Tuesday, January 28, 2014

Laksa Perlis

 
 
 


Laksa menjadi makanan popular bagi negeri-negeri di utara Malaysia seperti Perlis, Kedah dan Pulau Pinang. Justeru ada gelaran yang diberi kepada pelbagai jenis laksa ini seperti Laksa Penang, Laksa Kuala Ketil dan Laksa Perlis. Nama-nama ini diberi bagi menggambarkan keunikan laksa tersebut kerana ramuan untuk menghasilkan laksa yang sedap bergantung kepada jenis tepung dan kuah.

Laksa yang sedap dibuat daripada tepung beras. Rasanya yang enak dicampur dengan kuah ikan. Ikan ini pula bermacam-macam jenis seperti tamban dan termenung. Sesetengah kuah laksa dibuat daripada belut yang rasanya berbeza sama sekali.

Warna dan kepekatan kuah laksa turut mempengaruhi keenakannya. Kuah laksa berwarna perang kemerahan lebih baik daripada kuah laksa berwarna kelabu. Mungkin lebih baik kerana persepsi orang ramai yang sentiasa terdedah dengan kuah berwarna perang kemerahan ini. Kuah yang tidak pekat dan tidak cair memudahkannya digaul dengan laksa dan tidak terpercik ke baju ketika dimasukkan ke dalam mulut.

Di Jejawi, Perlis, terdapat sebuah perusahaan makanan laksa yang terkenal. Kedai ini menjual laksa berdasarkan kilo dengan sekilo berharga RM9. Ulamnya digaul sekali dan memiliki aroma kuah yang lazat.

Sepinggan laksa di Perlis berharga antara RM2.50 hingga RM3.50. Ada pula laksa spesel yang lebih banyak dan dimasukkan sebiji telur.

Makan laksa lebih baik daripada makan nasi campur kerana laksa tidak mengandungi kolestrol yang tinggi, berasaskan makanan segar dan tidak ada minyak. Kandungan proteinnya terdapat dalam kuah dan telur manakala ulam-ulaman dapat dimakan mentah.

Di Perlis, laksa terdapat hampir di keseluruhan gerai makan sama di tepi jalan atau restoran. Ia menjadi makanan “mesti” yang popular, banyak permintaan dan mudah disediakan. Bagi pengunjung luar, mereka boleh merasa Laksa Perlis di medan selera Kuala Perlis.


 

Monday, January 27, 2014

MB Perlis perlu mesra rakyat

 
 
 


Perlis merupakan sebuah negeri kecil di utara Semenanjung Malaysia. Sejak pilihan raya lalu, Perlis mendapat Menteri Besar baharu yang jarang dikenali dalam kalangan penduduk negeri itu. Namanya menjadi calon selepas beberapa siri perbincangan dan tapisan dilakukan.

Kemunculan Azlan Man sebagai menteri besar sangat mengejutkan kerana ramai yang tidak mengetahui dengan jelas pengalaman politik dan sikapnya terhadap orang masyarakat yang rata-ratanya tinggal di kampung dan kawasan luar bandar. Tahap ekonomi masyarakat Perlis adalah sederhana berbanding negeri-negeri lain.

Selepas hampir tujuh bulan menjadi menteri besar, mula kedengaran masyarakat negeri itu menilai prestasi pemimpin mereka. Banyak pendapat yang diberikan khususnya oleh masyarakat di Arau dan Pauh yang menjadi nadi kepada kemenangan beliau.

Rumusan yang dibuat ialah Azlan Man hanya boleh jadi MB untuk sepenggal.

Berjumpa dengan masyarakat luar bandar dan bandar mendapati pandangan mereka terhadap MB hampir sama iaitu tidak pernah atau jarang sekali Azlan menjenguk atau melawat mereka.

Untuk memahami kenapa sikap beliau begitu kita perlu melihat latar belakang dan kerjaya beliau. Azlan telah meninggalkan kampung halaman sejak muda untuk belajar dan bekerja di luar Perlis, jadi tidak hairanlah ramai penduduk negeri itu kurang mengenali beliau apatah lagi tidak banyak promosi dan berita mengenai beliau dalam surat khabar atau media massa. Pada masa yang sama beliau tidak mengambil inisiatif menonjolkan diri melalui program kemasyarakatan. Kemenangan sebagai ketua parti yang lalu turut dibantu oleh orang politik juga.

Melihat sebagai kakitangan awam dalam bidang pentadbiran, beliau sangat dangkal dalam kemahiran komunikasi khususnya berkaitan hal ehwal politik setempat. Bekerja mengikut jam dan tidak melayan kehendak rakyat selepas waktu kerja bukanlah ciri pemimpin politik yang prihatin sebaliknya menerima maklum balas negatif daripada rakyat Perlis.

Begitu juga apabila orang ramai ada urusan ketika masa cuti. Hari cuti beliau pun turut bercuti sedangkan masalah dan keperluan rakyat tidak dapat dielakkan sepanjang masa termasuk hari cuti. Jika berurusan dengan pemimpin begini, rakyat perlu berjumpa dengan wakil rakyat kawasan atau menemui pegawai di agensi terlibat.

Rakyat Perlis juga tidak mengenali beliau disebabkan sikap beliau sendiri yang malas untuk turun padang dan mengambil tahu keadaan rakyat. Begitu juga jika ada kenduri atau kematian, beliau masih agak keberatan datang berkunjung atau ziarah.

Pendekatan beliau yang duduk di pejabat meninggalkan tohmahan dalam kalangan rakyat. Hal ini berbeza dengan dua menteri besar sebelum ini yang rajin menjenguk masyarakat, hadir ke majlis kenduri dan ziarah kematian.

Azlan Man perlu bertanya kepada dirinya sendiri apakah pendekatan yang mahu dilakukannya untuk mengenali rakyat Perlis. Pemimpin politik tidak perlu bekerja mengikut jam atau bercuti pada hari-hari tertentu seperti kakitangan awam kerana tanggungjawab beliau adalah mengambil tahu apa yang berlaku kepada rakyatnya sendiri setiap masa.

Beliau perlu keluar dari pejabat berhawa dingin, berjumpa dengan masyarakat dan meninggal tabiat lama sebagai kakitangan awam kerana pemimpin politik tidak perlu semua ciri ini. Pemimpin politik mesti berjiwa rakyat, ada karisma dan mahu memimpin. Jika beliau masih bersikap begitu, wawasan Perlis Maju 2015 hanya tinggal angan-angan dan orang ramai akan menyalahkan beliau.

MB Perlis perlu bangkit dan tunjukkan kematangan sebagai pemimpin sebuah negeri kerana banyak cabaran yang berada di hadapannya.

Sunday, January 26, 2014

Hayati falsafah pendidikan

 
 
 


Bidang pendidikan merupakan nadi kepada pembangunan negara. Ia menjadi nadi kerana dapat mengubah pemikiran, budaya dan cara hidup masyarakat dalam tempoh yang singkat. Justeru, pendidikan menjadi kayu ukur kepada pembangunan sesebuah negara.

Negara-negara maju sentiasa menjadikan pendidikan sebagai agenda penting dalam memajukan negara. Mereka memperuntukkan belanjawan negara yang tinggi dalam bajet tahunan supaya pembangunan dan kemajuan negara ditingkatkan. Oleh itu, peranan guru dan penjawat awam yang terlibat dalam pendidikan sentiasa diberi perhatian seperti imbuhan kenaikan gaji, kemudahan elaun dan galakan membangunkan potensi diri. Malah ada negara yang menawarkan gaji yang lumayan kepada guru yang berpendidikan sarjana atau doktor falsafah.

Malaysia juga sedang melangkah era yang sama apabila kerajaan memperkenal blueprint pendidikan negara 2013-2025 untuk melahirkan masyarakat pendidik dan generasi yang bertaraf global.

Dalam pada itu, tindakan seorang guru sebuah sekolah di Sungkai, Perak amat memalukan dan mendukacitakan sistem pendidikan negara. Dilaporkan seorang guru Cina di sekolah jenis kebangsaan Cina telah menghukum dua orang pelajar Melayu dengan menyuruh pelajar tersebut memakan rumput seperti lembu. Dileher mereka dikalungkan loceng diumpamakan lembu. Guru tersebut juga mengugut akan memuat naik gambar berkenaan di facebook untuk tatapan pengikutnya.

Kisah ini amat malang berlaku di sekolah. Masih ada guru yang tidak tahu mendidik anak muridnya. Saya teringat kisah Profesor Sidek Baba menceritakan zaman persekolahannya yang sungguh susah.

Beliau ke sekolah menunggang basikal dan seringkali mendapat tempat terakhir dalam peperiksaan. Pernah seorang gurunya yang sudah tidak dapat menahan kemarahan akibat kebodohannya, suatu hari membaling bola ke arah Sidek Baba dan terkena belakangnya. Lalu, dalam ceramahnya itu beliau bertanya, “Beginikah caranya seorang guru mendidik anak muridnya?” Suatu pertanyaan yang berat bagi mereka yang memahami benar falsafah pendidikan.

Berbalik kepada guru yang menggantung loceng dan meminta pelajar makan rumput tadi, kita ingin bertanya, “Beginikah caranya beliau mendidik anak murid?” Ternyata guru berkenaan hanya mengikut emosi dan tidak tahu mendidik pelajar.

Tindakan harus diambil ke atas guru berkenaan sesuai dengan perbuatannya memandangkan isu ini sudah diketahui umum. Pihak polis harus segera mengambil langkah pencegahan kerana ia melibatkan perbuatan mengaibkan manakala Kementerian Pendidikan perlu membuat sesuatu untuk meredakan kemarahan orang ramai.

Walaupun yang terlibat adalah guru berbangsa Cina, undang-undang tidak perlu melihat kepada bangsa sebaliknya kepada impak tindakannya yang merosakkan nilai dan kepercayaan orang ramai kepada pendidikan negara.

 

Friday, January 24, 2014

Banyakkan doa supaya keluarga bahagia



Proses penceraian yang sedang dilalui oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menjadi berita utama di media. Hakikatnya beliau harus banyak berkorban untuk menjadi ahli politik dan isteri.

Takdir menentukan apa yang sedang dilaluinya dan kehidupan sebagai ibu tunggal tidaklah mengurangkan cabaran kehidupan.

Penceraian pasangan Islam semakin meningkat setiap tahun. Tanpa mengira latar belakang pasangan, penceraian boleh berlaku kepada sesiapa sahaja kerana pelbagai faktor seperti kewangan, orang ketiga, pengaruh keluarga mertua dan seksualiti. Dalam kes Nurul Izzah, faktor sebenar tidak diketahui.

Beliau tidak dapat mengelakkan diri daripada menjadi perhatian kerana kesan penceraian di usia muda bakal memberi impak kepada prestasi kerja dan keadaan keluarganya. Orang yang bersimpati turut mengharapkan kehidupannya lebih baik di samping berperanan sebagai ahli politik yang matang. Orang yang dengki dan iri hati akan terus memburukkan keadaannya supaya dia kecewa dan mengundurkan diri.

