Wednesday, July 29, 2015

Pelaburan dalam pendidikan anak-anak








Saya sering membawa anak-anak bercuti ke tempat yang berbeza-beza. Bergantung pada masa, ada kalanya tiga bulan sekali atau setahun sekali. Biasanya semua orang seronok apabila dapat melawat tempat-tempat yang menarik ini. 

Apabila pulang ke rumah, saya berinteraksi dengan anak-anak untuk mengetahui bagaimana pengalaman mereka. Macam-macamlah jawapannya. Bagi yang besar, dia dapat menilai banyak perkara seperti pengalaman tengok binatang, naik sampan atau tengok ikan di Waterworld. 

Bagi anak yang kecil, pengalamannya hanya muncul apabila ditunjukkan gambar pada telefon pintar. Cerita ini sebenarnya merupakan satu bentuk latihan kepada anak-anak untuk membuat pemikiran reflektif supaya mereka dapat menghargai pengalaman bercuti. 

Saya rasa penting dibuat begini kepada anak-anak kerana yang keluarkan belanja tentulah mahukan return of investment (ROI).

Tuesday, July 28, 2015

Reunion Sekolah Kebangsaan Kodiang 1985-2015








Malam Reunion Pelajar Sekolah Kebangsaan Kodiang 1985-2015 sangat meriah. Bertemu dengan rakan-rakan sekelas yang berpisah selepas 30 tahun dapat mengundang kembali nostalgia dan ingatan semasa kami bersama-sama belajar dari darjah satu hingga enam.

Tema majlis ini adalah "Mengimbau Kenangan, Bertaut Silaturrahim, Menabur Bakti".

Di samping rakan-rakan sekelas, guru-guru yang telah membimbing kami juga turut dijemput.

Merancang program seperti ini perlukan beberapa orang yang sentiasa memastikan setiap perancangan berjalan lancar. Penggunaan teknologi komunikasi seperti WhatsApp juga memudahkan hubungan dan komunikasi pelbagai hala.

Urus setia program kali pertama ini digerakkan oleh Azmi Din dan Syubli Nordin. Mereka sentiasa memastikan semua rakan lama dapat dihubungi dan dijemput. Daripada hanya beberapa orang, kumpulan ini bertambah kepada lebih 20 rang.

Perbincangan turut melibatkan masa, tempat dan menu makanan di samping aktiviti sampingan seperti pengenalan diri, sesi bergambar dan cabutan bertuah.

Menu makan sangat mewah kerana masing-masing yang sudah berkerjaya mampu menyumbang lebih banyak wang untuk hari bersejarah ini. Antara menu makan malam adalah kambing golek, nasi tomato ayam, ketupat, rendang daging, pasembor, mee rebus, koteow goreng, minuman dan buah-buahan.

Rakan-rakan yang hadir terdiri daripada Salina, Syubli, Zah, Anita, Rajman, Norazman, Umi Saodah, Norhasliza, Mazri, Nurhaizal Azam, Syuhaida, Rahayu, Lizawati, Hanida, Suriani, Bani, Ku Sariza dan Rais.

Antara guru yang dapat hadir adalah Cikgu Ibrahim, Cikgu Kamaludin, Cikgu Tengku Izham, Cikgu Jah, Cikgu Hasnah, Cikgu Ani, dan Cikgu Norizah.

Majlis bermula dengan doa bagi meraikan kesyukuran dan rahmat Allah swt kerana mengizinkan majlis ini diadakan. Dalam doa ini dimasukkan permohonan agar Allah swt mengurniakan kesejahteraan dan kebahagiaan kepada guru-guru yang telah mengajar dan membimbing kami semua. Doa juga dipohon supaya kami berkekalan dalam persahabatan dan bersemangat kental untuk mengharungi cabaran hidup.

Cikgu Tengku Izham, sebagai wakil guru merupakan guru muzik. Beliau juga mengimbau kembali kenangan yang mana beliau melatih pelajar belajar muzik dan membentuk kerektor pelajar melalui pelajaran muzik. Dalam ucapannya, beliau menceritakan kembali kesungguhan Allahyarham Cikgu Zaki sebagai jurulatih bola sepak, dia membimbing pasukan bola sepak sekolah untuk berentap dengan pasukan Sekolah Kebangsaan Tunku Bendahara dan Sekolah Kebangsaan Seputih. Rakan-rakan guru yang lain juga dikongsi bersama.

Sesi pengenalan diri rakan-rakan lama sangat menarik. Di sini masing-masing bercerita tentang perjalanan hidup khususnya pengalaman semasa di sekolah dan kerjaya terkini. Selepas 30 tahun, walaupun pernah berada di satu tempat yang sama, hari ini semuanya telah berjaya dalam kerjaya dan keluarga.

Hanida Harun, pernah bertugas di Universiti Kebangsaan Malaysia dan kini di Akademi Grafologi Malaysia. Beliau belajar sehingga ke Afrika Selatan dan telah menetap di Bangi sejak 20 tahun lalu.

Umi Saodah, bekerja dengan syarikat hartanah di Alor Setar dan sangat arif tentang bidang hartanah di Kedah dan Perlis.

Norhasliza Hasan atau dikenali sebagai Kak Cik bertugas sebagai guru di Kuala Perlis. Katanya beliau telah merantau ke empat buah negeri mengikut suami.

Noranieta bertugas sebagai dealer di Kuala Lumpur.

Syuhaida tinggal di Penaga dan menjadi suri rumah tangga.

Salina juga bertugas sebagai guru di Jitra, masih mengekalkan sikap mesra sejak dari sekolah.

Suriani bekerja di Putrajaya adalah rakan pelajar yang berpindah semasa kami berada darjah empat.

Rakan-rakan lelaki semuanya mempunyai kisah menarik. Masing-masing telah mempunyai kerjaya yang stabil dan keluarga yang bahagia.

