Friday, December 31, 2021

Jawapan biar jelas dan tepat


Jika seseorang bertanya kepada kita dan kita menjawab sambil lewa, jawapan itu tidak dapat membawa kita ke mana-mana. 

Contohnya, orang bertanya, “Ke mana arah tuju hidup kamu?” Apakah jawapannya? Sekiranya kita belum lagi mengarah hala tuju hidup, kita perlu tanya kepada diri sendiri. 

Tanya dengan bersemangat dan jelas. Berikan gambaran dan latar bunyi supaya kita dapat merasai perjalanan tersebut. 

ika tidak, impian hanya tinggal impian. Tanpa impian dan perancangan, tiada usaha yang sungguh-sungguh dapat dibuat untuk melangkah lebih jauh. 

Memberi jawapan yang tepat kepada setiap soalan memberikan gambaran siapa kita. Belajarlah memberi jawapan yang terbaik bagi setiap soalan.

Thursday, December 30, 2021

Pengajaran adalah pengalaman berharga


Penyajak dan pengarang Ralph Waldo Emerson pernah mengungkap kata-kata yang sangat baik untuk kita renungi bersama. 

Beliau menulis begini, “Habiskan setiap hari dan lengkapkan ia. Kamu telah melakukan yang terbaik. 

Tidak syak lagi ada kesilapan dan tindakan tidak munasabah yang berlaku. Lupakan ia secepat mungkin. Esok adalah hari baru, mulakan sebaik mungkin dengan semangat berkobar-kobar, mengatasi kesilapan lalu”. 

Melakukan kesilapan adalah lumrah dan jadikannya sebagai pengajaran untuk maju ke hadapan. 

Saya yakin setiap hari sentiasa ada pengajaran untuk kita. Kita boleh jadikan pengajaran sebagai pengalaman berharga untuk dikongsi.



Wednesday, December 29, 2021

Strategi penuhi jangkaan dan matlamat


Kita mungkin sudah banyak kali bernasib baik namun sesekali akan juga mengalami nasib yang tidak baik. Sama ada baik ataupun tidak, kita perlu maju ke hadapan. 

Kita perlu merancang teknik dan strategi terbaik supaya menepati jangkaan dan mencapai matlamat.

Ada orang yang kuat mentalnya mampu menahan banyak bebanan hidup seperti cerai-berai keluarga, kematian dan perpisahan. 

Ada juga yang mampu menahan sakit kerana ada kekuatan fizikal. Dua kekuatan ini yang tidak wujud dalam masa yang singkat sebaliknya dipupuk dan dimantapkan bagi tempoh yang panjang. 

Kekuatan inilah yang dapat membantu untuk ke hadapan.


Tuesday, December 28, 2021

Kemampuan bergantung kepada diri sendiri


Kita mungkin pernah mendengar susunan ayat yang berbunyi begini, “Apa sahaja yang kita mahu lakukan, kita mampu melakukannya”. 

Susah juga untuk memahami ayat ini kerana ia mencabar mental, fizikal dan spiritual untuk berjaya. 

Namun, saya membuat kesimpulan bahawa dalam mana-mana situasi, kita mampu memilih sama ada mahu berjaya atau gagal. Ia berkaitan dengan kekuatan mental untuk menghadapi cabaran kerana kadangkala kita terpaksa berhadapan dengan situasi tanpa pilihan. 

Maknanya kita perlu mengambil tindakan sebelum dapat memikirkannya. Keputusan mesti dibuat, azam mesti disandarkan pada keyakinan sejauh mana boleh pergi. 

Kesimpulannya, mampu atau tidak ia bergantung kepada diri sendiri.


Monday, December 27, 2021

Percaya boleh buat perubahan



Nelson Mandela adalah tokoh masyarakat yang menempuh pelbagai cabaran hidup. Beliau adalah contoh ketabahan dan kesabaran hidup yang memiliki visi yang jelas iaitu membebaskan perbezaan. 

Jalan cerita hidupnya berwarna-warni. 

Zaman kanak-kanaknya di kampung, kehilangan bapa, cemerlang dalam undang-undang dan sukan gusti serta perjuangan meruntuhkan sistem apartheid menyebabkannya di penjara selama 27 tahun. 