Dalam sejarah politik Malaysia, ada ahli parlimen yang berjawatan tinggi turut menghadapi masalah keluarga seperti bercerai, kahwin lain dan poligami. Namun ia tidak dijadikan isu besar kerana masyarakat memahami dan dapat membezakan hal peribadi dan privasi diri. Malah ada yang berkahwin, cerai dan kahwin lagi lebih berjaya dalam kerjaya politik mereka. Justeru, penceraian bukanlah penamat hitam kepada laluan politik yang masih panjang.

Apa yang Nurul Izzah patut bersedia ialah kasih sayang anak-anaknya tidak sama ketika bergelar suami isteri. Emosi anak-anak amat berbeza ketika dibesarkan oleh ibu bapa dan dibesarkan oleh ibu atau bapa. Biasanya anak-anak yang berumur tujuh tahun ke bawah ingin sentiasa bersama ibu dan bapa dari pagi hingga malam.

Anak-anak yang tidak dapat memenuhi keperluan emosi ini lebih mudah merajuk, suka menyendiri dan membesar sebagai individu yang tidak peduli dengan orang lain.

Perubahan boleh berlaku kerana komunikasi antara anak dan ibu atau bapa semakin kurang dan lama-kelamaan anak-anak menganggap kehidupan keluarga tidak penting. Proses mengabaikan ibu dan bapa bermula di sini. Mereka membesar sebagai individu yang tidak cukup kasih sayang dan cuba mengisi kasih sayang ini dengan akrab bersama datuk atau nenek serta rakan-rakan sebaya.

Faktor lain yang menentukan perkembangan emosi, intelek, fizikal dan spiritual anak-anak ialah kecukupan kewangan, didikan agama dan keupayaan bersekolah. Ramai anak pasangan yang bercerai tercicir dari arus perdana pendidikan kerana kurang tumpuan dari ibu atau bapa. Tanpa pendidikan pada hari ini, tidak ada apa yang membantu untuk menjadikan hidup lebih baik.

Dalam hidup ini, ketentuan jodoh, rezeki, hidup dan mati adalah milik Allah. Sewajarnya kita banyakkan doa mengharapkan agar perkahwinan yang dibina akan berada di bawah rahmat Allah dan keluarga akan sejahtera. Jadikan penceraian sebagai pilihan akhir ketika masih ada doa dan sokongan daripada keluarga, teman dan rakan supaya melalui keluarga inilah kita mendapat syurga dunia dan akhirat.

 

Thursday, January 23, 2014

Dadah punca masalah sosial

 
 


Pembunuhan kanak-kanak berumur dua tahun, Nursyafiqah Adawiyyah Abdullah menunjukkan masyarakat sedang menghadapi krisis yang sangat kritikal. Tidak ada orang yang waras akan membunuh kanak-kanak kecuali sedang menghadapi krisis diri.

Dalam laporan media, empat orang yang ditahan bagi membantu siasatan dipercayai terlibat dengan dadah tetapi tidak diketahui adakah pembunuhan itu berkaitan dengan dadah.

Sejak dadah menjadi masalah paling besar kepada kerajaan dan rakyat Malaysia, pembunuhan berkaitan dadah sudah banyak dilaporkan. Disebabkan dadah, ada orang kena bunuh, terbunuh, membunuh dan membunuh diri. Kelompok ini merangkumi semua lapiran kanak-kanak dari bayi hingga orang tua.

Dalam kes orang tua, mereka yang lemah ini diikat, dirompak, dipukul dan dibunuh menyebabkan mereka menjadi sasaran paling mudah.

Punca krisis ini ialah dadah. Walaupun undang-undang berkaitan dadah sangat ketat di Malaysia, bilangan penagih dan pengedar masih lagi belum berkurangan. Mungkin bahana dadah ini menyebabkan sudah ada keluarga yang mempunyai penagih dadah empat generasi. Bermula dengan datuk, turun kepada bapa, seterusnya anak dan berakhir dengan cucu. Urutan ini membentuk kitaran ganas yang bersambung-sambung sehinggalah berlaku intervensi dalam kitaran tersebut.

Intervensi adalah proses menghalang kitaran dari terus berputar. Ia boleh dilakukan di mana-mana peringkat yang menunjukkan peluang kemusnahan paling besar. Dalam kitaran ganas penagihan empat generasi ini, intervensi peringkat datuk dan bapa sangat sukar, justeru peringkat anak dan cucu adalah yang terbaik supaya keluarga berkenaan boleh melakukan transformasi hidup.

Antara elemen yang boleh menghancurkan kitaran ini ialah peluang pendidikan dan pekerjaan. Kedua-dua elemen ini perlukan pemantauan dan sokongan supaya anak dan cucu mendapat pendedahan meluas untuk memajukan diri dan keluarga mereka. Bagi intervensi datuk dan bapa, elemen pengasingan fizikal dan khidmat sokongan dapat menambahkan jurang ketagihan dadah dan mendekatkan mereka kepada keinginan untuk berubah.

Bagaimanapun keempat-empat elemen ini perlukan kajian dan huraian yang lebih mendalam dan panjang lebar.

Penagihan dadah sering dikaitkan dengan kelompok berpendidikan rendah dan berpendapatan kecil. Bagi mengatasi dua faktor ini, usaha-usaha harus digerakkan bagi memastikan golongan berpotensi ini mendapat akses pendidikan ke peringkat lebih tinggi sama ada kolej atau universiti.

Penagih dadah menyumbang kepada masalah sosial paling utama di Malaysia. Banyak lagi usaha yang perlu dilakukan oleh kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, persatuan masyarakat dan orang-orang kampung untuk memantau aktiviti golongan muda dan mereka yang sedang terjebak dengan dadah.

Kita berdoa pembunuhan kanak-kanak Nursyafiqah adalah yang terakhir di negara ini.


 

Wednesday, January 22, 2014

Hubungan dua hala lebih penting

 
 


Larangan masuk ke Jepun oleh imigresen negara itu ke atas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) amat memeranjatkan masyarakat Malaysia dan negara-negara lain. Imej beliau sebagai pemimpin tersohor sama ada ketika dalam kerajaan atau semasa menjadi pembangkang sangat tercalar akibat peristiwa berkenaan.

Berbagai-bagai andaian yang dibuat oleh ramai orang sama ada berbentuk fakta atau jenaka. Bagaimanapun bentuk jenaka lebih banyak seperti kesalahan mengisi borang bagi ruangan tujuan lawatan, tidak membawa kangkung dan kaitan dengan ultraman. Semuanya adalah sindiran yang cuba mensensasikan kejadian berkenaan.

Namun fakta yang sebenar ialah penerangan yang diberikan oleh Kedutaan Jepun di Malaysia yang menyabitkan kesalahan jenayah beliau pada tahun 1999 dan beliau perlu memohon visa untuk ke Jepun. Kegagalan Anwar Ibrahim membuat rayuan menyebabkan beliau diarahkan pulang dengan penerbangan terdekat.

Hari ini beliau inginkan penjelasan dari Kementerian Luar yang beliau anggap sebagai “tangan ghaib” menyebabkan tragedi ini.

Anwar bukan orang pertama yang dilarang masuk ke Jepun sebaliknya sudah ada yang dihalang sebelum ini sama ada pemimpin politik, artis atau orang biasa yang disabitkan jenayah. Beliau boleh menyaman kerajaan Jepun untuk mendapatkan haknya.

Larangan ini membuka episod baru yang mengheret sama kerajaan Malaysia jika tidak ditangani dengan hikmah. Demonstrasi oleh penyokong Anwar adalah permulaan kepada perbalahan yang lebih panjang yang mungkin dikaitkan dengan ekonomi dan perdagangan dua negara. Jika ada kecenderungan ke arah itu, tindakan awal sangat penting supaya ia tidak memudaratkan hubungan dua hala yang telah lama terjalin.

Sudah ada kebimbangan pelajar-pelajar di Jepun mengenai kes ini apabila ia mendapat lilputan meluas dalam akhbar negara itu. Mereka risau jika pengajian terganggu, kemudahan pembelajaran ditarik balik atau program-program teknikal digantung kerana protes dari Jepun.

Begitu juga dengan pelaburan syarikat-syarikat Jepun di Malaysia. Industri yang dikuasai pelabur Jepun menyumbang jutaan ringgit dalam pelbagai sektor melalui kutipan cukai. Komitmen Jepun terhadap pembangunan ekonomi Malaysia sentiasa meningkat kerana keyakinan mereka ke atas kestabilan dan kemajuan negara.

Apa-apa sahaja boleh menjejaskan pelaburan Jepun di negara ini kerana Anwar Ibrahim mepunyai jumlah pengikut yang ramai dan taksub kepadanya. Apa yang diucapkan akan diterima tanpa banyak soal dan sikap sebegini memberi kemudaratan kepada ramai orang awam. Demonstrasi jalanan yang diadakan saban tahun memberi reaksi negatif kepada usaha menarik pelaburan asing termasuk dari Jepun. Tidak ada pelabur yang mahu bisnes mereka gagal akibat rusuhan, justeru lebih baik memilih negara yang aman dan menggalakkan kemajuan.

Anwar dijangka akan membuat tindakan yang memeningkan perdana menteri dan kerajaan Malaysia kerana beliau telah menggerakkan usaha ke arah itu. Selepas ini akan ada siri demonstrasi di hadapan Kedutaan Jepun dan bantahan berkala. Penjelasan yang diberikan belum tentu memuaskan hati dan beliau tetapkan menyalahkan kerajaan Malaysia.

Dalam merungkai isu ini, larangan masuk ke mana-mana negara bergantung kepada undang-undang negara tersebut. Faktor jenayah, keganasan, persepsi negatif, ancaman ekonomi dan sebagainya menjadi kayu ukur kepada kebenaran masuk tanpa sekatan dan halangan. Jika ada larangan, biasanya rayuan atau budi bicara digunakan sebagai sebahagian dasar kemanusiaan dengan tempoh yang terhad dan tujuan yang khusus.

Monday, January 20, 2014

Life without limits






Penulis: Nick Vujicic
Tahun: 2012
Penerbit: Allen & Unwin, Sydney, Australia.
Muka Surat: 266

 Life Without Limits adalah sebuah kisah yang dilalui Nick, rakyat Australia yang lahir tanpa tangan dan kaki. Beliau sedang bergerak ke seluruh dunia untuk memberi inspirasi kepada semua orang khususnya yang melalui hidup sepertinya.

Buku ini dimuatkan 12 bab yang sangat berkesan untuk menimbulkan kesedaran dan kepercayaan bahawa kita boleh melakukan apa yang orang lain buat biarpun ada kekurangan fizikal kerana masih ada kekuatan fikiran dan nilai dalam diri.

