Thursday, December 03, 2020

Pengucapan awam dalam talian



Media baru dan teknologi digital telah mengubah bentuk interaksi dan akses antara perucap dan audiens. Tradisi pengucapan awam yang memerlukan perucap berada di hadapan dan audiens di belakang telah berubah sama sekali. Perbezaan yang ketara ialah semua pelantar di media baru membolehkan perucap berkongsi idea dan maklumat kepada lebih ramai audiens malah ke seluruh dunia.

Kaedah penyampaian melalui webinar, persidangan video dan pengucapan awam digital telah meresap masuk ke dalam industri profesional dan menjadi pilihan untuk amalan terbaik (the best practies) dalam pengucapan awam dalam talian.

Berbanding pengucapan awam bersemuka, pengucapan awam ini turut menawarkan pelbagai peluang dan kekangan seperti membuat persiapan, tersusun, bernas dan membuat latihan. 

Tujuan Pengucapan Awam Dalam Talian

Pengucapan awam dalam talian memiliki tujuan yang sama dengan pengucapan awam bersemuka iaitu memberi tahu, memujuk dan menghibur. Lind (2012) memberi definisi pengucapan awam dalam talian ini sebagai pidato digital iaitu pidato awam yang digerakkan oleh idea-idea utama, lisan dan ditempatkan di media baru. Oleh kerana pidato digital ini memerlukan kenyataan umum, tujuannya akan ditentukan oleh bagaimana maklumat disusun untuk disampaikan kepada khalayak.

Hari ini teknologi video yang semakin canggih membantu memindahkan ucapan melalui telefon, menarik minat pengikut atau pelanggan ke dalam v-log melalui siaran langsung. Namun kaedah ini bukan satu-satunya cara dalam pidato digital, malah apa sahaja bentuk pengucapan di Internet boleh dikategorikan sebagai pidato digital. Kita boleh merakam video atau membuat ulasan dan dihantar ke v-log sebagai pengucapan awam dengan tujuan tertentu.

Segerak dan Tidak Segerak

Pengucapan awam bersemuka berlaku dalam konteks yang sangat berbeza. Jika perucap menyampaikan ucapan secara langsung di hadapan audiens, pengalaman yang dialami adalah dalam waktu sebenar. Keadaan yang sama turut berlaku dalam pengucapan awam dalam talian iaitu perucap dan audiens boleh melihat antara satu sama lain dan berinteraksi pada masa sebenar.

Contohnya majlis perasmian persidangan diadakan pada masa yang ditentukan dan melibatkan tetamu kehormat manakala audiens memberi perhatian pada majlis yang sedang berlangsung melalui aplikasi Zoom. Semua peserta yang mengambil bahagian menonton perjalanan majlis secara langsung dan mendengar ucapan perasmian secara serentak. Idea ini dinamakan segerak atau ‘synchronise’.

Dalam kaedah segerak ini, kebanyakan prinsip pengucapan awam bersemuka dikira terpakai. Pembentangan yang dilakukan adalah singkat dan berlaku hanya sekali. Justeru, perucap berpeluang menyatakan mesej yang jelas iaitu memberi keutamaan kepada maklumat yang dapat memberi kefahaman kepada audiens.

Ciri-ciri lain segerak adalah komunikasi langsung untuk peristiwa yang berlaku serentak dan dapat diramal. Proses penyampaian ucapan dan penerimaan mesej oleh audiens berlaku pada masa yang sama. Selain penggunaan aplikasi dalam talian seperti Zoom, Microsoft Teams atau Webex, ia juga digunakan dalam ‘video call’ dan ‘chatting’.

Berbeza dengan kaedah segerak ialah tidak segerak atau ‘asynchronise’ iaitu ucapan yang  telah dirakam terlebih dahulu dan ditonton pada masa yang berbeza. Dengan kata lain, tidak segerak adalah komunikasi tertunda yang menggunakan medium e-mel, forum, blog atau saluran video sosial seperti YouTube dan WhatsApp. Ia tidak terikat dengan waktu yang tetap kerana bersifat relatif dan tidak tetap. YouTube, saluran media video sosial yang popular adalah hos yang membenarkan audiens menonton siaran video tertunda mengikut kesesuaian masa mereka.

Perucap yang menggunakan kaedah segerak lebih selesa menggunakan strategi bersemuka termasuk mengintegrasi maklum balas secara langsung. Praktis ini biasa berlaku dalam pengucapan awam dalam talian untuk undiens menghantar soalan atau memberi maklum balas dan membolehkan perucap menyelaraskan kandungan penyampaiannya dan mengurangkan jurang perbezaan kefahaman dalam kalangan audiens.

Dalam kaedah tidak segerak pula, perucap berupaya mengawal kandungan ucapan dengan lebih mudah kerana memiliki banyak masa untuk berfikir dan melakukan editan.

