik. Antaranya falsafah aras pendidikan sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah. Beliau berkata, aras pemikiran pelajar sarjana adalah analisis manakala doktor falsafah adalah sintesis.

Begitu juga dengan pelbagai perkembangan akademik di universiti pada hari ini yang banyak dirancang dan dilaksanakan ketika beliau menerajui Jabatan Pengajian Tinggi. Ia adalah impak langsung pemikiran beliau untuk melahirkan pendidikan tinggi bertaraf dunia.

Beliau memberi cadangan kepada Kementerian Pendidikan untuk memilih naib canselor berdasarkan empat ciri iaitu kepemimpinan akademik, kemahiran mengurus, pengalaman dari bawah dan integriti.

Perjuangan meletakkan bidang teknikal di tempat yang setara dengan kejuruteraan juga berhasil apabila sebuah lembaga khas untuk ahli teknologi dicadangkan iaitu Malaysia Board of Technologies (MBOT).

Beliau juga menekankan kepentingan meletakkan fokus bidang kepada pusat kecemerlangan di universiti supaya ‘kecemerlangan’ itu diiktiraf oleh sarjana peringkat global. Strategi ini melonjak kedudukan UPM dalam tempoh yang singkat sehingga mendapat status universiti penyelidikan.

Pada saya, kecemerlangan Radin Umar ialah menyempurnakan pengajian doktor falsafah dalam tempoh 14 bulan dan tempoh minimum penghantaran tesis ialah 24 bulan. Tesis yang disiapkan telah dibentang selama 10 minit tanpa pindaan.

Serangan sel-sel kanser ke seluruh badan melemahkan tubuh badannya tetapi mentalnya masih kuat untuk melihat hasil usahanya, khususnya di UPM.

Tulisan terakhir buku ini bertajuk ‘Hari-hari Akhir Ku’ yang menceritakan kesengsaraan dan kepayahan menempuh kesakitan. Selepas imbasan Position Emission Tomography (PET), terdapat tujuh tempat di badannya yang telah dijangkiti sel kanser. Ketika didiagnosis, kanser berada di tahap tiga, namun bergerak ke tahap empat dalam tempoh yang singkat, menandakan masa untuk hidup lebih kurang enam bulan.

Beliau menghembuskan nafas terakhir pada 13 Oktober 2013 pada pukul 4.15 pagi.



Buat rakan-rakan,


Aku memohon kemaafan atas segala kesilapanku.
Aku telah melakukan yang terbaik, dan semoga Allah
menjadi saksi atas apa yang telah aku lakukan.
Ya Allah, ampunilah segala kelemahanku, redailah segala
sumbanganku, matikan aku dengan dosa terampun,
amal yang diterima, sedekah jariah yang berkekalan,
ilmu yang dimanfaatkan dan doa daripada anak-anakku yang soleh.

Wednesday, February 13, 2019

Kaum bukan penentu kekemasan kerja









Kemahiran boleh diperoleh oleh sesiapa sahaja yang berusaha dan bersungguh-sungguh membaiki kelemahan. Kemahiran tidak akan lahir jika kita belajar dari buku sahaja kerana ia perlukan latihan, pengukuhan dan penambahbaikan.

Kemahiran juga tidak dinasabkan kepada jenis kaum atau tempat tertentu sebaliknya perlu dipelajari, ditelaah dan dikuasai sebaik-baiknya melalui pelbagai kaedah dan masa.

Justeru, pada era teknologi yang pantas berubah dan mudah ditiru, kemahiran boleh wujud pada diri kaum Melayu atau Cina atau sesiapa sahaja yang berusaha dan membaiki hasil usahanya.

Dalam konteks Malaysia, persaingan antara kaum telah menjadi darah daging sejak merdeka. Statistik yang dipungut dari semasa ke semasa oleh pelbagai agensi kerap memaparkan prestasi setiap kaum, baik di Semenanjung Malaysia, Sabah atau Sarawak.

Persaingan ini menimbulkan persepsi tebal tentang keupayaan dan kebolehan bekerja setiap kaum ini. Dikatakan kaum Melayu kurang kemas apabila melakukan kerja dan tidak dapat menyiapkan kerja dalam tempoh yang ditetapkan.

Persepsi terhadap kaum Cina adalah kerja keras, berdisiplin dan boleh diharap untuk menyelesaikan kerja pada masa yang ditetapkan.

