Monday, February 28, 2022

Ceriakan hati orang lain


Berapa kali kita pernah menggembirakan hati orang lain yang sedang bersedih, kecewa dan putus harap? 

Mungkin sekali dua. Kalau banyak kali, itulah yang terbaik kerana orang yang membantu rakan-rakan atau saudara mara akan mendapat ganjaran yang besar di akhirat. 

“Sesiapa yang melapangkan seorang mukmin daripada kesusahan dunia, maka Allah swt akan melapangkannya daripada kesusahan di hari kiamat” (Sahih Muslim, 2699). 

Bagaimana caranya hendak menggembirakan orang lain? 

Antaranya adalah hadiah semasa hari-hari penting seperti ulang tahun kelahiran dan sebagainya. 

Kemudiannya puji-pujian yang bersesuaian, jika nampak ceria, bukankah elok kalau dipuji penampilannya supaya hati mereka sentiasa ceria. 

Kata-kata nasihat yang menyejukkan hati dapat meredakan sedikit rasa gundah dalam hati. 

Banyak lagi bentuk kegembiraan yang kita boleh lakukan. Kalau jauh, boleh telefon atau hantar mesej ringkas supaya mereka terasa kita dekat di hati.


Sunday, February 27, 2022

Buat yang terbaik


Konsep melakukan kerja dengan terbaik telah lama ada dalam masyarakat kita. Pepatah yang sering kita dengar, “jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya” adalah cetusan daripada sikap ingin melihat sesuatu tugas dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. 

Orang yang melakukan kerjanya dengan bersungguh-sungguh mendapat hasil yang sangat jauh bezanya dengan orang yang membuat kerja sambil lewa, ataupun dalam bahasa kita “melepaskan batuk di tangga”. 

Mereka yang bersungguh-sungguh bukan sahaja dapat melihat hasilnya malah dipuji dan dijadikan model dalam menempa kejayaan. 

Seorang rakan saya yang memilih pekerjaan sebagai penjual madu selepas pencen telah bersungguh-sungguh dalam bisnes baharunya, Bermula dengan satu lot kedai kini beliau dapat berbangga kerana menguruskan madu di lot kedai yang kedua selepas menempuh berbagai-bagai cabaran. 

Yang paling penting ialah beliau dapat mempraktikkan amalan orang mukmin iaitu sentiasa melakukan kerja yang diberikannya dengan cara yang paling baik. 

Insya Allah Jika kita bersungguh-sungguh dalam membuat kerja Allah swt akan membantu kita dari arah yang tidak disangka-sangka.


Saturday, February 26, 2022

Lihat masalah dari perspektif positif


Hidup yang kita lalui tidak dapat lari daripada masalah. Sebaik sahaja ditimpa ujian hidup, seolah-olah masa hadapan kelam, tidak tahu di mana hendak mengadu. Hakikat hidup adalah tidak dapat mengelakkan diri daripada masalah sama ada kecil ataupun besar. 

Memang tidak dinafikan apabila musibah muncul, pahit maung semua muncul. Membetulkan persepsi terhadap masalah hidup dapat menguatkan fikiran dan jiwa untuk berhadapan dengan masalah. Persepsi yang dimaksudkan adalah melihat setiap masalah sebagai hikmah yang tersembunyi. 

Cuba kita analisis dan membuat sedikit kajian, mereka yang sering menghadapi ujian hidup, daya tahan mereka sangat kuat, kematangan berfikir semakin bertambah dan dapat mempelajari selok-belok menyelesaikan masalah. 

Orang yang melihat masalah dari sudut positif tidak akan memberatkan masalah yang sudah sedia ada tetapi sentiasa memikirkan bagaimana caranya menyelesaikan masalah yang dihadapi.


Friday, February 25, 2022

Buat sikit-sikit tetapi berterusan


Orang Jepun amat berbangga dengan konsep kaizen, 5S dan pelbagai jenis sistem kualiti. Melalui kaedah pemasaran yang cekap, agresif dan menarik, masyarakat dunia menerima konsep-konsep ini untuk membaiki keadaan hidup masing-masing.

Orang Islam juga telah lama memiliki konsep pembangunan diri ini.

