Thursday, January 07, 2021

Banjir meruntun jiwa





Banjir di bandar Kota Tinggi berlaku lagi selepas 15 tahun. Sebahagian besar bandar tersebut dikepung dan digenang air yang melimpah dari Sungai Johor. Hujan lebat berterusan berberapa hari telah menambah kuantiti air sungai dan mengalir deras ke hulu. Kemampuan Sungai Johor menampung air yang mengalir di tengah-tengah bandar Kota Tinggi sangat terhad menyebabkan air melimpah ke kawasan sekitar seterusnya memasuki premis perniagaan berhampiran.

Deretan kedai di pinggir sungai sudah tentu berhadapan dengan masalah besar jika tidak memindahkan barang mereka ke tempat lebih tinggi. Kawasan rekreasi yang terdapat di pinggir sungai tidak lagi cantik seperti dulu dan perlu dicuci dan dibersihkan.

Kesan yang paling ketara ialah trauma dan sakit jiwa dalam kalangan penduduk dan mangsa yang terlibat. Antara trauma ini ialah berasa bimbang dan resah apabila mendengar bunyi rintikan air hujan pada bumbung rumah atau melihat hujan turun renyai-renyai. Mungkin ada yang berasa cemas, panik dan tidak tentu arah memikirkan tindakan yang patut dilakukan.

Faktor utama banjir pada tahun ini ialah hujan lebat. Kemampuan Sungai Johor yang terhad tidak dapat menampung jumlah air sungai yang bertambah secara mendadak.

Air yang masuk di premis perniagaan merosakkan barang, mengotorkan lantai mencomotkan dinding. Kemusnahan barang perniagaan seperti peralatan pejabat dan produk jualan tidak dapat dibaiki dalam tempoh yang singkat selagi jalan masuk ke premis perniagaan tidak dibersihkan.

Selain itu, air banjir yang masuk ke dalam premis perniagaan membawa sampah-sarap dan kotoran yang perlu dibersihkan. Ia lebih mudarat apabila air tidak bergerak untuk beberapa hari kerana mengundang bau hapak dan kesan beloreng di dinding premis.

Barang-barang jualan yang terendam dalam air dikira rosak dan dibuang. Ia memberi kesan besar kepada peniaga kerana tidak dapat dijual. Antara barangan ini termasuk peralatan elektrik, pakaian, stok makanan mentah dan peralatan sukan. Kemusnahan barangan ini hanya dapat ditaksir selepas usaha pembersihan dilakukan.

Selain kerosakan barang, kesan yang lebih ketara ialah kehidupan pascabanjir. Perasaan bimbang dan kurang motivasi adalah petunjuk yang akan muncul apabila mangsa banjir ditempatkan di pusat pemindahan. Satu keadaan yang muncul secara jelas ialah kebimbangan akan berlaku lagi banjir kali kedua.

Mangsa yang memiliki bekalan barangan kehidupan boleh menumpang hidup sementara di rumah saudara-mara dan jiran tetangga namun mangsa yang tidak ada saudara-mara perlu menjadikan pusat pemindahan sebagai tempat berteduh.

Pusat pemindahan ini dilihat lebih baik namun kurang memberi keselesaan kerana mereka perlu bersama-sama dengan ramai orang berkongsi tempat tinggal, bilik, air, dapur masak, tempat makan dan sebagainya. Ia juga tidak selesa apabila terdapat etnik dan agama yang berbeza.

Kesukaran yang dihadapi ini memberi ruang kepada mangsa-mangsa banjir untuk mengenali antara satu sama lain, bersama-sama mengharungi keperitan ketika rumah dilanda banjir dan berupaya mencari penyelesaian mendesak kerajaan mengambil langkah segera memastikan tidak ada lagi kejadian banjir pada masa hadapan.


No comments:

Post a Comment