Sunday, June 15, 2025

Persiapan umat Islam menghadapi cabaran tarbiah rohani dan perubahan diri


Permasalahan umat Islam memang banyak dan sentiasa berlaku. Salah satunya ialah perbalahan politik atau persaingan mendapatkan kuasa. Contohnya ialah serangan Israel ke atas Iran yang melibatkan banyak negara yang bersempadan dengan kawasan konflik seperti Turki, Pakistan dan Iraq.

Kita tahu sebelum 7 Oktober, isu-isu Palestin sudah tenggelam di sebalik normalisasi. Kesannya ialah orang Israel diberi kemudahan untuk masuk ke negara-negara Islam dan apa-apa yang berkaitan dengan Palestin diambil alih oleh kerajaan negara-negara yang cenderung kepada normalisasi ini.

Apa-apa yang berlaku dalam negara-negara Islam yang positif dengan normalisasi telah menenggelamkan isu Palestin. Jadi, apakah persediaan kita untuk menguatkan diri kita sebagai persediaan menghadapi isu-isu ini?

Perubahan mesti berlaku’ jika tidak berubah, ia akan kekal dengan status quo. Perubahan ini sepatutnya kembali kepada syarak, bukannya selera sendiri. Berubah dari tempat lama kepada tempat baharu berdasarkan syarak ataupun aturan Allah SWT.

Perubahan ini mesti melalui proses tarbiah yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW bagi melahirkan sebaik-baik umat supaya Allah SWT mengiktiraf perubahan kita.

Perubahan juga perlu ada perancangan dan angka. Seterusnya, ada penilaian dan rumusan untuk tindakan-tindakan yang seterusnya.

Contohnya, perubahan diri untuk solat lebih awal. Jika 20 tahun lalu kerap melewatkan solat, kini ia tidak boleh berlaku lagi. Sepatutnya, hal itu tidak patut berlaku. Setiap hari adalah hari yang lebih baik. Yang baik harus diterima untuk mengubah prestasi diri.

Perubahan utama adalah hubungan dengan Allah SWT yang wajar diberi keutamaan. Seterusnya, hubungan dengan ibu bapa dan keluarga. Ia merangkumi amalan asas seperti solat, zikir, membaca al-quran, infak, sedekah dan sebagainya.

Amalan infak tidak patut ditunggu-tunggu apabila sudah ada wang. Sebaliknya, ‘harta milik Allah’, jadi keluarkan wang untuk infak. Sebaik-baiknya, beri lebih. Infak boleh menjadi ujian awal dalam membuat pengorbanan diri kepada orang lain.

Selain itu, bacaan al-quran juga boleh ditambah dari dua muka surat kepada empat muka surat sehari. Jika ia berlaku, ia menjadi perubahan besar dalam amalan rohani diri.

Sistem-sistem politik seperti demokrasi, sosialis, komunis dan campuran sistem-sistem ini gagal menyelesaikan masalah masyarakat dunia. Usaha boleh dibuat untuk mengurangkan kemiskinan tetapi masalah tidak pernah selesai.

Jalan keluar ialah bermula dengan tarbiah ataupun pendidikan. Bermula dengan iqra’ dan berakhir dengan umat yang terbaik. Antaranya melalui program ta’lim iaitu mengajar nama-nama benda dan belajar hingga ke tahap doktor falsafah, kemudiannya kefahaman dan amalan. Melalui kefahaman, akhlak boleh berubah menjadi lebih baik.

Yang terakhir ialah jihad atau perjuangan yang bersungguh-sungguh. Kesihatan juga perlu dijaga sejak muda. Jika umur sudah mencapai 80 tahun dan ke atas, penjagaan kesihatan semakin penting. Ya, semakin penting dan perlu supaya dapat terus terlibat dalam aktiviti dakwah dan tarbiah.

Dua perkara utama ialah menjaga makan dan bersenam. Semua makanan sedap yang kita makan itu tidak boleh dimakan secara melulu kerana tidak semuanya sesuai dengan diri.

