Sunday, January 31, 2021

Bertindak


Mempunyai sebuah impian hidup yang besar adalah sangat baik.

Kita tidak akan ke mana jika tidak memiliki cita-cita dan impian kerana cita-cita dan impian umpama bara yang memberi tenaga untuk merealisasikan impian.

Sebaik sahaja kita menetapkan matlamat, mulai melihat peluang-peluang untuk mula bertindak.

Kalau sudah ada peluang, jangan bertangguh-tangguh, jika tidak peluang itu tidak akan datang lagi.

Jadikan satu tabiat untuk bekerja dan bertindak berdasarkan matlamat kita dalam semua perkara.

Permulaannya mungkin sukar namun lama-kelamaan ia akan menjadi kebiasaan dan kekal menjadi budaya hidup.

Saturday, January 30, 2021

Fikir kualiti


Business Week pernah memilih Donald Trump sebagai ‘Pemimpin Bisnes Paling Kompetitif Di Dunia’. 

Anugerah ini sangat berprestij dalam dunia bisnes. 

Sebagai pengkaji dan pemerhati, saya benar-benar ingin tahu apakah ciri-ciri yang ada pada Donald Trump sehingga beliau berjaya dipilih. 

Trump adalah jenama yang sangat terkenal, diyakini dan dikaitkan dengan kualiti tinggi. 

Satu ciri yang sentiasa ada dalam diri Donald Trump ialah sentiasa berusaha buat yang terbaik tidak kira apa caranya. 

Jika tidak dapat, beliau akan cari jalan untuk mendapatkan apa yang dimahukan. 

Setelah dapat apa yang dikejar, beliau tidak mudah berpuas hati dan mulai belajar tentang cabaran-cabaran yang akan datang.

Friday, January 29, 2021

Survival


Setiap hari adalah pengalaman baharu sama ada bagus atau tidak, kita perlu lalui dan hadapi. Kita perlu kuat untuk meneruskan hidup dan tidak boleh berputus asa tanpa berhadapan dengan cabaran. 

Dalam kalangan pelajar, banyak kajian yang dibuat tentang sikap mereka terhadap pelajaran di sekolah. 

Salah satu hasil kajian ialah sikap dan tingkah laku pelajar ada kaitan langsung dengan cara gaya ibu bapa membesarkan anak-anak dan bagaimana pengajaran di sekolah dilaksanakan. 

Sejak dilahirkan, ramai anak muda yang membesar dengan mendapat keperluan yang mencukupi iaitu makan, minum, pakaian dan sebagainya. 

Malah ada juga kerja sekolah yang dibantu oleh ibu bapa. 

Daya tahan berkait rapat dengan survival. Untuk survive, anak-anak mesti menghadapi cabaran hidup mereka sendiri.

Thursday, January 28, 2021

Never Give Up


Satu formula untuk cekal dalam menjayakan matlamat hidup, matlamat dalam bisnes atau matlamat belajar ialah tidak berputus asa. 

Jika hendak berjaya, kita jangan sekali-kali mengalah. 

Kebanyakan inventor atau pencipta produk, sistem atau proses adalah mereka yang memiliki daya juang untuk terus merealisasikan apa sahaja yang hendak dicapai. 

Mereka berfikir dalam ruang lingkup yang besar dan sangat realistik. 

Laman sosial terkenal hari ini, Facebook juga mengambil masa untuk menjadi terkenal. Andai kata pengasas laman sosial ini mengalah dan kecewa kerana terlalu ramai yang mengkritik, tentulah kita tidak ramai kenalan di Internet. 

Formula kejayaan Facebook ialah never give up. Kita tidak akan berjaya kalau cepat give up.

Wednesday, January 27, 2021

Belajar daripada kesilapan


Setiap orang, walaupun sekali, memiliki masa-masa indah, detik-detik indah dan masa-masa sukar. 

Setiap orang juga pernah berpengalaman merasai kejayaan dan kegagalan silih-berganti. Maknanya, kita tidak ada pilihan ketiga. 

Saya ambil contoh usahawan, kadangkala idea usahawan diterima tetapi biasanya lebih banyak ditolak. 

Tidak kira apa yang hendak dielakkan, idea yang mendapat sambutan dan diterima tidak dapat dilaksanakan dengan sempurna. 

