Monday, November 16, 2009

Hari-hari dalam hidupku

Penulis: Zainab Al-Ghazali Al-Jubaili
Tahun: 2007
Penerbit: Pustaka Salam Sdn. Bhd, Kuala Lumpur.
Muka Surat: 366

Buku ‘Hari-hari dalam hidupku’ ini mengisahkan peristiwa benar liku-liku kehidupan seorang wanita Islam yang gigih mempertahankan umatnya daripada dilanda arus kesesatan. Kegigihan beliau seharusnya menjadi teladan kepada para pemuda yang cintakan agama ini. Zainab Al-Ghazali adalah seorang pejuang dakwah masa kini. Beliau lahir di tengah-tengah keluarga yang menekankan kepentingan pendidikan Islam. Sejak zaman remaja beliau bertekad untuk mewakafkan dirinya menegakkan kesucian Islam. Beliau telah mengasaskan penubuhan Jama’ah Muslimat pada tahun 1937. Pertubuhan itu adalah satu organisasi yang bertujuan memberikan pendidikan kepada wanita-wanita Islam, membantu keluarga yang mana suaminya telah dipenjarakan oleh pemerintah Mesir.

Kegigihan dan keikhlasan beliau di atas jalan dakwah ini telah mempertemukannya dengan Hasan Al-Banna, pengasas dan mursyid am Ikhwan Muslimin yang pertama. Pertemuan ini telah menyebabkan beliau kemudiannya memberikan bai’ahnya kepada Hasan Al-Banna dan menjadi anggota Ikhwan Muslimin. Ini kerana beliau meyakini bahawa bekerja untuk menegakkan negara Islam adalah wajib dan kerja-kerja itu hendaklah melalui sebuah jemaah Islam yang mencontohi jemaah Islam pimpinan Rasulullah SAW. Jemaah Ikhwan Muslimin yang diasaskan oleh Hasan Al-Banna adalah jemaah Islam pertama yang telah ditubuhkan pada tahun 1928 iaitu empat tahun selepas kejatuhan Khalifah Uthmaniah di Turki. Jemaah itu bercita-cita hendak mengembalikan Islam ke dalam kehidupan manusia ataupun menegakkan kembali daulah Islam.

Kisah Zainab adalah kisah perjuangan dan kesabaran. Beliau sanggup berkorban apa sahaja demi mempertahankan kebenaran yang menjadi prinsipnya. Semasa era pemerintahan presiden Jamal Abdul Nasser, puluhan ribu anggota Ikhwan Muslimin dipenjara dan diseksa. Zainab Al-Ghazali dengan penuh kemampuan yang dimilikinya berusaha sedaya upaya meringankan bebanan keluarga mereka yang dipenjarakan. Pelbagai bantuan kebendaan dan rohani dihulurkan.
Rancangan untuk membunuhnya telah dilakukan. Akhirnya beliau ditangkap dan dipenjarakan dan bermulalah siri penyeksaan ke atasnya. Namun Allah telah menyelamatkannya. Ketika menghadapi saat-saat penyeksaan di dalam penjara, Jamal Abdul Naseer telah mengarahkan beliau diseksa dengan penyeksaan yang berat.

‘Atas perintah Jamal Abdul Naseer, Presiden Republik Mesir, Zainab Al-Ghazali Al-Jubaili mestilah diseksa seperti seksaan ke atas orang lelaki.’

Beliau dipukul dengan tongkat, cemeti, digantung kaki ke atas, dikurung dengan anjing-anjing yang ganas, direndam seharian dalam penjara air, dipenjara dengan tikus dan pelbagai lagi seksaan yang berlaku ke atasnya. Namun beliau tabah menghadapinya dengan penuh yakin akan janji Allah, ‘Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung.’

Akhirnya beliau keluar daripada penjara pada tahun 1971. Semangat serta keyakinan kepada pertolongan Allah menghadapi segala bentuk penyeksaan menjadikan beliau sebagai teladan (qudwah) kepada generasi pejuang kebenaran sehingga hari kiamat.

Saturday, November 14, 2009

Aconitum Napellus

Penawar utama ketika radang dan demam tiba-tiba. Tunjukkan tanda-tanda takut dan bimbang. Tubuh dan fikiran menderita. Fizikal dan mental tidak cukup rehat. Serangan akut yang tiba-tiba dan disusuli demam. Tidak mahu disentuh. Ketahanan diri lemah tiba-tiba. Rungutan kerana pendedahan pada cuaca atau angin sejuk dan kering; kerana cuaca panas; gangguan pada perut dan usus (gastrointestinal). Rasa panas membakar di bahagian anggota-anggota dalaman; berdenyut-denyut, sejuk dan kebas. Influenza. Arteri tegang menunjukkan simpton ketegangan emosi dan fizikal. Tindakan Aconite adalah singkat dan tidak berkala hanya dalam lingkungan penyakit akut dan tidak lagi bertindak selepas berlakunya perubahan patologi.

Fikiran: Rasa takut; fikir akan mati. Rasa takut tidak dapat ditenteramkan. Meratap, marah dan kesal dengan perkara-perkara yang remeh-temeh. Takut dalam kumpulan ramai atau melintas di tengah-tengah jalan yang sibuk (jalan raya, pasar). Cemas. Sedih dengan bunyi muzik yang keterlaluan. Sangat sensitif dengan cahaya atau bunyi.