Azmi Din bekerja dengan Sime Darby sebagai pengurus ladang. Beliau lebih senang dipanggil Pak Mie, merupakan orang kuat program ini. Antara pelajar bijak dalam kelas dan dipilih menyambung pelajaran ke sekolah berasarama penuh. Seterusnya belajar di Politeknik Kota Bharu dan menyambung pengajian ke United Kingdom.

Syubli Nordin, anak cikgu. Memiliki ciri-ciri kepimpinan dan sifat berdikari. Beliau melanjutkan pelajaran sehingga ke Amerika Syarikat. Kini mengusahakan perniagaan sendiri dalam bidang pengangkutan.

Nurhaizal Azam, juga anak cikgu bertugas di Universiti Utara Malaysia.

Mazri, seorang yang suka bertegur sapa, tinggal di Shah Alam dan bekerja sendiri.

Rajman, bekerja di Technology Park Malaysia sebagai pengurus projek dan tinggal di Desa Pandan.

Norazman pernah belajar di Universiti Utara Malaysia dan sekarang bekerja di Kulim Hi-Tech.

Majlis reunion kali ini merupakan permulaan untuk majlis-majlis yang akan datang. Selain WhatsApp, jemputan untuk bersama-sama dalam Facebook juga dicadangkan supaya kami dapat bertukar-tukar maklumat dan memanjangkan silaturrahim.

Perjumpaan semula bekas-bekas pelajar sekolah sudah menjadi trend ketika ini khususnya ketika hari raya. Media sosial berperanan bersar membantu bekas-bekas pelajar ini menyambung kembali silaturrahim mereka.


Monday, July 27, 2015

Pembelajaran Aktif







Penulis: Mel Silberman
Tahun: 2009
Penerbit: Institut Terjemahan Negara Malaysia
Muka Surat: 295

Buku ini mengandungi segala langkah tentang teknik pembelajaran aktif. Sebanyak 101 strategi dimuatkan dan setiap strategi dihuraikan dengan jelas, langkah demi langkah. Mereka yang ingin menjadikan proses pembelajaran lebih aktif tetapi tidak berdaya melakukannya, patut memiliki buku ini untuk mendapatkan idea dan strategi inovatif baru. 

Buku ini juga amat sesuai dibaca oleh mereka yang baru menceburi kerjaya pengajaran.


Tuesday, July 14, 2015

Silang budaya masyarakat Melayu dan Jawa dalam perkahwinan








1.0 Pengenalan

Perkahwinan merupakan satu perkara yang amat penting dalam kehidupan mereka. Perkahwinan di dalam masyarakat Melayu sama ada di bandar mahupun di kampung adalah satu peristiwa yang mesti dilakukan mengikut adat istiadat tertentu. Pada dasarnya, perkahwinan merupakan satu proses hidup yang mesti dilalui oleh semua orang, baik lelaki mahupun perempuan tanpa mengira darjat atau taraf. Setiap masyarakat mempunyai cara tersendiri dalam menjalankan tradisi dan adat budaya masing-masing. Begitu juga di dalam upacara perkahwinan. Dalam kalangan orang Melayu, perkahwinan merupakan satu perkara terpenting dalam kehidupan mereka. Ia adalah satu tahap sejarah dalam hidup seseorang.

Oleh kerana itulah, perkahwinan perlu dirancang supaya segala upacara dapat dijalankan sebaiknya-baiknya. Namun dalam konteks tradisi perkahwinan masyarakat Melayu, idea dan amalan dapat dikenal pasti adalah menurut pengertian budaya dan kepercayaan yang dijunjungi. Seperkara yang tidak dapat diketepikan, tradisi perkahwinan Melayu jelas sekali mempunyai perkaitan yang begitu rapat dengan tumbuhan semulajadi. Malah masyarakat Melayu amat berpegang kepada pepatah yang berbunyi "biar mati anak jangan mati adat".

Biarpun tidak banyak yang memahami falsafah dan mempelajari logik adat tersebut secara mendalam, namun sekurang-kurangnya masyarakat buat masa ini masih memerlukannya.

1.1 Objektif Kajian

Perkahwinan merupakan majlis penting dalam masyarakat Melayu. Upacaranya boleh dibahagikan kepada tiga peringkat. Peringkat pertama, merisik, meminang serta menghantar belanja. Peringkat kedua, akad nikah dan berinai. Peringkat ketiga, hari langsung atau hari bersanding, berarak dan bersanding serta sambut menantu.

Walau bagaimanapun pada dasarnya adat perkahwinan orang Melayu nampak sama, tetapi bagaimanapula bagi masyarakat Jawa? Adakah adat perkahwinan mereka sama dengan masyarakat Melayu atau terdapat pekara yang berlainan dengan masyarakat Jawa.Orang Jawa datang hasil penghijrahan beramai-ramai akibat daripada dasar transmigrasi Belanda, iaitu perpindahan penduduk daripada Pulau Jawa Kebanyakan mereka terdiri daripada pekerja di ladang-ladang kopi, getah dan di kawasan tanah yang baru di buka. Dianggarkan pada tahun 1930 terdapat 170,000 orang Jawa di Singapura.Di Tanah Melayu kebanyakan orang Jawa terdapat di Johor (Muar, Batu , Pahat dan Pontian), Selangor (Kelang, Kuala Selangor, Kuala Langat), dan Perak (Hilir Perak, Krian, Parit Buntar)

Kajian ini bertujuan mengkaji perbezaan adat perkahwinan masyarakat Melayu dengan orang Jawa dengan lebih dalam dan terperinci serta mencari perbezaan antara kedua-duanya mengikut budaya masing-masing


2.0 Definisi

Pemerintah Malaysia mendefinisikan Melayu sebagai penduduk pribumi yang bertutur dalam Bahasa Melayu, beragama Islam dan yang menjalani tradisi dan adat-istiadat Melayu. Tetapi dari segi definisi budaya (cultural definition), Melayu itu merangkumi seluruh penduduk pribumi di Dunia Melayu (Nusantara dalam pengertian di Malaysia), iaitu penduduk serumpun tidak kira agama, bahasa, dan adat istiadat masing-masing yang diikuti oleh masing-masing kelompok serumpun tersebut.

