Thursday, December 31, 2020

Kuliah 12 PEP31122020

Kegagalan merosakkan hati





Sama ada mahu ataupun tidak mahu, kita kena hadapi kegagalan. 

Gagal dalam usaha yang kita lakukan memang amat menyakitkan berbanding sakit pada tubuh badan. 

Sakit pada emosi lebih hebat lagi. Ia lebih menyakitkan apabila kegagalan ini diiringi dengan kritikan pedas atau kata-kata sindiran yang melemahkan semangat. 

Bagi kebanyakan orang, kesakitan atau kehampaan sebaik sahaja gagal menyebabkan mereka takut untuk bangkit dan mencuba lagi. 

Bagaimana kita boleh atasi halangan emosi dan psikologi ini? 

Banyak caranya. 

Yang paling utama ialah kita mesti menerima prinsip hidup iaitu kita lebih banyak melaksanakan perkara-perkara yang gagal dalam hidup sebelum berjaya. 

Pengalaman gagal memberi pelajaran berguna untuk menjadi lebih cekap.


Wednesday, December 30, 2020

Menajamkan kompetensi






Kompeten atau cekap adalah satu sifat yang boleh dibentuk, dipelajari dan diamalkan. 

Orang yang kompeten melaksanakan kerja dengan baik, berterusan melakukannya dan mempamerkan kecemerlangan. 

Sebaliknya dia menghentikan usaha-usaha yang tidak membantunya untuk cemerlang. 

Kompetensi boleh ditingkatkan melalui beberapa cara seperti memberi fokus apa yang hendak dibuat. Tanpa memberi fokus, agak sukar untuk membuat kerja. 

Pilih salah satu bidang yang kita mahir dan kembangkannya supaya semakin baik. Buat sedikit demi sedikit. 

Bina kecekapan sedikit demi sedikit supaya wujud keupayaan untuk menguasai sesuatu kemahiran. 

Beri perhatian untuk pelaksanaan kerana ia sangat susah dan perlukan perancangan yang rapi.


Tuesday, December 29, 2020

Matlamat - lonjakkan usaha





Perunding motivasi terkenal, Andrew Carnagie berkata: You cannot push anyone up the ladder unless he is willing to climb himself. 

Maksudnya kita tidak boleh memaksa orang lain memanjat tangga sehinggalah mereka hendak memanjatnya secara sukarela. 

Konsepnya sama dengan orang yang sedang bergerak ke arah kejayaan dan kecemerlangan.

Mereka tidak akan bergerak ke hadapan jika tidak diberi motivasi, rangsangan dan sokongan. Anak-anak tidak dapat pergi lebih jauh dalam pelajaran jika tidak diberi galakan, dibimbing atau diberi tunjuk ajar. 

Rakan-rakan tidak dapat maju dan cemerlang bersama jika tidak diberi nasihat, teguran dan pimpinan yang betul. 

Setiap kali kita menunjukkan cara untuk cemerlang, pengalaman merasai kecemerlangan akan merangsang orang lain untuk berjaya.


Monday, December 28, 2020

Praktis untuk kesempurnaan






Kita sering mendengar orang berkata: Bagaimana saya boleh kembangkan bisnes saya? ataupun Bagaimana saya boleh kembangkan syarikat saya? 

Jawapannya terletak pada perkembangan ataupun kemajuan personaliti diri. 

Andainya personaliti diri berkembang dengan baik, kemahuan dan kemahiran untuk maju sentiasa membara. 

Satu-satunya cara untuk membangunkan dan mengembangkan syarikat atau organisasi ialah membangunkan pemimpin yang ada di situ. 

Dengan menjadikan diri lebih baik, lebih berilmu dan lebih mahir, insya Allah, organisasi atau syarikat akan berkembang dan menjadi lebih baik. 

Bekas CEO General Electric, Jack Welch berkata: Sebelum anda menjadi pemimpin, kejayaan ialah membangunkan diri sendiri. Selepas menjadi pemimpin, kejayaan ialah membangunkan orang lain pula.

Sunday, December 27, 2020

Memahami orang lain

 



Memahami rakan-rakan, sahabat atau orang bawahan boleh menjadi aset paling berharga dalam hidup. 

Ia paling berharga kerana memberi impak yang positif dalam setiap aspek hidup kita dan bukannya setakat ruang lingkup pekerjaan atau urusan bisnes sahaja. Jadikan fokus utama hidup kita hari ini dengan memahami orang lain yang hampir dengan kita. 

Ubah cara dan corak kita berkomunikasi. Jika sebelum ini jarang sekali memberi salam atau senyum semasa berjumpa, hari ini lebihkan salam dan senyum. 

Sekali-sekala keluar makan atau minum bersama supaya kita dapat lihat reaksi orang lain terhadap perubahan yang kita lakukan. 

