Wednesday, August 21, 2019

Perkasa dakwah merentas cabaran







Kesediaan Dr Zakir Naik memohon maaf di atas konflik yang dihadapi beberapa hari lalu sangat menyentuh hati. Orang yang berjiwa besar seperti beliau telah menunjukkan contoh teladan terbaik di samping sifat merendah diri.

Kenyataan beliau itu sudah tentu kesan selepas beberapa jam dipanggil oleh pihak polis. Barangkali pihak berkuasa mahukan beliau memberi tumpuan kepada menambah kefahaman masyarakat Malaysia terhadap Islam sebagai agama kedamaian berbanding melibatkan diri dalam perseteruan politik perkauman yang tidak menguntungkan.

Justeru, kita dapat mengenal pasti ayat yang menunjukkan kecenderungan kenyataan tersebut dalam permohonan maafnya iaitu 'Saya minta maaf kepada semua orang yang merasa terluka berikutan salah faham ini'.

Permohonan maaf ini tidak ada kata nistaan atau dendam malah beliau memetik ayat 13 Surah Al-Hujurat iaitu 'Wahai manusia! Kami menciptakan kamu dari satu pasangan laki-laki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu menjadi bangsa dan suku, supaya kamu saling kenal (bukan dengan kamu). Sesungguhnya kamu yang paling dihormati di sisi pandangan Allah Ta'ala adalah orang yang paling saleh dari kamu. Dan Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mengetahui'.

Beliau juga anti rasisme kerana menyedari rasisme adalah kejahatan dan konsep ini bertentangan dengan dirinya sebagai pendakwah.

Tindakan pantas beliau ini menunjukkan akhlak muslim yang sangat menyentuh hati tatkala lima orang pemimpin politik Malaysia yang berterusan menyerangnya dan tidak menunjukkan rasa kesal.

Dr Zakir Naik merupakan pakar dalam perbandingan agama yang dikenali di seluruh dunia selepas Ahmad Deedat. Kepetahan berucap dan ketajaman lisan dalam merungkai persoalan tiga agama besar- Islam, Kristian dan Hindu seringkali menolak sangkaan buruk bukan Islam yang tidak senang dengan hujah yang diberikan.

Akhirnya, golongan ini menggunakan alasan keselamatan untuk menutup pintu dakwah yang disampaikan.

Dalam setiap ceramah beliau, stadium dan dewan besar menjadi tempat untuk berhujag di samping Peace TV dan saluran di YouTube. Di akhir ceramah, beliau hanya mengutamakan soalan dari bukan Islam yang menjadi kekeliruan seperti kewujudan syurga dan neraka, martabat wanita dalam Islam dan keraguan berkaitan al-quran yang didakwa datang dari Allah SWT.

Semua soalan ini dijawab dengan jelas oleh Dr Zakir Naik. Biasanya beliau akan bertanya kepada  mereka sama ada percaya atau tidak kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW. Jika ya, beliau akan memimpin kalimah syahadah dan jika tidak beliau akan mendoakan supaya mereka akan terus mempelajari Islam. Kadangkala beliau menghadiahkan senaskah al-quran untuk dibaca tafsirannya.

Dr Zakir Naik boleh memahami lebih mendalam struktur sosial masyarakat Malaysia yang merangkumi sensitiviti etnik, agama, adat tradisi, institusi beraja dan sejarah ketamadunan Melayu. 

Beliau perlu juga memahami bagaimana corak berfikir masyarakat Malaysia yang masih lagi terikat dengan identiti bangsa dan agama. Memahami fabrik sosial sangat penting kepada mana-mana pendakwah yang ingin meneroka medan dakwah di Malaysia dan nusantara.

Kita berharap beliau akan meneruskan usaha-usaha dakwah kepada masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia supaya kefahaman Islam lebih menyerlah seterusnya menjadikan umat Islam negara ini semakin kuat dalam pelbagai bidang kehidupan.

