Sunday, May 31, 2015

Suara Rohingya







Sedikit demi sedikit isu Rohingya disingkap. Penemuan kubur di sempadan Malaysia-Thailand mencetuskan perdebatan baru dalam kalangan masyarakat antarabangsa. Beberapa pertemuan antara negara terlibat memutuskan tindakan segera bersifat kemanusiaan untuk menyelamatkan pelarian yang dikatakan sebagai mangsa pemerdagangan manusia.

Pertemuan menteri-menteri luar Malaysia, Indonesia dan Thailand baru-baru ini dapat menyelesaikan isu ini dalam jangka masa pendek. Ketiga-tiga negara bersetuju menjejak dan menempatkan pelarian Rohingya dan mangsa pemerdagangan manusia ini. Dianggarkan ribuan mangsa sedang bergerak menuju ke destinasi utama iaitu Malaysia.

Awal tahun 2000, kerajaan Amerika Syarikat telah pun mengingatkan kerajaan Malaysia supaya lebih tegas dalam menangani pemerdagangan manusia rentas sempadan. Gesaan lebih keras bermula pada tahun 2004 dan berlanjutan ke tahun 2005 kerana semakin ramai mangsa pemerdagangan manusia ini, bukan sahaja dari Rohingya malah Bangladesh, Nepal dan Indonesia.

Selepas sepuluh tahun, Rohingya masih menjadi mangsa pemerdagangan. Penemuan kubur di sempadan Malaysia-Thailand menjadi bukti bahawa kelompok minoriti ini berhadapan dengan kehidupan yang sukar di tanah air sendiri.

Semua jari menuding ke satu arah iaitu Mynmar sebagai punca masalah. Tersentak dengan tuduhan, kerajaan Mynmar menepis satu demi satu tuduhan berkenaan dalam mesyuarat serantau, menggalakkan golongan buddha mengadakan tunjuk perasaan dan berusaha menyertai setiap perbahasan bagi menangkis tohmahan.

Mynmar harus berhadapan dengan pelbagai tuduhan yang diberikan kepada mereka. Salah satunya datang daripada bekas perdana menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir yang mengatakan Mynmar harus menyedari penindasan yang terjadi merupakan kekejaman kepada manusia.

“Walaupun banyak yang telah bersuara, kami perlukan kerjasama dari pimpinan Mynmar untuk melakukan langkah strategik kepada pelarian Rohingya”, kata beliau kepada The Age.

Kerajaan Mynmar tidak mahu mengiktiraf 1.3 juta Rohingya sebagai warganegara sebaliknya mengatakan mereka sebagai pendatang haram yang menetap di tempat yang salah.

Dalam pertemuan wakil kerajaan Mynmar dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada jumaat lepas, PBB menyeru Mynmar mengakui Rohingya sebagai warganegara yang menetap di wilayah Rakhine sejak 400 tahun lepas. Respons Myn amat keras iaitu tidak mahu disalahkan.

Mynmar lebih cenderung mengiktiraf Rohingya dengan panggilan Bengali supaya dapat menekan Bangladesh untuk menerima kembali etnik itu. Gelaran Bengali juga menjadikan Rohingya sebagai bukan warganegara sebaliknya sebagai pelarian yang patut tinggal di kem-kem pelarian.

Keengganan Mynmar dan tindakan ASEAN yang lambat menangani Rohingya menjadikan negara-negara jiran terpaksa menanggung beban disebabkan masalah yang dihadapi Mynmar. Walaupun ASEAN mengamalkan konsep tidak campur tangan isu dalam negara anggota, isu Rohingya nampaknya sudah melangkaui sempadan negara itu.

Memaksa Mynmar memberi kewarganegaraan dilihat suatu yang mustahil tetapi ia perlu diteruskan supaya Rohingya mendapat pembelaan. Penglibatan masyarakat antabangsa seperti PBB, OIC dan ASEAN sendiri boleh merungkai masalah ini biarpun mengambil masal yang lebih lama.



Saturday, May 30, 2015

Perubahan nilai dan sikap Melayu









Hari ini orang Melayu berada di persimpangan. Wawasan 2020 akan menjelma kira-kira lima tahun yang akan datang. Oleh yang demikian masyarakat Melayu harus mempunyai kesedaran bahawa apa yang dilakukan oleh kerajaan selama ini adalah untuk mempastikan mereka menjadi satu bangsa yang maju dan dihormati.

Perubahan sikap, nilai dan worldview adalah satu keperluan dan selari ke arah yang positif dan holistik. Perubahan ini beriringan dalam tiga fasa iaitu mahu menerima perubahan, bersedia untuk menerima perubahan yang datang dan menyesuaikan diri dengan perubahan yang ada.

Soalnya ialah apakah salahnya sikap dan nilai orang Melayu pada masa sekarang? Jika diperhalusi, kesalahan itu tidak ketara tetapi yang nampak jelas ialah kelemahan. Aspek kelemahan ini merangkumi individu dan mempengaruhi kelompok komuniti yang dibentuk oleh individu-individu itu tadi. Sebelum merdeka, kedaifan hidup dan tahap pendapatan yang rendah adalah identiti utama tetapi keadaan telah berbeza pada hari ini.

Semua perdana menteri telah mencetuskan agenda nasional bagi membentuk personaliti unggul dan pembangunan modal insan. Masyarakat Melayu perlu berubah dengan melihat kelemahan diri sebagai agenda Melayu sejak merdeka. Membina kekuatan masyarakat atau komuniti Melayu pasca merdeka adalah cabaran utama.

Kekuatan yang ada harus digunakan sepenuhnya. Sekiranya tidak mahu berubah, kita mungkin mengambil masa yang lama untuk membina kejayaan. Namun begitu terdapat sebilangan orang Melayu yang berpendapat bahawa “Aku sudah berjaya” tetapi hakikatnya masih ramai lagi yang kita lihat masih terpinggir.