Pada tahun 1975, beliau berkata suatu hari nanti beliau akan dibebaskan dan melangkah keluar dari penjara dengan berjalan kaki. 

Pada 1990, Nelson Mandela berjaya berjalan sendiri, selangkah demi selangkah keluar dari penjara seperti mana yang beliau bayangkan see;um itu. 

Rumusannya, percaya apa yang kita boleh buat membantu fikiran dan usaha bergerak ke arah kepercayaan tersebut.


Sunday, December 26, 2021

Percaya diri ketika hadapi cabaran


Kadangkala cabaran hidup begitu kuat dalam hidup kita muncul dalam keadaan yang berbagai-bagai suasana dan bentuk. 

Orang bujang dengan cabarannya, orang berkeluarga juga dengan bentuk cabarannya dan hidup bermasyarakat juga ada cabaran tersendiri. 

Barangkali kita perlu melihat kembali visi atau matlamat hidup dengan lebih jelas khususnya apa yang kita patut lakukan untuk mencapai impian hidup. 

Saya seringkali bertanya pelbagai soalan kepada mereka yang berjaya keluar daripada kesusahan hidup sama ada kewangan, peribadi, keluarga, komunikasi dan sebagainya.

Kesimpulan yang saya dapat lakukan adalah ketika susah, kita perlu memegang kepercayaan yang menjadi teras dalam diri kita. 

Jadi, setiap masa kita wajar memperkukuh kepercayaan diri ini.


Saturday, December 25, 2021

Bahagia kerana sumbangan orang lain


Keupayaan mencipta bahagia, bagi sesetengah orang adalah mencabar kerana lebih banyak persoalan daripada jawapan. Jadi, apakah definisi bahagia? 

Ada orang yang melihat harta yang banyak sebagai bahagia. Jika begini maksud bahagia, kenapa masih ada orang yang sememangnya banyak harta, rumah besar dan serba-serbinya besar masih lagi keluh-kesah, risau dan rasa tidak cukup? 

Begitu juga orang yang hidup dengan cara sederhana, mereka juga rasa tidak cukup. Jadi, bagaimana memberi definisi bahagia ini? 

Pada fikiran saya, apa yang dikecapi oleh mereka yang bahagia ini adalah sumbangan yang diberikan kepada orang lain atau kepada masyarakat. 

Azam yang membara dalam jiwa untuk survival diri dan keluarga serta masyarakat menyumbang kepada kebahagiaan hakiki.

Friday, December 24, 2021

Mula membaca dengan sepuluh minit sehari


Membaca mengubah nilai, sikap dan peribadi kita. 

Bagaimana proses membaca dapat mengubah ketiga-tiga elemen ini? 

Saya kongsikan satu contoh perubahan yang berlaku ke atas seorang lelaki yang berumur 50 tahun yang tidak pernah merasakan dirinya sebagai orang yang berjaya sehinggalah beliau hilang pekerjaan, isterinya sakit dan tidak ada wang untuk belanja perubatan. 

Setiap hari beliau memberi masa sepuluh hingga 20 minit untuk membaca. 

Sebelum itu beliau tidak pernah membaca langsung. Hasil daripada kerajinan dan usahanya untuk membaca, lelaki itu melihat terdapat perubahan pada dirinya sendiri khususnya nilai dan sikap apabila mempelajari bagaimana tip, teknik dan pengalaman orang yang berjaya dalam buku-buku yang dibaca. 

Tidak rugi untuk kita memulakan amalan membaca pada hari ini kerana manfaat yang kita akan dapat jauh lebih banyak daripada apa yang kita sangkakan.

Thursday, December 23, 2021

Hidup ikut kemampuan


Penyelesaian praktikal bagi orang yang selalu hendak mengejar wang ringgit adalah mencari keseimbangan. 

Pernahkah kita berfikir bahawa wang ringgit akan menyelesaikan setiap masalah yang kita hadapi? 

Ada orang yang bergaji kecil berangan-angan hendak memiliki sebuah kereta Ferrari kerana kereta itu menjadi simbol kekayaan. Ketika berbaris menunggu makanan, saya fikir dengan wang yang banyak, semua masalah akan selesai. 

Sebenarnya tidak, lebih banyak wang bermakna lebih banyak masalah. 

