Wednesday, March 31, 2021

Menilai diri



Dalam sebarang profesion atau kerjaya, baik yang bersifat profesional, mahir, separa mahir, kerja tetap atau kontrak, setiap satunya berhadapan dengan cabaran. 

Semua cabaran itu terangkum dalam satu kunci yang sangat penting iaitu refleksi diri (self-reflection). 

Maksud refleksi diri ialah kita sentiasa membuat penilaian terhadap senarai tugas, apa yang patut dan tidak patut, apa yang mendorong dan menghalang supaya kita sentiasa bersedia.

Cabaran-cabaran ini mesti mempunyai jawapan. 

Jika negatif, segera cari maklumat yang dapat mendorong perubahan kepada positif. 

Kenyataan yang tegas dan mengukuhkan matlamat supaya fokus sebenar tidak diketepikan.

Jadilah seorang yang jujur, kuat bekerja dan lihat transformasi kerja anda yang lebih baik.

Tuesday, March 30, 2021

Bina persepsi positif


Persepsi adalah imej yang terdapat dalam minda yang dipamerkan melalui tingkah laku. Persepsi boleh dibentuk melalui wajah, penampilan diri, suara atau tutur kata. 

Pertama, wajah. Dalam hidup, persepsi kita terhadap pelbagai jenis personaliti adalah berbeza-beza. Sebaik sahaja bertemu guru agama, hafiz atau pendakwah, secara automatik kita mengatakan wajah mereka lembut, bersih dan memancarkan cahaya. 

Sebaliknya keadaan akan berubah kalau berjumpa kaki pukul atau samseng. 

Kedua, penampilan diri. Persepsi awal terhadap seseorang turut dipengaruhi oleh cara berpakaian yang dipamerkan. 

Kita mungkin tidak ada apa-apa perasaan jika bertemu dengan samseng yang memakai baju-t, namun akan berubah sebaik sahaja beliau memakai blazer, tali leher dan berkasut hitam kilat.

Ketiga, tutur kata. Kata-kata yang baik adalah tips untuk memberi persepsi yang baik kepada orang lain. Pujian, sokongan atau penghargaan mampu menghantar mesej untuk mewujudkan persepsi positif.

Monday, March 29, 2021

Tip cari ilmu



Dalam kebanyakan kursus yang dikategorikan ‘in-house training’, peserta agak malu-malu hendak bertanya. Tidak seperti kursus ‘outdoor’ yang melibatkan penyertaan aktif. 

Kenapa peserta jarang bertanya? 

Adakah kerana tidak berminat, kurang semangat atau malu diperli rakan? 

Banyak alasan yang kita boleh cari tetapi satu alasan yang agak kuat ialah kemahuan mencari ilmu yang lemah. 

Satu kriteria orang yang suka kepada ilmu ialah banyak bertanya. 

Jadi, peserta kursus atau pelajar yang kurang bertanya, kemungkinan besar kurang berminat kepada ilmu dan tidak nampak faedah kalau bertanya. 

Pensyarah, penceramah atau guru adalah pakar dalam bidang masing-masing. Mereka akan beri ilmu kepada orang yang bertanya. 

Untuk mencari ilmu, kita perlu banyak bertanya dan tambahkan lagi dengan banyak membaca.

Sunday, March 28, 2021

Banyak sujud untuk dapatkan bantuan Allah swt



Saya selalu juga lepak-lepak dengan rakan-rakan untuk berbincang dalam banyak perkara.

Antara isu yang kami bincangkan ialah bagaimana menyelesaikan masalah hidup seperti masalah tidak ada duit, tekanan kerja, keadaan keluarga yang kurang harmoni, risau dengan akhlak muda-mudi dan bermacam-macam lagi. 

Lalu ada di antara kami yang memberi penyelesaian dengan mengambil pendekatan Barat sambil membawa beberapa teori. Namun, cadangan tersebut tidak menarik. 

Dalam perbincangan ini, seorang lagi memberi ideanya: Untuk menyelesaikan masalah, apa saja masalahnya, banyakkan sujud kepada Allah swt. 

Kami mengangguk tanda setuju kerana memikirkan inilah satu bentuk penyelesaian yang paling hebat dan jarang diberi penyelesaian. 

Banyak sujud bermaksud kerap bangun solat tahajjud dan solat-solat sunat yang lain sambil memohon hajat. 

Logiknya ialah kita ciptaan Allah swt, masalah dan penyelesaian juga diberi Allah swt. Penyelesaiannya hanya dari Allah swt dan banyakkan solat bagi mendapatkan penyelesaian.

Saturday, March 27, 2021

Pilih kawan


Kawan-kawan atau rakan-rakan adalah talian hayat yang sangat penting dalam hidup kita. 

Jatuh dan bangun, tawa dan riang atau susah dan senang banyak bergantung dengan kawan-kawan. 