Kesimpulannya, persiapan yang paling penting ialah persiapan rohani seperti solat wajib dan solat sunat (kedua-duanya berjumlah 40 rakaat), seterusnya infak, zakat, bacaan al-quran khususnya surah Al-Mulk dan As-Sajdah, berselawat dan berdoa memohon keampunan kepada Allah SWT.

Saturday, June 14, 2025

Utamakan keselamatan penumpang bas setiap masa


Rata-rata masyarakat Malaysia menzahirkan rasa sedih apabila lima belas orang pelajar UPSI yang terlibat dalam kemalangan bas baru-baru ini meninggal dunia. Jumlah kematian ini sangat tinggi dan tidak boleh dibiarkan berulang pada masa hadapan.

Pada 23 Ogos 2000, berlaku kemalangan jalan raya di Kilometer 6.5, Jalan Kubong-Tedungan berhampiran Kampung Batu Mekarang, Limbang, Sarawak. Kemalangan ini melibatkan sebuah treler kontena, van sekolah dan sebuah kereta. Empat belas orang pelajar terbunuh ketika pulang dari sekolah.

Beberapa tahun lalu, empat pelajar USIM cedera apabila bas yang dinaiki terbabas dan melanggar sebatang pokok.

Pelajar yang terlibat dalam kemalangan jalan raya seperti dilanggar kenderaan berat, ditimpa kereta, atau melanggar kenderaan di bahu jalan sering dilaporkan media. Ada juga kemalangan maut yang tidak disiarkan.

Baru-baru ini, seorang pelajar lelaki Universiti Teknikal Malaysia Melaka meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya. Kejadian berlaku di persimpangan lampu isyarat berhampiran pintu masuk utama kampus.

Begitu juga dengan kemalangan di Universiti Utara Malaysia yang melibatkan seorang pelajar perempuan. Beliau meninggal dunia selepas dilanggar di tempat menunggu bas dalam kampus.

Sebelum itu, seorang pelajar perempuan Kolej Profesional MARA, Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor meninggal dunia ketika tidur sekitar jam tiga pagi.

Kehidupan pelajar sentiasa dihiasi rasa gembira, susah payah, kecewa dan bahagia. Tempoh pembelajaran yang panjang dari tadika ke universiti mampu melahirkan insan berilmu yang menyumbang kepada pembangunan negara.

Andai kata seorang pelajar berjaya melengkapkan kitaran pembelajaran ini, sudah tentu masyarakat dan negara akan mendapat manfaat besar.

Berbalik kepada kemalangan bas di Grik, Perak, langkah segera yang perlu dilakukan termasuk menaik taraf laluan terlibat, melebarkan jalan, mengecat semula markah jalan yang kabur dan memasang lebih banyak papan tanda amaran khususnya di selekoh.

Agensi penguatkuasa perlu memperuntukkan lebih masa untuk memastikan pemandu bas memiliki kelayakan memandu yang sah, bebas daripada rekod kesalahan dan pemeriksaan kenderaan sebelum permit perjalanan dikeluarkan.

Perkara ini harus diutamakan kerana pemandu bas merupakan penentu utama keselamatan penumpang. Prosedur standard sedia ada seperti menyediakan dua pemandu untuk bas ekspres telah berjaya mengurangkan kemalangan. Bas untuk perjalanan jauh perlu berada dalam keadaan teknikal sempurna seperti sistem brek, tayar dan stereng yang baik, sistem elektronik berfungsi, kelengkapan keselamatan seperti pemadam api dan tukul kecemasan serta kamera kawalan pemanduan.

Sebagai langkah tambahan, taklimat keselamatan ringkas sebelum perjalanan wajar dilaksanakan untuk membiasakan penumpang dengan prosedur kecemasan. Amalan ini telah terbukti berkesan dalam industri penerbangan.


