Monday, November 06, 2017

Perbezaan pantang larang perayaan Qingming dan Thaipusam








Hasnika Mohd Hasnan, Wong Yee Mun, Seu Wen Ping,
Nur ‘Ain Madihah Naning, Hafiza Syazlyn Abd Halim


1.0 Pengenalan

Pantang larang merupakan suatu bentuk peraturan yang diwarisi sejak turun-temurun. Masyarakat zaman dahulu sering mengamalkan pantang larang untuk mengelakkan melapetaka atau perkara buruk berlaku. Pantang larang boleh didefinisikan sebagai suatu kaedah untuk menyampaikan nasihat dan pengajaran.

Thaipusam adalah perayaan yang disambut oleh penganut agama Hindu. Penganut agama Hindu membuat persediaan perayaan dengan membersihkan diri mereka melalui puasa. Jawatan pemegang-pemegang kavadi perlu melalui upacara rumit dan menganggap ianya menyembah kepada Tuhan Murugan. Oleh itu, sebelum menyambut Thaipusam, penganut agama Hindu akan berpuasa selama sebulan untuk tujuan membersihkan jiwa. Dalam tempoh sebulan ini, mereka berpuasa dengan makan sayur sehari sekali dan sentiasa mengunjungi kuil.

Hari Qingming merupakan hari bagi masyarakat Cina berziarah ke makam orang tua dan nenek moyang, membersihkan makam dan melakukan ritual sembahyang bagi nenek moyang. Orang Cina biasanya melawat kubur nenek moyang pada hari Qingming untuk memperingatkan jasa dan memberi hormat kepada mereka yang sudah meninggal dunia. Pada hari tersebut, orang Cina akan datang membersihkan kawasan perkuburan nenek moyang mereka.

Walaupun negara kita terdiri daripada rakyat berbilang kaum, namun pantang larang yang diamalkan oleh kaum-kaum tersebut adalah untuk satu tujuan iaitu untuk kebaikan diri. Hal ini bermaksud pantang larang perlu dipatuhi untuk mengelakkan kecelakaan.

2.0 Objektif Kajian

Berikut adalah merupakan beberapa objektif yang digariskan dan menjadi asas kepada kajian ini bagi memudahkan perjalanan dan pelaksanaan agenda bagi menyempurnakan kajian ini.

1. Mengetahui perayaan Qingming dan Thaipusam.
2. Mengenal pasti pantang larang antara perayaan Qingming dan Thaipusam.
3. Mengetahui kepentingan dan implikasi amalan pantang larang terhadap masyarakat.

3.0 Sorotan Kajian

3.1 Pantang Larang Thaipusam

Menurut artikel “Perayaan Thaipusam” ditulis oleh Shaminiy Kumar telah menyatakan bahawa tujuan dan objektif sambutan perayaan Thaipusam merupakan hari menunaikan nazar dan menebus dosa atau memohon keampunan atas dosa-dosa yang telah dilakukan sepanjang tahun. Menurut buku yang ditulis oleh Joshua Raj yang bertajuk “A Biblical Approach to Indian Traditions and Beliefs”, pelbagai cara menyeksa diri dilakukan bagi menunjukkan mereka memohon keampunan. Antaranya ialah berjalan di atas kasut berpaku.

3.2 Pantang Larang Qingming

Menurut Abu Talib Ahmad, terdapat banyak pantang larang semasa membersihkan tanah perkuburan. Pengunjung tidak boleh memijak “kertas replika” yang bertaburan atau abunya sebagai tanda hormat supaya tidak “merosakkan” benda yang dipersembahkan itu. Selain itu, pengunjung juga perlu mengelakkan diri daripada melangkah kubur lain. Pengunjung juga tidak boleh mengutip barang atau wang yang dijumpai di tempat perkuburan. Hal ini kerana tindakan ini akan menjemput roh mengikut pengutip itu balik ke rumah.