Orang bijak pandai berkata: Kita akan dapat balik apa yang kita beri. Kebaikan yang kita bagi, kebaikan yang kita dapat.

Saturday, December 26, 2020

Upgrade kemahiran mendengar

 



Keupayaan dan kemampuan untuk mendengar adalah satu cara untuk mempengaruhi orang lain.

Banyak faedahnya apabila kita memiliki kemahiran dan keupayaan mendengar yang baik.

Pertama, mendengar dapat mempamerkan sifat menghormati. Contohnya kalau guru mengajar di hadapan, kita dengar dengan bersungguh-sungguh, kalau khatib berkhutbah, kita dengar dengan khusyuk.

Memberi perhatian semasa orang lain menjelaskan sesuatu menunjukkan kita menghormati majlis atau orang berkenaan.

Kedua, menambah maklumat dan menjana idea.

Imam Syafie adalah contoh terbaik untuk kita tambah ilmu dalam diri kita. Imam Syafie memberi tumpuan yang bersungguh-sungguh semasa mendengar gurunya mengajar.

Akhirnya dia menjadi salah seorang imam mazhab yang hebat.

Friday, December 25, 2020

Nilai mendengar

 


Orang yang normal memiliki deria pendengaran yang membantu membentuk kehidupan yang lebih baik.

Presiden Amerika Syarikat ke-28, Woodrow Wilson berkata, ‘The ear of the leader must ring with the voices of the people’.

Bukan setakat pemimpin sahaja yang mesti mendengar suara, cadangan, keluhan dan rungutan rakyat, malah ibu bapa juga perlu mendengar, ketua kampung, imam dan pengurus juga mesti mendengar.

Dan yang lebih penting, anak-anak, remaja, pelajar juga mesti mendengar supaya hidup dan masa hadapan akan berjaya.

Thursday, December 24, 2020

Mendengar dengan hati

 


Apabila saya berasa tidak selesa dengan tindakan pelajar yang mula berbisik-bisik dengan rakan sebelah di dalam kelas, saya membawakan kisah seorang wanita yang tidak dapat mendengar, Helen Keller.

Helen keller merupakan wanita yang terkenal.

Bagaimana orang yang pekak mampu menjadi terkenal?

Lalu saya nyatakan kepada pelajar-pelajar bahawa Helen Keller terpaksa menggunakan deria keenam untuk mendengar.

Kalau suasana kelas bising dan hingar-bingar, bagaimana dia hendak memberi tumpuan, tentulah dia tidak boleh menjadi terkenal.

Untuk berjaya dan terkenal, kita mesti mendengar dengan hati dan memberi tumpuan.

Wednesday, December 23, 2020

Kuasa impian

 


Saya percaya setiap orang memiliki impian di hati masing-masing.

Impian umpama bara yang mengingatkan kita tentang masa hadapan, tentang matlamat hidup dan tentang laluan kecemerlangan.

Impian memberi arah tuju yang jelas, menggerakkan potensi diri yang maksimum, membantu membentuk keutamaan, menambah nilai-nilai terbaik dan membuat ramalan tentang masa hadapan.

Kita boleh memburu impian tidak kira di mana kita berada. Yang lepas telah berlalu dan menjadi kenangan.

Mari kita realisasikan impian kita pada hari ini.

Tuesday, December 22, 2020

Lebih jauh bergerak, masalah lebih besar

 


Salah satu salah fahaman yang sentiasa mendominasi kebanyakan orang ialah menganggap orang yang cemerlang dan berjaya dalam karier adalah kerana mereka tidak ada masalah.

Hakikatnya bukanlah begitu.

Pada tahun 1962, dua penyelidik Victor dan Goertzel menerbitkan hasil kajian ke atas 413 orang terkenal dan berbakat.

Mereka menggelar kajian ini sebagai ‘Cradles of Eminence’.

Dalam kajian ini, mereka cuba mencari faktor-faktor yang menyebabkan kejayaan.

Dapatan hasil kajian ini ialah seramai 392 orang telah melalui pelbagai halangan untuk menjadi seperti apa yang mereka inginkan hari ini.

Halangan atau masalah menjadikan mereka lebih berani ke hadapan.

Monday, December 21, 2020

Kritik lebih mudah tetapi tidak ke mana

 


Adalah lebih mudah untuk mengkritik beratus-ratus kali daripada mencari penyelesaian. 

Keadaan ini biasa berlaku kerana mengkritik adalah lumrah tetapi terlalu kerap mengkritik tidak membawa apa-apa yang boleh dibanggakan. 

Contohnya sangat banyak. 

Kita ambil satu iaitu perlawanan bola sepak. Sejumlah 22 pemain berhadapan dengan ribuan penonton yang berbagai-bagai ragam, cita rasa dan mood. 

