Tuesday, August 04, 2020

COVID-19: Pemakaian pelitup muka





Kerajaan mengambil keputusan mewajibkan pemakaian pelitup muka di kawasan awam mulai 1 Ogos. Keputusan ini diambil bagi mencegah penularan virus yang dilihat masih belum berakhir. Kebimbangan ini juga diambil sebagai langkah berjaga-jaga menghindari gelombang kedua COVID-19 seperti yang berlaku di beberapa buah negara selepas kelonggaran bergerak diberikan kepada rakyat dan penduduk masing-masing.

Kelonggaran ini memberikan kebebasan kepada orang ramai untuk melakukan aktiviti seharian di samping mengembalikan kerancakan ekonomi negara. 

Namun peluang ini disia-siakan apabila mereka gagal mematuhi arahan pihak berkuasa seperti menyediakan cecair pembasmi kuman dan peraturan menjarakkan fizikal.

Akibatnya sangat serius apatah lagi mangsa tidak menunjukkan gejala dan bebas bergerak ke sana-sini sehinggalah ujian rambang dilakukan oleh petugas kesihatan. Dari sini, pihak berkuasa mendapat maklumat lanjut berkenaan kawasan yang mempunyai risiko jangkitan.

Petugas kesihatan tidak mungkin dapat melakukan semua ujian dengan pantas kerana melibatkan jumlah yang ramai. 

Justeru pendekatan melalui undang-undang dan kompaun adalah langkah berkesan memastikan orang ramai bersedia dengan pelitup muka apabila keluar rumah.

Kaedah penguatkuasaan melalui undang-undang ini dapat memberi peringatan kepada orang ramai bahawa COVID-19 adalah isu besar negara dan mesti diatasi. Kaedah ini juga lebih berkesan apabila penguatkuasa menjalankan tugas mereka dengan sempurna seperti memberi peringatan berterusan dan menyaman mereka yang ingkar pada arahan.

Semua lapisan masyarakat terlibat dalam arahan dan penguatkuasaan ini termasuk kanak-kanak dan warga emas. Tidak ada kompromi dan tolak ansur berterusan kerana sekali dijangkiti virus, kesannya meluas kepada kontak rapat mangsa.

Justeru, elemen pencegahan wajar diteruskan dari semasa ke semasa supaya orang ramai faham bahawa peranan mereka yang menentukan sama ada penularan dan jangkitan virus dapat dihalang dan diputuskan. 

No comments:

Post a Comment