Pada tahun 1970-an, masyarakat Melayu adalah sangat miskin tetapi pada hari ini rata-ratanya telah keluar daripada cengkaman kemiskinan dan ada yang telah menjadi tokoh dunia korporat, badan-badan profesional dan ahli politik yang disegani. Ini membuktikan kepada kita bahawa perubahan telah berlaku dan masyarakat Melayu telah dapat apa yang dimahukan.

Kejayaan yang diperolehi daripada penat lelah tanpa jemu pemimpin-pemimpin terdahulu menyebabkan kejayaan orang Melayu telah jauh berbeza dalam masa yang singkat. Ramai golongan profesional dan korporat telah berjaya tetapi kita mesti melihat sejauh mana kita membentuk pendekatan holistik bagi membentuk peradaban bangsa. Kita tidak boleh bercakap semata-mata mengenai orang Melayu yang telah berjaya sepenuhnya. Banyak lagi isu yang boleh dibincangkan seperti hak milik Melayu, kemasukan pelajar Melayu ke universiti dan penagihan dadah serta kemiskinan tegar yang masih relevan dan perlu diperjuangkan.

Kenapa masalah-masalah ini perlu dibincangkan secara terbuka sekali lagi? Apabila orang bertanya sama ada kita perlu diingatkan ataupun tidak, harus diberi perhatian malah bahawa semua perkara tidak kekal statik, bergerak selari dengan perubahan setara yang lain. Kita perlu sentiasa diingatkan kerana Melayu sering terlupa. Kenapa ibu bapa kita kerap berleter tentang perkara yang sama, kadangkala untuk beberapa hari? Memang fitrah menusia yang mudah lupa dan kena sentiasa diingatkan.

Kita sentiasa hendakkan yang terbaik untuk kejayaan bangsa pada masa hadapan.Terdapat kemungkinan dua kelompok Melayu pada masa ini iaitu yang terus terperangkap dengan masa dan satu lagi bersedia untuk berubah. Keutamaan yang perlu diberikan ialah kelompok yang masih berada di dalam kapsul masa. Mereka inilah yang berada dalam persekitaran pelaksanaan dasar-dasar kerajaan yang kritikal seperti dasar Ekonomi Baru dan Dasar Pembangunan Nasional.

Timbul pula pertanyaan apa perlunya untuk berubah? Walaupun berada dalam keadaan yang selesa, kesedaran terhadap kepentingan menghadapi ancaman dunia tanpa sempadan atau globalisasi adalah satu kemestian. Untuk menjadi sebuah bangsa yang kompetitif, bangsa Melayu harus menjadi yang terbaik. Falsafah pada hari ini sepatutnya lebih baik daripada masa lepas wajar dijadikan panduan. Kalau tidak ada perubahan yang baik, pastilah akan tertinggal. Itulah pentingnya ada perubahan.

Sudah tiba masanya orang Melayu mempunyai sedikit ego kemelayuan kerana kelompok yang belum bersedia berubah masih berada dalam kepompongnya sendiri. Harus kita garap bahawa pada asasnya orang Melayu yang telah berjaya mesti memberi bantuan kepada anak-anak bangsanya yang masih tidak mahu berubah. Sebagaimana pepatah Melayu; “cubit paha kanan, paha kiri terasa sakitnya”.

Jika telah berjaya, adakah kita sanggup melihat ada di antara orang yang sebangsa dengan kita masih tidak dapat lagi kemudahan asas, tidak ada akses pada internet dan tidak dapat menghantar anak-anak ke sekolah. Mereka ini digolongkan dalam kelompok Melayu yang terpinggir. Perlu ada satu gerakan besar-besaran untuk memaksa perubahan yang terbaik ke atas kelompok ini. Gerakan ini perlu bersifat pragmatik dan mempunyai objektif tertentu.

Menjadi bangsa yang hebat memerlukan pengorbanan. Kalau sekadar retorik semata-mata dan mementingkan diri sendiri sahaja, secara keseluruhannya tidak ada perkara yang boleh dibuat. Apakah yang harus diberi keutamaan? Hapuskan kemiskinan, orang yang berjaya melihat apakah yang boleh dilakukan. Dahulu peluang untuk berjaya tidak banyak tetapi sekarang telah berubah. Pelbagai program yang membantu golongan tertinggal ini boleh dilakukan. Antaranya ialah memberi komputer dan latihan secara percuma untuk keluarga miskin dan tidak mampu supaya mereka turut bersama-sama menyumbang kepada kemajuan negara.

Isu pengorbanan ini telah bermula sejak sebelum merdeka hinggalah sekarang. Semua pihak harus memainkan peranan masing-masing. Kita tidak boleh memberi tugas ini kepada satu-satu pihak. Semua golongan berperanan ke arah pembangunan negara.

Terdapat halangan-halangan tertentu dalam proses membuat perubahan ini. Halangan yang paling besar ialah kesatuan orang Melayu. Kemajuan telah mengubah keadaan orang Melayu, kadang-kadang kebergantungan yang terlalu melampau kepada kerajaan. Semuanya diserahkan kepada kerajaan untuk melaksanakannya. Sekiranya terdapat sekatan tertentu, emosi mereka mudah berkocak dan marahkan kerajaan secara melulu. Sudah tiba masanya untuk kita ambil isu-isu dasar bagi masa depan orang Melayu seperti ekonomi, pendidikan, agama dan budaya.