Dalam ruangan pengenalan, beliau memperkenal diri sebagai seorang yang lahir tanpa tangan dan kaki. Nampaknya beliau berbangga dengan keadaan itu. Dia merantau ke seluruh negara bagi memberi semangat dan kekuatan untuk menghadapi kesusahan melalui keyakinan, harapan, kasih sayang dan rangsangan untuk mencapai impian hidup,

Dalam buku ini Nick berkongsi pengalamannya merentasi halangan dan cabaran hidup. Matlamatnya ialah merangsang setiap orang untuk mencabar keupayaan diri dan kuat bekerja supaya dapat mencapai cita-cita sepanjang kehidupan.

Di kulit belakang, diceritakan Nick telah pergi  ke sebuah negara di Afrika pada umur 20 tahun bagi memberi bantuan $20,000 wang simpanannya kepada masyarakat miskin dan membuat pungutan sebanyak $20,000 lagi sebagai sumbangan berterusan.

Nick menunjukkan kepada kita bagaimana dia belajar menerima apa yang tidak boleh dikawal sebaliknya belajar memberi tumpuan kepada apa yang boleh dilakukan.

Buku ini juga memuatkan pelan tindakan diri sebagai instrumen menentukan dengan tepat cita-cita dan laluan ke arah kejayaan.

 

Saturday, January 18, 2014

Toleransi dalam bermasyarakat

 


Amaran seorang ahli lembaga pengurusan sekolah SJKC supaya seorang guru mualaf membuka tudung ketika mengajar menjadi perhatian masyarakat Islam baru-baru ini. Kebanyakan akhbar menyiarkan isu ini tetapi media sosial lebih banyak menyalurkan perkembangan di sebalik isu ini seperti kain rentang, poster dan laporan ke pejabat pendidikan daerah.

Ahli lembaga turut mendapat sokongan guru besar sekolah berkenaan.

Kesedaran umat Islam di Johor khususnya di Kota Tinggi telah membantu meredakan isu ini apabila ada inisiatif menemukan pihak bertelagah sehingga proses maaf-memaafkan berlaku. Walaupun identiti Islam mualaf berkenaan tidak didedahkan, isu ini dapat diselesaikan dengan baik dan tidak berpanjangan.

Selepas lebih 50 tahun merdeka dan Malaysia berkembang sebagai masyarakat majmuk, kefahaman masyarakat terhadap Islam masih boleh ditingkatkan. Lebih banyak usaha dakwah dan tarbiyah perlu digandakan dengan penglibatan menyeluruh masyarakat Islam sendiri.

Jabatan agama Islam negeri, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat awam boleh berganding bahu melalui inisiatif pelbagai aktiviti yang bersifat kebajikan, pendidikan, gaya hidup dan kemajuan diri. Masih ramai orang bukan Islam yang belum dapat menerima amalan-amalan umat Islam yang bersifat terbuka seperti memakai tudung, solat lima waktu atau mengambil bahagian dalam penyembelihan binatang kurban.

Penjelasan demi penjelasan oleh pihak berkuasa agama dapat menghindarkan salah faham ini. Oleh kerana ada penerimaan masyarakat bukan Islam di Malaysia terhadap cara hidup, tradisi dan amalan Islam, mereka mudah menunjukkan toleransi berbanding negara yang umat Islam menjadi minoriti.

Kes yang melibatkan sepasang suami isteri ditahan kerana merotan anak lelaki yang tidak mahu menunaikan solat di Sweden adalah contoh jelas kefahaman cetek dalam agama dan budaya masyarakat lain. Kes tersebut mungkin menjejaskan persepsi dan imej negara tersebut dalam kalangan masyarakat Islam.

Dalam sistem pendidikan tinggi negara, Kementerian Pendidikan memperkenal subjek Hubungan Etnik yang menjadi keperluan bagi setiap pelajar untuk bergraduat. Subjek ini menjadi penting kerana mengenengahkan konsep dan pendekatan yang memastikan setiap pelajar memahami masyarakat majmuk di Malaysia. Negara lain mungkin tidak menawarkan subjek ini menyebabkan mereka tidak dapat membuat jangkaan terhadap budaya dan amalan agama.

Kunci kepada toleransi dalam masyarakat majmuk telah ditunjukkan oleh Malaysia melalui pelbagai pendekatan yang seharusnya diangkat ke arena antarabangsa.



Friday, January 17, 2014

Mimpi petunjuk masalah





Mendengar cerita tentang bagaimana mangsa pembunuhan muncul dalam mimpi dan memberitahu siapa yang membunuhnya, seakan-akan mustahil dan tidak masuk akal. Namun kuasa Allah swt tidak dapat dibayangkan apabila hamba-hambaNya memohon bantuan dan pertolongan.

Al-quran menyebut dengan jelas mereka yang dikatakan telah mati kerana mempertahan agama tauhid sebenarnya hidup dalam alam mereka dan diberi rezeki. Allah swt menyebut dalam surah Ali Imran ayat 169 iaitu:

Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.

Bagaimanapun jelmaan mangsa pembunuhan dalam kematian tiga orang adik-beradik di Alor Setar baru-baru ini adalah suatu yang istimewa.

Pihak polis harus dipuji kerana memberi perhatian kepada petunjuk baru seperti ini dalam siasatan mereka. Hal ini menunjukkan polis mengambil kira semua aspek bagi melengkapkan sisatan sama ada petunjuk itu logik atau tidak logik. Pujian juga diberikan kepada ayah mangsa yang yakin bahawa mimpinya akan meleraikan persoalan besar dalam fikiran iaitu mengetahui pembunuh anak-anaknya.

Kehadiran mangsa dalam mimpi ayah adalah jawapan Allah swt terhadap doa dan solat hajat yang dilakukan oleh keluarga mangsa. Ibu, bapa, datuk, jiran dan masyarakat sekitar berterusan melakukan solat hajat dan membaca surah Yaasin bagi mendapatkan bantuan Allah swt sesuai dengan kepercayaan teguh terhadap pertolongan Allah swt yang pasti tiba.

Dalam kes seperti ini, ada satu lagi kejadian istimewa selepas tsunami besar 2004 yang melanda Pulau Pinang. Seorang ibu yang kehilangan anak perempuannya yang dihanyutkan ombak laut tidak berhenti berdoa, membaca surah Yaasin dan solat hajat agar anaknya dipertemu walaupun hanya tinggal rangka. Baginya, biarlah anaknya itu dapat dikebumikan dengan sempurna. Selepas tiga bulan, alhamdulillah anaknya dijumpai dengan keadaan hilang separuh badan. Namun dia tetap bersyukur kerana dapat melihat jenazah anaknya dan dapat disempurnakan pengkebumian.

Banyak lagi kisah lain yang menunjukkan kehebatan doa, solat hajat dan bacaan Yaasin untuk mendapatkan pertolongan Allah swt. Mungkin polis juga boleh cadangkan kepada mana-mana mangsa jenayah untuk melakukan perkara yang sama sebagai ikhtiar selain daripada siasatan yang dilakukan pihak polis sendiri.

Berdasarkan laporan media, polis menangkap suspek yang dipanggil dengan gelar “Ehsan” di kawasan kampung berkenaan dan tinggal tidak jauh dari rumah mangsa. Latar belakang suspek menunjukkan dirinya seorang yang bermasalah kerana terlibat dengan jenayah walaupun masih berumur 19 tahun. Kes jenayah tidak mengira usia pada hari ini sama ada di kampung atau di bandar.

Kita juga tertanya-tanya bagaimana keluarga suspek tidak mengesyaki perubahan sikap suspek dan bagaimana pula pandangan masyarakat kampung terhadap keluarganya?

Suspek ini merupakan seorang pembunuh yang sangat buas dan tidak ada perikemanusiaan kerana sanggup membunuh tiga mangsa sekali gus tanpa ada rasa bersalah atau menyesal. Kita membiarkan keadilan yang menghukum suspek supaya masyarakat dapat hidup aman dan selamat.

 

Thursday, January 16, 2014

Kangkung satukan rakyat Malaysia






Isu kenaikan harga barang keperluan harian masyarakat Malaysia semakin memuncak apabila dikaitkan dengan sayur kangkung iaitu sejenis sayuran yang mudah didapati di negara ini. Kangkung boleh digoreng dengan ikan masin yang dikenali sebagai kangkung ikan masin, boleh juga dimasak dengan air kosong, dilicik-licik menjadi sebahagian daripada ramuan dalam nasi goreng dan dibuat ulam sama ada mentah atau direbus.

Pendek kata, kangkung boleh diregukan dengan banyak jenis makanan supaya lebih sedap.

Terdapat pelbagai jenis kangkung yang bergantung pada jenis, kualiti penjagaan dan siapa yang menanamnya. Harganya ditentukan oleh faktor-faktor ini selain daripada keadaan cuaca. Biasanya seikat kangkung dijual seringgit dan boleh dicampurkan dengan sayur lain menjadikannya tiga jenis sayur berharga lima ringgit.

Kangkung sangat penting ketika Kesultanan Melayu Melaka mengadakan perhubungan diplomatik dengan China. Mungkin kisah ini hanya anekdot tetapi baik untuk kita renungi.

Dinyatakan sangat sukar bagi sesiapa yang tidak dikenali ataupun tidak ada hubungan dengan maharaja China hendak melihat apatah lagi menatap wajah maharaja. Namun, cerdik pandai Melayu mendapat satu idea yang sangat bernas untuk melihat wajah maharaja China ini.

Ketika rombongan Sultan Melaka berada di dalam istana bagi majis santapan diraja, mereka meminta dimasak sayur kangkung tetapi jangan dipotong dan kangkung hendaklah jenis yang terbaik. Permintaan Sultan Melaka dipenuhi dan malam itu mereka dapat melihat wajah maharaja China yang duduk di tempat lebih tinggi dengan jelas.

Caranya mudah. Setiap kali hendak makan kangkung, setiap orang perlu mendongakkan kepala supaya kangkung yang panjang itu tidak meleret-leret di atas pinggan. Oleh kerana mereka disediakan penyepit (copstik), memasukkan kangkung ke dalam mulut perlu mengambil masa kerana orang Melayu makan dengan jari.

Selepas semua ahli rombongan selesai menatap wajah maharaja China itu, masing-masing tidak perlukan kangkung lagi kerana sayur lain lebih sedap.

Isu kangkung juga serentak dengan penubuhan Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup Rakyat sebagai inisiatif meningkatkan keberkesanan usaha kerajaan dan penguatkuasaan undang-undang berhubung kenaikan harga barangan. Ia merupakan satu perkembangan yang sihat daripada kerajaan untuk menyelesaikan resah rakyat ketika ini.

