Pasukan polis kembali menjadi perhatian umum kerana tindakan beberapa anggota yang menyalah guna kuasa ketika bertugas. Bulan lepas, anggota terlibat dalam kemalangan jalan raya menyebabkan kematian pelajar dan dicaj di bawah Akta 302 Kanun Keseksaan yang bermaksud hukuman mati kerana ada kematian.
Baru-baru ini juga terdapat seorang anggota yang meminta RM100 daripada pemandu luar negara kerana memandu melebihi kadar had laju. Sementara itu, seorang anggota lagi dihadapkan ke mahkamah kerana merogol.
Dalam kes rasuah, definisi polis rasuah ialah apabila pegawai polis dengan sengaja melanggar peraturan dengan melakukan tindakan untuk mendapatkan kelebihan atau manfaat kewangan dan material (Punch, 2009). Untuk kes menyebabkan kematian dan merogol, akta yang dikenakan sudah cukup untuk ditafsirkan.
Sing (2022) menyatakan rasual dalam kalangan anggota adalah disebabkan sifat kebertanggungjawapan yang rendah. Apabila anggota yang terlibat diketahui mengamalkan rasuah tidak dikenakan tindakan, aktiviti sogokan akan meningkat dan terpasak dalam kalangan anggota pasukan.
Budaya sogokan yang berkembang subur dalam organisasi polis akan mengundang masalah lebih banyak kerana ‘duit berjalan mencari orang’ di dalam balai polis. Akhirnya meletakkan orang ramai berada dalam ketakutan setiap kali berhadapan dengan anggota. Hal yang berlaku di Zambia tidak sepatutnya berlaku di negara kita. Di Zambia, polis trafik terlibat dalam rasuah setiap hari (McIntyre, 2008).
Isu yang melibatkan anggota polis dalam melaksanakan penguatkuasaan agak kerap muncul dalam media. Ia memberi tanggapan negatif sehingga Ketua Polis Negara sendiri meminta anggota yang terlibat supaya berhenti bertugas. Kita tahu dan bersimpati dengan beliau kerana isu-isu salah laku ini menyakitkan hati kerana terpalit kepada organisasi yang lebih besar.
Umpama pepatah, 'seekor kerbau membawa lumpur, segala kerbau dikatakan membawa lumpur juga' iaitu seorang yang berbuat salah, semuanya terbawa-bawa. Sesiapa sahaja yang bekerja dalam pasukan polis akan terpalit juga dengan kesalahan yang dilakukan orang lain.
Boleh dikatakan anggota yang tidak segan silu melakukan tindakan rasuah, pukul orang, memeras ugut atau merogol adalah anggota yang bermasalah dan tidak berguna kepada kemajuan organisasi. Mereka ini sepatutunya beredar dengan segera.
Memetik ucapan ketua Polis Negara yang mahukan mereka ini berambus, ia menggambarkan betapa kecewanya beliau dengan satu dua kes salah laku yang merosakkan imej pasukan.
'Patutnya tanggalkan semua logo yang ada pada seragan itu, kemudian berambuslah sekali, jangan lepas tanggal masih ada lagi dalam paukan polis'.
Ketegasan ini bertempat kerana kepercayaan masyarakat terhadap polis sangat tinggi khususnya dalam pencegahan jenayah dan kerjasama dengan orang ramai dalam banyak urusan.
Beberapa kajian terdahulu telah dilakukan di negara maju dan membangun tentang imej rasuah dalam pasukan polis. Salah satu daripadanya ialah kajian tentang menambah baik imej polis di Australia oleh Haldane (1979). Walaupun 40 tahun telah diterbitkan, artikel ini masih relevan untuk kita menilai begaimana inisiatif dahulu telah dilaksanakan. Kajian ini menyatakan imej pasukan polis ditentukan oleh dua cara iaitu individu dan kumpulan. Bagi individu, cara anggota polis melaksanakan tugas dan memberi perkhidmatan kepada masyarakat bakal menentukan imej polis keseluruhannya.
Kedua, secara berkumpulan iaitu peringkat kerajaan yang mempunyai polisi jaminan ganjaran yang mencukupi, persekitaran kerja yang baik, peralatan bertugas, latihan dan anggota yang sesuai serta kemerdekaan untuk anggota menguatkuasakan undang-undang tanpa campur tangan politik.
Kajian lain di India oleh Krishna (1982) turut mengekalkan dapatan Haldane (1979) iaitu menyediakan gaji yang mencukupi untuk anggota, membentuk suasana kerja yang baik dan persediaan peralatan dan pakaian yang bersesuaian. Tambahan yang lebih penting adalah sentiasa sentiasa mengambil tahu hubungan antara polis dan masyarakat supaya wujud kesungguhan polis memberi khidmat terbaik kepada orang ramai. Mekanisme ini boleh disalurkan melalui program berkala di samping meningkatkan pengetahuan kemahiran komunikasi personal dan keperluan membaiki tingkah laku profesional setiap anggota.
Lester (1982) menjelaskan tiga isu yang harus dihadapi untuk menukar imej polis dalam masyarakat iaitu anggota yang tidak berpuas hati dengan tugas mereka, sikap sinis dan bermoral rendah serta bekerja di bawah tekanan.Sebarang usaha yang diambil untuk membaiki imej polis tanpa ketiga-tiga isu kritikal ini akan membawa kegagalan kerana imej pasukan polis boleh diubah dengan mengubah anggota polis.
Menambah baik imej pasukan polis di Malaysia perlu disegerakan supaya tidak menjejaskan hubungan polis dan masyarakat. Suasana yang tidak harmoni ini akan mengundang lebih banyak masalah kepada inisiatif dan usaha pencegahan jenayah dan pengekalan ketenteraman awam.
Kita maklum bahawa telah banyak usaha yang dilakukan oleh pasukan polis sendiri untuk mencegah salah laku anggota, namun sasaran utama yang patut diberi perhatian ialah seperti yang dijelaskan oleh Sing (2002) iaitu meningkatkan rasa kebertanggumgjawapan anggota polis terhadap tugas mereka.
Rujukan
Haldane, R. (1979). Improving the police image. Australian Police Journal, 33(2), 102-109.
Krishna, K. P. (1982). Improving the police image. Indian Journal of Criminology, 10(2), 140- 147.
Lester, D. (1982). Improving the police image by changing police attitudes. The Police Journal, 55 (4), 352-354.
McIntyre, C. (2008). Zambia: The Bradt Travel Guide (4th ed.). Bradt Travel Guides.
Rujukan
Haldane, R. (1979). Improving the police image. Australian Police Journal, 33(2), 102-109.
Krishna, K. P. (1982). Improving the police image. Indian Journal of Criminology, 10(2), 140- 147.
Lester, D. (1982). Improving the police image by changing police attitudes. The Police Journal, 55 (4), 352-354.
McIntyre, C. (2008). Zambia: The Bradt Travel Guide (4th ed.). Bradt Travel Guides.
Punch, M. E. (2009). Police corruption: Deviance, accountability and reform in policing. Willan Publishing.
Singh D. (2002). The causes of police corruption and working towards prevention in conflict-stricken states. Laws,11(5), 69. https://doi.org/10.3390/laws11050069
Singh D. (2002). The causes of police corruption and working towards prevention in conflict-stricken states. Laws,11(5), 69. https://doi.org/10.3390/laws11050069
No comments:
Post a Comment