Audiens

Media baru menjadikan jumlah audiens bertambah dalam tempoh yang singkat. Pengucapan awam bersemuka mengehadkan jumlah audiens yang boleh menyertai sesuatu majlis. Namun pengucapan awam dalam talian tidak mengehadkan jumlah audiens yang boleh turut serta. Perbezaan ini menentukan cara dan kaedah yang perlu diambil kira oleh perucap.

Penentuan tajuk dan topik sangat penting. Tajuk yang jelas, khusus dan berfokus menarik audiens untuk berada di hadapan layar komputer. Terdapat butang ‘Like’ yang menjadi penanda aras kepada populariti dan dilihat oleh ramai penonton. Justeru, pemilihan tajuk dalam hantaran v-log akan mempengaruhi naluri audiens untuk terus kekal menonton ucapan hingga tamat.

Ciri-Ciri Pengucapan Awam Dalam Talian

Secara umum. Pengucapan awam dalam talian yang berkesan mesti memiliki tiga perkara iaitu penyampaian lisan, penyampaian tanpa lisan dan penggunaan alat bantu.

1. Penyampaian lisan

Penyampaian secara lisan adalah kunci utama dalam pengucapan awam dalam talian khususnya apabila terdapat program webinar dan persidangan video yang melibatkan penggunaan slaid. Audiens akan terganggu apabila penggunaan slaid yang berlebihan kerana tidak dapat melihat mimik muka, penampilan diri dan pertembungan mata dengan perucap.

Sebutan yang jelas, tanda baca, kadar kelajuan dan jeda menjadi paksi untuk mengekalkan minat audiens. Di samping itu, suara yang bertenaga dan berintonasi turut dapat mengekalkan minat audiens.

Berlatih berucap boleh dimulakan dengan merakam suara sendiri melalui telefon pintar, memilih idea yang kritikal dan membuat penilaian suara sama ada mendatar atau tidak bertenaga. Ketika sesi pengucapan awam dalam talian, perucap cenderung duduk di atas kerusi menyebabkan tahap tenaga berkurangan, oleh itu perucap boleh menyelaraskan kedudukan posisi duduk dan menyelami pengalaman audiens.

Suara dan persembahan adalah elemen penting yang dapat memberi kesan dalam penyampaian lisan dalam talian ini. Justeru, perucap perlu belajar penggunaan teknologi seperti mikrofon yang berbeza jenis dan kualiti kerana perlu diselaraskan dengan posisi duduk perucap.

2. Penyampaian bukan lisan

Perucap juga harus mengambil kira penggunaan alat bantu yang mengukuhkan penyampaian seperti slaid atau capaian ke laman sesawang. Justeru peranan kamera sangat penting supaya audiens dapat melihat wajah perucap. Penggunaan lebih daripada satu kamera dapat mengekalkan interaksi perucap dan audiens biarpun slaid dipaparkan pada skrin komputer.

Pertembungan mata masih lagi menjadi sebahagian daripada kunci utama dalam pengucapan awal dalam talian ini. Biarpun perucap boleh mengelak daripada terus bertentang mata dengan kamera dalam tempoh tertentu, audiens masih mahu melibatkan diri dalam ucapan berkenaan.

Ekspresi wajah juga boleh dilihat dalam pengucapan awam dalam talian bergantung kepada sudut lokasi kamera yang digunakan. Kedudukan kamera yang dekat atau jauh mempengaruhi kebolehlihatan (visibility) perucap, pencahayaan dan kejelasan suara. Bagaimanapun, intonasi suara tidak banyak perbezaan dengan pengucapan awam bersemuka.

Akhir sekali, latar belakang sebagai tempat berucap mempengaruhi pandangan pertama audiens. Penerimaan dan penolakan terhadap ucapan yang diberi bergantung kepada kekemasan latar belakang perucap. Penggunaan aplikasi dalam talian menyediakan pelbagai pilihan  latar belakang dalam menu ‘Change Virtual Background’ harus dimanfaatkan oleh perucap kerana ia menyediakan ‘mood’ yang selesa kepada sudiens. Latar belakang yang sesuai dapat memberi nilai kepada audiens dan meningkatkan keberadaan mereka dalam sesi pengucapan awam dalam talian ini.

3. Alat bantu pembentangan

Dalam sesetengah keadaan, pengucapan awam dalam talian memasukkan alat bantu pembentangan untuk memaksimumkan keberkesanan penyampaian. Terdapat dua perkara yang harus ditentukan iaitu keperluan menggunakan alat bantu dan menyediakan pilihan lain.

Pertama, apakah keperluan alat bantu pembentangan ini? Sekiranya ia membantu mengukuhkan ucapan dan penyampaian, penggunaannya amat tepat dan memberikan kepuasan kepada audiens. Namun jika penggunaannya semata-mata bagi melindungi identiti perucap dan kemahiran pengucapan awam, alasan ini amat lemah.