Kepala: Sakit kepala (seperti air yang mendidih). Rasa penuh dan berat jika semuanya ditolak keluar melalui dahi. Pening (vertigo); teruk bila mengangkat atau menggoyangkan kepala terutama selepas berbaring dalam bilik yang panas; pening rasa hendak muntah. Kulit kepala sensitif dengan sentuhan dan angin sejuk.

Mata: Merah. Kelopak mata bengkak, rasa keras dan merah. Sensitif dengan cahaya terutama cahaya matahari. Mata berair kerana sangat sakit. Radang membran mukus (conjunctivitis) kerana rasa pedih benda asing yang masuk ke dalam mata.

Telinga: Sangat sensitif dengan bunyi bising.

Hidung: Deria bau yang tajam terutama bau yang kurang menyenangkan. Hidung berdarah (epistaxis); darah merah muda. Hidung berair (coryza) disertai dengan bersin. Membran mukus kering; hidung tersumbat dengan keadaan kering atau sedikit berair. Sakit di pangkal hidung.

Muka: Kelihatan takut dan bimbang. Pucat dan kemerah-merahan berselang-seli. Rasa muka membesar atau bengkak. Bila diangkat, keadaan muka merah bertukar menajdi pucat lesi dan sedikit rasa pening. Pipi rasa berdenyut-denyut dan kebas. Urat-urat rasa menyucuk (neuralgia) terutama di bahagian kiri dengan keadaan tanpa dapat duduk dengan selesa; berdenyut-denyut dan kebas.

Mulut: Bibir dan lidah kering. Lidah bengkak, ada selaput putih dan rasa menyucuk-nyucuk. Rasa pahit; bau busuk dan reput seperti telur kemuruk. Gusi; panas dan bengkak merah (radang gusi). Sakit gigi kerana sejuk; gigi sensitif dengan udara sejuk.

Kerongkong: Merah, kering, sempit; kebas, menyucuk-nyucuk dan menyengat.

Tonsil: Bengkak dan kering; menyucuk-nyucuk di sebelah belakang. Radang yang akut sebabkan tonsil membengkak dan sakit berterusan.

Perut: Sensitif bila disentuh. Terdapat tekanan dalam saluran perut kerana rasa berat atau seperti ada batu. Bisa tiba-tiba bila muntah (kerana ulser atau gastrik).

Abdomen: Kembung, panas terbakar dan sensitif dengan sentuhan (abdomen kembung kerana ada angin). Rasa terbakar dan dipotong-potong dalam usus dan menjadi lebih teruk kerana tekanan atau berbaring sebelah kanan. Lega bila panas. Sakit perut sebabkan tidak boleh duduk diam. Penyempitan uluran (hernia) dengan muntah. Tiba-tiba hati rasa menyucuk-nyucuk dan sakit; susah bernafas.

Najis: Kerap buang air besar dan kecil diiringi rasa sakit. Najis warna hijau. Air kencing warna merah. Kanak-kanak mengalami cirit-birit. Najis berlendir dan sembelit silih berganti. Buasir berdarah.

Kencing: Air kencing sedikit merah, panas dan amat sakit kerana saluran kencing mendapat radang. Takut hendak kencing; kencing rasa sakit, susah dan titik demi titik. Kencing berdarah (haematuria). Tahan kencing hingga menjerit dan tidak boleh duduk diam; kanak-kanak tahan kencing kerana sejuk menyebabkannya tidak boleh duduk diam dan selalu menangis.

Organ Seks: Pundi-pundi zakar bengkak, lebam dan keras. Keinginan seks menurun tetapi meningkat di sebelah petang. Haid terhalang kerana takut, marah dan menyesal sesuatu kejadian. Haid kerap berlebihan dan disertai dengan hidung berdarah. Keputihan pada perempuan yang agak banyak, melekat-lekat dan kekuningan. Radang ovari kerana aliran haid tiba-tiba perlahan.

Pernafasan: Suara serak dan parau. Larinks sensitif dengan sentuhan. Batuk dan sukar bernafas bila terjaga dari tidur; sangat sakit; batuk kering yang pendek dan kuat. Batuk bila digeletek; kerap keluar kahak dengan warna darah terang. Kanak-kanak sentiasa pegang kerongkong setiap kali batuk; lega bila baring terlentang. Batuk berterusan selepas demam, minum air sejuk, hisap rokok, berbaring ke kiri atau kanan, sebelah petang; lebih teruk selepas tengah malam (1 hingga 3 pagi). Sakit menyucuk-nyucuk di dada kerana batuk; tidak boleh berbaring sebelah kanan. Boleh dapat lelah bila batuk disekat.

Jantung: Bimbang dan berdebar-debar; laju dan kuat. Sakit menyucuk-nyucuk tiba-tiba dan rasa sesak dalam jantung; dada rasa sempit. Kadar demam dan batuk adalah kerap, cepat dan keras.

Kakitangan/Belakang: Leher amat sakit. Lebam antara bahu. Kebas di belakang badan menghala ke arah kaki dan tangan bawah. Tangan panas dan kaki sejuk; tangan kiri. Tapak tangan berpeluh; kuku kebiru-biruan. Kaki rasa kebas selepas duduk. Betis kejang; lutut tidak tegap; longlai.

