Thursday, May 14, 2026

RM13,000 masih tidak cukup? Realiti kos sara hidup kelas pertengahan

Isu yang dibangkitkan oleh Pengerusi Mara, Asyraf Wajdi Dusuki memperlihatkan satu realiti penting dalam struktur sosioekonomi Malaysia hari ini iaitu pendapatan kasar isi rumah tidak lagi mencerminkan kesejahteraan sebenar keluarga khususnya di bandar besar seperti Kuala Lumpur.




Dalam konteks semasa, sebuah keluarga dengan pendapatan RM13,000 sebulan mungkin secara teknikal diklasifikasikan sebagai T20 tetapi hakikatnya masih berdepan tekanan kewangan yang serius akibat kos sara hidup, komitmen pendidikan anak, perumahan, pengangkutan dan kos penjagaan keluarga yang semakin meningkat.

Data dari Jabatan Statistik Malaysia mencatatkan median pendapatan isi rumah Malaysia pada tahun 2024 ialah sekitar RM7,017 sebulan, manakala purata pendapatan isi rumah di Kuala Lumpur mencecah hampir RM14,000. Ini menunjukkan bahawa angka pendapatan tinggi di bandar sebenarnya bergerak seiring dengan peningkatan kos kehidupan bandar yang jauh lebih mahal berbanding kawasan lain.

Dalam erti kata lain, klasifikasi B40, M40 dan T20 yang hanya berasaskan pendapatan kasar semakin kurang tepat untuk menggambarkan keadaan sebenar kesejahteraan rakyat.

Isu utama ialah pendapatan tinggi tetapi tahap kesejahteraan rendah. Fenomena ini dikenali dalam kajian sosioekonomi sebagai “income-rich but cash-poor households” iaitu isi rumah yang mempunyai pendapatan nominal tinggi tetapi lebihan pendapatan boleh guna yang sangat rendah selepas komitmen bulanan ditolak.

Contohnya, sewa atau pinjaman rumah di bandar besar boleh mencecah RM2,500 hingga RM4,000 sebulan, kos pendidikan tinggi anak boleh mencecah ribuan ringgit setiap semester dan pengangkutan, penjagaan anak, makanan dan kesihatan terus meningkat akibat inflasi bandar serta keluarga dengan ramai tanggungan mengalami tekanan kewangan lebih tinggi walaupun pendapatan kasar kelihatan besar.

Situasi ini menjelaskan mengapa sebahagian keluarga T20 bandar sebenarnya menjalani kehidupan yang hampir menyerupai M40 atau B40 dari segi tekanan kewangan harian.

Selain itu, kelemahan pengkelasan B40, M40 dan T20. Sistem klasifikasi semasa memberi fokus kepada jumlah pendapatan isi rumah tanpa mengambil kira lokasi tempat tinggal, bilangan tanggungan, kos pendidikan anak, hutang isi rumah, kos penjagaan warga emas atau OKU dan kos sara hidup mengikut wilayah.

Akibatnya, berlaku ketidaktepatan dasar apabila bantuan sosial atau subsidi tidak sampai kepada kelompok “miskin bandar baharu” yang tidak layak menerima bantuan kerana berada sedikit di atas garis pendapatan.

Malah, kajian dan perbahasan berkaitan kos sara hidup di parlimen turut menegaskan bahawa tekanan inflasi bandar telah menghakis kuasa beli kelas pertengahan Malaysia.

Kerajaan melalui kerangka Ekonomi MADANI telah mula mengiktiraf isu ketidaksamaan kos sara hidup dan kemiskinan multidimensi. Program seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan sistem eKasih di bawah Jabatan Perdana Menteri telah digunakan bagi mengenal pasti isi rumah rentan berdasarkan keadaan hidup sebenar, bukan semata-mata pendapatan kasar.

