Sikap manusia yang tamak dengan kekayaan menyebabkannya sanggup melakukan apa sahaja, dari menipu kepada merompak, sama ada dengan terang-terangan ataupun menggunakan proksi.
Orang yang berkedudukan tinggi menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk memanipulasi setiap ruang yang dapat mengalihkan sebahagian peruntukan kerajaan kepada dirinya melalui pelbagai helah yang kelihatan seperti mengikut peraturan. Orang seperti ini bijak melakukan kerjanya tanpa dapat dikesan sehinggalah sistem yang dilaksanakan dalam organisasi tidak mampu lagi disembunyikan kesilapannya.
Ia pernah berlaku kepada seorang pegawai di pejabat tanah sebuah negeri yang ditahan dan didakwa walaupun telah bersara. Kepincangan dalam sistem urusan tanah telah memberi isyarat kepada jabatan untuk memulakan siasatan salah laku, yang akhirnya berjaya mengenal pasti punca masalah.
Kesalahan yang dikesan adalah pemalsuan proses pertukaran tanah rezab Melayu. Tanah tersebut telah dibangunkan selepas pertukaran status dilakukan.
Penampilannya yang berlebai ketika dibawa ke mahkamah tidak dapat menghapuskan persepsi orang ramai terhadap jenayah yang telah dilakukannya.
Isu terkini yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah penglibatan individu bergelar Tan Sri yang menyelewengkan dana pembinaan lebuh raya. Berjuta-juta ringgit telah diselewengkan untuk kepentingan diri, keluarga, dan rakan-rakannya. Siasatan telah menemui tempat menyimpan botol-botol arak—bukannya dalam peti ais atau bilik, tetapi di dalam gudang. Terdapat pelbagai jenis botol, yang kebanyakannya berkualiti.
Adakah arak yang diletakkan di dalam gudang ini untuk dijual atau diminum? Jika dijual, kepada siapa? Jika diminum, siapa yang minum?
Selain gudang arak, terdapat kereta mewah dan barang-barang mahal yang disimpan di situ. Orang seperti ini tidak perlu lagi diberi ruang untuk hidup bebas dan menikmati kehidupan mewah dengan wang yang diselewengkan. Kes-kes lain yang tidak didedahkan atau tidak diketahui mungkin lebih dahsyat, melibatkan individu berpengaruh dan berkuasa.
Bagi kes-kes rasuah, kita boleh merujuk laporan tahunan SPRM untuk menilai kelompok manakah yang paling banyak terlibat dalam rasuah atas pelbagai alasan.
Rasuah boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira kaum dan bangsa. Ia berkaitan dengan nilai diri dan kekuatan iman. Pembentukan nilai diri yang baik dan iman yang kuat boleh dipupuk melalui pendidikan dari peringkat tadika hingga ke universiti.
Impak silibus anti-rasuah dalam pendidikan memerlukan jangka masa panjang, tetapi hasilnya sangat bermakna. Konsep ‘berubah melalui pendidikan’ bukanlah angan-angan kosong, sebaliknya memerlukan komitmen kerajaan dan masyarakat.
Apabila rasuah dianggap sebagai perbuatan keji, keadaannya akan sama seperti pandangan orang Islam di Malaysia terhadap larangan memakan babi. Sekiranya konsep ini diterapkan, sudah tentu tiada individu yang sanggup menerima rasuah sebagai pertukaran kepada perkhidmatan.
Kadar rasuah yang rendah boleh dicapai dengan syarat kerajaan melaksanakan dana dan program yang berstruktur. Banyak lagi usaha kesedaran yang perlu dilakukan, sama ada secara bersendirian ataupun dengan rakan kongsi. Namun, kerjasama secara kolektif adalah lebih berkesan.
No comments:
Post a Comment