Kata nama Melayu berasal daripada bahasa Sanskrit iaitu “Malaya” atau perkataan Tamil iaitu “Malai” yang bermaksud bukit/tanah tinggi atau perkataan Parsi kuno iaitu “Mahaluyah” merujuk daerah ramai guru yang digelar sebagai “Mulaya”.

Orang Jawa adalah orang yang bahasa ibundanya bahasa Jawa dan merupakan penduduk asli bahagian tengah dan timur pulau Jawa. Banyak definisi Jawa, ada yang mengangap Jawa adalah kesenian, ada juga yang berasal dari kata Juwawut tanaman asal dari padi/pari (wet paddy) dan masih banyak yang lainnya. Masyarakat Jawa sangat gemar melakukan “guyon guyon parikeno” atau bahasa biasanya bermaksud (disindir) percakapannya. Tingkah laku masyarakat Jawa didasari kepada tingkah spiritual dan pengenalannya terhadap sejarah, dan kesemuanya itu sangat mempengaruhi perilaku pola kehidupan manusianya, sebab pada dulunya (sehingga sekarang tetap tetapi banyak kalangan yang tidak mengakuinya). Konklusinya, Jawa adalah menyenangi kecerdasan dan berupaya menjadi cerdas, gemar mendalami sejarah, menyenangi hal hal spiritual serta mempunyai kemampuan beradaptasi dengan baik. Jadi, walaupun kebanyakan orang Jawa akan mendentifikasikan dirinya sendiri dengan “kebudayaan Jawa”, aspek-aspek dari cara hidup mereka akan bervariasi berdasarkan dimana mereka tinggal. Begitu juga dengan sejauh mana penggembaraan masyarakat Jawa.

Umumnya di Malaysia, terdiri daripada satu hingga dua juta bilangan masyarakat Jawa yang boleh didapati di beberapa buah negeri. Negeri Johor dan Selangor adalah dua buah petempatan yang sangat popular bagi masyarakat Jawa. Namun begitu, terdapat juga beberapa buah negeri yang mempunyai komposisi masyarakat Jawa seperti Perak, Melaka dan Negeri Sembilan. Petempatan masyarakat Jawa di Malaysia banyak tertumpu di kawasan Pantai Barat. Walaupun masyarakat Jawa mempunyai banyak persamaan dengan masyarakat Melayu, namun masih terdapat perbezaan yang menunjukkan betapa uniknya masyarakat Jawa yang dipayungi kepulauan Melayu ini sama ada dari segi bahasa mahupun corak kehidupan. Walaupun begitu, masyarakat Jawa telah mengalami proses asimilasi sehingga telah beransur-ansur diserap ke dalam masyarakat Melayu.

Dalam erti kata lain, masyarakat Jawa telah dimelayukan. Proses asimilasi ini boleh dilihat apabila banyak perkahwinan ataupun percampuran generasi baru masyarakat Jawa dengan masyarakat Melayu amnya. Sewajarnya kita mengetahui tentang asal usul.Orang Jawa sebagian besar secara nominal menganut agama Islam. Tetapi ada juga yang menganut agama Protestan dan Katolik. Mereka juga terdapat di daerah pedesaan. Penganut agama Buddha dan Hindu juga ditemukan pula di antara masyarakat Jawa. Ada pula agama kepercayaan suku Jawa yang disebut sebagai agama Kejawen. Kepercayaan ini terutama berdasarkan kepercayaan animisme dengan pengaruh Hindu-Buddha yang kuat. Masyarakat Jawa terkenal akan sifat sinkretisme kepercayaannya. Semua budaya luar diserap dan ditafsirkan menurut nilai-nilai Jawa sehingga kepercayaan seseorang kadangkala menjadi kabur.


3.0 Adat-Adat Perkahwinan Masyarakat Melayu

Masyarakat Melayu begitu berpegang teguh dengan adat resam kerana ia dipercayai mempunyai kesan dalam kehidupan. Bagi masyarakat Melayu, adat resam perkahwinan begitu dititikberatkan. Sesuatu upacara dalam peringkat perkahwinan itu akan dijalankan dengan meriah dan penuh adat istiadat. Dalam adat perkahwinan masyarakat Melayu, terdapat beberapa peringkat penting.

Perkahwinan merupakan majlis penting dalam masyarakat Melayu. Upacaranya boleh dibahagikan kepada tiga peringkat. Peringkat pertama, merisik, meminang serta menghantar belanja. Peringkat kedua, akad nikah dan berinai. Peringkat ketiga, hari langsung atau hari bersanding, berarak dan bersanding serta sambut menantu. Walau bagaimanpun pada dasarnya adat perkahwinan orang Melayu nampak sama, tetapi sebenarnya berbeza-beza mengikut adat negeri masing-masing.

3.1 Adat Meminang

Adat ini juga dipanggil meninjau atau menengok. Tujuan adat ini dilakukan adalah untuk memastikan bahawa gadis yang dihajati oleh seorang lelaki itu masih belum berpunya. Ini penting, kerana dalam Islam seseorang itu dilarang meminang tunangan orang. Di samping itu, adat ini juga bertujuan untuk menyelidik latar belakang si gadis berkaitan kemahiran rumahtangga, adab sopan, tingkah laku, paras rupa serta pengetahuan agamanya. Lazimnya adat ini akan dijalankan oleh saudara mara terdekat pihak lelaki seperti ibu atau bapa saudaranya. Bagi pihak si gadis pula, terdapat beberapa kriteria yang perlu dipertimbangkan sebelum menerima lamaran pihak lelaki antaranya ialah lelaki tersebut perlulah mempunyai latar belakang agama serta mempunyai pekerjaan yang baik.