Dari Aisyah RA bahawa pada suatu malam Nabi SAW mengambil tikar yang diperbuat daripada pelepah dan daun tamar untuk dijadikan dinding tempat baginda bersolat di waktu malam dan di waktu siang baginda menghamparkan tikar daun tamar itu dan duduk di atasnya, orangpun datang berkumpul kepada Rasulullah lalu solat sepertinya sehingga ramai yang mengikutinya, Rasulullah datang dan menemui mereka lalu bersabda: “Wahai sekalian manusia, beramallah sekadar kemampuan kamu, bahawasanya, Allah tidak akan berasa jemu sehingga kalian merasa jemu. Dan sesungguhnya amalan yang paling dicintai Allah adalah amalan yang dikerjakan secara berkekalan walaupun sedikit”. (HR Bukhari No: 5413) Status: Hadis Sahih.

Maksud berkekalan walaupun sedikit adalah istiqamah yang bererti berterusan dan tetap. Rasulullah saw apabila melakukan sesuatu amalan, baginda saw melakukannya dengan berterusan.

Istiqamah yang yang bermanfaat banyak ganjarannya tetapi kalau dari kecil seseorang yang tabiat yang tidak baik dan berterusan hingga dewasa, ia bukanlah istiqamah ke arah kebaikan sebaliknya merosakkan masa hadapan.

Thursday, February 24, 2022

Sifat takut dan sifat berani


Salah satu penghalang paling besar kepada kemajuan diri adalah takut. Sifat takut ini terdiri daripada banyak faktor seperti kena marah, kalah persaingan, diketawakan orang atau gagal selepas mencuba. 

Perkara yang paling lucu adalah takut kepada hantu. Takut merupakan bentuk pemikiran yang menjadi dinding untuk membuat inovasi. 

Takut berniaga kerana orang tidak mahu beli barang, takut merantau ke negara lain kerana hilang kawan dan berbagai-bagai lagi. Lawan kepada takut adalah berani. 

Allah swt memberi sifat berani kepada kita supaya kita boleh meneroka kehidupan kita dengan akal dan jiwa. 

Kita berani membina sebuah bangunan yang tinggi kerana keyakinan telah dapat mengatasi rasa takut. Keyakinan wujud kerana kita ada ilmu pengetahuan jadi kita dapat menjangkakan apa yang bakal berlaku. 

Biasanya orang yang menjalani hidup dengan keberanian boleh pergi lebih jauh kerana dalam jiwa mereka ada prinsip diri yang kuat.

Wednesday, February 23, 2022

Kepentingan pendidikan


Di tempat kerja, saya mengajar kursus sosioekonomi yang perlukan kesungguhan pelajar membaca, mengkaji dan membuat pembentangan kajian projek. 

Saya maklumkan kepada pelajar yang mereka perlu tabah dan kuat semangat untuk mendapat markah yang tinggi. Terdapat pelajar yang menunjukkan kesungguhan, namun ada juga pelajar yang kurang ambil peduli. 

Di akhir semester, selepas peperiksaan, ada dalam kalangan mereka yang mendapat markah yang agak rendah datang berjumpa saya untuk membuat rayuan supaya markah dinaikkan. 

Ia satu fenomena biasa bagi pensyarah-pensyarah di universiti kerana hanya pensyarah yang tahu bagaimana prestasi akademik pelajar mereka. 

Pensyarah juga tahu pelajar yang gigih, kuat semangat, belajar siang dan malam untuk mendapat gred A dan biasanya mereka jugalah yang selalu mendapat Anugerah Kepujian Dekan setiap semester. 

Pelajar-pelajar ini mendapat kejayaan kerana mereka sedar bahawa pendidikan dapat menentukan apa yang mereka akan jadi selepas ini. Kepada mereka yang telah berjaya di alam pendidikan, teruskan usaha anda untuk mencipta lebih banyak kejayaan.

Tuesday, February 22, 2022

Selesai masalah dengan fikir positif


Saya, seperti juga anda dan orang lain sering kali berhadapan dengan masalah seperti tidak cukup wang, belanja rumah yang semakin meningkat, konflik di tempat kerja dan juga pelbagai jenis hutang. 

Semuanya menyesakkan kepada dan terbawa-bawa ke dalam tidur. 

Bagaimana hendak mengatasi masalah-masalah ini? 

Saya berjumpa dengan rakan-rakan yang lebih senior dan berkongsi pengalaman. Satu petua yang diberi kepada saya adalah fikir positif. 

