Wednesday, December 18, 2024

Mencari makanan halalan tayyiban


Dalam seminggu dua ini, media sosial berkongsi kegembiraan rakyat Syria menikmati kebebasan hidup selepas kerajaan Bashar Al-Assad dijatuhkan. Di pasar dan jalan raya, masyarakat aktif melakukan aktiviti masing-masing tanpa rasa takut lagi, takut disergap atau takut diambil tindakan.

Masjid didatangi jemaah yang berasa puas dengan bacaan imam yang memimpin solat maghrib, isyak dan subuh.

Kini, baharulah mereka dapat menikmati erti kebebasan selepas satu dekad berada dalam zon konflik dan peperangan. Kegembiraan terpancar pada setiap orang yang pernah terkesan dengan suasana tekanan peperangan ini.

Kedai-kedai makan mulai dibuka dan pengunjung dapat menikmati makanan kegemaran mereka yang sudah tentunya sedap dan menyelerakan. Ketika perang, suasana ini sukar dilihat kerana aktiviti harian sukar dilakukan, pergerakan yang terhad dan bekalan makanan mungkin tidak cukup.

Di negara kita, makanan halal sangat mudah diperoleh kerana ramai penjual yang memastikan produk yang diproses adalah suci dan menyucikan. Pengeluar dan pembuat makanan menjaga batas dan sempadan halal bermula dari penyediaan dan proses memasak serta menghidangkan makanan. Peralatan yang digunakan untuk menghidangkan makanan juga harus halal khususnya material untuk menghasilkan pinggan atau gelas.

Sudah tentu semasa menyediakan makanan, tukang masak beragama Islam dapat memastikan proses memasak dari awal hingga akhir berada dalam keadaan suci. Menyediakan tukang masak beragama Islami menunjukkan tahap kesedaran yang tinggi untuk mendapatkan pahala dalam menyediakan makanan.

Institusi yang bertanggungjawab dalam menguruskan halal di Malaysia telah diberikan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak tahun 1974 melalui penglibatan Pusat Penyelidikan, Bahagian Hal Ehwal Islam di Jabatan Perdana Menteri. Seterusnya pengesahan halal diperkenalkan dalam persijilan dan logo pada tahun 1994.

Dalam tempoh 20 tahun, jakim telah diiktiraf di peringkat antarabangsa. Syarikat dan organisasi yang mendapat logo halal akan berasa puas dan bangga kerana proses mendapatkan pengesahan halal Jakim bermakna penyediaan perkhidmatan yang diberikan adalah 100% halal.

Produk halal Jakim yang telah diperoleh ini boleh dipasarkan ke seluruh dunia lebih-lebih lagi di negara Islam kerana tahap keyakinan pengguna di negara-negara ini lebih tinggi. Antara faktor penyumbang kejayaan kepada keyakinan yang tinggi untuk pengesahan logo halal Jakim ialah pendedahan yang berterusan mengenai kejayaan Malaysia sebagai negara Islam yang maju berbanding negara-negara Islam yang berada di Timur Tengah ataupun di Asia.

Contoh pengiktirafan ini sangat jelas semasa Sukan Olimpik 2020 lalu di Jepun. Pihak penganjur telah memilih Jakim untuk menyelia makanan halal yang disediakan kepada atlet dari negara-negara Islam yang mengambil bahagian. Hal ini kerana sudah 41 buah negara yang menggunakan pengesahan halal Jakim setakat ini. Kesannya sehingga kini ialah restoran yang mendapat logo hala di jepun semakin bertambah digalakkan oleh kemasukan pelancong-pelancongan daripada negara-negara Islam.

Dalam pengurusan pengesahan halal Jakim, perkara yang diberikan perhatian ialah mematuhi piawaian halal di samping mengemukakan dokumen sokongan yan gjelas menyatakan sumber bahan.

Golongan yang ragu-ragu dengan proses penyediaan makanan yang disediakan oleh orang bukan Islam wajar mencari restoran atau tempat makanan yang diyakini kehalalannya dan dimasak oleh orang Islam. Manakala golongan yang berpendapat ‘asalkan masakan dan makanan halal sudah memadai’ perlu melihat kembali keyakinan mereka.

Penyediaan makanan yang tidak Islamik tetapi dimakan oleh orang Islam boleh menimbulkan suasana tidak harmoni kerana masyarakat sedang keliru dengan tindakan tersebut. Membiarkan situasi itu berlaku tanpa ada penjelasan akan menjadikan persepsi negatif lebih menebal, seterusnya masyarakat kekal dengan persepsi negatif untuk tempoh yang lebih lama.

Sensitif

Isu halal adalah sensitif kepada masyarakat, memberikan maklumat yang tepat dan dipercayai adalah sangat penting. Maklumat yang disampaikan dapat mengelak spekulasi, kepercayaan tanpa asas, menimbulkan respon secara melulu dan bertindak tanpa asas.

Dalam hal pemimpin atau orang awam yang beragama Islam menikmati hidangan makanan di restoran bukan Islam tanpa diketahui status halal ataupun halam, tindakan ini wajar ditegur dan diberi panduan supaya status halal dihormati. Peringatan yang jelas dan tegas boleh dikeluarkan supaya pandangan serong dan buruk dapat diatasi. Membuat keputusan untuk menunggu lama bagi menangkis maklumat yang kabur dan tidak berasas hanya meresahkan orang ramai. Tidak perlulah mengeluarkan kenyataan ‘tidak terima laporan’ kerana laporan yang ditunggu-tunggu mungkin tidak akan muncul selama-lamanya.

Al-Quran banyak kali menyebut mengenai makanan halal dan konsep halalan toyyiban (halal lagi baik). Makanan halal adalah makanan yang dibenarkan oleh Allah SWT untuk dimakan oleh umat Islam, sementara makanan haram adalah yang dilarang. Berikut adalah beberapa ayat Al-Quran yang menyentuh tentang makanan halal.


"Wahai sekalian manusia, makanlah daripada apa yang ada di bumi ini yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan; sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu." (Al-Baqarah, 168)

"Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari rezeki yang baik (halal) yang telah Kami berikan kepadamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika benar-benar hanya kepada-Nya kamu menyembah." (Al-Baqarah, 172)



Konsep halalan tayyiban bererti bersih, berkualiti dan berfaedah untuk tubuh badan dan tidak memudaratkan. Pentingnya memilih restoran yang menyediakan makanan mengikut konsep halalan tayyiban kerana menjaga kesucian hati dan iman, membentuk akhlak dan peribadi yang baik serta menjauhi makanan haram membantu mendekatkan diri kepada Allah dan menjauhkan diri daripada perkara syubhah (meragukan).

Al-Quran memberikan panduan jelas tentang pemilihan makanan halal, menghindari makanan haram, dan pentingnya bersyukur atas nikmat rezeki. Makanan yang halal lagi baik bukan sahaja memenuhi keperluan fizikal, tetapi juga memelihara rohani dan hubungan kita dengan Allah SWT.


Rujukan

Bahagian Pengurusan Halal, https://www.islam.gov.my/ms/bahagian-pengurusan-halal/profil

Jakim: We’re ready to offer halal expertise for Tokyo Olympics, https://www.freemalaysiatoday.com/category/nation/2017/11/16/jakim-were-ready-to-offer-halal-expertise-for-tokyo-olympics/



No comments:

Post a Comment