Setelah kedua belah pihak bersetuju menerima risikan awal tadi, masing-masing akan membuat persediaan secara rasmi. Saudara-mara masing-masing dibawa berunding dan wakil pihak lelaki akan berkunjung sekali lagi ke rumah si gadis. Kali ini masa dan hari ditetapkan terlebih dahulu. Pihak perempuan akan bersedia setelah berunding dan mendapat persetujuan saudara-maranya berkenaan hal-hal seperti hari dan waktu meminang secara rasmi, mas kahwinnya, hantaran serba satu, serba dua dan lain-lain, jumlah belanja hangus, hari dan waktu perkahwinan, yakni hari langsung, Syarat-syarat lain sekiranya mana-mana pihak menarik diri dan sebagainya.

Dengan demikian, apabila wakil pihak lelaki sampai, pihak perempuan sudah bersedia dan dapat menjelaskan satu persatu kehendak tersebut. Di samping itu, persetujuan juga dicapai tentang majlis hari pertunangan seperti jumlah rombongan pihak Ielaki, jumlah dulang yang akan dibawa pada, hari itu selain daripada tepak sirih. sama ada sebahagian daripada belanja hangus dikehendaki atau tidak pada hari peminangan itu. Sesudah segala persetuan dicapai, wakil ibu bapa pihak Ielaki akan melaporkan kesemuanya kepada ibu bapa dan saudara-mara si teruna.

Biasanya tidak banyak lagi yang akan dibicarakan. Di dalam tempoh ini sehingga hari pertunangan, pihak lelaki akan menyediakan barang-barang yang diperlukan oleh pihak perempuan. Manakala pihak perempuan akan menyiapkan barang-barang yang hendak dihadiahkan kepada pihak lelaki. Menurut Adat, pihak lelaki akan menghantar barang-barang berikut untuk Si gadis pada hari pertunangan seperti cincin, sebuah tepak sirih yang Iengkap dengan isinya sebagai sirih meminang, sepasang pakaian, sehelai kain tudung, buah-buahan atau lain-lain, beg tangan, sepasang kasut. Jumlah dulang daripada pihak Ielaki dan balasannya daripada pihak perempuan mestilah dalam bilangan ganjil.

Cincin sebentuk sama ada emas, intan atau berlian sebagai cincin tanda. Adakalanya semasa merisik, wakil lelaki tersebut akan memberikan sebentuk cincin tanya berupa cincin belah rotan dan jika pihak gadis bersetuju mereka akan menetapkan tarikh untuk peminangan. Walau bagaimanapun adat merisik jarang dilakukan lagi kerana pasangan tersebut telah berkenalan terlebih dahulu, justeru itu mereka akan terus menjalankan adat meminang untuk menjimatkan kos dan masa.

3.2 Meminang

Setelah diketahui bahawa gadis tersebut belum berpunya, pihak keluarga lelaki akan menetapkan hari untuk menghantar satu rombongan peminangan. Urusan peminangan akan dilakukan oleh kaum keluarga terdekat pihak lelaki. Adat ini dilakukan bagi menyatakan tujuan mereka yang sebenarnya secara rasmi. Saudara-mara kedua-dua belah pihak akan berunding untuk menetapkan tarikh dan masa yang sesuai untuk adat bertunang pula. Di samping itu, perbincangan juga akan diadakan berkenaan dengan hantaran dan jumlah rombongan yang akan datang untuk upacara bertunang untuk memudahkan pihak perempuan menyediakan persiapan semasa majlis pertunangan kelak.

Pada hari pertunangan, pihak lelaki membawa barang-barang yang telah ditetapkan, seperti tepak sirih dan hadiah-hadiah lain. Bagi upacara meminang atau hari naik tanda, pihak lelaki akan menghantar wakil sebagai jurucakap. Demikian juga pihak perempuan akan mewakilkan seseorang sebagai jurucakap kepada pihak penerima pula.

Majlis pertunangan akan berjalan meriah disulami berbalas-balas pantun daripada kedua-dua belah pihak. Pada hari tersebut, ditetapkan tarikh hari perkahwinan dan diberitahu syarat-syarat yang dikenakan. Antaranya jika pihak Ielaki memungkiri janji, dia akan didenda dengan memenuhi hantaran yang ditetapkan. Sebaliknya jika pihak perempuan yang memutuskan pertunangan, dia dikenakan membayar ganti rugi dua kali ganda hantaran yang telah dijanjikan.

Setelah semua perkara dibicarakan, pihak lelaki akan menyerahkan segala hantaran kepada pihak perempuan dengan sopan, kecuali cincin tanda atau cincin tanda atau cincin tunang yang dipegang oleh kakak atau emak saudara pihak lelaki untuk disarungkan ke jari manis si gadis.

Si gadis yang dihiasi cantik dengan berpakaian menarik menanti di dalam bilik dengan penuh tertib. Inilah masanya kakak atau ibu saudara pihak Ielaki melihat lebih dekat wajah si gadis.

Barang-barang daripada pihak perempuan kepada pihak lelaki dibalas dalam bilangan ganjil juga. Antara hadiah yang dibalas ialah songkok, sejadah, sepasang persalinan dan sebagainya. Selepas bertukar-tukar hadiah, jamuan akan dihidangkan. Selepas itu barulah rombongan pihak lelaki pulang.

3.3 Bertunang

Selepas perbincangan diadakan, majlis pertunangan akan dilangsungkan. Pihak lelaki akan diwakili oleh ahli keluarga dan saudara mara terdekatnya untuk upacara bertunang. Pada hari tersebut, majlis kenduri akan diadakan bersempena pertunangan tersebut di rumah pihak perempuan. Hantaran yang terdiri daripada tepak sirih atau sirih junjung sebagai bingkisan utama, sebentuk cincin beserta hantaran lain seperti bunga rampai, buah-buahan, kuih-muih, pakaian dan lain-lain yang telah digubah akan diberi kepada pihak perempuan.