Kali pertama hendak mempraktikkan teknik ini amatlah sukar kerana saya kurang pengetahuan tentang cara dan bagaimana hendak fikir positif ini. Lama-kelamaan barulah saya faham yang fikir positif ini amat berkait dengan sifat redha, fikiran matang, logik dan menyedari bahawa perancangan Allah swt untuk masa hadapan. 

Orang-orang muda yang berhutang membeli rumah dan kereta kerana tidak ada wang yang banyak tetapi apabila hutang-hutang ini selesai, mereka dapat tidur dengan nyenyak kerana tidak lagi pening kepada kerana terpaksa membayar ansuran bank setiap bulan.

Monday, February 21, 2022

5S untuk kualiti kerja


Orang Jepun menggunakan konsep “keizen” untuk menambah baik kualiti kerja dan usaha mereka. Kaizen bererti sentiasa membaiki diri untuk kemajuan. 

Ia bermula dengan diri sendiri kerana kemajuan dan kejayaan hanya untuk mereka yang sentiasa berusaha dan membaiki diri.

Daripada diri sendiri, amalan kaizen dikembangkan ke dalam organisasi. 

Salah satu produk Jepun yang terkenal adalah amalan 5S iaitu Sisih (Seiri) 5 Susun (Seiton) 9 Sapu (Seiso) 13 Seragam (Seiketsu) dan Sentiasa Amal (Shitsuke). 

5S telah berkembang ke seluruh dunia terhasil daripada keazaman masyarakat Jepun untuk membaiki kualiti di tempat kerja. 

Bagaimana pula dengan kita, adakah terdapat teori atau amalan yang dilaksanakan untuk meningkatkan kualiti diri? 

Kejayaan adalah suatu perjalanan dan sangat sukar untuk dicapai dalam sekelip mata. Apabila mencapai kejayaan, baharulah kita boleh senyum sebagai tanda berpuas hati.


Sunday, February 20, 2022

Kegigihan punca kejayaan


Ketika melintasi sebatang jalan raya, saya terpandang papan tanda iklan gergasi yang bertulis “kegigihan punca kejayaan”. 

Saya terfikir bagaimana seorang yang gigih boleh berjaya. Lalu saya membuat kajian tentang orang-orang yang telah berjaya dalam sukan. 

Ramai daripada mereka ini yang membuat perancangan yang sangat rapi untuk menjadi juara. Kegigihan mereka terserlah dalam semua perkara. Pengurusan masa, pengambilan makanan dan teknik latihan semuanya diberi perhatian dan diteliti. 

Contohnya dalam memilih yang teknik latihan, selagi mereka tidak dapat apa yang dikehendaki, selagi itulah mereka berlatih. 

Seiring dengan kegigihan adalah sikap tidak mudah berpuas hati. Jika kita memiliki sikap ;lebih kurang atau budaya “tidak apa”, kita mungkin mengambil mudah kualiti produk yang diinginkan dan kegigihan untuk menghasilkan produk terbaik terhenti dengan sendirinya. 

Ingat, jika hendak berjaya, kita perlu gigih berusaha dan terus berusaha.


Saturday, February 19, 2022

Rancang masa hadapan


Masa hadapan kita ditentukan oleh diri kita sendiri. Corak hidup yang kita inginkan bergantung kepada kita. 

Jika hendak merasai suasana hidup yang lebih baik, persekitaran rumah, pendapatan yang besar, tempat kerja yang menyenangkan, kita mesti membuat pilihan hari ini. 

Orang yang memiliki gaji besar, rumah besar atau kereta besar, ramai yang bermula dengan impian atau cita-cita yang besar. 

Impian yang berada di dalam fikiran mereka ditransformasi dalam bentuk usaha yang berterusan. Mereka percaya dan sangat yakin bahawa kelemahan diri boleh diatasi dengan berusaha. 

Seorang pelajar yang malas berusaha, malas bangun pagi, malas hadir ke sekolah dan berbagai-bagai macam malas lagi, kita boleh jangkakan apakah kesudahan hidupnya. 

Jika tidak ada pekerjaan, sudah tentu dia akan memberi beban kepada keluarganya. Orang lain pun tidak akan mendapat manfaat daripada sikapnya. 

Masa hadapan kita, terletak pada diri kita.


Friday, February 18, 2022

Rugi menunda-nunda kerja


Menunda-nunda dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan lebih banyak memberi kesan negatif kepada diri sendiri dan negatif kepada orang lain. 

