Thursday, August 28, 2025
Mencari penyelesaian dalam krisis menantu usir ibu mentua
Kes tular melibatkan seorang wanita yang bertindak mengusir ibu mentuanya dari rumah mereka di Medan, Indonesia telah mencetuskan gelombang perdebatan sosial dan emosi dalam kalangan masyarakat serantau.
Video insiden tersebut yang tersebar luas di platform TikTok dan Instagram, menunjukkan ibu mentua tersebut dipaksa keluar dari rumah dan akhirnya tinggal bersama jiran selama lebih lima bulan.
Peristiwa ini tidak hanya menjadi tumpuan umum kerana keterangannya yang menyentuh perasaan tetapi juga kerana ia membongkar luka lama dalam institusi kekeluargaan yang selama ini dianggap utuh.
Sebagai pemerhati sosial, saya berpendapat isu ini harus dikupas dari akar ke pucuk, bukannya semata-mata menuding jari tetapi untuk memahami punca sebenar, impak menyeluruh serta membina model penyelesaian yang realistik dan berasaskan nilai kemanusiaan dan agama.
Punca utama insiden ini bukan bermula pada hari kejadian. Menurut sumber media tempatan dan pengakuan dari pihak terlibat, ketegangan antara menantu dan ibu mentua telah berlangsung selama 18 tahun. Tempoh yang begitu panjang memberi bayangan wujudnya simpanan emosi yang tidak diluahkan, dendam yang tidak diselesaikan dan komunikasi yang tidak dibina dengan baik.
Dalam hubungan kekeluargaan, apabila komunikasi gagal sama ada kerana ego, takut berterus terang atau budaya yang menormalisasikan “diam itu emas” maka ketegangan akan terkumpul menjadi tekanan jiwa.
Menantu dalam kes ini didakwa berasa tertindas, dihukum atas persepsi negatif terhadap keperibadiannya dan tidak mendapat ruang untuk mempertahankan diri.
Malangnya, apabila perasaan ini tidak mendapat penyelesaian konstruktif, ia akan berubah menjadi dendam yang menuntut pelepasan. Dalam kes ini, pengusiran keluar dari rumah.
Selain itu, tekanan sosial turut memainkan peranan. Isteri seringkali menjadi sasaran apabila sesuatu tidak sempurna dalam rumah tangga.
Tugasan rumah, cara membesarkan anak, bahkan cara berpakaian, semuanya boleh menjadi medan kritik oleh keluarga suami. Tanpa sistem sokongan atau pemahaman mendalam daripada pasangan, tekanan ini bertukar menjadi ketegangan rumah tangga yang meruncing.
Masalah terbesar daripada peristiwa ini ialah keruntuhan hubungan kekeluargaan. Ibu mentua yang dihalau bukan sahaja kehilangan tempat tinggal tetapi juga merasa dihina secara moral dan emosi. Dalam budaya Timur yang sangat menyanjung peranan ibu, tindakan ini dilihat melampaui batas norma dan nilai.
Hal ini sejajar dengan firman Allah SWT dalam Surah Al-Isra’, ayat 23, “Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain-Nya dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka janganlah sekali-kali kamu mengatakan kepada keduanya perkataan ‘ah’, dan janganlah kamu membentak mereka, dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia”.
Meskipun ibu mentua tidak berada dalam kategori ibu kandung, prinsip ihsan dan penghormatan terhadap orang tua tetap terpakai dalam konteks sosial dan budaya.
Dalam hadis riwayat al-Bukhari pula, Rasulullah SAW bersabda, “Bukan dari kalangan kami orang yang tidak menyayangi yang muda dan tidak menghormati yang tua.”
Hadis ini menegaskan bahawa menghormati orang tua adalah syarat asas dalam menjaga adab dan nilai dalam masyarakat Islam.
Tindakan menantu tersebut tidak hanya melanggar adab kekeluargaan tetapi juga nilai agama yang menuntut penghormatan terhadap orang tua.
Kesan psikologi terhadap ibu mentua tersebut amat mendalam. Beliau bukan sahaja hilang tempat berlindung tetapi juga mengalami tekanan emosi, rasa ditolak dan dilupakan oleh anaknya sendiri.
Bayangkan seorang wanita tua yang telah membesarkan anaknya dengan susah payah, akhirnya terpaksa menumpang rumah jiran kerana ditolak dari rumah anaknya sendiri.
Bagi menantu pula, walaupun beliau mendakwa tindakan itu dilakukan atas tekanan perasaan, impaknya tetap besar. Masyarakat mengkritik, mengecam dan menolak tindakan tersebut menyebabkan tekanan emosi berbalik kepadanya.
Dalam banyak kes, tindakan sedemikian hanya mencetuskan lebih banyak luka dalam rumah tangga termasuk terhadap anak-anak yang membesar dalam persekitaran tegang dan tanpa rasa kasih terhadap datuk dan nenek mereka. Generasi ini akan kehilangan nilai belas ihsan yang seharusnya dibentuk sejak kecil.
Daripada perspektif sosiologi dan psikologi, insiden ini menunjukkan betapa pentingnya pengurusan konflik dalam keluarga. Apabila konflik dibiarkan tanpa penyelesaian dan emosi ditekankan tanpa terapi atau bimbingan, maka ia berpotensi meledak secara agresif. Solusi utama bagi kes seperti ini adalah membuka kembali komunikasi dengan niat untuk memahami dan bukan menyerang.