Kita tidak mempunyai ketahanan dalam melaksanakan sesuatu dan selalu emosional dalam pendekatan. Contohnya jika seseorang Melayu berjaya, terdetik dalam hati menyatakan bahawa kejayaan itu adalah kerana connection, hubungan baik dengan menteri, ikut pintu belakang dan sebagainya. Kita perlu sedar bahawa ada ramai orang Melayu yang bekerja 16 jam sehari untuk berjaya. Ramai yang mendapat sesuatu di atas merit mereka. Kita melihat Melayu sendiri sebagai musuh. Sudah tiba masanya kita berbaik sangka terhadap kejayaan orang Melayu yang lain.

Seringkali kita membuat tanggapan umum mengenai Melayu seperti hasad dengki, mudah mencemburui kejayaan orang lain dan sebagainya. Mungkin bangsa lain tidak banyak bezanya. Tapi apa agaknya nilai yang boleh memberikan kekuatan kepada Melayu itu sendiri?

Bagaimana keadaan orang yang mengejar kejayaan dalam apa keadaan sekali pun? Kalau begitu apa yang akan berlaku kepada bangsa sendiri? Apakah generasi muda masih percaya terhadap agenda perjuangan membina kekuatan Melayu?

Orang Melayu mempunyai pelbagai nilai dan sikap positif yang boleh dibanggakan seperti ketinggian adab kerana budaya bangsa ini terpelihara dan mendorong ke arah kebaikan. Apakah kita harus menjadi biadab untuk maju seperti orang lain?

Negara mesti mewariskan sesuatu kepada anak-anak Melayu iaitu peradaban yang cemerlang. Hari ini peradaban bangsa-bangsa lain telah berjaya mewariskan yang terbaik untuk bangsa mereka. Orang China ada 5000 tahun tradisi. Mahu ataupun tidak, hakikatnya China adalah kuasa utama Asia sekarang ini. Kita perlu bersaing dengan negara-negara besar. Globalisasi akan membentuk pola hubungan kita dengan negara luar.

Kemampuan minda dan berfikir bangsa Melayu adalah setara dengan bangsa-bangsa yang lain. Minda yang perlu dipupuk adalah minda kelas pertama supaya isu-isu bangsa seperti kemiskinan dapat diatasi. Membangunkan sistem kekayaan sendiri dan berbangga dengan kemampuan ekonomi seterusnya berbangga dengan jiwa yang kaya dengan nilai-nilai memberi dan pemurah.

Sikap minda kelas pertama ini berada di dalam acuan kita sendiri. Rancangan Malaysia Kesembilan yang mempunyai lima teras utama untuk menyeimbangkan pembangunan bandar dan luar bandar, menambah nilai dalam apa yang kita lakukan, mengurangkan jurang kemiskinan tegar pada tahun 2010, memperbaiki sistem penyampaian dan isu-isu ini dapat dilaksanakan dengan jayanya jika perubahan dari segi minda dapat dipenuhi. Kerajaan dan semua lapisan masyarakat harus berperanan sejajar dengan kedudukan dan tanggungjawab masing-masing supaya kejayaan dapat dikecapi oleh semua.

Oleh itu, persediaan ke arah pembentukan persekitaran yang kondusif dan individu yang bersedia hendaklah disegerakan supaya proses berkenaan akan menjadi satu kenyataan. Pelaksanaan perlu disepadukan. Kerajaan harus menyediakan persekitaran terbaik supaya golongan sasar mendapat isyarat untuk memajukan diri mereka.

Keutamaan membentuk sikap yang positif adalah sangat penting kerana sikap merupakan satu faktor penolak. Dalam proses perubahan sikap ini, banyak perkara yang perlu diberi perhatian. Umpamanya sistem penyampaian kerajaan, ketika ada masalah dahulu semua pihak saling menuding jari. Proses penambahbaikan yang dilakukan sekarang telah membentuk sedikit demi sedikit budaya ambil berat dan bertangungjawab.

Peranan semua lapisan masyarakat sangat penting. Generasi muda masa kini berbeza dengan generasi muda dahulu. Tujuh daripada sepuluh rakyat Malaysia berada di bawah 50 tahun dan mereka adalah aset penting negara. Sebab itu, kita tidak boleh biarkan mereka sebagai penonton sebaliknya memberi peluang kepada orang muda ini untuk menyumbang kepada pembangunan negara. Libatkan mereka secara aktif. Dengan adanya belia dan remaja, ia mampu membantu pembangunan negara yang pesat.

Kelemahan asas perlu diketahui secara menyeluruh. Golongan muda banyak membentuk kelompok masing-masing. Suka atau tidak mereka akan membentuk kelompok yang menyebabkan wujudnya jurang komunikasi. Oleh itu, kesepaduan objektif sangat perlu bagi mengurangkan jurang yang wujud.

Generasi muda sekarang ini semakin bijak dan perlu diberi ruang atau suara serta tempat untuk membuat keputusan. Impian orang muda ialah dapat menikmati hidup yang lebih baik pada masa hadapan. Mereka perlu mengelakkan diri daripada terjebak dalam polemik agama yang dipolitikkan dan politik yang tidak ada arah tujuan. Untuk itu, kesedaran terhadap merapatkan jurang komunikasi dan sentiasa bertanya bagi mendapat petunjuk selaras dengan prinsip asas perjuangan, kembali menghisab diri dan sentiasa memeriksa kekuatan dan kelemahan diri.

Generasi muda pada hari ini bersedia untuk melakukan perubahan. Kesediaan dan pengalaman akan mendidik mereka untuk mewarisi kejayaan yang cemerlang pada masa hadapan.

Apa sahaja yang negatif dan diwarisi sebelum ini biarlah berhenti setakat ini sahaja. Sikap dan pemikiran dari zaman kolonial wajar dihapuskan supaya generasi muda adalah semuda keyakinan dan setua kegagahannya.

