Thursday, April 30, 2015

Pesta buku KL 2015








Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2015 yang sedang berlangsung di PWTC sangat meriah. Semua ruang dipenuhi buku yang merangkumi pelbagai judul, dari pembangunan diri ke pendidikan, dari kerohanian ke pembangunan sukan dan dari pendidikan kanak-kanak ke penjagaan orang tua.

Mencari buku yang murah menjadi matlamat saya kali ini. Tujuannya untuk memenuhi rak-rak buku di rumah yang sudah ada dua buah. Kehadiran 20 buah buku baru sudah tentu akan memberi lebih keceriaan untuk membaca.

Saya mencari buku motivasi, perubatan herba dan karya tokoh.

Buku motivasi saya pilih berkenaan pengurusan kewangan yang ditulis oleh Robert T. Kiyosaki manakala buku panduan kejayaan hidup saya pilih buku tulisan Donald Trump. Saya juga mencari buku Kristiane Backer, seorang mualaf yang pernah bekerja dengan MTV. Buku “Dari MTV ke Makkah” merupakan karya terjemahan oleh Institut Terjemahan Negara Malaysia. Kristiane Backer agak popular di Youtube dan kita boleh lihat perubahan hidupnya sebelum dan selepas menjadi seorang muslim.




Buku lain adalah “Tenggelamnya kapal Van der Wijck” karya Hamka. Buku ini diterbitkan dalam bentuk kompak dan sesuai dibawa di dalam beg sandang.

Aras dua dipenuhi syarikat buku yang terkenal dan popular seperti PTS dan Telaga Biru. Harga diskaun sangat mengasyikkan hingga tidak sedar buku-buku yang berharga lebih daripada RM200 sudah diborong. Di sinilah pembaca dan penggemar buku dapat berbelanja lebih.

Pesta buku kali saya berasa ada kelainan kerana tidak banyak syarikat buku akademik yang mengambil bahagian. Jika tahun lepas ada banyak syarikat yang berlumba-lumba mempamerkan buku-buku akademik keluaran mereka, kali ini hanya beberapa buah syarikat yang masih ada di celah-celah gerai jualan. Justeru, lawatan kali ini hanya dua jam berpusing-pusing ke semua aras berbanding tiga jam pada tahun lepas. Mungkin penganjur dapat melihat perkara ini semula supaya pelajar dari institusi pengajian tinggi, pensyarah dan penyelidik dapat bersama-sama memeriahkan pesta buku ini.

Selepas meninjau gerai jualan dan membuat pembelian, pesta buku 2015 ini masih menawarkan harga buku yang lebih murah dengan pelbagai diskaun. Saya tidak pasti sejauh mana jumlah pengunjung telah datang namun saya melihat minat kepada buku dan membaca sudah semakin bertambah.
  

Wednesday, April 29, 2015

Membentuk ROI









Sesiapa sahaja yang telah belajar dan menamatkan pengajian di universiti atau kolej pasti dapat melihat dengan jelas jurang yang besar antara yang dipelajari dengan dunia pekerjaan sebenar. 

Di sinilah munculnya realiti iaitu perbezaan antara yang kita harapkan dengan keadaan sebenar. Berfikir tentang realiti dapat mengurangkan risiko kerugian, risiko ditolak atau diketepikan. 

Kita memikirkan akibatnya atau dalam istilah perniagaan atau pengurusan digelar ROI iaitu return of investment

Pemikiran realistik membantu kita mengenal pasti akibat tersebut, supaya kita boleh merancang dan bertindak menghadapi apa juga situasi. Keupayaan menghadapi dan mengawal senario yang tidak pasti inilah yang dikatakan mampu mengurangkan risiko.


Tuesday, April 28, 2015

Perkahwinan campur antara kaum Melayu dan kaum Cina, Baba dan Nyonya








1.0 Pengenalan

Perkahwinan campur merupakan sebuah penyatuan yang terdiri dari berlainan bangsa atau kaum yang berlainan agama atau berlainan warganegara. Proses ini disifatkan sebagai penyatuan dua golongan insan yang berbeza sama ada agama atau bangsa. Dalam kehidupan masyarakat setiap orang mempunyai hak untuk bergaul dan berkawan serta berkenalan dengan siapa sahaja, begitu juga kepelbagaian bangsa yang masuk ke Malaysia pada hari ini telah memberikan satu kesan khusus terhadap sistem perkahwinan campur di negara ini, keadaan ini boleh mendorong ke arah untuk berkenalan dengan bangsa lain yang masuk ke Malaysia justeru tidak mustahil adanya kemungkinan untuk mereka saling jatuh cinta sehingga terjadinya perkahwinan campur.