Jadi, hidup perlu ada keseimbangan dan tujuan yang jelas. Pesan orang tua-tua, berbelanja ikut kemampuan dan elakkan daripada berhutang. 

Walaupun sukar, cubalah disiplinkan diri dengan prinsip hidup yang tegas dalam berbelanja.


Wednesday, December 22, 2021

Dunia berubah, survival lebih tinggi


Ketika dunia persekitaran sedang berubah, survival secara individu dan kolektif amat bergantung kepada cara kita menyesuaikan diri. 

Kita perlu pilih yang terbaik. 

Contohnya, perkembangan teknologi maklumat yang sangat pantas pada hari ini telah mengubah pelbagai bentuk kerja dan aktiviti harian kita. 

Pengenalan gajet baru boleh dikatakan kerap berlaku dan merangkumi beraneka peralatan. 

Begitu juga dengan kemahiran-kemahiran khusus yang mengukuhkan kedudukan seseorang dalam jawatannya. 

Sekiranya kita masih berfikir sama seperti sepuluh tahun lalu, kita akan tertinggal. Perubahan persekitaran akan meminggirkan apa yang kita miliki jika tidak bersedia dengan penyesuaian ini. 

Pelajar yang baharu bergraduat dengan satu disiplin ilmu tidak mampu bersaing dengan pelajar multidisiplin semasa temuduga. Jadi, kita mesti menyesuaikan diri.


Tuesday, December 21, 2021

Mencari pembakar semangat


Banyak filem komedi yang membuatkan penonton bergelak ketawa dan mengembalikan 'mood' serta semangat untuk hidup. 

Sayangnya, dalam hidup sebenar, sesetengah daripada kita sudah hilang semangat atau membiarkan semangat itu pergi begitu sahaja. 

Keadaan ini berlaku kepada rakan-rakan kita yang sudah pun berada di puncak kejayaan kerjaya mereka. 

Namun apabila sampai di satu titik kehidupan, tidak ada apa-apa lagi yang dapat membakar bara semangat mereka. 

Mencari kekuatan diri atau keyakinan diri bukannya suatu kisah jenaka seperti yang digambarkan dalam filem. 

Ia sangat kritikal supaya kita terus gigih, tidak gentar, sentiasa memiliki harapan dan semangat tidak mudah luntur.


Monday, December 20, 2021

Mencari pembakar semangat



Banyak filem komedi yang membuatkan penonton bergelak ketawa dan mengembalikan 'mood' serta semangat untuk hidup. 

Sayangnya, dalam hidup sebenar, sesetengah daripada kita sudah hilang semangat atau membiarkan semangat itu pergi begitu sahaja. 

Keadaan ini berlaku kepada rakan-rakan kita yang sudah pun berada di puncak kejayaan kerjaya mereka. 

Namun apabila sampai di satu titik kehidupan, tidak ada apa-apa lagi yang dapat membakar bara semangat mereka. 

Mencari kekuatan diri atau keyakinan diri bukannya suatu kisah jenaka seperti yang digambarkan dalam filem. Ia sangat kritikal supaya kita terus gigih, tidak gentar, sentiasa memiliki harapan dan semangat tidak mudah luntur.


Sunday, December 19, 2021

Proaktif ambil peluang



Satu nilai yang sangat penting dalam hidup ialah proaktif. Kita perlu memiliki nilai ini supaya kita dapat menguasai keadaan. 

Apabila hal itu berlaku, baharulah kita dapat mengetuk peluang yang datang. Namun ada kalanya peluang datang bergolek dan kita perlu tangkas memutuskan cara untuk memberi respon.

Tentang proaktif tadi, adakah kita akan tunggu saja atau bagaimana? 

Selalunya peluang datang sekali-sekala, tuah yang datang bergolek di hadapan mata jarang-jarang berlaku. 

Peluang sama seperti pisang goreng, nyaman dimakan ketika masih panas dan semasa rehat atau santai sebelah petang. 

Proaktif perlukan masa yang tepat dan tindakan yang betul supaya keputusan yang dimuktamadkan berpihak kepada kita.


Saturday, December 18, 2021

Kita sendiri tentukan kejayaan atau kegagalan


Angkasawan hebat, Neil Amstrong adalah contoh orang yang mahu mengambil risiko untuk menjejakkan kaki ke bulan. 