Friday, May 29, 2015

Rasulullah saw pencetus perubahan jiwa








Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang;

“Nun. Demi pena dan apa-apa yang mereka tuliskan! Dengan rahmat Tuhanmu, (Ya Muhammad) engkau bukanlah seorang yang gila. Sesungguhnya untukmu ada pahala yang tidak putus-putus. Dan sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang mulia. Nanti engkau akan melihat dan mereka juga akan melihat. Siapakah di antara kamu yang sebenarnya gila? Sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk”. (Surah Al Qalam: 1-7)

Ismaiza Ismail, penyusun buku
 Why I Embraced Islam menyenaraikan 49 orang saudara baru dari pelbagai negara yang telah menerima hidayah Allah swt melalui pelbagai cara yang menakjubkan. Antara nama besar yang disenaraikan termasuklah Jemima Khan, Malcolm X dan Yusuf Islam. Bab pertama dimulakan dengan kisah Sister Hedayah dari Filipina yang telah membuat keputusan untuk memeluk Islam menyebabkannya hilang kesemua rakan karibnya. Keluarganya juga turut tertanya-tanya apakah yang menyebabkan Sister Hedayah memilih Islam setelah dibesarkan dan diberi didikan sempurana sebagai seorang penganut Khatolik.

Satu hari beliau bertemu dan berkawan dengan keluarga dari Afhanistan seterusnya berbincang mengenai agama masing-masing. Oleh kerana inginkan kefahaman yang jelas mengenai Islam, beliau mendapatkan sebuah Al Quran terjemahan bahasa Inggeris dan seterusnya mengkaji kandungan Al Quran sehinggalah mengambl keputusan menjadi seorang muslimah.

“Sesiapa yang mendapat petunjuk, ia hanya mendapat petunjuk untuk dirinya. Sesiapa yang sesat, maka bahaya kesesatannya hanya ke atas dirinya pula. Orang yang memikul dosa tidak akan memikul dosa orang lain. Kami tidak menyiksa (sesuatu kaum) sehingga Kami utus seorang Rasul”. (Surah Al Isra: 15)

Seterusnya Amirah, seorang wanita berkulit putih dan dilahirkan di Arkansas, Amerika Syarikat dalam keluarga Kristian serta hidup dalam persekitaran yang aman damai di ladang keluarganya. Pada mulanya bertemu dengan seorang wanita Palestin yang mematuhi ajaran Islam sepenuhnya dengan memakai pakaian yang menutup aurat. Perbincangan demi perbincangan mengenai Islam telah membuka hati Amirah untuk menerima Islam sebagai cara hidupnya. Cubaan demi cubaan yang diterimanya hanya menguatkan jiwa dan hati untuk terus teguh beriman kepada Allah swt. Kehilangan kawan, putus pertunangan dan dituduh pengganas adalah ujian dari Allah swt untuk menguatkan lagi azamnya bersama dengan Islam.

Kisah-kisah yang dimuatkan di dalam buku ini sangat menyentuh hati kerana hidayah Allah swt adalah untuk mereka yang terpilih. Kejayaan Rasulullah saw menyampaikan dakwah kepada seluruh umat manusia telah mengetuk pintu hati mereka yang inginkan kepada Tuhan yang Esa. Kejayaan ini tidak datang dengan mudah malah diiringi dengan akhlak yang mulia.

“Sesungguhnya telah ada pada diri Rasulullah saw itu teladan yang baik bagi kamu, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah sebanyak-banyaknya (dalam masa susah dan senang)”. (Surah Al Ahzab : 21)

Seluruh kehidupan Baginda saw adalah termasuk aspek sosial, kemanusiaan, peribadi dan kemasyarakatan. Perilaku yang mulia, berhikmah dan menggunakan segala kemampuannya untuk menyampaikan risalah. 

Keajaiban dan mukjizat ketika menjelangnya kelahiran Nabi Muhammad saw mengesahkan bahawa risalah yang dibawanya adalah untuk seluruh umat. Ketika Baginda saw dilahirkan, dinding istana Kisra menjadi retak dan beberapa menaranya runtuh. Api di kuil Parsi padam secara tiba-tiba manakala air di tasik sawah menjadi kering. Berhala di sekeliling Kaabah tumbang dan cahaya yang terpancar daari tubuh Baginda saw naik ke langit dan menerangi alam.

Sudah menjadi kebiasaan masyarakat Arab dahulu untuk meminta seseorang wanita dari kawasan kampung untuk menyusu anak-anak mereka. Dua orang wanita yang diberi pernghormatan untuk menyusukan Nabi saw ialah Suwaibah iaitu hamba kepada Abu Lahab dan Halimatus Saadiah dari suku Bani Saad. Selain menguatkan sistem imun badan, kanak-kanak yang disusu ini turut belajar bahasa dan adab yang murni kerana bebas dari pengaruh perilaku di kota. Dengan menyusu Rasulullah saw, nama Halimatus Saadiah dikenang sehingga kini. Inilah kemuliaan yang diperolehinya.


Beliau bukanlah seorang yang kaya mahupun banyak susu pada badannya kerana beberapa orang terdahulu yang ingin menyusukan Baginda saw telah mengetahui bahawa Baginda saw adalah anak yatim dan tidak ada sesiapa yang akan membayar kerja mereka. Tetapi dengan hati yang ikhlas, Halimatus Saadiah telah menerima tugas menyusukan Nabi Muhammad saw dengan senang hati. Pengormatan yang diperolehi oleh Halimatus Saadiah ialah namanya dikenang sepanjang zaman kerana jasanya ke atas seorang nabi yang tidak pernah melihat wajah ayahnya ketika lahir ke dunia.

Ramai tokoh bukan Islam telah meletakkan peribadi Rasulullah saw sebagai tidak ada tolok bandingnya. Dari Michael H. Hart, Stanley Lane Pool, George Bernard Shaw hinggalah Venkata Ratnam, seorang penulis, semuanya memuji keupayaan Nabi Muhammad saw sebagai pencetus perubahan.