Suami dalam kes ini harus menjadi jambatan yang adil, bukan berat sebelah dan bukan diam tetapi bertindak. Dalam masyarakat moden, pasangan suami isteri perlu diberikan akses kepada kaunseling perkahwinan dan kekeluargaan.
Di Indonesia dan Malaysia, kaunselor keluarga atau tokoh agama seperti ustaz atau ustazah boleh menjadi pihak ketiga yang menyemai kembali semangat perdamaian dan kasih sayang. Penglibatan pihak luar yang dihormati dalam masyarakat sering kali berjaya meleraikan kekusutan dalaman kerana mereka membawa perspektif luar yang lebih objektif.
Satu lagi bentuk penyelesaian adalah melalui pembentukan semula persepsi antara menantu dan ibu mentua. Jika kedua-dua pihak sanggup menulis atau meluahkan perasaan secara jujur sama ada melalui surat, sesi terapi atau perbincangan, ia boleh membuka ruang untuk saling memahami perspektif masing-masing.
Sebuah keluarga yang stabil memerlukan struktur komunikasi yang sihat. Misalnya, jadual lawatan, had privasi, tanggungjawab rumah dan batas peranan ibu mentua harus dijelaskan awal-awal lagi. Sebahagian keluarga moden juga mula mengamalkan kod tingkah laku rumah tangga yang dipersetujui semua pihak untuk mengelakkan pertindihan kuasa atau salah faham yang berulang.
Jika semua ini gagal, maka ruang berasingan mungkin perlu diwujudkan dengan penuh hormat misalnya, menyediakan rumah lain untuk ibu bapa atau membahagi masa lawatan dengan sistematik.
Peranan agama juga tidak boleh diketepikan dalam membentuk semula kefahaman dan hubungan dalam keluarga. Islam, sebagai contoh, tidak pernah menyuruh seorang menantu tunduk membabi buta kepada ibu mentua tetapi Islam juga tidak mengizinkan penghinaan atau pengusiran yang zalim.
Allah SWT berfirman dalam Surah An-Nahl, ayat 90: “Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil dan berbuat ihsan (kebaikan), serta memberi bantuan kepada kaum kerabat. Dan Allah melarang dari perbuatan keji, mungkar dan zalim. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu mengambil pelajaran”.
Ayat ini adalah asas kepada pembentukan masyarakat yang adil dan harmoni termasuk dalam konteks kekeluargaan. Jika semua pihak berpegang pada prinsip ihsan, adil dan kasih sayang maka insiden seumpama ini dapat dielakkan.
Kesimpulannya, kes menantu yang mengusir ibu mentua dari rumah di Indonesia bukanlah kes terpencil tetapi manifestasi dari ketegangan kekeluargaan yang tidak ditangani sejak awal. Ia menjadi bukti bahawa komunikasi, empati dan kepercayaan adalah tiang utama dalam membina keluarga yang sihat.
Ketika emosi dan dendam menjadi pemandu, maka tindakan menjadi tidak rasional, dan mangsa utama adalah mereka yang paling lemah dan tua. Oleh itu, pendekatan penyelesaian harus berlapis dari komunikasi, kaunseling, empati, penglibatan pihak ketiga hingga kepada reformasi struktur peranan dalam rumah tangga.
Dalam dunia yang semakin kompleks ini, kekuatan sebenar bukan terletak pada kuasa mengusir, tetapi pada keupayaan memaafkan, menyembuh dan memperbaiki.
Wednesday, August 20, 2025
Teknik pembelajaran untuk belajar lebih cepat
Pernahkah kita terfikir mengapa ada sesetengah pelajar yang nampaknya lebih cepat belajar, lebih lama mengingati apa yang dipelajari dan lebih berjaya berbanding yang lain? Bayangkan kita melangkah masuk ke sebuah perpustakaan terkenal di Universiti Harvard. Kita melihat para pelajar duduk dengan tenang — ada yang membaca buku tebal, ada yang menulis nota dan ada juga yang sedang berfikir mendalam. Mereka bukannya lebih bijak sejak lahir. Mereka hanya belajar bagaimana untuk belajar dengan lebih cerdas, bukannya semata-mata belajar dengan lebih keras.
Hari ini, kita belajar enam teknik pembelajaran istimewa yang sering digunakan oleh ramai pelajar di Harvard. Inilah dia teknik-teknik yang boleh kita mula praktikkan hari ini juga, di mana sahaja kita berada, apa sahaja yang kita pelajari dan tanpa mengira sejauh mana tahap penguasaan bahasa Inggeris kita.
Ini bukan sekadar soal mendapatkan markah yang lebih baik. Ini tentang mengubah cara kita belajar secara keseluruhan supaya kita boleh memahami sesuatu dengan lebih mendalam, mengingatinya lebih lama dan merasa lebih yakin dengan kebolehan diri sendiri.
Seterusnya kita mungkin akan sedar bahawa belajar seperti pelajar Harvard bukannya berkaitan mempunyai otak yang pintar atau berjaga sepanjang malam menatap buku. Sebaliknya, ia tentang kebiasaan-kebiasaan kecil yang dilakukan setiap hari yang membawa kepada kejayaan besar. Jadi, kita bincangkan enam teknik ini bersama-sama. Pada akhirnya nanti, kita akan memiliki pelan pembelajaran baharu yang boleh mengubah masa depanmu.
