Wednesday, November 10, 2021

Kuasa memilih untuk berjaya


Saya selalu juga berjumpa dengan orang yang telah berjaya dalam bidang yang mereka pilih. Berbagai-bagai jenis bidang seperti usahawan, pegawai kerajaan mahupun petani. 

Salah satu daripada mereka ini ialah sarjana akademik yang mana saya berjumpa dengan ilmuwan yang bergelar profesor. 

Apakah kejayaan para profesor ini berlaku secara kebetulan? 

Jawapannya ialah tidak kerana kejayaan tersebut disebabkan oleh mereka sendiri. 

Sepanjang pemerhatian dan pengalaman saya serta perjumpaan dengan rakan-rakan yang datang daripada latar belakang yang biasa-biasa sahaja tetapi telah berjaya membina hidup dan kerjaya menunjukkan tekaan saya adalah tepat. 

Jarang sekali saya berjumpa dengan mereka yang berjaya kerana kebetulan. Hal ini kerana mereka memiliki kuasa memilih untuk berjaya, bukannya nasib. 

Di samping itu, doa dan harapan kepada Allah swt sentiasa dimohon.


Tuesday, November 09, 2021

Konsistensi penentu kejayaan diri


Bagaimana melaksanakan komitmen supaya berkesan dan membuahkan hasil? 

Melaksanakan komitmen tentunya melalui amalan yang konsisten dan menjadi bukti sama ada kita dapat menjadi seorang yang komited setiap hari. 

Konsisten menjadi penentu yang menentukan sama ada kita menang atau kalah, rajin atau malas, sukakan cabaran atau lari daripada cabaran. 

Konsisten yang saya maksudkan di sini ialah usaha yang dilakukan secara berterusan, dorongan untuk memulakan beberapa inisiatif kejayaan dan tindakan yang memastikan kita memilih antara meneruskan cita-cita atau tidak, menukar sesuatu yang mustahil kepada realiti dan menjadi kenyataan. 

Contoh komited dan konsisten ialah mereka yang mencetuskan gaya hidup orang ramai melalui pelbagai inovasi.


Monday, November 08, 2021

Bentuk komitmen diri


Di sebalik setiap usaha memburu kejayaan dan kebahagiaan hidup, semuanya bergantung pada tahap komitmen kita. 

Apakah maksud komitmen ini? Komitmen adalah satu keadaan yang ada kaitan dengan tahap keghairahan kita. 

Komitmen sering digunakan bagi meleburkan kristal-kristal halangan yang merentangi peluang dan harapan. 

Contoh komitmen ialah begini. 

Adakah kita bersemangat bangun pagi dan melakukan beberapa tugas penting untuk menjadi staf paling cemerlang di pejabat tahun ini? 

Adakah kita memberi sepenuh perhatian untuk mengikut laluan-laluan penting untuk mendaki cita-cita yang hebat? 

Jika jawapannya ‘Ya’, ia bermakna komitmen memang telah wujud dalam diri kita.


Sunday, November 07, 2021

Tuliskan program hebat anda


Mendapat penjelasan tentang program atau perkara yang kita mahu lakukan adalah satu kemestian. Inilah yang menjadi kunci kepada orang yang telah berjaya. 

Kita wajar tahu arah mana hendak pergi dengan jelas dan boleh dibayangkan. 

Contohnya ialah seorang anak muda yang dulunya bekas ketua gangster ingin sekali hendak memotivasikan generasi muda supaya tidak terjebak dengan gangsterisme, dadah dan keganasan. 

Dia menunjukkan sekeping nota yang tercatat beberapa baris ayat yang ringkas untuk dirinya. Dia juga sudah membangunkan program yang sah di sisi undang-undang, membawa kebaikan dan dapat mendidik serta sudah menguji keberkesanannya terhadap golongan remaja. 

Apabila kita memiliki matlamat yang jelas, kita dapat berkomunikasi secara efektif dengan orang lain.


Saturday, November 06, 2021

Bermula dengan satu impian


Kita perlu bermula dengan satu impian tetapi apakah satu-satunya faktor yang penting untuk merealisasikan satu impian? 

Jika kita teliti, impian kita berbeza-beza. Ada impian berkaitan memiliki rumah sendiri, kestabilan hidup, kerjaya yang lebih baik, ingin menyambung pelajaran, menjadi individu berpengaruh dan sebagainya. 

