Wednesday, December 20, 2017

Intervensi perundangan selesai masalah guru dan pelajar








Peranan guru sentiasa berkembang seiring dengan keperluan pendidikan dan kemanusiaan. Guru juga menjadi perhatian kerana pengaruh mereka dalam proses perkembangan minda, spiritual dan fizikal pelajar. 

Guru yang berkesan adalah guru yang dapat mempengaruhi pelajar mereka untuk berfikir dan bertindak dalam lingkungan adab dan norma masyarakat, seiring dengan falsafah pendidikan, lebih-lebih lagi seiring dengan tingkah laku yang baik sebagai seorang warganegara.

Peranan guru juga semakin bertambah untuk membantu masyarakat membetulkan pelbagai salah faham terhadap pemkembangan pelajar dan kesejahteraan negara.

Namun isu-isu yang melingkari pelajar sekolah hari ini sangat banyak. Antaranya ponteng sekolah, lari dari sekolah, lepak, tidak minat belajar, konflik keluarga, masalah sosial, bergaduh, mencuri, salah guna media sosial. Senarai isu semakin panjang jika hendak ditulis.

Lagu "Budok Malah Skolah" oleh Man Khan dan Jali B.T mengisahkan pelajar malas ke sekolah yang tidak mendatangkan faedah kepada keluarga sendiri. Apa yang patut dibuat?

Anak-anak seperti ini akan membesar tanpa arah dan pasti kalah dalam persaingan. Ibu bapa tentu susah hati apatah lagi guru-guru di sekolah.

Apabila anak-anak memberi masalah di sekolah dan berkemungkinan mempengaruhi rakan-rakan lain, sekolah melakukan intervensi dengan harapan pelajar berkenaan akan berubah dan pelajar-pelajar lain dapat belajar dalam keadaan tenang.

Sudah tentu sekolah akan menugaskan guru disiplin atau guru kaunselor melaksanakan intervensi ini. Biasanya proses intervensi bermula dengan nasihat, bimbingan dan pemerhatian yang melalui pelbagai teknik dan strategi.

Guru disiplin akan bertindak lebih keras apabila terdapat banyak aduan yang disusuli dengan bukti-bukti yang mencukupi. Ia tidak menimbulkan masalah apabila pelajar dan ibu bapa dapat menerima penjelasan tetapi boleh menimbulkan konflik apabila ibu bapa tidak berpuas hati dan membuat laporan polis.

Kes seperti ini menjadi perhatian apabila seorang guru dihadapkan ke mahkamah kerana laporan polis yang dibuat oleh ibu bapa seorang pelajar sekolah rendah yang tidak berpuas hati dengan guru berkenaan.

Solidariti guru-guru di Malaysia terhadap Cikgu Azizan sangat luar biasa. Ramai pendidik yang menanti di luar mahkamah menunggu kehadiran beliau. Luar biasa sekali semangat beliau melangkah masuk ke dalam mahkamah untuk menghadiri perbicaraan.

Keputusan mahkamah ialah membebaskan Cikgu Azizan.

Kes seperti ini akan menjadi pengajaran kepada ibu bapa yang mahu mengheret guru ke mahkamah. Pengaruh guru amat besar dan banyak pihak memberi sokongan kepada mereka. Walaupun demikian, Kementerian Pendidikan menegaskan yang mereka tidak akan melindungi guru yang melakukan kekerasan kepada pelajar. Mesej ini juga menjadi amaran kepada mana-mana guru untuk berfikir secara rasional sebelum memulakan langkah  merotan atau menampar pipi pelajar mereka.

Di negara kita, tindak balas pelajar atau ibu bapa terhadap sekolah tidaklah sampai pelajar mengamuk dengan menembak guru atau pelajar, cukup hanya menerima alasan dan membuat laporan polis. Kewarasan di pihak pelajar dan ibu bapa masih tinggi namun peluang untuk mendapat keadilan tetap ada.

Justeru, semua saluran perundangan wajar menjadi pilihan pelajar dan ibu bapa jika mereka merasakan guru atau sekolah telah bertindak di luar batas undang-undang. Kaedah ini juga dapat mendidik masyarakat untuk menggunakan pendekatan perundangan bagi menyelesaikan masalah dan mendapat keadilan.


No comments:

Post a Comment