Monday, August 19, 2019

Pendidikan alat basmi rasuah







Kajian yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati 46.3 peratus yang terlibat dalam rasuah adalah penjawat awam dan kebanyakannya di bahagian perolehan. Tempoh kajian dari tahun 2014 hingga Jun 2019 juga menunjukkan 53.4 peratus yang ditahan adalah golongan di bawah 40 tahun. Yang mendebarkan adalah sejumlah 22.1 peratus daripada penjawat yang dikaji cenderung menerima rasuah apabila berkuasa.

Rasuah boleh jadi dalam pelbagai bentuk. Ia boleh jadi sogokan, penyuapan, nepotisme, pilih kasih, penggelapan, penipuan atau pemerasan. Ada yang mahu wang tunai, ganjaran ke luar negara, barang berjenama, tanggungan bayaran bil utiliti, sewa atau minyak kereta, pelacuran, produk harian dan makan percuma.

Punca rasuah adalah sosiobudaya, politik, ekonomi, perundangan dan birokratik. Kita ambil contoh sosiobudaya. Puncanya adalah kerana lemah dalam agama dan pendidikan etika, kurang pendidikan, ketiadaan suasana yang kondusif dalam memerangi tingkah laku korup dan perubahan radikal dalam sistem nilai yang menyebabkan rasuah muncul.

Amalan rasuah di sektor awam boleh dikekang biarpun telah menjadi darah daging sebahagian kecil daripada kakitangan awam yang terlibat. Pelbagai inisiatif yang diambil oleh SPRM, kerajaan negeri mahupun pihak swasta sedikit sebanyak menunjukkan perubahan dalam pemikiran dan tingkah laku penerima rasuah. Pengenalan sistem dan teknologi yang meminggirkan peranan manusia juga turut menyumbang kepada pemencilan ruang untuk rasuah. Impak ketara sistem dan teknologi adalah pengurangan kos operasi, lebih pantas dan lebih cekap.

Di bahagian perolehan, penggunaan sistem dan teknologi membolehkan penilaian tender dibuat secara objektif bagi memilih pembekal yang terbaik berdasarkan maklumat yang diberi. Setiap marklumat ini diberi markah dan jumlah akhir dikumpul untuk dinilai oleh panel pemilih. Dari segi markah, sistem memberi nilai 80 peratus manakala 20 peratus diberi oleh penilai.

Pendekatan ini menutup peluang kepada perasuah untuk mengubah keputusan.

Ketika ini, banyak pendekatan yang melibatkan manusia seperti ceramah kesedaran dan khutbah Jumaat, namun sejauhmana keberkesanannya masih belum dapat dilihat dengan jelas. Jika pendekatan ini diguna pakai tetapi masih belum dapat menyedarkan kakitangn awam, ia menunjukkan perasuah dan penerima rasuah ini tidak takut kepada Tuhan, sama seperti penjudi yang terus berjudi walaupun tahu berjudi adalah ditegah. Ayat 188 dalam Surah A-Baqarah yang bermaksud;

'Dan janganlah sebahagian kamu memakan harta sebahagian yang lain di antara kamu dengan jalan yang bathil dan (janganlah) kamu membawa (urusan) harta itu kepada hakim, supaya kamu dapat memakan sebahagian daripada harta benda orang lain itu dengan (jalan berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui'.

Penguatkuasaan undang-undang dan hukuman tidak pun menggerunkan perasuah. Kita pernah membaca di akhbar bahawa seorang ketua pengarah di jabatan kerajaan telah ditangkap, dibicara dan dipenjarakan kerana bertindak meluluskan sejumlah permit kerja pekerja asing kerana didorong sogokan. Dalam kes ini, perasuah telah bebas tetapi penerima rasuah yang dikenakan hukuman. Media juga melaporkan timbalan ketua setiausaha kementerian turut ditangkap dan dibicarakan kerana rasuah.

Menggunakan pendekatan perlukan kerjasama dengan Kementerian Pendidikan. Ia harus bermula di peringkat pra sekolah, sekolah rendah dan menengah seterusnya di universiti. Pengenalan Kursus Falsafah dan Isu Semasa serta Kursus Penghayatan Etika dan Peradaban di universiti merupakan langkah awal dalam usaha ini.