Semasa beliau melangkah masuk ke dalam kokpit roket, ada kemungkinan beliau akan gagal kerana roket tidak dapat berlepas ke angkasa. Beliau juga berlatih banyak kali untuk membina kemahiran dan memupuk semangat waja. 

Selepas mengharungi semua halangan, akhirnya Amstrong merumuskan, “Ini hanyalah langkah kecil seorang lelaki tetapi suatu lonjakan besar bagi manusia”. 

Banyak misteri alam sama ada di darat, laut atau udara yang perlukan kita meneroka. Kunci kepada penerokaan yang berjaya adalah soalan “mengapa tidak?” atau “why not?”.

Jadi, dalam hidup kita hadapi sekarang, kita sendiri yang mencipta kejayaan atau kegagalan dalam hidup.


Friday, December 17, 2021

Tidak salah gagal tetapi kita tidak boleh berputus asa


“Hanya yang berani mampu meneruskan perjalanan”. 

Ayat ini saya kongsikan dengan anda hari ini untuk mengingatkan bahawa risiko sentiasa ada. Keberanian meneruskan perjalanan bergantung bagaimana kita mampu menguruskan adaptasi atau penyesuaian diri terhadap risiko yang dihadapi. 

Bagi kebanyakan orang, takut gagal telah menjadi halangan besar untuk mengambil risiko. Risiko sangat perlu dalam semua cita-cita dan matlamat. 

Apa yang kita perlu pelajari adalah “tidak salah gagal tetapi kita tidak boleh berputus asa”.

Sebaliknya takut gagal atau kalah kepada pihak lain akan memaksa kita mengambil risiko yang tidak wajar pula.

Thursday, December 16, 2021

Sumbang apa yang ada


Mungkin ramai antara kita yang berfikir bahawa untuk memberi sumbangan kepada komuniti, kita perlu berada dalam kedudukan kelas sosial yang tinggi dan mempunyai kawalan kewangan yang baik. 

Namun sebenarnya kita boleh memberi sumbangan dalam ruang lingkup keupayaan kita seperti berkongsi kejayaan dan kegagalan dalam mengejar cita-cita. 

Sekiranya kita mampu, kita boleh menyumbang wang atau tenaga. 

Namun, pada saya, sumbangan yang paling besar dan berkesan adalah mencipta peluang untuk belajar kerana pendidikan adalah mekanisme yang paling sesuai untuk mengubah kehidupan dalam jangka masa panjang. 

Berkongsi kejayaan dan mengambil berat tentang komuniti setempat tidaklah sukar seperti yang disangkakan. Ia boleh diaplikasi mengikut cara yang sesuai, beri apa yang kita ada dan mulakan sekarang.


Wednesday, December 15, 2021

Tidak serius berfikir



Kita mungkin pernah mendengar kenyataan ini iaitu, “Dua peratus daripada ktia yang berfikir, tiga peratus merasakan mereka berfikir dan 95 peratus telah meninggal dunia kerana tidak serius berfikir”. 

Inti pati kenyataan ini adalah berfikir tetapi apakah yang dimaksudkan dengan berfikir? 

Saya berkongsi dengan anda tentang maksud berfikir ini iaitu satu proses minda sedar untuk memberi justifikasi, perancangan atau analisis (reasoning, planning, analyzing). 

Orang yang berfikir adalah orang yang mengawal pemikirannya. 

Dia tidak menerima semua perkara sebaliknya menyusun dan mengarahkan pemikirannya untuk mencapai matlamat, perkembangan diri dan kesejahteraan hidup. 

Hanya ada dua pilihan iaitu kita mengawal pemikiran atau pemikiran yang mengawal kita.


Tuesday, December 14, 2021

Utamakan fokus



Salah satu daripada keupayaan yang ada pada setiap orang adalah menumpukan perhatian iaitu fokus. Kuasa fokus ini kerap kali dianaktirikan oleh kita sendiri. 

Sekiranya fokus ini digunakan sepenuhnya, ia mempunyai kekuatan sehingga dapat meratakan bukit dan gunung. 

Kaedah yang paling berkesan untuk menggunakan fokus adalah memberikan peluang dan bukannya cabaran, tujuan dan bukannya faedah istimewa, perburuan dan bukannya persaingan. 

