Sunday, February 28, 2021

Kenapa diuji?



Saya memetik sebahagian daripada maksud ayat 2 hingga 3 Surah Al-Ankabut yang berbunyi: Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata- Kami beriman, sedang mereka tidak diuji? 

Hidup kita sentiasa diuji setiap masa. Di mana-mana saja selagi masih bernyawa. 

Dalam rumah, pejabat, jalan raya atau ketika beriadah. Sama ada seorang diri atau berkumpulan, berpangkat atau tidak, sememangnya ujian dan cubaan hidup adalah menyakitkan. 

Ketika hati resah menjadi gelisah, fikiran gundah-gulana dan badan menjadi lemah. Tidak ada semangat untuk bekerja dan serba tidak kena. 

Dalam ayat ini, Allah SWT menyebut bahawa Dia tidak akan membiarkan kita bersenang-lenang dengan menyatakan “Aku orang beriman” tanpa diberi ujian. 

Tanda beriman tidak terletak semata-mata pada pakaian, kopiah atau manisnya bahasa tetapi terletak pada keupayaan menghadapi pelbagai ujian dan cubaan.

Saturday, February 27, 2021

Bersedia dengan kejayaan



Kita suka berbincang tentang kejayaan berbanding kegagalan. 

Sebut saja “berjaya”, dalam minda kita tergambar imej gembira, suka, bahagia dan nampak masa hadapan. Cuba kita ambil contoh remaja yang berumur dalam lingkungan 15 hingga 20 tahun. 

Apakah persediaan kejayaan mereka? 

Kita boleh bagi sepuluh senarai kejayaan untuk mereka dengan senarai nombor satu ialah pelajaran. Jadi, bagaimana persediaan untuk berjaya dalam pelajaran? 

Pertama, sokongan ibu bapa dan guru sekolah. Ibu bapa dan guru sekolah adalah pendorong terbaik untuk pelajar berjaya dalam pelajaran. 

Membuat pelaburan dalam pelajaran harus diberi keutamaan kerana ia adalah aset yang amat berfaedah bagi jangka masa panjang. 

Kedua, membaiki cara atau kaedah dalam teknik belajar kerana teknik belajar yang betul membantu pelajar menjawab peperiksaan dengan baik.

Friday, February 26, 2021

Jaga kesihatan untuk masa hadapan


Purata umur orang Asia semakin panjang, melebihi 70 tahun. 

Maknanya lebih ramai orang yang telah menikmati hidup yang lebih baik,kediaman yang selesa dan tahap pendidikan yang lebih tinggi. 

Walaupun umur panjang, tidak semestinya seseorang itu sihat kerana penyakit zaman moden sangat berkait dengan kesihatan. Jantung, tekanan darah dan paras gula dalam darah mesti sentiasa diawasi apabila umur mencecah 40 tahun. 

Kita wajar mengambil tahu jenis makanan yang dimakan, minuman yang diteguk dan skop pekerjaan yang dilakukan. 

Sekali-sekala membuat temu janji dengan doktor untuk membuat pemeriksaan kesihatan menyeluruh bagi mengetahui status jantung, tekanan darah, paras kolestrol dan kandungan gula dalam darah. 

Biarlah bersusah-susah mengambil cuti atau mengeluarkan sedikit perbelanjaan asalkan kesihatan tubuh badan kita dalam keadaan mantop.

Thursday, February 25, 2021

Gagal sekali bukan gagal selamanya


Berjaya dan gagal silih berganti, ia adalah perkara biasa dalam hidup. Setiap orang, kecil atau besar, tua atau muda, miskin atau kaya. 

Terdapat kanak-kanak yang mengukir kejayaan sejak kecil dan berterusan sehingga dewasa. Ada juga terhenti di tengah jalan dan tidak dapat dikesan.

Ada yang zaman kanak-kanak seperti biasa saja tetapi mula berjaya apabila menjadi dewasa. 

Ada juga yang baru selepas berhenti kerja makan gaji dan memulakan bisnes sendiri. 

Dalam bisnes, kalau sekali atau kali pertama buat bisnes sudah berjaya, memang hebatlah. 

Biasanya, jarang sangat berjaya kali pertama. Terdapat usahawan yang tiga kali membuat bisnes, pelbagai barang yang dijual. 

Bisnes pertama gagal kerana tidak cukup pengalaman, kali kedua gagal kerana tidak cukup modal, kali ketiga barulah boleh berkembang maju kerana pengalaman gagal kali pertama dan kedua mengajarnya lebih kuat dan tahu selok-belok berniaga.

Wednesday, February 24, 2021

Tingkatkan kesedaran diri



Kesedaran diri membantu kita untuk mengenal pasti jurang dalam banyak perkara seperti mengetahui tahap kekuatan dan kelemahan diri, mengembangkan kemahiran membuat keputusan dan menguatkan kemahiran kepimpinan.

Bagaimana kekuatan dan kelemahan diri boleh membantu mengingkatkan dan mengukuhkan kesedaran diri? Kuat dan lemah diri kita berkaitan dengan penilaian diri.

Apabila kita tahu di mana kedudukan kita, baharulah kita dapat membuat tindakan terbaik.

Katakan seorang lelaki yang berumur 45 tahun, jarang sekali dia membuat pemeriksaan kesihatan. Satu hari dia pergi ke hospital kerana selalu sakit ada sebelah kiri.

Selepas pemeriksaan dan keputusan berada ditangan doktor, didapati lelaki berkenaan mengalami masalah jantung.

Apakah perkara pertama yang akan dilakukan oleh lelaku berkenaan? Tentulah akan mula memikirkan kesihatan diri dengan menjaga makan dan ubat supaya kesihatannya kembali pulih seperti sedia kala.