Teknik pertama: Active Recall — belajar dengan cara bertanya.
Pernahkah kita mengalami situasi di mana kita membaca halaman yang sama berulang kali tetapi apabila ditanya, kita langsung tidak ingat isinya? Ramai pelajar yang mengalami perkara ini. Mereka berfikir bahawa jika mereka terus membaca, maklumat itu akan "melekat" dalam otak. Tetapi sebenarnya, membaca secara pasif tanpa benar-benar menguji ingatan tidak membantu kita mengingati dengan baik.
Pelajar Harvard tahu cara yang lebih berkesan. Teknik ini dipanggil Active Recall dan ia mungkin akan mengubah sepenuhnya cara kita belajar. Active Recall mudah difahami tetapi sangat berkesan untuk diamalkan.
Daripada sekadar membaca nota atau buku pelajaran berulang kali, kita berhenti sebentar dan bertanya kepada diri sendiri tentang apa yang baru sahaja kita pelajari. Kemudian, cuba jawab soalan itu daripada ingatan tanpa melihat catatan. Selepas itu, barulah kita menyemak buku untuk melihat bahagian mana yang kita terlepas.
Perubahan kecil dalam rutin belajar ini boleh memberikan perbezaan yang sangat besar. Kenapa? Kerana ia memaksa otak kita bekerja dengan lebih aktif. Dan hakikatnya, pembelajaran yang sebenar berlaku apabila otak kita bekerja secara aktif, bukannya sekadar pasif membaca atau menonton sahaja.
Bayangkan begini, kita baru sahaja membaca satu halaman tentang penyebab Revolusi Amerika. Kebanyakan pelajar mungkin akan membaca halaman itu dua, tiga atau malah empat kali, dengan harapan maklumatnya akan diingati. Tetapi pelajar Harvard yang menggunakan kaedah Active Recall akan melakukannya dengan cara berbeza. Mereka akan menutup buku dan bertanya kepada diri sendiri:
![]() |
Teknik Kedua: Spaced Repetition — ulang kaji berjarak.
Ramai pelajar melakukan kesilapan besar dengan menghafal secara mengejut atau "last-minute cramming" sebelum peperiksaan. Masalahnya, cara ini hanya membuatkan kita ingat untuk sekejap tetapi cepat lupa selepas itu.
Pelajar Harvard menggunakan strategi yang lebih pintar, iaitu Spaced Repetition, kaedah mengulang kaji secara berjarak. Maksudnya, kita ulang semula bahan pelajaran pada selang masa tertentu. Contohnya sehari selepas belajar, kemudian tiga hari kemudian, seminggu kemudian, dan seterusnya.
Teknik ini membantu otak memindahkan maklumat daripada ingatan jangka pendek kepada ingatan jangka panjang. Dengan cara ini, setiap kali kita mengulang, kita sebenarnya menguatkan ingatan kita, bukannya sekadar membaca sekali gus melupakan.
Teknik Ketiga: Interleaving — campurkan topik ketika belajar.
Kebanyakan pelajar belajar satu topik hingga habis sebelum berpindah ke topik lain. Tetapi kajian menunjukkan cara ini kurang berkesan. Pelajar Harvard menggunakan teknik Interleaving iaitu mencampurkan topik ketika belajar.
Contohnya, jika kita belajar matematik, jangan hanya fokus pada satu jenis soalan untuk masa yang lama. Sebaliknya, campurkan beberapa jenis soalan berbeza dalam satu sesi. Ini melatih otak untuk menyesuaikan strategi, bukan hanya menghafal langkah yang sama berulang kali.
Teknik ini membuatkan otak lebih fleksibel dan membantu kita memahami konsep secara mendalam, bukan sekadar menghafal formula.
Teknik Keempat: Elaboration — jelaskan semula dengan kata-kata sendiri.
Pernahkah kita belajar sesuatu tetapi masih keliru walaupun sudah membaca berkali-kali? Rahsianya ialah Elaboration — cuba menerangkan semula apa yang kita pelajari dengan kata-kata sendiri.
Sebagai contoh, selepas membaca tentang Revolusi Amerika, cuba jawab soalan seperti:
"Kenapa peristiwa ini berlaku?"
"Bagaimana peristiwa ini mempengaruhi dunia?"
"Apa kaitannya dengan topik lain yang aku pelajari?"
Pelajar Harvard selalu melakukan teknik ini dalam kumpulan belajar. Mereka bukan sekadar menghafal tetapi membina kefahaman melalui perbincangan, penjelasan dan contoh kehidupan sebenar.
Teknik Kelima: Pomodoro Technique — belajar dalam blok masa fokus.
Ramai pelajar belajar berjam-jam tanpa rehat tetapi ini membuat otak cepat penat dan maklumat sukar diingati. Pelajar Harvard menggunakan Pomodoro Technique untuk belajar lebih fokus.
Caranya:
- Fokus belajar 25 minit tanpa gangguan
- Rehat 5 minit
- Ulang 3 hingga 4 kali
- Selepas empat pusingan, ambil rehat panjang selama 15–30 minit
Teknik ini membantu otak bekerja pada tahap maksimum sambil memberi ruang untuk memproses maklumat.
Teknik Keenam: Reflection — menilai semula apa yang sudah dipelajari.