Michael H. Hart adalah seorang ahli matematik, sejarawan dan ahli kaji bintang. Pada tahun 1978, beliau menyenaraikan 100 orang lelaki yang sangat berpengaruh dalam sejarah peradaban manusia dan meletakkan Nabi Muhammad saw sebagai manusia yang paling berpengaruh. Katanya, “Pilihan saya adalah Muhammad kerana beliau telah berjaya di kedua-dua bidang iaitu agama dan sekular. Muhammad seorang yang merendah diri, meletakkan asas kepada agama yang sangat hebat dan menjadi seorang tokoh pemimpin terkemuka. Hari ini, selepas tiga belas abad lamanya selepas kewafatan, pengaruhnya masih lagi dapat dilihat dan berkekalan”.

Stanley Lane Pool, pakar sejarah menyatakan bahawa Rasulullah saw adalah seorang yang cekal hati, berani berhadapan dengan kebencian kaumnya adalah seorang lelaki yang tidak akan melepaskan tangannya lebih awal ketika bersalam, mencintai kanak-kanak dan tidak pernah melewati sekumpulan orang tanpa senyuman dan kata-kata yang indah. Seorang yang menghargai persahabatan, mementingkan kemuliaan, memberi harapan dan semangat serta menukar kritikan menjadi pujian.

George Bernard Shaw, seorang sasterawan yakin dan percaya bahawa Nabi Muhammad saw adalah seorang yang hebat. Di dalam tulisannya,
 The Genuine Islam, beliau percaya suatu hari nanti keimanan yang dibawa oleh Baginda saw akan diterima di Eropah pada masa depan seperti mana diterima oleh Eropah pada hari ini.

Venkata Ratnam di dalam bukunya
 An Essay on Islam cuba membandingkan Nabi Muhammad saw dengan Nabi Isa a.s. Beliau berhujah, “Jika dibandingkan Baginda dan Nabi Isa, sememangnya Baginda seorang yang lebih baik. Nabi Muhammad saw tidak pernah menyamakan dirinya dengan Tuhan, hanya mengakui dirinya sebagai utusan Tuhan, mendidik pengikutnya mengenai kehendak Tuhan dan mengesahkan Islam sebagai agama yang praktikal dengan disiplin dan moral diri yang menakjubkan, lebih baik daripada mana-mana manusia di dunia”.

Kisah-kisah teladan yang ada pada diri Rasulullah saw telah banyak diperkatakan. Didikan dan akhlak yang perolehi melalui buku dan tulisan di seluruh dunia telah membuka hati ramai masyarakat bukan Islam untuk mengenali Islam. Benarlah firman Allah swt di dalam Al Quran yang sentiasa menyatakan bahawa kehadiran Baginda saw adalah sebagai pembawa rahmat kepada seluruh alam. Biar apa pun yang berlaku, ada hikmah dan pengajaran yang boleh dijadikan iktibar oleh kita.

Bagi mereka yang ingin kembali menghayati Islam, mengenal peribadi Rasulullah saw adalah satu kemestian kerana sirah nabi tidak pernah mengecewakan. Di situ terdapat pelbagai kisah suka dan duka, kegagalan dan kejayaan serta susah dan senang menjalani kehidupan sebagai seorang muslim, pendakwah, pemimpin dan pentadbir.

“Maka Kami tiupkan angin yang amat gemuruh kepada mereka dalam beberapa hari yang malang, kerana kami hendak merasakan kepada mereka itu siksaan yang menghinakan dalam kehidupan dunia. Dan sesungguhnya siksaan akhirat lebih menghinakan sedang mereka tidak diberi pertolongan. Dan kaum Tsamud, maka mereka telah Kami beri petunjuk tetapi mereka lebih menyukai kesesatan daripada petunjuk, lalu mereka disambar petir azab yang menghinakan disebabkan apa yang telah mereka kerjakan. Dan Kami selamatkan orang-orang yang beriman dan mereka adalah orang-orang yang bertaqwa”. (Surah Fussilat : 16-18)

Rasulullah saw telah membawa peringatan yang keras terhadap orang-orang kafir dan berita gembira kepada orang-orang yang beriman dengan harapan akan ramai yang akan mengenal Tuhan yang Esa.

“Merekalah orang-orang kafir yang sebenarnya. Kami telah menyediakan untuk orang-orang kafir itu siksaan yang menghinakan. Orang-orang yang beriman kepada Allah dan para RasulNya dan tidak membeza-bezakan seorang pun di antara mereka, nanti Allah akan memberikan kepada mereka pahala. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. (Surah An Nisa: 151-152)

Thursday, May 28, 2015

Ireland benarkan perkahwinan sejenis









Ireland merupakan negara ke-19 yang membenarkan perkahwinan sejenis. Majoriti penduduk yang keluar mengundi telah memutuskan negara itu bersedia menerima konsep lelaki atau peremuan boleh berkahwin sesama jantina. Keputusan itu juga menolak dominasi gereja dalam masyarakat.

Satu per satu negara Barat yang berasa diri mereka hebat dan lebih maju daripada orang lain memilih nilai-nilai dan cara hidup kaum Nabi Lut a.s yang bertentangan dengan fitrah kemanusiaan. Gereja tidak lagi berupaya mengekang asakan sekularisme yang mencengkam pemikiran masyarakat khususnya golongan muda Ireland. Pemikiran sekularisme telah menjadi ideologi yang menyerap masuk dalam setiap aspek hidup masyarakat Barat sama ada dalam politik, pendidikan, perundangan, budaya atau amalan hidup seharian.

