Wednesday, October 28, 2015

Tiga langkah berjaya








Orang yang cemerlang berupaya memberi lebih banyak masa, lebih kerap memimpin dan menukar angan-angan kepada tindakan. Mereka berupaya mencari sumbangan, meningkatkan kesedaran dan menjadi contoh positif untuk memberi inspirasi kepada orang lain. 

Bermula dengan orang yang berada di sekitar kita, kita boleh mengajak mereka bersama-sama meraih kecemerlangan ini. 

Kejayaan bukanlah satu misteri atau magik, sebaliknya satu set aturan tindakan yang spesifik dalam bentuk arahan-arahan yang berperingkat. 

Kejayaan juga boleh ditiru dan disesuaikan mengikut keperluan. 

Contohnya seperti ini, kita gabungkan beberapa konsep dalam aturan seperti matlamat, tindakan dan kejayaan. Orang berjaya ada matlamat yang besar, strategi tindakan yang jelas dan bertindak sesuai pada masanya. 

Semua orang boleh itu aturan ini untuk berjaya.


Tuesday, October 27, 2015

Impak kehadiran pekerja asing terhadap sosioekonomi di Ayer Keroh








1.0 Pengenalan

Tugasan ini difokuskan kepada peniaga-peniaga di sekitar Ayer Keroh dan penduduk yang terlibat dalam sektor ekonomi dan kajian terhadap impak kehadiran pekerja asing tanpa izin kesannya sosioekonomi di kawasan kajian selama ini serta kesan jangka panjang jika dibiarkan berterusan.

1.1 Objektif Kajian

Objektif kajian adalah mengetahui pertumbuhan ekonomi di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, mengkaji akibat kedatangan pekerja asing tanpa izin yang tidak terkawal dari segi ekonomi, sosial dan kesihatan dan mengkaji kesan positif terhadap kedatangan pekerja asing tanpa izin serta mengetahui kesan terhadap ekonomi rakyat tempatan sekiranya sesetengah perniagaan diceburi oleh pekerja asing ini.

1.2 Limitasi Kajian

Kawasan kajian ialah Taman Tasik Utama dan Bukit Beruang yang merupakan tumpuan pekerja asing. Lokasi kajian merangkumi kawasan:

a.     Taman Tasik Utama 2
b.     Pangsapuri Taman Tasik Utama 3
c.     Seri Utama
d.     Bukit Beruang (sekitar Multimedia University dan Emerald Park)


2.0 Sorotan Literatur

Ekonomi adalah satu bidang pengajian yang cuba menyelesaikan masalah keperluan asas kehidupan manusia melalui penggemblengan segala sumber ekonomi yang ada berasasan kepada prinsip serta teori tertentu dalam sistem ekonomi. Adam Smith (1776) mengatakan ekonomi ialah penyelidikan tentang keadaan dan sebab adanya kekayaan. Secara tuntasnya, ekonomi adalah bidang berkaitan sesuatu sumber untuk manfaat masyarakat dan negara. Kamus Pelajar Bahasa Melayu Edisi Kedua (2008) telah menjelaskan maksud pendatang asing adalah orang yang memasuki sesebuah negara tanpa kebenaran daripada pihak kerajaan.

Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) bermaksud mana-mana orang, selain daripada warganegara yang menyalahi Seksyen 5, 6, 8, 9 dan 15 Akta  Imigresen 1959/63 atau Peraturan 39, Peraturan-peraturan Imigresen 1963. Mereka merupakan golongan orang yang masuk dan tinggal di sesebuah negara secara haram. Secara haram di sini bermaksud tidak mengikut undang-undang imigrasi. Pembangunan ekonomi haruslah seiring perubahan sosial masyarakatnya. Kajian ini mengenengahkan sedikit sebanyak kesan kedatangan pendatang asing kepada kehidupan sosial dan kesihatan masyarakat selain dari ekonomi kerana penbangunan sosial merupakan sebahagian daripada hak asasi manusia dan satu matlamat penting dalam kemasyarakatan. Dalam pembangunan ekonomi, sosial perlu diambil kira kerana pengagihan kekayaan negara yang seimbang akan memastikan semua mendapat manfaat dan tidak timbul krisis sosial seperti migrasi.