Perkahwinan campur dapat diibaratkan sebagai sebuah permulaan budaya baru dari sebuah keluarga. Dapat dihuraikan bahawa perkahwinan antara dua kaum atau dua keturunan yang berbeza ras akan melahirkan sebuah budaya baru, paling tidak ianya akan terjadi sebuah proses asimilasi secara fizik antara dua kebudayaan atau dua ras kerana pada konsep perkahwinan campur ialah penyatuan dua insan dari dua keluarga berbeza.

Perkahwinan campur telah lama dipraktikkan dalam sejarah terutamanya untuk mengeratkan hubungan antara negara, contohnya perkahwinan Puteri Hang Li Po dengan Sultan Mansur Shah. Oleh itu, perkataan kahwin campur adalah tidak asing bagi rakyat Malaysia. Masyarakat majmuk di Malaysia adalah kesan daripada perkahwinan campur di Malaysia sejak dulu hingga kini. Agama Islam sendiri, tidak melarang sebarang bentuk perkahwinan termasuklah perkahwinan campur asalkan ianya menurut kehendak syarak, seperti dinyatakan dalam ayat al-quran.

1.1  Objektif Kajian

Objektif kajian ini adalah mengetahui faktor-faktor perkahwinan campur, mengenal pasti implikasi (kebaikan dan keburukan) perkahwinan campur terhadap individu dan masyarakat dan mengkaji pandangan masyarakat terhadap perkahwinan campur.


2.0 Sorotan Literatur

Perkahwinan campur asalnya digunakan oleh pihak gereja Katholik untuk menyatakan sebuah perkahwinan antara seorang Kristian dan seorang bukan Kristian. Namun, pada hari ini, perkataan kahwin campur bermaksud sebuah perkahwinan yang melibatkan dua orang yang mempunyai agama, kewarganegaraan dan bangsa yang berlainan. Oleh itu, kahwin campur boleh dikelaskan kepada tiga kategori iaitu kahwin campur antara kaum, kahwin campur antara negara dan kahwin campur antara agama. Kahwin campur antara kaum melibatkan dua individu yang berlainan kaum. Sebagai contoh, seorang lelaki melayu berkahwin dengan seorang perempuan Cina. Perkahwinan campur antara agama melibatkan dua individu yang menganut agama yang berbeza, sebagai contoh, seseorang yang beragama Islam berkahwin dengan individu beragama Buddha.

Baba dan Nyonya adalah segolongan keturunan kaum Cina yang unik kedudukannya dalam kalangan kaum Cina yang terdapat di Melaka. Mereka memanggil diri mereka sebagai “Baba” atau “Peranakan” kerana kebudayaan mereka yang berasal daripada warisan tradisi Cina, mempunyai unsur-unsur pengaruh kebudayaan Melayu. Penyesuaian dan resapan budaya mereka terhadap suasana sosiobudaya di persekitaran mereka pada zaman silam iaitu melalui perkahwinan campur yang berlaku antara kaum-kaum Cina dan Melayu adalah punca utama mengapa generasi-generasi seterusnya memanggil mereka sebagai “Baba”. Dari segi anutan, kebanyakannya masih mengekalkan agama tradisional Cina dan Buddha, namun telah ramai yang memeluk agama lain seperti Kristian yang amat popular dalam kalangan remaja.

Kahwin campur di Malaysia telah lama dipraktikkan sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan. Pada masa itu, Malaysia masih dikenali sebagai Tanah Melayu. Pada kurun ke-15 Kesultanan Melayu Melaka, Sultan Mansur Shah telah menjalin hubungan diplomatik dengan China dan maharaja Yongle telah menghadiahi puterinya, Li Po untuk dijadikan isteri sultan. Hang Li Po datang ke Tanah Melayu bersama dengan Laksamana Cheng Ho dan 500 pengiring perempuan. Pengiring puteri menetap di Bukit Cina dan akhirnya berkahwin dengan pengawai Sultan Mansur Shah. Maka, hasil kahwin campur antara kaum Melayu dan kaum Cina pada masa itu dikenali sebagai baba-nyonya.