Maknanya kawan-kawan menjadi sumber dorongan, pemberi semangat dan tempat bergantung supaya hidup kita menepati nilai-nilai insaniah seperti kasih sayang, bantu-membantu dan doa-mendoakan. 

Bagaimana kita boleh menambah bilangan kawan-kawan yang lebih ramai? 

Ia adalah satu cabaran kerana perkara ini bergantung kepada kita. Apakah definisi kawan atau rakan pada diri kita? 

Jadi, menambah bilangan kawan terletak pada definisi yang kita berikan. 

Seorang kenalan saya tidak akan melayan permintaan orang yang kurang dikenali untuk menjadi rakan facebook kerana dia hanya akan memasukkan orang yang dikenali. 

Kita boleh jangkakan berapa ramai kenalannya di facebook dengan sikap begini. Rakan yang lain, menerima sesiapa sahaja yang hendak berkawan dengannya kerana beliau berbangga dengan bilangan rakan yang ramai.

Friday, March 26, 2021

Kelebihan mendengar

Seorang pemimpin perlu sedar bahawa proses mendengar setiap pengikut atau pengikut adalah amat penting dan mustahak untuk mendapatkan daya dinamik dan idea-idea yang bagus.

Dalam proses mendengar ini, pemimpin mesti belajar untuk menerima perkara-perkara baru yang mereka kurang arif. 

Kadangkala idea-idea ini sangat bernas dan memberi nilai dalam perkembangan organisasi. Malah terdapat idea yang tidak ada kaitan dengan keperluan tetapi berdasarkan pengalaman.

Mendengar kepada idea memberi impak yang besar kepada kemajuan organisasi kerana persaingan sangat ketara hari ini. 

Bill Gates sentiasa menggalakkan stafnya menghantar idea tentang inovasi. 

Dalam setahun, Bill Gates akan mengambil cuti untuk menilai idea-idea tersebut. Andainya bersesuaian, idea itu akan dilaksanakan.

Thursday, March 25, 2021

Fokus pada kekuatan bukan kelemahan


Kita mesti fokus pada kekuatan yang ada pada seseorang. 

Alasannya ialah kita sangat sukar membangunkan kekuatan di atas kelemahan. Lebih mudah membina kemajuan dan masa hadapan apabila kita memberi perhatian kepada kekuatan. 

Bagaimana kita boleh membina kekuatan berkenaan? 

Pertama, memberi masa untuk menyatakan visi dan misi kita kepada orang lain tentang kekuatan diri mereka dan bagaimana ia boleh menepati visi dan misi berkenaan. 

Andai kata kita mula mengkritik seseorang tentang keburukan atau kelemahan diri berbanding memberi galakan, sudah tentu sekali perjalanan organisasi berada dalam keadaan terumbang-ambing. 

Kedua, galakan orang lain membina diri mereka dalam hidup, kerjaya, bidang yang diminati dan sebagainya. 

Falsafahnya ialah seseorang sangat sukar untuk membuat perubahan melainkan wujud kesedaran diri yang dicetuskan oleh faktor-faktor sekitar.

Wednesday, March 24, 2021

Fokus pada satu


Semasa saya dan rakan-akan berbincang untuk mengadakan program persatuan, banyak idea yang muncul, bernas dan semuanya bersemangat.

Selepas kami menyenaraikan aktiviti, rupa-rupanya banyak aktiviti yang hendak dilakukan sedangkan bilangan ahli tidak ramai. 

Bayangkan seorang ahli terpaksa kendalikan dua hingga tiga aktiviti besar. 

Tau-tau satu aktiviti pun tidak dapat dilaksanakan. 

Pembelajaran utama di sini ialah pelaksanaan aktiviti mesti fokus supaya dapat laksanakan program yang dirancang lebih memberi fokus kepada satu aktiviti daripada tiga aktiviti.

Maksudnya, fokus pada kualiti berbanding kuantiti. 

Dengan meletakkan kualiti sebagai keutamaan, kita mengerakkan seluruh tenaga, pemikiran dan wang ringgit untuk merealsiasikan fokus tadi.

Tuesday, March 23, 2021

Gaya membuat keputusan


Terdapat berbagai-bagai gaya membuat keputusan yang mempengaruhi keupayaan dan kebolehan setiap orang. Antara gaya ini ialah suka berlengah-lengah, konservatif, ikut gerak hati serta ambil bancian dan rasional. 

Mari kita lihat satu per satu gaya ini. 

Pertama, suka berlengah-lengah adalah tanda sentiasa mencari alasan supaya dapat melambat-lambatkan kerja. Bermacam-macam alasan yang diberi sama ada munasabah atau tidak. 