Resepi ayam KFC telah ditolak banyak kali kerana tidak meyakinkan namun Kapten Sanders tidak mengalah. Beliau dapat menerima penolakan dan terus berusaha mencari orang yang mahu menerima resepi ayamnya.

Tuesday, January 26, 2021

Atasi tekanan



Lebih banyak masa diberi untuk melakukan apa yang kita suka berbanding yang kita benci, meluat atau tidak suka.

Saya mendengar ada pakar-pakar pengurusan berkata ‘adalah penting untuk memberi fokus kepada penyelesaian bukannya masalah’.

Kalau lebih banyak tenaga dan fikiran diberi untuk masalah, berapa banyak semangat dan kesungguhan kita untuk mencari penyelesaian?

Kita perlu tukar mentaliti yang memberi banyak tenaga dan masa kepada masalah ini.

Kita wajar menerima dan mengambil maklum masalah yang dihadapi, kemudian bergerak ke tahap yang lebih positif iaitu memberi fokus kepada penyelesaian.

Monday, January 25, 2021

Tahan tekanan



Syarat lain untuk berjaya ialah tahan dengan tekanan. Tekanan tidak dapat dielakkan semasa kita mengejar impian untuk berjaya dalam cita-cita. 

Lain orang lain pula tekanannya. 

Pelajar berhadapan dengan tekanan yang berbeza dengan buruh atau petani. 

Pengurus syarikat berbeza tekanannya dengan pegawai kewangan. 

Walaupun semuanya berbeza, mereka memiliki satu persamaan iaitu keupayaan menahan tekanan, mampu menangani tekanan sama ada dalaman atau luaran. 

Kejayaan berhadapan dengan tekanan dan kaedah pengurusannya boleh menentukan tahap kejayaan. 

Untuk mengetahui tahap kejayaan dalam menguruskan tekanan, banyak kriteria yang perlu diambil kira.


Sunday, January 24, 2021

Seronok bekerja



Apabila kita bekerja, tidak kiralah di syarikat kecil atau besar, kita ingin merasai betapa seronoknya bekerja. 

Banyak sebab kenapa seronok bekerja ini seperti mendapat persekitaran kerja yang kondusif, rakan-rakan yang ‘sporting’, bos yang menggunakan pendekatan humanistik dan yang bagusnya gaji sering naik setiap tahun. 

Namun, lain orang lain sebabnya. 

Kita ambil contoh Steve Jobs yang terkenal dengan jenama Apple dan iPad. 

Ideanya telah mengubah persepsi dan penggunaan komputer. 

Barangkali Steve Jobs bukannya seorang yang terbaik dalam reka bentuk tetapi beliau seorang yang bersemangat dalam inovasi teknologi. 

Selain wang ringgit, semangat dan ghairah menjadikan seseorang seronok dengan kerja.


Friday, January 22, 2021

Sikap terhadap orang lain



Donald Trump- sebuah nama yang gah dan terkenal dalam industri hartanah di Amerika Syarikat sering berkongsi idea dengan pelanggan dan orang ramai melalui buku-buku yang menjadi ‘bestseller’. 

Salah satu bukunya ialah Think Big. 

Kandungan buku ini penuh dengan cerita tentang semangat untuk berjaya. Kebaikan gagal dalam bisnes dan kata-kata serta tip untuk menjadi kaya. 

Dalam bab pertama, Donal Trump bertanya: ‘What is your attitude toward people?’ yang bermaksud Apakah sikap anda terhadap orang lain? 

Bagi Donald Trump, beliau akan mendapatkan pekerja terbaik tetapi tidak akan percaya kepada pekerja tersebut. 

Bagaimana pula sikap kita? Apakah kita bersetuju dengan Donald Trump atau ada pandangan sendiri? 

Fikir-fikirkan.

Thursday, January 21, 2021

Kualiti istimewa



Kejayaan atau kecemerlangan dalam hidup perlukan kualiti yang istimewa. 

Terdapat formula yang kita boleh ikut untuk berjaya dalam hidup tetapi kita mesti jujur dengan keupayaan diri. 

Menjadi kaya, mendapat skor paling tinggi atau menjadi juara adalah pencapaian yang sangat sukar. 