4.0 Kaedah Kajian

Data-data ini dikumpul melalui dua sumber iaitu sumber primer dan sumber skunder. Sumber primer terdiri daripada kaedah temubual dan pemerhatian. Manakala, sumber skunder terdiri daripada kaedah menganalisis buku-buku rujukan, akhbar dan artikel. Data dianalisis berdasarkan tiga komponen iaitu analisis induktif, analisis deduktif dan analisis komparatif.

5.0 Hasil Kajian   

5.1 Perayaan Qingming

Perayaan Qingming juga dipanggil Pesta Chingming, Ceng Beng atau diterjemah sebagai “Perayaan Jelas dan Terang”, merupakan perayaan masyarakat Cina yang diadakan pada hari ke-104 selepas solstis musim sejuk (atau hari ke-15 selepas ekuinoks musim bunga) dan lazimnya diadakan sekitar 5 April dalam kalender Gregorian. Pada setiap tahun lompat pula, Qingming diadakan pada 4 April. Hari Qingming merupakan hari bagi masyarakat Cina menziarahi kubur orang tua dan nenek moyang, membersihkan  kubur dan  melakukan amalan sembahyang.

Orang Cina biasanya melawat kubur nenek moyang pada hari Qingming untuk memperingati jasa dan memberi hormat kepada mereka yang sudah meninggal dunia. Pada hari ini, orang Cina akan datang membersihkan kawasan perkuburan nenek moyang mereka. Selain itu, perayaan ini juga penting bagi upacara pemujaan nenek moyang yang mewajibkan anggota keluarga membersihkan rumput dan batu nisan di kubur serta menghadiahkan makanan dan memasang colok. Secara tradisinya, ramai yang membakar kertas sembahyang di kawasan kubur untuk kebaikan nenek moyang mereka.

Antara pantang larang masyarakat Cina dalam menyambut perayaan Qingming adalah masyarakat Cina dilarang memakai pakaian yang menjolok mata. Mereka dikehendaki memakai pakaian yang sesuai semasa menziarahi kubur. Seterusnya, mereka dilarang untuk mengambil gambar di kawasan perkuburan. Hal ini boleh membawa kepada perkara yang tidak baik dan mungkin terdapat ketidakseimbangan yin dan yang. Wanita hamil juga dilarang menziarahi kubur.

5.2 Perayaan Thaipusam

Hari Thaipusam merupakan perayaan yang disambut oleh mereka yang beragama Hindu di seluruh dunia untuk menghormati dewa Hindu, Dewa Murugan atau juga dikenali sebagai Dewa Subramaniam. Hari Thaipusam merupakan hari menunaikan nazar dan menebus dosa atau memohon ampun di atas dosa-dosa yang telah dilakukan selama ini. Tidak semua penganut Hindu akan menunaikan nazar.

Pada hari Thaipusam, penganut agama Hindu akan membawa patung Dewa Subramaniam iaitu anak bongsu Dewa Siva di atas pedati perak dan diarak dengan muzik tradisi. Selain itu, antara ciri utama perayaan Thaipusam ini, penganut agama Hindu juga akan membawa kavadi iaitu sebuah kerangka besi yang dihiasi dengan bunga, kertas berwarna-warni dan buah-buahan segar yang dijunjung di atas bahu. Hal ini adalah sebagai tanda membayar nazar atau bertaubat kepada Dewa Subramaniam. 

Bagi sesetengah penganut agama Hindu juga, mereka akan mencucuk logam atau besi yang menembusi kulit tubuh, lidah, pipi dan anggota badan yang lain bagi tujuan membersihkan dosa dan menyucikan diri. Mereka akan berkumpul beramai-ramai sambil membawa kavadi. Biasanya, pembawa kavadi ini berada dalam keadaan terpukau sambil mengikut rentak lagu yang dimainkan. Di Malaysia, pembawa kavadi ini akan berarak dan menaiki 272 anak tangga di Batu Caves sehingga sampai di pintu gua dan meletakkan kavadi di hadapan patung dewa. Selain itu, penganut agama Hindu juga akan membawa kelapa, madu dan susu untuk dipersembahkan kepada dewa-dewa bagi mendapatkan restu.