Kedua, konservatif adalah ciri yang cuba mengelak risiko dan tidak selesa dengan perkara-perkara baru. Gaya ini sentiasa mencuba cara baru yang selamat. 

Ketiga, mengikut gerak hati adalah ciri yang mengambil sedikit masa untuk memberikan keputusan. Cara ini kurang menekankan rujukan fakta sebaliknya lebih kepada kecenderungan kata hati. 

Manakala kaedah ambil bancian dan rasional menekankan rujukan berasaskan fakta untuk menentukan keputusan. 

Keputusan yang terbaik bergantung kepada kaedah penyelesaian yang praktikal dan juga panduan dari ilahi.

Monday, March 22, 2021

Satu matlamat laluan berbeza



Dua orang pelajar yang memiliki matlamat hendak belajar di universiti, laluan mereka ke universiti tentu berbeza. 

Matlamat mereka adalah sama iaitu universiti tetapi laluan atau jalan-jalan masuk ke universiti adalah terbuka. Laluan itu bergantung kepada banyak keadaan seperti latar belakang, personaliti, situasi dan sumber. 

Bagi pelajar dari keluarga yang memiliki sumber kewangan yang mencukupi, beliau tidak perlu menunggu bantuan kewangan dari kerajaan untuk belajar di University of California, Berkeley.

Namun bagi pelajar yang datang dari latar belakang keluarga berpendapatan rendah, biasiswa kerajaan adalah rahmat untuk merealisasikan impian belajar di Universiti Al Azhar. 

Matlamat akhir belajar ke universiti telah tercapai walaupun laluannya berbeza. Bagi setiap orang, terdapat banyak laluan, kaedah dan cara untuk mencapai matlamat. 

Yang penting ialah di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Sunday, March 21, 2021

Ubah masalah jadi matlamat



Sebaik sahaja kita menyatakan halangan sebagai masalah, seluruh emosi dan tenaga kita berada dalam keadaan stres. 

Raut wajah berubah menjadi muram, kulit muka tegang dan dahi berkedut. Emosi mempengaruhi perlakuan untuk lebih agresif dan ‘cepat naik darah’. 

Namun apabila kita menukar halangan sebagai matlamat yang hendak dicapai, emosi dan tenaga kita berubah serta-merta daripada stres kepada keinginan yang membuak-buak untuk berjaya. 

Emosi dan minda mula ligat membanyakkan rangsangan positif untuk mencari jalan penyelesaian dengan berbagai-bagai cara. 

Transformasi ini mudah. Sebaik sahaja halangan didefinisikan sebagai matlamat, minda kita menjadi ejen yang boleh membantu untuk memenuhi definisi baru ini. 

Dengan menukar masalah kepada matlamat, kita mengubah situasi negatif kepada positif, maklumat yang umum dan longgar menjadi spesifik dan konkrit yang boleh dilaksanakan.

Saturday, March 20, 2021

Cara berkesan buat keputusan


Memiliki sedozen pilihan untuk membuat keputusan belum tentu menjanjikan keputusan yang tepat dan memuaskan hati kerana ada faktor lain yang menentukan pilihan yang terbaik. 

Ramai orang yang membuat keputusan sama ada hendak berkahwin atau meninggalkan pekerjaan telah menghabiskan banyak masa untuk mengumpulkan pilihan. 

Cara berbeza untuk membuat keputusan ialah bertanya soalan yang betul. Bertanya hanya soalan relevan, menepati kehendak isu dan menyelesaikan keperluan kita. 

Tanpa mempelajari bagaimana bertanya soalan yang betul, kita hanya menyibukkan diri dengan isu yang menambah kekusutan dan matlamat membuat keputusan tidak akan tercapai. 

Untuk bertanya soalan yang betul, kita mesti tahu bezakan yang mana satu keperluan dan yang mana satu kehendak.

Friday, March 19, 2021

Mendefinisi masalah



Bagaimana kita memberi tafsiran atau definisi kepada masalah? 

Jika kita biasa dengan kamus, ada dua definisi untuk masalah. 

Pertama, ‘mana-mana hal yang melibatkan ketidakpastian, keraguan atau kesukaran’. 

Kedua, ‘soalan yang dicadangkan bagi penyelesaian atau perbincangan’. Antara dua definisi ini, yang manakah menepati definisi masalah? 

Ia bergantung bagaimana kita melihat masalah berkenaan. 

Cuba kita lihat contoh ini. ‘Seorang kakitangan awam yang telah berkeluarga mendapat peluang kenaikan pangkat. Ia bererti beliau terpaksa berpindah dari tempat kerja sekarang ke tempat kerja baharu. 

Sekiranya diterima, keluarganya akan susah hati kerana terpaksa berpindah, jika tidak beliau akan terlepas peluang ini’. 

Di manakah masalah di sini: adakah peluang kenaikan pangkat atau berpindah tempat? 