Kadang kala menjejaskan kesihatan, melelahkan dan mengambil masa yang lama. Kejayaan adalah suatu yang istimewa. 

Jadi, orang yang memiliki ciri-ciri keistimewaan sahaja yang akan mencapai kejayaan. Mereka yang memiliki bakat adalah istimewa tetapi mereka yang berusaha memiliki kemahiran adalah jauh lebih istimewa.

Wednesday, January 20, 2021

Gigih



Kegigihan boleh membawa seorang usahawan muda menjadi kaya-raya. 

Penentu kepada kejayaan dalam bisnes ialah berapa banyak jualan atau keuntungan yang diperoleh. 

Hakikatnya, membuat untung sangat susah dan melelahkan tetapi itulah ganjaran untuk usahawan yang gigih dan tekun membuat jualan, mencari pelanggan, tidak kalah dengan penolakan atau rejection dan tidak mudah berpuas hati. 

Kegigihan adalah sumber kekuatan bagi berhadapan dengan cabaran-cabaran besar yang sukar dibantu oleh orang lain. 

Kegigihan dapat membantu daya juang untuk bangkit kembali bersaing, menyusun strategi dan melepasi satu demi satu halangan.

Tuesday, January 19, 2021

Daya tahan



Presiden dan pengasas sebuah syarikat terkenal, Bill Zanker, telah mengkaji beratus-ratus orang yang telah berjaya di Amerika Syarikat. 

Mereka ini termasuk jutawan-jutawan yang telah mencapai tahap kekayaan yang sangat banyak, terkenal dan masih meneruskan kerja seperti biasa. 

Beliau membuat kesimpulan iaitu satu-satunya persamaan yang ada pada setiap jutawan ini ialah kegigihan atau ketegasan. Mereka tidak pernah mengalah walaupun pernah gagal dalam bisnes. 

Tidak ada cara lain yang lebih mudah untuk berjaya dalam kerja-kerja kita kecuali gigih mencapai matlamat. 

Orang yang berusaha separuh jalan tentulah tidak akan dapat mencapai sasaran.


Monday, January 18, 2021

Keutamaan




Kata orang, ‘Kalau kita mengejar dua ekor arnab, kedua-duanya akan lari’. 

Malangnya, sebahagian besar daripada kita melakukan perkara yang sama- tidak memberi fokus, hasilnya tidak berkesan. 

Barangkali kita mempunyai banyak pilihan, malah kadang kala tidak terhad. 

Dalam ekonomi, memberi tumpuan atau perhatian adalah kunci kejayaan. Untuk mengembangkan bakat dan kemahiran, kita perlu memberi fokus. 

Untuk fokus, kita mesti mengetahui apakah keutamaan sebenar dan memberi tumpuan. 

Selepas itu, barulah kita dapat menangkap seekor arnab walaupun bilangannya lebih banyak kerana kita sudah memberi fokus kepada sasaran.


Sunday, January 17, 2021

Kaizen- baiki diri




Orang yang sering menyalahkan orang lain kerana kegagalan diri sendiri tidak pernah berfikir untuk menyelesaikan masalah diri. 

Mereka ini bergerak dari satu masalah ke masalah lain dan hasilnya mereka jarang merasai nikmat kejayaan. 

Untuk menyerlahkan potensi diri, kita mesti berterusan membaiki diri, kita tidak dapat melakukannya jika tidak mengambil tanggungjawab ke atas tindakan-tindakan kita dan tidak belajar kesilapan-kesilapan lepas. 

Jika kita gagal sesuatu perkara pada masa hadapan, fikirkan kenapa gagal daripada menyalahkan orang lain.


Saturday, January 16, 2021

Membuat pilihan yang tepat




Hidup kita sentiasa terdedah dengan pilihan. Jadi, muncullah ayat-ayat seperti ‘Life is a matter of choices and every choice you make makes you’. 

Di mana hendak belajar, bila hendak berkahwin, di mana hendak tinggal dan sebagainya menentukan di mana kesudahan akhir hidup. 

Bagaimana kita boleh membuat pilihan yang tepat dan memberi manfaat dalam hidup? 

Saya amat percaya, pilihan atau keputusan yang tepat untuk hidup kita ialah berdoa kepada Allah SWT supaya Allah SWT memberi kekuatan dan manfaat yang baik dalam setiap pilihan yang kita lakukan.