Kalau pemain menunjukkan permainan berkualiti, menjaringkan gol atau kerap membuat serangan, ramai yang memuji. 

Kalau pemain gagal bertindak, tidak menyumbat gol, mulalah ramai yang mengkritik. 

Biasanya kritikan ini terbawa-bawa di luar gelanggang.


Sunday, December 20, 2020

Kegagalan sebagai peralihan ke arah kejayaan

 


Kegagalan adalah sebahagian daripada kejayaan. 

Lebih ramai orang yang gagal selepas kali pertama mencuba berbanding berjaya bagi percubaan pertama. Laluan kegagalan memberi isyarat bahawa laluan berkenaan mesti dielak, tidak boleh dilalui lagi, umpama gunung yang tidak perlu didaki lurah yang tidak perlu lagi dituruni. 

Seorang usahawan yang saya kenal, melalui pelbagai halangan yang membawa kegagalan. Kadangkala kehabisan modal untuk meneruskan bisnes. 

Jatuh bangun dalam bidang akhirnya menjadikan usahawan ini matang dalam berfikir dan bertindak. 

Akhirnya, beliau memiliki 10 buah syarikat dan dua buah kilang yang besar.


Saturday, December 19, 2020

Baiki diri dan baiki orang lain

 



Biasanya, kalau kita berhadapan dengan masalah, tidak kiralah masalah diri, peribadi, keluarga atau di tempat kerja, kita jarang menganggap diri sendiri yang menjadi punca masalah.

Sebaik-baiknya kita mesti bermula dengan melihat kembali diri sendiri dan bersedia membuat perubahan. Lihat di mana aspek diri yang lemah, buat perancangan dan strategi untuk bertindak.

Maklum balas kelemahan diri diperolehi dari kesedaran sendiri, teguran dan nasihat rakan-rakan, nasihat daripada bos atau ketua jabatan supaya kita lebih berfokus ketika membuat perubahan.

Friday, December 18, 2020

Kekuatan disiplin diri

 



Disiplin diri bermula dengan melakukan sesuatu amalan secara rutin dan berterusan. Lama-kelamaan ia menjadi tabiat yang berpanjangan.

Seorang penulis, Jackson Brown berkata: Memiliki bakat atau kebolehan tanpa disiplin umpama seekor sotong di atas kasut roda. Terlalu banyak pergerakan sehingga tidak tahu hendak ke hadapan, ke belakang atau ke tepi.

Memiliki bakat tertentu sangat baik untuk masa hadapan tetapi tanpa disiplin diri, hasilnya tidak sempurna.

Sebuah pusat asuhan di Kanada mempamerkan tulisan: The best time to plant a tree was 25 years ago … the second best time is today.

Thursday, December 17, 2020

Emosi pengaruhi pemikiran

 



Minda manusia memiliki kuasa yang sangat besar dalam kehidupan. Minda menentukan sejauh mana kita bersungguh-sungguh dalam melaksanakan kerja. 

Dan cara kita berfikir menentukan sikap kita yang sebenar.

Berita terbaik ialah kita boleh mengawal pemikiran, justeru kita boleh mengawal sikap kita.

Pemikiran yang berkesan datang bersama dengan emosi dan perasaan. Kita boleh mengawal emosi dengan menukar kebiasaan kita berfikir.

Yang penting di sini, sikap adalah gambaran emosi dalam hidup kita. Ubah emosi dan ubah cara fikir.

Wednesday, December 16, 2020

Bangkit kembali

 


Kelahiran seekor zirafah adalah proses yang sangat menyakitkan. 

Sebaik dilahirkan, anak zirafah diajar untuk menjadi lasak. Ibunya akan menghayun kaki, menendang dan menyepak supaya darah mengalir dengan cepat ke seluruh badan.

Apabila anak zirafah keletihan, ibunya akan menendang supaya ia tetap berusaha untuk berdiri sendiri. 

Akhirnya anak zirafah mampu berdiri dengan keempat-empat kakinya.

Zirafah memberi pengajaran kepada kita. 

Di sekitar kita ramai orang yang jatuh, diperkecilkan kemampuan, dikhianati dan bertahun-tahun tidak mendapat sebarang ganjaran. 

Tetapi setiap kali dipukul, mereka bangun kembali kerana mereka ada visi yang mesti disempurnakan dan sanggup bersusah payah untuk mendapatkannya.

Tuesday, December 15, 2020

Menghargai diri dan orang lain

 


Di tempat kerja, di rumah atau bersama rakan-rakan, kita mengharapkan orang lain menerima dan menghargai kita. 

Kadangkala kita seolah-olah ingin memaksa orang lain untuk dihargai. Inilah lumrah cara fikir kita.

Kita terlalu runsing dengan penghargaan dengan penghargaan orang lain sebaliknya jarang sekali berfikir untuk memberi penghargaan.