Dalam kes Ireland, sekularisme telah menjadi budaya dan sistem hidup masyarakat khususnya golongan muda. Mereka tidak lagi memandang nilai dan ajaran agama sebagai keutamaan dan sempadan hidup sebaliknya kehendak dan keinginan manusia dipenuhi atas nama hak-hak asasi manusia. Ireland menjadi contoh sebuah negara yang didominasi oleh gereja tetapi akhirnya masyarakat membuat keputusan menolak peranan geraja dalam hidup mereka.

Banyak analisis yang dibuat untuk mejelaskan keputusan undi tersebut namun satu analisis yang menarik dikaitkan dengan golongan muda. Analisis itu menyifatkan undi popular yang dilaksanakan itu tidaklah menunjukkan masyarakat Ireland benar-benar mahu menghalalkan perkahwinan sejenis sebaliknya sebagai tanda bantahan mereka yakni orang muda terhadap gereja.

Ureland dan 18 buah negara lagi menjadi bukti bahawa pengikut kaum Nabi Lut a.s semakin bertambah pada zaman moden. Nilai dan fitrah kemanusiaan sudah luntur dalam masyarakat ini. Generasi muda yang sedang berkembang sudah pasti mendapati definisi perkahwinan telah berubah. Definisi baru ini akan mencengkam pemikiran mereka dan kesannya ialah mengubah peranan keluarga. Pada masa yang sama, struktur masyarakat akan berubah, dasar sosial akan memasukkan bentuk perkahwinan baru ini dan program kemasyarakatan turut berubah.

Golongan yang menyokong perkahwinan sejenis akan terus melobi dan mempengaruhi dasar kerajaan terhadap mereka. Mungkin akan muncul negara ke-20 dan seterusnya yang membenarkan perkahwinan sejenis. Di Malaysia, semua pihak wajar bekerjasama berganding bahu menambah kefahaman masyarakat terhadap ancaman ini. Maklumat berkaitan impak kewujudan perkahwinan ini perlu disebarluaskan supaya masyarakat benar-benar mengambil langkah kawalan dan menghalangnya daripada berkembang di negara ini.
  

Wednesday, May 27, 2015

Pemikiran kemungkinan









Selain pemikiran kritikal dan pemikiran strategik, ada satu lagi bentuk pemikiran yang kita perlu tahu iaitu pemikiran kemungkinan. 

Pemikiran jenis ini bermaksud berupaya melaksanakan perkara yang kelihatan mustahil kerana yakin ada jalan penyelesaian. Salah satu kelebihan pemikiran ini adalah mengelakkan kita daripada berputus asa. 

Orang yang selalu memikirkan apa yang mungkin, sangat percaya bahawa mereka boleh berjaya. Ada syarikat korporat yang menggunakan slogan “merintis kemungkinan” sebagai tagline utama. 

Apabila kita secara individu atau berkumpulan percaya mampu melakukan sesuatu, kita sudah hampir mencapainya. Sebaliknya pula, jika kita percaya kita tidak boleh atau tidak mampu membuat sesuatu, kita tidak mungkin berjaya.


Tuesday, May 26, 2015

Persepsi masyarakat terhadap pelbagai perayaan di Malaysia








1.0 Pengenalan

Perayaan adalah suatu aktiviti yang disambut oleh sesebuah masyarakat ataupun kaum. Kebiasaannya, sesuatu perayaan itu disambut bertujuan untuk memperingati peristiwa penting yang pernah berlaku pada suatu masa dahulu. Selain itu, perayaan juga akan disambut berdasarkan agama yang dianuti.

Di negara yang mempunyai masyarakat berbilang kaum seperti di Malaysia, terdapat pelbagai jenis perayaan untuk disambut pada setiap tahun. Malaysia yang terdiri daripada tiga kaum majoriti iaitu kaum Melayu, Cina dan India pastinya berpeluang untuk menyambut perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Korban, Tahun Baru Cina, Deepavali dan sebagainya.

Di samping itu, masyarakat negara ini mengamalkan amalan berkongsi “perayaan” dan menghormati perayaan kaum lain. Tambahan pula, melalui perkongsian perayaan, perpaduan dan kesepakatan masyarakat di negara ini sedikit sebanyak dapat diutuhkan. Langkah ini juga menyumbang kepada Malaysia untuk terus membangun dan menuju ke arah maju dan makmur. Sememangnya, Malaysia merupakan negara yang unik dengan masyarakatnya yang berbilang kaum dan bangsa.

Malaysia bukan setakat sahaja terdiri daripada kaum utama seperti Melayu, Cina dan India malahan Malaysia juga kaum-kaum minoriti seperti Kadazan, Iban dan sebagainya. Kesemua perayaan di Malaysia disambut bersama-sama tidak mengira bangsa dan agama. Hal ini kerana wujudnya kesefahaman dan perpaduan yang utuh dalam masyarakat majmuk di Malaysia.

1.1  Objektif Kajian

Kajian ini dibuat berdasarkan objektif berikut iaitu mengetahui jenis-jenis perayaan rakyat berbilang kaum di Malaysia, mendapat pendedahan mengenai keunikan perayaan yang terdapat di Malaysia dan persepsi pelajar UTeM terhadap kepelbagaiaan perayaan dalam masyarakat di negara ini.

1.2 Kepentingan Kajian

Hasil kajian diharap dapat memberi satu gambaran dan kesedaran kepada masyarakat Malaysia bahawa kepentingan perayaan sesuatu kaum dalam masyarakat kita. Di samping itu, hasil kajian ini diharap boleh menjadi satu panduan kepada pihak kerajaan untuk mewujudkan lagi suasana perayaan yang lebih meriah dalam kalangan masyarakat.