Mengikut adatnya juga, sekiranya pihak perempuan mempunyai kakak yang masih belum berkahwin, hantaran untuknya juga turut diberikan. Adat ini dipanggil langkah bendul. Bilangan hantaran agak unik kerana jumlahnya ganjil iaitu sama ada lima, tujuh, sembilan, sebelas atau tiga belas, kerana jumlah genap dikatakan memberi implikasi yang tidak baik. Jumlah hantaran yang diberi oleh pihak perempuan pula akan melebihi jumlah hantaran pihak lelaki. Adat menghantar belanja turut diadakan semasa adat bertunang ini dijalankan. Namun begitu ada juga yang menjalankannya secara berasingan daripada adat bertunang iaitu mengadakannya beberapa minggu sebelum majlis persandingan dijalankan.

Upacara ini akan dimulakan dengan wakil pihak lelaki menyerahkan tepak sirih kepada wakil pihak perempuan dan menyatakan lamaran mereka secara rasmi. Pantun sering digunakan dalam upacara ini bertujuan untuk memeriahkan majlis. Setelah pertunangan diterima secara rasmi, wakil kedua belah pihak akan berbincang tentang belanja perkahwinan, tempoh pertunangan dan lain-lain hal yang berkaitan. Tempoh bertunang lazimnya dalam masa setahun ataupun mengikut persetujuan kedua belah pihak. Satu perkara yang turut dititikberatkan ialah berkenaan putus tunang. Sekiranya pihak lelaki yang memutuskan pertunangan tersebut, semua wang hantaran dan belanja yang diberi kepada pihak perempuan dikira hangus, sebaliknya jika pihak perempuan yang berbuat demikian, semua hantaran harus dikembalikan sebanyak dua kali ganda.

Acara kemuncak majlis pertunangan adalah adat sarung cincin di mana wakil pihak lelaki yang terdiri dari ibu atau saudara perempuannya akan menyarungkan cincinpertunangan atau cincin tanda ke jari manis gadis yang dilamar. Setelah itu rasmilah sudah pertunangan tersebut.

3.4 Akad Nikah

Sebelum akad nikah dijalankan, imam biasanya akan mengingatkan si teruna kepada hal-hal keagamaan dan tanggungjawab yang bakal dihadapi sebagai suami mengikut lunas-lunas Islam. Ini termasuklah mengucapkan dua kalimah syahadat, menuturkan rukun Islam dan rukun lman. Selepas upacara akad nikah, pengantin lelaki akan bersalin pakaian untuk turut serta dalam adat berinai besar.

Jika akad nikah dilakukan pada malam berinai besar, barang-barang hantaran adalah seperti sebentuk cincin emas ataupun intan berlian, sepasang pakaian, sehelai kain tudung, sepasang kasut, sebuah beg tangan, wang hantaran dan mas kahwin, bunga rampai, buah-buahan dan lain-lain yang sesuai, tetapi kesemua hantaran ini hendaklah didahului oleh tepak sirih atau sirih junjung. Barang-barang ini dibawa pada malam berinai besar ke rumah pengantin dalam bilangan ganjil dan dibalas oleh pihak perempuan melebihi daripada jumlah dulang pihak lelaki dalam bilangan ganjil juga. Tetapi, jika akad nikah dilakukan pada siang hari yakni pada hari langsung, barang-barang hantaran ini mestilah dibawa bersama untuk upacara akad nikah.

3.5 Adat Berinai

Majlis berinai biasanya diadakan secara berperingkat-peringkat seperti berinai curi. Ini diadakan tiga malam sebelum hari langsung untuk saudara-mara terdekat sahaja. Seterusnya berinai kecil diadakan dua malam sebelum hari langsung untuk para saudara-mara, jiran tetangga dan sahabat handai. Akhir sekali, berinai besar yang diadakan satu malam sebelum hari langsung untuk para jemputan khas daripada pihak lelaki dan perempuan. Biasanya ia dilakukan selepas upacara akad nikah.

Dalam adat berinai curi dan berinai kecil, pihak Ielaki tidak diundang dan tidak seharusnya datang. Manakala pada malam berinai besar, pihak lelaki turut serta. Pada malam upacara berinai besarlah akad nikah dilangsungkan, yakni sebelum berinai besar. Apakala pengantin Ielaki didudukkan di atas pelamin, upacara berinai dilakukan oleh para jemputan lelaki dan perempuan, kebanyakannya daripada pihak perempuan. Jumlah orang yang menginai mestilah ganjil. Demikian juga apabila menginaikannya. Upacara ini bertujuan untuk kebersihan dan kesucian kedua-dua pengantin, kerana ini dianggap “berkat”, iaitu satu cara penyucian dan perlindungan. Kedua-dua bakal pengantin dianggap wangi dan berdarah manis.

3.6 Hari Langsung atau Hari Bersanding

Hari langsung atau hari bersanding merupakan kemuncak istiadat perkahwinan. Pada hari inilah pengantin digelar raja sehari. Sebelum sampai waktu bersanding, Pengantin lelaki dan perempuan akan dijaga ketat. Sebelum persandingan berlangsung beberapa perkara akan dilalui oleh pengantin. Di sesetengah tempat, kedua-dua pengantin diandam manakala di sesetengah tempat lainnya pengantin perempuan sahaja diandam.

Pada waktu pagi, sebelum bersanding, pengantin perempuan akan bersalin-salin pakaian. Bermacam-macam fesyen pakaian digayakan kemudian dibawa duduk di atas pelamin. Antara jenis pakaian yang sering dikenakan ialah pakalan Minangkabau, Sari, Ceongsam, Cik Siti Wan Kembang dan lain-lain lagi.