Harga barang keperluan sentiasa turun naik berdasarkan banyak faktor. Antaranya faktor cuaca, peranan orang tengah dan kenaikan harga petrol. Walaupun Malaysia sebuah negara yang kaya dengan hasil bumi dan tanah yang subur, minat dan kepakaran orang Malaysia dalam meningkatkan teknologi pertanian masih jauh berbanding negara yang tidak punya hasil bumi seperti Jepun dan Singapura.

Kita masih mengimport cili, bawang dan ubi keledek dari India serta buah tembikai dari Taiwan.Baru-baru ini sahaja kita dapat mengeksport buah durian ke China selepas beberapa tahun dimonopoli oleh Thailand.

Kenaikan harga barang keperluan sangat dirasai oleh rakyat yang berpendapatan rendah di samping kelompok pertengahan. Mereka yang mempunyai gaji RM3000 hingga RM5000 sebulan boleh bertahan sedikit dengan mengurangkan perbelanjaan dan berjimat cermat tetapi tidak mereka yang ada pendapatan bulanan RM900.

Kenaikan harga barang yang tidak seiring dengan kenaikan pendapatan lebih cepat menimbulkan masalah sosial.

Katakan sebuah keluarga di bandar dengan isi rumah lima orang iaitu ibu, bapa dan tiga orang anak. Suami isteri sudah tentu perlu bekerja untuk membayar sewa rumahh, belanja pengangkutan, makan minum, belanja sekolah dan jaga anak-anak serta kelas mengaji. Pendapatan suami isteri ialah RM3000 sebulan, jumlah ini mungkin berakhir dengan sifar selepas semua perbelanjaan dilunaskan dalam seminggu.

Justeru, keluarga ini tidak memiliki sumber lain untuk membuat tabungan pada masa kecemasan.

Keadaan ekonomi Malaysia tidak boleh dibanggakan kerana semakin lama nilai wang RM semakin susut nilai berbanding dolar Amerika Syarikat atau Singapura. Kedudukan mata wang yang kukuh memberi peluang kepada rakyat Malaysia untuk menyimpan, berbelanja dan menjadikan hidup berkualiti.

Keadaan sosial masyarakat hari ini yang dikaitkan dengan ekonomi memang menyedihkan sehingga banyak kes pembunuhan, rompak, curi dan rogol berlaku dalam masyarakat. Kes rompakan bank dan ragut sering disiarkan di media tetapi hukuman yang dijatuhkan kepada pesalah jarang benar menginsafkan. Buktinya, hari ini ada kes rompak dan curi, esok masih ada kes yang sama tetapi di tempat yang berbeza.

Proses penguatkuasaan yang lemah akan merosakkan kestabilan sosial dalam masyarakat. Fungsi agensi penguatkuasa seperti polis, Rela dan sebagainya mesti sentiasa diperkuat supaya mereka dapat berperanan dengan lebih cekap dan berkesan.

Pemimpin politik harus melihat masalah sosial sebagai sebahagian daripada rutin harian untuk diselesaikan. Selepas pilihan raya dan proses pemilihan peringkat parti selesai, tumpuan mereka seharusnya menyelesaikan rungutan rakyat. Mereka perlukan isu-isu bersama seperti kangkung untuk melupakan sengketa politik dan kuasa serta melihat dengan realiti bahawa harga barang yang semakin mahal menyusahkan hidup dan menyumbang kepada masalah sosial yang lebih parah.
 

Wednesday, January 15, 2014

Mr Rama dalam kenangan






“Sir, good morning”, ucapan saya setiap kali melihat pintu bilik Mr Rama terbuka luas.

Dari dalam biliknya, saya mendapat ucapan balas, “good morning” diikuti ketawa kecil.

Inilah rutin harian kami setiap pagi apabila masing-masing ada di pejabat. Mr Ramachandran Nair, seorang pensyarah bahasa Inggeris yang gigih dan memberi perhatian yang luar biasa untuk mengajar pelajar atau staf agar mahir dalam penguasaan bahasa itu. Kegigihan dan ketekunan beliau ditunjukkan sehingga ke akhir hayat pada 11 Januari lalu.

Mr Rama meninggal dunia dalam tidur disebabkan serangan jantung. Kematiannya mengejutkan ramai kenalan dan pelajar kerana sebelumnya beliau tidak menunjukkan masalah kesihatan yang serius atau dimasukkan ke hospital.

Saya menjadi jiran biliknya selama empat tahun, mengenali beliau sebagai seorang yang “workhaholic” iaitu ketagih dengan kerja. Beliau sering bekerja sehingga pukul enam petang khususnya menyiapkan tugasan yang paling diminati iaitu proses editing penulisan bahasa Inggeris.

Sedikit tentang latar belakang kerjaya Mr Rama, beliau adalah pelajar di Malayan Teachers’ Training College in Kirkby, United Kingdom. Rakan-rakannya tidak ramai tetapi mereka sangat akrab dan sering mengadakan pertemuan untuk mengetahui perkembangan semasa. Mr Rama berasal dari Terengganu dan mempunyai beberapa orang bekas pelajar yang telah berjaya dalam pelbagai bidang. Salah seorang daripadanya ialah Tan Sri Salleh Sulong. Beliau mengingati dengan jelas anak muridnya itu ketika mengajar Terengganu.

Mr Rama berhijrah ke Brunei untuk tempoh yang agak lama. Mengajar bahasa Inggeris dan sangat bertuah kerana memiliki anak murid di dua negara, Brunei dan Malaysia. Setiap kali saya bertandang ke Brunei, saya akan belikannya dua barang, pertama, akhbar Borneo Bulletin dan kedua, coklat.

Membaca Borneo Bulletin mengingatkan beliau kepada memori lama semasa bekerja di Brunei, manakala makan coklat menjadikan fikirannya lebih aktif.

Setiap hari beliau akan turun ke pejabat pentadbiran untuk melihat surat khabar ruangan “Obituaries” kerana beliau ingin mengetahui siapakah rakan-rakannya yang telah meninggal dunia khususnya yang bersama di Kirkby College. Satu demi satu gambar yang ada ditatap dan setakat ini tidak ada pula yang saya lihat ada rakan-rakannya dalam ruangan tersebut.

Usianya dalam lingkungan 70-an dan perlu membaharui kontrak kerja setiap enam bulan kerana keadaan kesihatan yang dialami. Walaupun sudah “7 series”, beliau masih kuat dan pantas berjalan cuma beberapa kali saya sempat melihat beliau agak semput ketika mendaki tangga.

Dalam satu majlis meraikan ulang tahun kelahiran, seseorang bertanya kepadanya apakah rahsia beliau sehingga sekarang masih kuat, cergas dan bersemangat untuk bekerja. Beliau merenung dan berfikir sejenak lalu menjawab “a lot of sex” yang disambut gelak ketawa hadirin. Jawapannya berterus-terang dan tentulah berdasarkan pengalaman. Anak perempuannya tinggal di United Kingdom, telah berkahwin dan bekerja sebagai doktor perubatan.

Kekuatan Mr Rama ialah keupayannya bekerja tanpa mengira masa malah pernah datang pada hari cuti ke pejabat untuk menyiapkan bidang editing yang digemarinya. Saya bertanya kenapa beliau sanggup datang ke pejabat pada Sabtu atau Ahad, katanya untuk mendapatkan “mood” bekerja.

Pelajar-pelajar di bawah bimbinganya sering berkerumun di hadapan bilik untuk bertanya dan belajar ilmu bahasa Inggeris. Ada yang datang bersendirian dan ada berkumpulan. Namun pelajar yang kerap berjumpanya ialah pelajar antarabangsa.

Saya juga menjadi sebahagian daripada pelajar tidak rasmi Mr Rama kerana sering merujuk beliau apabila berhadapan dengan maksud ayat bahasa Inggeris yang bersifat teknikal. Malah juga acap kali beliau merujuk saya beberapa perkataan bahasa Melayu dan Arab untuk diterjemahkan ke bahasa Inggeris sebagai melengkapkan teks khutbah Jumaat. Pendek kata, beliau tidak lokek untuk berkongsi ilmu dengan sesiapa sahaja.

Kematian Mr Rama mengejutkan saya dan rakan-rakan yang lain. Dua hari sebelum meninggal dunia, beliau kelihatan agak sibuk menyiapkan markah pelajar. Saya hanya dengar pintu bilik dibuka dan ditutup tanpa ada tegur sapa. Saya juga tidak mengesyaki sebarang perubahan pada keadaan fizikalnya seperti bertongkat atau berjalan terlalu perlahan seolah-olah tidak ada apa-apa yang akan berlaku.



Di akhir hayatnya, Mr Rama sempat menyiapkan proses editing tugasan berkaitan dokumen universiti. Beliau tidak meninggalkan harta kepada saya dan rakan-rakan sebaliknya beliau meninggalkan sifat kegigihan dan “enjoy” dengan kerjaya yang kita pilih, memberi sepenuh komitmen dan menikmati hidup dengan baik.

Legasi Mr Rama sebagai pensyarah dan rakan akan terus diingati dan menjadi sumber inspirasi untuk berjaya dalam dunia pendidikan tinggi.
 

Tuesday, January 14, 2014

Model pelaburan sosial



 
 


Model pelaburan sosial mengambil pendekatan menggabungkan dasar sosial dan dasar ekonomi. Dasar sosial tidak perlu dilihat sebagai sebahagian atau satu unit dalam dasar sosial sebaliknya bertindak sebagai pelengkap kepada dasar ekonomi.


Model ini cenderung dipengaruhi oleh pendekatan pembangunan sosial iaitu menyediakan pelbagai intervensi sosial yang berupaya memperkasa modal insan dan modal sosial. Dalam memenuhi modal insan, dasar sosial wajar menyediakan pelbagai bentuk intervensi yang merangkumi pendidikan, kemahiran ekonomi dan latihan dalam pembangunan ekonomi.

Intervensi seperti ini akan dapat meningkatkan keupayaan ekonomi individu dan komuniti seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Meningkatkan kapasiti modal sosial akan mengukuhkan modal insan. Bank Dunia (2010 ) dalam laporan tahunan yang bertajuk “Entering the 21st Century” telah mengiktiraf modal sosial sebagai pelengkap kepada pembangunan ekonomi.

Kaedah meningkatkan modal sosial ialah membaiki jaringan sosial antara ahli dalam komuniti di samping menyediakan pelbagai bentuk bantuan yang menggalakkan mereka menyertai aktiviti pasaran ekonomi secara aktif dan produktif.

Model ini juga menekankan pembangunan sosial yang seiring dan berterusan dengan pembangunan ekonomi negara melalui pelbagai pendekatan dan strategi sosioekonomi yang dapat membantu meningkatkan ekonomi komuniti.

Caranya ialah menghubungkan kebajikan sosial secara terus terhadap program dan dasar pembangunan ekonomi yang dirancang. Dasar sosial yang bersifat pelaburan sosial dilihat lebih adil iaitu dapat mengagihkan sumber dan peluang sosial secara sama rata kepada semua ahli komuniti (Giddens, 1998).