Kulit: Bintik-bintik kecil (gooseflush) kerana sejuk atau takut; merah bersinar-sinar, bengkak panas dan kering. Gatal dengan rasa sakit menyucuk-nyucuk dan kehitam-hitaman; kurang bila digaru. Rasa ada binatang merayap di atas kulit.

Tidur: Menguap sekali-sekala kerana tidak dapat tidur; tengah malam; rasa bimbang, kurang rehat, resah tentang masa hadapan. Mimpi nampak jelas apa yang berlaku pada hari tersebut.

Demam: Sejuk di permulaan demam; letih selepas petang selepas berbaring. Demam dengan rasa panas, gelisah, pipi merah, badan menggigil, dahi dan telinga panas. Dahaga dan tidak dapat rehat. Bernafas pendek dan cepat dengan debaran jantung yang kuat. Berpeluh-peluh jika diselimut.

Konstitusi: Merah kulit muka; rambut hitam; otot-otot tegang; kanak-kanak demam yang kuat; mudah terpengaruh (allergic) dengan perubahan persekitaran; orang tua yang telah berumur; minda aktif; perempuan muda; mudah gugup.

Melarat: Petang; senja; malam (1 hingga 3 pagi); baring sebelah sahaja; dalam bilik panas; terdedah dengan bunyi muzik yang kuat; asap rokok; semasa mabuk.

Lega: Tempat terbuka; duduk diam; selepas berpeluh.

Patologi: Tidak dapat rehat cukup; selesema; pengsan; demam; kebas; takut; gelisah; batuk; sakit mata dan telinga; kanak-kanak jaundis.

Simptom Utama:
Serangan penyakit tiba-tiba; lega dengan panas.

Friday, November 13, 2009

Tiru ketabahan Nabi Ayub a.s

Kisah Nabi Ayub a.s seringkali menjadi iktibar kepada umat Islam khususnya yang sedang menghadapi ujian dan cabaran dalam hidup. Suka dan duka baginda menempuh ujian Allah sangat sukar diterima oleh orang kebanyakan seperti kita.

Nabi Ayub a.s adalah salah seorang nabi dari kalangan Bani Israel. Kehidupannya diuji dengan penyakit selama 18 tahun dan kawan-kawannya lari meninggalkan Nabi Ayub a.s kecuali isterinya.

Kehidupan baginda sangat bahagia, dilimpahi kekayaan harta dan anak-anak yang ramai. Namun ujian Allah bermula apabila kekayaannya ditukar kepada kemiskinan dan anak-anaknya mati seorang demi seorang.

Bagi orang awam, ujian Allah merupakan pembersihan dosa-dosa terdahulu. Barangkali kesalahan-kesalahan lalu menjadi penghalang kepada rahmat Allah dalam hidup. Jika tidak, ujian memang saja hendak diberi kerana Allah ingin memberi hikmat yang tertentu. Di samping itu ujian juga sebagai penambah pahala.

Allah tidak berlaku zalim kepada hamba-Nya kerana ujian yang diberi adalah yang terbaik untuk diri seseorang. Ciri-ciri ujian yang menepati seseorang ialah ia mengikut tahap keimanan. Sebab itulah para nabi dan rasul menerima ujian yang sangat berat, diikuti orang soleh sehinggalah orang kebanyakan.

Ibnu Kathir berkata, ‘Kisah Nabi Ayub a.s adalah kemuncak dalam kesabaran kerana ketinggian dalam iman kepada Allah.’

Dalam surah Al-Anbia ayat 83 hingga 84 dinyatakan, ‘Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: "Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani.
Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya, serta Kami kurniakan kepadanya: keluarganya, dengan seganda lagi ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik).’

Ayat ini menerangkan perihal Nabi Ayub a.s yang penuh adab berdoa kepada Allah. Baginda tidak menyatakan permintaannya secara khusus tetapi penuh pujian kepada Allah yang memahami keadaan dirinya ketika itu.

Dalam menempuh ujian dan cabaran hidup, orang beriman harus melihatnya dari persepktif positif. Sama ada ringan atau berat, semua ujian memberi kebaikan kepada orang beriman. Jika berat, boleh jadi rasa susah, mungkin susah itu membawa kebaikan kepada diri seperti dapat menilai kembali keputusan atau tindakan yang diambil sebelum ini.

Allah menyembuhkan penyakit Nabi Ayub a.s kerana doanya itu, mengembalikan semula harta dan anak-anak yang telah hilang sebelum itu sebagai sebahagian daripada rahmat Allah.

Maksud surah A-Saad ayat 42, ‘Maka Kami kabulkan permohonannya serta Kami perintahkan kepadanya): Hentakkanlah (bumi) dengan kakimu (setelah ia melakukannya maka terpancarlah air, lalu Kami berfirman kepadanya): Ini ialah air sejuk untuk mandi dan untuk minum (bagi menyembuhkan penyakitmu zahir dan batin).’

Sebagai orang yang sentiasa berhadapan dengan ujian dan cabaran, baik dalam keluarga, tempat kerja atau dalam masyarakat, adalah wajar bagi kita untuk menilai pengajaran di sebalik ujian berkenaan.