2.0 Kajian Literatur

Sejarah silam Malaysia yang menarik, sebagai tempat persinggahan dalam laluan perdagangan rempah ratusan tahun dahulu telah menjadikannya sebuah pusat gabungan pelbagai budaya. Penduduk Melayu, Cina dan pelbagai kaum etnik yang lain telah hidup bersama sejak beberapa generasi yang lalu. Pelbagai budaya yang berbeza ini telah saling mempengaruhi antara satu sama lain, menghasilkan gabungan budaya Malaysia yang unik. Jumlah kaum terbesar di Malaysia adalah kaum Melayu, Cina dan India. Negeri Sabah dan Sarawak juga mempunyai pelbagai kumpulan etnik peribumi, masing-masing dengan budaya serta yang unik dan tersendiri.

Salah satu bidang kebudayaan itu boleh dilihat antaranya melalui nilai dan norma yang merangkumi perkara seperti peraturan-peraturan undang-undang, adat resam, “folk-ways & mores”, gaya dan perlakuan, pantang larang, upacara dan nilai-nilai keagamaan dan bersopan santun.

Budaya masyarakat Malaysia boleh dilihat melalui perayaan-perayaan yang disambut oleh kaum-kaum tertentu. Misalnya orang Melayu yang beragama Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri, orang Cina menyambut Tahun Baru Cina dan orang India menyambut Deepavali.

Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan masyarakat Melayu dan penganut agama Islam. Sambutan Hari Raya Aidilfitri bermula dengan ibadat puasa di bulan Ramadan. Sepanjang bulan Ramadan, umat Islam berpuasa pada siang hari dan mengerjakan sembahyang terawih pada sebelah malamnya. Zakat fitrah wajib dikeluarkan sebelum 1 Syawal. Hari Raya disambut dengan penuh kesyukuran. Umat Islam saling bermaaf-maafan dan kunjung-mengunjungi untuk mengeratkan silaturahim. Rumah terbuka akan diadakan bagi mempersilakan tetamu datang berkunjung.

Perayaan Tahun Baru Cina pula disambut secara besar-besaran oleh masyarakat Cina di Malaysia yang menandakan kedatangan tahun baru menurut kalendar mereka. Orang Cina percaya ada 12 binatang yang menaungi kalendar mereka iaitu tikus, lembu, harimau, arnab, naga, ular, kuda, kambing, monyet, ayam jantan, anjing dan babi. Setiap binatang ini memberi signifikan dan tuahnya tersendiri. Pada malam Tahun Baru semua ahli keluarga berkumpul beramai-ramai untuk makan bersama.Tujuannya adalah untuk mengeratkan jalinan hubungan sesama keluarga. Ahli kelurga yang telah berumah tangga akan memberi “angpau” kepada saudara mara dan sahabat yang belum berumah tangga. “Angpau” membawa pengertian kesejahteraan yang berpanjangan, ianya sejenis sampul berwarna merah dan diisi dengan sejumlah wang. Buah limau mandarin dan kuih bakul merupakan kemestian yang perlu ada semasa merayakan Tahun Baru Cina. Sepanjang Tahun Baru Cina berlangsung, tarian singa dimainkan dari rumah ke rumah dan kedai-kedai untuk memberi berkat kepada mereka yang meraikan perayaan tersebut. Penutup kepada perayaan Tahun baru Cina ialah perayaan Chap Goh Meh.

Deepavali pula adalah salah satu perayaan yang disambut oleh masyarakat Hindu. Ianya dirayakan pada bulan gelap bernama “aippasi” pada bulan Oktober dan November. Deepavali bermaksud “sebarisan pelita”. Dengan memasang pelita, mereka percaya bahawa kecerahan mengatasi kegelapan, kebaikan mengatasi kejahatan, keadilan mengatasi kezaliman dan kebijaksanaan mengatasi kejahilan. Pada waktu pagi Hari Deepavali, masyarakat Hindu akan menyucikan tubuh badan dengan memakai sedikit minyak di kepala dan mandi. Kemudian mereka bersembahyang di rumah atau dikuil-kuil. Selepas bersembahyang, mereka berkunjung ke rumah kaum keluarga. Kebiasannya, surirumah akan menyediakan kotak-kotak kecil berisi manisan dan membawa bersama apabila berkunjung ke rumah saudara-mara mereka. Di kebanyakan rumah, “rangoli” iaitu lukisan yang dibuat daripada tepung beras berwarna-warni akan menyambut tetamu di hadapan rumah.

Sebagai rumusan, kepelbagaian kaum di Malaysia mewujudkan pelbagai budaya dan seterusnya melahirkan suasana yang harmoni dan unik. Perayaan-perayaan yang disambut oleh masyarakat mengikut agama dan kepercayaan masing-masing mencorakkan lagi kepelbagaian budaya di Malaysia. Melalui perayaan-perayaan seumpama ini kita boleh mengenali identiti dan budaya sesuatu kaum yang terdapat di negara kita.


3.0  Metodologi Kajian

Selain daripada mengumpul maklumat dari internet, kaji selidik dalam kalangan warga UTeM telah dijalankan untuk mendapatkan maklum balas yang lebih tepat mengenai kajian yang dijalankan ini. Metodologi kajian ini dibahagikan kepada beberapa peringkat iaitu mengumpul data dan maklumat berkaitan kajian, membuat pemerhatian terhadap respons responden terhadap sebarang sambutan perayaan yang diadakan di UTeM dan mengenal pasti persepsi responden terhadap sesuatu perayaan di Malaysia.

3.1  Rekabentuk Kajian

Kajian ini menggunakan kaedah tinjauan bukan eksperimental. Dalam reka bentuk ini, penilaian ini dilakukan setelah responden selesai menjawab borang soal selidik yang diedarkan. Responden perlu melengkapkan maklumat peribadi responen pada bahagian A dan menjawab sebanyak tujuh belas soalan berkaitan persepsi terhadap sebarang perayaan di Malaysia pada bahagian B.