Pencapaian modal sosial ini boleh diukur melalui penyertaan komuniti dalam organisasi atau persatuan, kehadiran masyarakat dalam aktiviti dan acara awam, penglibatan komuniti dalam aktiviti sukarela dan aspek kepercayaan antara individu dalam komuniti (Putnam, 2000).

“Whereas physical capital refers to physical objects and human capital refers to the properties of individuals, social capital refers to connections among individuals – social networks and the norms of reciprocity and trustworthiness that arise from them. In that sense social capital is closely related to what some have called “civic virtue.” The difference is that “social capital” calls attention to the fact that civic virtue is most powerful when embedded in a sense network of reciprocal social relations. A society of many virtuous but isolated individuals is not necessarily rich in social capital.”

Pembangunan dan kejayaan modal sosial ini dapat dicapai dengan baik sekiranya setiap individu dalam komuniti itu saling mempercayai, bertoleransi, persefahaman serta mengamalkan prinsip penerimaan. Integrasi dasar sosial dengan dasar ekonomi merupakan teras dalam model pelaburan sosial.

Kedua-dua dasar ini harus berupaya memberi fokus kepada intervensi sosioekonomi yang boleh meningkatkan modal insan dan modal sosial. Kaedah pelaksanaan intervensi tersebut mesti mampu membawa masuk setiap individu dan komuniti ke dalam aktiviti ekonomi secara aktif dan produktif supaya kesejahteraan hidup dapat ditingkatkan.

Di peringkat global, terdapat perubahan yang ketara dalam dasar-dasar pembasmian kemiskinan seperti yang berlaku di Amerika Selatan iaitu anjakan daripada strategi pembasmian kemiskinan berasaskan kebajikan residual kepada perlindungan sosial. Bagaimanapun, dalam realiti, perlindungan sosial masih memberi tumpuan kepada perlindungan pendapatan atau penggunaan dalam kalangan masyarakat miskin melalui program pemberian wang tunai dan dan kemudahan-kemudahan lain (Moser, 2005).

Anjakan seperti ini sebagai rekfleksi terhadap isu-isu sosial yang dibawa oleh organisasi antarabangsa dan kerajaan-kerajaan negara Barat ke pentas global melalui agenda pembangunan antarabangsa seperti World Summit for Children 1990, World Conference on Education for All 1990, UN Conference on Population and Development 1993, UN Conference on Environment and Development 1995, Fourth World Conference on Women 1995, World Summit for Social Development 1995 dan Millennium Summit 2000.

Monday, January 13, 2014

Sirah Nabi Muhammad saw, pengajaran dan pedoman





Penulis: Mustafa As-Syibaie
Tahun: 2010
Penerbit: Pustaka Salan Sdn Bhd, Batu Caves, Selangor.
Muka Surat: 207

Penulisan buku ini berdasarkan metodologi berikut iaitu pertama, muqaddimah yang mengandungi dua bahagian- keistimewaan sirah Rasulullah saw dan faedah mempelajarinya serta sumber sirah dan rujukannya yang sahih, kedua berkenaan fiqh sirah iaitu enam bahagian merangkumi kehidupan baginda sebelum diutuskan menjadi rasul, kehidupannya selepas menjadi rasul sehingga hijrah ke Habsyah, kehidupannya selepas hijrah ke Habsyah sehingga hijrah ke Madinah, penghijrahannya sehingga kedudukan baginda stabil di Madinah, peperangan Badar sehingga pembukaan Mekah dan peristiwa-peristiwa penting yang berlaku selepas pembukaan Mekah sehingga kewafatannya.

Walaupun buku ini ringkas, kandungannya memberi fokus kepada bahagian-bahagian kecil untuk pembaca ingat dan belajar daripadanya. Dalam Bahagian 1 berkenaan kehidupan baginda sebelum diutuskan sebagai rasul, terdapat sepuluh hakikat kehidupan Rasulullah saw.

Pertama, baginda dilahirkan daripada keluarga terbaik dalam kalangan keluarga Arab iaitu Bani Hasyim. Bani Hasyim merupakan keturunan Quraisy yang paling mulia, manakala Quraisy pula adalah kabilah Arab yang paling mulia dan berketurunan bersih.

Kedua, baginda membesar sebagai anak yatim. Semasa kecil baginda merasai pahit maung tidak mendapat kasih sayang ibu bapa. Keyatiman baginda disebutkan dalam Surah Ad-Dhuha ayat keenam yang bermaksud, “Bukankah Dia mendapati engkau anak yatim, lalu Dia memberikan perlindungan”.

Ketiga, baginda menghabiskan empat tahun pertama zaman kanak-kanak di padang pasir perkampungan Bani Saad. Oleh itu tubuhnya kuat, jasmaninya sejahtera, lidah yang fasih, jiwa yang berani dan mampu menunggang kuda walaupun usia masih kecil.

Keempat, keunggulan baginda diketahui sejak kecil seperti raut wajahnya ada tanda-tanda kecerdikan dan rasa sayang kepadanya.

Kelima, ketika awal remaja, baginda mengembala kambing untuk penduduk Mekah dengan bayaran upah tertentu. Apabila mencapai umur 25 tahun, baginda berniaga untuk Khadijah binti Khuwailid. Baginda berniaga bermodalkan harta Khadijah dengan mendapat bayaran upah.

Keenam, baginda tidak menyertai remaja Mekah bersukaria dan berfoya-foya. Tidak terlibat bersama kaumnya menyembah berhala, makan sembelihan untuk berhala, minum arak atau bermain judi serta tidak mengeluarkan kata-kata yang kesat atau bercakap celupar.

Ketujuh, sejak mumaiyiz, baginda dikenali memiliki akal yang matang dan pandangan yang bernas. Contoh perletakan Hajarul Aswad adalah simbol tersohor di atas kematangan baginda itu.

Kelapan, semasa remaja baginda terkenal dengan sifat jujur, menepati janji, perjalanan hidup yang lurus dan reputasi yang baik, membela pihak yang lemah, memberi pendapatan kepada yang tidak berharta, memuliakan tetamu dan menolong mereka yang berhak.

Kesembilan, bermusafir keluar dari Mekah sebanyak dua kali iatu ketika berusia 12 tahun dan kedua ketika berusia 25 tahun.

Kesepuluh, beberapa tahun sebelum diangkat menjadi nabi, Allah swt menimbulkan rasa cinta kepadanya untuk berkhalwah di Gua Hira’ memikirkan tanda-tanda kebesaran Allah dan kehebatan-Nya. Perkara itu berterusan sehingga datang wahyu dan turunnya al-quran kepada baginda.

Buku ini sangat sesuai dijadikan bahan perbincangan dalam halaqah untuk menimbulkan rasa kagum dan mempelajari sirah Rasulullah saw dengan mendalam.
 

Friday, January 10, 2014

Dialog selesai konflik



Umat Islam di Malaysia menyambut Maulidur Rasul pada tahun 2014 dengan menerima pelbagai cabaran. Seperti satu trend, apabila hampir sambutan ini, ada gerakan untuk mengganggu keagungan Rasulullah saw. Ia tidak terkecuali di negara ini malah di seluruh dunia.


Beberapa tahun lalu, lakaran kartun yang menggambarkan wajah Rasulullah saw dengan serban dan bom yang dibuat oleh kartunis Denmark dalam surat khabar. Akhbar tersebut menerima kecaman dan produk tenusu keluaran negara itu dilarang masuk ke Arab Saudi. Ketika itu, gerakan memburukkan Rasulullah saw dan agama Islam belum meluas di Malaysia.

Dalam setahun dua ini, gerakan tersebut dilihat berani menampilkan diri dengan membawa isu yang mengelirukan masyarakat Islam. Isu ini tidak terkecuali penggunaan kalimah Allah yang melibatkan jabatan agama Islam, gereja, ahli politik dan masyarakat awam.

Pengaruh isu ini memecahkan umat Islam kepada tiga pihak. Pertama, mereka yang bangkit menyatakan bantahan, kedua, mereka yang mengambil pendekatan “tidak gopoh” dan ketiga, mereka yang bersimpati dengan gereja sehingga membawa bunga untuk paderi.

Tiga kelompok ini wujud kerana masing-masing mempunyai pendirian dan pendekatan sendiri.

Jadi, apakah penyelesaian terbaik untuk meredakan ketegangan ini supaya masyarakat Malaysia yang bersifat majmuk dapat memahami bahawa isu yang sensitif melibatkan agama boleh menyumbang kepada perbalahan yang lebih buruk.

Cadangan Tun Dr Mahathir supaya ISA dihidupkan kembali khusus untuk membendung puak pelampau dalam negara mendapat sambutan daripada pihak polis. Sebagai agensi penguatkuasa, kehadiran ISA dilihat mampu membendung anasir-anasir yang mahu mencetuskan konflik berbahaya dalam masyarakat. ISA yang bersifat mencegah itu dirasakan boleh mengatasi sebarang isu sensitif seperti yang berlaku ketika ini.

Bagaimanapun tidak semua orang setuju dengan cadangan ini. Alasannya ialah kita masih boleh menggunakan saluran undang-undang untuk mendakwa mereka yang mencetuskan perbalahan dan menyemarakkan sengketa masyarakat. Cuma dalam saluran undang-undang ini, tempoh untuk menyelesaikan isu mengambil masa lebih panjang dan memakan tahun. Tidak ada satu mekanisme untuk membendung sebarang sengketa jika meletus melainkan ditahan reman dalam tempoh yang singkat.

Cadangan lain ialah menyuburkan budaya dialog dalam kalangan pemimpin politik, aktivis masyarakat dan pemimpin agama. Proses dialog ini mesti digerakkan oleh kerajaan dengan mengambil pendekatan berbincang dan mengutamakan kepentingan negara. Perpecahan Yugoslavia kepada Bosnia, Crotia dan Serbia disebabkan ketaksuban terhadap puak dan agama sendiri sehingga negara yang besar, cantik dan hidup harmoni bertukar menjadi kecil, hambar dan sentiasa berburuk sangka sesama sendiri.

Menggerakkan dialog dalam kalangan ahli akademik dan cendekiawan lebih mudah kerana mereka memiliki tahap ilmu dan kematangan yang tinggi. Mereka juga lebih memahami adab berdialog dan dapat menghasilkan rumusan yang lebih tepat.

Penyelesaian terhadap sebarang konflik di Malaysia wajar dilakukan menerusi dialog berbanding sengketa dan perbalahan. Walaupun Malaysia pernah digegarkan dengan pergaduhan kaum pada 1969, keadaan selepas itu semakin baik biarpun ada masanya tegang tetapi stabil. Sesuatu usaha yang lebih konkrit wajar diusahakan supaya kemajuan negara tidak disekat oleh kejadian yang merosakkan semua pembangunan yang dilakukan selama ini.
 