Memberi penghargaan boleh dilakukan dalam banyak cara. 

Antaranya ucapkan tahniah, tanya khabar, ziarah ataupun beri hadiah untuk meraikan sesebuah kejayaan.

Monday, December 14, 2020

Sikap tentukan masa hadapan




Dua orang sahabat akan menjadi orang yang berbeza hanya kerana sikap yang ada dalam diri mereka.

Seorang daripadanya boleh menjadi anak yang dikasihi, seorang lagi anak yang dibenci. Seorang ibu menjadi pekerja yang cemerlang, seorang lagi pekerja yang membebankan.

Namun, kedua-duanya boleh menjadi orang yang berguna dan berjaya andai kata memiliki sikap yang betul terhadap kehidupan masing-masing.

Kita tidak perlu sangat mendengar kritikan orang lain kerana apa yang kita fikir itulah yang terbaik kerana kita tahu apa yang terbaik untuk hidup.

Sunday, December 13, 2020

Tidak mengaku kalah dalam berusaha

 


‘No matter what it is, pick yourself up and go on to the next project’.

Saya yakin yang kita semua pernah mengalami detik-detik melemahkan semangat, melemahkan daya juang ataupun menyebabkan kita tidak mahu bangkit selepas gagal dalam beberapa kali percubaan.

Kejayaan tidak kenal warna kulit, latar belakang etnik atau agama. 

Dalam senarai orang-orang yang paling kaya di dunia, satu ciri yang ada pada semua orang kaya ini ialah tindakan mengaku kalah apabila gagal dalam cubaan pertama.

Sebaliknya mereka mencuba beratus-ratus kali untuk belajar teknik baharu, kemahiran baharu dan membina wawasan baharu untuk kejayaan.


Saturday, December 12, 2020

Diri adalah unik

 



Setiap orang adalah unik sama ada unik pada personaliti, fikiran atau tindakan. 

Keunikan boleh dikesan melalui bakat atau kemahiran yang digilap dari semasa ke semasa.

Terdapat hasil kerja yang berasaskan keunikan seperti seni ukir, nyanyian, lakonan atau kepimpinan. 

Kalau kita melawat pusat-pusat kraftangan, kita dapat lihat hasil kerja yang bermutu tinggi kerana dihasilkan oleh orang yang unik kerana bakatnya.

Kalau kita tidak ada bakat, adakah kita tidak boleh melakukannya?

Sebenarnya kita boleh melakukannya dengan syarat bersedia untuk belajar dan memahirkan diri. 

Sekiranya kita berhenti belajar, setakat itulah keupayaan yang kita ada.

Friday, December 11, 2020

Nilai maju, nilai undur





Mari kita ambil contoh dua orang pelajar sebagai analogi bagi menghuraikan topik kita pada kali ini.

Seorang pelajar memiliki sifat-sifat yang memajukan diri iaitu disiplin, tekun dan dengar cakap ibu bapa dan guru. Seorang lagi memiliki sifat-sifat yang menghalang kemajuan diri iaitu 4 M - malas inda ku ingau, mengharap, muflis idea dan minta simpati.

Kejayaan pelajar terletak kepada dirinya sendiri. 

Jika beliau tidak faham bahawa nilai-nilai maju seperti tekun dan rajin boleh membantunya berjaya, dia tidak akan membuat tindakan segera untuk berubah. 

Sebaliknya jika dia faham nilai-nilai ini sudah tentu dia akan membantu dirinya untuk berusaha bersungguh-sungguh.

Pelajar yang memilih nilai-nilai maju inilah yang akan meraih kecemerlangan dan membahagiakan kedua-dua ibu dan bapanya.


Thursday, December 10, 2020

Tip mengukuhkan nilai diri

 



Seorang pensyarah pernah bertanya kepada pelajar-pelajarnya dalam kelas iaitu berapakah nilai diri kamu? 

Pelajar memberi jawapan yang berbagai-bagai seperti 100 juta, 1 bilion dan tidak ternilai.

Jadi, bagaimana kita menilai diri kita? 

Adakah dengan ukuran wang ringgit sahaja? Memberi nilai diri melalui wang ringgit sangat tidak tepat kerana penilaian tersebut tidak pernah betul. 

Sebaik-baiknya ialah menjadi orang yang banyak memberi sumbangan kepada orang lain supaya nilai diri kita lebih tinggi di sisi Allah SWT.

Wednesday, December 09, 2020

Nilai menentukan cara hidup

 



Nilai yang berbeza akan mencorakkan cara hidup yang berbeza. 

Dua orang saudara yang berkawan sejak kecil mempunyai kehidupan yang berbeza kerana nilai-nilai yang membentuk personaliti mereka telah berbeza semasa mereka membesar kerana pendedahan yang diterima.