Perkahwinan campur telah banyak terjadi di negara kita dalam berbagai-bagai tingkatan masyarakat. Banyak faktor yang menyebabkan terjadinya perkahwinan campur selain dari cinta terhadap pasangan. Antaranya, ekonomi, transportasi, globalisasi informasi, pendidikan, kecanggihan teknologi, ekonomi dan masih banyak lagi. Berdasarkan  kajian terdahulu yang dilakukan, jalur perkenalan yang membawa pasangan berbeza kewarganegaraan berkahwin antara lain adalah perkenalan melalui internet, teman kerja, berkenalan semasa berhibur, bekas teman sekolah atau kuliah dan sahabat pena. Ada beberapa orang yang telah berkahwin campur disebabkan cara hidup orang Islam di negara kita. Mereka mengatakan bahawa mereka tertarik dengan budaya orang Islam kerana didedahkan dengan suasana sebegitu sejak dari kecil lagi.

Pada dasarnya Islam tidak melarang perkahwinan seumpama ini jika sekiranya pasangan tersebut sudah memeluk Islam. Pasangan berpeluang untuk berkenalan antara satu sama lain. Bukan sahaja dengan pasangannya bahkan seluruh keluarga yang terlibat sama dan ini bertepatan dengan hikmah atau tujuan Allah mencipta manusia dari berbilang bangsa, puak dan kaum. Perkahwinan campur antara dua pihak berlainan agama secara tidak langsung merupakan satu cara untuk menyebarkan ajaran Islam. Dalam konteks kahwin campur” di negara seperti Malaysia, kita amat wajar menggalakkan perkahwinan yang seperti ini kerana ia boleh mendekatkan antara kaum dalam negara ini. Namun, perkahwinan tersebut perlu menitikberatkan nilai-nilai yang berikut. Bagi muslim, hendaklah dipastikan keislamannya terpelihara, bahkan pasangan wajar menunjukkan contoh pegangan dan akhlak yang baik kepada pasangannya kerana sikap dan teladan yang buruk akan menyebabkan salah faham pasangannya terhadap Islam. Perkahwinan antara kaum hendaklah tidak bersifat untuk menghapuskan budaya dan nilai positif yang dimiliki oleh sesuatu kaum. 

Perkahwinan antara kaum patut dijadikan kesempatan untuk memahami dan mempelajari nilai-nilai mulia yang dimiliki oleh setiap kaum bukan menghapuskan identiti kaum tersebut. Dengan itu, setiap kaum akan hormat-menghormati dan cuba memahami kelebihan dan kekurangan yang dimiliki lantas melaksanakan firman Allah (maksudnya), Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu perbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuanNya”. (Surah al-Hujurat: 13)

Fahaman agama yang sempit seperti menghalang pasangan yang menganut Islam berhubung dan berbuat baik kepada keluarga asalnya, menziarahi mereka atau menafikan nama keluarga seperti menukar nama “bapa” adalah sesuatu yang tidak diajar oleh Islam. Bahkan nas-nas Islam menegah hal tersebut. Justeru, tidak boleh ada dalam perkahwinan campur itu pemaksaan budaya sesuatu kaum terhadap kaum yang lain. Jika hal-hal ini dihayati, perkahwinan campur boleh membantu mengeratkan hubungan antara kaum.

Perkahwinan campur dalam kalangan masyarakat di Malaysia meninggalkan impak bukan sahaja terhadap pihak-pihak yang terlibat secara langsung tetapi juga terhadap masyarakat sekeliling dan keadaan sosiologi sesebuah negara. Impak tersebut dapat dilihat daripada dua sudut iaitu sudut positif dan sudut negatif.