Keputusan soal selidik ini menggambarkan suasana masyarakat Malaysia yang berbilang kaum dalam meraikan sesuatu perayaan di Malaysia. Kaedah ini dipilih kerana ia dianggap antara yang paling sesuai untuk menilai tahap pengetahuan dan kepekaan sesebuah masyarakat terhadap sesuatu perayaan.         

3.2 Sampel Kajian

Kajian ini merupakan kajian populasi yang melibatkan sekelompok responden yang bekerja dan belajar di UTeM. Seramai dua puluh orang responden terpilih berbeza jantina terdiri daripada para pensyarah, pekerja dan penuntut universiti dari fakulti berlainan perlu melengkapkan borang soal selidik yang mengandungi lima belas soalan berskala dan dua soalan subjektif.

3.3 Instrumen Kajian

Kajian ini melibatkan kepercayaan dan pegangan kepada setiap individu. Setiap individu memiliki pegangan dan kepercayaan yang berbeza. Dengan ini instrumen kajian yang paling sesuai bagi menjalankan kajian  ini ialah kaedah soal selidik. Hal ini kerana kaedah ini lebih mudah bagi seseorang individu memberi kerjasama mengikut pendapatnya sendiri. Sebanyak 20 borang soal selidik telah berjaya diedarkan dan kesemuanya telah memberikan kerjasama yang baik bagi menjayakan kajian ini.

Selain itu, kaedah melayari internet juga turut digunakan bagi memudahkan pencarian maklumat. Seterusnya, maklumat tambahan diperolehi melalui majala dan jurnal untuk menjayakan mengukuhkan dapatan kajian.


4.0  Hasil Kajian

Daripada hasil analisis borang soal selidik yang telah diedarkan, didapati data dan maklumat yang diberikan oleh responden-responden bertepatan dengan objektif kajian ini. Dengan menggunakan data dan maklumat yang diterima, hasil kajian dan perbincangan dapat disempurnakan dengan lancar dan berjaya.


Jadual 4.1 menunjukkan data dan maklumat yang dikumpul 
daripada borang soal selidik di bahagian

                                                          
Jadual 4.1 menunjukkan data dan maklumat yang dikumpul daripada borang soal selidik di bahagian A. Seramai 10 responden lelaki dan 10 responden perempuan yang terlibat. Jika dilihat pada peringkat umur, kebanyakan responden terdiri dalam lingkungan umur antara 21 hingga 30 tahun iaitu 15 responden. Jika dilihat pada bangsa pula, seramai 13 orang berbangsa Melayu, empat daripada mereka berbangsa Cina, tiga berbangsa India dan seorang daripada mereka lain-lain. Pada bahagian agama pula, kita boleh melihat bahawa 13  orang beragama Islam, empat orang beragama Buddha, dua orang beragama Hindu dan seorang beragama Kristian.

Majoriti responden borang soal selidik tersebut terdiri daripada pelajar iaitu seramai 16 orang. Selebihnya merupakan pensyarah. Ketika mengedarkan borang soal selidik kepada responden di UTeM, seramai 15 orang daripada FKE manakala dua orang masing-masing datang daripada FKEKK dan FTMK. Seorang sahaja yang datang daripada FKP.


Jadual 4.2 pula menunjukkan data dan maklumat yang dikumpul 
hasil kutipan borang soal selidik di bahagian B

                                                          
Jadual 4.2 pula menunjukkan data dan maklumat yang dikumpul hasil kutipan borang soal selidik di bahagian B. Setiap soalan mengandungi jawapan Ya, Tidak, dan Tidak Pasti. Jika melihat pada borang soal selidik yang dilampirkan pada bahagian lampiran, majoriti responden memilih jawapan Ya. Di sini kita boleh lihat bahawa kebanyakan responden tahu tentang perayaan-perayaan di Malaysia. Hanya segelintir yang memilih jawapan Tidak dan Tidak Pasti.

Sehubungan dengan itu, soalan yang diajukan kepada responden bukan sahaja melibatkan tentang perayaan tetapi juga berkait rapat dengan keharmonian negara ini. Responden juga lebih berpendapat bahawa keharmonian negara dapat dikekalkan melalui perayaan-perayaan yang disambut di negara ini.


5.0  Kesimpulan

Ringkasan yang dapat dibuat di sini ialah kajian ini telah mencapai objektif-objektif yang ditetapkan di peringkat awal kajian. Perkara pertama yang ditikberatkan dalam kajian ini ialah mengenali jenis-jenis perayaan yang terdapat di Malaysia. Hasil dapatan kajian menunjukkan rakyat Malaysia sangat prihatin dan peka mengenai perayaan-perayaan yang terdapat di Malaysia. Biarpun hidup berlaian bangsa dan agama, perbezaan itu tidak menghalang sifat saling menghormati antara kaum terhadap perayaan masing-masing selaras dengan slogan “1 Malaysia” yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang ingin mewujudkan suasana harmoni dan saling menghormati antara kaum di Malaysia.


Rujukan

Utusan Malaysia. (2010). Deepavali Perayaan Cahaya Penuh Simbolik.

Http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/isu-nasional/395-artikel/7736-deepavali-perayaan-cahaya-penuh-simbolik.html pada 21 Mei 2012.

Utusan Malaysia. (2010). Sambutan Tahun Baru Cina.
Http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/component/content/article/322-kebudayaan-di-malaysia/5745-sambutan-tahun-baru-cina.html pada 18 Mei 2012.

Wikipedia, Kompas Dan Informasi. (2011). Asal Usul Dan Serba Serbi Imlek (Tahun Baru Cina). Http://www.ruanghati.com/2011/02/03/asal-usul-dan-serba-serbi-imlek-tahun-baru-cina/  pada 9 Mei 2012.




MZ Zainudin, Mohamad Hafiz Abdul Wahid,  Safwan Abd Aziz haidir Morshidi, Latif Nur Ismail, Mohamad Suffian Ahmad