Monday, January 31, 2022

Kenal pasti strategi terbaik


Sebelum kita melakukan sesuatu perkara, lebih baik kita mempunyai idea tentang apa yang kita mahu pada ahirnya. 

Apabila ktia tahu apa yang kita mahu, tentulah kita bergerak dengan bermatlamat, merangsang minda untuk berfikir dan mencari ikhtiar. 

Langkah awal untuk mengetahui apa yang kita mahu adalah mengetahui halangan-halangan yang membataskan kejayaan. 

Tidak kisahlah apa kelemahan-kelemahan yang lepas, saya yakin halangan yang paling besar adalah kita memiliki strategi yang lemah atau tidak memadai untuk membuat perubahan.

Jadi, sebelum merancang lebih jauh, adalah lebih baik meneliti apakah strategi-strategi terbaik ini.


Sunday, January 30, 2022

Berubah tapi jangan angkuh


Seorang ketua di sebuah syarikat korporat terkemuka berkata, “Kejayaan boleh membuatkan kita keras hati dan angkuh, kita berhenti daripada mendengar. 

Apabila berhenti mendengar, kita berhenti berubah. 

Dalam sunia yang sentiasa berubah, jika kita membuat keputusan untuk berhenti berubah, kita akan gagal”. 

Sisi negatif kejayaan seseorang adalah angkuh. Sikap angkuh muncul apabila seseorang merasakan dirinya hebat, sangat luar biasa ataupun merasakan dirinya lebih bijak daripada orang lain. 

Mendengar nasihat, panduan dan tunjuk ajar dapat membuka hati dan fikiran untuk membuat perubahan. 

Seperti kata-kata tadi, perubahan tidak dapat dielakkan dalam dunia global hari ini.


Saturday, January 29, 2022

Hargai diri, hargai orang lain


Satu malam, seorang lelaki yang matanya agak kabur dan hampir buta ingin pulang ke rumah. Rakannya memberi sebuah pelita untuk dipegang ketika berjalan pulang. 

Lelaki itu berkata, “Buat apa bawa pelita ,,, kan mata saya sudah tidak nampak?” 

Rakannya memandang lelaki ini dengan penuh kasih sayang dan berkata, “Pelita ini fungsinya besar … supaya orang lain dapat melihat kamu”. 

Lelaki itu bersetuju dan beredar pulang. 

Kira-kira seratus meter sebelum sampai ke rumah, dia dilanggar oleh seorang pejalan kaki yang melalui jalan yang sama. 

Suara keras kedengaran, “Buta ka? Tak nampak saya … ada pelita pun tak nampak orang!”

Marahnya lelaki ini sangat ketara kerana perlu mengimbangi badan supaya tidak jatuh.

Lelaki buta itu turut marah, “Kamu yang buta, tak nampakkah pelita yang saya pegang ini?” 

Moral kisah ini adalah kita wajar menghargai orang lain dan juga diri sendiri . 

Dalam hidup, pelita yang utama adalah ilmu kerana dalam kegelapan, ilmu yang menjadi petunjuk.


Friday, January 28, 2022

Cuba lagi dan baiki teknik


Fikiran positif banyak membantu orang ramai menerima kenyataan. 

Saya ingin berkongsi sebuah kisah dengan anda berkenaan dengan seorang pemain baseball yang bernama Babe Ruth. 

Beliau adalah pemain yang paling banyak membuat “home-run” iaitu larian dengan bola yang dipukul melepasi kawasan padang sehingga sampai ke kawasan penonton. 

Namun beliau juga yang paling banyak membuat “struck-out” iaitu terkeluar kerana pukulan tidak mengena bola. Setiap kali hayunan melencong dan terlepas pukulan, wujud reaksi positif pada wajahnya. 

Lalu seorang wartawan sukan bertanya kenapa beliau memberi reaksi begitu. 

Jawabnya, “Itu bermakna saya makin hampir untuk mendapat “home-run” bagi pasukan saya tidak lama lagi”. 

Pengajarannya adalah sekali lagi kita gagal tidak bermakna gagal lagi. Cuba dan baiki teknik supaya berjaya.

Thursday, January 27, 2022

Stres - lagi lama, lagi berat


Seorang guru bertanya kepada pelajarnya tentang berat segelas air. 

Jawapan yang diberikan pelajarnya berbagai-bagai jenis, ada yang kata 20 gram, 50 gram dan 100 gram. Guru itu ingin mengaitkan berat dengan stres atau tekanan hidup. 