Wednesday, January 08, 2014

Pelaburan sosial atasi jenayah



Bunuh, rogol, kelar, sembelih, libas, tikam, tembak, dera, culik, tembak, tumbuk, rompak, curi, ragut, ugut , serang dan pukul adalah cerita harian yang mengisi surat khabar dan berita semasa di media. Semua berlaku dalam keadaan yang menyayat hati dengan mangsa mati, cedera parah atau dimasukkan ke hospital. Implikasi jenayah seperti ini melibatkan semua lapisan masyarakat.


Golongan marhaen seperti pekerja buruh, penghantar surat dan pemandu teksi ada halnya. Jenayah mereka biasanya melibatkan kecederaan emosi yang berakhir dengan pertengkaran dan pergaduhan. Jika melibatkan minuman beralkohol dan mabuk, mereka bertindak di luar batas dengan kecenderungan membunuh.

Golongan pertengahan pula lebih cerdik dan bijak menguruskan kejadian jenayah mereka. Jika melibatkan pergeseran harta benda atau keperluan peribadi, mereka akan merujuk ke mahkamah dengan penguam yang hebat. Jika melibatkan konflik keluarga, mereka juga memilih mahkamah untuk penyelesaian. Golongan ini mampu kerana mereka ada kesedaran, jaringan rakan-rakan yang profesional dan ada wang.

Golongan elit dan berstatus sosial tinggi dalam masyarakat juga ada masalah sosial mereka sendiri. Seperti kata Ustaz Shamsuri, bangun pagi-pagi bukannya hendak makan apa tetapi “hendak makan siapa” yang berlegar-legar dalam fikiran mereka. Namun kes jenayah yang melibatkan pembunuhan agak jarang dalam kelompok ini.

Jenayah yang disiarkan oleh media saban hari semakin meningkat. Selepas seminggu di tahun 2014, kematian dan kecederaan kerana pelbagai sebab menghiasi muka hadapan akhbar dan laporan terkini di portal berita masing-masing.

Kejadian terbaru ialah sepasang suami isteri mati di sebuah hotel kerana pergaduhan akibat hendak bercerai. Isteri dikelar sehingga hampir putus kepala dan suaminya mengelar leher sehingga kehilangan darah dan akhirnya meninggal dunia. Suaminya seorang pensyarah yang sudah tentu tidak ada masalah kewangan untuk hidup.

Kisah yang lebih rumit ialah seorang orang kurang upaya iaitu bisu dan pekak dijatuhkan hukuman penjara dan sebat kerana merogol, seks luar tabii dan merompak seorang wanita di bilik air tempat bekerja. OKU berkenaan sudah punyai dua orang anak yang masih kecil. Mangsa rogol terpaksa menanggung derita psikologi dan mental kerana berasa malu dan menganggap dirinya tidak bersih.

Kes yang menarik ialah empat ekor lembu disumbat ke dalam kereta. Kegiatan mencuri lembu ini bukan berlaku di beberapa tempat sahaja sebaliknya berlaku di seluruh negara. Lalu kita berfikir bagaimana hendak mengenal pasti sesebuah kereta yang disyaki boleh menyumbat banyak lembu?

Masalah sosial yang berlaku dalam masyarakat akan terus berlaku hari demi hari jika negara kita masih memandang isu-isu sosial kurang penting berbanding isu ekonomi atau isu politik. Akhirnya, masyarakat terpaksa menanggung kesulitan hidup. Bayangkan melangkah keluar dari rumah, kita perlu berhati-hati kerana kita mungkin menjadi mangsa rompakan, dipukul atau dibunuh. Apa yang perlu kita lakukan?

Mahu atau tidak mahu, kita harus melihat bahawa pendidikan dan hukuman jenayah belum dapat menghalang individu untuk melakukan jenayah. Banyak faktor yang menyumbang kepada pelakuan jenayah yang dilakukan oleh seseorang atau sekumpulan orang.

Dalam satu rumusan oleh ketua-ketua polis Amerika Syarikat dalam Police Executive Research Forum berkaitan faktor yang menyumbang kepada keganasan jenayah, mereka mengenal pasti sepuluh faktor iaitu:

Pertama, kumpulan jenayah seperti sindiket atau kongsi gelap (82%).
Kedua, jenayah juvana atau belia (80%).
Ketiga, keadaan ekonomi seperti kemiskinan dan pengangguran (74%).
Keempat, impulsif (ikut kata hati) dan tidak sensitif pada isu (74%).
Kelima, pelatih yang dibebaskan dari pusat pemulihan (69%).
Keenam, dadah (67%).
Ketujuh, kemahiran keibubapaan yang lemah (63%).
Kelapan, mudah mendapat senjata seperti senapang atau pistol (55%).
Kesembilan, saksi atau mangsa kejadian tidak memberi kerjasama (37%).
Kesepuluh, pelajar cicir semakin meningkat (36%).


Melihat kepada sepuluh faktor yang menyumbang kepada jenayah di Amerika Syarikat dalam dua hingga tiga tahun lepas, kita boleh merumuskan bahawa golongan jenayah berkumpulan, juvana dan keadaan ekonomi menjadi penyumbang terbesar di negara itu.


Berbanding Malaysia, sebahagian daripada faktor ini mungkin ada kaitan dengan pelakuan jenayah yang terjadi. Jenayah tidak sahaja melibatkan kumpulan malah desakan hidup, kerakusan terhadap kemewahan dan pengaruh sekitar dilihat menjadi pendorong kepada peningkatan kadar jenayah yang semakin banyak seperi yang disiarkan dalam akhbar dan media massa.

Usaha yang lebih berani dan bersungguh-sungguh wajar dilakukan oleh kerajaan dan agensi penguatkuasa di samping menjadikan pendidikan sebagai perisai kepada jenayah ini. Kita boleh membuang jauh-jauh anggapan bahawa jenayah meningkat seiring dengan pertambahan pendapatan akibat jurang miskin-kaya, sebaliknya merangka pelan transformasi yang lebih menyeluruh melibatkan pelaburan ekonomi dan pelaburan sosial.
 

Monday, January 06, 2014

Modul pembangunan insan





Penyusun: Unit Manhaj Jawatankuasa Tarbiyyah IKRAM
Tahun: 2013
Penerbit: Bahagian Penerbitan Jawatankuasa Tarbiyyah IKRAM, Seri Kembangan, Selangor.
Muka Surat: 564

Manusia untuk tempoh yang sangat lama telah tenggelam dengan kehidupan jahiliyah di seluruh muka bumi. Lalu Allah swt dengan rahmatNya mengutuskan kekasihNya, Muhammad saw sebagai nabi dan rasul penutup bagi mentarbiyah manusia seluruhnya kembali kepada mengilahkan Allah swt dan merasai nikmat iman.


Bersama dengan baginda diturunkan manhaj iaitu al-quran sebagai panduan dalam usaha baginda saw untuk menjalankan dakwah ilaLlah. Maka Ar Rasul saw dalam tempoh 23 tahun telah melaksanakan amanah Allah swt ini dengan sepenuh tenaga dan kemampuannya sehingga akhirnya Islam itu menjadi agama dan deen kepada masyarakat seluruh dunia.
Ya, itulah metod yang tepat dalam mengembalikan umat manusia kepada Islam iaitu tarbiyah yang kita perlu imani dan laksanakannya dengan sepenuh kemampuan jika ingin mengislah umat manusia pada hari ini.
Langkah pertama perubahan dan pembaharuan berorientasikan kepada hati dan jiwa. Oleh kerana itu kesatuan hati menjadi prasyarat sebelum kesatuan manusia dengan organisasi dan manhaj. Dari taujih rabbani yang diajarkan Rasulullah saw kepada kita inilah kita bermula. Kita mulakan dengan pemulihan individu-individu sebelum kita mula memulihkan massyarakat dan negara.
Kita bersungguh-sungguh mengubah individu kerana mereka menjadi ejen kepada perubahan yang lebih besar.
Apa yang kita perlukan daripada mereka ini? Kita perlukan ruh yang peka dan hati yang hidup, individu yang memiliki hati dan perasaan yang sensitif. Kita perlukan orang-orang yang muda dan kuat, memiliki cita-cita dan matlamat yang tinggi serta berusaha ke arahnya.
Dakwah ini hanya akan hidup dan dapat terus bergerak dengan adanya orang-orang seperti ini. Orang yang menjadi hamba Tuhan dan bukan dirinya sendiri apatah lagi menjadi hamba dan penghibur masyarakat. Kita ingin membentuk manusia yang memimpin dan membimbing masyarakat, bukan sekadar menunggu respons kepada isu dan peristiwa. Individu-individu ini tidak lahir secara semula jadi atau turun dari langit. Mereka hanya akan muncul selepas proses tarbiyah rabbaniyah dalam jangka masa panjang. Ingatlah janji Allah adalah benar bagi orang-orang yang sabar dengan jalan dakwah ini sama ada kita sempat melihat kemenangan atau syahid berjumpa Allah membawa amal-amal kita.
Buku tebal ini merupakan kompilasi beberapa buah buku yang telah disusun dalam rangka untuk menjalankan tarbiyah umat manusia. Namun begitu, ia hanyalah semata-mata ilmu yang akan bergantung kepada kemampuan individu yang akan memanfaatkannya. Sebagaimana al-quran yang sarat dengan segala kelebihan, kehebatan dan keajaiban, namun semua itu bergantung kepada kemampuan seseorang manusia untuk mengutipnya.
Buku ini juga adalah susunan manusia yang pastinya tidak sunyi dari kesilapan, maka jadikanlah ia hanya sebagai panduan dalam melaksanakan tarbiyah. Dengan itu juga, maka sesiapa yang memiliki dan mampu memanfaatkan apa juga sumber lain, maka yang demikian itu adalah hikmah yang telah ditemuinya dan dialah (selaku muslim) lebih berhak untuk memanfaatkannya.
“Dan tiada kemenangan kecuali dari Allah” (Al-Anfal: 10)

Sunday, January 05, 2014

Ke arah Putrajaya yang damai






Selepas mendapat maklum balas kurang menggalakkan daripada orang ramai khususnya masyarakat Putrajaya, barulah presiden Perbadanan Putrajaya memberi reaksi yang berbeza kali ini. Cadangan pembukaan Hard Rock Café di Putrajaya tidak mendapat sambutan.

Tan Sri Aseh Che Mat wajar memahami aspirasi dan polisi pembangunan Putrajaya yang diilhamkan oleh Tun Dr Mahathir. Membenar masuk elemen negatif seperti penjualan arak adalah tidak perlu di Putrajaya kerana siapa pula yang akan mengunjungi kedai berkenaan. Hal ini kerana rata-rata penduduk yang bekerja di sini adalah masyarakat Islam.