Kedua-duanya memilih rumah, kereta, jenis kerjaya dan pasangan hidup masing-masing. Tidak ada yang sama kerana nilai yang berkembang dalam diri mereka memberi cita rasa yang berlainan.

Tentu sekali kedua-nya memilih jalan hidup sendiri.

Sama seperti adik-beradik dalam keluarga kita. Keadaan hidup, cita rasa dan cabaran juga berbeza.

Tuesday, December 08, 2020

Sistem nilai yang berjaya

 


Sebelum ini saya berkongsi cerita dengan mendengar tentang kegigihan Rahim, seorang OKU yang berjaya belajar hingga ke universiti.

Walaupun tanpa kaki, Rahim masih ada kedua dua tangan, akal yang sihat dan nilai diri yang tinggi.

Nilai pada rahim telah menjadi pemandu yang telah mendorongnya untuk berjaya. Halangan bukan cabaran kerana hidup perlu kuat semangat untuk berhadapan dengan apa sahaja kekurangan diri.

Satu lagi impian Rahim ialah memandu kereta. Bagi kita adalah mustahil memandu kereta tanpa kaki. Tetapi realitinya tidak. 

Dalam dunia yang tidak ada yang mustahil. Hari ini Rahim memandu sendiri keretanya ke tempat kerja.

Monday, December 07, 2020

Kuatkan sistem nilai

 


Nilai adalah satu sistem maksudnya nilai boleh dibentuk.

Contohnya, saya mengenali seorang pemuda yang dikategorikan dalam kelompok orang kurang upaya. Namanya Rahim. Kekurangan fizikal yang ada pada dirinya ialah tidak ada anggota kaki dari paras pinggang ke bawah.

Kekurangan ini tidak menghalang Rahim untuk belajar sehingga ke universiti dalam bidang ekonomi.

Kenapa Rahim mampu belajar hingga ke universiti di sebalik kekurangannya? Jawab ialah sistem nilai pada Rahim telah melonjakkan seluruh keupayaannya untuk berusaha kerana Rahim yakin dan percaya dia boleh belajar hingga ke universiti.

Sunday, December 06, 2020

Membentuk nilai

 



Nilai dibentuk dalam beberapa peringkat. Jika kita lihat bongkah ais, 90 peratus bongkah ini terletak di dalam air, cuma 10 peratus yang terapung di permukaan air.

Sama seperti bongkah ais, 10 peratus watak, personaliti dan kerektor kita adalah refleksi atau gambaran keseluruhan watak yang bermula dari dalam.

90 peratus aspek dalaman ini ialah sistem kepercayaan (belief), pandangan hidup (world view), mindset, nilai dan sikap. Semuanya tidak kelihatan dengan mata kasar kerana ia dipancarkan melalui tingkah laku dan tindakan kita.

Sekiranya 90 peratus aspek dalaman ini baik, insya Allah keseluruhan hidup menjadi baik.

Saturday, December 05, 2020

Kepentingan nilai

 



Nilai adalah set kepercayaan atau keyakinan dalam diri kita. Nilai boleh berubah dalam tempoh tertentu atau kekal lama sepanjang masa.

Nilai menentukan apa yang kita rasa dan yakini benar, sesuatu yang baik dan betul.

Kekuatan nilai sangat hebat. Sanggup berkorban, sanggup berusaha bermati-matian berpunca daripada nilai yang dalam diri.

Seseorang usahawan muda sanggup bersusah payah pada hari ini kerana dia percaya suatu hari nanti, dia akan berjaya dan hidup senang-lenang.

Friday, December 04, 2020

Erti nilai dalam kehidupan

 


Setiap keputusan yang kita lakukan dalam hidup tidak dapat dipisahkan daripada unsur-unsur nilai yang ada dalam diri. Contohnya, seorang pelajar yang baru menamatkan pengajian di universiti mempunyai dua pilihan. 

Pertama, terus menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi. 

Kedua, mula mencari kerja. Keputusannya sama ada hendak meneruskan pengajian atau bekerja ditentukan oleh nilai yang ada dalam dirinya selepas menimbangkan banyak perkara.

Jadi, apakah yang dimaksudkan dengan nilai?

Nilai adalah satu set kepercayaan atau keyakinan dalam diri sebagai sumber kekuatan untuk bertindak. Nilai inilah yang akhirnya membentuk sikap yang akan menentukan personaliti, kerektor dan tingkah laku.

Thursday, December 03, 2020

Pengucapan awam dalam talian



Media baru dan teknologi digital telah mengubah bentuk interaksi dan akses antara perucap dan audiens. Tradisi pengucapan awam yang memerlukan perucap berada di hadapan dan audiens di belakang telah berubah sama sekali. Perbezaan yang ketara ialah semua pelantar di media baru membolehkan perucap berkongsi idea dan maklumat kepada lebih ramai audiens malah ke seluruh dunia.