3.0 Metodologi Kajian

Sebanyak sepuluh soalan, lapan soalan objektif dan dua soalan bertulis telah dibentuk bagi kajian ini. Soalan ini kemudian diedarkan kepada 30 responden di kawasan sekitar tumpuan orang di Taman Tasik Utama dan Bukit Beruang.

Memilih beberapa orang penjaja/peniaga kecil-kecilan di Seri Utama dan memilih soalan-soalan khas tentang pandangan peniaga mengenai isu impak pendatang asing terhadap ekonomi dan persaingan yang dihadapi dengan pesaingnya yang merupakan warga asing.

Melakukan tinjauan ke atas beberapa kawasan di Ayer Keroh yang dikatakan “hot spot” pendatang asing untuk tinggal dan berniaga secara halal atau haram.


4.0 Hasil Kajian

Hasil dari kajian melalui soalan soal selidik yang diedarkan kepada 30 responden yang dipilih secara rawak, dapat dirumuskan bahawa sebanyak 12 responden tinggal di Taman Tasik Utama 2, sepuluh responden dari Taman Tasik Utama 3, tujuh responden tinggal di Bukit Beruang dan seorang dari Sungai Putat. Kesemua 30 responden mengatakan tempat tinggal mereka dihuni warga asing terdiri dari pelbagai bangsa. Berikut merupakan dapatan kajian ini.

Rajah 1: Pendatang asing mengikut bangsa yang mendiami Ayer Keroh mengikut tinjauan melalui rakyat tempatan

Melalui tinjauan itu juga, didapati 28 responden tidak selesa dengan kehadiran mereka dan 22 responden menjawab “tidak akan membeli” sekiranya mereka menjalankan sebarang aktiviti ekonomi di sini.


Rajah 2: Perniagaan mengikut sektor yang dijalankan pendatang asing di Ayer Keroh

Sebanyak 12 responden mengatakan terdapat pendatang asing menjalankan perniagaan dari segi peruncitan dan enam dalam sektor makanan iaitu restoran atau penjaja kecil. Bagi kategori lain-lain, ia merangkumi pertanian dan perikanan. Berikut adalah alasan responden bersetuju membeli dari mereka dan tidak kurang juga alasan tidak mahu membeli atau menggunakan khidmat sekiranya mereka menjalankan sebarang aktiviti ekonomi.

Setuju membeli/menggunakan khidmat kerana menawarkan harga lebih murah berbanding rakyat tempatan, urusan tawar menawar lebih mudah dan kebolehsanggupan mereka menjalankan sesuatu tugas berbanding rakyat tempatan dalam sektor perkhidmatan seperti perkhidmatan mencuci dan sebagainya.

Tidak akan membeli/menggunakan perkhidmatan mereka kerana tidak mahu membantu sumber ekonomi mereka, tidak selesa dan kurang kepercayaan terhadap mereka, mahu membantu dan menyokong rakyat tempatan berniaga, isu kebersihan dalam penyediaan makanan dan isu halal dan ragu-ragu dalam penyediaan makanan, penternakan dan perkhidmatan.

Rumusannya, sebanyak 90% responden bersetuju kedatangan pendatang asing meningkatkan kadar jenayah di kawasan mereka dan kebanjiran mereka memberi impak buruk kepada sosial tetapi memberi kesan yang baik pada ekonomi rakyat tempatan sekiranya mereka tidak turut menjalankan aktiviti ekonomi yang akan menambah persaingan kepada perniagaan tempatan.

Hasil temu ramah dengan Baharuddin Mohd Ali Bujang dan peniaga yang berhampiran yang menjawab enam soalan mengatakan tidak setuju dengan penglibatan penduduk asing menjalankan perniagaan di Ayer Keroh. Peniaga tersebut menjalankan aktivit berjaja secara kecil-kecilan dan bermusim memandangkan Ayer Keroh merupakan tempat tumpuan pelajar dan pekerja industri. Berikut merupakan rumusan temu ramah berkenaan.