SPRM wajar menggunakan pelbagai pendekatan untuk memerangi rasuah di Malaysia. Menjadikan pendidikan sebagai alat utama adalah pendekatan terbaik untuk mengubah persepsi generasi muda terhadap rasuah. Sudah tentu banyak pihak yang hendak membantu.


Saturday, August 17, 2019

Al-quran penawar hidup kecewa







Dua puluh tahun lalu, seorang anak muda yang bercita-cita tinggi dalam hidup telah merantau ke negara orang untuk mengubah hidup diri dan keluarga, membantu pendidikan adik-adiknya dan merancang keluarga sendiri. Di negara orang, beliau berkenalan dengan rakan-rakan baru dan mereka bersama-sama membangunkan sebuah perniagaan berkaitan latihan dan pendidikan.

Di peringkat awal, operasi perniagaan diusahakan melalui sumbangan derma, infaq dan hibah supaya anak muda ini dapat bekerja dengan baik. Ada rakannya yang menyediakan rumah sewa dan menyewakan kereta supaya beliau dapat melakukan aktiviti pemasaran dan mengurus perjalanan syarikat.

Hidup sebagai usahawan memang mencabar dan melelahkan kerana tidak banyak masa untuk berehat apatah lagi bercuti. Beliau bekerja setiap masa dan berusaha sebaik mungkin kerana merasakan amanah yang diberikan sangat berat dan perlu dilaksanakan. Beliau juga memperkenalkan produk latihan kepada agensi kerajaan, swasta dan program 'Summer Camp' pada masa cuti sekolah.

Jatuh dan bangun dalam perniagaan adalah lumrah dan menjadi kebiasaan. Tidak mustahil dalam tempoh enam bulan seorang usahawan boleh menjadi kaya-raya namun dalam tempoh enam bulan juga boleh menjadi muflis dan papa-kedana.

Anak muda ini berkorban masa, wang dan tenaga hampir dua tahun untuk membina perniagaan yang diusahakan bersama-sama. Sedikit demi sedikit beliau mengumpul modal, menggajikan pekerja dan membuka cawangan perniagaan.

Perniagaan yang semakin berkembang itu rupanya menimbulkan minat seorang rakan strategik. Minatnya adalah memasukkan ahli keluarganya sebagai pekerja di syarikat itu tanpa memiliki kelayakan dalam pendidikan.

Rakannya itu mengasak dengan menyediakan kontrak baru melalui rakan-rakan lain dengan menjadikan permit kerja sebagai umpan. Tanpa sebarang perbincangan atau musyawarah, kontrak itu diberi kepadanya selepas makan malam, itupun ditunjukkan di dalam sebuah kereta ketika hendak pulang ke rumah. Selepas meneliti kontrak yang diberi, anak muda ini sangat kecewa dan tidak dapat melelapkan mata. Ia menjadi igauan kerana banyak kandungan kontrak yang di luar jangkaan.

Lalu beliau mengambil keputusan melepaskan semua usaha perniagaan tersebut dan mengembalikan operasi syarikat kepada rakan-rakannya.

'Biarkan saja mereka yang menguruskannya', kata-kata kecewa seorang anak muda yang sanggup berkorban masa untuk membina perniagaan dengan amanah wang derma dan infaq. Beliau tidak lagi peduli apa yang berlaku kepada perjalanan syarikat itu.

Kekecewaannya tidak dapat ditanggung-tanggung dan dizahirkan dengan kata-kata. Setiap pagi, selepas solat subuh, beliau bermenung memikirkan sikap dan pelakuan rakan-rakannya yang membahasakan diri 'ana' dan 'enta' serta berusrah setiap minggu.

Beliau sering memikirkan perkara tersebut sehingga muncul anggapan sama ada peristiwa itu merupakan rahmat atau bala daripada Allah SWT. Kesan psikologinya juga jelas iaitu beliau cepat marah, wajah yang bungkam dan tidak lagi percaya kepada orang di sekeliling.