Pelajar Harvard meluangkan masa untuk merenung kembali atau membuat refleksi selepas sesi pembelajaran. Mereka akan bertanya kepada diri sendiri:
- "Apa yang saya pelajari hari ini?"
- "Bahagian mana yang saya belum faham?"
- "Bagaimana saya boleh perbaikinya?"
Teknik refleksi ini membantu otak menyusun semula maklumat dan mengenal pasti kelemahan. Dengan itu, sesi belajar seterusnya akan menjadi lebih fokus dan berkesan.
Belajar seperti pelajar Harvard bukanlah tentang menjadi genius atau belajar sepanjang malam. Sebaliknya, ia tentang strategi pintar dan kebiasaan harian kecil yang memberi kesan besar dalam jangka panjang.
Enam teknik ini — Active Recall, Spaced Repetition, Interleaving, Elaboration, Pomodoro dan Reflection — boleh kita amalkan di mana sahaja, bila-bila masa dan untuk semua subjek. Jika kita mula mempraktikkan teknik ini secara konsisten, kita akan belajar lebih cepat, lebih faham, lebih ingat dan lebih yakin dengan kemampuan diri sendiri.
Kita sedang membina satu gambaran pengetahuan yang masuk akal untuk diri kita. Proses ini membantu otak kita mengatur maklumat dan mengingatinya dengan lebih mudah. Lama-kelamaan, kita akan dapati bahawa membuat peta minda juga menyeronokkan. Ia menjadikan belajar terasa kurang seperti kerja dan lebih seperti satu pertemuan.
Tetapi, peta minda sahaja tidak mencukupi. Kita mungkin tertanya-tanya, “Antara enam teknik belajar ini, yang mana satu patut saya guna?”
Jawapannya ialah gunakan semuanya bersama-sama.
Setiap teknik membantu otak dengan cara yang berbeza dan bila digabungkan, ia mencipta sistem pembelajaran yang kuat.
Active recall membantu kita menguji ingatan dengan bertanya soalan, bukan sekadar membaca.
Spaced repetition membuatkan kita mengulang kaji pada waktu yang tepat supaya maklumat kekal lama dalam ingatan.
Teknik Feynman membantu kita menerangkan topik dengan bahasa mudah supaya kita tahu apa yang betul-betul difahami.
Kaedah Pomodoro membantu kita kekal fokus dengan sesi belajar singkat dan rehat berkala.
Interleaving membantu kita melihat hubungan antara subjek dengan mencampurkan topik berbeza, bukan belajar satu demi satu secara berasingan.
Peta minda pula membantu kita melihat gambaran besar dengan menukar fakta menjadi cerita visual.
Bayangkan seharian belajar dengan kaedah ini. Pada waktu pagi, kita mula dengan Pomodoro. Kita baca satu topik, kemudian tutup buku dan uji diri menggunakan Active Recall. Semasa rehat 5 minit, kita boleh meregangkan badan, tarik nafas dalam-dalam atau minum air. Pada sesi Pomodoro seterusnya, kita guna Teknik Feynman untuk menerangkan semula apa yang dipelajari, sama ada dengan bercakap kuat atau menulis nota.
Petangnya, kita gunakan Spaced Repetition dengan kad imbasan — ulang kaji apa yang kita belajar semalam dan minggu lepas. Kita campurkan subjek menggunakan Interleaving: 20 minit sejarah, kemudian matematik dan sains. Pada waktu malam, kita lukis peta minda untuk menyambungkan semua maklumat yang kita pelajari hari itu.
Langkah kecil setiap hari ini akan membina pengetahuan, ingatan dan keyakinan kita. Kita tidak perlu lagi berjaga malam sebelum peperiksaan kerana kita telah belajar secara aktif setiap hari. Kita juga takkan panik bila guru bertanya soalan kerana kita bukan sekadar ingat perkataan tetapi betul-betul faham. Lebih menarik lagi, kita akan ada lebih banyak masa lapang kerana kita belajar dengan lebih bijak, bukan lebih lama.
Tetapi ada sesuatu yang lebih penting daripada teknik ini iaitu mindset pelajar Harvard. Mereka biasanya percaya pada tiga perkara utama:
Pembelajaran adalah aktif, bukan pasif. Mereka bukan sekadar membaca tetapi bertanya, menguji, menerangkan dan mencipta. Kegagalan adalah maklum balas, bukan kekalahan. Bila mereka lupa sesuatu, itu tanda perlu ulang kaji, bukan bukti mereka tak pandai.
Langkah kecil setiap hari lebih berkesan daripada usaha besar sekali-sekala. Mereka tak tunggu saat akhir. Mereka membina tabiat konsisten kerana kejayaan sebenar datang daripada amalan berterusan, bukan kerja tergesa-gesa.
Bahagian terbaiknya, kita tak perlu berada di Harvard untuk menggunakan idea-idea ini. Kita boleh mula hari ini, di mana saja kita berada. Kita boleh melukis peta minda sendiri, menguji diri dengan soalan, mencampurkan subjek, dan belajar dalam sesi pendek.
Lama-kelamaan, tabiat ini bukan saja mengubah keputusan peperiksaan tetapi juga cara kita melihat diri sebagai seorang pelajar. Alatnya sudah ada. Persoalannya sekarang, adakah kita akan menggunakannya?