Friday, January 15, 2021

Berjaya kerana berubah




Dalam sebuah buku tulisan Howard Hendricks, beliau bertanya satu soalan: Adakah kamu telah berubah baru-baru ini? Minggu lepas, bulan lepas, tahun lepas? 

Beliau tahu betapa sukarnya hendak berubah. Berkembang untuk membuat perubahan adalah satu pilihan. 

Ia adalah keputusan yang benar-benar membuatkan hidup kita berubah. 

Kebanyakan orang kurang sedar bahawa berjaya dan tidak berjaya tidak banyak dibezakan dalam aspek keupayaan. 

Sebaliknya perbezaan yang ketara ialah keupayaan mereka untuk menyerlahkan potensi diri (desires to reach their potential).

Thursday, January 14, 2021

Berkembang adalah pilihan



Kebanyakan orang tidak gemar dengan perubahan malah kadang-kadang menentang perubahan khususnya apabila perubahan berkenaan memberi kesan ke atas diri mereka. 

Penulis novel, Leo Tolstoy berkata: Setiap orang memikirkan cara untuk mengubah dunia tetapi jarang yang berfikir untuk mengubah dirinya. 

atu pernyataan yang kukuh ialah perubahan tidak dapat dielakkan atau change is inevitable. Setiap orang harus menghadapinya. 

Dalam lain perkataan, berkembang adalah satu pilihan. 

Kita boleh memilih untuk berkembang atau mengelak tetapi ingat, orang yang tidak rela untuk berkembang tidak akan menyerlahkan potensi diri mereka.

Wednesday, January 13, 2021

Masalah kerana salah kita



Hari ini saya hendak bawakan kisah seorang ibu dan tikus-tikus yang berkeliaran di rumahnya. Oleh kerana banyak tikus yang merayap dan memunggah makanan di dapur, si ibu telah memasang perangkap tikus di beberapa tempat strategik dengan harapan dapat menangkap seberapa banyak tikus yang ada. 

Malangnya usaha ini gagal. Lalu dia menilai kembali di mana punca masalah yang sedang dihadapinya. 

Akhirnya dia menemui punca kepada masalah tersebut iaitu pengurusan sampah yang lemah. 

Sebaik sahaja sampah-sarap dibersihkan dan ruang dapur dicantikkan, bilangan tikus mula berkurangan. 

Kadangkala kita menyalahkan masalah tanpa membuat kajian atau mengenal pasti punca masalah. Apabila punca masalah ditemui, insya Allah masalah-masalah yang kecil akan terlerai dengan sendirinya.

Tuesday, January 12, 2021

Pimpin diri sendiri


Salah satu daripada kesilapan pemimpin atau ketua ialah memberi masa yang lebih banyak di pejabat berbanding duduk bersama pekerja bawahan. 

Pemimpin-pemimpin muda yang terlibat dalam bisnes, organisasi besar atau bergelar usahawan muda, harus menyedari bahawa pemimpin adalah penggerak agenda, memberi fokus kepada perubahan dan berorientasikan tindakan kerana peribadi yang tidak aktif akan menghalang kemajuan.

Kita boleh pimpin diri sendiri sehingga berjaya kerana kita ada pengetahuan.

Tambahan pula pada hari ini, dengan sistem pendidikan yang lengkap, kita dapat membuat keputusan yang pantas.

Pimpinlah diri untuk berjaya, insya Allah kita boleh lakukan.

Monday, January 11, 2021

Bina jaringan




Lebih banyak jaringan sosial lebih ramai rakan yang kita kenal, boleh minta tolong atau bertukar-tukar pendapat. Kadangkala jaringan sosial boleh dikomersialkan seperti yang dicetuskan oleh laman web Facebook. 

Bagaimana kita boleh meningkatkan kredibiliti dalam jaringan sosial ini? 

Pertama, salahkan diri sendiri. Sedar kedudukan diri kita dan bina keyakinan diri supaya rakan-rakan menyedari keunikan diri. 

Kedua, terbuka dan ikhlas. Kedua-dua sifat ini boleh dihidu kerana memiliki ciri-ciri yang jelas. Sekali kita ambil kesempatan, amat susah untuk meyakinkan rakan-rakan yang lain. 

