Monday, September 28, 2020

COVID-19: Pilihan raya di Sabah





Pergelutan politik di Sabah ditamatkan dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dan penetapan tarikh undi pada 26 September. Ia berlaku ketika pandemik COVID-19 sedang memuncak naik. Kewujudan kluster-kluster baru di Sabah melibatkan puluhan kes.

Virus COVID-19 dibawa keluar dari Sabah oleh peraih undi yang datang dari Semenanjung dan kembali selepas berkempen. Terdapat pemimpin-pemimpin politik yang telah didiagnosis positif.

Politik di Sabah lebih unik kerana parti-parti politik tempatan dan Semenanjung beradu kekuatan untuk mendapat kuasa. Puluhan tahun parti-parti ini bertanding dan bersaing untuk mendapat kuasa dan membangunkan rakyat Sabah. Dari USNO hingga ke PBS, dari Warisan hingga ke PCS, semua parti ini berasaskan etnik dan cenderung selari dengan kerajaan persekutuan.

Sebelum pilihan raya 2020 ini, muncul beberapa isu yang menyebabkan Tuan Yang Terutama Sabah memutuskan pilihan raya baru. Rakyat negeri itu mendapat peluang kedua untuk menentukan pilihan kerajaan yang dapat membawa pembangunan fizikal, menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dan membawa masuk lebih banyak pelabur ke kawasan yang kurang membangun.

Pilihan raya yang terbaru ini dibayangi penularan wabak COVID-19 di beberapa kawasan. Walaupun wabak ini mengancam keselamatan kesihatan awam, langkah kawalan dan pengepungan harus dipatuhi supaya setiap pusat mengundi berada dalam keadaan selamat dan terkawal.

Proses nyahkuman dan pembersihan yang dilakukan sepanjang pilihan raya ini harus diteliti dan dipastikan dilakukan sepanjang masa. Sebarang usaha melonggarkan prosedur pencegahan COVID-19 ini berpotensi mengundang jangkitan lebih ramai mangsa.

Pilihan raya ketika pandemik mengundang risio jika tidak diurus dengan baik. Dalam hal ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh meminta bantuan dari agensi penguatkuasa bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar. Kaedah ini dapat memastikan lebih ramai pengundi yang berani keluar dari rumah untuk membuang undi mereka.

Tanggungjawab perjalanan pilihan raya ditentukan oleh banyak faktor lebih-lebih lagi ketika usaha menghalang penularan wabak COVID-19 ini. Risiko jangkitan sangat tinggi jika SOP yang diberikan tidak dipatuhi. Sebarang keputusan seperti ini pada masa hadapan seharusnya melihat aspek keselamatan orang ramai berbanding berebut kuasa.

No comments:

Post a Comment