Di media sosial, kegembiraan dikongsi bersama guru, ibu bapa dan pelajar sebagai gambaran kepuasan meraih kejayaan. Ia tidak sahaja menjadi kegembiraan bermusim sebaliknya menjadi sejarah hidup selama-lamanya.
Tanpa sokongan ibu bapa dan guru-guru, pelajar akan terkontang-kanting tidak tahu apa yang hendak dibuat.
Pelajar yang berjaya tidak menghadapi masalah untuk memilih insititusi pendidikan tinggi yang diminati. Mereka boleh sahaja memohon kemasukan dengan tenang, menanti penyedia biasiswa datang menjemput dan bebas memilih belajar di dalam atau laur negara.
Pelajar yang betul-betul cemerlang digalakkan memohon pengajian di luar negara. Mereka adalah aset negara untuk memajukan bidang tumpuan yang dapat penuhi keperluan negara. Merekalah 'cream of the cream' yang menjadi penggerak kemajuan negara.
Persaingan ke matrikulasi dan diploma ataupun politeknik sentiasa sengit. Pelajar cemerlang peringkat SPM belum tentu berjaya dengan cemerlang apabila berada di politeknik.
Ia boleh berlaku kerana kaedah belajar telah jauh berbeza daripada sekolah menengah. Kunci kejayaan di sini ialah kena rajin berusaha dan bergaul supaya dapat lebih ramai rakan yang 'satu kepala'.
Selain itu, kesempatan di matrikulasi, kolej komuniti atau politeknik harus diambil melalui peningkatan kemahiran diri dalam kursus-kursus teknikal, pengurusan dan bahasa. Mereka boleh juga mengambil kursus yang setaraf dengan SPM seperti O Level dan kursus bahasa-bahasa asing supaya nilai diri menjadi lebih baik.
Kegagalan dalam pelajaran harus dielakkan sama sekali kerana ia lambang hidup yang susah. Pelajaran menentukan sejauh mana seseorang dapat berfikir dan menentukan sikapnya. Sebab itulah, dikatakan orang yang berilmu berada satu darjat lebih tinggi daripada orang lain.
Orang yang tidak bersekolah atau terkandas dalam pelajaran harus mencari ilmu kemahiran yang sesuai supaya dapat menyusun semula arah hidup. Jika tidak mampu, orang di sekitarnya seperti ibu bapa dan adik-beradik wajar memberi sokongan dengan memasukkannya ke dalam arus pendidikan berkemahiran.
Konsepnya ialah orang yang gagal di sekolah tidaklah gagal dalam alam pelajaran kerana mereka hanya tidak dapat belajar kerana tahap keupayaan intelektual tetapi mereka mungkin sangat aktif dan kreatif dalam kerja-kerja kemahiran.
Hidup pelajar tidaklah tamat apabila gagal SPM. Di Malaysia, telah ada pelbagai saluran pendidikan yang menyokong kepada pembangunan kemahiran kerjaya sama ada disediakan oleh agensi kerajaan atau swasta. Mereka hanya perlu berusaha sedikit untuk mengenal pasti institusi penyedia supaya dapat menguasai kemahiran-kemahiran yang diminati yang mana pada masa yang sama pelajar-pelajar cemerlang meneruskan pembelajaran mereka di universiti.
No comments:
Post a Comment