Namun, amalan membaca dua lembar al-quran setiap hari memberi kekuatan kepadanya untuk berhadapan dengan pengalaman yang menyakitkan itu.  Ayat-ayat al-quran meruntun hati dan mencetuskan motivasi untuk beliau bertahan dan bangkit daripada kekecewaan. Antaranya ayat berikut:

‘Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertaqwa’. (Surah Thaha ayat 132)

Beliau juga tidak putus-putus berdoa supaya diberi jalan keluar dan tidak lagi memikirkan masalah yang sedang dialami itu.

Salah satu keputusan yang diambilnya ialah melupakan semua kejadian yang menimpanya dan kembali tanah air sendiri dan memulakan langkah hidup yang baru. Perlahan-lahan beliau mengumpul kekuatan semangat dan membetulkan kembali cara fikir iaitu meneruskan pengajian ke peringkat paling tinggi.

Kini, selepas melalui tempoh masa yang panjang, beliau menarik nafas dalam-dalam dan bersyukur kerana Allah SWT telah menunjukkan laluan hidup yang sangat jelas di penghujung jalan. Pengajaran hidup anak muda ini dapat dirumuskan dalam tiga perkara.

Pertama, niat yang ikhlas untuk bekerja kerana Allah SWT. Niat seperti ini membuang jauh-jauh keinginan duniawi yang meruntun hati dan cenderung kepada keuntungan wang ringgit. Bekerja kerana Allah SWT mengundang kasih sayang-Nya yang tidak ada sempadan. Tatkala bersedih hati kerana dilayan seperti sampah, akhirnya beliau berdiri lebih tinggi daripada orang yang merendah-rendahkannya dahulu.

Kedua, jadikan al-quran sebagai santapan rohani. Beliau membaca dua lembar al-quran setiap hari beserta terjemahan supaya hati dan fikirannya dituntun oleh panduan ilahi yang menaungi keseluruhan masa dan hidupnya.

Ketiga, doa tanpa henti supaya Allah SWT memandu kehidupannya, menukar yang buruk kepada yang lebih baik dan memberkati apa juga tindakannya.

Terapi jiwa berteraskan al-quran sangat berkesan ketika berhadapan dengan cabaran hidup. Individu yang tertekan dan kecewa wajar menjadikan al-quran sebagai santapan jiwa setiap hari sama ada melalui pembacaan, pendengaran atau mentadabbur ayat-ayat pilihan supaya hubungan hati dengan Allah SWT sentiasa bertaut. 

Tidak rugi orang yang menjadikan al-quran sebagai penyuluh hidupnya.


Friday, August 16, 2019

Tolak perkauman yang gugat keharmonian










Koon Yew Yin, etnik Cina Malaysia yang menyifatkan tentera Malaysia hanya makan dan tidur serta mencadangkan lebih baik bekerja di Felda telah mendapat reaksi negatif daripada pelbagai lapisan masyarakat, lebih-lebih lagi anggota tentera sendiri.

Kenyataan yang melulu dan tidak merujuk kepada keadaan sebenar peranan anggota tentera ini mengundang kemarahan.

Mengatakan pasukan tentera tidak menyumbang kepada ekonomi negara adalah tindakan kurang ajar dan melampau kerana keamanan memberi ruang kepada pembangunan ekonomi yang rancak dan aktif.

Di samping tentera, Yew Yin juga mahukan jumlah penjawat awam dikurangkan melalui pemecatan dan pembuangan kakitangan yang tidak berprestasi. Kenyataan ini juga mengundang marah dalam kalangan penjawat awam sehinggakan presiden Cuepecs meminta Yew Yin menarik balik keseluruhan tulisannya berkaitan perkara itu.

Kita tidak begitu tahu latar belakang Koon Yew Yin melainkan beliau pernah menyumbang dana kepada parti-parti dalam Pakatan Harapan ketika kempen pilihan raya lepas, menjalankan perniagaan dengan berjaya di Malaysia, pernah berjumpa dengan pemimpin Parti Komunis Malaya dan mendesak kesalahan Chin Peng dimaafkan seterusnya pernah menuduh almarhum Sutan Perak sebelum ini mengamalkan rasuah dalam pemberian gelaran. Umurnya telah mencapai 83 tahun.