Untuk menyelesaikan isu ini, masalah yang dihadapi mesti didefinisikan dari segi keperluan, bukannya situasi yang bercanggah.

Thursday, March 18, 2021

Keliru


Keliru atau confuse sentiasa berlaku. Keliru dengan arahan, keliru dengan jalan dan keliru dengan kehidupan. Maknanya, dalam hidup kita, keliru adalah normal. 

Keliru adalah pengetahuan yang tidak disedari dan memerlukan tindakan. 

Keliru disebabkan oleh kehilangan rasa fikir secara tiba-tiba. Ia mungkin membabitkan pekerjaan, hubungan, simpanan wang, orang yang disayangi dan mungkin juga kegagalan, kealpaan dan penolakan. 

Keliru membawa rahmat dan bencana. 

Ia memberi rahmat kerana memberi peluang sekali lagi untuk membuat keputusan yang lebih baik. 

Ia memberi bencana kerana andaian atau asas kepada sesuatu keputusan yang telah diambil dan dilaksanakan tidak dapat ditarik semula.

Mengelak keliru bererti kita mesti menguruskan sesuatu peristiwa atau event dengan bersistematik dan tegas.

Wednesday, March 17, 2021

Sukar buat keputusan


Kenapa sukar untuk membuat keputusan? 

Ini tentulah berkaitan dengan risiko kerana keputusan berkait dengan perubahan yang sangat penting. 

Keputusan juga menjejaskan banyak perkara dan boleh menyumbang kepada penyelesaian masalah ataupun menyebabkan masalah menjadi serabut. 

Contohnya, jika kita bertanya kepada seorang pemuda yang belum berkahwin, wanita yang bagaimana menjadi idamannya, beliau akan memberi dua jawapan. 

Pertama, jika pemuda ini seorang yang teliti dan menerangkan satu per satu ciri-ciri wanita yang menjadi pilihannya. 

Kedua, jika pemuda ini seorang yang simple, jawapannya ‘apa-apa sahajalah’. 

Implikasi kedua-dua jawapan ini sangat besar pada masa hadapan. 

Sewajarnya jawapan pertama patut menjadi pilihan kerana urusan nikah dan kahwin bukanlah main-main ataupun hal yang remeh.


Tuesday, March 16, 2021

Bermula dengan RM50



Dalam bisnes, sama ada bermodal kecil ataupun besar, ia tidak penting. Yang penting ialah kita menguruskan modal yang ada dengan berkesan. 

Modal yang kecil jika diuruskan dengan betul, ia akan membawa keuntungan. Sebaliknya, modal yang besar jika diuruskan dengan sambil lewa dan ada pembaziran, lama-kelamaan akan membawa kerugian. 

Saya ingin berkongsi dengan anda tentang kisah kejayaan dua orang usahawan muda yang gigih. 

Modal bisnes mereka cuma RM50 dan bisnes mereka berkaitan dengan perkhidmatan latihan dan sumber manusia. 

Tiga bulan pertama, mereka bekerja siang dan malam membuat pemasaran dan berjumpa dengan sebanyak mungkin prospek. 

Bulan keempat mereka mendapat projek pertama dan bulan kelima mendapat bayaran pertama RM12,000. 

Selepas tiga tahun, pendapatan tahunan mereka melebihi RM1 juta setahun. Inilah hebatnya modal yang kecil tetapi pendapatan sangat besar.


Monday, March 15, 2021

Kerja sendiri, pendapatan lumayan


Keusahawanan adalah satu bidang yang sangat menarik dan sentiasa menjadi perhatian. 

Buku, majalah atau dokumentari kejayaan usahawan-usahawan terkenal memang menjadi tumpuan saya untuk membuat kajian dan membandingkan nilai-nilai yang ada pada setiap usahawan ini. 

Selain usahawan-usahawan terkenal, saya juga mengkaji usahawan-suahawan muda yang baru menceburkan diri dalam dunia bisnes. 

Saya ingin berkongsi dengan anda kisah seorang usahawan muda yang sangat berpuas hati semasa mendapat bayaran pertama apabila bergelar usahawan. 

Pemuda ini sama seperti lepasan universiti yang lain, begitu bersemangat mencari kerja dengan berbekalkan sijil yang diperolehi. Ke sana ke mari beliau membawa sijil untuk menghadapi temuduga. 

Hampir setahun juga beliau turun naik pejabat tetapi gagal mendapat pekerjaan. 

Akhirnya beliau bertekad memulakan bisnes dalam pembinaan. Projek pertamanya adalah menurap jalan raya dan beliau diberi bayaran sebanyak RM20 ribu ringgit.

Sunday, March 14, 2021

Think big



Siapa pun kita, mari kita sematkan dalam hati: mari kita berfikir di luar kotak. 

Think big. 