Ini menunjukkan kerajaan mula beralih daripada pendekatan “pendapatan mutlak” kepada pendekatan “kerentanan hidup” yang lebih realistik. Namun demikian, cabaran utama masih wujud seperti data isi rumah yang tidak dikemas kini secara berkala, ketidaksamaan antara bandar dan luar bandar serta ketirisan subsidi akibat sistem pengkelasan lama.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Dasar KASIH Keluarga Negara menekankan bahawa peningkatan kos sara hidup memberi kesan langsung terhadap kestabilan institusi keluarga. Tekanan ekonomi keluarga boleh menyebabkan konflik rumah tangga, tekanan mental ibu bapa, keciciran pendidikan anak, peningkatan hutang isi rumah dan pengurangan kualiti hidup keluarga.

KPWKM juga menegaskan bahawa keluarga perlu dilihat sebagai unit asas pembangunan negara. Oleh itu, dasar ekonomi tidak boleh dipisahkan daripada dasar sosial dan kekeluargaan. Dalam konteks keluarga bandar berpendapatan RM13,000 tadi, tekanan sebenar bukan sekadar pada jumlah pendapatan tetapi pada beban tanggungan dan kos kehidupan bandar moden.

Seterusnya kemunculan “golongan rentan baharu” iaitu bukan miskin tegar, bukan penerima bantuan tradisional tetapi hidup dalam keadaan sangat rapuh dari sudut kewangan. Golongan ini termasuk penjawat awam muda di bandar, pasangan profesional dengan ramai tanggungan, keluarga sandwich generation dan graduan muda yang menanggung ibu bapa serta anak kecil serentak. Mereka mudah jatuh miskin apabila berlaku kehilangan pekerjaan, kecemasan kesihatan, kenaikan kadar faedah atau peningkatan mendadak kos pendidikan.

Penyelesaian peringkat mikro

Bagi menangani tekanan kos sara hidup yang semakin membebankan rakyat, kerajaan perlu melaksanakan beberapa langkah penyelesaian di peringkat mikro yang lebih menyeluruh dan bersifat praktikal.

Pendekatan ini penting kerana masalah kewangan isi rumah hari ini bukan sahaja berpunca daripada kadar pendapatan yang rendah tetapi juga kelemahan dalam pengurusan kewangan, peningkatan kos kehidupan bandar dan beban pendidikan anak yang semakin tinggi.

Antara langkah utama yang perlu diberi perhatian ialah reformasi pendidikan kewangan keluarga. Dalam era ekonomi moden yang penuh dengan cabaran hutang dan inflasi, masyarakat perlu dibekalkan dengan pengetahuan pengurusan kewangan yang lebih kukuh sejak awal.

Pendidikan berkaitan pengurusan kewangan, literasi hutang dan perancangan kewangan keluarga perlu diperluaskan secara sistematik melalui sekolah, universiti, tempat kerja serta komuniti setempat. Ramai isi rumah berdepan masalah kewangan bukan semata-mata kerana kekurangan pendapatan tetapi disebabkan kelemahan dalam merancang perbelanjaan, penggunaan kredit secara berlebihan dan kurangnya tabungan kecemasan. Oleh itu, pendidikan kewangan yang berterusan dapat membantu masyarakat mengurus pendapatan dengan lebih bijak serta mengurangkan risiko keberhutangan serius.

Selain itu, kerajaan juga perlu memperkukuhkan sistem subsidi bersasar mengikut lokasi dan tanggungan keluarga. Pendekatan bantuan secara umum atau “one-size-fits-all” tidak lagi sesuai dengan realiti ekonomi semasa kerana kos sara hidup antara bandar dan luar bandar amat berbeza. Sebagai contoh, keluarga yang tinggal di Kuala Lumpur menanggung kos perumahan, pengangkutan dan pendidikan yang jauh lebih tinggi berbanding keluarga di kawasan luar bandar.