Adat menyumbang atau bergotong-royong memang telah diamalkan sejak beratus-ratus tahun dahulu. Pelbagai bentuk sumbangan diberikan daripada bahan makanan hinggalah sumbangan tenaga seperti mendirikan bangsal, penanggah dan mendirikan khemah. Jika sumbangan itu besar, ibu bapa pengantin perempuan akan diberitahu awal-awal lagi untuk membuat anggaran sumbangan bunga telur. Kalau sumbangannya belumlah 1000, manakala jemputan 1500, tuan rumah akan menyediakan 500 bunga telur sahaja. Ini supaya tidak membazir.

Selain daripada sumbangangini, ada sejenis sumbangan lagi yang diberi ketika bersalam kepada lbu bapa pengantin. Adat ini disebut “salam berisi”. Mengikut adat ini, selalunya jumlah keseluruhan sumbangan salam berisi mencukupi atau sekurang-kurangnya dapat menampung perbelanjaan untuk majlis hari langsung.

Adat ini harus dipuji kerana ia membantu mengelakkan ibu bapa si gadis daripada bergadai-bergolok semata-mata untuk mengadakan majlis perkahwinan anak mereka. Suatu perkara yang menarik, kaum wanita yang menuju ke rumah pengantin perempuan akan membawa bekas berisi gula, tepung, beras pulut dan sebagainya. Sebagai balasan bekas-bekas itu akan diisikan dengan pulut kuning atau apa sahaja makanan yang ada sewaktu hari langsung. Adat rnemberi sumbangang ini juga diamalkan di negeri-negeri yang kebanyakan masyarakatnya adalah orang Jawa atau orang Minangkabau seperti di Negeri Sembilan, Johor dan negeri-negeri lain.

3.7 Berarak dan Bersanding

Dalam setiap majlis perkahwinan masyarakat Melayu, adat berarak dan bersanding jarang sekali ditinggalkan. Setelah membaca doa selamat, jamuan dihidangkan dan bunga telur diedarkan kepada para jemputan kedua-dua pihak. Persamaan adat yang diamalkan di negeri-negeri dalam istiadat berarak dan bersanding adalah adat duduk di atas pelamin. Pengantin lelaki duduk di sebelah kanan dan pengantin perempuan duduk di sebelah kiri, acara menyuap antara pengantin dan acara masuk ke bilik.

Sebelum istiadat duduk atas pelamin, pengantin lelaki akan berpakaian pengantin yang lengkap. Pengantin perempuan berkebaya panjang, berkain sarung yang biasanya dibuat daripada kain songket. Rambut disanggul berhias cucuk goyang yang diperbuat daripada suasa atau perak. Tangan pula bergelang bertingkat-tingkat, jari bercincin, lchcr berkalung dokoh dan perhiasan-perhiasan lain.

Bagaimanapun, hari ini tidak ramai pengantin yang memakai cucuk goyang. Setelah selesai berpakaian khas, pengantin lelaki tidak boleh masuk ke rumah pengantin perempuan sebelum pangantin perempuan mengirimkan sirih latlat atau disebut sirih genggam untuk pengantin lelaki. Ini sebagai tanda pengantin perempuan sudah bersedia menunggu kedatangan pengantin lelaki. Sirih latlat ini akan digenggam olen pengantin lelaki hinggalah acara suap-suapan.
Kemudian, dengan diringi pengapit dan bunga manggar, rombongan pengantin lelaki berjalan perlahan-lahan menuju rumah pengantin perempuan dengan didahului oleh kaum ibu. Di belakang mcreka pula kumpulan kompang, rebana atau hadrah. Setibanya di pekarangan rumah, pengantin perempuan sendiri menyambutnya dengan diiringi oleh mak andam. Mereka terus didudukkan dahulu di satu tempat khas di halaman rumah untuk upacara pencak silat yang diadakan sebagai tanda penghormatan kepada raja sehari.

Ketika ini, seorang lelaki wakil pihak perempuan akan menyambut dan membisikkan peraturan-peraturan yang akan dibuat sewaktu istiadat bersanding kepada pengapit pengantin lelaki. Kemudian kedua-dua mempelai dipersilakan masuk ke dalam rumah untuk upacara persandingan.

Selepas bersanding, kedua-dua mempelai akan turun ke halaman rumah untuk upacara makan damai. Usik-mengusik dan gelak ketawa memeriahkan suasana makan damai. Pada sebelah malamnya, diadakan majlis bersukaria atau joget lambak yang terkenal di Melaka. la dmulakan oleh kedua pengantin kemudian diikuti para tetamu dan mereka yang bekerja keras sepanjang majlis perkahwinan itu.

Di setengah-setengah tempat upacara bertandang atau menziarahi kaum keluarga dilakukan selepas selesai adat bersiram. Kadang kala kedua-dua mempelai diasah gigi mereka oleh mak andam atau tukang gigi khas tetapi sekarang ia tidak dipraktikkan lagi.

3.8 Sambut Menantu

Adat sambut menantu biasanya dibuat sehari selepas atau seminggu kemudian. Ada kalanya adat bersanding diadakan sekali lagi di rumah pengantin lelaki untuk memberi peluang pihak kaum keluarga lelaki yang tidak turut serta ke rumah pengantin perempuan.


4.0 Adat-Adat Perkahwinan Masyarakat Jawa

4.1 Lamaran

Keluarga calon pengantin lelaki berkunjung ke rumah keluarga calon pengantin perempuan untuk melamar puteri keluarga tersebut menjadi isteri putera mereka. Pada acara ini, kedua-dua keluarga lebih jauh mengenali antara satu sama lain , dan berbincang mengenai hal-hal yang ringan. Biasanya keluarga dari calon pengantin perempuan yang mempunyai hak untuk menentukan jenis pernikahan iaitu sama ada Paes Agung iaitu pernikahan agung atau Paes Kesatriyan iaitu pernikahan jenis kesatria yang lebih sederhana. Jika lamaran diterima, maka kedua-dua belah pihak akan mula menguruskan segala persiapan pernikahan.