2.1 Kesan postif perkahwinan campur

Secara individu, pasangan dan ahli keluarga yang terlibat dapat mengetahui dan mempelajari bangsa dan budaya lain. Selain itu, kadar maksiat seperti bersekedudukan juga dapat dikurangkan. Dari aspek masyarakat pula, kahwin campur dapat menyebarkan dakwah keagamaan, misalnya agama Islam. Hal ini kerana, apabila seseorang yang bukan Muslim ingin berkahwin dengan seorang Muslim, beliau mesti menukar agamanya kepada agama Islam. Dengan itu, ajaran Islam yang murni dapat diajarkan kepada bukan Muslim tersebut dengan harapan beliau akan mendapat hidayah daripada Allah swt. Secara tidak langsung, anak-anak yang lahir dari hasil perkahwinan itu juga beragama Islam. Tambahan lagi, generasi yang lahir dari perkahwinan campur juga tidak bersikap perkauman dan berfikiran terbuka terhadap budaya lain. Disebabkan terdapatnya variasi dalam keluarga, baka yang dihasilkan akan lebih berkualiti dari segi fizikal dan mental. Dari aspek negara, kahwin campur dapat memupuk sikap perpaduan dan keharmonian di antara kaum-kaum di negara ini. Di samping itu, ekonomi juga dapat dijana melalui pelbagai upacara perkahwinan yang dijalankan.

2.2 Kesan negatif perkahwinan campur

Secara idealnya, perkahwinan campur dapat memupuk persefahaman antara pelbagai kaum namun realitinya konflik kadang-kadang terjadi sekiranya pasangan tidak dapat mengadaptasi perbezaan budaya, ditambah pula dengan tiadanya tolak ansur antara kedua-dua belah pihak. Pegangan agama juga mudah goyah dan sesat disebabkan terikut-ikut budaya asing yang lebih terbuka. Berkemungkinan juga akan timbulnya masalah komunikasi antara pasangan dan ahli keluarga dan kadangkala akan timbul pula masalah, khususnya bagi kita umat Islam.

Dari aspek masyarakat, akan wujud masalah perbalahan kaum disebabkan oleh sikap etnosentrik dan prejudis terhadap kaum lain. Tambahan lagi, jika terdapat halangan keluarga, yang mana keluarga pasangan tidak mahu pasangan bertukar agama. Contohnya, hubungan kekeluargaan yang erat dianggap penting dalam masyarakat Melayu justeru, mereka lebih gemar membina hubungan perkahwinan dalam kelompok mereka sendiri. Mereka juga khuatir jika anak-anak mahu berkahwin dengan orang yang bukan beragama Islam. Mereka tidak mahu anak-anak ini terpengaruh dengan ajaran agama lain dan yang paling membimbangkan mereka ialah anak-anak akan hilang akidah lalu menganut agama lain.

Antara risiko lain yang mungkin dihadapi juga adalah peningkatan kadar penceraian dan masalah sosial. Rata-rata beranggapan perkahwinan yang dibina oleh dua individu berlainan bangsa tidak akan bertahan lama kerana mempunyai latar belakang, cara hidup, budaya dan agama yang berbeza. Selain itu, masyarakat sering membuat andaian perkahwinan campur sering berakhir dengan perceraian sedangkan hanya dinilai daripada sudut perbezaan yang dilihat pada pandangan mata kasar sahaja.

Menurut kajian, masalah yang timbul dalam perkahwinan campur ini terhad kepada kes membabitkan pertukaran agama. Dalam kebanyakan kes, keluarga sering membantah jika perkahwinan itu memerlukan anak mereka menukar agama dan nama kerana ia dikhuatiri akan memutuskan ikatan kekeluargaan yang terjalin. Berbeza pula dengan perkahwinan campur di Sabah dan Sarawak yang lebih bersifat mesra dan cara pemikiran mereka jauh lebih terbuka sekali gus menjamin keharmonian rumah tangga.           

Antara langkah yang boleh diambil untuk menjaga keharmonian dalam perkahwinan adalah setiap pasangan hendaklah menerapkan sikap toleransi supaya dapat mengelakkan masalah yang serius daripada timbul walaupun agak sukar untuk mengubah cara hidup atau kepercayaan yang sudah sebati dalam diri seseorang sejak kecil lagi. Selain itu, pasangan tersebut harus mempunyai sifat tolak ansur, memahami antara satu sama lain dan saling menghormati kerana kemungkinan bahtera perkahwinan akan menuju kehancuran jika pasangan tersebut tidak memiliki sifat-sifat tersebut.