Bagi membolehkan kita mengekalkan fokus dan mengumpul semua potensi, kita terpaksa mengorbankan apa yang kita ada, yang kita boleh berkompromi tetapi untuk maruah diri dan keluarga terutama anak-anak, ia tidak boleh dikompromi.

Monday, December 13, 2021

Jujur dan percaya resepi hidup berjiran


Siapakah jiran anda? Atau lebih khusus lagi, “Siapakah yang tinggal di kawasan kejiranan anda?” 

Jiran amat penting dalam kehidupan sosial kita. Ia amat berkait dengan isu kepercayaan, persahabatan dan perhubungan. Jiran juga merupakan sebahagian daripada asas jaringan sosial dalam masyarakat. 

Manfaat mendapat jiran yang baik sangat besar khususnya ketika memerlukan pertolongan dan simpati. 

Asas kepada hubungan kejiranan yang baik dan berkesan adalah kejujuran dan kepercayaan. Kedua-dua sifat ini akan membina kesetiaan bersama-sama supaya kesempurnaan hidup dinikmati bersama. 

Sifat-sifat ini perlu disuburkan supaya ia menjadi kental dan melekat dalam hati dan fikiran. 

Biasanya di satu-satu kawasan kejiranan, hidup bersama boleh menjangkau lebih 20 tahun malah mungkin sampai dua atau tiga generasi.


Sunday, December 12, 2021

Sebuah idea mengubah impian hidup


Setiap orang menjual sesuatu sama ada barang, perkhidmatan, daya tarikan, kuasa, maklumat, harapan atau motivasi. 

Contohnya, orang menjual sesuatu idea, wawasan atau impian dapat mengubah sebuah kehidupan. Ramai orang yang menjual idea mereka dan dapat mengubah nasib ramai orang di seluruh dunia. 

Idea mengenai “semua orang boleh terbang sekarang” telah mengubah konsep dalam penerbangan tambang murah. 

Jika dahulu tidak ramai yang dapat bergerak ke merata tempat, kini peluang bersama kapal terbang ke luar negara nampaknya lebih terbuka. 

Begitu juga dengan idea maklumat. Dunia umpama sebuah kampung yang kita boleh tahu apa yang berlaku di negara lain dalam tempoh yang lebih singkat.


Saturday, December 11, 2021

Pasang impian ikut minat sendiri


Di mana sahaja kita berada, jika kita memiliki nilai keberanian dan cepat kembali kedudukan asal, mungkin kita sudah bersedia meneroka dan menceburkan diri dalam bidang-bidang yang mencabar. 

Jika anda bercadang memilih jalan yang jarang dilalui oleh orang lain, masihat saya, lakukannya mengikut minat dan cara sendiri. Satu-satunya syarat adalah anda sanggup menghadapi risiko.

Untuk menjayakan tindakan dan usaha yang dilakukan, wang tidak memainkan peranan penting tetapi tenaga, semangat, kebahagiaan dan impian yang ada dalam diri kita akan mendorong kita sehingga ke hujung kejayaan. 

Pasang impian anda setinggi-tingginya dan berusaha ke arah impian tersebut. 

Jika impian ini terganggu, bayangkan lagi impian lain yang lebih baik.


Friday, December 10, 2021

Cari mentor dan belajar daripadanya


Ketika saya membaca sebuah buku motivasi, saya terjumpa ayat ini yang berbunyi, “Sekiranya kamu mempelajari daripada yang terbaik, kamu akan jadi yang terbaik”. 

Saya fikir petikan ini amat baik untuk mendorong diri kita melihat kehidupan masa hadapan. 

Cabaran hidup semakin besar, rumit dan perlu banyak bersaing. Kita juga selalu mendengar ungkapan ini, “Hanya orang yang cekal dan tabah akan berjaya”. Untuk bersaing, kita perlu jadi yang terbaik. 

Contohnya menjadi pemandu teksi terbaik atau menjadi penyelidik paling unggul. Cari dan belajar cara memandu teksi yang betul daripada pemandu teksi yang terbaik supaya ilmu pemanduan teksi kita dapat kuasai. 

Begitu juga penyelidik, kita kena cari penyelidik yang memiliki H-indeks yang tinggi, sitasi yang bertingkat-tingkat dan belajar daripadanya supaya menjadi yang terbaik.