Kaedah penyampaian melalui webinar, persidangan video dan pengucapan awam digital telah meresap masuk ke dalam industri profesional dan menjadi pilihan untuk amalan terbaik (the best practies) dalam pengucapan awam dalam talian.

Berbanding pengucapan awam bersemuka, pengucapan awam ini turut menawarkan pelbagai peluang dan kekangan seperti membuat persiapan, tersusun, bernas dan membuat latihan. 

Tujuan Pengucapan Awam Dalam Talian

Pengucapan awam dalam talian memiliki tujuan yang sama dengan pengucapan awam bersemuka iaitu memberi tahu, memujuk dan menghibur. Lind (2012) memberi definisi pengucapan awam dalam talian ini sebagai pidato digital iaitu pidato awam yang digerakkan oleh idea-idea utama, lisan dan ditempatkan di media baru. Oleh kerana pidato digital ini memerlukan kenyataan umum, tujuannya akan ditentukan oleh bagaimana maklumat disusun untuk disampaikan kepada khalayak.

Hari ini teknologi video yang semakin canggih membantu memindahkan ucapan melalui telefon, menarik minat pengikut atau pelanggan ke dalam v-log melalui siaran langsung. Namun kaedah ini bukan satu-satunya cara dalam pidato digital, malah apa sahaja bentuk pengucapan di Internet boleh dikategorikan sebagai pidato digital. Kita boleh merakam video atau membuat ulasan dan dihantar ke v-log sebagai pengucapan awam dengan tujuan tertentu.

Segerak dan Tidak Segerak

Pengucapan awam bersemuka berlaku dalam konteks yang sangat berbeza. Jika perucap menyampaikan ucapan secara langsung di hadapan audiens, pengalaman yang dialami adalah dalam waktu sebenar. Keadaan yang sama turut berlaku dalam pengucapan awam dalam talian iaitu perucap dan audiens boleh melihat antara satu sama lain dan berinteraksi pada masa sebenar.

Contohnya majlis perasmian persidangan diadakan pada masa yang ditentukan dan melibatkan tetamu kehormat manakala audiens memberi perhatian pada majlis yang sedang berlangsung melalui aplikasi Zoom. Semua peserta yang mengambil bahagian menonton perjalanan majlis secara langsung dan mendengar ucapan perasmian secara serentak. Idea ini dinamakan segerak atau ‘synchronise’.

Dalam kaedah segerak ini, kebanyakan prinsip pengucapan awam bersemuka dikira terpakai. Pembentangan yang dilakukan adalah singkat dan berlaku hanya sekali. Justeru, perucap berpeluang menyatakan mesej yang jelas iaitu memberi keutamaan kepada maklumat yang dapat memberi kefahaman kepada audiens.

Ciri-ciri lain segerak adalah komunikasi langsung untuk peristiwa yang berlaku serentak dan dapat diramal. Proses penyampaian ucapan dan penerimaan mesej oleh audiens berlaku pada masa yang sama. Selain penggunaan aplikasi dalam talian seperti Zoom, Microsoft Teams atau Webex, ia juga digunakan dalam ‘video call’ dan ‘chatting’.

Berbeza dengan kaedah segerak ialah tidak segerak atau ‘asynchronise’ iaitu ucapan yang  telah dirakam terlebih dahulu dan ditonton pada masa yang berbeza. Dengan kata lain, tidak segerak adalah komunikasi tertunda yang menggunakan medium e-mel, forum, blog atau saluran video sosial seperti YouTube dan WhatsApp. Ia tidak terikat dengan waktu yang tetap kerana bersifat relatif dan tidak tetap. YouTube, saluran media video sosial yang popular adalah hos yang membenarkan audiens menonton siaran video tertunda mengikut kesesuaian masa mereka.

Perucap yang menggunakan kaedah segerak lebih selesa menggunakan strategi bersemuka termasuk mengintegrasi maklum balas secara langsung. Praktis ini biasa berlaku dalam pengucapan awam dalam talian untuk undiens menghantar soalan atau memberi maklum balas dan membolehkan perucap menyelaraskan kandungan penyampaiannya dan mengurangkan jurang perbezaan kefahaman dalam kalangan audiens.

Dalam kaedah tidak segerak pula, perucap berupaya mengawal kandungan ucapan dengan lebih mudah kerana memiliki banyak masa untuk berfikir dan melakukan editan.

Audiens

Media baru menjadikan jumlah audiens bertambah dalam tempoh yang singkat. Pengucapan awam bersemuka mengehadkan jumlah audiens yang boleh menyertai sesuatu majlis. Namun pengucapan awam dalam talian tidak mengehadkan jumlah audiens yang boleh turut serta. Perbezaan ini menentukan cara dan kaedah yang perlu diambil kira oleh perucap.