Fikir cara ini adalah tenaga yang menggerakkan seluruh usaha dan ikhtiar untuk mencapai impian dalam kehidupan moden hari ini. 

Pencapaian manusia dalam sains, teknologi, perubatan, bisnes dan ekonomi adalah kerana keberanian berfikir. 

Buatkan satu matlamat antara impian yang besar, boleh dicapai, boleh dibayangkan pencapaiannya. Kebanyakan nama-nama besar dalam inovasi baru bermula dengan tanpa dikenali (start as a nobody). 

Bagaimana kita berfikir menentukan bagaimana bentuk kejayaan yang kita akan dapat.

Saturday, March 13, 2021

Hati-hati memilih


Setiap hari kita menempuh keadaan persekitaran yang sama, kadang-kadang berbeza.

Keadaan yang sama dan berbeza ini bergantung kepada pilihan kita. Begitu juga dengan memilih rakan-rakan. 

Kita perlu berhati-hati memilih rakan dan kawan kerana ia akan membentuk karakter kita sedikit demi sedikit. Kalau kita mampu membentuk persekitaran seperti yang kita mahu, ia sangat membanggakan tetapi kita perlukan kekuatan untuk membuat demikian. 

Begitu juga dengan membentuk rakan-rakan dan kawan-kawan. 

Kita sendiri perlu berhati-hati dan membuat pilihan yang betul supaya masa hadapan akan berpihak kepada kita.

Friday, March 12, 2021

Selesai konflik dengan nasihat profesional


Kedangkalan mengundang pakar yang mahir seperti kaunselor atau ahli psikologi bagi menghuraikan konflik diri, rumah tangga atau organisasi untuk memberi panduan bagi mengendurkan konflik yang dihadapi menyebabkan masalah yang dihadapi bertambah besar.

Pakar mempunyai matlamat khusus iaitu penyelesaian. Namun begitu, khidmat pakar menyelesaikan konflik melibatkan kos yang perlu dibayar dan jangka masa penyelesaian tidak menentu. 

Faedah mendapatkan pakar untuk menyelesaikan konflik ialah kemahiran dan kepakaran menyelesaikan konflik dapat mempercepatkan proses penyelesaian berbanding nasihat atau pandangan rakan-rakan. 

Dalam menyelesaikan konflik, kita perlu mencari banyak jalan keluar untuk diselesaikan.

Thursday, March 11, 2021

Utamakan yang utama



Konflik adalah lumrah dan menjadi sebahagian daripada kehidupan, berkongsi pendapat, perspektif dan matlamat. 

Keadaan akan bertambah rumit apabila orang di sekeliling kita mempunyai personaliti berbeza-beza. 

Stephen Covey dalam bukunya “Utamakan yang Utama” memberikan panduan untuk menambah ruangan antara rangsangan dan respons serta kuasa untuk bertindak. 

Beliau memberi tip untuk menambah ruangan positif tersebut dengan menyatakan “dengar tanpa alasan”. 

Panduan ini dapat mengubah paradigma orang yang berkonflik untuk mendengar dan membuat sisipan bagi meletakkan keutamaan pada perkara atau isu yang menjadi perbalahan. 

Jika kita perlukan perubahan yang meningkat secara kecil-kecilan, beri tumpuan kepada amalan, tingkah laku atau sikap. Untuk perubahan lebih besar, beri tumpuan kepada paradigma.

Wednesday, March 10, 2021

Jangan mengalah



“Never stop doing your best just because one person doesn’t give you credit”. 

Kadangkala kita hendakkan pujian yang berlebih-lebihan dan berasa sangat susah hati jika tidak mendapat pujian. 

Kita dipuji kerana kualiti kerja yang bagus. Kalau tidak bagus tentulah tidak mendapat sambutan. 

Kadangkala ada orang yang tidak suka melihat orang lain berjaya lalu membuat kritikan. Orang yang tidak tahan kritikan akan merendahkan dirinya dan beredar. 

Sebenarnya adalah lumrah bagi orang yang tidak suka kepada orang lain kerana pelbagai sebab. 

Namun janganlah kritikan tidak suka ini melemahkan semangat untuk berusaha dan memberikan khidmat yang terbaik.

Tuesday, March 09, 2021

Di mana ada kemahuan di situ ada jalan



“Where there is a will, there is a way”. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. 

Prinsip ini nampak sangat mudah tetapi kesannya sangat besar. Kemahuan diri sangat berkait dengan apa yang kita hendak, apa sasarannya atau apa habuannya. 

Contohnya, saya ingin mendapatkan ijazah doktor falsafah dalam tempoh tiga tahun.

Sasarannya seolah-olah sesuatu yang besar dan sukar. Untuk merealisasikan cita-cita dan kemahuan ini, saya perlu belajar dan berusaha dengan apa juga cara bagi memastikan gelar doktor falsafah berada dalam genggaman saya. 