Dalam masa yang sama, bilangan anak, status pendidikan anak serta tanggungan khas seperti warga emas dan orang kurang upaya (OKU) turut mempengaruhi tahap kesejahteraan sesebuah keluarga. Oleh itu, bantuan kerajaan perlu disesuaikan berdasarkan keadaan sebenar isi rumah supaya golongan yang benar-benar memerlukan tidak tercicir daripada sistem bantuan sosial negara.

Di samping itu, isu perumahan mampu milik di bandar juga perlu diberi perhatian serius kerana kos perumahan kini menjadi tekanan terbesar kepada kelas pertengahan bandar. Harga rumah yang semakin tinggi menyebabkan ramai keluarga muda terpaksa menanggung komitmen pinjaman perumahan yang besar sehingga menjejaskan kualiti hidup mereka. Justeru, kerajaan perlu mempercepat pembinaan rumah mampu milik khususnya di kawasan bandar utama.

Pada masa yang sama, langkah kawalan terhadap spekulasi hartanah perlu diperkukuhkan bagi mengelakkan kenaikan harga rumah yang tidak terkawal. Kerajaan juga boleh memperluaskan skim sewa milik bagi membantu keluarga muda memiliki kediaman sendiri tanpa dibebani deposit dan pinjaman yang terlalu tinggi. Langkah ini penting untuk memastikan rakyat mempunyai akses kepada tempat tinggal yang selesa dan stabil.

Seterusnya, pengurangan kos pendidikan tinggi juga perlu dijadikan agenda penting dalam usaha mengurangkan beban kewangan isi rumah. Pada masa kini, kos pendidikan di institusi pengajian tinggi semakin meningkat termasuk yuran pengajian, kos penginapan dan perbelanjaan harian pelajar. Keadaan ini memberi tekanan besar kepada ibu bapa terutama keluarga sederhana yang mempunyai ramai anak melanjutkan pengajian serentak. Oleh itu, pinjaman pendidikan, struktur yuran di institusi pengajian tinggi dan bantuan sara hidup pelajar perlu disusun semula agar lebih mesra rakyat.

Kerajaan juga boleh memperluaskan biasiswa bersasar dan memperkenalkan skim pembayaran balik pinjaman yang lebih fleksibel mengikut tahap pendapatan graduan. Langkah ini bukan sahaja dapat mengurangkan beban keluarga, malah membantu meningkatkan akses pendidikan tinggi kepada golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

Kesimpulannya, penyelesaian di peringkat mikro perlu memberi fokus kepada pengukuhan institusi keluarga, pengurangan tekanan kos sara hidup dan peningkatan kesejahteraan rakyat secara langsung. Langkah seperti menguruskan pendidikan kewangan, subsidi bersasar, perumahan mampu milik dan reformasi pendidikan tinggi mampu membantu rakyat menghadapi cabaran ekonomi semasa dengan lebih baik. Pendekatan yang lebih holistik dan realistik amat penting bagi memastikan pembangunan ekonomi negara benar-benar memberi manfaat kepada seluruh lapisan masyarakat.

Penyelesaian peringkat mikro

Bagi memastikan isu tekanan kos sara hidup dapat ditangani secara menyeluruh, kerajaan juga perlu melaksanakan reformasi di peringkat makro yang melibatkan struktur ekonomi, dasar pendapatan dan sistem perlindungan sosial negara. Pendekatan makro amat penting kerana masalah yang dihadapi rakyat hari ini bukan lagi bersifat individu semata-mata tetapi berkait rapat dengan perubahan struktur ekonomi bandar, peningkatan inflasi serta ketidakseimbangan antara pendapatan dan kos kehidupan semasa.

Antara langkah utama yang perlu diberi perhatian ialah reformasi sistem pengkelasan pendapatan isi rumah. Pada masa ini, pengelasan B40, M40 dan T20 dilihat semakin kurang relevan kerana hanya berasaskan jumlah pendapatan kasar tanpa mengambil kira realiti kehidupan sebenar rakyat.