Maklumat ini boleh disimpulkan sebagai seorang etnik Cina Malaysia yang vokal tetapi memberi masalah terhadap keharmonian masyarakat berbilang bangsa di Malaysia. Vokal kerana beliau memikirkan kepentingan diri sendiri tanpa belajar tentang adab dan sensitiviti masyarakat Melayu.

Sikap dan pemikiran beliau melambangkan warganegara yang tidak dapat menerima pelbagai kesenangan hidup yang dinikmati. Ia boleh disamakan dengan peribahasa 'diberi betis nakkan paha' iaitu tidak tahu bersyukur dengan apa yang ada dan mahukan banyak lagi.

Dalam politik Malaysia, selepas pilihan raya 2018, kuasa politik etnik Cina Malaysia semakin berpengaruh kerana ahli parlimen dari parti DAP menunjukkan suara yang lebih lantang. Isu tulisan khat Jawi, Dr Zakir Naik, sekolah vernakular dan penghinaan ke atas Hari Raya Korban menunjukkan suara kelompok ini semakin mencabar amalan agama Islam dan budaya masyarakat Melayu.

Kelantangan etnik CIna Malaysia yang seolah-olah 'besar kepala' ini dicetuskan oleh sebilangan kecil ahli politik yang mahukan sokongan untuk membuat pelbagai perubahan ke atas dasar-dasar sedia ada yang dilihat tidak memihak kepada mereka.

Walaupun masih ramai etnik CIna Malaysia yang yakin dengan pentadbiran kerajaan dan hubungan harmoni dengan kaum Melayu, suara kelompok ini yang tenggelam tidak memberi makna jika berdiam diri. Seharusnya mereka turut menyuarakan hasrat mahu hidup di Malaysia dan berkompromi dengan agama, adat dan budaya orang Melayu.

Hubungan kaum yang baik selama 63 tahun perlu dikekalkan supaya tidak lagi berlaku 13 Mei kedua. Andainya isu-isu ini tidak ditangani dengan baik, barangkali Malaysia akan kembali kepada keadaan sebelum merdeka iaitu bukan Melayu akan kehilangan kewarganegaraan seperti yang dimasukkan dalam kontrak sosial.

Generasi muda etnik Cina Malaysia masih dapat belajar bahasa mereka sendiri, mengamalkan adat dan budaya mereka, tidak seperti rakan-rakan mereka di Indonesia, Thailand, Filipina atau Brunei. 

Di Brunei, semua pelajar perempuan di sekolah kerajaan perlu memakai tudung manakala pelajar lelaki memakai songkok. Mereka juga perlu belajar tulisan Jawi. Peraturan ini melibatkan kan sekali pelajar-pelajar etnik Cina. Pelaksanaan peraturan sebegini tidak memberi masalah malah meningkatkan rasa hormat dan bangga kepada tradisi Melayu Brunei. 

Di Malaysia, populasi etnik Cina sentiasa menurun setiap tahun kerana generasi baru yang tinggal di bandar enggan memiliki anak yang ramai. Banyak faktor yang menyebabkan keadaan itu seperti kos hidup yang tinggi dan persepsi terhadap kehidupan. 

Dalam tempoh tahun 1991 hingga 2010, populasi etnik Cina Malaysia berkurangan sebanyak 1.3 peratus (1991=29.1%), tahun 2010 berkurangan kepada 24.6 peratus (2000=27.8%) iaitu pengurangan sebanyak 3.2 peratus. Jika bancian pada tahun 2020 diadakan, dianggarkan peratusan ini berkurangan kepada 21.6 peratus.

Sekiranya setiap sepuluh tahun berkurang sebanyak tiga peratus, pada tahun 2040, jumlah mereka hanya 15.6 peratus. Ketika ini kuasa politik dan ekonomi mereka akan berkurangan dan tidak ada apa lagi yang hendak dikatakan.

Sebaliknya jangkaan populasi etnik Melayu akan terus bertambah dari 56.6 peratus pada tahun 1980 kepada 60.1 peratus pada tahun 2000. Seterusnya akan meningkat kepada 64.4 peratus pada tahun 2020. Dalam unjuran populasi penduduk Malaysia dari tahun 2010 hingga 2040 oleh Jabatan Statistik Malaysia, jumlah bumiputera meningkat sebanyak 4.8 peratus manakala etnik Cina berkurangan sebanyak 4.5 peratus.