Ujian hidup yang kita hadapi bukannya satu bentuk hinaan Allah ke atas hamba-Nya yang beriman kerana Allah menguji seseorang mengikut kehendaknya. Kita tidak ada daya upaya hendak menolaknya.

Menolak ujian yang kita hadapi mesti menggunakan bahasa yang sebaik-baiknya seperti yang ditunjukkan oleh Nabi Ayub a.s di mana baginda memilih bahasa yang beradab. Perkara yang wajar berada di fikiran kita ialah menerima ujian dengan sabar dan pada masa yang sama berusaha mencari jalan keluar dengan gigih.

Nabi Ayub a.s memberi pengajaran kepada orang beriman untuk bersedia dengan ujian Allah. Biar teruk sekali pun, ikhtiar mesti dicari supaya kesedihan dan kepayahan yang dilalui dapat diatasi dengan cara terbaik.

Thursday, November 12, 2009

Bagaimana Finland merencana pendidikan negara

Kejayaan Finland dalam dunia pendidikan telah dihidu apabila negara itu menduduki tempat pertama atau kedua dalam Programme for International Student Assessment (PISA) pada tahun 2003 dan 2006.

‘Finland telah berjaya berada di kedudukan satu atau dua dengan keupayaan yang tinggi dalam celik huruf, matematik dan sains. Jika dapat dilihat secara keseluruhan dalam pelbagai bidang, Finland mungkin berada di kedudukan pertama. Negara ini menerima markah yang sangat tinggi dalam pencapaian pelajar di peringkat antarabangsa,’ kata Duta Finland ke Thailand Sirpa Maenpaa.

Prestasi keseluruhan pelajar-pelajar sekolah di Finland telah mendapat reputasi yang baik di peringkat dunia. Ini membuktikan sistem pendidikan di negara itu sangat berjaya.

‘Paling menarik, keputusan yang dicatatkan oleh Finland adalah seragam. Ia bukannya datang dari sesetengah pelajar yang cemerlang sebaliknya prestasi keseluruhan pelajar,’ katanya.

PISA ada peperiksaan peringkat dunia yang dibuat tiga tahun sekali. Ia menguji keupayaan pelajar yang berumur 15 tahun dan diuruskan oleh Organisation for Economic Cooperation and Development (OECD). Dibangunkan sejak 1997, PISA yang pertama dijalankan pada tahun 2000. Negara-negara yang tidak menyertai OECD turut dijemput menyertainya.

Beberapa fakta pendidikan di Finland sangat menarik untuk dibuat perbandingan. Masalah keciciran sekolah rendah sangat rendah iaitu kurang daripada 0.5 peratus. Manakala kelas ulangan hanya dua peratus. Perbezaan antara sekolah sangat kecil kerana semua pelajar diwajibkan hadir sebanyak 190 hari setahun selama empat hingga tujuh jam sehari. Kerja sekolah tidak banyak, cukup untuk pengukuhan dan tidak ada lagi kelas tambahan selepas waktu sekolah.

Bagi kerja-kerja sekolah yang diberikan, ia mengambil masa hanya beberapa jam untuk dihabiskan berbanding sesetengah negara di Asia yang mendapat markah tinggi dalam PISA, mereka bergantung pada kerja-kerja sekolah yang kadangkala membebankan.

Apakah strategi kerajaan Finland bagi membangunkan system pendidikan mereka?

Maenpaa berkata ramai pendidik di seluruh dunia berminat untuk mengetahui bagaimana Finland menambah baik sistem pendidikan mereka dengan berkesan.

Perkara pertama ialah semua pendidik dikehendaki mendapatkan pendidikan peringkar sarjana sama ada mereka mengajar di sekolah rendah atau menengah.

Kedua, sistem pendidikan negara itu diperturunkan kuasa kepada pihak perbandaran malah kepada guru itu sendiri. Justeru, guru yang memiliki kelayakan peringkat sarjana mempunyai kuasa autonomi untuk menentukan kaedah terbaik mengajar pelajar-pelajar mereka.

‘Pendidikan diberi penghormatan yang sangat tinggi dalam masyarakat Finland. Kami telah melabur dalam menyediakan asas pendidikan yang berkualiti untuk menyediakan kemudahan pendidikan kepada semua pelajar sama ada mereka dapat belajar atau tidak di sekolah. Ia tidak bermakna kami mengerahkan mereka menjadi pelajar terbaik. Kami memberi sokongan kepada semua pelajar termasuk yang lemah,’ katanya.

Menurut Kementerian Pendidikan Finland, enam peratus daripada kadar dalam negara kasar diperuntukkan kepada sektor pendidikan. Tidak hairanlah negara itu dapat menyediakan pendidikan percuma kepada para pelajarnya.

‘Kami mewajibkan pendidikan di peringkat sekolah rendah selama sembilan tahun. Semua sekolah dan universiti dibiayai oleh kerajaan tempatan dan persekutuan. Buku untuk pendidikan asas juga diberi percuma. Makanan diberi bagi mempastikan pelajar memiliki tenaga yang mencukupi untuk pembelajaran mereka,’ jelas Maenpaa.

Terdapat juga beberapa buah sekolah persendirian yang menerima subsidi daripada kerajaan.