Lalu guru memberi jawapannya, “Sebenarnya, sama ada 20, 50 atau 100 gram berat air ini tidak penting. Ia bergantung kepada berapa lama kita menanggung berat gelas. 

Kalau satu minit, ia tidak menjadi masalah. Kalau satu jam, lengan kamu akan mula lenguh dan kalau satu hari, kamu akan masuk hospital. 

Walaupun berat asal air adalah sama, lebih lama kita memegang gelas air itu, tekanannya semakin berat”. 

Ada kalanya kita perlu melepaskan beban yang dihadapi untuk sementara waktu. Kalau ada masa boleh lihat kembali beban tersebut dan cuba selesaikannya.

Wednesday, January 26, 2022

Contohi kegigihan labah-labah


Banyak pengajaran yang kita boleh dapat daripada labah-labah. Saya ingat di negara kita, banyak tempat yang menjadi tumpuan untuk melihat labah-labah. 

Satu daripada pengajaran yang sangat baik adalah sifat gigih. Kegigihan labah-labah boleh dilihat apabila ia membina sesawangnya berulang kali walaupun telah beberapa kali musnah ditiup angin. 

Proses membina sesawang ini bukannya senang kerana labah-labah perlu mengeluarkan bebenang dari badannya supaya jaringan yang dibentuk menepati bentuk sesawang dengan ketepatan maksimum. 

Labah-labah memberi gambaran bahawa dengan bersungguh-sungguh, gigih dan tidak mudah berputus asa, insya Allah suatu hari nanti kejayaan akan menjadi milik kita.

Tuesday, January 25, 2022

Mulakan sekarang!



Inovasi dan kreativiti sudah menjadi tanda dagangan dalam pendidikan hari ini. Kedua-duanya adalah ilmu yang boleh diperolehi dengan belajar dan mengembangkannya melalui proses berfikir. 

Banyak kaedah untuk berfikir seperti ‘out of box’ atau ‘lateral thinking’ supaya minda kita tidak terikat dengan kaedah berfikir tradisional. 

Galakan menjadi seorang yang inovatif dan kreatif sepatutnya bermula dari kecil tetapi tidak ramai yang dapat peluang seperti ini. Jadi, pada saya, menjadi inovatif dan kreatif ini boleh bermula di mana-mana kita berada. 

Jika kita berumur 30 tahun, ia boleh bermula hari ini, begitu juga kalau jika berumur 50 tahun, ia juga boleh bermula pada umur tersebut kerana ia lebih baik daripada tidak berbuat apa-apa.



Monday, January 24, 2022

Jaga bahasa, jaga mulut


Apa yang kita sebut masalah bercakap, berbual atau memberi ucapan melambangkan watak atau karakter diri. 

Banyak aspek yang orang lain boleh menilai diri seperti personaliti, sikap, kedudukan, emosi, potensi diri, ketrampilan, keyakinan diri atau kecenderungan berfikir. 

Untuk mengekalkan persepsi positif orang lain dalam mengekalkan persahabatan atau imej, menguasai bahasa adalah kemahiran yang sangat penting. 

Bahasa boleh menjadi alat atau tools untuk mempamerkan keupayaan dan kewibawaan diri. 

Kita dilihat mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang tinggi dalam sesuatu bidang jika dapat menyampaikan maksud dengan istilah yang tepat dan difahami.


Sunday, January 23, 2022

Komunikasi aset penting dalam diri


Kemahiran komunikasi sangat penting untuk berjaya dalam bidang perkhidmatan. 

Lebih 70 peratus kegagalan aktiviti di tempat kerja dikatakan berpunca daripada masalah komunikasi. 

Hal ini kerana 55 peratus daripada mesej yang ingin disampaikan diserap melalui mimik muka dan gerak badan manakala 38 peratus diserap melalui gaya pertuturan seperti kelajuan, kelantangan, kenyaringan dan kelancaran sebutan perkataan. 

Kita sentiasa berkomunikasi dalam semua aktiviti sama ada diam, berjalan, cara berpakaian, senyum atau ketika bercakap. 

Justeru, komunikasi bukanlah setakat memindahkan maklumat tetapi berkongsi maksud maklumat yang disampaikan.


Saturday, January 22, 2022

Urus masa untuk diri, agama dan orang lain


Pengurusan masa berkait dengan pengisian masa. Semua orang ada 24 jam sehari dan yang membezakannya adalah bagaimana kita mengisi masa-masa ini. 