Kita ambil contoh, menunda bayaran kad kredit. 

Rata-rata hari ini ramai yang menggunakan kad kredit semasa membeli-belah. Masa hendak bayar sesuatu produk, amat mudah untuk swipe tetapi semasa hendak bayar, ia suatu yang sangat sukar malah mungkin agak liat. 

Semakin lama kita menunda, lebih keraplah pihak bank menghubungi kita. Itu baru urusan kita dengan orang lain, bagaimana pula urusan kita dengan Allah swt? 

Adakah sering menunda solat, menunda doa, menunda infaq dan bermacam-macam lagi? 

Satu perkara yang sering kali kita menunda adalah ketepatan masa. Di negara-negara maju, masa sangat penting dan menepati masa merupakan satu kebanggaan. Ia jarang berlaku dalam masyarakat kita kerana budaya menepati masa masih belum mantap. 

Jika kita berjanji datang pukul 2 petang, apa yang sering berlaku adalah kita terbabas sehingga 2.30 petang. 

Amalan seperti ini boleh diubah jika ada kesungguhan dan kemahuan.


Thursday, February 17, 2022

Dua kali


Sebelum sebuah bangunan dibina, reka bentuk bangunan itu sudah ada di fikiran arkitek. 

Dia akan membayangkan desain, ciri dan saiz bangunan itu beberapa hari, lalu bayangan bangunan itu dipindahkan ke atas kertas, dibuat model dan dibincangkan. Baharulah kita akan nampak bangunan yang difikirkan oleh arkitek tadi selepas proses transformasi yang panjang. 

Model bayangan bangunan telah menjadi kenyataan kerana ada tindakan, ia tidak dibiar begitu sahaja. 

Andai kata arkitek hanya menyimpan bayangan bangunan dalam fikirannya, tentulah kita tidak tahu bangunan mana yang paling tinggi, paling cantik dan paling menarik. 

Tetapi pernahkah kita mendengar kenyataan ini: sesuatu kejadian terjadi sebanyak dua kali, pertama dalam fikiran dan kedua terjadi secara realistik. 

Kenyataan pertama amat mudah tetapi yang kedua amat sukar kerana kebanyakan daripada kita selalu menunda-nunda.


Wednesday, February 16, 2022

Dengan cinta


Perasaan cinta sangat hebat. Cinta menjadikan hidup penuh warna-warni. 

Cinta menyegarkan minda, menajamkan fikiran dan meluaskan horizon pandangan. Banyak lagu, puisi atau gurindam yang menjadikan tema cinta sebagai subjek. 

Dengan satu lagu cinta, seorang artis menjadi popular seluruh dunia. Dengan rasa cinta, mangsa kebuluran di Somalia telah dibantu. Inilah hebatnya cinta kerana ia mempunyai daya penarik. 

Cinta kepada rakan adalah memberi sokongan ketika dalam kesusahan, ziarah ketika sakit dan memberi hadiah ketika bertemu. 

Dalam semua jenis cinta, cinta yang paling hebat adalah cinta kepada Allah swt dan cinta kepada rasul. Amat sukar mendapat cinta seperti ini. Justeru kita kena kerap berdoa supaya mendapat cinta ini. 

Ya Allah, jadikanlah kami orang yang mencintai Engkau dan berlumba mencari keredhaan Engkau.


Tuesday, February 15, 2022

Bermegah-megah akan punah


Cinta kemegahan adalah puncak kebinasaan. Maksud tidak ingin kepada kemegahan bukannya menolak semua jawatan yang diberi. 

Jika begitu, urusan pentadbiran sudah tentu akan dilaksanakan oleh orang yang tidak ada pengalaman. 

Andainya orang memilih kita untuk menjawat sesuatu kedudukan, itu maknanya mereka mempercayai kebolehan kita. 

Yang dilarang adalah bermegah-megah dengan jawatan dan kuasa yang diberi kerana amanah lebih diutamakan. 

Lihat Nabi Yusuf a.s. Baginda menjadi menteri kewangan dan tugas tersebut dilaksanakan dengan baik sekali. Ramai lagi yang telah diberi jawatan dan berjaya melaksanakan tanggungjawab. 