Mulakan hari ini. Lukis peta minda pertama kita. Uji diri dengan satu soalan. Belajar 25 minit tanpa telefon. Esok, ulang semula. Sedikit demi sedikit, kita akan temui apa yang telah dipelajari oleh ramai pelajar Harvard iaitu rahsia sebenar bukan belajar lebih keras tetapi belajar lebih bijak dengan rasa ingin tahu, berani dan konsisten.
Kesimpulannya, kita boleh lakukan ini.
Ramai orang fikir pelajar Harvard adalah pintar, hebat dan berbakat luar biasa. Namun, hakikatnya sangat berbeza. Kebanyakan mereka hanyalah orang biasa yang belajar cara belajar dengan betul dan berkesan. Mereka tidak menunggu keadaan sempurna, tidak perlukan kursus yang mahal atau berlaku keajaiban. Mereka hanya bermula dengan langkah kecil dan konsisten berlatih setiap hari.
Dan teka apa? Kita pun boleh lakukan langkah yang sama.
Tidak kira di mana kita berada atau sekolah mana kita belajar, yang paling penting ialah mula sekarang. Jangan tunggu esok atau minggu depan. Pilih satu teknik daripada yang kita tahu. Contohnya, mulakan dengan Active Recall. Malam ini, selepas sesi belajar, tutup buku dan tanya kepada diri sendiri soalan tentang apa yang baru kita pelajari. Cuba jawab tanpa melihat. Tabiat mudah ini akan menguatkan ingatan kita.
Esoknya, cuba tambah Spaced Repetition dengan ulang kaji bahan yang sama selepas sehari atau dua hari. Lusa, mula berlatih Teknik Feynman dengan menerangkan semula pelajaran menggunakan kata-kata sendiri. Bangunkan kemahiran ini sedikit demi sedikit.
Bayangkan diri kita setahun dari sekarang. Kita akan ingat lebih banyak, faham topik lebih mendalam dan lebih yakin dalam pembelajaran. Kita tak perlu masuk Universiti Harvard untuk belajar seperti pelajar Harvard. Rahsianya bukan pada tempat atau sekolah tetapi pada amalan dan tabiat yang kita bina.
Jadi sekarang, tanya diri sendiri: Teknik yang mana kita hendak mula hari ini? Tuliskan. Beritahu kawan atau ahli keluarga dan yang paling penting, mulakan sekarang.
Otak kita akan berterima kasih. Masa depan kita akan berterima kasih. Dan seluruh hidup kita akan berubah. Ingat, belajar bijak bukan hanya untuk peperiksaan. Ia untuk sepanjang hidup kita. Kita boleh lakukannya.
Sumber: Study Like a Harvard Student, 6 Proven Study Techniques to Learn faster & Remenber More (https://www.youtube.com/watch?v=8bECOmZV1UA)
Thursday, August 14, 2025
Adab Melayu dalam konteks global: Analisis persepsi orang asing terhadap nilai dan tradisi Malaysia
Masyarakat Malaysia mempunyai nilai dan norma yang berbeza mengikut kaum. Nilai dan norma ini diwarisi daripada satu generasi ke generasi berikutnya dan berkembang mengikut perubahan masa dan peredaran zaman. Dalam masyarakat Melayu, anak-anak mewarisi adab dan adat melalui lingkungan keluarga besar yang terdiri daripada datuk dan nenek, ibu bapa serta saudara-mara yang dekat dan jauh.
Tradisi ini diperkukuh melalui perayaan yang berkekalan sepanjang zaman iaitu Hari Raya, perkahwinan, kelahiran dan kematian. Proses pembentukan adat dan tradisi ini diajar semula dalam pendidikan di sekolah secara formal melalui kursus dan mata pelajaran yang digubal di peringkat kebangsaan.
Justeru, oleh sebab masyarakat Melayu menjadi kelompok majoriti di Malaysia, nilai, adat dan tradisi mereka lebih menonjol dan mempengaruhi budaya hidup kelompok masyarakat lain. Adab dan adat Melayu di Malaysia merupakan aspek penting dalam kehidupan masyarakat Melayu yang mencerminkan nilai budaya, agama dan sosial mereka.
Adab dalam budaya Melayu sangat dipengaruhi oleh nilai Islam. Sistem etika dan nilai Melayu berasaskan kepada konsep budi-Islam, adab dan akhlak yang mencerminkan kesopanan, hormat dan moral yang tinggi (Ali, 2022). Dalam komunikasi, orang Melayu menekankan kesopanan dan menjaga muka, sesuai dengan prinsip-prinsip Islam yang menekankan perdamaian, toleransi dan hormat (Bakar & Nordin, 2017). Ini termasuk cara berinteraksi dengan orang lain, baik sesama Muslim mahupun bukan-Muslim.
Terdapat beberapa adat Melayu yang masih kental dan diamalkan sehingga kini. Antaranya ialah adat perkahwinan Melayu yang melibatkan pelbagai upacara dan simbolisme yang kaya dan mencerminkan kepercayaan dan amalan tradisional. Walaupun adat ini sedang mengalami perubahan akibat permodenan, elemen-elemen tradisional masih dipelihara (Haji Tinkong & Mohamad, 2021). Adat Melayu juga merangkumi pelbagai aspek kehidupan seharian termasuk pakaian tradisional yang dipakai dalam upacara tertentu seperti cukur jambul, berkhatan dan bertindik. Pakaian ini berbeza antara golongan diraja dan rakyat biasa, dengan golongan diraja cenderung menggunakan songket dan aksesori mewah sementara rakyat biasa menggunakan bahan yang lebih ekonomi (Ab Aziz et al., 2019).
