Friday, November 15, 2024

Jejak Ibnu Battuta


Buku Jejak Ibnu Battuta karangan Rosse E. Dunn yang dibeli semasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur pada tahun lepas baru sahaja saya selesai baca. Itu pun mengambil masa beberapa bulan kerana mencari masa lapang. Ada ketikanya dua muka surat dan ada kalanya sehingga sepuluh sehari. Biasanya masa lapang ialah selepas solat maghrib atau isyak.  




Buku ini bukanlah karya Ibnu Battuta iaitu Rihla ataupun My Travel sebaliknya karangan Dunn iaitu seorang profesor sejarah di San Diego State University yang telah mengupas pengembaraan Ibnu Battuta secara kritis.

Kembara Ibnu Battuta bermula pada usia 21 tahun (1325 masihi) di Tangier, Maghribi merentas Afrika, India, Sumatera hingga ke China. Beliau menggunakan pengetahuannya untuk menikmati status sosial yang tinggi di setiap tempat kembaranya seperti yang dilakukannya ketika berada di India dan Maldives.

Buku ini banyak menonjolkan peranan Ibnu Battuta sebagai penasihat, tokoh agama dan orang kepercayaan kerajaan. Catatan kembaranya kerap kali memperlihatkan dirinya berada dalam lingkungan pegawai kerajaan atau ketua masyarakat yang berpengaruh, diberi banyak kemudahan dan akses yang istimewa ke istana.

Hubungan sosial yang istimewa dengan pemerintah menyebabkannya kerap diberikan hadiah seperti emas, kuda dan hamba. Kesusahan yang beliau alami tidak berpanjangan kerana sering kali mendapat bantuan dan berada di pihak ‘nasib yang baik’.

Ia dapat dilihat dalam perjalanan laut dan darat yang berhadapan dengan ancaman lanun, laut bergelora dan perompak yang bengis. Banyak kali beliau mengalami kesukaran untuk melepasi masalah tetapi nasib baik sentiasa bersamanya.

Di setiap tempat yang dikunjunginya, beliau berkongsi budaya, sosial, ekonomi dan amalan agama Islam masyarakat setempat. Antaranya ialah suasana kehidupan masyarakat di Sumatera dan pulau Jawa.

Dalam kata pengantar buku ini, pakar sejarah dari Universiti Cornell, Taufik Abdullah, menyatakan pandangan Ibnu Battuta terhadap Sultan Jawa Samudra iaitu Al-Malik Az-Zahir yang merupakan pemerintah paling hebat, terkemuka dan pencinta ulama. Ibnu Battuta menyifatkan sultan itu dengan menyatakan baginda seorang yang rendah diri dan selalu berjalan kaki ke masjid untuk solat Jumaat.

Samudera di sini bermaksud Sumatera. Ibnu Battuta berada di situ selama dua minggu. Pada hari keempat iaitu hari Jumaat, beliau berpeluang menemui sultan di beranda masjid selepas solat. Sultan mempelawanya duduk sebelah kiri dan bertanyakan perjalanan kembaranya.

Kisah ini menunjukkan Ibnu Battuta pernah sampai ke nusantara untuk melihat masyarakat Islam. Pertemuan dengan pembesar dan pemerintah setempat telah diabadikan bersama dengan pengalaman menerima penghormatan negara.

Nampaknya lebih mudah bagi Ibnu Battuta memperkenalkan diri sebagai ilmuan berbanding orang awam yang tidak dikenali. Kelebihan di sini ialah menjadi orang yang berpengetahuan tinggi dan berkemahiran lebih mudah mendapat akses ke istana..

Pengalaman saya membaca buku ini seolah-olah berada dalam kembara Ibnu Battuta tetapi tidak merasai kepuasan emosi untuk menjiwai setiap kejadian yang dilaluinya. Barangkali penulis sejarah seperti Dunn ini yang hanya mengambil beberapa aspek utama kembara Ibnu Battutah tetapi tidak menulis perubahan emosi dan rasa jiwanya. Akhirnya, penulisan ini hanya dapat mengetahui proses pengembaraan tanpa dapat menjiwai bagaimana situasi dan pahit getir yang dilalui Ibnu Battutah.

Selepas selesai membaca buku ini, ternyata Ibnu Battuta telah menghabiskan tempoh 30 tahun kembara ke 44 buah negara. Beliau kembali ke Tangier pada tahun 1354 masihi dan bersahabat dengan Sultan Abu Inan. Di sinilah munculnya Rihla atau My Travel apabila sultan menitahkan beliau perlu menyiapkan sebuah laporan perjalanan yang memuatkan pengalamannya.

Antara perintah lain ialah laporan berkenaan diubah menjadi suatu bentuk penulisan seperti sebuah travelog. Tugas ini diberikan kepada Ibnu Juzayy iaitu seorang yang mahir dalam seni syair, filologi, sejarah, hukum dan gaya kaligrafi halus. Kandungan yang perlu dimuatkan dalam travelog ini ialah “Ibnu Battuta perlu melakukan catatan berkenaan kota-kota yang pernah beliau lihat dalam setiap perjalanan dan berkenaan peristiwa-peristiwa menarik yang terakam dalam ingatan beliau. Ibnu Battuta perlu bercakap berkenaan pemerintah negeri-negeri yang pernah beliau jumpai, golongan terpelajar dan orang soleh. Bersesuaian dengan hal itu, Ibnu Battuta perlu mencatatkan perkara-perkara itu dalam sebuah kisah yang menghiburkan fikiran dan memberi kenikmatan kepada telinga dan mata”.

Untuk mendapatkan maklumat, Ibnu Battuta dan Ibnu Juzayy bertemu dan berbincang di banyak tempat seperti rumah lelaki tua, rumah orang muda, serambi Fed Jadid atau serambi masjid yang mendamaikan.

Lalu terhasillah Rihla iaitu sebuah catatan kehidupan yang dialami Ibnu Battuta yang mengungkap keperibadian seorang musafir yang tabah, bersemangat tinggi, lantang mengkritik, soleh dan mesra.


No comments:

Post a Comment