Ayat 83 surah Al-Qasas mengingatkan, “Negeri akhirat itu kami jadikan untuk orang-orang yang tidak ingin menyombongkan diri dan berbuat kerosakan di bumi. Dan kesudahan (yang baik) itu adalah bagi orang-orang yang bertaqwa”.


Monday, February 14, 2022

Tidak rugi orang yang berinfak


Harta dan kekayaan yang kita dapat boleh memberi pahala dan dosa. 

Ia memberi pahala jika diuruskan pada jalan yang betul, memberi faedah dan manfaat. Keadaan ini sesuai dengan ayat 261 surah Al-Baqarah dalam al-quran, “Perumpamaan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah swt adalah seperti sebiji benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai (pula ada) seratus biji buah. (Dan) Allah swt melipatgandakan (ganjaran) bagi sesiapa yang Dia kehendaki”. 

Bagi yang bersifat bakhil dan terlalu sayang dengan harta, ia tidak ke mana. 

Oleh kerana tahap kesedaran yang tinggi, ramai orang Islam mengambil peluang melakukan infaq dan derma setiap kali bulan Ramadhan.


Sunday, February 13, 2022

Marah hingga ke anak cucu


Sifat marah mendapat perhatian Rasulullah saw dalam mendidik sahabat-sahabatnya. 

Suatu hari seorang lelaki datang berjumpa baginda saw dan berkata, “Perintahkan aku suatu pekerjaan dan mohon disedikitkan perintah itu. Lalu baginda saw bersabda, “Jangan engkau marah”. 

Lelaki itu mengulangi lagi permintaannya dan dijawab dengan jawapan yang sama. 

Marah adalah sifat hati yang boleh merosakkan seluruh kehidupan. Orang yang sedang marah tidak mampu berfikir secara rasional. 

Marah juga mengundang pelbagai masalah termasuk dengan keluarga, anak-anak, rakan-rakan, bos atau orang di sekitar. 

Hati yang marah penuh dengan bisikan syaitan yang mendorong kepada kebencian, dengki dan ingin membalas dendam. 

Andainya kita mudah marah, rakan-rakan akan menjauhkan diri, seluruh hidup menjadi suram.

Kemarahan yang tidak dihentikan dengan kemaafan akan dibawa ke anak cucu.

Saturday, February 12, 2022

Inilah hati


Hari ini kita berbicara mengenai hati. 

Maksud hati ini bukanlah organ hati dalam sistem tubuh badan tetapi adalah ruh yang mempengaruhi perangai atau akhlak. 

Hati inilah yang cenderung menentukan hidup kita. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud, “Ketahuilah dalam setiap jasad itu ada seketul daging yang apabila ia baik maka baiklah seluruh jasad dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah ia adalah hati”. 

Betapa mustahak memberi perhatian kepada hati ini kerana hati menjadi banyak punca kepada bermacam-macam masalah hidup. 

Insya Allah, apabila jiwa, fikiran dan perangai ktia baik, hakikatnya hati kita dalam keadaan baik sepertimana maksud hadis tadi.


Friday, February 11, 2022

Bersih hati dan fikiran


Di sekitar kita, banyak urusan yang berkaitan dengan perkhidmatan yang disediakan ada hubungan dengan sikap. 

Satu contoh yang mudah adalah tabiat membuang sampah. Kawasan yang bersih boleh dikatakan mempunyai komuniti yang mementingkan kebersihan, sebab itulah mereka tidak membuang sampah di merata tempat. 

Sikap mereka terhadap kebersihan juga positif. Positif di sini bermaksud di dalam pemikiran mereka, meletakkan sifat bersih adalah satu kewajipan sama ada bersih dalam hati atau fikiran. 

Mengutamakan kebersihan juga dapat mengurangkan kos pentadbiran bagi mengupah orang lain membersihkan kawasan. 

Tidak hairanlah sikap yang memberi perhatian kepada menjaga kebersihan dapat membina kesedaran dalam komuniti setempat.


Thursday, February 10, 2022

Orang yang berani dapat habuan lebih besar


Berani sering kali di salah tafsir. Berani bukannya ketiadaan rasa takut tetapi kerana pertimbangan risiko. 

Ada perkara dan tindakan yang berisiko tinggi dan ada yang berisiko rendah. Banyak keistimewaan dalam sifat berani ini. 

Orang-orang yang berani sering kali mendapat habuan yang lebih besar daripada orang yang pandai. 