Selain itu, terdapat adat dan kepercayaan seperti kepercayaan animisme dan Hindu dalam amalan adat Melayu. Ini menunjukkan campuran kepercayaan yang membentuk identiti budaya Melayu (Ali, 2022).
Apabila ditanya kepada pelancong atau pekerja asing yang telah lama menetap di Malaysia, kita akan dapati jawapan mereka akan berkait dengan adab dan adat Melayu ini.
Dalam satu video temu bual saluran YouTube AgaEatsKL, Rys William, pencipta kandungan yang popular di Malaysia dengan panggilan “Mat Salleh” dan berasal dari Britain telah ditanya tentang pandangannya tentang Malaysia.
Beliau memberi pandangan tentang transformasi budaya yang dialami setelah meninggalkan negara kelahirannya dan menetap di luar negara, khususnya menumpukan pada bagaimana identiti mereka sebagai pekerja di Malaysia diperkukuh melalui perubahan kecil tetapi bermakna dalam tingkah laku dan pemikiran. Mereka mengenal pasti peralihan utama dalam adab dan etika sosial seperti membuka kasut sebelum masuk ke rumah, kepentingan menggunakan tangan kanan ketika memberi atau menerima barang serta gerak isyarat khusus budaya lain yang berakar dalam nilai hormat dan tradisi.
Perubahan ini, walaupun kelihatan kecil, mempunyai makna budaya yang mendalam dan telah menjadi tabiat yang membezakan identiti Malaysia mereka dengan konteks budaya British di mana mereka kini tinggal. Beliau juga mengakui bahawa tingkah laku ini kadangkala menarik reaksi ingin tahu atau keliru di Britain tetapi mereka terus mengamalkannya secara semula jadi, menonjolkan bagaimana identiti budaya kekal dan menyesuaikan diri walaupun seseorang jauh secara fizikal dari negara sendiri.
Tiga titik utama yang menjadi perhatian beliau ialah penerimaan adab Melayu seperti membuka kasut dan menggunakan tangan kanan, pematuhan kepada etika budaya dalam interaksi sosial untuk menunjukkan rasa hormat dan penyatuan semula jadi tingkah laku ini sebagai cerminan identiti Malaysia. Titik-titik ini secara kolektif menggambarkan bagaimana amalan budaya mempengaruhi identiti peribadi dan tingkah laku sosial.
Adab
Ini merupakan titik pertama dan
paling ditekankan. Beliau menekankan kepentingan mengamalkan adab Melayu yang
merangkumi etika budaya khusus seperti membuka kasut sebelum masuk ke rumah.
Amalan ini melambangkan rasa hormat dan kebersihan yang tertanam mendalam dalam
budaya Malaysia.
"Things
like taking your shoes off in your house. I love this one."
Satu lagi adab penting
ialah penggunaan tangan kanan untuk memberi dan menerima barang yang merupakan
tanda hormat dan kesopanan. Tangan kiri dianggap tidak sesuai atau kurang sopan
dalam konteks ini. Beliau menyatakan bahawa bukan Islam juga mengikuti amalan
ini secara semula jadi, menunjukkan betapa meluas dan spontannya tingkah laku
ini di Malaysia. Perbezaan dengan Britain jelas di sini, di mana gerak isyarat
sebegini jarang ditemui dan mungkin menimbulkan kekeliruan atau kejutan.
"Use your right hand, not your left
hand."
Etika Budaya dalam Interaksi Sosial:Memperluas dari adab, beliau menekankan bagaimana etika
budaya ini mempengaruhi tingkah laku sosial. Sebagai contoh, berjabat tangan
dengan tangan kanan atau memimpin gerakan dengan tangan kanan adalah norma,
sementara tangan kiri dielakkan untuk mengelakkan kesalahan. Beliau mengimbas
kembali saat-saat memohon maaf apabila secara tidak sengaja menggunakan tangan
kiri, menunjukkan betapa norma ini telah diinternalisasikan dengan mendalam.
Etika ini mencerminkan sistem hormat budaya yang lebih luas, menonjolkan
bagaimana interaksi sosial di Malaysia dipandu oleh nilai tradisional yang
menekankan rasa hormat, kesucian dan kesopanan.
Penyatuan Identiti Malaysia Melalui Amalan Harian: Beliau mencadangkan
bahawa adab dan etika ini bukan sekadar dilakukan atas dasar kewajipan tetapi
telah menjadi tabiat semula jadi dan spontan. Penyatuan ini menandakan hubungan
yang lebih mendalam dengan identiti Malaysia, melangkaui aspek kewarganegaraan. Ia menunjukkan bagaimana amalan budaya membentuk rasa
kekitaan dan persepsi diri seseorang. Walaupun berada di luar negara, adat
kecil tetapi signifikan ini mengukuhkan identiti Malaysia beliau, membezakannya
daripada cara hidup British.
Kita boleh lihat temu bual ini sebagai sebahagian daripada bukti penting dalam menilai persepsi dan pandangan orang luar terhadap amalan adab dan adat masyarakat Melayu. Ringkasan temu bual ini boleh dinyatakan seperti berikut.
