Tuesday, February 05, 2008

Kebajikan sosial di hari tua

Pembaharuan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang terkandung dalam 12 inisiatif strategik bertemakan "Bukan Hanya Simpanan" memperkenalkan konsep bekerja dan menyimpan sehingga betul-betul tua iaitu ketika umur mencapai 75 tahun. Walaupun hanya 5.5 peratus dan majikan 6 peratus, jumlah ini sangat mustahak sebagai persediaan hari tua pekerja.

Kebajikan sosial golongan warga tua dapat dibela sekali gus mengurangkan beban kerajaan untuk memperuntukkan sejumlah perbelanjaan khususnya penjagaan kesihatan.

Trend pertambahan bilangan warga tua di seluruh dunia bermula pada abad ke-19 di negara-negara maju, kini ia mula menular di kalangan negara-negara membangun. Perkembangan ini telah mula mengubah struktur masyarakat di banyak negara.

Bagaimanapun keadaan ini dapat ditangani oleh negara maju tetapi kerajaan negara membangun harus mula mengambil langkah untuk berhadapan dengan cabaran-cabaran yang lebih besar.

Titik tolak kesedaran perancangan tindakan terhadap penuaan semakin bertambah dengan pelan pembinaan masyarakat di semua peringkat umur. Pelan-pelan ini memberi fokus kepada tiga perkara iaitu: orang tua dan pembangunan, kesihatan berkekalan dan kesejahteraan di usia tua, dan memastikan kebolehdapatan dan persekitaran yang membantu.

Perkembangan penuaan memberi kesan kepada semua peringkat umur dalam masyarakat. Pertambahan bilangan orang tua adalah terhasil daripada penurunan kadar kelahiran di mana bilangan orang tua melebihi golongan muda. Penyusutan bilangan orang muda dan warga tua dikaitkan dengan tiga aspek utama iaitu ekonomi, sosial dan politik.

Dalam ekonomi, penuaan memberi impak kepada pembangunan ekonomi, simpanan, pelaburan, kepenggunaan, pasaran buruh, persaraan, cukai dan pewarisan harta.

Dalam sosial, penuaan mempengaruhi komposisi keluarga, susun atur kehidupan, permintaan terhadap perumahan, migrasi, epidemiologi dan perkhidmatan kesihatan.

Manakala dalam politik, penuaan menguncupkan pemilih dan mengubah trend perwakilan dalam pilihan raya.

Membuat pengubahsuaian kepada caruman KWSP bagi memberi kemudahan kepada pencarum dalam tempoh 20 tahun yang akan datang adalah tindakan proaktif. Negara-negara di mana rakyatnya yang tua semakin bertambah sentiasa membuat perubahan bagi memudahkan kehidupan mereka. Malaysia juga akan turut mengalami keadaan yang sama suatu hari nanti kerana di seluruh dunia, pertambahan golongan tua adalah 2.6 peratus setahun.

Sehingga 2050, kadar pertambahan penduduk warga tua dijangka berkembang pantas berbanding kumpulan umur yang lain. Perkembangan pesat ini memerlukan pengubahsuaian ekonomi dan sosial bagi jangka masa panjang di sesetengah negara.

Pertambahan ini lebih cepat di negara-negara sedang membangun berbanding negara-negara maju khususnya di peringkat sosioekonomi yang rendah.

Hari ini umur purata di seluruh dunia ialah 28 tahun di mana negara yang mempunyai umur purata penduduk yang paling rendah ialah Uganda iaitu 15 tahun manakala Jepun mempunyai umur purata penduduk paling tua iaitu 43 tahun. Tetapi dalam masa 38 tahun, umur muda menokok kepada 20 tahun dan tua kepada 54 tahun.

Strategi KWSP menambah masa umur bagi penyimpan warga tua amat bertepatan dengan keperluan kebajikan sosial mereka khususnya wanita. Statistik semasa menunjukkan wanita lebih 70 juta orang yang berumur 60 tahun dan ke atas berbanding lelaki.

Mengambil kira umur persaraan yang masih berada pada umur 56 tahun, Malaysia belum mengikut jejak langkah Thailand dan negara lain yang menambah umur persaraan kepada 60 tahun kerana beranggapan masih ramai golongan muda untuk menampung simpanan warga tua di samping memikirkan beban kewangan jika umur persaraan ini dilanjutkan.

Impak ke atas perubahan yang dilakukan oleh KWSP bagi menjaga kebajikan sosial rakyat Malaysia sangat dihargai. Perubahan demi perubahan yang dilakukan adalah bagi menyesuaikan sistem sedia ada dengan keperluan masyrakat keseluruhannya sebagai jaminan keselamatan kewangan pada masa depan.

Negara-negara yang mempunyai warga tua yang ramai seperti Jepun dan Kesatuan Eropah telah dan sedang membuat berbagai-bagai perubahan bagi mempastikan kebajikan sosial masyarakat keseluruhannya tidak diganggu oleh pertambahan bilangan warga tua negara mereka.

No comments:

Post a Comment