Contoh lain ialah mendapat pekerjaan. Hari ini, dalam keadaan pandemik Covid-19, ramai orang yang menganggur walaupun lulusan universiti. 

Kalau prinsip ini diamalkan, lulusan universiti akan berusaha dan berikhtiar mencari pekerjaan tanpa jemu dan tidak memilih malah terus berusaha.

Monday, March 08, 2021

Berani gagal akan berjaya



Hanya mereka yang berani gagal akan meraih kejayaan. 

Kata-kata ini boleh kita lihat dalam masyarakat yang semakin hari semakin berani menghadapi cabaran. 

Saya ambil contoh seorang anak muda remaja yang memulakan perniagaan menjual pisang goreng. Lokasi gerai jualannya ialah di simpang jalan tetapi menjadi tumpuan orang ramai.

Simpang ini adalah tempat ketiga selepas dua tempat sebelum itu yang kurang mendapat sambutan. 

Anak muda ini mahu mencuba lagi kerana beliau percaya bisnes pisang gorengnya boleh berjaya, cuma beliau perlu mengubah lokasi dan membaiki kualiti pisang goreng jualannya. 

Hari ini beliau memiliki lima buah dapur menggoreng dengan tiga orang pekerja.

Sunday, March 07, 2021

Kaedah kurangkan konflik



Banyak kaedah untuk mengurangkan konflik yang berlaku antara persorangan atau individu. 

Di sini saya ketengahkan tiga kaedah yang boleh membantu mengurangkan dan meleraikan konflik yang timbul. 

Pertama, berhenti. Berhenti apabila menyedari terdapat konflik yang sedang berlaku. Maksud berhenti ialah usaha-usaha untuk mengurangkan tekanan ketika konflik sedang memuncak. Contohnya, berjalan-jalan untuk mengurangkan tekanan fikiran yang sedang berkecamuk. 

Kedua, fikir. Fikir sebelum bertindak. Elakkan daripada membuat kesimpulan awal kerana banyak perkara harus diberi perhatian dan pertimbangan. Bijak berfikir adalah penentu kepada kejayaan bagi menyelesaikan konflik. 

Ketiga, dengar. Dengar sebelum bercakap. Kecenderungan kebanyakan orang ialah mempertahankan diri sejurus mendengar kritikan berbanding mendengar keseluruhan ucapan.

Saturday, March 06, 2021

Jejak pendidikan Rasullah SAW



Pendidikan hati dan jiwa seharusnya boleh menjejaki dan menuruti langkah-langkah yang telah dilalui Rasulullah SAW. Kita dapat melihat kesan besar pendidikan yang dilalui oleh baginda SAW apabila membuat perubahan besar kepada masyarakat Mekah yang dilingkungi pemikiran dan amalan jahiliah. 

Dua instrumen yang menggerakkan perubahan sepanjang proses pendidikan ini ialah al-quran dan persekitaran (bi’ah) yang sentiasa menyokong perubahan. Susunan proses yang diberikan Allah SWT melibatkan penanaman nilai dan amalan yang mengasuh, melatih, menunjuk ajar, menasihat dan membimbing ke arah pembentukan jiwa yang suci dan akhlak serta adab yang terpuji. Impak didikan al-quran ini telah melahirkan peribadi unggul dan diberi penarafan terbaik oleh Allah SWT.


ÙˆَاِÙ†َّÙƒَ Ù„َعَÙ„ٰÙ‰ Ø®ُÙ„ُÙ‚ٍ عَظِÙŠْÙ…ٍ

Maksudnya: Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang mulia. (Al-Qalam ayat 4)

Pembentukan nilai dan kerektor Rasulullah SAW juga dibentuk oleh persekitaran iaitu secara berkumpulan. Rumah Arqam bin Abi Arqam menjadi medan dakwah pertama bagi membentuk jati diri beragama dan tauhid yang kukuh. 

Di rumah ini Rasulullah SAW dan sahabat-sahabat yang awal belajar dan menerima didikan ilahi melalui kumpulan kecil yang dipanggil ‘halaqah’ atau lebih dikenali sebagai usrah pada masa kini. Melalui halaqah ini, empat sifat yang menjadi teras dakwah Rasulullah SAW kukuh dan mantap ialah siddiq (benar), amanah (dipercayai), tabligh (menyampaikan) dan fathonah (bijaksana). 

Halaqah ini berkembang dan menampung lebih ramai sahabat yang tertarik dengan perubahan minda, pola pemikiran dan rasionalisasi ketauhidan yang esa. Aktiviti tarbiah dalam halaqah tidak dapat menampung jumlah peserta yang bertambah, akhirnya halaqah yang kecil tadi dibuat dalam bentuk massa yang dipanggil kuttab iaitu tempat berkumpul yang biasanya di beranda masjid.