Tambahan pula, mereka tidak boleh dipaksa dan didesak untuk menerima budaya baru kerana proses ini memerlukan masa serta tidak mengharapkan perubahan yang drastik daripada pasangan. Malahan, masyarakat dan ahli keluarga mestilah mempunyai fikiran terbuka mengenai perkahwinan campur dan tidak sepatutnya berfikiran bahawa perkahwinan ini bersifat sementara. Keluarga hendaklah menjadi penasihat pada mereka yang ingin berkahwin dengan pasangannya yang datang daripada keluarga berlainan.


3.0 Metodologi Kajian

Kajian ini menggunakan kaedah kuantitatif iaitu menggunakan borang soal selidik yang diedarkan kepada seramai tiga puluh orang responden. Soal selidik terbahagi kepada soalan terbuka dan soalan tertutup. Kajian ini menggunakan soalan tertutup iaitu skala likert yang mempunyai penyataan tahap persetujuan sangat setuju, setuju, kurang setuju, tidak setuju dan sangat tidak setuju.

3.1 Skop Kajian

Skop kajian kami adalah di sekitar Kampus Industri Universiti Teknikal Malaysia Melaka. Borang soal selidik diedarkan kepada tiga puluh orang responden termasuk kakitangan universiti serta mahasiswa dan mahasiswi Fakulti Teknologi Kejuruteraan, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal.



4.0 Hasil Kajian

Berikut adalah hasil daripada analisa soal selidik yang telah dilakukan di sekitar Kampus Industri UTeM.


Rajah 1: Jantina responden

Responden kajian ini seimbang antara lelaki dan perempuan iaitu masing-masing 15 orang.


Rajah 2: Bangsa responden

Responden terdiri daripada pelajar dan staff UTeM yang mewakili pelbagai kaum. Mereka teridir daripada 12 orang berbangsa Melayu, 10 orang berbangsa Cina, 5 orang berbangsa India dan 3 orang bagi lain-lain.


Rajah 3: Agama responden

Bilangan responden yang terlibat terdiri daripada 12 orang beragama Islam, 10 orang responden yang beragama Buddha, 5 orang beragama Hindu dan 3 responden bagi mewaliki lain-lain agama.


Rajah 4: Status responden

Melalui borang soal selidik yang telah kami edarkan, didapati 20 orang daripada responden memegang status bujang manakala selebihnya sudah berkahwin dan tidak terdapat rekod responden yang bercerai.


Rajah 5: Umur responden

Seramai 18 orang responden berumur kurang daripada 25 tahun, 10 orang berumur 26 hingga 35 tahun dan 2 orang sahaja yang berumur 36 hingga 45 tahun.


Rajah 6: Responden yang memahami istilah perkahwinan campur

Carta menunjukkan seramai 10 orang yang bersetuju dan 20 orang lagi sangat bersetuju  dengan persoalan yang diutarakan. Keputusan yang direkodkan ini menunjukkan kesemua responden memahami maksud “perkahwinan campur” dan mempunyai pengetahuan serta maklumat mengenainya.


Rajah 7: Responden yang mempunyai keluarga berkahwin campur

Carta ini merujukkan seramai 16 orang tidak mempunyai ahli keluarga atau kenalan yang mempunyai latar belakang perkahwinan campur tetapi 7 orang memiliki kenalan yang perkahwinan campur.  Terdapat 7 orang yang tidak mempunyai kenalan tersebut.


Rajah 8: Cinta menyebabkan faktor kahwin campur

Daripada rekod di atas, kebanyakan responden bersetuju bahawa cinta adalah faktor dominan yang mendorong kepada terhasilnya perkahwinan campur dalam kalangan masyarakat iaitu lebih daripada 22 orang. Selebihnya adalah responden yang tidak setuju dan kurang setuju.


Rajah 9: Perkahwinan campur kerana pergaulan yang terjalin antara kaum
                          
Carta ini mencatatkan terdapat 17 orang responden daripada 30 orang adalah setuju bahawa soalan berkenaan, 13 orang responden tidak setuju pergaulan yang terjalin antara individu yang berlainan kaum menimbulkan minat atau daya tarikan untuk mendalami kepelbagaian budaya dan sekali gus menjadi faktor pendorong berlakunya perkahwinan campur.