Berapa ramai orang yang berani menghadapi cabaran telah mendapat ganjaran yang besar? 

Dengan keberanianlah kita dapat merasa keselesaan hidup, dapat menikmati resepi yang enak-enak dihidangkan di atas meja dan juga dapat melawat banyak tempat menarik dengan kapal yang mewah. 

Orang yang berani mahu mengambil risiko, orang yang takut enggan atau was-was dengan tindakan mereka.

Wednesday, February 09, 2022

Gagal adalah lumrah


Orang yang cemerlang selalu juga berhadapan dengan kegagalan. Orang yang dapat naik pangkat mungkin dua atau tiga kali pernah gagal dalam sesi temuduga. 

Orang yang berjaya berkahwin mungkin sekali dua pernah gagal bercinta. Malah orang yang gagal dalam bisnes sudah lali dengan kegagalan kerana gagal adalah istilah biasa dalam bisnes. 

Saya hendak kata di sini, orang-orang yang cemerlang ini jika dilihat susur-galur usahanya, pernah beberapa kali gagal. 

Namun mereka melihat kegagalan daripada perspektif yang berbeza. 

Mereka menerima kegagalan sebagai “kejayaan yang ditangguhkan” justeru mereka belajar teknik dan kaedah lain sehinggalah mendapat kejayaan. 

Kita juga boleh berfikir cara yang sama supaya tidaklah terlalu kecewa apabila gagal mencuba.


Tuesday, February 08, 2022

Tanggungjawab diri


Kita wajar mempunyai kesedaran bahawa kita bertanggungjawab ke atas kehidupan kita. Kesedaran ini bukan sekadar di sekolah, pejabat, dalam komuniti kejiranan atau sebagai warganegara malah sebagai orang yang beragama. 

Dengan meletakkan tanggungjawab pada diri, kita menjadikan diri sendiri sebagai pengemudi hidup. 

Oleh kerana kita yang membentuk apa yang berlaku, secara logiknya kita juga boleh menukarnya. Apa yang berlaku adalah sebaliknya. 

Sering kali kita lihat apabila sesuatu yang tidak menepati kehendak atau memenuhi cita rasa kita, kita cenderung menyalahkan orang lain. 

Jika ini berlaku, kita akan menjadi kurang pertinbangan dan tidak mampu lagi berhijrah menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab.


Monday, February 07, 2022

Input perubahan minda


Kepercayaan memusnahkan hadangan yang dianggap mustahil. Kesepaduan minda dan fizikal serta doa telah mengubah kehidupan orang susah, orang miskin dan orang yang tidak ada harapan kepada kesejahteraan hidup. 

Namun untuk berubah seperti ini bukannya senang sebaliknya ada proses yang perlu dilalui.

Tidak kira sama ada orang lain atau diri sendiri yang perlu memberi kesedaran, proses ini adalah langkah awal untuk menjana keprcayaan bahawa berubah hidup ke arah lebih baik wajar menjadi pilihan. 

Kesedaran ini perlu diiringi dengan strategi dan teknik serta sokongan supaya orang yang susah tadi yakin bahawa dirinya boleh menjadi senang. 

Apabila mindanya terbuka kepada input-input perubahan, insya Allah proses pengisian kemahiran menjadi lebih mudah.


Sunday, February 06, 2022

Tentukan nilai kepercayaan diri


Dalam siri-siri motivasi yang lepas, saya menyatakan kelebihan mempunyai nilai kepercayaan diri atau ‘belief system’. 

Mempunyai nilai ini membolehkan kita merasai tahap hidup yang berbeza. 

Dalam ayat yang mudah, sistem kepercayaan diri menentukan kualiti hidup yang ada pada kita. 

Jika kita percaya pergi ke sekolah atau universiti amat membosankan, kita hanya belajar separuh jalan. 

Namun jika kita percaya sekolah dan universiti adalah tempat yang dapat mengubah nasib dan kehidupan masa hadapan, kita mungkin mendapat gred yang terbaik dalam peperiksaan. 

Jika kita percaya yang kita boleh melakukannya, insya Allah kita boleh kerana kita akan berusaha ke arah itu.


Saturday, February 05, 2022

Impak label pada diri


Sepanjang hidup kita, bermula di sekolah hinggalah kita bekerja, berkahwin dan beranak-pinak, kita sentiasa membuat atau memberi penilaian ke atas diri sendiri, khususnya terhadap tindakan-tindakan kita. 