4.2 Pasang Tarub

Sehari sebelum pernikahan, biasanya gerbang rumah pengantin perempuan akan dihiasi Tarub atau janur kuning yang terdiri dari berbagai macam tumbuhan dan daun-daunan. Dua pohon pisang dengan setandan pisang masak pada setiap pohon, melambangkan suami yang akan menjadi kepala rumah tangga yang baik dan pasangan yang akan hidup baik dan bahagia dimanapun mereka berada (seperti pohon pisang yang mudah tumbuh dimana-mana)

Tebu Wulung atau tebu merah, yang bererti keluarga yang mengutamakan pemikiran yang sihat. Cengkir Gading atau buah kelapa muda, yang bererti pasangan suami isteri akan saling mencintai dan mengasihi antara satu sama lain. Pelbagai daun seperti daun beringin, daun mojo-koro, daun alang-alang, dadap serep, sebagai simbol kedua pengantin akan hidup aman dan keluarga mereka akan terlindung daripada mala petaka.

Selain itu di atas gerbang rumah juga dipasang bloketepe iaitu hiasan daripada daun kelapa untuk mengusir roh-roh jahat dan sebagai tanda bahawa adanya acara pernikahan sedang berlangsung di tempat tersebut. Sebelum Tarub dan janur kuning dipasang, sesajen atau persembahan sesajian biasanya dipersiapkan terlebih dahulu. Sesajian tersebut terdiri daripada pisang, kelapa, beras, daging sapi, tempe, buah-buahan, roti, bunga, bermacam-macam minuman termasuk jamu dan lain-lain. Simbolik daripada  sesajian ini adalah agar dijauhkan dari roh-roh jahat. Sesajian ini diletakkan di tempat-tempat yang mana upacara pernikahan akan dilangsungkan, seperti kamar mandi, dapur, pintu gerbang, di bawah tarub, di luar rumah dan sebagainya.

4.3 Upacara Siraman

Upacara siraman ini dilangsungkan sehari sebelum akad nikah (ijab kabul). Pengantin perempuan akan mengenakan kain putih bersih sepanjang dua meter dan mestilah menguraikan rambut. Yang bertugas menyiram pengantin perempuan ialah ayah dan ibu kedua- dua  mempelai, diteruskan dengan ahli keluarga terdekat seperti nenek, ibu dan bapa saudara mempelai. Siraman ini diteruskan dan diakhiri dengan mak andam dan yang  paling akhir adalah dilakukan oleh pengantin sendiri.

Setelah acara siraman, pengantin perempuan duduk di dalam biliknya. Pemaes (mak andam) akan mengeringkan rambut pengantin perempuan dan memberi pewangi di rambutnya. Rambutnya akan disisir dan digelung atau dibentuk konde (sanggul besar). Setelah Pameas mengeringkan wajah dan leher pengantin perempuan, dia akan mula mendandan wajah  pengantin itu. Kemudian, pengantin itu akan memakai baju kebaya dan kain batik. Sesajian untuk upacara Ngerik pada asalnya sama dengan acara siraman. Biasanya lebih mudah sesajian untuk siraman digunakan atau dimasukkan ke bilik pengantin dan dipakai untuk sesajian upacara ngerik.

Kedua orang tua pengantin perempuan menggendong anak mereka yang melambangkan kepergian seorang anak. Acara memotong sedikit rambut pengantin perempuan dan potongan rambut tersebut ditanam di rumah belakang.

4.4 Upacara Midodareni

Acara ini dilakukan pada malam hari selepas siraman. Midodaren bererti menjadikan pengantin perempuan secantik dewi Widodari. Pengantin perempuan akan tinggal di biliknya bermula dari jam enam petang sampai tengah malam dan ditemani oleh saudara mara perempuan. Mereka akan bercakap-cakap dan memberikan nasihat kepada pengantin perempuan.Orang tua pengantin perempuan akan memberinya makan untuk kali terakhir, kerana bermula esok hari dia akan menjadi tanggung jawab suaminya.

Peningsetan bermaksud bersatu iaitu kedua keluarga mempelai setuju untuk kedua anak mereka disatukan dalam tali pernikahan.

Selama acara midodaren berlangsung, calon mempelai lelaki tidak boleh masuk bertemu dengan keluarga calon mempelai perempuan. Selama keluarganya berada di dalam rumah, dia hanya boleh duduk di depan rumah ditemani oleh beberapa teman atau anggota keluarga. Dalam pada waktu itu, dia hanya diberi segelas air, dan tidak boleh merokok. Mempelai lelaki baru boleh makan setelah tengah malam. Hal itu memberi pengajaran supaya dia dapat menahan daripada lapar dan godaan. Setelah keluarga pengantin lelaki keluar dari rumah dan pulang, mempelai lelaki diizinkan masuk ke rumah namun tidak diizinkan masuk ke bilik pengantin. Mertuanya akan mengatur tempat tinggalnya malam itu. Ini disebut dengan Nyantri yang dilakukan untuk alasan keamanan, mengingat bahawa esok paginya calon pengantin akan didandan dan dipersiapkan untuk acara ijab kabul dan acara-acara lainnya.

4.5 Akad Nikah

Upacara akad nikah dilaksanakan menurut agama masing-masing. Bagi pemeluk agama Islam, akad nikah dapat dilangsungkan di masjid atau di rumah. Setelah upacara akad nikah selesai ,pengantin lelaki tetap menunggu di luar untuk upacara selanjutnya. Setelah selesai upacara ijab kabul barulah upacara adat dapat dilangsungkan.

Upacara Panggih/Temu. Pada upacara ini kembar mayang akan dibawa keluar rumah dan diletakan di persimpangan dekat rumah yang tujuannya untuk mengusir roh jahat. Kembar mayang adalah gubahan bunga yang terdiri dari daun-daun pohon kelapa yang dicucukkan ke batang pohon kelapa.