Jika kita melihat masa yang diberikan itu sebagai modal dan aktiviti sebagai pelaburan, tentulah kita mengharapkan pulangan yang lebih banyak. 

Kita boleh membahagikan pengisian masa untuk diri, aktiviti agama dan orang lain.

 Aktiviti untuk diri adalah bekerja, belajar, berfikir dan riadah. 

Untuk agama adalah membaca al-quran, solat dan muhasabah manakala untuk orang lain adalah ziarah, sertai aktiviti kemasyarakatan dan bersosial. 

Penting untuk memiliki pecahan aktiviti ini supaya kita dapat mengawal masa kita.

Friday, January 21, 2022

Transformasi urus diri


Satu perkara yang mesti dilaksanakan dalam proses transformasi diri adalah keupayaan untuk mengurus diri. 

Ada beberapa soalan asas yang mudah dan perlu dijawab sebelum kita dapat mengurus diri dengan baik. 

Antara soalan ini adalah siapa saya, apa haluan hidup saya, pada tahap mana pencapaian saya dan bagaimana matlamat hidup yang saya impikan. 

Soalan-soalan ini berkait dengan keadan emosi, rohani dan fizikal kita kerana transformasi diri bersifat dalaman dan luaran. 

Mengurus diri amat penting kerana ia menentukan apa yang akan kita lakukan setiap hari, input dan output, baik ataupun buruk kerana setiap satunya menentukan untuk diri kita sendiri.


Thursday, January 20, 2022

Tiga asas urus perubahan


Mengurus perubahan melibatkan tiga asas utama iaitu sikap yang positif, percaya kepada diri sendiri dan komitmen tinggi untuk berjaya. 

Perubahan dan mengurus perubahan perlukan pendekatan yang sistematik, kemas dan tempoh yang munasabah. 

Kemahiran-kemahiran khusus juga wajar dikuasai seperti penggunaan komputer, teknik komunikasi dan berupaya berunding. 

Kemahiran lain untuk mengurus perubahan adalah keinginan dan kesediaan untuk belajar perkara-perkara baharu. 

Kita mesti sentiasa bersedia untuk belajar, bersedia dengan hati terbuka untuk menerima idea dan nasihat supaya perubahan yang hendak dibuat tu menjadi kenyataan.

Wednesday, January 19, 2022

Ingat lima perkara


Dalam hadis Rasulullah saw yang bermaksud, “Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara iaitu masa sihatmu sebelum sakit, masa lapangmu sebelum sakit, masa senangmu sebelum susah dan masa hidupmu sebelum mati”. 

Semua lima perkara ini ada pada setiap orang namun kita sering membuat andaian bahawa apa yang kita miliki pada waktu ini akan kekal sehingga ke usia emas. 

Contohnya, zaman remaja adalah masa yang paling gembira. Kekuatan fizikal, semangat jitu dan kesihatan yang baik sangat ketara semasa zaman ini. 

Namun semua ciri ini akan merosot apabila umum semakin meningkat.


Tuesday, January 18, 2022

Bina kecemerlangan bersama


Usaha mencapai kecemerlangan diri dalam apa jua bidang khususnya akademik, perlukan pendekatan menyeluruh. 

Kecemerlangan pelajar sama ada di sekolah, kolej atau universiti sangat bergantung kepada persediaan mental dan fizikal, sokongan moral yang berterusan, hubungan erat dengan rakan dan pensyarah, mengekalkan nilai-nilai hebat seperti motivasi, disiplin diri, pengurusan masa dan menggunakan strategi ‘A’. 

Sokongan ibu bapa, guru dan masyarakat sekitar turut membantu membina motivasi diri yang kuat untuk berjaya. 

Apabila pendekatan menyeluruh atau holistik menjadi budaya, baharulah dikatakan kecemerlangan tersebut adalah kecemerlangan bersama.


Monday, January 17, 2022

Rajin-rajin belajar


Hari ini peluang belajar jauh lebih banyak dan boleh dipilih. Kalau tidak mahu belajar dalam negara, boleh mohon belajar keluar negara. 

Ketahanan kita tidak mahu belajar, tidak mahu sambung belajar selepas SPM atau STPM, apakah yang hendak kita lakukan? 

Berbeza sepuluh tahun lalu, hari ini masing-masing berlumba untuk memiliki sijil supaya mendapat pekerjaan yang lebih baik. 