Takkanlah kerana hendak memenuhi keinginan generasi muda dan penunggang motosikal Harley-Davidson beliau mahu membenarkan kedai berkenaan dibuka. Amat malang bagi masyarakat Putrajaya untuk mempunyai pemimpin yang berfikiran seperti itu. Namun kita yakin pengalaman beliau sebagai Ketua Setiausaha kementerian dan pembuat polisi dapat membantunya melihat situasi berkenaan dalam konteks yang lebih menyeluruh dengan mengambi kira keperluan dan kehendak masyarakat setempat.




Kita tidak mahu melihat keadaan tenang dan dinamik masyarakat Putrajaya dengan pelbagai aktiviti ke arah kesejahteraan keluarga dirosakkan oleh elemen-elemen negatif yang dibawa dari luar semata-mata ingin menunjukkan bahawa di Putrajaya semuanya ada.

Lagi pun dalam masyarakat kita terdapat beberapa jenis kopi yang hebat dan impaknya pun sehebat nama seperti Kopi Jantan atau Kopi Janda. Sepertimana bagus pada namanya, rasa kopi ini pun tentulah sesedap rasanya.

 

Friday, January 03, 2014

Dasar Keluarga Negara: Agenda kestabilan sosial dan kesejahteraan negara






oleh Abdul Shukur Abdullah
Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia
 
Institusi keluarga merupakan salah satu sistem mikro di dalam sebuah rangkaian sistem sosial yang luas. Peranan utama institusi ini ialah memenuhi keperluan intim (intimacy), ekonomi, pengasuhan dan sosialisasi anak. Kesejahteraan keluarga merangkumi keperluan memenuhi aspek pendidikan, ekonomi, kesihatan, persekitaran, sosiopsikologikal dan sebagainya. Keluarga juga berfungsi bagi membekal sumber manusia untuk pembangunan serta menjamin kesinambungan insan sebagai generasi akan datang.
Sebagai sebahagian daripada unit dalam sistem sosial, keharmonian dan kebahagiaan (happiness) keluarga akan menjadi penentu kestabilan sosial sesebuah negara dan kesejahteraan negara. Peranan institusi keluarga dalam sebuah institusi sosial sememangnya telah diperakui di peringkat antarabangsa. Deklarasi Hak Manusia Sejagat pada tahun 1948 (Artikel 16 [3]) mengiktiraf keluarga sebagai satu unit penting dalam masyarakat (United Nations, 1948). Menerusi deklasi ini, institusi keluarga berhak mendapat bantuan dan perlindungan daripada pihak berwajib dan kerajaan.
Kestabilan sosial dan kesejahteraan sesebuah negara sering kali dikaitkan dengan sejauh mana keharmonian dan kualiti keluarga dan masyarakat. Keluarga yang sejahtera akan menghasilkan penduduk yang berkualiti dan produktif.
Justeru, kerajaan akan terus komited kepada Deklarasi Hak Manusia Sejagat (1948) iaitu keluarga sebagai unit terpenting dalam masyarakat dan perlu diberi perlindungan oleh masyarakat dan kerajaan. Komitmen kerajaan menerusi Dasar Keluarga Negara yang diluluskan pada Disember 2010 akan menyokong dan melengkapi dasar-dasar sedia ada selari dengan misi nasional ke arah pencapaian matlamat Malaysia sebagai sebuah negara maju serta masayrakat yang bersatu, mampu berdikari, progresif dan maju.
 
Gejala Sosial dan Kestabilan Sosial
 
Kestabilan sosial dilihat berdasarkan petunjuk sosial. Gejala sosial yang berlaku dalam masyarakat kita memberi kesan negatif ke atas pertumbuhan psikologikal, fizikal, ekonomi dan pembangunan seseorang individu dan negara. Perlakuannya yang negatif secara berterusan menyebabkan situasi baru iaitu economic dysfunctioning yang berkaitan dengan kemiskinan, penganguran dan penghijrahan sama ada dari dalam atau luar bandar yang mampu dilihat sebagai masalah sosial selain faktor pendorong kepada pelbagai lagi masalah yang bakal dihasilkan.
Masalah sosial juga akan menyebabkan peningkatan kos sosial, sekali gus menjejaskan pembangunan negara. Statistik Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan seramai 4,222 (23 peratus) daripada 18,652 orang remaja hamil (berumur 10 – 19 tahun) adalah kes baru yang sedang mendapatkan perkhidmatan di fasiliti kesihatan kerajaan pada tahun 2011. Bagi tempoh Januari – Mei 2012, sebanyak 1,700 (23 peratus) daripada 7,499 orang bagi kes baru remaja hamil masih belum berkahwin (Berita Harian, 6 Oktober 2012). Seramai 132 orang pelajar hamil sedang menuntut di Sekolah Harapan, Melaka.
Lebih 70 peratus ibu bapa tidak sedar anak mereka terdedah kepada pornografi dan satu per tiga ibu bapa pula tidak tahu mengenai media sosial yang digunakan anak-anak mereka setiap hari. Remaja dan kanak-kanak menghabiskan masa 4.5 jam sehari melayari internet dengan remaja lelaki mendahului remaja perempuan berhubung penggunaan bahan porno di internet. Ibu bapa tidak tahu anak mereka menggunakan purata 19 jam seminggu untuk membuat carian di internet.
Kajian Profil dan Faktor Kanak-kanak dan Remaja Lari dari Rumah yang dijalankan oleh Institut Sosial Malaysia pada tahun 2010 pula mendapati tiga sebab utama kanak-kanak dan remaja lari dari rumah adalah disebabkan oleh faktor tekanan (48.8 peratus), mengikut rakan (27.7 peratus) dan hidup bebas (14.5 peratus).
Kajian Fenomena Pelacuran di Malaysia (Lukman dan Zuriana, 2000) mendapati bahawa sebahagian besar remaja yang ditangkap (85 peratus) berada dalam lingkungan umur 15 hingga 20 tahun. Namun terdapat segelintir daripada mereka (13.3 peratus) yang berusia antara 12 hingga 14 tahun. Situasi ini amat memeranjatkan kerana pada usia sebegitu muda, mereka berani mengambil risiko yang tinggi untuk menjalani satu proses kehidupan yang jauh berbeza daripada realiti kehidupan sebenar yang sepatutnya ditempuhi.
Laporan Majlis Aids Malaysia mendapati golongan belia berumur antara 18 hingga 40 tahun merupakan kelompok yang tertinggi mengidap HIV di negara kita. Lebih daripada 76 peratus daripada keseluruhan kes HIV hingga tahun 2010 membabitkan golongan belia ini yang keseluruhannya berjumlah 69,747 orang. Pada tahun 2011 pula, bagi setiap empat kes baru jangkitan HIV, satu dilaporkan terdiri daripada golongan orang muda dan belia dalam lingkungan umur 13 hingga 29 tahun.
Gejala-gejala di atas jika tidak dibendung dan ditangani dengan bijak mampu menggugat pembangunan sosial dan kesejahteraan negara. Kemajuan dan pembangunan ekonomi yang pesat pasti boleh meletakkan negara kita di peta dunia sebagai sebuah negara yang amat berjaya dari segi fizikal. Namun sekiranya kita gagal membentuk individu yang mempunyai nilai diri yang tinggi, bebas daripada segala anasir negatif, berfikiran luas, menjadi teladan kepada masyarakat dan negara secara menyeluruh, bermakna kita gagal melahirkan sebuah negara maju yang serba lengkap dalam kesemua aspek (Abd. Rahim, Sufean Hussin dan Jamaludin, 2006).
 
Cabaran Keluarga dan Negara Masa Hadapan
 
Dalam usaha mencapai matlamat Dasar Wawasan Negara, Malaysia mementingkan kualiti dan kuantiti penduduk untuk melahirkan penduduk yang progresif. Kepentingan ini berdasarkan keperluan untuk menyediakan lebih ramai tenaga kerja yang terlatih, berkemahiran dan berpengetahuan bagi membantu proses pembangunan sosioekonomi negara. Institusi keluarga yang sejahtera akan menjadi paksi melahirkan generasi penduduk yang berkualiti bagi mencorak pembangunan negara akan datang.
Pada masa ini, bilangan penduduk Malaysia berjumlah 28.3 juta. Jumlah ini diunjurkan meningkat kepada 35 juta orang pada tahun 2020. Daripada perspektif demografi pula, Malaysia kini berada dalam fasa kedua transisi demografi di mana satu per tiga penduduk negara adalah kanak-kanak di bawah 15 tahun. Justeru, penduduk Malaysia dikategorikan sebagai penduduk muda dan tergolong dalam kumpulan umur produktif. Dividen atau bonus demografi ini perlu dioptimumkan bagi memastikan generasi yang bakal meneruskan warisan negara dilengkapkan dengan nilai-nilai murni, tahap daya tahan (resilient) yang tinggi dan menjadi warga yang produktif.
Selain itu, bilangan keluarga di Malaysia telah meningkat dari 6.2 juta pada tahun 2000 kepada 7.5 juta orang kelurga pada tahun 2010 dengan kadar pertumbuhan sebanyak 3.9 peratus setahun. Selain itu, berdasarkan kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Ke-4 yang telah dijalankan oleh LPPKN pada tahun 2004, 69.7 peratus daripada jumlah keluarga di Malaysia adalah terdiri daripada keluarga nuklear (nuclear family) berbanding 66.2 peratus pada tahun 2000. Pertambahan bilangan keluarga khususnya keluarga berbentuk nuklear memerlukan satu bentuk sistem sokongan keluarga yang mantap untuk meningkatkan kesejahteraan keluarga dan membolehkan keluarga mengharungi cabaran pada masa hadapan.
Justeru, penduduk Malaysia dikategorikan sebagai penduduk muda yang tergolong dalam kumpulan produktif dan juga dikenali sebagai bonus demografi. Sehubungan dengan itu, langkah-langkah proaktif yang holistik perlu diambil dalam memastikan kumpulan yang bakal meneruskan warisan negara ini dilengkapi dengan nilai-nilai murni agar menjadi warga yang produktif. Perhatian juga harus diberikan kepada memenuhi keperluan warga emas yang berumur 65 tahun ke atas yang semakin bertambah.
Bilangan isi rumah dan keluarga yang bertambah merupakan petanda positif ke arah melahirkan penduduk yang berkualiti di negara ini. Pada tahun 2000, bilangan isi rumah dan keluarga di Malaysia adalah 4.7 juta dan telah meningkat kepada 6.4 juta pada tahun 2010. Seiring dengan pertambahan tersebut, struktur keluarga di Malaysia telah mengalami perubahan saban tahun. Secara purata saiz isi rumah didapati semakin menurun di mana pada tahun 1980, purata saiz isi rumah adalah 5.2 orang menurun kepada 4.6 pada tahun 2000 dan terus menurun kepada 4.3 pada tahun 2010 (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2010). Pembentukan struktur keluarga asas semakin ketara berbanding dengan generasi sebelum merdeka. Daripada 55.2 peratus pada tahun 1980, keluarga asas kini telah bertambah kepada 65.4 peratus daripada jumlah keluarga pada tahun 2000.
Berdasarkan agama dan undang-undang negara, pembentukan keluarga di Malaysia bermula dengan perkahwinan yang sah. Namun kini terdapat trend untuk melewatkan perkahwinan khususnya dalam kalangan penduduk muda. Penemuan Banci 1990, 2000 dan 2010, minimum umur perkahwinan pertama bagi wanita telah meningkat daripada 24.7 tahun kepada 25.1 tahun dan 25.7 tahun pada 2010. Sebaliknya minimum umur perkahwinan pertama bagi lelaki terdapat sedikit peningkatan iaitu daripada 28.2 tahun pada tahun 1991 kepada 28.6 tahun pada tahun 2000 dan menurun sedikit kepada 28.0 tahun pada tahun 2010 (Jabatan Perangkaan Malaysia, 2010). Senario berkahwin lewat akan memberi implikasi kepada pembentukan keluarga, penjagaan anak dan struktur keluarga.
Arus pembangunan dan cabaran kehidupan moden masa kini diperhatikan turut menghasilkan kepelbagaian bentuk keluarga baru. Antara bentuk keluarga baru dan cabaran yang dikenal pasti kini adalah:
 