Sebagai contoh, sebuah keluarga yang memperoleh pendapatan RM13,000 di Kuala Lumpur mungkin masih mengalami tekanan kewangan yang tinggi akibat kos perumahan, pendidikan anak dan hutang isi rumah. Oleh itu, kerajaan perlu menggantikan sistem sedia ada dengan indeks kesejahteraan yang lebih menyeluruh dan realistik.

Penilaian kesejahteraan rakyat perlu mengambil kira kos sara hidup mengikut wilayah, pendapatan boleh guna selepas komitmen bulanan, saiz isi rumah serta tahap hutang keluarga. Pendekatan ini akan membolehkan bantuan dan dasar ekonomi disasarkan dengan lebih tepat kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Selain itu, kerajaan juga perlu memperkukuhkan dasar gaji progresif bagi memastikan peningkatan pendapatan rakyat bergerak seiring dengan peningkatan produktiviti dan inflasi bandar. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kadar kenaikan gaji tidak selari dengan peningkatan kos kehidupan terutama di bandar besar. Keadaan ini menyebabkan kuasa beli rakyat semakin lemah walaupun pendapatan nominal meningkat. Jika keadaan ini berterusan, kelas pertengahan negara akan terus mengecil dan jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin akan semakin melebar. Oleh itu, kerajaan perlu memperluaskan dasar gaji progresif melalui galakan kepada majikan untuk menawarkan gaji yang lebih kompetitif berdasarkan kemahiran dan produktiviti pekerja.

Pada masa yang sama, latihan kemahiran semula dan peningkatan produktiviti tenaga kerja perlu diperkasakan agar pekerja mempunyai peluang memperoleh pendapatan yang lebih baik dalam ekonomi moden.

Di samping itu, pengukuhan jaringan keselamatan sosial juga amat penting bagi melindungi rakyat daripada risiko ekonomi yang tidak menentu. Malaysia memerlukan sistem perlindungan sosial yang lebih universal, fleksibel dan responsif terhadap perubahan ekonomi semasa. Antara langkah yang boleh dipertingkatkan termasuklah peluasan insurans pengangguran bagi membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan, bantuan penjagaan anak untuk meringankan beban keluarga bekerja serta subsidi kesihatan keluarga agar rakyat tidak terbeban dengan kos rawatan yang semakin meningkat.

Selain itu, perlindungan terhadap warga emas juga perlu diperkukuhkan memandangkan Malaysia sedang menuju ke arah negara menua. Sistem perlindungan sosial yang kukuh mampu membantu rakyat menghadapi kejutan ekonomi seperti kemelesetan, kehilangan pekerjaan atau krisis kesihatan tanpa terjerumus ke dalam kemiskinan.

Seterusnya, kerajaan juga perlu memberi perhatian serius terhadap kawalan inflasi bandar yang semakin menekan kehidupan rakyat. Kenaikan harga makanan, kos pengangkutan dan kos perkhidmatan asas bandar seperti sewa rumah dan utiliti menyebabkan kuasa beli rakyat semakin terhakis. Walaupun pendapatan nominal meningkat, rakyat masih merasakan kehidupan semakin sukar kerana harga barang dan perkhidmatan meningkat dengan lebih cepat. Oleh itu, kerajaan perlu melaksanakan langkah kawalan harga yang lebih berkesan, memperkukuh sistem bekalan makanan dan meningkatkan kecekapan pengangkutan awam bagi mengurangkan beban perbelanjaan harian rakyat.

Dalam masa yang sama, pengawasan terhadap aktiviti monopoli dan manipulasi harga juga perlu dipertingkatkan bagi memastikan pengguna tidak terus menjadi mangsa kenaikan kos yang tidak munasabah.