Balangan Suruh. Pada saat jarak mereka sekitar tiga meter, mereka saling melempar tujuh bungkusan yang berisi daun sirih jeruk, yang ditali dengan benang putih. Mereka melempar dengan penuh semangat dan tertawa. Dengan melempar daun sirih satu sama lain, menandakan bahawa mereka adalah manusia, bukan makhluk jadi-jadian yang menyamar jadi pengantin. Selain itu ritual ini juga melambangkan cinta kasih dan kesetiaan.

Wiji Dadi. Pengantin lelaki memijak telur ayam hingga pecah dengan kaki kanan, kemudian pengantin perempuan akan membasuh kaki suami dengan air bunga. Proses ini melambangkan seorang suami dan ayah yang bertanggung jawab terhadap keluarganya dan isteri yang taat melayani suaminya.

Pupuk. Ibu pengantin perempuan yang mengusap pengantin lelaki sebagai tanda ikhlas menerimanya sebagai bagian dari keluarga.

Sindur Binayang. Di dalam ritual ini ayah pengantin perempuan meembawa pasangan pengantin ke kerusi pelamin, ibu pengantin perempuan memberikan kain sindur sebagai tanda bahawa ayah menunjukkan jalan menuju kebahagiaan dan ibu memberikan dorongan moral.

Tanem. Di dalam ritual ini bermaksud ayah pengantin perempuan mendudukkan pasangan pengantin di kerusi pengantin sebagai tanda merestui pernikahan mereka dan memberikan berkat.

Tukar Kalpika. Pada mulanya, pengantin lelaki meninggalkan biliknya dengan diapit oleh anggota lelaki keluarga (saudara mara lelaki) iaitu seorang anggota keluarga yang dihormati dipilih untuk berperanan sebagai ketua rombongan. Pada waktu yang sama, pengantin perempuan juga meninggalkan bilik sambil diapit oleh pengikutnya untuk bertemu pengantin lelaki. Kemudian kedua pengantin duduk di meja dengan wakil-wakil keluarga, dan kemudian saling bertukar cincin sebagai tanda cinta.
Kacar-kucur/Tampa Kaya/Tandur. Dengan bantuan Pemaes, pasangan pengantin berjalan dengan memegang jari kelingking pasangannya, ke tempat ritual kacar-kucur atau tampa kaya. Pengantin lelaki akan menuangkan kacang kedelai, kacang tanah, beras, jagung, beras ketan, bunga dan syiling (jumlah haruslah genap) ke pangkuan perempuan sebagai simbol pemberian nafkah. Pengantin perempuan menerima hadiah ini lalu membungkuskan segalanya dengan kain putih di pangkuannya sebagai simbol isteri yang baik dan solehah.

Dahar Kembul/Dahar Walimah. Kedua pengantin saling bersuap nasi antara satu sama lain yang melambangkan kedua mempelai akan hidup bersama dalam susah dan senang dan saling menikmati hidup mereka bersama.

Mertui. Orang tua pengantin perempuan menjemput orang tua pengantin lelaki di depan rumah untuk berjalan bersama menuju tempat upacara. Kedua ibu berjalan di hadapan, kedua ayah di belakang. Orang tua pengantin lelaki duduk di sebelah kiri pasangan pengantin, dan sebaliknya.

Sungkeman. Kedua pengantin bersujud memohon restu dari kedua orang tuanya. Pertamanya ayah dan ibu pengantin perempuan, kemudian ayah dan ibu pengantin lelaki.

Resepsi perkahwinan. Setelah semua upacara selesai dilakukan, saatnya untuk resepsi pernikahan dan para tetamu mula makan dan minum makanan tradisional Jawa dengan disertai tarian tradisional Jawa dan muzik gamelan. Acara fotografi dan bersalaman dengan kedua pengantin juga dilangsungkan.

5.0 Kesimpulan

Dari hasil kajian kami mendapati banyak perbezaan perkahwinan antara orang Melayu dengan masyarakat Jawa. Banyak adat yang tidak terdapat dalam masyarakat Melayu antanya upacara siraman, Gendongan, Pangkas Rikmo lan Tanam Rikmo, Upacara Midodareni dan banyak lagi . Upacara sebegitu bagi masyarakat Melayu boleh menyimpang dari ajaran agama Islam. Golongan tersebut kebanyakannya datang dari golongan kaya dan orang luar, ini kerana ciri-ciri tersebut mempunyai nilai seni tersendiri. Oleh itu, kita harus menjaga ciri-ciri dan adat- adat sesebuah masyarakat agar tidak di lupakan oleh generasi yang akan datang.


Rujukan

Amran Kasimin. (1989). Istiadat Perkahwinan Melayu: Satu Kajian Perbandingan.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Haji Mohtar Md. Dom. (1987). Adat Pepatih dan Adat Istiadat Masyarakat Malaysia. Kuala Lumpur: Federal Publications.
Ismail Hamid. (1991). Masyarakat dan Budaya Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Syed Alwi Sheikh Al-Hadi. (1986). Adat Resam dan Adat Istiadat Melayu. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zainal Abidin Borhan, Zainal Kling, Zorazit Selat, Mohd Ramli Raman. (1996). Adat Istiadat Melayu Melaka. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya.

http://3.bp.blogspot.com/_jZGrK2-
http://ezadahmad.blogspot.com/2005/05/definisi-melayu.html
http://id.wikipedia.org/wiki/Masyarakat_Melayu_di_Malaysia
http://www.karatonsurakarta.com/orangjawa.html


MZ Zainudin, Fazureen Erina Mohayyaddin Abdul Kader, Tengku Intan Jamillia Tengku Jamil Iklil, Abang Muhammed Redzuan, Nur Fara’ain Mohd Shaizan, Noor Hazerah Zakaria