Kerajaan Finland melihat pendidikan percuma sangat dihargai di negara itu kerana pelaburan dalam modal insan meningkatkan kualiti penduduk. Ia juga dijadikan sebagai pintu utama kepada perubahan masyarakat di mana seseorang yang berpendidikan dapat memperkasa dirinya dalam masyarakat yang bersaing tanpa mengira sama ada kaya atau miskin.

Dianggarkan 96 peratus pelajar Finland memiliki minat yang tinggi untuk menyambung pelajaran di peringkat menengah dan institusi pengajian tinggi selepas menamatkan pendidikan rendah.

Di luar sekolah, negara itu mempunyai perpustakaan bandaran yang dibina dipinggir bandar. Ia memberi manfaat ke atas tahap pelajaran pelajar, pada masa yang sama usahawan dan sektor perniagaan memberi galakan untuk meneruskan pembelajaran.

Aspek lain yang menggalakkan suasana pembelajaran di Finland ialah budaya membaca di rumah di mana kanak-kanak yang menonton filem-filem antarabangsa melalui televisyen dapat membaca dengan cepat sari kata dalam bahasa Finland. Filem-filem itu tidak diterjemahkan dalam bahasa mereka sebaliknya dikekalkan dalam bahasa asal. Bagi negara-negara Eropah yang lain, kebanyakannya menterjemahkan bahasa asal filem berkenaan ke dalam bahasa mereka.

Satu faktor yang mesti diambil kira ialah kadar pembandaran yang tinggi di negara itu iaitu 63 peratus. Faktor ini juga menyumbang kepada literasi yang tinggi dalam kalangan penduduk Finland.

Wednesday, November 11, 2009

Masjid di Switzerland dibuka kepada bukan Islam

Masyarakat Islam di Switzerland telah membuka dan membenarkan masjid-masjid dibuka kepada bukan Islam bagi meningkatkan dialog dan menjelaskan salah faham selepas undi kontroversi ke atas pengharaman menara masjid.

‘Pada saya, ia bermakna mendedahkan diri kepada orang lain, memberitahu mereka bahawa sebagai muslim, kita membuka pintu kepada mereka. Kerana itulah kita berada di sini dengan kamu,’ kata seorang wanita muslim yang mengambil bahagian dalam hari terbuka yang dianjurkan.

Inisiatif ini dilakukan oleh beberapa buah pertubuhan Islam negara itu yang membenarkan masjid dibuka bagi menggalakkan pelawat datang setiap hari.

Switzerland menjadi tempat tinggal kepada 400,000 muslim dan Islam menjadi agama kedua selepas Kristian. Terdapat 200 buah masjid tetapi hanya empat buah yang mempunyai menara. Di samping umat Islam, paderi Roman Khatolik turut meminta para pengundi menolak cadangan pengharaman menara tersebut.

Pihak penganjur berkata hari terbuka berkenaan diadakan bagi meningkatkan dialog dan kefahaman masyarakat terhadap Islam.

‘Kami berharap pertemuan ini akan membuka pintu dialog dan meningkatkan kefahaman,’ kata Hisham Maizar, presiden Persekutuan Pertubuhan Islam Switzerland.

Dialog membantu masyarakat bukan Islam di Switzerland menghargai nilai-nilai Islam. Ia juga dapat meningkatkan kerjasama antara agama. Ramai masyarakat Kristian akan menghargai peluang melawat masjid dan belajar mengenai ajaran Islam.

Para pelawat yang datang ke masjid disambut oleh sukarelawan Islam yang menjawab beberapa persoalan berkaitan Islam. Pada masa yang sama mereka juga dibenarkan melihat orang Islam mengerjakan solat di ruang utama masjid.

Seorang wartawan dari BBC, Imogen Foulkes yang melawat masjid di Zurich berkata dia dan rakan-rakan bukan Islam yang lain amat gembira dengan lawatan berkenaan.

Tuesday, November 10, 2009

Konsep Satu Malaysia: perspektif kumpulan sokongan dua

Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif bagi meninjau pandangan responden terhadap konsep Satu Malaysia. Pengkaji memilih kaedah fenomenologi bagi menyempurnakan kajian kerana dapat menjawab persoalan kajian berlandaskan latar belakang responden kajian yang sukarela berkongsi pengetahuan mereka dan boleh menjelmakan banyak maklumat terselindung.

Maklumat yang terselindung ini dapat digunakan dalam memperkembangkan soal selidik yang digunakan dalam kajian kuantitatif pada masa yang akan datang.

Kaedah fenomenologi juga dapat meninjau pengetahuan dan terdapat elemen introspeksi di mana pengkaji boleh membuat pemerhatian terhadap tingkah laku responden.

Pengkaji memilih sampel yang kecil dan mudah iaitu sebelas orang penjawat awam yang sedang bekerja dalam gred jawatan 17. Kajian ini menggunakan garis panduan temu bual yang mengandungi soalan terbuka tentang topik Satu Malaysia.

Di samping soalan ini, pengkaji juga menggunakan soalan probing dalam perbualan biasa (santai) untuk mendapatkan maklumat yang lebih mendalam dan terperinci tentang rasional, penjelasan, perkaitan dan makna personal. Analisis induksi membantu pengkaji untuk menghasilkan penjelasan yang boleh dipercayai tentang kefahaman mereka daripada perspektif responden dan signifikannya kepada kerjaya responden.