Antara pantang larang yang terdapat semasa perayaan Thaipusam adalah individu yang ingin menunaikan nazar hendaklah mencukur rambut, tidur di atas lantai, mengelakakn hubungan seks dan sembahyang secara tetap. Seterusnya, semasa menunaikan nazar, penganut perlu memakai pakaian yang berwarna putih dan orang lain memakai pakaian tradisional. Penunaian nazar mestilah menunaikan nazar dengan diri sendirinya dan tidak boleh ditukar orang. Mereka juga harus memberi sepenuh perhatian membawa kavadi. Akhir sekali, mereka hendaklah berkaki ayam semasa menaik turun tangga dan semasa mengiringi rombongan, mereka mesti memakai pakaian yang berwarna putih yang telah direndam dengan serbuk kunyit semasa menunaikan nazar.

Antara kesan yang didapati daripada kajian ini antaranya ialah kesan dari segi kekeluargaan, ekonomi negara, perpaduan dan juga interaksi antara kaum. Setiap implikasi yang didapati membawa kesan yang baik kepada negara dan juga masyarakat hari ini. Setiap pantang larang yang wujud adalah untuk mengajar generasi hari ini untuk melakukan sesuatu yang baik dan tidak memudaratkan diri, keluarga dan masyarakat. Pantang larang yang dibuat atau diwujudkan mampu memberi impak yang sangat mendalam dalam diri dan masyarakat yang mengamalkan pantang larang tertentu mengikut kepercayaan agama masing-masing.

6.0 Rumusan dan Cadangan

Negara kita terdiri daripada pelbagai kaum, pantang larang yang diamalkan oleh kaum Melayu, Cina dan India adalah untuk kebaikan sendiri. Oleh itu, pantang larang perlu dipatuhi semasa perayaan untuk mengelakkan sesuatu yang malang berlaku. Salah satu perayaan yang diamalkan oleh masyarakat India ialah Thaipusam. Setiap perayaan mempunyai pantang larang yang berbeza dan perlu diamalkan untuk kebaikan diri. Pantang larang haruslah diwarisi secara turun- temurun. Ibu bapa boleh mendidik anak mereka apakah pantang larang dan mengapa mereka perlu mengamalkan pantang larang. Pantang larang diwarisi secara formal dan tidak formal. Secara formal adalah melalui buku, pantang larang ditulis sejak zaman dahulu dan diwarisi secara turun-temurun. Secara tidak formal adalah kanak- kanak mempelajari pantang larang dari ibu bapa atau orang dewasa. 

Kesimpulannya, kepelbagaian kaum di Malaysia mewujudkan pelbagai budaya dan dapat melahirkan suasana yang harmoni. Perayaan-perayaan yang disambut oleh masyarakat mengikut agama dan kepercayaan masing-masing mencorakkan kepelbagaian budaya di Malaysia. Oleh itu, melalui perayaan ini kita boleh mengenali identiti, budaya dan pantang larang sesuatu kaum yang terdapat di negara kita.


Rujukan

https://perayaankaumindia.blogspot.my/p/perayaan-thaipusam-hari-thaipusam.html
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0203&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz4fL6MaLU1
https://www.slideshare.net/nurfara1/esei-kenegaraan
http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130328/re_06/Asal-usul-Cheng-Beng-tradisi-penghormatan-leluhur
http://pantanglarang2010.blogspot.my/2010/08/50-kesimpulan.html
Abu Talib Ahmad, Utara Semenanjung Malaysia: Esei-Esei Warisan, 2012 (Penerbit USM) Malaysia-Social Life and Custom. I.
Joshua Raj, A Biblical Approach to Indian Traditions and Beliefs (Singapore: Genesis Books, 2008), 89.




Post a Comment