Banyak bidang yang diperlukan untuk membina negara, sama ada teknologi maklumat, sains ataupun bidang profesional yang lain. 

Pada saya, mereka yang merebut peluang ini akan lebih cepat berjaya dalam hidup dan kerjaya. 

Rajin belajar boleh membantu kita bergerak lebih jauh.


Sunday, January 16, 2022

Yang betul - rancang dan bertindak


Kenali, buat pelan dan rancang untuk pastikan objektif tercapai. Mungkin ramai antara kita yang memiliki sasaran atau matlamat yang hendak dicapai dalam hidup. 

Mungkin sasaran ini tiga tahun, lima tahun atau sepuluh tahun. Tidak salah mempunyai banyak matlamat tetapi yang lebih penting adalah melaksanakan tindakan. 

Dalam bertindak ini, kita perlu berani mengambil risiko, menyesuaikan diri, menghargai inovasi dan tidak terikat dengan masa lampau. 

Kaedah berangan-angan dan mengharapkan matlamat itu terjadi secara magik tidak lagi sesuai, sebaliknya perlu dibuat secara sistematik. 

Gunakan sumber-sumber yang terhad tetapi menunjukkan pencapaian yang hebat. Insya Allah matlamat akan menjadi realiti.


Saturday, January 15, 2022

Jadi nombor satu


Yang menghebatkan kita adalah melakukan sesuatu yang orang lain tidak lakukan atau jarang lakukan. 

Jika kita lakukan sesuatu perkara atau tindakan yang orang lain sudah lakukan, kita akan sentiasa berada pada kedudukan kedua. Sukar untuk menjadi nombor satu kerana pengalaman dan kemahiran sudah menjadi milik orang yang nombor satu. 

Dalam era masa kini, untuk menjadi nombor satu, kita kena tukar cara melaksanakan kerja, guna kaedah inovasi dan sentiasa terbuka kepada idea dan saranan baharu. 

Contohnya banyak, antaranya adalah syarikat-syarikat kecil dapat meletakkan kedudukan mereka pada tangga ke-50 terbaik dunia, bersaing dengan syarikat-syarikat besar dan ternama.

Mereka gunakan cara baharu, kaedah baharu dan semua kemungkinan diambil kira.

Friday, January 14, 2022

Kerap beri alasan


Orang yang gagal selalu dapat dikesan melalui kata-kata yang diucapkannya. 

Mereka juga selalu memberi alasan atau “excuse” yang dikesan melalui sikap menolak apabila diberi tanggungjawab, tidak bersedia apabila diminta menguruskan sesuatu tugasan dan menunjukkan tingkah laku memberontak. 

Orang yang mempunyai ciri-ciri seperti ini terdapat dalam semua peringkat umur, dalam organisasi dan juga sesama rakan-rakan. 

Satu-satunya kecemerlangan yang ada pada orang yang gagal adalah keupayaan mereka mencari pelbagai alasan untuk mengelak daripada melaksanakan tanggungjawab dan amanah. 

Pada saya, lebih baiklah memilih untuk melakukan yang terbaik, elakkan kerap beri alasan dan berusaha hingga berjaya.


Thursday, January 13, 2022

Persekitaran berubah


Lima atau sepuluh tahun akan datang, banyak benda yang kita lihat pada hari ini tidak lagi berada di hadapan kita. 

Persekitaran berubah dan kita juga perlu tahu perubahan tersebut supaya dapat menangani perubahan dengan lebih baik. Contohnya pondok telefon awam. 

Mungkin hari ini masih banyak kita dapat lihat di kawasan perumahan dan kompleks perniagaan tetapi dengan setiap orang memiliki telefon bimbit sendiri, pondok telefon ini tidak lagi relevan. 

Syarikat telekomunikasi juga tidak lagi melabur dlam pembinaan pondok telefon. Begitu juga dengan penggunaan kertas, dengan kemudahan internet dan emel, kita lebih selesa dengan menyimpan maklumat dalam pendrive atau menggunakan gajet yang pelbagai jenis di pasaran. 

Untuk mengelak daripada tertinggal, kita mesti sentiasa mengikuti perkembangan semasa supaya tidak dikatakan “katak di bawah tempurung”.


Wednesday, January 12, 2022

Ubah paradigma lama


Minda kita boleh membayangkan banyak perkara sehingga boleh menukar dunia. Dengan menukar paradigma, kita boleh menukar apa yang ada pada kita dan di sekitar kita. 

