Wednesday, July 23, 2025
Dari bom ke kelaparan: ketabahan Gaza menghadapi ujian
Media sosial telah membuka mata dan fikiran masyarakat dunia tentang Gaza, Palestin. Platform media sosial yang dimiliki dan dikawal oleh Barat seperti Facebook, Instagram dan X semahu-mahunya cuba memastikan isu-isu Gaza ini disembunyikan melalui pelbagai cara.
Terdapat pengguna yang berkongsi bahan sensitif seperti kematian, penyeksaan, pembunuhan dan salah laku tentera penjajah telah diberi amaran. Akaun mereka dibekukan untuk tempoh tertentu sebagai hukuman.
Platform lain yang tidak terikat dengan Barat seperti Telegram dan TikTok turut diberi tekanan untuk mengikut telunjuk penguasa supaya menapis isu-isu yang memberikan gambaran negatif terhadap penjajah. Contohnya, pengendali Telegram telah ditangkap dan didakwa dengan alasan tertentu dengan imbuhan bahawa semua tuduhan akan ditarik balik jika menurut kemahuan penguasa. Manakala, TikTok diancam akan diharamkan atas alasan keselamatan negara.
Walaupun banyak ancaman dan ugutan, masyarakat antarabangsa yang sudah tidak tahan dengan penderaan di Gaza telah menyuarakan pendirian mereka di merata-rata tempat. Perhimpunan solidariti bersama Gaza diberi liputan meluas, pertemuan antara pemimpin diadakan, peluang untuk menghentam kelompok tirani dalam pentas antarabangsa juga digunakan sebaik-baiknya, malah pertemuan peringkat global sesama ahli yang tidak sebulu dengan penguasa juga disusun dengan penuh semangat dan meriah.
Hasilnya, ketua-ketua negara memberi pandangan masing-masing dengan berterus-terang dan tidak ada lagi ketakutan yang disembunyikan. Dua puluh buah negara turut berkolaborasi membentuk kumpulan pendesak yang menggabungkan empat penjuru dunia. Suara-suara kecil yang semakin kuat ini lantang menyanggahi kemendoman dan sikap acuh tak acuh negara-negara Eropah yang tidak ada pendirian jelas terhadap apa yang berlaku di Gaza.
Namun, dalam semua tindakan, yang paling jelik dan membingungkan ialah kebisuan pemimpin-pemimpin Arab untuk bersatu dan bangun menentang penguasa dan kerajaan. Tidak ada keinginan yang kuat untuk menyusun pasukan dan mengatur tindakan bagi membantu orang-orang Gaza yang kelaparan, kesakitan dan kehilangan tempat tinggal. Mengambil sikap membisu samalah seperti menyebelahi penjajah dan mengizinkan seorang demi seorang penduduk Gaza meninggal dunia.
Umat Islam seluruh dunia menadah tangan mengharapkan kesengsaraan dan penderitaan penduduk Gaza akan segera berakhir. Doa setiap hari dan qunut nazilah pada setiap Jumaat sentiasa dibaca bagi mengharapkan bantuan ghaib yang belum nyata dan tiba.
Masuk ke medan pertempuran selayaknya dilakukan dengan persediaan fizikal, kekuatan senjata dan keupayaan kepimpinan. Melawan tentera-tentera yang ganas dan berlumba-lumba membunuh kanak-kanak Gaza memerlukan strategi pertempuran yang mantap dan barisan tentera yang kuat dan gagah.
Dalam kalangan pejuang-pejuang yang sedang berada di medan paling hadapan, dua sifat yang wujud dalam diri mereka ialah kesabaran dan keteguhan hati. Dua sifat ini menjadi prasyarat kejayaan kepada kelompok yang sedang diuji.
Di Gaza, mereka sedang menghadapi keadaan yang menakutkan kerana kematian boleh berlaku pada bila-bila masa akibat dibom atau ditembak, diikuti kelaparan yang semakin memuncak kerana bantuan makanan tidak dibenarkan masuk ke kawasan kem. Kesan ketara ialah kanak-kanak tidak ada makanan untuk dimakan, orang dewasa pula menahan lapar selama tiga hingga lima hari dan orang sakit sentiasa mengharapkan keajaiban untuk sembuh.
Di Gaza, mereka sudah tidak ada harta, manakala rumah dan bangunan sedang dirobohkan dan diratakan. Tanah bekas rumah dan bangunan ini akan dirampas dan diberi hak milik baharu kepada bangsa penjajah. Gaza tidak ada lagi harta yang tinggal, apatah lagi kawasan tanaman. Yang tinggal hanyalah jiwa mereka yang sedang bergolak dengan ketakutan dan keresahan.
Gaza benar-benar sedang diuji. Dari semua penjuru, kiri dan kanan, dari depan dan belakang. Lapar, takut, bimbang, hilang keluarga dan harta menghantui orang-orang Gaza. Ujian ini sangat berat.
155. Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Al-Baqarah)
Walaupun ujian yang dihadapi sangat berat, iman mereka tetap kuat. Tidak ada yang ingin menjual iman kerana lapar dan miskin. Lelaki dan perempuan masih menutup aurat, hidup dengan amalan al-quran, bersolat dan terus berjuang. Ketika masa-masa sukar ini, al-quran memberi jaminan bahawa masa ini akan berakhir. Syaratnya ialah bersabar dan memperkukuh kesabaran. Pada masa yang sama, perkukuh strategi perjuangan dan tingkatkan amalan takwa.
200. Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu, dan tetaplah bersiap-siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beruntung. (Ali ‘Imran)
Sunday, July 06, 2025
Cukai sebagai mekanisme penting dalam pembangunan negara
Cukai memainkan peranan penting sebagai sumber pendapatan utama kerajaan bagi membiayai pembangunan negara dan perkhidmatan awam. Dalam sistem ekonomi moden, cukai dikutip melalui pelbagai kaedah seperti cukai pendapatan individu, cukai korporat, cukai barangan dan perkhidmatan (GST, VAT) serta duti import. Hasil kutipan ini digunakan untuk membiayai pelbagai program pembangunan seperti pembinaan infrastruktur, penyediaan perkhidmatan kesihatan dan pendidikan serta pemberian subsidi kepada rakyat.
Contohnya di United Kingdom, VAT diperkenalkan pada tahun 1973 pada kadar standard 20 peratus dengan pengecualian untuk barangan keperluan asas (makanan, ubat-ubatan dan sebagainya) yang dikenakan pada kadar kosong peratus. Kesan kepada rakyat ialah VAT menyumbang 20 peratus daripada hasil cukai UK, membiayai perkhidmatan kesihatan dan kebajikan sosial. Namun keadaan ini telah meningkatkan kos hidup terutama bagi isi rumah berpendapatan rendah yang menghabiskan lebih besar pendapatan untuk barangan dikenakan VAT.
Pada tahun 2015 hingga 2018, kerajaan Malaysia memperkenalkan GST pada kadar enam peratus kemudiannya pula naik kepada sepuluh peratus. Pengealan kadar ini telah mningkatkan hasil kerajaan sekitar RM44 bilion setahun namun membebankan golongan berpendapatan rendah.
Sistem percukaian moden mempunyai pelbagai bentuk pelaksanaan. Cukai langsung seperti cukai pendapatan dikenakan secara terus ke atas pendapatan individu atau keuntungan syarikat. Manakala cukai tidak langsung seperti GST atau VAT dikenakan pada setiap peringkat rantaian bekalan. Sistem cukai progresif yang mengenakan kadar berbeza mengikut kemampuan individu dianggap lebih adil berbanding sistem regresif yang memberi kesan lebih berat kepada golongan berpendapatan rendah.
Pelaksanaan sistem cukai membawa pelbagai kebaikan kepada negara. Ia membolehkan kerajaan mengumpul dana untuk membiayai pelbagai program kebajikan dan pembangunan infrastruktur. Cukai juga berfungsi sebagai alat pengagihan kekayaan melalui sistem progresif yang memastikan golongan berpendapatan tinggi menyumbang lebih banyak. Namun, sistem percukaian juga mempunyai kelemahan tertentu seperti risiko kebocoran dan penyalahgunaan dana jika tiada sistem pemantauan yang ketat. Kadar cukai yang terlalu tinggi pula boleh membebankan rakyat dan mengurangkan daya saing perniagaan.
Kesan pelaksanaan cukai amat ketara terhadap golongan berpendapatan rendah. Cukai tidak langsung seperti VAT memberi kesan lebih besar kepada kumpulan ini kerana sebahagian besar pendapatan mereka digunakan untuk perbelanjaan asas. Tanpa mekanisme bantuan yang sesuai, cukai boleh meningkatkan beban kos sara hidup dan memperlebar jurang pendapatan.
Bagi mengatasi masalah ini, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bantuan. Program bantuan tunai seperti Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) diperkenalkan untuk meringankan beban hidup. Pengecualian cukai ke atas barangan keperluan asas membantu menstabilkan harga. Sistem subsidi untuk bahan api dan makanan asas terus dilaksanakan bagi memastikan aksesibiliti golongan berpendapatan rendah kepada keperluan harian.
Sebagai kesimpulan, sistem percukaian merupakan mekanisme penting untuk memastikan kelangsungan pembangunan negara. Namun, pelaksanaannya perlu mengambil kira aspek keadilan sosial dan kemampuan rakyat. Kerajaan perlu terus memperbaiki sistem percukaian sambil memperkukuh mekanisme bantuan kepada golongan memerlukan. Dengan pengurusan yang telus dan efisien, sistem cukai dapat berfungsi sebagai alat untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mengurangkan ketidaksamaan pendapatan.
Subscribe to:
Posts (Atom)