Kemunculan pelbagai jenis aplikasi yang boleh dimuat turun untuk membantu perucap menyebut perkataan lebih jelas, melatih intonasi suara dan meningkatkan keyakinan berucap. 

i. Aplikasi nota suara dan arahan percakapan

Rakaman suara menggunakan aplikasi penterjemahan dapat memberikan kejelasan pemikiran perucap dalam bentuk perkataan. Kaedah ini membenarkan perucap merangka idea yang dekat dengan cita rasa dan kehendak perucap di samping memberi masa untuk penerangan yang lebih terperinci. Jika dibuat berulang kali, perucap dapat membandingkan nota ucapan seterusnya memilih ucapan yang terbaik. Antara aplikasi tersebut adalah Voice Notes, PowerPoint, Prezi, Google Slides, KeyNoteDragon Anywhere dan Dictate2Us.

ii. Gangguan ‘Filler Words’

Mengulang perkataan ‘Umm’ atau ‘Uhh’ menunjukkan perucap tidak yakin dengan ucapan dan tidak bersedia. Perkataan-perkatan ini dipanggil ‘filler words’ iaitu jeda di tengah-tengah ucapan kerana perucap agak sukar menghubungkan idea dengan perkataan. Terdapat aplikasi yang memberitahu jumlah perkataan ‘Umm’ dan ‘Uhh’ yang perucap sebut ketika rakaman ucapan dilakukan. Antara aplikasi yang menyediakan penyelesaian ini adalah Ummo, Orai dan LikeSo.

3. Penglibatan Audiens

Pihak yang sangat berpengaruh dalam pengucapan awam bersemuka dan dalam talian adalah audiens biarpun dalam jumlah yang kecil atau sedikit. Justeru, perucap perlu memahirkan diri untuk menarik minat audiens sehingga mereka dapat menikmati ucapan sehingga akhir. Teknologi digital telah menyelesaikan masalah ini dengan menyediakan reka bentuk paparan skrin yang menarik untuk menggesa audiens berinteraksi dengan perucap.

Maksud interaksi di sini ialah soal jawab yang mencetuskan perbahasan, menulis nota peribadi, berkongsi kandungan di media sosial, mengambil bahagian dalam pungutan suara dan memberi maklum balas yang mana semuanya ini memberi idea yang sangat penting kepada perucap untuk menambah baik kualiti penyampaian. Antara aplikasi tersebut adalah EngageNow, Glisser dan BuzzMaster.

4. Pungutan Suara

Penglibatan audiens dalam pengucapan awam dalam talian akan lebih menarik apabila mereka dapat mengambil bahagian dalam aktiviti pengukuhan. Penglibatan ini dilakukan melalui mesej, laman sesawang dan aplikasi khas. Keputusannya dapat diketahui segera dalam pelbagai jenis. Bentuk interaksi ini menggunakan nombor pin yang unik dan keputusnnya dipaparkan dalam bentuk yang menarik dan boleh digunakan dalam kalangan audiens yang kecil atau besar. Antara aplikasi tersebut adalah Mentimeter, Kahoot! dan Poll Everywhere.

Latihan Berucap

Membuat latihan berucap dalam talian boleh meletihkan kerana proses ucapan perlu dibuat berulang kali. Latihan pengucapan akan lebih berkesan apabila perucap dapat memahami kandungan ucapan kerana ia menerangkan bagaimana maklumat harus disampaikan. Pepatah lama berbunyi, ‘Setiap langkah yang hebat bermula dengan langkah pertama’ amat menepati pengucapan awam.

Pengkaji otak, Dr. Jill Bolte-Taylor menyatakan bahawa beliau berlatih untuk program TED Talk bukannya sekali atau dua kali bahkan sebanyak  200 kali. Klip video ‘Stroke of Insight" beliau telah dilihat lebih dari 22 juta kali dan disenaraikan sebagai salah satu siri ucapan TED paling popular.

Kaedah Dr Jill sudah tentu berbeza dengan perucap amatur kerana latihan  sebanyak 200 kali perlukan kesabaran yang tinggi. Namun kita boleh lakukan cara berikut untuk memantapkan latihan pengucapan awam dalam talian iaitu mulai dengan nota ucapan, latihan berucap ketika kurang tekanan, dapatkan maklum balas khusus daripada rakan-rakan yang menjadi audiens, merakam ucapan dan meneruskan latihan berucap sehingga yakin telah sempurna.

Pengucapan awam dalam talian adalah bentuk ucapan yang unik dan berkembang seiring dengan permintaan masyarakat global. Pengucapan awam jenis ini juga akan berkembang kerana keperluan untuk mendapatkan maklumat, pengetahuan baru dan idea yang inovatif telah mengubah senario komunikasi di semua peringkat sosial. Walaupun medium komunikasi telah berubah, prinsip-prinsip pengucapan awam tetap kekal dan diperkukuhkan. Perucap bertanggungjawab merangka ucapan yang berkesan dan menggubah hujah yang kukuh untuk disampaikan kepada audiens. 


Rujukan

Lind, S. J. (2012). Teaching Digital Oratory: Public Speaking 2.0, Communication Teacher, 26:3, pp. 163-169.




No comments:

Post a Comment