1. Keluarga komuter di mana salah seorang pasangan tinggal di satu tempat yang lain dan mereka berjumpa sekali atau dua kali dalam seminggu, sekali sebulan dan sebagainya bergantung pada jurang jarak antara pasangan disebabkan oleh komitmen kerja ataupun sebab-sebab tertentu.
2. Keluarga sandwich juga merupakan satu bentuk keluarga baru yang telah dikenal pasti dalam masyarakat Malaysia. Bentuk keluarga ini merupakan pasangan yang perlu menanggung anak dan menjaga ibu bapa yang tinggal bersama. Situasi ini dijangka akan menjadi lebih serius terutama bagi pasangan muda dwi-kerja yang kurang mempunyai sumber mencukupi dalam mengurus keperluan anak-anak dan ibu bapa mereka pada masa yang sama. Cabaran ini tidak boleh diambil ringan kerana tuntutan keluarga dan kerjaya boleh memberi tekanan emosi dan mental sekiranya tiada khidmat keluarga dan majikan.
3. Keluarga dwi-kerja turut menghadapi cabaran besar dalam mengimbangi antara kerja dengan keluarga. Kajian KPKM-4 mendapati hampir 50 peratus daripada mereka mengharapkan majikan menyediakan pusat jagaan kanak-kanak di tempat kerja di samping peruntukan cuti khas untuk menjaga anak serta mengharapkan pemberian subsidi untuk menampung kos jagaan anak (LPPKN, 2008). Penyediaan program dan perkhidmatan serta kemudahan dan sistem sokongan yang mesra keluarga akan dapat mendaya upayakan keluarga untuk menangani cabaran semasa serta mampu menyediakan modal insan berkualiti serta berperibadi mulia bagi melaksanakan misi pembangunan negara.
 
Selain daripada cabaran institusi keluarga, isu-isu sosial yang melanda di setiap peringkat perkembangan manusia daripada kanak-kanak sehinggalah warga emas juga perlu diberi perhatian. Setiap kitaran dalam sesebuah institusi keluarga mempunyai isu dan cabaran tersendiri. Daripada peringkat kanak-kanak seperti isu penderaan dan pengabaian sehinggalah isu warga emas seperto kesunyian, cabaran yang wujud secara tidak langsung memberi kesan kepada kestabilan sesebuah institusi keluarga.
Sehubungan dengan isu dan cabaran yang dihadapi oleh keluarga Malaysia kini, dapat dirumuskan bahawa pembentukan, struktur dan peranan institusi keluarga di Malaysia akan terus berubah sejajar dengan modenisasi dan urbanisasi penduduk di samping perubahan sikap terhadap perkahwinan dan kekeluargaan (Aminah, Doshi dan Ismajalil, 2008).
 
Dasar Keluarga Negara – Kesejahteraan Keluarga Asas Kestabilan Negara
 
Dasar Keluarga Negara telah diluluskan oleh kabinet pada 17 Disember 2010 dan dilancarkan oleh Datuk Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Dasar ini bertujuan untuk memperkukuh institusi keluarga dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat. Dasar Keluarga Negara ini memberi tumpuan kepada penerapan hubungan kekeluargaan yang baik dan mewujudkan kesedaran serta mengiktiraf keluarga sebagai satu unit penting dalam pembinaan struktur sesebuah masyarakat serta negara yang mantap, maju dan progresif.
Dasar Keluarga Negara memperjuang konsep “kesejahteraan keluarga”  yang berteraskan nilai keluarga seperti kasih sayang, jujur, adil dan saksama tanpa mengira status, jantina dan umur. Keperibadian mulia ini amat penting bagi memastikan pembangunan sosial dititikberatkan selaras dengan pembangunan material dan ekonomi. Pendekatan ini penting bagi menjamin perlindungan, keselamatan dan kesaksamaan gender dalam institusi keluarga tidak dipinggirkan. Seterusnya setiap ahli keluarga dapat menikmati kehidupan yang sihat, selamat dan harmoni termasuk mempunyai hak perkongsian sumber yang saksama.
Dasar ini bermatlamat membangunkan keluarga yang sejahtera, sihat dan berdaya tahan untuk memastikan kestabilan sosial. Dasar ini juga menjadi pemangkin kepada kesedaran dan komitmen semua pihak yang berkepentingan termasuk setiap anggota masyarakat untuk mencapai matlamat yang dihasratkan.
Bagi mencapai matlamat Dasar Keluarga Negara ini, sebanyak tiga teras strategi telah dirangka. Menerusi teras strategi ini, hasrat kerajaan untuk mengukuhkan insitusi keluarga dapat direalisasikan.
 
Teras Strategi 1: Meningkatkan komitmen dan penglibatan semua pihak untuk mengutamakan perspektif keluarga dalam usaha pembangunan sosioekonomi. Di antara langkah awal yang telah diambil adalah menerusi advokasi DKN di mana siri Bual Bicara DKN dan PTDKN telah dilaksanakan di peringkat persekutuan dan negeri yang melibatkan pegawai kanan dan wakil agensi-sgensi terlibat. Bagi meningkatkan dan mengarusperdanakan perspektif keluarga dalam perancangan sosial negara, LPPKN telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan Projek Pembangunan Indikator Kesejahteraan Keluarga pada tahun 2011. Menerusi set indikator yang telah dibangunkan ini, indeks kesejahteraan keluarga akan digunakan untuk merangka dan merancang program intervensi pembangunan keluarga serta memantau trend keluarga dan implikasinya kepada negara dan menjadi penanda aras kepada tahap kesejahteraan keluarga di Malaysia.
 
Teras Strategi 2: Mengkaji semula dasar, undang-undang, prosedur dan peraturan sedia ada yang tidak mesra keluarga dan memberi penekanan kepada menjamin perlindungan, keselamatan dan kesaksamaan gender dalam institusi keluarga. DKN yang memperjuang konsep dan prinsip “kesejahteraan keluarga” akan mengutamakan usaha-usaha nilai dan amalan budaya yang penuh kasih sayang, jujur, adil dan saksama di antara ahli keluarga tanpa mengira status, jantina dan umur. Penekanan ini bertujuan memastikan setiap ahli keluarga dapat menikmati hidup yang sihat, selamat, harmoni dan memuaskan termasuk mempunyai hak perkongsian. Ini termasuklah mengkaji semula pengecualian cukai, rebat dan insentif kepada yang memberi faedah langsung dan tidak langsung kepada ahli keluarga.
 
Teras Strategi 3: Aksessibiliti kepada khidmat sokongan keluarga. Perluasan pendidikan kekeluargaan teritama di tempat kerja dan komuniti merupakan tindakan utama yang akan dilaksanakan. Bagi membantu pasangan mengimbangi keluarga dan kerjaya, program kemahiran kekeluargaan sedia ada yang dilaksanakan oleh agensi kerajaan mahupun badan bukan kerajaan akan diperluaskan kepada skop yang lebih luas dan lebih komprehensif. Sistem sokongan keluarga akan diperluaskan seperti penubuhan pusat keluarga yang menyediakan kemudahan yang mesra keluarga seperti khidmat kaunseling, program kependudukan dan kemahiran kekeluargaan, program penjagaan kanak-kanak dan warga emas serta perkhidmatan kesihatan reproduktif.
 
Terdapat enam strategi seperti yang terkandung dalam Pelan Tindakan Dasar Keluarga Negara iaitu: 1) Menggalakkan penyelidikan dan pembangunan dalam bidang kesejahteraan keluarga, 2) Advokasi mengutamakan kesejahteraan keluarga, 3) Latihan dan pendidikan sepanjang hayat untuk pembangunan modal insan dan keluarga sejahtera, 4) Perundingan dan perkongsian pintar dalam pelbagai agensi kerajaan, swasta, NGO, institut pengajian tinggi dan komuniti, 5) Penyediaan kemudahan sumber dan persekitaran yang mendaya upayakan keluarga, dan 6) Pemantauan dan penilaian.
Secara keseluruhannya 30 tindakan telah dikenal pasti seperti yang terdapat dalam PTKDN. Tindakan tersebut merangkumi pelaksanaan dari tahun 2011 sehingga tahun 2020 malahan terdapat juga tindakan yang perlu dilakanakan secara berterusan.
 
Rumusan
 
Dasar Keluarga Negara perlu dijadikan panduan dan rujukan kepada semua pihak yang berkepentingan dalam urusan pembangunan negara supaya mengarusperdanakan perspektif keluarga dalam proses penggubalan perundangan dan dasar secara menyeluruh. Penglibatan peranan agensi kerajaan, IPT, pihak swasta dan NGO adalah perlu bagi memastikan kesejahteraan keluarga diberi perhatian utama dalam perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penilaian program dan projek yang dilaksanakan oleh organisasi masing-masing dengan mengambil kira keperluan dan kepentingan keluarga di setiap peringkat kitaran hidup.
 
Rujukan
Abd. Rahim Abd. Rashid, Sufean Hussin dan Jamaludin Tubah. (2006). Institusi Keluarga Menghadapi Cabaran Alaf Baru. Kuala Lumpur, Malaysia: Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
Aminah Abdul Rahman dan Ismahalil Ishak. (2009). Profil keluarga di Malaysia dan kesannya kepada masyarakat. Kertas kerja yang dibentangkan di Seminar Institusi Keluarga Mendepani Cabaran Semasa anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM). Kuala Lumpur: Malaysia.
Jabatan Perangkaan Malaysia. (2011). Laporan Kajian Permulaan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010.
Jabatan Perdana Menteri. (2010). Program Transformasi Kerajaan: Pelan Hala Tuju. Putrajaya, Malaysia.
Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara. (2010). Dasar Keluarga Negara. Kuala Lumpur: Malaysia.