Ada kalanya kita rasa susah untuk mengadaptasi paradigma baharu tetapi lama-kelamaan akan dapat menyesuaikan diri kerana nilai dan pegangan lama digantikan dengan pegangan baharu. 

Ramai juga orang yang berjaya menukarkan paradigma lama kepada paradigma baharu dan berjaya pula dalam hidup. 

Ada orang yang hidupnya melalui perubahan cara berfikir dan mengurus pemikirannya. Jika orang lain boleh menggunakan minda untuk menjadikan hidup lebih baik, kita juga boleh lakukannya. 

Pesanan saya, “fikir di luar kotak”.


Tuesday, January 11, 2022

Kesan buruk bertangguh-tangguh


Sikap bertangguh-tangguh kerap kali menjadi penghalang kepada banyak kejayaan. Bertangguh lima minit mungkin menyebabkan penyesalan sepanjang hayat. 

Menangguh untuk menghantar borang temuduga boleh menyebabkan kita kempunan untuk mendapat pekerjaan. 

Menangguh untuk memohon cuti menyebabkan kita terlepas tiket penerbangan yang mudah. Ataupun menangguh melakukan senaman sepuluh minit sehari menyebabkan berat badan naik dan sukar hendak turun. 

Bertangguh-tangguh ini lebih banyak impaknya pada aspek negatif. 

Adalah lebih baik jika kita menggunakan pendekatan “masa sekarang, buat sekarang” atau “gerak sekarang” supaya tabiat bertangguh ini berkurangan.


Monday, January 10, 2022

Dua cabaran untuk berjaya


Usaha dan tindakan untuk mencapai kecemerlangan sama ada dalam kerjaya, akademik atau masyarakat perlukan pendekatan yang menyeluruh. 

Umpama seperti dua kaki melangkah, perjalanan ke arah kecemerlangan juga perlukan dua cabang. 

Pertama, usaha dan ikhtiar dalam bentuk melaksanakan tindakan positif atau pro ke arah kemajuan diri. 

Kedua, usaha dan ikhtiar (dengan bersungguh-sungguh) menjauhi unsur-unsur negatif yang dapat merosakkan atau menghalang usaha-usaha ke arah kejayaan. 

Dari semasa ke semasa cuba kuatkan usaha positif supaya ia menjadi tabiat dan budaya hidup. 

Antaranya adalah bergaul dengan orang yang memiliki pemikiran positif supaya keinginan kita turut dirangsang oleh orang-orang seperti ini.


Sunday, January 09, 2022

Perjalanan 1000 batu bermula dengan langkah pertama


Perjalanan dan jejak langkah untuk berjaya, andainya dapat dilihat kembali adalah panjang dan berliku-liku. Perjalanan yang jauhnya 1000 batu bermula dengan langkah pertama. 

Bagaimana orang yang boleh melangkah sejauh 1000 batu menempuh cabaran? Tentulah ada sesuatu yang istimewa dalam dirinya. 

Salah satu nilai ini lialah berjiwa besar. 

Nilai jiwa besar bukanlah terbentuk atau berdiri dengan sendiri sebaliknya adalah rangkuman ciri-ciri khusus seperti melihat dari perspektif yang luas dan menyeluruh, disiplin diri yang hebat, sentiasa muhasabah diri dan tegas dengan prinsip hidup yang positif. 

Jika kita ada ciri-ciri ini, insya Allah kita memiliki jiwa yang besar.

Saturday, January 08, 2022

Berhenti sejenak untuk berfikir


Matlamat adalah penghubung masa sekarang dengan masa hadapan. 

Banyak organisasi, syarikat dan orang perseorangan yang telah mencapai impian masing-masing apabila dapat menghubungkan masa sekarang dengan masa hadapan. 

Matlamat juga menjadikan hidup lebih bersemangat tinggi, yakin dan sedia menghadapi cabaran. Sifat matlamat yang berkesan adalah luwes (fleksibel) dan sentiasa dimurnikan.

Caranya adalah menyemak keperluan yang hendak dicapai, sesuai dengan kata-kata berikut, “Orang yang cemerlang memperuntukkan 15 minit setiap hari berfikir tentang apa yang mereka lakukan dan boleh lakukan untuk membaiki kehidupan”.

