Friday, June 10, 2016

Pedofilia hidup dua alam







Pedofilia Britain, Robert Huckle, 30 tahun telah menggemparkan masyarakat negara ini dan antarabangsa apabila mengaku bersalah terhadap 71 tuduhan nejayah serangan seksual kanak-kanak di Malaysia dan Kemboja. Mangsa serangan seksual ini merangkumi kanak-kanak dan bayi yang berusia 6 bulan hingga 12 tahun.

Hakim Peter Rook menjatuhkan hukuman penjara minimum 25 tahun dengan mesej yang sangat jelas iaitu ‘... adalah jelas, jika kamu tidak ditahan, kamu merancang meneruskan gaya hidup yang sama dengan menggunakan kepakaran kamu untuk memujuk dan berkongsi dengan pendera seksual lain untuk terus-menerus mengeksploitasi aktiviti seksual kamu terhadap kanak-kanak dalam masyarakat berkenaan’.

Huckle membesar di Ashford, England dan telah melawat Malaysia pada tahun 2005 semasa berusia 19 tahun. Pada tahun berikutnya beliau ke Kemboja dengan menyasarkan kanak-kanak berusia empat tahun dan kakaknya enam tahun.

Di Malaysia dan Kemboja, Huckle menunjukkan sikap amat mengambil berat kebajikan kanak-kanak dan mempamerkan dirinya sebagai seorang penganut Kristian yang taat untuk mengajar bahasa Inggeris dan berkongsi cerita dari kitab Injil. Beliau turut memuat naik gambarnya bersama dengan kanak-kanak di Facebook malahan gambarnya dimasukkan dalam video promosi yang dikeluarkan oleh British Council Malaysia.

Mangsa keganasan seksual Huckle terdiri daripada kanak-kanak miskin dari keluarga Kristian. Beliau mengambil masa bertahun-tahun untuk menjalin hubungan dengan masyarakat sekitar sehingga sangat dipercayai. Niatnya hanyalah mencari kanak-kanak dan melakukan serangan seksual tanpa dapat ditangkap.

Richard Huckle akan melatih kanak-kanak sasarannya sehingga ke tahap beliau amat yakin yang kanak-kanak itu tidak akan memberitahu sesiapa termasuk ibu dan bapa mereka.

Semasa dalam siasatan, pasukan penyiasat menemui fail simpanan yang mengandungi lebih daripada 20,000 imej lucah dan video perbuatan serangan seksual. Salah satu panduan penderaan seksual turut dijumpai dalam komputer peribadinya dan bersedia untuk diterbitkan melalui pautan ‘sesewang gelap’ yang kemudiannya ditukarkan kepada wang maya, Bitcoins.

Beliau juga menyimpan kad skor yang menunjukkan jumlah kanak-kanak yang menjadi mangsanya. Buku lejar yang mengandungi 191 nama telah diubah suai kepada permainan kejam yang mana Huckle memberi ganjaran kepada dirinya berdasarkan identiti kanak-kanak dan bentuk penderaan yang dilakukan. Peraturan permainan ini mengatakan beliau tidak akan menerima ganjaran jika melakukan aktiviti yang sama ke atas kanak-kanak yang sama pada minggu yang sama.

Dalam kenyataan kesalnya, Huckle berkata selagi mana beliau menyimpan senarai nama kenalan orang-orang miskin yang diketahui, beliau pasti ada yang cenderung kepada seseorang yang ‘berstatus tinggi’ sepertinya untuk menjaga kebajikan anak-anak mereka sama ada dalam tempoh yang singkat atau lebih lama.

Sebaik sahaja hukuman ke atas Huckle dijatuhkan, seorang wanita di galeri awam mahkamah menjerit ke arahnya, ‘1000 kematian juga sangat baik untuk kamu!’

Kisah Huckle ini mengingatkan kita kepada seorang lagi pedofilia pelajar Malaysia, Nur Fitri Azmeer Nordin yang ketika ditahan sedang menuntut di Imperial College London. Beliau dipenjara selama lima tahun kerana memiliki ribuan video dan gambar lucah kanak-kanak termasuk dalam kategori A iaitu gambar yang menunjukkan hubungan seks dengan kanak-kanak bawah umur.

Kes pedofilia ini membuka mata masyarakat kita untuk melihat sejauh mana negara kita memiliki kepakaran dalam jenayah keganasan seksual terhadap kanak-kanak. Keberkesanan agensi penguatkuasa dalam menangani kes-kes sebegini menjadi tanda tanya kerana tidak banyak makluamt atau berita yang dikongsi bersama masyarakat. Dalam pada itu, pertubuhan bukan kerajaan yang menjadikan aktiviti pencegahan jenayah seksual kanak-kanak juga jarang kita dengar.

Semua ini menunjukkan isu berkaitan keganasan seksual terhadap kanak-kanak masih berada di peringkat taboo dalam masyarakat kita. Kerajaan perlu berusaha giat menggerakkan usaha dan kempen kesedaran bagi menggalakkan masyarakat untuk melihat kembali keselamatan diri dan keluarga di samping mengambil sikap berwaspada dengan orang luar yang ‘nampak cantik di luar tetapi buruk di dalam’.



No comments:

Post a Comment