Adab sebagai Penanda Identiti Budaya: Amalan membuka kasut sebelum masuk rumah bukan sekadar langkah kebersihan sebaliknya merupakan tradisi yang melambangkan rasa hormat, kebersihan dan kesucian ruang peribadi. Tindakan mudah ini menjadi cara nyata untuk orang Malaysia di luar negara mengekalkan hubungan dengan nilai budaya dan membezakan identiti mereka dalam persekitaran asing. Dalam konteks Barat di mana amalan ini kurang biasa, ia berfungsi sebagai peringatan halus tetapi kuat tentang warisan budaya.
Etika Tangan Kanan dan Simbolismenya: Penekanan menggunakan tangan kanan untuk pertukaran
barang membawa konotasi budaya dan agama yang mendalam di Malaysia. Ia
mencerminkan konsep kesucian dan rasa hormat dengan tangan kiri sering dianggap
kurang bersih atau tidak sopan. Amalan ini, apabila dikekalkan di luar negara,
memupuk rasa kekitaan dan kesinambungan dengan adat Melayu. Rasa tidak selesa
atau kekeliruan yang ditimbulkannya pada orang lain menunjukkan betapa tertanam
dan uniknya tatacara budaya ini.
Tabiat Budaya sebagai Penanda Identiti dalam
Diaspora: Bagi individu yang
tinggal jauh dari negaranya, amalan harian seperti adab menjadi penanda
identiti yang kritikal. Tabiat ini sering dilakukan secara tidak sedar tetapi
membawa erti emosi dan budaya yang signifikan. Ia membantu mengekalkan rasa
diri dan komuniti, menyumbang kepada pemeliharaan identiti budaya walaupun
terpisah secara fizikal.
Pertembungan Budaya dan Rasa Ingin Tahu: Pengalaman penutur menerima “pandangan pelik”
ketika menunjukkan adab Melayu di Britain menggambarkan jurang budaya dan
perbezaan norma sosial antara Malaysia dan negara-negara Barat. Reaksi
sedemikian, walaupun kadangkala tidak selesa, menekankan kepelbagaian ekspresi
budaya dan kepentingan kesedaran serta sensitiviti budaya dalam masyarakat
majmuk.
Hormat sebagai Nilai Teras yang Diluahkan Melalui Tingkah
Laku: Di sebalik adab
ini terletak nilai hormat yang berakar umbi - terhadap orang lain, rumah dan
tradisi budaya. Rasa hormat ini dijelmakan secara fizikal melalui gerak isyarat
dan etika sosial, mengukuhkan ikatan sosial dan kesinambungan budaya. Dengan
mengekalkan tingkah laku ini, kita mempertahankan fabrik sosial yang penting
kepada identiti Malaysia.
Perubahan Tingkah Laku Mencerminkan Evolusi
Identiti: Renungan orang
luar tentang perubahan sejak tinggal di Malaysia mendedahkan bagaimana identiti
bersifat dinamik. Walaupun teras identiti Malaysia kekal, ia beradaptasi
melalui penggabungan pengalaman dan persekitaran baru. Evolusi ini bukanlah
pencairan identiti tetapi pengukuhannya di mana perubahan tingkah laku kecil
melambangkan proses lebih besar dalam penentuan kendiri dan rasa kekitaan.
Ketekalan Budaya di Tengah Globalisasi: Walaupun dalam dunia yang semakin global di mana
sempadan budaya semakin cair, ketekalan tingkah laku khusus budaya menonjolkan
kekuatan tradisi yang berkekalan. Kepatuhan semula jadi penutur kepada adab Melayu
walaupun berada jauh secara geografi menunjukkan bagaimana identiti budaya
dihidupi dan dirasai setiap hari, melangkaui bahasa, kewarganegaraan dan
lokasi.
Adab dan adat Melayu di Malaysia adalah gabungan nilai Islam dan tradisi lama yang terus dipelihara walaupun menghadapi perubahan akibat modernisasi. Nilai kesopanan, hormat, dan moral yang tinggi tetap menjadi asas dalam kehidupan masyarakat Melayu, sementara adat-adat tradisional terus dipraktikkan dalam pelbagai upacara dan kehidupan seharian.
Rujukan
Ab Aziz, A. B., Abd Aziz, M. K. B., Mudzafar, N. B.,
& Ibrahim, N. I. B. (2019). The development of children attire in Malay
ceremonials in the context of Malay socio-cultural. International
Journal of Engineering and Advanced Technology, 8(5), 1282-1288. DOI: 10.35940/ijeat.E1182.0585C19
Ali, K. K. (2022). A discourse on the Malay cultural identity within the Malaysian society. Kajian Malaysia, 40(1), 83-107. DOI: 10.21315/km2022.40.1.5
Bakar, H. A., & Nordin, M. Z. F. (2017). Intercultural communication: A Muslim perspective. In Global perspectives on intercultural communication (pp. 66-70). Routledge. DOI: 10.4324/9781315716282-14
Haji Tinkong, H. R. B., & Mohamad, N. R. (2021). Symbolism in Brunei Malay wedding customs. In Engaging modern Brunei: Research on language, literature, and culture (pp. 239-253). Springer. DOI: 10.1007/978-981-33-4721-2_14
Friday, August 08, 2025
Organisasi rosak kerana rasuah
Dalam seminggu dua ini, kita mendengar, melihat dan membaca isu yang melibatkan sebuah agensi kerajaan yang menjadi penjaga hadapan pintu masuk negara. Isu yang popular dengan ‘counter setting’ di pintu masuk negara iaitu lapangan terbang antarabangsa.