Ketiga, letakkan kepercayaan. Satu tip yang amat berkesan dalam jaringan sosial ialah memberi kepercayaan. 

Kepercayaan berkait dengan nilai dan nilai inilah yang berada di fikiran rakan-rakan di laman sosial dan sebagainya.

Sunday, January 10, 2021

Kongsi idea




Setiap produk atau pembaharuan akan bermula dengan idea. 

Setiap perkhidmatan bermula dengan idea. Setiap bisnes, buku dan inovasi bermula dengan idea. Idea menjadikan dunia bergerak ke hadapan. 

Jadi, apabila kita memberikan idea, sebenarnya kita memberikan hadiah. 

Sesiapa sahaja boleh memberi idea sama ada kanak-kanak, orang dewasa, pelajar, guru hatta tukang kebun. 

Satu perkara yang saya perhati ialah orang yang memberi idea selalu di kelilingi dengan kreativiti. Lebih banyak idea, lebih kreatif. 

Jadi, lebih banyak berfikir akan lebih kreatif dan menyumbang kepada kemajuan dan kejayaan.



Saturday, January 09, 2021

Kerjasama




Adakah kita seorang yang boleh bekerjasama? 

Kerjasama buat kerja, kerjasama selesaikan masalah dan kerjasama dalam banyak perkara sama ada di rumah, pejabat, kampung dan sebagainya. Bagaimana kita boleh menambah nilai apabila bekerjasama dengan orang lain? 

Banyak caranya. 

Pertama, fikirkan menang-menang. Biasanya apabila kita bekerjasama dengan orang lain, kita menang, mereka menang dan pasukan juga menang. Cuba cari bagaimana kita boleh berkongsi maklumat dan bekerja untuk faedah semua. 

Kedua, lengkap-melengkapi. 

Cara lain untuk bekerjasama ialah bersama-sama dengan orang yang memiliki kekuatan supaya kelemahan diri kita dapat diatasi.

Friday, January 08, 2021

Kesusahan adalah motivasi

 



Tidak ada yang dapat memberi dorongan yang kuat selain daripada kesusahan.

Pengalaman menghadapi kesusahan menjadikan perenang Olimpik, Pat McCormick merangkul dua pingat emas dalam Sukan Olimpik tahun 1952 di Finland dan 1956 di Australia. 

Ketika ditanya bagaimana beliau boleh menang, McCormick menjawab: 'Selepas kalah pada tahun 1948, saya mula tahu di mana kedudukan saya. Ia adalah kegagalan, kekalahan yang menyebabkan saya memberi fokus kepada latihan dan matlamat'.

Jika kita hilang pekerjaan, cuba fikirkan daya tahan yang ada di dalam diri kita. 

Jika kita sudah tidak tahan dengan kegagalan, adalah lebih baik untuk duduk dan berfikir seketika, merenung kembali usaha yang dibuat dan bangkit kembali dengan hati yang ceria dan bahagia.


Thursday, January 07, 2021

Banjir meruntun jiwa





Banjir di bandar Kota Tinggi berlaku lagi selepas 15 tahun. Sebahagian besar bandar tersebut dikepung dan digenang air yang melimpah dari Sungai Johor. Hujan lebat berterusan berberapa hari telah menambah kuantiti air sungai dan mengalir deras ke hulu. Kemampuan Sungai Johor menampung air yang mengalir di tengah-tengah bandar Kota Tinggi sangat terhad menyebabkan air melimpah ke kawasan sekitar seterusnya memasuki premis perniagaan berhampiran.

Deretan kedai di pinggir sungai sudah tentu berhadapan dengan masalah besar jika tidak memindahkan barang mereka ke tempat lebih tinggi. Kawasan rekreasi yang terdapat di pinggir sungai tidak lagi cantik seperti dulu dan perlu dicuci dan dibersihkan.

Kesan yang paling ketara ialah trauma dan sakit jiwa dalam kalangan penduduk dan mangsa yang terlibat. Antara trauma ini ialah berasa bimbang dan resah apabila mendengar bunyi rintikan air hujan pada bumbung rumah atau melihat hujan turun renyai-renyai. Mungkin ada yang berasa cemas, panik dan tidak tentu arah memikirkan tindakan yang patut dilakukan.