Friday, January 07, 2022

Istiqomah 21 hari


Kita sering mendengar dan mungkin mengalami sendiri detik-detik kegagalan untuk melestarikan kehidupan supaya lebih baik. 

Kegagalan ini boleh dikesan terutamanya membudayakan kecemerlangan secara berterusan atau istiqomah. 

Orang-orang yang hebat dalam hidup mereka menjadikan istiqomah sebagai pengukuh daya juang. Istiqomah mempunyai maksud yang mendalam khususnya kesediaan menambah baik kualiti diri sendiri. 

Contohnya, bangun awal sepuluh minit setiap hari. Usahakan bersungguh-sungguh bagi tempoh 21 hari malah ada yang cadangkan 40 hari. 

Namun, pada saya sama ada 21 hari atau 40 hari, ia patut bermula supaya kita bersedia dan dapat menyesuaikan diri dengan perubahan yang hendak dibuat. 

Secara perbandingan, orang yang cemerlang lebih senang berjaya kerana mereka tahu bagaimana melakukan tugas dengan lebih baik.


Thursday, January 06, 2022

Tiga kemahiran menguasai teknologi maklumat



Era teknologi maklumat menjadi era paling penting hari ini. Penting kerana sebahagian besar keputusan dipengaruhi oleh teknologi ini. 

Teknologi hari ini telah bergerak ke Revolusi Industri 4.0 dan memperkenalkan sambungan internet yang lebih pantas. Internet juga telah melenyapkan sempadan fizikal masyarakat dunia untuk berhubung manakala jurang komunikasi semakin mengecil. 

Gajet atau peralatan elektronik yang dicipta untuk memudahkan komunikasi supaya keputusan yang diambil adalah lebih tepat. 

Oleh kerana maklumat sangat banyak, kemahiran yang perlu dipelajari adalah kaedah menyusun, menapis dan menyimpan maklumat. Melalui kemahiran-kemahiran ini baharulah kita dapat katakan bahawa kita menguasai teknologi maklumat dan tidak membiarkan orang lain yang menguasai kita.

Wednesday, January 05, 2022

Jadilah orang yang cemerlang


Orang yang cemerlang dan berjaya sentiasa menyiapkan diri dengan ilmu pengetahuan, tidak jemu dengan belajar dan gigih berusaha. 

Sifirnya mudah iaitu orang yang jelas dengan apa yang dimahukan akan berusaha mendapatkannya. 

Sesuatu yang diingini biasanya agak sukar tetapi tidak mustahil untuk dicapai. Sifat sukar di sini adalah pelbagai bentuk seperti kos, masa, tenaga dan semangat. 

Orang yang cemerlang memahami apa yang mesti dilakukan, tahu tanggungjawab dan prosedur supaya strategi cemerlang tadi dapat diraih. 

Orang yang cemerlang juga amat memahami diri mereka, keupayaan mental dan fizikal serta mengetahui kelemahan dan kelebihan diri secara terperinci.


Tuesday, January 04, 2022

Berfikir untuk berubah


Berfikir, jika boleh saya katakan, adalah permulaan kepada proses transformasi diri yang lebih menyeluruh. Dalam al-quran dan hadis, saranan berfikir selalu diulang-ulang. 

Dalam dunia pendidikan juga digubal atau dibentuk kursus kemahiran berfikir supaya pelajar-pelajar hari ini berupaya berfikir. 

Fikir yang terbaik adalah dengan strategi dan kaedah khusus seperti kaedah berfikir mendatar dan kaedah berfikir menegak. Banyak perkara yang boleh difikirkan dari sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya. 

Jika kita berfikir 30 minit sehari, dalam tempoh setahun, kita telah melakukan aktiviti berfikir ini sebanyak 182 jam.

Tentulah banyak transformasi yang boleh dilihat sepanjang tempoh ini.


Monday, January 03, 2022

Sedia untuk belajar


Ketika saya membaca sebuah buku berkaitan sikap sesetengah orang yang tidak mahu bekerja, saya terjumpa ayat yang berbunyi, “Kajian menunjukkan bahawa satu-satunya perkara yang banyak mempengaruhi sejauh mana seseorang itu dapat keluar dari sindrom pengangguran adalah kesediaan untuk belajar ilmu dan kemahiran baru”. 

Dua teras di sini adalah belajar dan mencari kemahiran baharu. 

