Perbincangan mengenai pembinaan rumah ibadat di Malaysia sering kali menjadi isu sensitif yang melibatkan pelbagai dimensi, termasuk agama, sejarah, politik dan undang-undang. Isu ini tidak sahaja melibatkan pertembungan kepentingan antara pemilik tanah dan penganut kuil tetapi juga membangkitkan persoalan lebih besar tentang pengurusan ketegangan kaum dan agama dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Ketika isu ini berkembang, ia menjadi cerminan kepada cabaran serupa yang dialami di negara-negara lain seperti India dan Pakistan di mana konflik berkaitan tapak ibadat sering kali mencetuskan ketegangan sosial dan politik. Dalam konteks ini, artikel ini bertujuan untuk membincangkan latar belakang isu, faktor-faktor penyumbang kepada situasi sedemikian serta usaha penyelesaian yang boleh diambil bagi mengelakkan konflik yang lebih serius. Melalui analisis kajian kes, artikel ini memberikan gambaran menyeluruh tentang cabaran yang dihadapi dalam pengurusan isu tapak ibadat di Malaysia serta mencadangkan pendekatan penyelesaian yang berkesan dan inklusif bagi mengelakkan konflik pada masa depan.
Ketika ini, perbincangan tentang letak duduk perancangan pembinaan Masjid Madani di Jalan Masjid India masih berlanjutan. Halangan utamanya ialah terdapat sebuah kuil Hindu, Dewi Sri Pathrakaliamman yang telah didirikan di atas tanah kepunyaan syarikat Jakel Trading Sdn Bhd dan pantas menjadi isu yang hangat dibahaskan di media.
Pemilik tanah telah mewakafkan kawasan tersebut untuk pembinaan sebuah masjid bagi kegunaan umat Islam sebagai amal jariah supaya pahala wakaf tersebut mengalir terus-menerus.
Keadaan yang masih belum dapat diselesaikan ini sedang menggugat lebih banyak pihak untuk mengambil bahagian sama ada menyebelahi tuan tanah atau kuil Hindu. Di luar medan ini, orang ramai berminat mengetahui bagaimana isu ini diuruskan sehingga selesai. Sudah tentu, rata-ratanya tidak mahu melihat kejadian kematian seorang penjawat awam di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield pada tahun 2018 berulang kembali.
Pada masa yang sama, pihak-pihak berkepentingan turut berfikir dan merangka langkah-langkah penyelesaian supaya hasil akhirnya menepati kepentingan negara, sama ada untuk perpaduan, keselamatan atau kesejahteraan sosial.
Penyelesaian isu ini boleh diputuskan oleh dua pihak, pertama, ketegasan pemimpin dalam melihat, mendalami dan merungkai isu utama, dan kedua melalui perbicaraan di mahkamah. Namun, nampaknya penyelesaian pertama sedang dipertimbangkan apabila Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menyingkap pendiriannya yang tegas ketika memberi ucapan di Pulapol Kuala Lumpur.
“Negara ini mesti tegak atas hukum, biarlah soal teknikal, masjid itu 50 tahun atau 100 tahun ataupun kuil itu 100 tahun ... kita perhatikan, 100 tahun bukan di situ. Di situ ada yang kata 2012 ... 2008, tapi tak mengapa. Jangan robohkan... pindahkah dengan baik.
Tapi tidak semestinya setiap kuil yang tidak mendapat permit tanah harus diberikan tanah ganti oleh kerajaan”.
Isu pembinaan rumah ibadat secara tidak sah, khususnya kuil Hindu sering menjadi perdebatan di Malaysia dan beberapa negara lain. Terdapat beberapa faktor utama yang menyumbang kepada pembinaan kuil tanpa kebenaran di pelbagai lokasi, antaranya pertembungan sejarah dan warisan, kekurangan tapak rasmi, unsur kerohanian, kurangnya penguatkuasaan serta sentimen politik dan sensitiviti kaum.
Komuniti Hindu di Malaysia telah wujud sejak era penjajahan British. Ramai daripada mereka bekerja di ladang dan estet, justeru sebagai memenuhi keperluan ibadat, mereka membina kuil kecil untuk memenuhi keperluan berkenaan. Apabila ladang ini ditutup atau dimajukan, kuil-kuil tersebut sering ditinggalkan tanpa status tanah yang jelas. Penduduk yang dipindahkan ke kawasan baharu tidak menempatkan kuil yang menyebabkan pembinaan kuil baharu di tanah kosong tanpa kelulusan.
Dalam perancangan kawasan baharu, tidak semua kawasan mempunyai tanah yang diperuntukkan khas untuk rumah ibadat Hindu. Kesannya, masyarakat India membina kuil secara haram di tanah kerajaan atau tanah persendirian tanpa kebenaran.
Begitu juga dengan kepercayaan dalam agama Hindu, sesuatu tempat yang dikatakan mempunyai unsur kerohanian tertentu boleh dianggap suci dan perlu dijadikan tempat ibadat. Ini menyebabkan pembinaan kuil di lokasi tertentu, walaupun tanpa kebenaran.