Faktor utama banjir pada tahun ini ialah hujan lebat. Kemampuan Sungai Johor yang terhad tidak dapat menampung jumlah air sungai yang bertambah secara mendadak.

Air yang masuk di premis perniagaan merosakkan barang, mengotorkan lantai mencomotkan dinding. Kemusnahan barang perniagaan seperti peralatan pejabat dan produk jualan tidak dapat dibaiki dalam tempoh yang singkat selagi jalan masuk ke premis perniagaan tidak dibersihkan.

Selain itu, air banjir yang masuk ke dalam premis perniagaan membawa sampah-sarap dan kotoran yang perlu dibersihkan. Ia lebih mudarat apabila air tidak bergerak untuk beberapa hari kerana mengundang bau hapak dan kesan beloreng di dinding premis.

Barang-barang jualan yang terendam dalam air dikira rosak dan dibuang. Ia memberi kesan besar kepada peniaga kerana tidak dapat dijual. Antara barangan ini termasuk peralatan elektrik, pakaian, stok makanan mentah dan peralatan sukan. Kemusnahan barangan ini hanya dapat ditaksir selepas usaha pembersihan dilakukan.

Selain kerosakan barang, kesan yang lebih ketara ialah kehidupan pascabanjir. Perasaan bimbang dan kurang motivasi adalah petunjuk yang akan muncul apabila mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan. Satu keadaan yang muncul secara jelas ialah kebimbangan akan berlaku lagi banjir kali kedua.

Mangsa yang memiliki bekalan barangan kehidupan boleh menumpang hidup sementara di rumah saudara-mara dan jiran tetangga namun mangsa yang tidak ada saudara-mara perlu menjadikan pusat pemindahan sebagai tempat berteduh.

Pusat pemindahan ini dilihat lebih baik namun kurang memberi keselesaan kerana mereka perlu bersama-sama dengan ramai orang berkongsi tempat tinggal, bilik, air, dapur masak, tempat makan dan sebagainya. Ia juga tidak selesa apabila terdapat etnik dan agama yang berbeza.

Kesukaran yang dihadapi ini memberi ruang kepada mangsa-mangsa banjir untuk mengenali antara satu sama lain, bersama-sama mengharungi keperitan ketika rumah dilanda banjir dan berupaya mencari penyelesaian mendesak kerajaan mengambil langkah segera memastikan tidak ada lagi kejadian banjir pada masa hadapan.


Wednesday, January 06, 2021

Tidak dapat elakkan masalah




Terdapat perbezaan antara orang yang mempunyai masalah dan orang yang membuat masalah. 

Kajian yang dibuat ke atas 100 orang yang telah berjaya sepanjang zaman seperti Helen Keller, Mahatma Ghandi dan tokoh-tokoh lain menunjukkan satu per empat daripada mereka berada dalam kategori kurang upaya seperti buta, pekak dan kudung kaki dan tangan. 

Tiga per empat pula dilahirkan dalam keluarga yang miskin, keluarga yang bermasalah atau sekurang-kurangnya hidup dalam keadaan tertekan. 

Kenapa orang yang maju mahu menghadapi masalah sedangkan yang lain tidak mahu terus berusaha? 

Sebenarnya mereka enggan menerima alasan kenapa gagal. Mereka menjadikan kegagalan sebagai batu loncatan untuk mencari peluang membuat perubahan bagi masa hadapan yang lebih baik.


Tuesday, January 05, 2021

Belajar daripada kesilapan




Keupayaan belajar daripada kesilapan bukannya terdapat dalam bisnes sahaja sebaliknya dalam semua aspek hidup. 

Bisnes ada fakta dan karut-marutnya. 

Contohnya, ada orang berkata kalau tidak pernah gagal sebanyak lima kali, barang kali usahawan berkenaan tidak cukup mahir. 

Lebih banyak gagal, lebih banyak yang kita dapat belajar. Ciri yang paling penting dalam kegagalan ialah belajar (learn). 

Jika kita ulangi kesilapan yang sama dua atau tiga kali, maknanya kita tidak cukup belajar. 

Untuk berjaya dan maju, kita mesti belajar kesilapan sendiri dan kesilapan-kesilapan orang lain.


Monday, January 04, 2021

Adakah kita boleh belajar?