Thursday, December 09, 2021

Aura keyakinan diri


Apabila kita merasa hebat, dunia luar bertindak balas seiring dengan fikiran kita. 

Ketika di Brunei, saya selalu menggilap kasut setiap kali mahu berjumpa dengan bakal pelanggan bagi urusan bisnes. 

Pada saya, kasut kulit yang bersinar-sinar dan memantulkan cahaya melambangkan aura keyakinan diri yang hebat. Apabila berpindah ke tempat lain, saya turut melakukan perkara yang sama. 

Di pejabat tempat kerja yang baru, saya akan pastikan kasut berada dalam keadaan berkilat, bersih dan kemas, stoking yang selesa dan padanan warna baju dan seluar yang menyenangkan. 

Ketika berjoging, saya juga pastikan keadaan yang sama kerana akan berhadapan dengan orang ramai yang turut berjoging. 

Setiap kali kita melakukan rutin yang meningkatkan aura keyakinan diri, adalah lebih baik kita meneruskan rutin tersebut supaya dapat membantu meneruskan kesinambungan kejayaan.

Jadikan ia sebagai motivasi yang kuat dalam minda dan jiwa kita.


Wednesday, December 08, 2021

Mulai dengan susah payah



Kelmarin saya berkongsi dengan anda tentang kenapa orang yang berjaya, mereka boleh berjaya. 

Apabila kita perhatikan individu-individu ini, kita dapat lihat mereka menampilkan tahap keyakinan yang begitu tinggi. 

Kali ini saya panjangkan lagi kelebihan yang terdapat pada orang yang berjaya ini iaitu memiliki fokus yang sangat jelas berbanding apa yang dapat dicapai orang lain. 

Kehadiran mereka ini bukan sahaja dapat dilihat dalam bidang kemahiran mereka malah dalam aktiviti santai seperti cara bertanya khabar, membeli-belah, makan dan minum. 

Orang-orang yang berjaya ini kebanyakannya bermula dengan bersusah payah, namun melalui latihan dan kemahiran mereka menguasai tahap keyakinan diri yang tinggi.


Tuesday, December 07, 2021

Contohi orang lain yang berjaya


Tahap atau aras keyakinan yang rendah juga menjadi penyebab utama kenapa banyak peluang yang terlepas. 

Orang yang mengalami nasib begini seringkali menceritakan kesilapan-kesilapan yang mereka lakukan semasa berhadapan dengan saat-saat peluang di hadapan mata. 

Apabila berhadapan dengan situasi-situasi lain yang penting seperti temuduga, temujanji, berunding ataupun pembentangan bisnes, keadaan menjadi lebih buruk lagi kerana tidak yakin pada kemampuan diri. 

Jadi, di mana datangnya kualiti diri yang dinamakan keyakinan ini? 

Jawapan pada soalan interletak pada usaha kita iaitu membaca dan mengkaji bagaimana individu-individu yang berjaya dalam bidang mereka melakukan perkara yang mereka ceburi.


Monday, December 06, 2021

Optimis capai kejayaan


Tidak ada keraguan lagi untuk menyatakan keyakinan adalah nilai yang dapat membawa seseorang pergi lebih jauh berbanding pengalaman dan kemahiran. 

Setiap kali saya membaca buku-buku motivasi, penulis kerap berkongsi pengalaman kegagalan demi kegagalan tetapi tetap meneruskan usaha dengan pelbagai teknik, akhirnya mereka berjaya. 

Kejayaan ini disumbangkan oleh tahap keyakinan yang jitu dalam diri mereka. Ia juga datang dari perasaan ingin tahu dan sikap mahu belajar atau kesungguhan mencari jawapan-jawapan yang berada dalam fikiran mereka. 

Optimis dapat mencapai sasaran juga memberi harapan untuk meningkatkan tahap keyakinan ini.

Sunday, December 05, 2021

Ubah strategi, kerja lebih kuat


Pengalaman lepas ketika bekerja keras dan inisiatif membantu kita mendapat peluang yang tidak disangka. 

Ada masanya kita tidak mencari peluang tetapi peluang itu muncul di hadapan kita. Ada masanya kita berusaha sehingga merasakan usaha-usaha selama ini sia-sia. 