Soalan 1

Siapakah yang banyak membeli di sini? Jam berapakah ramai pelanggan dan bolehkah kami tahu waktu operasi perniagaan disini?

Jawapan

Pelanggan mereka terdiri daripada pelajar universiti, pekerja kilang berdekatan dan penduduk perumahan tempatan. Perniagaan mereka bermula jam 11 pagi dan akan menjadi sibuk antara jam 12 hingga 2 petang dan jam 4 hingga 5 petang sahaja. Kebiasaannya, peniaga-peniaga ini berhenti berjaja jam 7 petang.

Soalan 2

Golongan mana selalu menjadi pelanggan di kawasan ini? Boleh kelaskan bangsa? Pernahkah perniagaan disini tutup seketika dalam setahun?

Jawapan

Pelajar universiti dan pekerja di kilang berdekatan yang menjadi pelanggan tetap di kawasan ini. Kadangkala ada juga penduduk tempatan membeli makanan terutama waktu tengah hari dan minum petang. Berbilang bangsa yang membeli seperti Melayu, Cina dan India. Pendatang asing juga tidak terkecuali. Kebanyakannya Indonesia dan Vietnam.

Pernah tutup seketika iaitu bulan Januari dan Ogos kerana musim cuti semester pelajar universiti yang merupakan pembeli terbesar mereka. Tetapi jika bulan Ramadhan, ada sesetengah peniaga hanya buka pada antara jam 5 hingga 7 petang kerana pekerja kilang dan pendatang asing beragama Islam datang membeli juadah mereka.

Soalan 3

Boleh berikan sedikit pendapat mengenai peniaga asing di Ayer Keroh?

Jawapan

Terdapat percanggahan pendapat antara peniaga di sini. Pendapat pertama di mana kebanyakannya tidak bersetuju adanya pendatang asing berniaga kerana isu halal, kebersihan dan persaingan.

Pendapat kedua menyatakan bahawa mereka tidak ada masalah dengan isu itu kerana mereka mempunyai pengalaman bersaing dengan penjaja asing dan menyatakan mereka sebenarnya lebih mendapat untung kerana pendatang asing yang ramai dan ada yang lebih menggemari juadah jualan mereka kerana lebih bersih dan sedap berbanding peniaga lain. Contohnya rojak yang cukup digemari pendatang Indonesia dan Vietnam.

Soalan 4

Di kawasan ini, memang ada peniaga asing juga menjaja makanan dan menjadi peruncit di sekitar sini. Ada wujud persaingan kah?

Jawapan

Persaingan tu memang ada. Mereka pula sudah mula pandai memasak cara kita dan tambah pula menjual makanan mereka, kepelbagaian dalam juadah jualan itu lebih banyak daripada kita, pelanggan mereka tentulah dari bangsa mereka yang memang jenis suka menolong ekonomi bangsa sendiri, penduduk tempatan pun ada yang membeli, jadi luaslah pasaran mereka”.

Soalan 5

Boleh kami tahu bagaimana seorang pendatang asing boleh menjalankan perniagaan di sini? Mungkin ada sedikit info dalam kalangan peniaga yang boleh dikongsikan?

Jawapan

Untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan, seseorang itu haruslah mempunyai modal, peralatan, barang basah dan makanan pilihan untuk dijual dan yang paling penting lessen perniagaan yang dipohon di majlis bandaran.

Seorang pendatang asing tidak boleh memohon lesen menjaja makanan kerana taraf kewarganegaraan. Mereka mengatakan pendatang asing yang datang ke sini mempunyai sektor pekerjaan yang telah ditetapkan seperti perkilangan, pembantu rumah dan pengawal keselamatan.

Namun ada pendatang asing yang bekerja di sini sebagai pengawal keselamatan atau perkilangan akan menyuruh isteri mereka untuk berniaga secara kecil-kecilan dan ini sememangnya haram kerana tidak berlesen.