Apakah teras kepada perubahan pemikiran dan kedinamika sikap dan budaya masyarakat jahiliah selepas berada dalam halaqah? Rasulullah SAW sebagai murabbi memulakan proses perubahan hati dengan membacakan al-quran sebagai instrumen tunggal. 

Seterusnya ayat-ayat al-quran ini dihafal dan diberi kefahaman melalui komunikasi aktif dalam bentuk dialog, diskusi, demonstrasi, eksperimen, syarahan dan perumpamaan. Bimbingan langsung dari ilahi menjadikan proses pendidikan hati dan jiwa menancap teguh di dalam minda dan hati para sahabat sehingga mengubah kerektor diri lebih kuat, berdisiplin dan sedia maju ke hadapan.

Memulakan proses transformasi hati ini memberi impak yang sangat ketara kepada kejayaan dakwah di Mekah selama 13 tahun. Fokus pendidikan hati ini ialah pembinaan jiwa dan aqal yang telah menyebabkan tempoh sepuluh tahun di Madinah dapat ditumpukan kepada pembinaan sosial, politik, akhlak dan negara. 

Amalan masyarakat jahiliah yang menindas dan terkebelakang seperti mempersekutukan Allah SWT, memuji tuhan-tuhan yang dibuat sendiri, perilaku tanpa batasan, penindasan dalam ekonomi, kewujudan kelompok elit dan marhaen, ketaksuban kepada pemimpin dan nasionalisme tanpa batasan serta undang-undang yang memihak telah diubah kepada sistem hidup yang teratur, mengangkat martabat manusia dan mengembalikan rasa ‘izzah’ atau kemuliaan kepada hamba yang bertuhan.

Al-quran merupakan instrumen paling ampuh dan menepati keperluan pendidikan yang diperlukan oleh manusia. Status al-quran sebagai mukjizat menjadikan setiap saranan sebagai pengajaran berkesan dalam pembelajaran sepanjang masa kepada Rasulullah SAW. Setiap petikan wahyu yang sampai kepada telinga baginda SAW akan terus turun dan melekat di hatinya.

Al-quran mendidik baginda SAW secara langsung dan tidak langsung. Impak pendidikan al-quran ini melahirkan sahabat-sahabat baginda SAW yang bersifat mandiri, berdiri di atas kaki sendiri, menepati manhaj atau sistem hidup ilahi. 

Pada usia muda, mereka ditempa dan didik oleh kurikulum deen yang luar biasa yakni dengan ilmu agama yang kukuh kemudian dilingkungi oleh aqal dan jiwa yang kuat dari serangan ideologi jahiliah. Mereka hidup dalam lingkungan yang baik dibawa ke dalam urusan harian yang sifatnya sama. 

Jika urusan hati, jiwa, kekukuhan, keyakinan dan sebagainya, kemandirian dalam masalah ekonomi dan harta juga sama. Rasulullah SAW mendidik para sahabat untuk menjadi mandiri bagi menyediakan mereka dengan nilai-nilai teras jati diri.

Jelasnya pendidikan Islam dijadikan sebagai satu proses mengasuh dan mendidik, membela, melatih, menyucikan, membaikkan, mengawal hawa nafsu, membentuk ketaatan kepada Allah SWT membentuk sikap sopan dan beradab (mempunyai akhlak yang baik) dan memadamkan semua sifat tercela yang ada dalam diri manusia. 

Kitaran proses ini telah mencanaikan nilai-nilai unggul, terpimpin dan kukuh sehingga pemerintahan terakhir khalifah Othmaniyyah di Turkey 1924.

Negara yang menonjol dalam ekonomi, sosial, politik dan komuniti dilihat memberi perhatian yang serius kepada pendidikan. Program pembangunan pendidikan sentiasa diberi tumpuan dan diangkat ke tahap paling tinggi. Peruntukan tahunan juga disalurkan kepada pendidikan supaya komuniti dapat diberi ilmu untuk membuat perubahan.


Friday, March 05, 2021

Fokus dalam bisnes



Seorang rakan mengajak saya makan di sebuah restoran selepas kami penat berjalan. 

Rakan saya bertanya kepada seorang pelayan restoran: Makanan apa yang ada? 

Lalu dijawab: Semua ada. 

Hari yang lain pula, kami singgah di sebuah lagi restoran untuk makan malam. Kali ini saya pula yang bertanya: Makanan apa yang ada di sini? 

Lalu dijawab: Asam pedas ikan pari. Rakan di sebelah saya berkata: Ini barulah hebat, ada yang favoret

Kedua-dua kisah ini berkenaan dengan ciri penting dalam bisnes iaitu fokus. 

Restoran pertama tidak mempunyai fokus kerana menyediakan bermacam-macam jenis makanan menyebabkan pelanggan tidak nampak keistimewaan berbanding restoran kedua.