Persepsi begini berakar umbi dalam masyarakat yang melihat kejayaan dalam bentuk kaum tanpa mengambil kira nilai-nilai hidup yang membentuk pandangan semesta atau ‘worldview’ kaum berkenaan.

Apakah kaum Melayu yang mengambil ‘worldview’ daripada Islam dikatakan tidak mampu melakukan kerja yang baik dan kemas atau tidak berdisiplin?

Salah satu kerja yang saya berikan kepada seorang lekaki Melayu dan seorang lelaki Cina di kompleks sukan baru–baru ini menunjukkan perbezaan hasil kerja yang sangat ketara.

Saya membeli pelekat pangkal pada raket badminton berwarna kuning lalu diberikan kepada kedua-duanya untuk diselesaikan. Kedua-duanya membalut pangkal raket dengan pantas dan lelaki Melayu dapat menyiapkannya lebih awal. Beliau memberi kepada saya. Manakala lelaki CIna tadi masih belum siap dan beberapa kali mencuba untuk menutup bahagian akhir pelekat berkenaan.

Hasil kerja kedua-duanya ditunjukkan. Ternyata, lelaki Melayu menyiapkan tugasnya dengan pentas dan kemas sebaliknya lelaki Cina mengambil masa dan tidak kemas yang mana bahagian hujungnya tidak ditutup dengan sempurna.

Persepsi atau stereotaip terhadap kualiti kerja tidak boleh disandarkan kepada jenis kaum atau bangsa sebaliknya ia lahir daripada latihan yang diterima.

Oleh itu, jika kita hendak maju dan berjaya, biar apa pun bangsa kita, perkara yang perlu diberi perhatian adalah pendidikan dan latihan. Dua perkara ini mesti dikuasai dan insya Allah, kerja yang kita hasilkan akan menjadi lebih baik.

Friday, February 08, 2019

Islam cabar keegoan ahli politik Belanda







Pada April 2012, suasana politik di Belanda agak panas kerana seorang ahli politik dari Parti Kebebasan (PVV, Partikvoor de Vrijheid) telah menegaskan keyakinan baru sebagai seorang Islam. Arnoud van Doom, ahli Dewan Hague pimpinan Geert Wilders yang pernah menerbitkan filem Fitnah untuk menunjukkan betapa buruknya agama Islam.

Doom datang dari keluarga Kristian, mula berubah apabila ada orang yang mengingatkannya bahawa persepsi beliau terhadap Islam adalah salah. Semenjak itu, hatinya mulai bimbang dan mengambil keputusan untuk mempelajari lebih banyak tentang Islam dan penganutnya.

Lalu beliau membaca lebih banyak bahan bukan propaganda PVV termasuk al-quran, hadis dan sunnah.

Di sinilah beliau menemui lebih banyak kebenaran dan keindahan Islam. Justeru beliau berfikir, Islam tidaklah seburuk sangkaannya sebelum ini. Perubahan pemikiran ini menjadikannya ingin tahu lebih banyak tentang Islam.

Suatu hari, seorang rakan muslim mengajaknya ke masjid tetapi ditolak kerana beliau merasakan masjid adalah tempat berbahaya, dipenuhi ramai orang jahat dan khuatir akan diserang.

Pujukan demi pujukan akhirnya melembutkan hatinya untuk berkunjung ke masjid buat kali pertama. Di situ beliau sangat terkejut kerana semua orang di masjid sangat ramah dan menerima kehadirannya dengan baik sekali.

Beliau juga berbincang banyak perkara dari pukul sebelas pagi hingga sembilan malam, suatu yang tidak pernah difikirkannya.

Pengalaman di masjid menjadikan Doom seorang yang berbeza. Pandangannya terhadap Islam berubah 360 darjah. Beliau mula merasakan Islam adalah sangat baik, indah dan damai. Di rumahnya, beliau tidak dapat tidur semalaman kerana memikirkan suasana baru yang dialami di masjid.

Keesokan hari, beliau membuat keputusan kembali ke masjid untuk berbincang, membaca dan belajar dengan orang Islam.

Proses ini berlangsung selama enam hingga tujuh bulan sehinggalah muncul keinginan dalam dirinya untuk mengakui bahawa Islam sangat serasi dengan dirinya.

Beliau mengakui semakin lebih banyak memahami Islam dan sangat yakin itulah pilihan yang paling sesuai. Lalu beliau membuat keputusan untuk mengucapkan dua kalimah syahadah dan meninggalkan PVV.

