Monday, June 20, 2016

English grammar in comics (basic)







Penulis: Anna Fung Wai Choo
Tahun: 2015
Penerbit: MBP Publications Sdn Bhd, Petaling Jaya, Selangor, Malaysia.
Muka Surat: 132

Buku ini ditulis khusus untuk pelajar yang mahu membina asas tatabahasa bahasa Inggeris yang kuat supaya mereka dapat menulis dan bertutur dengan lancar.

Komponen tatabahasa yang diperkenalkan ini dibuat dalam bentuk ilustrasi yang menarik. Terdapat juga kuiz, tips maklumat dan analisis latihan kesalahan bagi membantu pengajaran tabahasa. Terdapat jawapan di belakang buku ini supaya pelajar dapat menyemak kembali kemajuan tatabahasa masing-masing.

Buku ini diselarikan dengan KBSM pelajar sekolah menengah yang bakal memberi manfaat yang sangat banyak kepada pelajar.

Ibu bapa yang berharap anak-anak mereka mahir bertatabahasa Inggeris sudah tentu memerlukan sebuah buku yang mudah untuk difahami di sampign emnarik minat anak-anak untuk belajar bahasa ini.


Friday, June 10, 2016

Pedofilia hidup dua alam







Pedofilia Britain, Robert Huckle, 30 tahun telah menggemparkan masyarakat negara ini dan antarabangsa apabila mengaku bersalah terhadap 71 tuduhan nejayah serangan seksual kanak-kanak di Malaysia dan Kemboja. Mangsa serangan seksual ini merangkumi kanak-kanak dan bayi yang berusia 6 bulan hingga 12 tahun.

Hakim Peter Rook menjatuhkan hukuman penjara minimum 25 tahun dengan mesej yang sangat jelas iaitu ‘... adalah jelas, jika kamu tidak ditahan, kamu merancang meneruskan gaya hidup yang sama dengan menggunakan kepakaran kamu untuk memujuk dan berkongsi dengan pendera seksual lain untuk terus-menerus mengeksploitasi aktiviti seksual kamu terhadap kanak-kanak dalam masyarakat berkenaan’.

Huckle membesar di Ashford, England dan telah melawat Malaysia pada tahun 2005 semasa berusia 19 tahun. Pada tahun berikutnya beliau ke Kemboja dengan menyasarkan kanak-kanak berusia empat tahun dan kakaknya enam tahun.

Di Malaysia dan Kemboja, Huckle menunjukkan sikap amat mengambil berat kebajikan kanak-kanak dan mempamerkan dirinya sebagai seorang penganut Kristian yang taat untuk mengajar bahasa Inggeris dan berkongsi cerita dari kitab Injil. Beliau turut memuat naik gambarnya bersama dengan kanak-kanak di Facebook malahan gambarnya dimasukkan dalam video promosi yang dikeluarkan oleh British Council Malaysia.

Mangsa keganasan seksual Huckle terdiri daripada kanak-kanak miskin dari keluarga Kristian. Beliau mengambil masa bertahun-tahun untuk menjalin hubungan dengan masyarakat sekitar sehingga sangat dipercayai. Niatnya hanyalah mencari kanak-kanak dan melakukan serangan seksual tanpa dapat ditangkap.

Richard Huckle akan melatih kanak-kanak sasarannya sehingga ke tahap beliau amat yakin yang kanak-kanak itu tidak akan memberitahu sesiapa termasuk ibu dan bapa mereka.

Semasa dalam siasatan, pasukan penyiasat menemui fail simpanan yang mengandungi lebih daripada 20,000 imej lucah dan video perbuatan serangan seksual. Salah satu panduan penderaan seksual turut dijumpai dalam komputer peribadinya dan bersedia untuk diterbitkan melalui pautan ‘sesewang gelap’ yang kemudiannya ditukarkan kepada wang maya, Bitcoins.

Beliau juga menyimpan kad skor yang menunjukkan jumlah kanak-kanak yang menjadi mangsanya. Buku lejar yang mengandungi 191 nama telah diubah suai kepada permainan kejam yang mana Huckle memberi ganjaran kepada dirinya berdasarkan identiti kanak-kanak dan bentuk penderaan yang dilakukan. Peraturan permainan ini mengatakan beliau tidak akan menerima ganjaran jika melakukan aktiviti yang sama ke atas kanak-kanak yang sama pada minggu yang sama.

Dalam kenyataan kesalnya, Huckle berkata selagi mana beliau menyimpan senarai nama kenalan orang-orang miskin yang diketahui, beliau pasti ada yang cenderung kepada seseorang yang ‘berstatus tinggi’ sepertinya untuk menjaga kebajikan anak-anak mereka sama ada dalam tempoh yang singkat atau lebih lama.

Sebaik sahaja hukuman ke atas Huckle dijatuhkan, seorang wanita di galeri awam mahkamah menjerit ke arahnya, ‘1000 kematian juga sangat baik untuk kamu!’

Kisah Huckle ini mengingatkan kita kepada seorang lagi pedofilia pelajar Malaysia, Nur Fitri Azmeer Nordin yang ketika ditahan sedang menuntut di Imperial College London. Beliau dipenjara selama lima tahun kerana memiliki ribuan video dan gambar lucah kanak-kanak termasuk dalam kategori A iaitu gambar yang menunjukkan hubungan seks dengan kanak-kanak bawah umur.