Penentuan tajuk dan topik sangat penting. Tajuk yang jelas, khusus dan berfokus menarik audiens untuk berada di hadapan layar komputer. Terdapat butang ‘Like’ yang menjadi penanda aras kepada populariti dan dilihat oleh ramai penonton. Justeru, pemilihan tajuk dalam hantaran v-log akan mempengaruhi naluri audiens untuk terus kekal menonton ucapan hingga tamat.

Ciri-Ciri Pengucapan Awam Dalam Talian

Secara umum. Pengucapan awam dalam talian yang berkesan mesti memiliki tiga perkara iaitu penyampaian lisan, penyampaian tanpa lisan dan penggunaan alat bantu.

1. Penyampaian lisan

Penyampaian secara lisan adalah kunci utama dalam pengucapan awam dalam talian khususnya apabila terdapat program webinar dan persidangan video yang melibatkan penggunaan slaid. Audiens akan terganggu apabila penggunaan slaid yang berlebihan kerana tidak dapat melihat mimik muka, penampilan diri dan pertembungan mata dengan perucap.

Sebutan yang jelas, tanda baca, kadar kelajuan dan jeda menjadi paksi untuk mengekalkan minat audiens. Di samping itu, suara yang bertenaga dan berintonasi turut dapat mengekalkan minat audiens.

Berlatih berucap boleh dimulakan dengan merakam suara sendiri melalui telefon pintar, memilih idea yang kritikal dan membuat penilaian suara sama ada mendatar atau tidak bertenaga. Ketika sesi pengucapan awam dalam talian, perucap cenderung duduk di atas kerusi menyebabkan tahap tenaga berkurangan, oleh itu perucap boleh menyelaraskan kedudukan posisi duduk dan menyelami pengalaman audiens.

Suara dan persembahan adalah elemen penting yang dapat memberi kesan dalam penyampaian lisan dalam talian ini. Justeru, perucap perlu belajar penggunaan teknologi seperti mikrofon yang berbeza jenis dan kualiti kerana perlu diselaraskan dengan posisi duduk perucap.

2. Penyampaian bukan lisan

Perucap juga harus mengambil kira penggunaan alat bantu yang mengukuhkan penyampaian seperti slaid atau capaian ke laman sesawang. Justeru peranan kamera sangat penting supaya audiens dapat melihat wajah perucap. Penggunaan lebih daripada satu kamera dapat mengekalkan interaksi perucap dan audiens biarpun slaid dipaparkan pada skrin komputer.

Pertembungan mata masih lagi menjadi sebahagian daripada kunci utama dalam pengucapan awal dalam talian ini. Biarpun perucap boleh mengelak daripada terus bertentang mata dengan kamera dalam tempoh tertentu, audiens masih mahu melibatkan diri dalam ucapan berkenaan.

Ekspresi wajah juga boleh dilihat dalam pengucapan awam dalam talian bergantung kepada sudut lokasi kamera yang digunakan. Kedudukan kamera yang dekat atau jauh mempengaruhi kebolehlihatan (visibility) perucap, pencahayaan dan kejelasan suara. Bagaimanapun, intonasi suara tidak banyak perbezaan dengan pengucapan awam bersemuka.

Akhir sekali, latar belakang sebagai tempat berucap mempengaruhi pandangan pertama audiens. Penerimaan dan penolakan terhadap ucapan yang diberi bergantung kepada kekemasan latar belakang perucap. Penggunaan aplikasi dalam talian menyediakan pelbagai pilihan  latar belakang dalam menu ‘Change Virtual Background’ harus dimanfaatkan oleh perucap kerana ia menyediakan ‘mood’ yang selesa kepada sudiens. Latar belakang yang sesuai dapat memberi nilai kepada audiens dan meningkatkan keberadaan mereka dalam sesi pengucapan awam dalam talian ini.

3. Alat bantu pembentangan

Dalam sesetengah keadaan, pengucapan awam dalam talian memasukkan alat bantu pembentangan untuk memaksimumkan keberkesanan penyampaian. Terdapat dua perkara yang harus ditentukan iaitu keperluan menggunakan alat bantu dan menyediakan pilihan lain.

Pertama, apakah keperluan alat bantu pembentangan ini? Sekiranya ia membantu mengukuhkan ucapan dan penyampaian, penggunaannya amat tepat dan memberikan kepuasan kepada audiens. Namun jika penggunaannya semata-mata bagi melindungi identiti perucap dan kemahiran pengucapan awam, alasan ini amat lemah.