Latar belakang responden

Seramai sebelas orang kakitangan awam gred 17 (sokongan 2) terdiri daripada pelbagai jabatan. Mereka adalah empat lelaki dan tujuh wanita, berbangsa Melayu dan berumur di bawah 30 tahun. Tahap akademik tertinggi ialah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Tempoh berkhidmat dalam sektor awam ialah satu hingga tiga tahun.

Dapatan kajian

Pengkaji telah mengelompokkan soalan temu bual kepada empat iaitu, 1) Apakah pandangan anda terhadap konsep Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan? 2) Apakah cabaran-cabaran utama dalam pelaksanaan Satu Malaysia? 3) Bagaimana perpaduan rakyat boleh dicapai dalam Satu Malaysia? dan 4) Bagaimana penjawat awam boleh menggalakkan kefahaman rakyat ke atas Satu Malaysia?

Respon soalan pertama menunjukkan responden memahami hasrat kerajaan yang sangat prihatin dengan keperluan setiap kaum di negara ini. Usaha kerajaan untuk memajukan sektor sosioekonomi rakyat dilaksanakan melalui pembangunan modal insan khususnya bagi mencapai Wawasan 2020.

Bagi soalan kedua, responden melihat cabaran utama ialah penerimaan Satu Malaysia dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbeza tahap pendidikan dan latar belakang serta budaya hidup. Penerangan yang tidak jelas tentang konsep ini menjadikan golongan sasar khususnya di luar bandar tidak memahami hasrat yang ditekankan dalam Satu Malaysia. Justeru itu, responden melihat perbezaan tersebut mesti dikurangkan dengan segera. Selain itu, propaganda pihak pembangkang dan mereka yang tidak senang dengan Satu Malaysia telah mempengaruhi pemikiran sebilangan rakyat yang menjadikan usaha galakan ke arah perpaduan agak perlahan. Peranan media massa amat penting untuk menyebarluaskan idea ini. Dalam kalangan penjawat awam sendiri terdapat sindrom sambil lewa untuk melaksanakan slogan “Rakyat Didahulukan” kerana merasai tekanan untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggan kerajaan iaitu rakyat.

Mengenai perpaduan yang dihasratkan dalam Satu Malaysia, responden berpendapat perpaduan yang diuar-uarkan boleh dicapai melalui pendekatan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Maksud rakyat didahulukan ialah kerajaan berusaha menyediakan dan menaik taraf kemudahan-kemudahan sedia ada, menggerakkan pembangunan ekonomi di luar bandar, memperkasa masyarakat Orang Asli dan memajukan kawasan pedalaman dan terpinggir. Apabila semua kaum tanpa mengira latar belakang mendapat manfaat daripada inisiatif ini, perpaduan akan lebih senang dan cepat dicapai kerana mereka berpuas hati dan merasai keperluan mereka telah ditunaikan oleh kerajaan.

Bagi soalan keempat iaitu peranan penjawat awam, responden mengakui mereka memainkan peranan yang penting dalam menggalakkan kefahaman masyarakat ke arah Satu Malaysia. Ini kerana, penjawat awam merupakan orang tengah di antara rakyat dan kerajaan. Antara usaha yang boleh dilakukan oleh mereka sebagai kakitangan awam ialah meningkatkan profesionalisme perkhidmatan seperti layanan mesra dan tangkas menyelesaikan kerja. Aktiviti jabatan seperti Hari Bertemu Pelanggan adalah mekanisme terbaik untuk mengedarkan risalah dan penerangan Satu Malaysia kepada orang awam. Selain itu, ucapan “Salam Satu Malaysia” wajar dilazimkan kepada pelanggan yang datang berurusan sama ada diucap secara lisan atau ditulis dengan kreatif di kaunter jabatan. Poster berkaitan Satu Malaysia juga boleh menyedarkan orang ramai bahawa kerajaan serius melaksanakan konsep berkenaan.

Dalam sektor pendidikan, guru bertanggungjawab menerangkan konsep Satu Malaysia kepada pelajar-pelajar dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Secara tidak langsung orang awam akan memahami bahawa Satu Malaysia adalah usaha kerajaan menyatupadukan rakyat Malaysia.

Kesimpulan

Kajian ini melihat kesedaran kakitangan awam di peringkat bawah dalam sesuatu jabatan. Dapat dirumuskan bahawa pada umumnya mereka memahami konsep Satu Malaysia dan bersedia untuk membantu usaha kerajaan merealisasikannya dalam sektor awam. Bagaimanapun kerajaan wajar menggiatkan kempen khususnya di peringkat jabatan di mana orang awam banyak berurusan seperti Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen ataupun Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Monday, November 09, 2009

Malam Pengantin

Penulis: Abd. Muta’al Jabari
Tahun: 2009
Penerbit: Solar Care, Kota Bharu, Kelantan.
Muka Surat: 64

Melangkah ke alam perkahwinan adalah umpama melalui satu gerbang sempadan dua daerah; pada daerah sebelumnya merupakan sesuatu yang haram serta ditakutkan dengan dosa akan berubah menjadi satu kebajikan dan dijanjikan dengan pahala di daerah baru itu. Hanya dengan bersyaratkan cap mohor di atas paspot untuk melewati garis sempadan, yakni paspot “aqad nikah.” Selesai aqad nikah maka terpikul tanggungjawab bersama dan termeterailah suatu perjanjian persefahaman di antara dua jiwa serta di antara dua keluarga.