Untuk berjaya dalam persaingan, kita perlu ada fokus supaya kita berbeza dengan orang lain.


Thursday, March 04, 2021

Bahagia dalam rumah tangga



Banyak cabaran yang dihadapi oleh pasangan yang berkahwin pada usia awal 20-an. 

Bagi pasangan yang telah memiliki kerjaya dan pendapatan yang stabil, barangkali masalahnya kurang serius. 

Antara cabaran biasa yang dihadapi adalah kurang kefahaman terhadap tanggungjawab dan pengurusan ekonomi keluarga kurang mantap. 

Bagi cabaran kurang kefahaman tanggungjawab sebagai suami, isteri, ibu dan ayah, keadaan ini kerap berlaku kepada keluarga muda yang masih lagi bergelut dengan cabaran hidup fasa baru kehidupan. 

Namun, pengkayaan terhadap tanggungjawab ini boleh ditambah melalui pembacaan buku atau hadir ke program-program keluarga bahagia yang sering dianjurkan. 

Bagi cabaran kedua iaitu pengurusan ekonomi, ia sememangnya satu isu yang perlu dihadapi dan diterima. 

Kos hidup yang semakin meningkat membuatkan pasangan mengehadkan perbelanjaan. 

Faktor wang kadangkala menyebabkan pergaduhan yang menggugat keharmonian rumah tangga.

Wednesday, March 03, 2021

Bahagia dalam keluarga



Kasih dan sayang menjadi idaman setiap keluarga kerana bahagian hanya akan muncul apabila adanya rasa kasih dan sayang antara suami dan isteri, anak-anak dengan ibu bapa dan adik-beradik yang lain. 

Allah SWT menumpahkan kasih dan sayang kepada setiap pasangan dan keluarga supaya kita kita berfikir tentang bahagia. 

Saya memetik ayat 21 Surah Ar-Rum yang bermaksud: Bahawa Dia yang menjadikan kamu dari jenis kamu jodoh-jodoh dan kamu bersenang-senang kepadanya dan Dia jadikan antara kamu percintaan dan kasih sayang. 

Untuk bahagia dalam keluarga, ayah atau suami khususnya harus mempunyai peribadi yang baik, soleh, bertanggungjawab dan matang supaya keputusan atau tindakan adalah adil, berhati-hati dan membawa kebaikan.

Tuesday, March 02, 2021

Konflik rumah tangga



Sesekali datang ke majlis perkahwinan bagi memenuhi jemputan amat menggembirakan hati.

Saya sentiasa mendoakan pasangan yang berkahwin ini akan bahagia dan kekal hingga ke akhir hayat. 

Dalam rumah tangga, konflik adalah sebahagian daripada kehidupan dan tidak dapat dielakkan. Walaupun sedikit, konflik tetap ada. Bagaimana konflik ini berlaku? 

Ia bermula apabila salah seorang ahli keluarga, katakan isteri yang kurang setuju tentang sesuatu perkara, biasanya isu kewangan. 

Puncanya adalah kerana kaedah pengurusan dan pembahagian sumber yang kurang bijak.

Contohnya, pendapatan isi rumah sebanyak RM1000 tetapi perbelanjaan sebanyak RM1500.

Jadi, tidak ada wang untuk disimpan menyebabkan timbul konflik yang berpanjangan. 

Dalam hal ini, suami dan isteri perlu juga mempunyai sedikit sebanyak ilmu pengurusan kewangan rumah tangga supaya dapat menguruskan kewangan dengan berhemah.

Monday, March 01, 2021

Kenapa terus diuji?



Ujian Allah SWT mempunyai banyak hikmah yang kita tidak ketahui. Setiap kali diuji, Allah SWT akan menumpahkan sifat sabar ke dalam hati. 

Sabar adalah anugerah yang sangat hebat. 

Dengan sabar, kita dapat bertahan dan berani menghadapi cabaran, kepayahan, tekanan dan ancaman. 

Ada ibu bapa yang diuji dengan anak-anak yang mendapat penyakit yang sangat serius seperti hydrocephalus (kepala membesar kerana digenangi air), penyakit jantung berlubang ataupun masalah-masalah kesihatan yang lain. 

Ada sesetengah orang yang mendapat penyakit ketika awal usia 40-an kerana serangan angin ahmar dan bermacam-macam lagi. 

Kita mesti membetulkan persepsi kita terhadap ujian-ujian hidup seperti ini. Kita wajar melihat kebaikan dalam semua perkara walaupun kita mengalami kepayahan yang melampau. 

Biarpun susah, apabila kita merasai ada sesuatu yang tidak kena, itulah cara Allah SWT menguatkan semangat diri, mengukuhkan keyakinan dan memperkasa azam yang membara.