Kemunculan pelbagai jenis aplikasi yang boleh dimuat turun untuk membantu perucap menyebut perkataan lebih jelas, melatih intonasi suara dan meningkatkan keyakinan berucap. 

i. Aplikasi nota suara dan arahan percakapan

Rakaman suara menggunakan aplikasi penterjemahan dapat memberikan kejelasan pemikiran perucap dalam bentuk perkataan. Kaedah ini membenarkan perucap merangka idea yang dekat dengan cita rasa dan kehendak perucap di samping memberi masa untuk penerangan yang lebih terperinci. Jika dibuat berulang kali, perucap dapat membandingkan nota ucapan seterusnya memilih ucapan yang terbaik. Antara aplikasi tersebut adalah Voice Notes, PowerPoint, Prezi, Google Slides, KeyNoteDragon Anywhere dan Dictate2Us.

ii. Gangguan ‘Filler Words’

Mengulang perkataan ‘Umm’ atau ‘Uhh’ menunjukkan perucap tidak yakin dengan ucapan dan tidak bersedia. Perkataan-perkatan ini dipanggil ‘filler words’ iaitu jeda di tengah-tengah ucapan kerana perucap agak sukar menghubungkan idea dengan perkataan. Terdapat aplikasi yang memberitahu jumlah perkataan ‘Umm’ dan ‘Uhh’ yang perucap sebut ketika rakaman ucapan dilakukan. Antara aplikasi yang menyediakan penyelesaian ini adalah Ummo, Orai dan LikeSo.

3. Penglibatan Audiens

Pihak yang sangat berpengaruh dalam pengucapan awam bersemuka dan dalam talian adalah audiens biarpun dalam jumlah yang kecil atau sedikit. Justeru, perucap perlu memahirkan diri untuk menarik minat audiens sehingga mereka dapat menikmati ucapan sehingga akhir. Teknologi digital telah menyelesaikan masalah ini dengan menyediakan reka bentuk paparan skrin yang menarik untuk menggesa audiens berinteraksi dengan perucap.

Maksud interaksi di sini ialah soal jawab yang mencetuskan perbahasan, menulis nota peribadi, berkongsi kandungan di media sosial, mengambil bahagian dalam pungutan suara dan memberi maklum balas yang mana semuanya ini memberi idea yang sangat penting kepada perucap untuk menambah baik kualiti penyampaian. Antara aplikasi tersebut adalah EngageNow, Glisser dan BuzzMaster.

4. Pungutan Suara

Penglibatan audiens dalam pengucapan awam dalam talian akan lebih menarik apabila mereka dapat mengambil bahagian dalam aktiviti pengukuhan. Penglibatan ini dilakukan melalui mesej, laman sesawang dan aplikasi khas. Keputusannya dapat diketahui segera dalam pelbagai jenis. Bentuk interaksi ini menggunakan nombor pin yang unik dan keputusnnya dipaparkan dalam bentuk yang menarik dan boleh digunakan dalam kalangan audiens yang kecil atau besar. Antara aplikasi tersebut adalah Mentimeter, Kahoot! dan Poll Everywhere.

Latihan Berucap

Membuat latihan berucap dalam talian boleh meletihkan kerana proses ucapan perlu dibuat berulang kali. Latihan pengucapan akan lebih berkesan apabila perucap dapat memahami kandungan ucapan kerana ia menerangkan bagaimana maklumat harus disampaikan. Pepatah lama berbunyi, ‘Setiap langkah yang hebat bermula dengan langkah pertama’ amat menepati pengucapan awam.

Pengkaji otak, Dr. Jill Bolte-Taylor menyatakan bahawa beliau berlatih untuk program TED Talk bukannya sekali atau dua kali bahkan sebanyak  200 kali. Klip video ‘Stroke of Insight" beliau telah dilihat lebih dari 22 juta kali dan disenaraikan sebagai salah satu siri ucapan TED paling popular.

Kaedah Dr Jill sudah tentu berbeza dengan perucap amatur kerana latihan  sebanyak 200 kali perlukan kesabaran yang tinggi. Namun kita boleh lakukan cara berikut untuk memantapkan latihan pengucapan awam dalam talian iaitu mulai dengan nota ucapan, latihan berucap ketika kurang tekanan, dapatkan maklum balas khusus daripada rakan-rakan yang menjadi audiens, merakam ucapan dan meneruskan latihan berucap sehingga yakin telah sempurna.

Pengucapan awam dalam talian adalah bentuk ucapan yang unik dan berkembang seiring dengan permintaan masyarakat global. Pengucapan awam jenis ini juga akan berkembang kerana keperluan untuk mendapatkan maklumat, pengetahuan baru dan idea yang inovatif telah mengubah senario komunikasi di semua peringkat sosial. Walaupun medium komunikasi telah berubah, prinsip-prinsip pengucapan awam tetap kekal dan diperkukuhkan. Perucap bertanggungjawab merangka ucapan yang berkesan dan menggubah hujah yang kukuh untuk disampaikan kepada audiens. 


Rujukan

Lind, S. J. (2012). Teaching Digital Oratory: Public Speaking 2.0, Communication Teacher, 26:3, pp. 163-169.