Kes pedofilia ini membuka mata masyarakat kita untuk melihat sejauh mana negara kita memiliki kepakaran dalam jenayah keganasan seksual terhadap kanak-kanak. Keberkesanan agensi penguatkuasa dalam menangani kes-kes sebegini menjadi tanda tanya kerana tidak banyak makluamt atau berita yang dikongsi bersama masyarakat. Dalam pada itu, pertubuhan bukan kerajaan yang menjadikan aktiviti pencegahan jenayah seksual kanak-kanak juga jarang kita dengar.

Semua ini menunjukkan isu berkaitan keganasan seksual terhadap kanak-kanak masih berada di peringkat taboo dalam masyarakat kita. Kerajaan perlu berusaha giat menggerakkan usaha dan kempen kesedaran bagi menggalakkan masyarakat untuk melihat kembali keselamatan diri dan keluarga di samping mengambil sikap berwaspada dengan orang luar yang ‘nampak cantik di luar tetapi buruk di dalam’.



Monday, June 06, 2016

33 pesan nabi- jaga mata, jaga telinga, jaga mulut








Penulis: Vbi_djenggotten
Tahun: 2016 (cetakan kesebelas)
Penerbit: Humaira Publication Sdn Bhd, Semenyih, Selangor, Malaysia.
Muka Surat: 126

Tajuk buku ini sangat menarik tetapi kandungannya adalah dalam bentuk komik. Di bahagian belakang buku ini dinyatakan pendekatan yang digunakan adalah bentuk baru untuk mempelajari Islam. Petikan hadis disampaikan dalam bahasa komik yang menarik dan sesuai untuk kanak-kanak.

Penerbit memuatkan beberapa maklum balas daripada pelbagai latar belakang pembaca seperti artis, usahawan, kakitangan awam dan peguam.

Di bahagian hadapan buku ini dimuatkan malum balas daripada penyanyi Hafiz Hamidun yang berbunyi, 'Saya tidak ingat bila kali terakhir membaca komik, mungkin 20 tahun yang lalu, komik ini membuat saya membaca komik semula. Perasaan yang hebat'.

Pesan nabi yang dimaksudkan ini ialah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim. Antara tajuk yang disediakan ialah pujian, hantaran zina, malu dan pemimpin yang sia-sia.

Sebaris kata daripada Raja Kami, usahawan internet, 'Komik ini bukan sahaja santai, malah memberi kesan kepada hati. Sambil tersenyum dengan lawak sentap yang disajikan dalam komik ini, dapat juga belajar dan memahami hadis-hadis yang sahih dari Bukhari dan Muslim'.


Friday, June 03, 2016

Nat kebun getah








Pasar sehari kebun getah di Jalan Arau-Pauh, Perlis sudah sinonim dengan masyarakat Perlis dan bahagian utara Kedah. Dalam dialek tempatan pasar sehari dipanggil ‘nat’.

Nat kebun getah merupakan kawasan pasar yang dapat memenuhi keperluan harian penduduk sekitar. Kawasan kebun getah yang dulunya sunyi sepi kini riuh-rendah dengan pembeli dan orang ramai yang mahu mendapatkan sayur, ikan dan makanan yang dijual dengan harga yang murah.

Ada dua bahagian jualan, pertama, bahagian yang menjual ikan, sayur, buah dan rokok daun manakala satu lagi menjual pakaian, barang elektrik dan makanan.

Saya sempat merayau-rayau sekitar nat ini untuk mendapatkan barangan di samping membandingkan harga.

Dari segi harga, barang-barang di sini jauh lebih murah. Sekilogram ikan kembung berharga lima ringgit manakala seikat sayur yang agak banyak berharga seringgit. Namun harga daging lembu agak mahal iaitu RM32 sekilogram.

Ada juga penjual barangan elektrik terpakai seperti kipas angin pada harga diskaun 50 peratus.

Apa yang saya lihat di sini agak menarik iaitu penjualnya terdiri daripada wanita dan orang-orang muda.

Pasar sehari ini dimilki oleh sepasang suami isteri yang juga tuan kebun getah sebagai cara menambah pendapatan di samping memudahkan orang ramai mendapatkan barangan keperluan. Mereka tidak perlu bersusah-payah ke Arau atau Kangar semata-mata mendapatkan ikan atau sayur. Namun banyak perkara yang boleh ditingkatkan untuk memberi keselesaan kepada pengguna.

Pertama, gerai jualan. Keadaannya dhaif dan mencacatkan pandangan. Gerai yang tidak diselenggara ini memudarkan imej pasar sehari kebun getah di samping tidak selamat.

Kedua, laluan pejalan kaki yang lecak dan berair. Laluan berkenaan diletakkan kepingan kayu supaya orang ramai dapat melepasi tempat berkenaan. Jika tidak disinting seluar, air lecak ini boleh terpercik pada seluar dan kain.

Ketiga, gerai jualan yang terlalu hampir dengan jalan raya. Kenderaan yang lalu di antara pasar sehari ini perlu memperlahankan kereta atau lori masing-masing bagi mengelakkan orang ramai yang leka dengan membeli-belah. Ibu bapa yang membawa anak-anak juga mengambil langkah berhati-hati dengan memegang erat tangan anak-anak supaya tidak memasuki laluan jalan raya utama.

Mungkin pihak berkuasa boleh membantu pemilik kebun getah itu untuk membuat pelan pasar yang lebih baik dan manambahbaik infrastruktur sedia ada. Cara ini dapat memberi peluang kepada orang ramai untuk membeli dengan lebih selesa di samping menaikkan imej pasar sehari kebun getah itu.