Saturday, April 30, 2022

Gunakan peluang sebaiknya


Peluang tidak selalu datang. Jika kita hendak berjaya, gunakan setiap kesempatan yang ada di hadapan kita. Inilah kaedah terbaik yang mampu membawa seseorang ke mercu kejayaan hidup. 

Peluang berharga mesti disedari supaya dapat dimanfaatkan. 

Contohnya, kita ada peluang belajar di sekolah. Inilah kesempatan terbaik untuk membina masa hadapan yang lebih baik. 

Pendidikan telah banyak mengubah hidup orang miskin, membantu orang susah menjadi senang dan menjadikan orang yang biasa-biasa kepada luar biasa. 

Apatah lagi pendidikan di negara ini sangat diberi bantuan oleh kerajaan dari sekolah rendah hingga ke universiti. 

Justeru, kita sendiri yang memilih peluang yang diberi ini dan wajar digunakan sebaik-baiknya.

Friday, April 29, 2022

Hidup biar cergas


Kita dapat apa yang kita usahakan sahaja. jika kita bekerja sendiri, mahu ataupun tidak mahu kita perlu keluar di awal pagi, mencari pelanggan dan kembali ke rumah pada sebelah petang selepas menutup jualan harian. 

Jualan akan meningkat jika strategi jualan dan cara pemasaran dibuat dengan betul. Ganjarannya adalah kita akan mendapat keuntungan. Bekerja makan gaji ada juga ganjarannya. 

Namun cara penilaian berbeza, contohnya nilai kesungguhan yang mana nilai ini dapat dilihat dari produktiviti dan kesempurnaan kerja. Tahap kecekapan juga melambangkan kualiti kerja yang dilakukan. 

Tidak mungkin dengan duduk-duduk dan lepak-lepak di rumah akan mendatangkan produktiviti sebaliknya watak seperti ini hanya menghabiskan beras, tidak ada keberanian mewujudkan iklim hidup yang lebih cergas dan hidup dengan penuh kerugian. 

Jika orang lain yang berusaha gigih menjadi senang-lenang, orang yang duduk sahaja tentulah menjadi papa kedana.


Thursday, April 28, 2022

Nikmat ujian hidup


Setiap orang ada masalah dan isu kehidupan masing-masing. 

Ada yang sedih kerana belum dapat kerja, ada yang mengeluh kerana kos hidup semakin tinggi dan ada yang berkira-kira hendak mencari pekerjaan lain kerana memikirkan pendapatan sedia ada tidak pernah cukup untuk hidup. 

Dari sisi lain, ada ibu bapa yang memikirkan tingkah laku anak-anak yang liar. Biar apa pun kesedihan hidup, kita mesti menghadapinya dengan penuh keazaman. 

Kesedihan hidup mesti disandarkan kepada penyelesai masalah iaitu Allah swt yang ingin menguji sejauh mana kita sabar. 

Allah swt mahu kita merasai susah-payah hidup supaya kita dapat berdoa kepada-Nya. Allah swt mahu kita sujud di hadapan-Nya. 

Inilah hikmah ada orang yang terlalu banyak menghadapi kesedihan hidup. Ingatlah ujian akan menjadikan kita lebih matang.

Wednesday, April 27, 2022

Cekal dan tabah dalam hidup


Setiap kehidupan ada pasangannya sama ada kecil atau besar, panjang atau pendek dan sebagainya. 

Lelaki pasangannya adalah perempuan, kaya pasangannya adalah miskin. Jika ada orang baik akan ada pula orang jahat. 

Dalam bisnes pun sama iaitu ada yang untung dan ada yang rugi. Maknanya, ada pasangan yang saling lengkap-melengkapi. Ada masanya kita hidup dengan kesusahan seperti wang gaji yang kecil dan habis digunakan untuk membayar hutang. 

Ada masanya kita kerap berulang alik ke hospital kerana menguruskan kesihatan diri berkaitan jantung, darah ataupun buah pinggang. Berbagai-bagai masalah yang kita hadapi khususnya apabila umur semakin meningkat. 

Satu-satunya penawar rohani yang sangat baik adalah tidak berputus asa dengan rahmat Allah swt, hidup yang cekal dan tabah dengan takdir yang ditentukan.

Tuesday, April 26, 2022

Jangan takut cabaran hidup


Hidup perlukan masalah kerana masalah mencetuskan cabaran. Orang yang enggan berfikir terhadap masalah, biasanya telah berada dalam zon selesa. 

Tidak mahu lagi berhadapan dengan dunia cabaran. Masalah memang memeningkan kepala tetapi memiliki masalah menjadikan hidup lebih baik. 

Masalah menggerakkan saraf minda untuk berfikir, mencari maklumat, mencari penyelesaian dan membuat tindakan. 

Sebaik sahaja saraf minda mula bergerak, hidup kita mula menjadi dinamik, lebih agresif, banyak bergerak dan nampak kesungguhan untuk menyelesaikan cabaran. 

Jadi, jangan takut berhadapan dengan masalah.