Kajian oleh Pew Research Center, Amerika Syarikat menjangkakan jumlah penduduk Islam di Malaysia meningkat kepada 72.4 peratus pada tahun 2050. Lebih tepat lagi jumlah masyarakat Islam ini adalah 32.7 juta orang daripada 45.2 juta penduduk berbanding 28.4 juta orang pada tahun 2010. Pada masa itu, tujuh orang daripada sepuluh orang rakyat Malaysia adalah Islam.

Apabila mencapai tahun 2040 hingga 2050, individu seperti Koon Yew Yin atau Lee Kim Yew sudah tidak ada lagi. Tetapi mereka mungkin meninggalkan sikap dan pemikiran yang sama kepada generasi akan datang.  

Isu-isu perkauman yang sedang berlaku ketika ini akan lenyap dan hilang begitu sahaja kerana kekuatan politik dan ekonomi etnik Cina Malaysia akan terhakis sedikit demi sedikit disebabkan bilangan yang semakin mengecil. Ketika itu dominasi etnik Melayu akan terserlah dan menjadi lebih dominan dalam setiap aspek kehidupan masyarakat Malaysia.


Tuesday, August 06, 2019

Kukuhkan tulisan Jawi di sekolah







Kisah dua orang etnik minoriti Cina di Malaysia yang membantah pengajaran tulisan Jawi dalam Bahasa Malaysia Tahun 4 menjadi perhatian umum di media.

Pertama, ahli parlimen dari parti DAP, Lim Lip Eng menyifatkan keputusan itu sebagai menyapu tahi di muka sendiri. Selepas lima jam, beliau memadam ayat berkenaan dan memohon maaf.

Kedua, seorang etnik Cina di Menglembu membaling sepapan telur ke arah pusat khidmat Adun kawasan itu sambil berkata 'DAP khianati kaum Cina' dan 'cuba menghapuskan pendidikan CIna'. Menjelang subuh, lelaki ini kembali rasional dan memohon maaf.

Kedua-dua kes ini mengiringi sentimen etnik minoriti Cina di Malaysia terhadap pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia yang merangkumi sekolah vernakular Cina dan Tamil.

Ketika riuh etnik minoriti Cina membantah tulisan Jawi, etnik minoriti India lebih rasional, cuma seorang sahaja yang memprotes iaitu pemimpin politik DAP di sebuah negeri berpulau.

Sejarah pendidikan vernakular di Malaysia berkembang dan bertahan seiring dengan kematangan pelbagai etnik yang membentuk kemakmuran negara. Perkara asas adalah kontrak sosial antara etnik ketika Tanah Melayu hendak mencapai kemerdekaan. 

Kandungan kontrak sosial adalah agama Islam sebagai agama persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa persekutuan, hak keistimewaan orang Melayu, kedaulatan Raja-Raja Melayu dan kewarganegaraan. 

Empat kotrak sosial yang awal diterima oleh etnik bukan Melayu dengan tukar ganti kewarganegaraan yang diingini oleh etnik minoriti Cina dan India. Kontrak sosial ini yang menjamin kewujudan masyarakat Malaysia moden yang bersaing untuk membina kemakmuran.

Sistem pendidikan vernakular masih dikekalkan dan ditambah baik kerana kerajaan Malaysia lebih mempercayai konsep integrasi berbanding asimilasi atau amalgamasi seperti yang diamalkan di Filipina, Thailand atau Indonesia.

Di Indonesia, generasi muda etnik minoriti Cina tidak lagi menguasai bahasa ibunda kerana pendidikan dan budaya Cina pernah dihalang daripada digunakan. Nama Cina juga tidak boleh digunakan dan mesti ditukar ke bahasa Indonesia. Keadaan yang sama berlaku di Thailand iaitu nama-nama Melayu khususnya di Selatan Thailand mesti menggunakan bahasa Siam.