Buku “Malam Pengantin” ini adalah hasil tulisan Syeikh Abd. Muta’al Jabari iaitu seorang ulama Mesir yang bergiat dalam Jemaah Al-Muslimin. Beliau telah menghabiskan beberapa tahun daripada kehidupannya di dalam penjara kerana mempertahankan keyakinan dan perjuangannya. Selepas beberapa lama dibebaskan, beliau telah dihantar oleh jemaahnya untuk bergiat aktif di Amerika Syarikat bagi menyusun kerja-kerja dakwah di sana.

Terdiri daripada empat bab iaitu;

Pertama: Menyingkap tabir malam pengantin
Kedua: Menggagas nasihat untuk pengantin
Ketiga: Menelusur adab sopan dalam menunaikan hajat
Keempat: Cetera contoh malam pengantin.

Memiliki buku ini adalah sangat bermakna kepada bakal pengantin kerana dapat menambah ilmu sebagai suami dan isteri. Di akhir buku yang hebat ini, dihadiahkan dua buah doa yang sangat sesuai dibaca selepas bergelar suami dan isteri.

“Ya Allah! Berikanlah kepadaku kemanjaan dan kasih sayangnya serta kerelaannya dan aku memohon keredhaan-Mu dengannya. Himpunkanlah kami dengan sebaik-baik perhimpunan dan semudah-mudah persetujuan. Sesungguhnya Engkau suka kepada yang halal dan benci kepada sesuatu yang haram.”

“Ya Allah! Aku mengahwininya berdasarkan ajaran kitab-Mu, aku mengambilnya berdasarkan amanah-Mu. Sekiranya Engkau mengurniakan seorang anak kepadaku melaluinya, maka janganlah Engkau menjadikan anak tersebut penyekutu dan bahagian syaitan.”

Saturday, November 07, 2009

Ruang kebencian dakwah

Tangkapan yang dilakukan oleh JAIS ke atas bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin telah mendapat perhatian ramai pihak. Bersama-sama 20 hingga 25 orang anggota polis, para pegawai JAIS berjaya membawa tokoh agama itu ke balai polis untuk ditahan sebelum dibebaskan kemudiannya. Keesokan hari, tidak ada sebarang pertuduhan dikenakan atas alasan JAIS masih menyiasat kes berkenaan.

Pemimpin kerajaan dan pembangkang turut mempertikai kewajaran tangkapan berkenaan. Antaranya ialah perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mempersoalkan motif penahanan tersebut sambil menegaskan tindakan menahan Dr Mohd Asri adalah dalam bidang kuasa kerajaan negeri. Manakala Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz berkata, “Nasihat saya kepada JAIS, jangat buat untuk kali kedua kerana akan merosakkan imej Islam di Malaysia.”

Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh pula menyifatkan tindakan JAIS hanya mengundang gelak ketawa negara jiran sambil berkata, “Perempuan yang pakai baju nampak pusat tidak pula ditangkap oleh JAIS, manakala ulama ditangkap kerana tiada sijil.”

Pengarah JAIS mempertahankan tindakan jabatan itu menangkap Dr Mohd Asri adalah kerana tidak ada tauliah mengajar agama di negeri Selangor.

“Kegiatan Mohd Asri mengadakan ceramah di Selangor tanpa tauliah JAIS memang telah dipantau sejak tiga tahun lalu iaitu ketika beliau masih memegang jawatan mufti.”

Perkara pokok dalam isu ini ialah tauliah yang mana disifatkan sebagai lapuk oleh mufti Perlis, Dr Juanda Jaya. Ia adalah isu lapuk yang diwarisi sejak zaman penjajah. Masalah juga timbul ketika mengeluarkan tauliah apabila mereka yang lebih rendah kemahirannya menilai kelayakan orang yang lebih tinggi kemahirannya.

Pertentangan di antara pihak berkuasa agama dan ilmuan dijangka akan memberi nafas baru kepada ruang dakwah di Malaysia di sebalik pemikiran sempit JAIS ketika ini. Pemantauan ke atas media dan laman web di Internet menunjukkan masyarakat Islam khususnya golongan muda tidak senang dengan layanan JAIS ke atas Dr Mohd Asri itu. Justeru, dijangkakan dalam masa sepuluh hingga 15 tahun yang akan datang, kefahaman Islam dalam masyarakat akan lebih baik dan majlis ilmu akan lebih diminati.

Friday, November 06, 2009

Jadikan Perlembagaan negara sebagai subjek teras

Malaysia sudah merdeka lebih 52 tahun. Sejak itu, pelbagai kemajuan telah dicapai. Sehingga kini, pelbagai gelaran positif diberikan oleh masyarakat luar kepada negara.

Namun dalam keadaan itu, masih terdapat rakyat yang dihimpit dilema dan tidak yakin untuk berbangga sebagai rakyat negara tercinta ini. Ada yang mempertikaikan hak-hak yang dinikmati oleh kaum-kaum tertentu.

Ramai yang lupa atau sengaja membelakangkan hak-hak yang telah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam keadaan ini, di manakah kesedaran kita sebagai rakyat Malaysia untuk menghayati Perlembagaan Persekutuan yang membawa kita ke tahap ini.