Tuesday, February 23, 2021

Kembangkan kesedaran diri


Kita sudah banyak berkongsi panduan untuk mengembangkan kesedaran diri iaitu personaliti. Tip tambahan untuk mengembangkan personaliti diri ini ialah dua perkara iaitu nilai dan tabiat.

Pertama, nilai iaitu elemen yang amat penting untuk kita memberi fokus kepada diri sendiri iaitu peribadi dan watak kita. 

Contohnya keutamaan saya ialah sentiasa memahami kehendak kawan-kawan maksudnya nilai utama saya ialah persahabatan. 

Saya akan mengutamakan persahabatan berbanding yang lain. 

Kedua, tabiat iaitu tingkah laku atau perlakuan yang kita ulangi secara rutin dan selalunya dibuat secara automatik. 

Contohnya setiap kali berjumpa ucapan salam dan berjabat tangan. Tabiat ini menjadi sebahagian daripada hidup dan telah menjadi budaya. 

Personaliti, nilai dan tabiat boleh mengembangkan kesedaran diri jika dibentuk dengan betul.

Monday, February 22, 2021

Sedar diri


Kejadian atau penciptaan manusia adalah kompleks. Bagaimanapun kejadian kita ini adalah sebaik-baik penciptaan. Telah sempurna.

Walaupun telah sempurna, pengetahuan, pembentukan watak, personaliti dan akhlak mesti dikembangkan supaya kita dapat mengenal diri, mengenal kehidupan dan paling penting adalah mengenal tuhan.

Bidang-bidang utama yang boleh mengembangkan kesedaran diri ialah ciri-ciri personaliti, nilai, tabiat, emosi dan keperluan psikologi yang membentuk tingkah laku kita.

Personaliti seseorang adalah unik. Memahami personaliti membantu kita bersedia dengan situasi yang menjadikan kita lebih kuat.

Nilai pula amat penting untuk memberi fokus kepada peribadi.

Contohnya, keutamaan saya ialah ‘sentiasa memahami kehendak kawan’, maksudnya nilai utama saya ialah persahabatan.

Saya akan mengutamakan persahabatan berbanding yang lain-lain. Seterusnya tabiat iaitu tingkah laku atau perlakuan yang diulangi secara rutin dan selalunya dibuat secara automatik.

Contohnya ialah setiap kali berjumpa dengan rakan-rakan, saya akan senyum, memberi ucapan salam bertanya khabar.

Tabiat ini menjadi sebahagian daripada hidup dan telah menjadi budaya. Personaliti, nilai dan tabiat boleh mengembangkan kesedaran diri jika dibentuk dengan betul.

Sunday, February 21, 2021

Matlamat pendidikan



Apakah matlamat pendidikan yang sebenarnya?

Adakah kerana orang lain pergi ke sekolah, ke universiti, kita juga ikut serta?

Atau adakah kerana terpaksa supaya mendapat pekerjaan?

Matlamat pendidikan sangat murni iaitu memberi nilai, mengembangkan potensi diri, memperkasa bakat supaya menjadi individu yang memberi sumbangan.

Namun, matlamat sebegini kurang diberi perhatian kerana tumpuan sekarang ialah pekerjaan. Lalu, ramailah yang berlumba-lumba belajar dan lulus dalam peperiksaan.

Tempat akhir di universiti.

Dengan peluang pendidikan yang lebih banyak, kemasukan ke universiti adalah lebih luas dan kompetitif.

Jadi, bagaimana kita boleh memastikan graduan kita di universiti seorang yang bijak dalam akademik dan pekerjaan?

Salah satu caranya ialah memasukkan nilai-nilai komunikasi, etika, kepimpinan, pemikiran kritis dan kemahiran keusahawanan dalam pengajian mereka.

Saturday, February 20, 2021

Cari rakan di mana saja



Selepas memberi kuliah Hubungan Etnik, saya bergegas ke kedai gunting rambut.

Sejak dua atau tiga hari lepas saya rasa tidak begitu selesa kerana rambut mulai panjang dan kulit kepala rasa gatal.

Sebaik duduk di kerusi, tukang gunting bertanya bagaimana gaya potongan yang dikehendaki.

Saya jawab, ‘fesyen umrah’.

Saya lihat riak mukanya berubah kerana terkejut dengan jawapan saya.

Selepas itu beliau tersenyum. Melalui fesyen umrah ini saya mendapat seorang lagi rakan yang telah lama bekerja sebagai tukang gunting rambut.

Kami berbual-bual dan mengenali secara ringkas latar belakang masing-masing.

Untuk mencari rakan, kita perlu ada strategi dan kaedah yang betul supaya ia berkesan.

Friday, February 19, 2021

Tsunami



Negara Jepun terkenal dengan gempa bumi yang disertai ombak kuat,

Malapetaka ini dipanggil tsunami. Setiap gempa yang kuat akan memberi kesan kepada kedudukan pulau-pulau kecil serta menghanyutkan rumah kediaman, kereta atau harta benda berdekatan pantai.

Keadaan paling sukar ialah letupan rektor nuklear.

Ramai yang bersimpati dengan mangsa tsunami dan berharap mereka akan kembali kepada kehidupan normal.

Saya yakin, Jepun akan kembali kuat kerana mereka memiliki ciri-ciri kekentalan jiwa yang unggul. Jepun terkenal dengan ‘samurai’ iaitu pahlawan yang sedia bertarung dan sanggup berhadapan dengan maut.

Jiwa ‘samurai’ masih tebal dalam kalangan masyarakat Jepun membolehkan mereka berjaya mengharungi cabaran.

Kita juga wajar memiliki sifat-sifat kental dan ketahanan diri yang hebat ini supaya dapat mengharungi cabaran, bencana dan malapetaka dengan sempurna.