Keadaan tersebut tidak berlaku di Malaysia malah diberi ruang untuk membaiki pendidikan di sekolah venakular etnik minoriti Cina dan India. Gaji bulanan guru di sekolah berkenaan dibayar oleh kerajaan. Dari segi ekonomi, lima nama teratas yang paling kaya harta benda adalah etnik minoriti Cina.

Kedangkalan dalam isu tulisan Jawi ini perlu diatasi dengan rasional. Anak-anak muda yang tidak dapat membaca al-quran besar kemungkinan tidak dapat membaca tulisan Jawi. Bagaimanapun kita mengucapkan tahniah kepada ahli politik veteran DAP yang mengakui belajar tulisan Jawi ketika ditahan ISA. Pengakuan begini sedikit sebanyak membantu meredakan kegelisahan etnik minoriti Cina kerana belajar Jawi tidak membuatnya kurang kecinaan.


Monday, August 05, 2019

Penampilan luaran






Selepas membayar harga makan malam $3.70, seorang pekerja restoran mengiringi saya ke depan pintu dan bertanya dengan perlahan, 'Are you muslim?' Saya jawab, 'Yes, I am muslim'. 

Kemudian beliau bertanya lagi, "Are you from Nepal?' 

Selamba saja saya keluarkan kad pengenalan dan menghulurkan kepadanya.

Beliau perhati dan membaca dengan teliti lalu menyebut 'Malaysia!'

Cepat-cepat beliau mengembalikan kad pengenalan saya dan beredar ke bahagian dapur tanpa memandang saya. 

Nampak tersipu-sipu malu.

Tidak pasti kenapa beliau melihat penampilan saya kali ini sebagai orang Nepal.

Penampilan memainkan peranan penting untuk membentuk persepsi awal. Keadaan ini boleh dikatakan sebagai penyamaran dan mengelirukan supaya tidak ada syak wasangka dan prasangka. Membina penampilan yang palsu menyumbang kepada kejayaan misi menukar persepsi sedia ada.

Peranan penampilan luaran kerap berperanan dalam komunikasi interpersonal. Dalam temuduga, persepsi awal terhadap calon adalah pakaian dan keadaan fizikal. Penemuduga akan memberi persepsi mereka terhadap pandangan pertama dan sedikit sebanyak mempengaruhi bentuk soalan dan kecenderungan jenis soalan kepada calon.

Dalam operasi memusnahkan sel pengganas, anggota keselamatan akan menggunakan penampilan yang berbeza dengan suasana sedia ada dan di luar kebiasaan supaya dapat mengesan saluran komunikasi dan membuat serangan pada masa yang tepat.

Dalam persahabatan, persepsi awal menentukan sejauhmana sempadan peribadi boleh didekatkan. Di samping itu, keadaan chemistry juga memainkan peranan untuk menjadikan persahabatan lebih akrab dan berpanjangan.

Justeru, penampilan luaran boleh memberi persepsi positif dan negatif, membantu penyamaran dan membina imej palsu atau mengukuhkan penerimaan dan mengeratkan hubungan. Ia bergantung kepada bagaimana kita menggunakannya.


Saturday, August 03, 2019

Politeknik pemangkin TVET Malaysia







Enam politeknik di Malaysia telah mendapat pengiktirafan emas dari Asia Pacific Accreditation and Certification Course (APECC). Ia merupakan satu kejayaan terhadap sistem pendidikan negara yang menjadikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai teras utama pengajaran dan pembelajaran.

Politeknik tersebut adalah Politeknik Ibrahim Sultan, Politeknik Ungku Omar, Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Politeknik Kota Bharu, Politeknik Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Politeknik Sultan Azlan Shah.

Politeknik adalah sebahagian daripada rangkaian pendidikan tinggi Malaysia.

Graduan TVET keluaran politeknik menjadi tenaga mahir yang memenuhi pasaran kerja khususnya Revolusi Industri 4.0 ketika ini.

Usaha-usaha meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran politeknik boleh dilihat dua hingga tiga tahun ke belakang. Antaranya ialah pembangunan satu pelan induk yang komprehensif atau TVET Masterplan yang diselaraskan oleh Kementerian Sumber Manusia dan dibantu oleh enam kementerian. Matlamatnya ialah mencapai sasaran meningkatkan peratusan pekerja mahir di Malaysia.