Monday, April 25, 2022

Paradigma baharu vs paradigma lama


Jika kita berjalan-jalan melihat kedai-kedai di bandar, kita akan dapat melihat berbagai-bagai jenis perkhidmatan, produk dan bentuk bisnes. 

Pengamatan saya terhadap bisnes selama sepuluh tahun lepas berbanding pada masa sekarang, saya boleh katakan terdapat dua jenis aliran pemikiran dalam bisnes. 

Bisnes yang masih ada hingga sekarang ini berada dalam jenis pertama iaitu paradigma baharu.

Manakala bisnes yang ‘hidup segan dan tidak mahu mati’ berada dalam pemikiran paradigma lama. Paradigma bermaksud kerangka pemikiran. 

Justeru, paradigma baharu boleh dikatakan berada dalam kerangka pemikiran baharu seperti menggunakan sistem atau teknologi baharu yang memasukkan elemen teknologi maklumat dalam urusan bisnes, pelbagaikan kaedah pemasaran dan mengaplikasikan pentadbiran gaya korporat. 

Paradigma lama sangat terhad dan jika dalam persaingan, bisnes dengan paradigma lama akan tewas.


Sunday, April 24, 2022

Sentiasa semak untuk hasil yang terbaik


Terdapat banyak sebab kenapa orang yang cemerlang menjadi cemerlang. Terdapat ramai orang yang sentiasa berusaha untuk menjadi cemerlang tetapi berakhir menjadi orang yang malang. 

Setiap kali diberi tugasan, orang yang cemerlang biasanya sangat teliti dengan hasil kerja mereka. 

Hasil kerja yang dimaksudkan ini sentiasa diperiksa berkali-kali supaya puas hati. 

Dalam bahasa Inggeris dipanggil ‘confirm and reconfirm, check and double recheck’. Sentiasa menilai seperti ini akan membantu meningkatkan kualiti kerja dan menambah kepercayaan orang ramai terhadap perkhidmatan atau produk kita. 

Tabiat beginilah yang membezakan antara orang yang berjaya dengan cemerlang dan berjaya dengan biasa-biasa.


Saturday, April 23, 2022

Sindir untuk kebaikan


Kritikan, maklum balas, perli atau sindir adalah lumrah dalam kehidupan. Ada orang yang menerima kritikan dengan senang hati dan hati yang terbuka. 

Malah ada yang mengalu-alukan kritikan kerana kritikan boleh membantu membaiki kelemahan, mengurangkan kos dan menambah kecekapan. 

Namun ada orang yang sangat sukar menerima kritikan kerana tidak belajar bagaimana hendak berhadapan kritikan. Mereka menganggap kritikan menjatuhkan reputasi, memberi imej negatif dan takut kepada persepsi negatif. 

Sebaik-baik cara menghadapi kritikan adalah bertindak secara profesional iaitu bersikap terbuka, bukannya secara emosional.


Friday, April 22, 2022

Nilai cemerlang vs nilai gagal


Kalau kita bermula dengan cemerlang, mengamalkan nilai-nilai cemerlang sejak awal, hasilnya tentulah cemerlang. Bukannya nilai gagal atau kacau-bilau. 

Namun kalau kita bermula dengan kacau-bilau, mengamalkan nilai-nilai yang gagal atau anti kecemerlangan, tentulah hasilnya juga tidak ke mana. Tidak mungkin menjadi cemerlang. 

Meraih kecemerlangan adalah proses yang terancang, bukannya tiba-tiba sahaja menjadi cemerlang. 

Ketika pasukan bolasepak JDT menjadi juara Piala Malaysia, kejuaraan itu bukannya tiba-tiba atau kebetulan sebaliknya melalui proses lantikan dan pemilihan jurulatih yang teliti serta mencari pemain yang berkualiti. 

Di samping itu sokongan penyokong juga penting. Jelas sekali, kejayaan dan kecemerlangan mesti dirancang dengan nilai-nilai kecemerlangan.


Thursday, April 21, 2022

Tabiat lama ke tabiat baharu


Sesuatu kejadian, peristiwa atau musibah boleh mengubah penampilan diri, meningkatkan keyakinan dan menjadikan diri lebih bersedia dengan cabaran. 

Contohnya, ada orang yang berbadan gempal terpaksa memakai pakaian bersaiz triplex dan berasa malu untuk keluar dari rumah kerana tahap keyakinan diri yang rendah. 

Begitu juga dengan orang yang ingin mengubah cara pemakanan. 

Sakit perut, sukar tidur atau kerap makan memberi peluang kepada kita untuk mengubah tabiat lama yang tidak produktif kepada tabiat baru yang lebih baik. 

Walaupun harus melalui disiplin diri yang lebih keras, perubahan berat badan akan lebih ketara jika dilakukan bersungguh-sungguh. 

Sebaik sahaja melihat keadaan diri yang baharu, secara tiba-tiba keyakinan diri akan naik mendadak dan sedia tampil ke hadapan.