Kesimpulannya, penyelesaian di peringkat makro memerlukan reformasi ekonomi yang lebih menyeluruh dan berpaksikan kesejahteraan rakyat. Reformasi sistem pengkelasan pendapatan, pelaksanaan dasar gaji progresif, pengukuhan jaringan keselamatan sosial dan kawalan inflasi bandar merupakan langkah penting untuk memastikan pembangunan ekonomi negara dapat dinikmati secara lebih adil oleh seluruh masyarakat. Jika langkah-langkah ini dilaksanakan secara berkesan, Malaysia bukan sahaja mampu mengurangkan tekanan kos sara hidup, malah dapat memperkukuhkan kestabilan sosial dan ekonomi negara dalam jangka panjang.

Kesimpulan

Kesimpulannya, isu yang dibangkitkan mengenai keluarga berpendapatan RM13,000 tetapi masih berdepan tekanan kewangan yang tinggi menunjukkan bahawa ukuran kemiskinan dan kesejahteraan di Malaysia perlu dinilai semula secara lebih holistik dan realistik. Dalam konteks ekonomi bandar moden hari ini, jumlah pendapatan semata-mata tidak lagi mampu menggambarkan keadaan sebenar kehidupan rakyat. Pendapatan yang kelihatan tinggi di atas kertas belum tentu mencerminkan kehidupan yang selesa khususnya bagi keluarga besar yang mempunyai ramai tanggungan serta tinggal di kawasan bandar dengan kos sara hidup yang tinggi.

Realitinya, peningkatan kos perumahan, pendidikan, makanan, pengangkutan dan penjagaan keluarga telah menyebabkan isi rumah kelas pertengahan mengalami tekanan kewangan yang serius. Walaupun mereka tidak tergolong dalam kategori miskin secara rasmi, kehidupan harian mereka masih dibelenggu oleh beban hutang, komitmen bulanan dan kekurangan pendapatan boleh guna. Keadaan ini memperlihatkan bahawa pendekatan pengukuran kesejahteraan rakyat berdasarkan kategori B40, M40 dan T20 semata-mata semakin kurang relevan dalam menggambarkan situasi sebenar masyarakat Malaysia hari ini.

Oleh sebab itu, kerajaan perlu melakukan perubahan dasar yang lebih menyeluruh dengan beralih daripada pendekatan berasaskan pendapatan mutlak kepada pendekatan yang mengambil kira kos hidup sebenar, struktur keluarga serta tahap kerentanan sosial sesebuah isi rumah. Penilaian kesejahteraan rakyat perlu mengambil kira faktor seperti lokasi tempat tinggal, jumlah tanggungan, kos pendidikan anak, hutang isi rumah dan keperluan penjagaan warga emas atau orang kurang upaya. Pendekatan yang lebih holistik ini penting bagi memastikan bantuan kerajaan, subsidi dan dasar pembangunan dapat disalurkan secara lebih tepat kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Sekiranya isu ini tidak ditangani secara serius dan menyeluruh, Malaysia berisiko berdepan pelbagai kesan sosial dan ekonomi yang lebih besar pada masa hadapan. Antaranya ialah penyusutan kelas pertengahan yang selama ini menjadi tunjang kestabilan ekonomi negara. Tekanan kewangan yang berterusan juga boleh meningkatkan konflik dalam institusi keluarga, menjejaskan kesihatan mental masyarakat serta mengurangkan peluang pendidikan dan mobiliti sosial generasi muda. Dalam masa yang sama, jurang ketidaksamaan antara penduduk bandar dan luar bandar serta antara golongan kaya dan miskin akan terus melebar.

Justeru, reformasi ekonomi dan sosial yang lebih inklusif perlu dilaksanakan bagi memastikan pembangunan negara benar-benar meningkatkan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh. Kerajaan, sektor swasta dan masyarakat perlu memainkan peranan bersama dalam membina sistem ekonomi yang lebih adil, mampan dan berorientasikan kesejahteraan manusia. Hanya melalui pendekatan yang menyeluruh dan berpaksikan realiti kehidupan rakyat, Malaysia mampu membina masyarakat yang lebih seimbang, stabil dan sejahtera pada masa hadapan.

No comments:

Post a Comment