Akhirnya, kita membentuk banyak label pada diri sendiri. Label diri yang banyak ini disimpulkan menjadi satu atau dua label yang dominan. 

Jika kita meletakkan label rajin, maka rajinlah kita. 

Jika kita meletakkan label malas, maka malaslah kita. 

Label-label ini dikukuhkan oleh rakan sebaya, guru dan ibu bapa. Oleh kerana label ini dilayan dan diberi perhatian, kita menganggapnya sebagai realiti. 

Pada saya, kualiti hidup yang kita hadapi hari ini adalah kesan langsung daripada label-label yang kita bentuk selama ini.


Friday, February 04, 2022

Tiru cara orang yang telah berjaya


Apabila kita mendengar atau melihat kejayaan orang lain, mungkin kita rasa sedikit cemburu. Namun, tunggu! Kita juga boleh berjaya seperti mereka dengan kaedah meniru. 

Tidak salah untuk meniru sikap dan tingkah laku orang-orang yang telah berjaya ini. Konsepnya adalah jika kita boleh meniru sikap dan tingkah laku, kita juga boleh meniru hasilnya. 

Ada berapa perkara yang boleh ditiru seperti kepercayaan terhadap kerjaya, percaya boleh buat, mengurus diri dan mengurus masa, bijak membina jaringan sosial dan bekerja sekuat hati.

Walaupun kita begitu yakin dapat meniru sikap, tabiat dan keputusan yang baik sekalipun, berdoa kepada Allah swt mesti diulang-ulang supaya kejayaan seterusnya menjadi lebih baik dan bermanfaat.

Thursday, February 03, 2022

Cara tingkatkan harga diri


Orang yang cemerlang bertentangan watak mereka. Salah satu ciri adalah mempunyai harga diri yang tinggi. 

Mereka melihat diri sebagai pemenang. Jadinya, mereka belajar atau bekerja dengan khusyuk, memenuhi masa dengan berusaha lebih banyak berbanding orang lain. 

Apabila mereka mendapat kenaikan pangkat, seperti yang dijangka, kejayaan ini akan mengukuhkan lagi imej positif diri dan melipat gandakan harga diri. 

Umpamanya ombak yang terus-menerus ke pantai, kejayaan juga seperti ombak yang boleh dicapai secara berterusan dengan syarat kita memiliki harga diri positif dan mahu berusaha.


Wednesday, February 02, 2022

Cara lihat diri sendiri tentukan kejayaan


Cara kita melihat diri sendiri menentukan apa yang kita fikir dan juga menentukan sejauh mana kita berusaha mencapai matlamat dan impian hidup. 

Usaha kita tentu menentukan hasilnya dan umpama sebuah kitaran, hasil tadi menentukan sejauh mana kita memperkemas keupayaan diri sendiri. 

Contohnya, jika kita melihat diri sendiri sebagai pelajar yang “sudah tidak ada harapan” dalam pelajaran, kemungkinan besar cara fikir ini mempengaruhi kesungguhan untuk belajar. 

Jadi, buat apa belajar kalau sudah tidak boleh pergi jauh. Hasilnya kita kurang membaca dan membuat ulang kaji, lebih banyak menonton televisyen berbanding menyediakan masa untuk peperiksaan.


Tuesday, February 01, 2022

Penentu kejayaan: persepsi, sikap dan tindakan


Sebelum kita dapat menggunakan kaedah dan teknik terbaik untuk mencapai kejayaan sama ada di sekolah, tempat kerja, pertandingan maupun di rumah, membuat penilaian adalah penting. 

Justeru, menyatakan dengan jujur sama ada kita boleh mendapat sembilan persepuluh atau sepuluh persepuluh dapat memberi tanggapan awal tahap keupayaan kita. 

Cara memberi respon kepada prestasi kita juga boleh menjadi satu bentuk penilaian. Mungkin soalan tadi dianggap mudah tetapi sebenarnya tidak kerana persepsi terhadap sikap dan tindakan kepada kejayaan menentukan pilihan iaitu berjaya atau gagal. 

Saya tidaklah menyokong kenyataan bahawa dengan berfikir semata-mata kita dapat “A” dalam peperiksaan atau anugerah kecemerlangan. 

Bukan itu caranya sebaliknya fikiran kepada realiti, kita perlu kemahiran dan tindakan.