Rajah 10: Perkahwinan campur kerana pergaulan yang terjalin antara kaum

Carta menunjukan bahawa majoriti responden sangat tidak setuju dengan penyataan yang mengatakan pergaulan yang terjalin antara individu yang berlainan kaum menimbulkan minat atau daya tarikan untuk mendalami kepelbagaian budaya dan sekali gus menjadi faktor pendorong berlakunya perkahwinan campur.


Rajah 11: Faktor keluarga merestui perkahwinan

Carta ini menujukkan sebanyak 22 orang responden bersetuju bahawa perbezaan antara agama, budaya dan corak hidup menjadi punca utama tidak memperolehi restu daripada pihak keluarga. Hanya 8 orang responden yang kurang bersetuju dengan punca tersebut.


Rajah 12: Pandangan positif masyarakat terhadap perkahwinan campur

Daripada carta di atas, kebanyakan responden kurang bersetuju masyarakat berpandangan positif terhadap isu perkahwinan campur manakala 5 orang responden bersetuju tentang soalan itu.


Rajah 13: Penerimaan perkahwinan campur dalam keluarga

Terdapat 11 orang responden tidak menyambut baik perkahwinan campur sekiranya berlaku dalam kalangan ahli keluarganya dan 12 orang responden dapat menyambut baik. Selebihnya 7 orang responden kurang setuju terhadap perkahwinan campur berlaku dalam kalangan ahli keluarganya.


Rajah 14: Anak yang dihasilkan daripada perkahwinan campur lebih kompetitif

Sebanyakkan 19 orang responden bersetuju bahawa anak yang dihasilkan dari perkahwinan campur lebih kompetitif kerana mereka tahu bertutur dan menulis dalam dua bahasa dengan baik. Sebaliknya, terdapat 11 orang responden tidak dan kurang bersetuju pernyataan di atas.


Rajah 15: Gabungan hasil perkahwinan campur dapat melahirkan insan cemerlang

Majoriti responden adalah bersetuju bahawa gabungan nilai-nilai murni hasil dari perkahwinan campur dapat melahirkan insan yang cermelang, gemilang dan terbilang.


5.0 Kesimpulan

Gagasan pembinaan negara bangsa menjadi sangat penting ketika isu-isu perkauman mulai bergema di negara ini akibat pergeseran politik dalam negara kerana agenda pembinaan negara bangsa ini menjadi penting kerana negara ini mempunyai penduduk yang berbilang kaum. Di Malaysia setiap kaum masih mempunyai persepsi negatif dan prejudis terhadap kaum yang lain lantaran sikap dan pengetahuan yang tidak menyeluruh tentang budaya dan aspirasi kaum lain menjadikan masyarakat sering dipisahkan oleh perbezaan pendapat, perbezaan perspektif, kepentingan ekonomi dan perbezaan kebudayaan yang mana akan menghalang proses penyatuan bangsa agak tergendala.

Justeru, sebagai salah satu langkah ke hadapan dalam rangka mencapai matlamat perpaduan dan integrasi kaum sebagai usaha untuk menjayakan agenda pembinaan negara bangsa, galakan kea rah proses perkahwinan campur sebagai salah satu cara untuk melahirkan semangat dan kefahaman terhadap budaya serta adat sesuatu kaum boleh difikirkan. Sikap prejudis terhadap kaum lain sedikit demi sedikit akan pupus apabila mereka disatukan dalam sebuah rumah tangga yang harmoni kerana penyatuan dua insan boleh menyatukan pula dua keluarga berlainan kaum. Situasi ini mungkin agak sukar untuk dicapai seandainya semua pihak belum dapat menerima secara terbuka tentang kebaikan perkahwinan campur sebagai salah satu usaha pembinaan negara bangsa.

Pihak kerajaan, agensi agensi kekeluargaan, badan persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan boleh memberikan insentif serta galakan kepada mana-mana pasangan yang akan mendirikan rumah tangga dalam bentuk perkahwinan campur. Peranan institusi agama, pertubuhan bukan kerajaan, intitusi sosial lainnya amat diharapkan dalam rangka merangsang pertumbuhan minda bagi mengubah persepsi agar perkahwinan campur dapat dikembangkan sebagai salah satu jambatan untuk membina negara bangsa.