Memiliki impian dapat memberi inspirasi dan memotivasikan diri sekiranya kita percaya yang kita dapat mencapainya dan menjadikannya satu kenyataan. 

Namun jika kita tidak mengambil langkah untuk merealisasikannya, ia umpama mimpi di siang hari. 

Antara impian dan realiti adalah perancangan yang dapat menjadi penyambung kepada usaha dan ikhtiar yang sedang dilakukan. 

Perancangan inilah yang membezakan mereka yang berjaya dengan yang gagal.


Friday, November 05, 2021

Thursday, November 04, 2021

Arah tuju hidup


Seorang lelaki yang sedang mengembara telah berhenti di persimpangan jalan dan bertanya: “Ke mana awak hendak pergi?” 

Lelaki itu menjawab: “Saya tidak tahu”. 

Jawapan yang diterima sangat jelas iaitu tidak ada bezanya kerana kita boleh ambil jalan ini atau jalan itu. 

Apabila kita tidak ada arah tuju, mana-mana laluan kita boleh pilih. Keinginan yang membawa tanpa arah tuju hanya membawa kekecewaan. 

Arah tuju memberi haluan (direction). Arah tuju juga memberi erti kepada kehidupan khususnya membuat perancangan masa hadapan. 

Orang yang tidak mempunyai arah tuju adalah orang yang tidak ada cita-cita sebaliknya orang yang menyediakan arah tuju dan dapat merealisasikannya tentulah akan berjaya dalam banyak bidang.


Wednesday, November 03, 2021

Bina legasi


Beberapa tahun lalu seorang lelaki yang sedang membaca surat khabar terperanjat besar apabila membaca namanya dalam ruangan takziah. 

Sebenarnya, surat khabar telah melakukan kesilapan cetakan. Perkataan tersebut berbunyi: “Dynamite King dies. He was the merchant of death”. 

Begitulah cara lelaki dihargai apabila meninggal dunia. Lelaki yang terperanjat tadi berfikir tentang bagaimana dia patut dikenang apabila meninggal dunia kelak. 

Lalu dia mula bekerja dan berusaha ke arah membina kesedaran terhadap keamanan. 

Lelaki yang terperanjat tadi adalah Alfred Nobel yang diingati kerana Hadiah Nobel setiap tahun. Kita juga wajar bertanya tentang bagaimana orang lain mengingati kita. 

Apakah legasi kita, bagaimana kita mahu diingati, apakah kita diingati dengan kasih sayang dan hormat atau adakah kita sentiasa diingati?


Tuesday, November 02, 2021

Perbezaan kecil, pengakhiran besar



Di tepi pantai, seorang lelaki berjalan seorang diri melihat ombak yang membawa beratus-ratus siput, anak-anak ikan dan tapak sulaiman. 

Apabila ombak beransur ke laut, hidupan ini ditinggalkan dan pancaran matahari menyebabkan mereka mati kelaparan. Sekali lagi ombak datang dan lelaki ini mengambil beberapa ekor tapak sulaiman dan melontar semula ke laut. 

Dia melakukannya berulang kali. 

Di belakangnya ada seseorang yang memerhati dan bertanya: “Ada banyak tapak sulaiman, berapa banyak yang kamu hendak tolong? Apa bezanya?” 

Lelaki itu tidak menjawab, dia bergerak dua langkah, mengambil sepasang tapak sulaiman dan melemparnya ke laut dan berkata: “Kali ini ada bezanya! Sama ada kecil atau besar itu tidak penting. Jika kita melakukan perbezaan yang kecil, ia akan memberikan perbezaan yang besar pada akhirnya”.


Monday, November 01, 2021

Dari impian ke perancangan dan tindakan


Ketika saya meninjau beberapa buah buku motivasi di deretan rak buku yang tersusun rapi, saya tertarik dengan sebuah buku yang bertajuk “Start Where You Are” tulisan Chris Gardner.

Setiap tajuk dalam buku ini memberi pengajaran dan harapan untuk membuat perubahan yang lebih baik. 

Contohnya pengajaran yang pertama, “tanpa perancangan, impian hanya tinggal impian”. 

Kenyataan ini memang benar kerana hasil tidak akan nampak jika tidak mengambil sebarang langkah untuk merancang. Kejayaan manusia menjejakkan kaki ke bulan tidak akan menjadi realiti jika tidak merancang. 

Begitu dengan cita-cita, ia hanya menjadi cita-cita jika tidak membuat perancangan dan tidak ada tindakan.