Kalau inilah pengalaman yang kita kerap hadapi, kita perlu mengubah pendekatan dan strategi sedia ada. 

Sudah tentu kita perlu menyesuaikan apa yang sudah kita ketahui bagi melakukan sesuatu yang lebih besar supaya output kerja itu nanti lebih berkesan. 

Namun, kita juga perlu ingat, kerja kuat akan menjadi lebih hebat jika dilakukan dengan kebijaksanaan dan kepintaran akal.


Saturday, December 04, 2021

Buat yang terbaik


Bekerja keras mencapai sasaran bermakna mengurangkan kerja-kerja rutin yang menghalang laluan kejayaan. 

Apa yang dimaksudkan dengan kerja-kerja rutin ini? 

Antaranya waktu minum sebelah pagi, bual-bual kosong atau melayari media sosial untuk kepuasan diri. 

Pada saya, kerja keras adalah membuat yang terbaik dalam apa juga yang kita lakukan. 

Nampak seperti sangat mudah kenyataan ini namun jika kita mahu menonjolkan diri dalam persekitaran yang penuh persaingan, di mana setiap orang mahukan sumber dan matlamat yang sama, sikap bekerja keras ini mungkin menjadikan usaha-usaha kita kelihatan ketara dan menonjol. 

Maknanya, ia kelihatan dalam bentuk pemikiran, sikap dan tindakan yang menjadikan rutin harian agak laju dan agresif.


Friday, December 03, 2021

Silap tak apa, yang penting istiqamah


Thomas Edison pernah berkata, “Tiada apa pun yang dapat menggantikan kerja keras”. 

Saya bawakan kata-kata ini kerana ramai juga yang mahu berjaya tetapi mencari jalan pintas, enggan bersusah payah dan tidak mahu bermula dari bawah. 

Mereka yang berjaya tidak pernah duduk senang-lenang sebaliknya mengoptimumkan peluang sedia ada. 

Kadangkala ia perlukan pengulangan, membuat kesilapan, berusaha sedikit demi sedikit sebelum menemui kaedah yang terbaik untuk diri kita. 

Samalah keadaannya apabila kita mahu diangkat ke peringkat yang lebih tinggi. 

Kita perlu bekerja keras supaya kedudukan baru nanti sesuai dengan keupayaan dan kebolehan diri. 

Konsepnya sama untuk hal-hal yang lain, perlu bekerja keras dan istiqamah.


Thursday, December 02, 2021

Mulakan inisiatif


Kita semua mungkin mempunyai cerita dan kisah yang hampir sama ataupun akan menghadapi situasi yang sama pada masa hadapan. 

Jika ia berlaku, kita tidak bersendirian menghadapi masa tersebut. Sama ada bagi yang baharu memulakan pekerjaan ataupun sedang mencari kerja baharu, mencari tempat tinggal ataupun merangka bajet keluarga, mengingatkan orang lain pun pernah melalui kisah yang sama, kadang-kadang dapat membantu kita melepasi cabaran hidup. 

Perkara paling utama di sini adalah inisiatif iaitu memulakan gerakan walau di mana sahaja dan pada bila-bila masa. 

Tidak kira apa juga bidang yang kita ceburi, setiap kali mengambil inisiatif untuk membuat yang terbaik, kita telah memiliki pengetahuan yang tidak ternilai harganya tentang bagaimana berjaya dalam hidup.

Wednesday, December 01, 2021

Kejayaan= ilmu + teknik


Apakah rahsia kejayaan? 

Soalan yang selalu ditanya. Tentulah jawapannya sangat mudah iaitu ilmu pengetahuan dan teknik. 

Rahsia kejayaan seperti ini sudah diketahui umum kerana semua orang berkongsi resepi. Kita boleh pinjam resepi orang lain yang sudah berjaya dan semuanya percuma. 

Kita juga dapat menggunakan apa yang kita sudah tahu daripada pengalaman hidup diri sendiri dan orang lain yang bekerja keras dalam memburu cita-cita mereka. 

Inilah yang saya yakini untuk membentuk acuan kejayaan. 

Biar 1000 teknik yang kita pelajari, kejayaan adalah satu proses yang muncul selepas kita bekerja keras. Ianya datang sekiranya kita beri yang terbaik dari segi cara fikir, strategi, teknik dan masa.