Minggu ini, kita dipaparkan dengan berita tentang tangkapan seorang anggota organisasi ini bersama wang tunai RM8000. Umur kakitangan ini masih muda iaitu 28 tahun, namun berhadapan dengan masa depan yang kabur.
Dulu-dulu, kita
menganggap kakitangan kerajaan yang meminta wang sebagai rasuah dan terlibat
dengan sindiket hanyalah kisah dongeng. Kita berfikir bahawa orang yang bekerja
dengan kerajaan ini tidak mahu melibatkan diri dengan perbuatan yang
menjatuhkan maruah.
Hari ini, ia bukan lagi
sekadar cerita dongeng tetapi realiti. Wang ringgit dijadikan untuk pertukaran
masuk secara tidak sah ke dalam negara. Dalam hal ini, kita dapat lihat seorang
kakitangan organisasi ini telah dituduh di mahkamah kerana menerima RM900,000
daripada beberapa sumber.
Umur kakitangan kerajaan
ini adalah 41 tahun. Beliau menggunakan kedudukannya untuk mengumpul kekayaan
dengan cara yang tidak beretika.
Apabila sesebuah agensi
kerajaan kerap muncul dalam berita kerana anggotanya ditangkap dan dituduh di
mahkamah, boleh dikatakan agensi ini sedang ‘sakit’. ‘Sakit’ tersebut
menyebabkan pandangan orang ramai cenderung memberi respon negatif. Jenis ‘sakit’
dalam organisasi ini berpunca daripada watak-watak orang yang menghidupkannya.
Saya melihat organisasi ini
sebagai ‘sakit’ selepas membaca berita tentang bekas ketua pengarah agensi ini
yang didakwa di mahkamah kerana meluluskan kemasukan tenaga kerja asing selepas
menerima habuan wang tunai puluhan ribu ringgit. Pemberi rasuah adalah seorang
peniaga berbangsa Cina. Nama penerima dan pemberi rasuah dalam kes ini
dinyatakan dalam berita dengan jelas. Jika ketua sendiri terlibat dengan
rasuah, apatah lagi anak buah dalam organisasi tersebut.
Begitu juga kes di
sebuah negeri, pengarah dan bekas ketua unit
pendakwaan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM85,000 selepas
didapati bersalah atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah
Selepas kes ketua
pengarah, muncul lagi kes-kes lain yang lebih besar dan melibatkan sindiket
pemerdagangan manusia. Kita dapat baca di akhbar tentang laporan wartawan yang
membuat liputan khas mengenai sindiket ini. Kemasukan warga asing dari
negara-negara tertentu telah ditentukan nilainya. Ada yang dicaj RM800, malah
bagi negara-negara tertentu, cajnya mencecah RM2,000 seorang.
Bagi melancarkan
kemasukan warga asing ini, ia mesti dilakukan secara berkumpulan. Di sinilah
timbul aktiviti ‘counter
setting’ yang didalangi oleh sindiket. Kita dapat baca laporan
wartawan yang membuat liputan ‘counter
setting’ ini dalam akhbar.
Organisasi ini adalah
sebuah organisasi yang bermasalah. Silih ganti ketua pengarah tidak dapat
membendung aktiviti songsang anggota yang memiliki tahap integriti dan moral
yang rendah. Disebabkan tindakan segelintir anggota, seluruh organisasi
terpalit dengan persepsi negatif orang ramai.
Isu terkini melibatkan 50
orang anggota organisasi yang disiasat kerana melibatkan diri dalam sindiket ‘phanton travel’ iaitu memanipulasi
sistem kemasukan ke dalam negara yang mencemarkan kredibiliti jabatan dan mengancam
keselamatan negara.
Kita tidak tahu
bagaimana perasaan anggota yang memakai pakaian seragam organisasi ini apabila
berhadapan dengan orang ramai yang memandang jabatan ini sebagai sarang rasuah.
Organisasi yang ‘sakit’
perlu segera dirawat sehingga sembuh. Tidak kira sama ada kaedah rawatan ini di
‘hospital’ atau berubat ‘cara kampung’, organisasi ini harus segera dipulihkan.
Antara tindakan yang perlu diambil adalah menilai semula kelayakan anggota
untuk pengambilan tetap serta menambah elemen ciri-ciri anggota dengan memberi
penekanan kepada calon yang bermoral, kuat mental dan cenderung dengan
nilai-nilai agama.
Tidak ada kompromi toleransi
dengan calon yang mahukan kesenangan segera atau tidak amanah.
Pautan
Muhammad Aminnuraliff Mohd Zoki. (2025, August 4). 50 pegawai JIM terlibat sindiket 'phantom travel' disiasat SPRM. Sinar Harian. https://www.sinarharian.com.my/article/741899/berita/semasa/50-pegawai-jim-terlibat-sindiket-phantom-travel-disiasat-sprm
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
(2022, September 23). Bekas Pengarah Imigresen Perak dipenjara 3 tahun kerana
rasuah. https://www.sprm.gov.my/index.php?id=21&page_id=103&contentid=2624&cat=CN
Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan. (2015, December 17). Rasuah: Bekas Ketua Pengarah Imigresen gagal rayuan. https://www.eaic.gov.my/arkib/berita-arkib/berita-2015/1177-rasuah-bekas-ketua-pengarah-imigresen-gagal-rayuan