Soalan 6

Apakah langkah yang dipercayai mampu melindungi peniaga tempatan dalam mencari rezeki mengikut pandangan peniaga disini?

Jawapan

Persatuan peniaga haruslah menjalankan tugas mereka sebaik mungkin dalam menangani masalah ini, bukannya mahu menyekat rezeki orang tetapi kalau sudah sampai menyekat periuk nasi rakyat sendiri haruslah ambil tindakan.

Pemantauan pihak berkuasa tempatan secara berjadual dan kena buat undang-undang baru bagi melindungi peniaga. Peniaga warga asing di kawasan di Ayer Keroh ini tumbuh ibarat cendawan selepas hujan terutama di Bukit Beruang di mana perniagaan restoran dan kedai runcit warga asing banyak di situ.

Kesedaran warga tempatan agar tidak menyewakan premis mereka kepada pendatang asing kerana ia lebih memudahkan mereka.

4.1 Perbincangan

Kemasukan pendatang asing yang berbilang bangsa sudah tentu mempunyai kesan yang baik mahupun yang buruk. Berdasarkan kajian kami, kemasukan pendatang asing ke Ayer Keroh akan menambahkan diversiti dari segi bangsa, makanan, bahasa dan pergaulan. Perkahwinan berlainan kaum di antara rakyat tempatan dan warga asing akan menambahkan kepelbagaian bangsa dan keunikan pertukaran budaya akan berlaku.

Pendatang asing yang berbilang bangsa ini tentunya akan memperkenalkan cara pemakaian dan makanan tradisi mereka contohnya pendatang dari Indonesia dan Arab. Kita dapat lihat senario lambakan kedai runcit dan restoran bertemakan masakan Timur Tengah di sekitar Bukit Beruang berhampiran Universiti Multimedia yang menjadi tumpuan pendatang asing yang bekerja sebagai pendidik, pekerja profesional dan pelajar.  Kedatangan pendatang asing di Ayer Keroh  kerana Ayer Keroh adalah pusat pendidikan di Melaka dengan dua buah universiti iaitu Universiti Teknikal Malaysia Melaka dan Universiti Multimedia,dan kolej komuniti; Ayer Keroh mempunyai pusat industri yang pesat membangun dengan kilang-kilang dan syarikat-syarikat besar menawarkan peluang pekerjaan; Ayer Keroh mempunyai pusat tumpuan pelancong dengan jarak dua jam perjalanan dari Kuala Lumpur dan kedudukan strategik Ayer Keroh juga berhampiran dengan Batu Berendam dan pusat Bandar Melaka memudahkan mereka untuk meluaskan jaringan ekonomi dan mencari peluang yang lebih baik.

Walau bagaimanapun, kedatangan mereka lebih banyak membawa kesan yang tidak baik kepada rakyat tempatan dari segi sosial, ekonomi dan kesihatan iaitu  Kurangnya peluang pekerjaan bagi rakyat tempatan terutama di sektor perkilangan dan perladangan kerana upah pendatang asing yang lebih rendah. Bagi rakyat tempatan yang tidak mempunyai sijil pendidikan atau tahap pendidikan cuma ditahap rendah atau sederhana, ianya merupakan satu cabaran dan persaingan yang sengit kerana pihak majikan lebih memilih pekerja asing.

Persaingan yang sengit dalam sektor perniagaan juga akan melumpuhkan atau menyekat sumber rezeki rakyat tempatan kerana penglibatan mereka dalam aktiviti perniagaan seperti restoran, gerai makanan, kedai runcit. Tidak seperti rakyat tempatan, mereka tidak perlu membayar cukai pendapatan  dan itu sememangnya satu bonus bagi mereka.