Rujukan

Utusan Online. (2000, August 24). 14 pelajar maut dirempuh treler – Pemandu van sekolah juga terbunuh dalam kemalangan ngeri di Limbang. https://article.wn.com/view/2000/08/24/14_pelajar_maut_dirempuh_treler_Pemandu_van_sekolah_juga_ter/

Utusan Malaysia. (2022, February 8). Bas terbabas, empat pelajar USIM cedera. https://www.utusan.com.my/terkini/2022/02/bas-terbabas-empat-pelajar-usim-cedera/

Friday, June 06, 2025

Laba rasuah untuk habuan dunia


Sikap manusia yang tamak dengan kekayaan menyebabkannya sanggup melakukan apa sahaja, dari menipu kepada merompak, sama ada dengan terang-terangan ataupun menggunakan proksi.

Orang yang berkedudukan tinggi menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk memanipulasi setiap ruang yang dapat mengalihkan sebahagian peruntukan kerajaan kepada dirinya melalui pelbagai helah yang kelihatan seperti mengikut peraturan. Orang seperti ini bijak melakukan kerjanya tanpa dapat dikesan sehinggalah sistem yang dilaksanakan dalam organisasi tidak mampu lagi disembunyikan kesilapannya.

Ia pernah berlaku kepada seorang pegawai di pejabat tanah sebuah negeri yang ditahan dan didakwa walaupun telah bersara. Kepincangan dalam sistem urusan tanah telah memberi isyarat kepada jabatan untuk memulakan siasatan salah laku, yang akhirnya berjaya mengenal pasti punca masalah.

Kesalahan yang dikesan adalah pemalsuan proses pertukaran tanah rezab Melayu. Tanah tersebut telah dibangunkan selepas pertukaran status dilakukan.

Penampilannya yang berlebai ketika dibawa ke mahkamah tidak dapat menghapuskan persepsi orang ramai terhadap jenayah yang telah dilakukannya.

Isu terkini yang sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah penglibatan individu bergelar Tan Sri yang menyelewengkan dana pembinaan lebuh raya. Berjuta-juta ringgit telah diselewengkan untuk kepentingan diri, keluarga, dan rakan-rakannya. Siasatan telah menemui tempat menyimpan botol-botol arak—bukannya dalam peti ais atau bilik, tetapi di dalam gudang. Terdapat pelbagai jenis botol, yang kebanyakannya berkualiti.

Adakah arak yang diletakkan di dalam gudang ini untuk dijual atau diminum? Jika dijual, kepada siapa? Jika diminum, siapa yang minum?

Selain gudang arak, terdapat kereta mewah dan barang-barang mahal yang disimpan di situ. Orang seperti ini tidak perlu lagi diberi ruang untuk hidup bebas dan menikmati kehidupan mewah dengan wang yang diselewengkan. Kes-kes lain yang tidak didedahkan atau tidak diketahui mungkin lebih dahsyat, melibatkan individu berpengaruh dan berkuasa.

Bagi kes-kes rasuah, kita boleh merujuk laporan tahunan SPRM untuk menilai kelompok manakah yang paling banyak terlibat dalam rasuah atas pelbagai alasan.

Rasuah boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira kaum dan bangsa. Ia berkaitan dengan nilai diri dan kekuatan iman. Pembentukan nilai diri yang baik dan iman yang kuat boleh dipupuk melalui pendidikan dari peringkat tadika hingga ke universiti.

Impak silibus anti-rasuah dalam pendidikan memerlukan jangka masa panjang, tetapi hasilnya sangat bermakna. Konsep ‘berubah melalui pendidikan’ bukanlah angan-angan kosong, sebaliknya memerlukan komitmen kerajaan dan masyarakat.

Apabila rasuah dianggap sebagai perbuatan keji, keadaannya akan sama seperti pandangan orang Islam di Malaysia terhadap larangan memakan babi. Sekiranya konsep ini diterapkan, sudah tentu tiada individu yang sanggup menerima rasuah sebagai pertukaran kepada perkhidmatan.

Kadar rasuah yang rendah boleh dicapai dengan syarat kerajaan melaksanakan dana dan program yang berstruktur. Banyak lagi usaha kesedaran yang perlu dilakukan, sama ada secara bersendirian ataupun dengan rakan kongsi. Namun, kerjasama secara kolektif adalah lebih berkesan.