Episod terbaru melibatkan seorang lagi orang kanan Geert Wilders iaitu Joram van Klaveren yang turut mengambil keputusan menjadi seorang muslim pada awal bulan ini. Beliau bertindak sedemikian ketika sedang menyiapkan sebuah buku yang mendedahkan keburukan Islam.

Malangnya beliau berhadapan dengan kesukaran melengkapkan buku berkenaan kerana semakin banyak menulis, pandangan buruknya terhadap Islam semakin menipis.

Kenyataan beliau yang popular ketika membenci Islam adalah ‘Islam adalah penipuan dan al-quran adalah racun’.

Namun, hidayah sampai kepadanya ketika beliau tidak mampu lagi hendak menafikan kebaikan dan kelebihan Islam kepada dirinya.


Thursday, February 07, 2019

Penjagaan kesihatan Malaysia terbaik 2019







Penjagaan kesihatan merupakan salah satu faktor penting yang dipertimbangkan oleh ekspatriat sebelum membuat keputusan berhijrah.

Dalam Indeks Persaraan Global 2019 yang dihkeluarkan baru-baru ini, enam buah negara dinilai telah menawarkan penjagaan kesihatan yang terbaik kepada ekspatriat berdasarkan penjagaan kesihatan kelas pertama, perkhidmatan terbaik dan mampu bayar.

Daripada 25 buah negara yang dinilai, Malaysia berada di kedudukan pertama diikuti Perancis, Thailand, Ecuador, Mexico (dan Costa Rica). Penilaian juga mengambil kira kebersihan, kecemerlangan hospital, doktor terlatih, penggunaan bahasa Inggeris yang meluas dan kemudahan peralatan kesihatan.

Indeks Persaraan Global 2019 bagi item penjagaan kesihatan ini memberi skor 95 peratus kepada Malaysia berbanding negara Asean terdekat iaitu Thailand. Kejayaan ini dicapai selepas kumpulan Joint Commision International mengakreditasikan 13 buah hospital awam dan swasta di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang. Jawatankuasa itu mengakui hospital di Malaysia memiliki doktor yang fasih berbahasa Inggeris dan mendapat latihan di United Kingdom, Amerika Syarikat atau Australia.

Pada masa yang sama, bayaran untuk khidmat perundingan yang relatifnya rendah di samping ahli farmasi yang profesional dan bermaklumat serta kakitangan hospital yang rata-ratanya mesra pelanggan.

Kejayaan hospital-hospital di Malaysia dalam meningkatkan kualiti perkhidmatan dan penjagaan kesihatan adalah selari dengan misi Malaysia Healthcare Travel Council (MHTC) yang menjangkakan trend peningkatan sebanyak 30 peratus pelancong kesihatan yang datang ke Malaysia. Pada tahun 2020, mereka menjangkakan lebih sejuta pelancong kesihatan akan datang dengan pendapatan sekitar RM2.8 bilion, jumlah yang lebih tinggi berbanding tahun 2017 iaitu RM1.3 bilion.

MHTC juga menjangkakan terdapat sekurang-kurangnya sebuah hospital pelancongan kesihatan pada tahun 2020.

Rata-rata pelancong kesihatan yang disasarkan datangnya dari Indonesia, Hong Kong dan Singapura yang menyumbang kepada bilangan sejuta orang setiap tahun. Tarikan utama adalah mesra pesakit, harga yang kompetitif dan doktor yang terlatih supaya mereka mendapat perkhidmatan kelas dunia. Tumpuan juga diberikan kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan warga emas kerana kebanyakan rakyat negara maju memiliki umur yang lebih panjang.

Strategi yang diambil ketika ini adalah mengadakan kerjasama dengan pihak imigresen untuk memperkenalkan e-visa pelancongan, meningkatkan kempen pemasaran dan pengiklanan, kerjasama dengan pihak swasta melalui pemberian insentif dalam mempromosi pelancongan kesihatan, mengecualikan cukai jualan dan perkhidmatan serta mendokumentasikan pelbagai pencapaian klinikal untuk membina kepercayaan bakal pelancong kesihatan pada masa hadapan untuk diketengahkan semasa kempen dan promosi.

Ranking keseluruhan Malaysia dalam Indeks Persaraan Global Tahunan 2019 adalah di kedudukan kelima selepas Panama, Costa Rica, Mexico dan Ecuador, meninggalkan jauh pesaing terdekat dari Asia iaitu Thailand. Malaysia boleh mencabar kedudukan Panama jika dapat menambah baik prosedur visa dan kependudukan serta mempromosi kos hidup yang lebih rendah.