Perlembagaan negara telah menggariskan susur galur hak-hak orang Melayu dan Raja-Raja Melayu sebagai "payung" negara. Malaysia mengamalkan demokrasi berparlimen dan pemerintahan bercorak raja berperlembagaan.

Itulah yang diamalkan sejak merdeka dan ia termaktub juga di dalam Perlembagaan.

Hak-hak asasi sebagai warganegara juga terkandung di dalam Perlembagaan itu. Setiap hak bagaimanapun perlu digunakan mengikut lunas-lunas perundangan sebagaimana yang termaktub di dalam Rukunegara iaitu "Kedaulatan Undang-Undang" dan "Keluhuran Perlembagaan".

Namun apa yang menyedihkan kini ialah Perlembagaan itu telah dipersoalkan oleh pihak-pihak yang tamakkan kuasa dan mempunyai agenda tersirat.

Ada yang mengatakan hormat dan menjunjung Perlembagaan tetapi menjadi "talam dua muka" dan "gunting dalam lipatan".

Mereka menganggap seolah-olah Perlembagaan Persekutuan diwujudkan untuk kerajaan semata-mata dan bukan untuk semua rakyat.

Pada pendapat saya, keadaan ini akan berterusan sekiranya Perlembagaan tidak dijadikan subjek teras di bangku sekolah.

Kini jika ada pun hanyalah semangatnya sahaja yang wujud dalam subjek Sivik dan Pengajian Am di tingkatan enam.

Rasanya sudah tiba masanya untuk kita mewujudkan subjek Perlembagaan Persekutuan untuk anak-anak di sekolah.

Ini penting sebelum wujud lebih ramai penduduk yang cuba dan terus menyoal satu demi satu perkara-perkara di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Yang nyata, tindakan mempersoalkan segala dasar yang dibuat berdasarkan Perlembagaan bukanlah satu tindakan yang bijak.

Ia mempamerkan seolah-olah kewujudan "induk" undang-undang ini tidak relevan dengan suasana politik dan ekonomi semasa. Sedangkan tanpa kita sedari, inilah Perlembagaan yang menjadi sumber kekuatan kita sebagai sebuah negara merdeka dan inilah sumber kekuatan yang dipanggil perpaduan nasional.

Maka sesuai dengan semangat 1Malaysia yang cuba disemarakkan kini, saya berpendapat sangat wajar untuk kita semua belajar dan diwajibkan menghayati Perlembagaan negara.

Pemimpin hari ini memimpin dengan berpandukan Perlembagaan yang mewakili semangat pemimpin-pemimpin terdahulu.

Mereka itu pergi dengan meninggalkan benih perpaduan yang mencambahkan keamanan dan kemakmuran ekonomi dan sosial kepada kita semua.

Maka kita tidak perlu lagi merasa sangsi dengan segala nikmat yang dikecapi hari ini kerana jika kita terus mempersoalkan hak dan Perlembagaan, kita hanya meragui diri kita sendiri.

Cintailah Perlembagaan Persekutuan 1957 kerana satu hari nanti apabila anak-anak kita bertanya bagaimanakah negara kita bermula, terangkan sahaja mengenai Perlembagaan itu.

Pengakhirannya anak-anak kita akan lebih menghargai sebuah kehidupan bernama 1Malaysia. Maka jadikanlah pendidikan Perlembagaan sebagai satu subjek teras di sekolah, khususnya di peringkat menengah.

ABDUL RAZAK IDRIS
Banting, Selangor

(Utusan Online, 6/11/2009)

Wednesday, November 04, 2009

Usahawan cendawan

Nor Sanusi masih muda, umur 25 tahun dan pernah belajar di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam bidang Diploma Pengurusan Perniagaan. Tetapi dia tidak berminat dengan kerja makan gaji.

Pendapatannya sekarang secara kasar ialah RM12,000 sebulan. Bisnesnya ialah cendawan tiram.

Bermula pada 2004, kini cendawan tiramnya menghasilkan sehingga 70 kilogram. Dari mana beliau dapat idea untuk bisnes yang lumayan ini?

Di Hatyai, Thailand.

Teknologi di sana sangat ringkas. Bahan-bahan untuk membina rumah cendawan sangat mudah: kayu pokok gelam, batang nibung dan atap rumbia. Teknologi cendawan petani Thailand ini sangat mudah dan ringkas tetapi dapat menghasilkan kualiti cendawan yang sangat tinggi. Inilah yang membuatkan Nor Sanusi tertarik untuk membina bisnes cendawan tiram di kampungnya.

Susah payah Sanusi membuat rumah cendawan, berjumpa pakar di Jabatan Pertanian dan tidak jemu menimba pengalaman dalam selok-belok cendawan ini. Pasaran cendawan juga semakin berkembang kerana permintaan daripada bisnes masakan tomyam dan cendawan goreng di sekitar Kelantan dan Terengganu.

Satu kilogram cendawan biasanya dijual dengan harga RM5.80, dia boleh dapat RM400 sehari. Pasaran cendawan semakin popular dan akhirnya kejayaan Nor Sanusi mendapat tempat di akhbar supaya contoh kejayaan ini menjadi ikutan orang ramai.

Bekerja sendiri kadangkala sangat sukar pada awalnya, tetapi setelah berhempas-pulas, akhirnya menjadi berjaya dan hidup senang-lenang.