Monday, June 02, 2025

Segera lebarkan lorong lebuh raya

Setiap kali cuti umum peringkat kebangsaan, lebuh raya sesak dengan orang ramai yang mahu pulang ke kampung atau bercuti. Kenderaan memenuhi lebuh raya ke utara, selatan dan timur yang menyebabkan jalan sesak berjam-jam dan berkilo-kilometer

Perjalanan pada hari biasa dari Ayer Keroh, Melaka ke Senai, Johor tidaklah jauh iaitu sekitar dua hingga tiga jam, namun tempoh ini boleh dilaratkan hingga empat atau lima jam apabila bilangan kenderaan bertambah.

Jalan dua lorong arah ke selatan tidak lagi praktikal. Sepatutnya usaha-usaha pelebaran jalan sudah dimulakan bagi menampung jumlah kenderaan yang bertambah banyak.

Berada di atas lebuh raya selama lima hingga lapan jam menimbulkan banyak masalah, lebih-lebih lagi pembaziran masa dan pengurusan kesihatan diri. Kenderaan yang berjujut-jujut dari hujung ke hujung di atas lebuh raya melambatkan perjalanan biarpun terdapat cadangan perjalanan oleh PLUS. Jumlah kenderaan yang berlipat kali ganda pada musim cuti perayaan tidak banyak membantu mempercepatkan perjalanan.

Selepas berpuluh-puluh tahun menyediakan lebuh raya utara dan selatan, pihak pemegang konsesi boleh memikirkan gerak kerja naik taraf kepada tiga ataupun empat lorong sehala. Pembiayaan boleh dilakukan secara pinjaman supaya pengguna tidak perlu menunggu 10 atau 15 tahun lagi untuk menikmati perjalanan balik kampung yang lancar.

Barangkali Malaysia telah tertinggal jauh dalam pembangunan infrastruktur jalan raya berbanding Vietnam dan negara-negara yang sudah membangun yang lain. Di Vietnam, jalan-jalan utama dibuat empat lorong supaya aktiviti pengangkutan lebih cepat dan berkesan.

Di negara kita agak perlahan. Di samping ada tiga atau empat lorong, pembinaan lebuh raya baharu juga rancak bagi menampung bilangan kenderaan yang bertambah dan menghubungkan lebih banyak laluan. Penyebaran jalan sama ada di utara atau selatan dapat memberi kelegaan kepada pengguna untuk menikmati perjalanan yang lebih selesa dan bebas sesak. Masa perjalanan juga boleh disingkatkan dengan lebih banyak.

'Smart lane’ yang diwujudkan di beberapa laluan harus diperluaskan supaya laluan lorong sedia ada tidak sesak. Pertambahan Iorong ini dapat mengurangkan kesesakan sementara berbanding kelebaran jalan yang dapat mengurangkan kesesakan untuk tempoh yang lebih lama.

Seiring dengan pengenalan ‘smart lane’, pemaju juga sedang dan telah menambah baik kemudahan di ‘Rehat n Rawat’ (RnR) di sepanjang lebuh raya. Reka bentuk lama telah diberi lakaran baharu yang lebih besar segar dan selesa, begitu juga perhentian kecil seperti Pedas- Linggi yang telah dibangunkan dua buah stesen minyak.

Kawasan RnR dan perhentian kecil ini dapat memberikan kerehatan kepada pemandu kenderaan. Mereka dapat melelapkan mata biarpun 15 minit dan membersihkan diri menunaikan solat dan juga mengisi minyak.

Laluan ke pantai timur turut berubah namun kita belum merasai perjalanan yang lancar. Pembinaan lebuh raya yang masih belum selesai membuatkan pengguna perlu menunggu untuk tempoh yang lebih lama.

Sementara masa tersebut tiba, pengguna terpaksa menunggu beberapa tahun lagi. Jika kita tidak merasa, anak cucu kita akan dapat menikmati semua pembangunan ini.