Pada masa yang sama, walaupun terdapat undang-undang yang mengawal pembinaan rumah ibadat malangnya penguatkuasaan sering longgar. Apabila kuil sudah dibina dan mendapat sokongan komuniti setempat, sukar untuk merobohkannya tanpa mencetuskan ketegangan kaum dan agama. Akhir sekali, isu rumah ibadat sering menjadi bahan politik di Malaysia. Pemimpin politik, demi menjaga undi dan mencari populariti, kadang-kadang tidak mengambil tindakan tegas terhadap kuil haram.
Selain itu, sebarang cubaan merobohkan kuil sering disertai dengan bantahan besar-besaran, menyebabkan kerajaan berhati-hati dalam menangani isu ini.
Terdapat satu kes yang mendapat liputan luas di Malaysia sehingga melibatkan kematian dan turun naik mahkamah. Ia berlaku di Seafield, di mana Kuil Sri Maha Mariamman dibina di atas tanah milik pemaju dan sepatutnya dipindahkan berdasarkan perjanjian. Namun, bantahan daripada penganut Hindu menyebabkan konflik yang berakhir dengan rusuhan besar-besaran (The Star, 2021).
Seorang ahli bomba telah terbunuh, namun tidak ada seorang pun yang mengaku bersalah, biarpun Mahkamah Koroner telah menyatakan terdapat penglibatan beberapa orang dalam kes ini (Bernama, 2018).
Selain Malaysia, terdapat beberapa kes besar di peringkat antarabangsa yang mencetuskan perbalahan. Di India, kemusnahan Masjid Babri adalah pertikaian agama terbesar sehingga melibatkan mahkamah. Masjid ini dirobohkan oleh ekstremis Hindu kerana mereka mendakwa ia dibina di atas tapak kelahiran Dewa Rama (BBC News, 2019).
Mahkamah akhirnya memutuskan tanah itu diberikan kepada penganut Hindu untuk pembinaan kuil, manakala komuniti Muslim diberikan tapak alternatif untuk membina masjid. Sama seperti di Malaysia, banyak kuil Hindu di India dibina di atas tanah kerajaan tanpa kelulusan. Kerajaan India beberapa kali cuba merobohkan struktur ini tetapi sering mendapat bantahan daripada kumpulan agama.
Kes terkini melibatkan Masjid Gyanvapi di Varanasi yang sedang menjadi subjek pertikaian antara komuniti Hindu dan Muslim. Penganut Hindu mendakwa masjid tersebut dibina di atas tapak kuil Hindu yang dimusnahkan. Pada Februari 2024, mahkamah membenarkan penganut Hindu melakukan aktiviti keagamaan di ruang bawah tanah masjid yang dikenali sebagai 'wazukhana' yang ditutup sejak 2022 (India Today, 2024).
Keputusan ini mencetuskan ketegangan antara kedua-dua komuniti dengan jawatankuasa masjid merancang untuk mencabar keputusan tersebut di Mahkamah Tinggi.
Di Pakistan, isu yang sama juga timbul. Terdapat kuil-kuil Hindu yang dibina secara tidak sah telah dirobohkan oleh pihak berkuasa atau diubah menjadi masjid atau bangunan lain selepas pemisahan India-Pakistan pada tahun 1947 (The Express Tribune, 2020; Dawn, 2020).
Harus diingat, walau apa pun situasi yang muncul dan berlaku, kita mesti memastikan negara dibina atas asas-asas Islam.
Islam tidak menyakiti orang bukan Islam dalam negara Islam. Islam tidak menindas akidah mereka, juga tidak mengurangkan hak-hak mereka. Kenapakah wujud kebimbangan jika ada negara Islam yang melaksanakan syariat Islam dan menegakkan hukum-hakamnya?
Padahal keseluruhan syariat dan hukum-hakam Islam menekankan keadilan, kebenaran, kekuatan persaudaraan dan jaminan sosial yang menyeluruh atas dasar persaudaraan, kasih sayang dan kerjasama yang mulia.
"Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan." (Al-A’raaf; 96).
Rujukan
Al-Quran. (n.d.). Surah Al-A’raaf, ayat 96.
BBC News. (2019, November 9). Babri mosque: India’s top court gives site to Hindus. Retrieved from https://www.bbc.com/news/world-asia-india-50355775
Bernama. (2018, November 28). Rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman: Kronologi insiden berdarah. Berita Harian. Retrieved from https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/11/499654
Dawn. (2020, December 2). Pakistan Supreme Court orders reconstruction of vandalised Hindu temple in Karak. Retrieved from https://www.dawn.com/news/1593695
India Today. (2024, February 1). Gyanvapi mosque case: Varanasi court allows Hindu prayers in mosque basement. Retrieved from https://www.indiatoday.in/india/story/gyanvapi-mosque-varanasi-court-allows-hindu-prayers-in-mosque-basement-2485325-2024-02-01
The Express Tribune. (2020, July 5). Pakistan’s first Hindu temple complex in Islamabad faces hurdles. Retrieved from https://tribune.com.pk/story/2253647/pakistans-first-hindu-temple-complex-in-islamabad-faces-hurdles
The Star. (2021, August 5). Pakistan’s Hindu temple attacked over blasphemy allegations. Retrieved from https://www.thestar.com.my/news/world/2021/08/05/pakistan039s-hindu-temple-attacked-over-blasphemy-allegations
No comments:
Post a Comment