Orang yang menganggur, walaupun mempunyai ilmu dan kemahiran, tidak dapat menyaingi rakan-rakan lain yang sentiasa cuba menambah pengetahuan baharu dan menajamkan kemahiran sedia ada supaya majikan merasakan jika mereka memilih pekerja seperti ini, syarikat akan lebih maju.

Sunday, January 02, 2022

Amalkan tabiat belajar dan berfikir


Belajar dan berfikir merupakan dua aktiviti yang beriringan. Kemajuan dalam pelbagai bidang dapat dicapai dengan belajar dan berfikir, lebih-lebih lagi teknologi dan maklumat yang baru. 

Contohnya, rangkaian internet. 

Saya ingat 20 tahun lalu, istilah internet amat asing, namun pada hari ini hampir semua maklumat harus dirujuk melalui internet sama ada e-mel, media sosial atau laman sesawang. 

Perkembangan internet sudah melangkaui sempadan negara, ekonomi, politik dan sosial. Jika kita kurang mengambil berat teknologi ini, lambat-laun kita akan ketinggalan. 

Jadi, kita perlu sentiasa belajar dan berfikir serta mengikuti perkembangan semasa.


Saturday, January 01, 2022

Selamat Datang 2022



Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah swt yang telah memberi peluang kepada kita untuk melihat fajar tahun 2022 Masihi. Umur dunia bertambah setahun lagi, malah umur kita juga bertambah.

Tidak ada yang lebih baik dalam hidup kita melainkan nikmat sihat tubuh badan dan hidup sejahtera. Kita bangun pagi dalam keadaan mata dapat melihat, telinga dapat mendengar dan akal yang masih kuat dan bertenaga untuk berfikir.

Begitu juga nikmat hidup berkeluarga, mendapat ramai kawan dan jiran tetangga yang ramah dan mesra. Juga teman sepejabat yang bersama-sama membina kejayaan dan kerjaya kita.

Semua nikmat ini tidak datang begitu sahaja seperti yang disangka ramai orang. Ia berlaku kerana kita merancang sejak dari awal mungkin bermula sejak kita belajar di universiti atau mula mendapat pekerjaan pertama.

Anak-anak muda yang berusia awal 20-an sentiasa bersemangat dengan membina impian hidup mereka ketika umur 40 tahun. Mereka terus-menerus berusaha mencari peluang pekerjaan dan pendapatan untuk merealisasikan hidup mereka, membina keluarga dan mengimpikan kebahagiaan dan kesejahteraan hidup.

Mereka memasang azam yang tinggi untuk dicapai, bertekad mengharungi semua cabaran dan berusaha memiliki sijil akademik dan kemahiran yang menjadikan mereka sangat istimewa.

Ini adalah azam, impian dan hasrat orang muda awal 20-an dan mungkin juga 30-an.

Namun, semua ini berubah apabila kita mula menjejakkan umur 40 tahun. Semangat dan keinginan untuk mengejar impian dahulu tidak lagi ada keghairahan. Sebaliknya, ia berubah kepada satu bentuk hala tuju hidup yang jauh berbeza.

Situasinya jauh lebih banyak perbezaan apabila umur mula menjejak umur 50 tahun. Impian hendak memiliki harta yang banyak mungkin semakin pudar kerana menyedari realiti hidup di hadapan.

Dalam tempoh sepuluh tahun, akan berada pada situasi yang penuh debaran. Ketika inilah, kesihatan menjadi penentu kepada keupayaan fizikal dan mental untuk meneruskan cabaran kerjaya, cabaran sebagai pemimpin dan apa juga cabaran.

Anak-anak sudah bersedia untuk berkeluarga, masa lebih banyak diberikan untuk mengimarahkan program ilmu di masjid dan juga hujung minggu berada di taman rekreasi.

Ketika umur 50 tahun inilah kita harus membuat persediaan untuk aktiviti sebagai pesara. Mendaftarkan diri dalam pertubuhan bukan kerajaan adalah pilihan terbaik memandangkan ilmu dan kemahiran yang kita ada dapat dimanfaatkan.

Kita boleh sahaja sertai pertubuhan yang berorientasikan kebajikan, keagamaan, kesihatan atau pendidikan supaya masyarakat dapat dididik ke arah kesejahteraan hidup bersama.

Ratusan pertubuhan bukan kerajaan yang ada di negara ini, kita boleh pilih yang mana satu berkenan.

Lalu, jadikan azam tahun 2022 ini untuk kita bergerak aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan yang boleh membentuk masyarakat penyayang dan sejahtera.