Tuesday, December 19, 2017

Atasi jenayah ganas di bandar







Pergaduhan dan pembunuhan seorang lelaki di kawasan stesen minyak di Johor Bahru baru-baru ini mengingatkan kita kepada kata-kata perdana menteri Singapura, Lee Kuan Yew sekitar tahun 1990-an.

Beliau berkata Johor Bahru adalah kawasan jenayah.

Pendapat beliau dibangkang oleh sesetengah pemimpin Malaysia namun jarang sekali kita mendengar jenayah berat di repubik itu.

Bagi mereka yang belum pernah sampai ke Johor Bharu, bandar raya ini sedang pesat membangun. Bangunan lama dan baru duduk sebelah-menyebelah. Bangunan baru dan moden menggantikan kompleks perniagaan yang usang dan tidak menarik.

Jalan raya berkembang kepada enam lorong dan lebuh raya menghubungkan Johor Bahru dengan bandar-bandar lain di seluruh Johor.

Di sebalik kemajuan dan kepesatan pembangunan fizikal, Johor Bahru masih berhadapan dengan jenayah sama ada yang melibatkan kecederaan kecil mahupun pembunuhan kejam yang berlaku di hadapan mata. 

Apakah kita boleh katakan pembangunan fizikal telah merosakkan kehidupan aman dan tenteram masyarakat bandar? Jika benar, bagaimana kita boleh bersama-sama membantu meningkatkan kesejahteraan penduduk bandar yang kalut dengan kehidupan seharian?

Mampukah pentadbir Johor Bahru berfikir tentang bagaimana bandar raya itu boleh bebas jenayah pembunuhan atau meningkatkan rasa selamat penduduk terhadap keselamatan diri mereka di situ?

Terdapat pelbagai cara dan pendekatan untuk mengurangkan jenayah di bandaraya Johor Bahru ini.

Pertama, merawat jenayah sepertimana kesihatan awam. Kita perlu menggunakan kaedah kempen dan kegunaan teknologi untuk menjangkau setiap kanak-kanak dan keluarga di bandar raya itu. Teknologi tersebut perlu dibangunkan bagi memastikan semua orang merasa penting dan diberi perhatian melalui intervensi keibubapaan dan keluarga, kempen kesejahteraan hidup dan pendidikan awal kanak-kanak.

Kedua, program bersifat setempat. Pihak pentadbir boleh merangka program yang bersesuaian dengan kawasan berpotensi menjadi jenayah sifar seperti membina rangka kerja yang bercirikan tempatan, mewujudkan zon bebas jenayah dan berusaha memupuk budaya masyarakat untuk mengurangkan keganasan.

Ketiga, fokus pada titik panas. Terdapat bukti saintifik bahawa tumpuan pada titik panas dan 'orang berpotensi penjenayah' dapat mencegah atau mengurangkan keganasan. Pada masa yang sama, strategi ini perlukan inisiatif menaik taraf bandar, merangka perancangan bandar yang lebih baik dan kempen pembelajaran pencegahan jenayah bermula dari peringkat awal kanak-kanak.

Keempat, melihat jenayah dan keganasan sebagai satu keutamaan. Usaha-usaha perlu dilakukan untuk menyediakan lebih banyak perlindungan, mengambil berat isu-isu kemanusiaan dan merekrut lebih ramai aktor pembangunan sebagai sebahagian daripada intervensi mengurangkan keganasan pada masa jangka panjang.

Kelima, mensasarkan ketaksamaan ekonomi. Adalah penting untuk mengurangkan jenayah melalui inisiatif merapatkan jurang ketaksamaan ekonomi. Pembangunan di Johor Bahru wajar mengambil kira kelompok yang terpinggir khususnya golongan muda yang mudah terlibat dengan aktiviti tidak sihat dan mencetuskan huru-hara dalam masyarakat.

Kita yakin banyak lagi pendekatan yang boleh diambil oleh pihak berkuasa pentadbir Johor Bahru untuk membina kehidupan yang lebih sihat dan makmur di bandar raya itu. Jadikan kata-kata Lee Kuan Yew sebagai cabaran kerana walaupun hampir 20 tahun ungkapan berkenaan dikeluarkan, keadaan sosial masyarakat khususnya berkaitan aktiviti jenayah nampaknya masih tidak turun-turun.

No comments:

Post a Comment