Saturday, June 14, 2025

Utamakan keselamatan penumpang bas setiap masa


Rata-rata masyarakat Malaysia menzahirkan rasa sedih apabila lima belas orang pelajar UPSI yang terlibat dalam kemalangan bas baru-baru ini meninggal dunia. Jumlah kematian ini sangat tinggi dan tidak boleh dibiarkan berulang pada masa hadapan.

Pada 23 Ogos 2000, berlaku kemalangan jalan raya di Kilometer 6.5, Jalan Kubong-Tedungan berhampiran Kampung Batu Mekarang, Limbang, Sarawak. Kemalangan ini melibatkan sebuah treler kontena, van sekolah dan sebuah kereta. Empat belas orang pelajar terbunuh ketika pulang dari sekolah.

Beberapa tahun lalu, empat pelajar USIM cedera apabila bas yang dinaiki terbabas dan melanggar sebatang pokok.

Pelajar yang terlibat dalam kemalangan jalan raya seperti dilanggar kenderaan berat, ditimpa kereta, atau melanggar kenderaan di bahu jalan sering dilaporkan media. Ada juga kemalangan maut yang tidak disiarkan.

Baru-baru ini, seorang pelajar lelaki Universiti Teknikal Malaysia Melaka meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya. Kejadian berlaku di persimpangan lampu isyarat berhampiran pintu masuk utama kampus.

Begitu juga dengan kemalangan di Universiti Utara Malaysia yang melibatkan seorang pelajar perempuan. Beliau meninggal dunia selepas dilanggar di tempat menunggu bas dalam kampus.

Sebelum itu, seorang pelajar perempuan Kolej Profesional MARA, Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor meninggal dunia ketika tidur sekitar jam tiga pagi.

Kehidupan pelajar sentiasa dihiasi rasa gembira, susah payah, kecewa dan bahagia. Tempoh pembelajaran yang panjang dari tadika ke universiti mampu melahirkan insan berilmu yang menyumbang kepada pembangunan negara.

Andai kata seorang pelajar berjaya melengkapkan kitaran pembelajaran ini, sudah tentu masyarakat dan negara akan mendapat manfaat besar.

Berbalik kepada kemalangan bas di Grik, Perak, langkah segera yang perlu dilakukan termasuk menaik taraf laluan terlibat, melebarkan jalan, mengecat semula markah jalan yang kabur dan memasang lebih banyak papan tanda amaran khususnya di selekoh.

Agensi penguatkuasa perlu memperuntukkan lebih masa untuk memastikan pemandu bas memiliki kelayakan memandu yang sah, bebas daripada rekod kesalahan dan pemeriksaan kenderaan sebelum permit perjalanan dikeluarkan.

Perkara ini harus diutamakan kerana pemandu bas merupakan penentu utama keselamatan penumpang. Prosedur standard sedia ada seperti menyediakan dua pemandu untuk bas ekspres telah berjaya mengurangkan kemalangan. Bas untuk perjalanan jauh perlu berada dalam keadaan teknikal sempurna seperti sistem brek, tayar dan stereng yang baik, sistem elektronik berfungsi, kelengkapan keselamatan seperti pemadam api dan tukul kecemasan serta kamera kawalan pemanduan.

Sebagai langkah tambahan, taklimat keselamatan ringkas sebelum perjalanan wajar dilaksanakan untuk membiasakan penumpang dengan prosedur kecemasan. Amalan ini telah terbukti berkesan dalam industri penerbangan.


Rujukan

Utusan Online. (2000, August 24). 14 pelajar maut dirempuh treler – Pemandu van sekolah juga terbunuh dalam kemalangan ngeri di Limbang. https://article.wn.com/view/2000/08/24/14_pelajar_maut_dirempuh_treler_Pemandu_van_sekolah_juga_ter/

Utusan Malaysia. (2022, February 8). Bas terbabas, empat pelajar USIM cedera. https://www.utusan.com.my/terkini/2022/02/bas-terbabas-empat-pelajar-usim-cedera/

No comments:

Post a Comment