Kedatangan warga asing ini juga meningkatkan kadar jenayah di Ayer Keroh. Keselamatan penduduk tempatan juga terancam dengan kedatangan mereka, sumber ekonomi penduduk tempatan juga terganggu dengan ancaman rompakan, pukau, ragut dan bahaya pada kaum wanita juga meningkat. Penduduk tempatan merasa takut untuk keluar waktu malam kerana terdapat sekumpulan warga asing yang suka melepak di taman-taman dan pekerja asing pulang dari kerja.

Di Ayer Keroh juga, kawasan setinggan haram mulai wujud dan ini mencacatkan pemandangan. Setinggan ini didirikan di tanah kerajaan secara haram dan mempunyai sistem pembentungan yang tidak teratur menghasilkan bau busuk. Sampah dari setinggan akan dibuang ke dalam parit dan menyebabkan air longkang tidak mengalir dan membawa bahaya denggi kepada penduduk tempatan. Untuk membersihkan kawasan ini juga akan menyebabkan majlis bandaran atau persatuan penduduk terpaksa mengeluarkan modal/kos yang agak besar.

Penyakit berbahaya juga akan merebak kerana pendatang asing dari negara yang mundur terdedah kepada bahaya penyakit. Pendatang yang sah akan dikenakan pemeriksaan kesihatan sebelum memasuki negara ini tetapi bagi pendatang tanpa izin, mereka tidak melakukan sebarang pemeriksaan kesihatan kerana bimbang dilaporkan ke pihak berwajib. Penyakit bawaan pendatang asing kebiasaanya tibi, HIV dan hepatitis. Ini akan membahayakan penduduk tempatan yang tinggal di kawasan sekitar.


5.0 Kesimpulan

Kesimpulannya, keperluan dan peranan pekerja asing dalam pembangunan ekonomi negara kita memang tidak dapat dinafikan. Namun demikian, limpahan pekerja asing terutamanya pendatang asing yang tidak dikawal dan berterusan sudah tentu akan memudaratkan kesejahteraan rakyat kita. Oleh itu, rakyat hendaklah turut sama menyokong kerajaan dalam mengurangkan kadar kemasukan pendatang asing dan membanteras penyeludupan manusia dan pendatang tanpa izin di Malaysia agar pembangunan ekonomi negara kita akan terus meningkat tanpa menjadikan kesejahteraan dan ekonomi rakyat tempatan sebagai taruhan.

Penguatkuasaan dan pemantauan yang berkala dan jitu sepatutnya dijalankan oleh pihak berwajib. Pendatang asing tidak sepatutnya berniaga secara bebas di Malaysia kerana ia sememangnya menyekat rezeki warga tempatan. Persatuan penduduk dan persatuan-persatuan peniaga tempatan juga haruslah memainkan peranan dan aktif memperjuang nasib peniaga tempatan, jangan hanya ibarat melepas batuk di tepi tangga, hanya muncul setahun sekali untuk mesyuarat dan mengutip yuran semata-mata. Syarat untuk memulakan perniagaan seharusnya dikaji semula agar tidak menjejaskan rakyat tempatan. Namun, rakyat tempatan juga haruslah bersikap rasional dan saling bantu membantu kerana ada rakyat tempatan di Ayer Keroh sanggup menyewakan kedai dan perniagaan mereka kepada warga asing demi wang sewa. Para majikan juga perlu mempunyai kesedaran dan pihak berwajib tempatan haruslah mengenakan syarat sesuatu pengambilan pekerja supaya rakyat tempatan masih mempunyai peluang pekerjaan yang banyak tanpa perlu bersaing dengan pendatang asing.


Rujukan

Latifah Abdul Latiff, Mohd Azmir Mohd Nizah. Hubungan Etnik. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Islam Malaysia.

Mohd Taib bin Dora dan Norliah Kudus. Pembangunan Sosio Ekonomi Malaysia. Melaka.
     Universiti Teknikal Malaysia Melaka.

Laman web rasmi Jabatan Imigresen Malaysia http://www.imi.gov.my/
Laman web rasmi Berita Harian http://www.bharian.com.my/


MZ Zainudin, Nurul Yasmin Mokhtar, Mohd 'Izzat Syafique Madon