Semua kata nasihat, panduan atau teguran tidak dapat membantu kita untuk menjadi lebih baik jika tidak ada kesediaan untuk belajar. 

Untuk mengetahui sama ada kita benar-benar bersifat terbuka kepada idea baru atau kaedah baru, cuba kita tanya dan jawab soalan-soalan ini. 

Pertama, adakah saya seorang yang terbuka kepada idea-idea orang lain: ibu bapa, rakan-rakan dan orang bawahan? 

Kedua, mana satukah yang lebih banyak saya buat: mendengar atau bercakap? 

Ketiga, adakah saya akan menukar pandangan kerana terdapat maklumat baru? 

Keempat, adakah saya seorang yang mudah melakukan kesilapan? 

Kelima, adakah saya bersedia mengubah kaedah atau cara saya menyelesaikan sesuatu? 

Sekiranya semua jawapan adalah ya, maknanya anda seorang yang mudah belajar.


Sunday, January 03, 2021

Pandang hadapan vs pandang belakang

Apakah yang membezakan orang yang mencapai kejayaan dengan orang yang gagal?

Bezanya sangat jelas iaitu bagaimana kedua-duanya berhadapan dengan pengalaman mengalami kegagalan.

Orang yang berjaya kita masukkan dalaman kategori pandang hadapan. Pandang ke hadapan bermaksud mengambil tanggung jawab iaitu merasai apa juga tindakan dan keputusan adalah tugasnya. Apa-apa yang berlaku biarpun kecil adalah tugasnya.

Pandang ke hadapan juga bermaksud belajar daripada kesilapan iaitu memahami bahawa kesilapan walaupun kecil perlu diberi perhatian kerana kesannya besar kepada prestasi keseluruhan.

Kegagalan adalah sebahagian daripada kemajuan.

Orang yang berjaya tidak kecil hati kalau usahanya sering kali menemui kegagalan.

Ciri-ciri orang yang memandang ke belakang pula ialah menyalahkan orang lain kerana berfikir dia sahaja yang betul. Sikap menyalahkan orang lain tidak akan membantu kerana lama-kelamaan orang akan meluat dengan perangainya.

Kedua, orang jenis ini sering kali mengulangi kesilapan. Orang yang gagal tidak dapat belajar daripada kesilapan kerana tidak mahu berusaha membetulkan kesilapannya dan tidak dapat belajar daripada pengalaman.

Ketiga, mengharap tidak akan gagal lagi. Berharap tanpa berusaha tidak akan ke mana, mungkin akan gagal lagi.

Saturday, January 02, 2021

Akui kesilapan


Untuk menghentikan tekanan dan masalah berpanjangan kerana kegagalan demi kegagalan, hanya dua perkataan yang harus diterima dengan ikhlas: Saya Silap.

Dalam bahasa Inggeris: I was wrong.

Perkataan ini membuka mata, menyejukkan hati dan emosi, menerima sepenuhnya semua kegagalan dan memikul tanggung jawab dalam semua perkara iaitu sikap dan tindakan.

Setiap kegagalan yang kita alami adalah umpama batu kerikil di atas jalan.

Sebaik-baiknya kesilapan dan kegagalan memberi peluang untuk mengambil tindakan yang betul, belajar kelemahan diri dan bermula kembali dengan semangat yang baru.

Friday, January 01, 2021

Gagal- batu loncatan kejayaan

 



Gagal beberapa kali bukanlah isyarat untuk gagal selama-lamanya. Setiap hari, ramai orang yang gagal mengejar apa yang mereka mahu. 

Ada yang sudah tiga hingga empat kali gagal dalam temu duga, gagal dalam mencari kerja, gagal dua hingga tiga kali untuk mendapat untung pertama dalam bisnes dan ada yang telah gagal beberapa kali dalam bercinta. 

Maknanya, kegagalan adalah lumrah dan fenomena biasa. 

Masalahnya ialah gagal dan enggan mencuba. Jika begini keadaannya, alamatnya, tidak adalah harapan untuk berjaya. 

Gagal boleh menjadi batu loncatan untuk meraih kejayaan demi kejayaan. 

Baiki cara kerja, ubah suai corak fikir dan luaskan horizon pemikiran dengan idea-idea baru yang lebih segar untuk berjaya.