Selain itu, peruntukan RM50 juta sebagai dana terkumpul turut diberikan.

Dalam pada itu, kerjasama pusat kemahiran, politeknik, universiti dan pertubuhan majikan menggalakkan pemajuan pelaksanaan kecemerlangan TVET ini.

Politeknik di Malaysia dilihat menerajui pendidikan teras ini dan mempamerkan kebolehpasaran yang tinggi. Contohnya Politeknik Kota Kinabalu mencatatkan 94.72 peratus (2018). Sambutan terhadap politeknik membantu institusi itu menjadi peneraju TVET Malaysia di peringkat nasional dan serantau.

Transformasi TVET Malaysia dicapai melalui pengiktirafan TVET sebagai teras ketiga 
dalam Rancangan Malaysia Kesebelas, peruntukan kepada dana TVET, kerjasama pelbagai pihak berkepentingan, memperkenalkan TVET kepada institusi tahfiz sebagai kemahiran tambahan dan mengutamakan kemahiran-kemahiran abad ke-21 seperti penguasaan bahasa Inggeris.

Pencapaian setakat ini adalah peningkatan kepada 27.2 peratus pekerja mahir (2017), kedudukan kedua dalam prestasi modal insan global di Asia Tenggara (2017) dan peluasan program dwibahasa dan program imersif tinggi iaitu meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris melalui peningkatan penggunaan dan penguasaan bahasa itu dalam komuniti sekolah.

Penarafan ini boleh meningkatkan semangat dan mendorong warga politeknik seluruh negara untuk memajukan aliran TVET Malaysia dan menarik lebih ramai lepasan sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia untuk menjadikan politeknik sebagai pilihan pendidikan tertiari mereka.


Thursday, August 01, 2019

Jenayah rosak reputasi universiti






Kesalahan mendera dan memeras ugut pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Zulfarhan Osman Zulkarnain dua tahun lalu akhirnya diketahui dengan jelas. Seramai 18 orang pelajar universiti yang sama telah disabitkan hukuman dengan enam daripadanya boleh dihukum mati mandatori, selebihnya dikenakan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Semua didakwa membunuh, mendera dan memeras ugut di asrama Jebat UPNM pada 22 Mei 2017 antara jam 4.45 pagi hingga 5.45 pagi.

Keputusan ini memberikan detik hitam dalam sejarah pengajian tinggi negara khususnya UPNM kerana mempunyai pelajar yang bersikap ganas dan bersedia mencederakan dan menyebabkan kematian rakan pelajar yang disyaki mengambil komputer riba. Pelajar-pelajar ini mengambil keputusan sendiri sehingga membelakangkan peraturan universiti. Mereka ini umpama “beraja di mata, bersultan di hati’ yang mengambil tindakan sendiri untuk mendapatkan jawapan.

Sepanjang proses pendakwaan, laporan media yang disiarkan untuk bacaan awam menunjukkan mangsa dipukul dan dilecurkan dengan seterika. Kulit pada badan dan kakinya dikatakan terbakar teruk dan kritikal. Ketika proses perbicaraan, ada saksi yang menunjukkan kembali bagaimana keadaan mangsa yang sedang meraung kesakitan.

Raungan kesakitan tersebut akhirnya dibalas dengan hukuman gantung sampai mati dan penjara. Ia merupakan satu keputusan yang memuaskan hati ibu dan bapa mangsa yang lama berjuang untuk anak mereka.

Kehilangan komputer riba di universiti boleh diatasi dengan membuat laporan polis, mengambil langkah memasang kamera tertutup di kawasan kampus dan sentiasa mengingatkan pelajar tentang barang peribadi masing-masing di bilik kuliah, masjid atau kawasan awam. Sekiranya komputer riba hilang juga, mungkin Allah swt akan menggantikannya dengan perkara yang lebih baik pada masa hadapan.

Rakan saya yang kehilangan komputer riba di dalam kereta ketika menyambung pengajian peringkat doktor falsafah, akhirnya dapat bergraduat dalam tempoh tiga tahun sahaja.