Rujukan

http://www.bharian.com.my/articles/PeguamSyarieMenulis_PerkahwinancampurwadahsebarIslam/Article/

http://nurfarinaabdullah.blogspot.com/2012/03/perkhawinan-campur-dan-pembinaan-negara.html

http://pakarcinta.com/blog/tips-kahwin-campur/

http://alhafiz.net/soaljawabagama/apakah-makna-perkahwinan-campur-serta-kebaikan-dan-juga-larangan-kepa-umat-islam-untuk-berkahwinan-melalui-cara-ini/

http://erakita.wordpress.com/2010/08/18/perkahwinan-lain-agama/

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0227&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_17.htm

http://www.scribd.com/doc/29585328/perkahwinan-campur-di-Malaysia

http://www.scribd.com/doc/16509047/Perkahwinan-Campur



MZ Zainudin, Chau Kar Hoo, Munirah Arshad, Nur Roziah Gazali, Khairun Husna Khairul Anuar, Siti Aminah Othman, Nurul’ Ain Sakinah Hasani, Lim Mei Sze



Monday, April 27, 2015

Women and poverty: psychology, public policy and social justice







Penulis: Heather E. Bullock
Tahun: 2013
Penerbit: John Wiley & Sons, Ltd, West Sussex, UK.
Muka Surat: 198

Penulis sedia menyerlahkan analisisnya terhadap isu-isu wanita seperti diskriminasi, upah buruh yang rendah, tidak berupaya mendapatkan tempat yang baik dan keganasan. Beliau juga melihat hubungan antara sikap negatif dan kepercayaan berkaitan wanita miskin dan dasar sosial yang merendahkan martabat wanita. Buku ini diperlukan oleh ahli psikologi sosial dan komuniti dan profesional serta pelajar yang serius meningkatkan kesihatan kemanusiaan dan kebajikan.

Penulis juga meneruskan usahanya meningkatkan pengetahuan dalam kemiskinan dari perspektif psikologi. Memberi fokus kepada pengukuhan gender, beliau menarik perhatian dengan merangkumkan trend sosiobudaya yang lebih luas dan pilih kasih terhadap wanita miskin, namun mengetengahkan juga turun naik dan implikasi dasar kebajikan. Buku ini boleh dijadikan sebagai sumber dalam kajian kelas sosial dan keadilan sosial.

Ketika keadaan ekonomi yang tidak seimbang, penulisan buku ini amat diperlukan. Buku ini mendedahkan kaedah yang mana kemiskinan dikaitkan dengan gender, memberi penjelasan terhadap kos kemiskinan ke atas wanita dan komuniti serta memberikan kita cara dan jalan untuk mencabar pilih kasih yang wujud dalam dasar sosial.

Untuk menjawab banyak persoalan berkaitan wanita dan kemiskinan, buku ini membentangkan kajian dan teori dari perspektif psikologi sosial, kajian dasar dan pejuang wanita. Sintesis dan aplikasi kemiskinan wanita adalah salah satu perkara utama yang diberi perhatian, menyediakan pembaca dengan pelbagai rupa penghargaan yang menyebabkan kemiskinan dan dasar-dasar yang mempromosi keadilan ekonomi.

Sunday, April 26, 2015

Dia ni lagi








“La... dia ni lagi, dah tak ada orang lain lagi ka? Dah tiga kali masuk bertanding, la ni nak masuk lagi?” Ini respon saya semasa membaca berita terkini calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan bertanding dalam pilihan raya di Permatang Pauh.

Calon-calon lain yang lebih muda dan berketrampilan tidak layak untuk bertanding kerana PKR merasakan Datuk Sei Dr Wan Azizah Wan Ismail, 62 tahun, lebih sesuai.  Mungkin parti itu mempunyai banyak sebab untuk meletakkan wanita ini antaranya sebagai bayang-bayang Anwar Ibrahim.

Wan Azizah sedang menyandang wakil rakyat bagi Kajang, sebuah Dewan Undangan Negeri yang menjadi taruhan dalam “Langkah Kajang” untuk Anwar Ibrahim menjadi Menteri Besar Selangor.

Anwar gagal dan Wan Azizah pula yang dicanang menjadi calonnya. Beliau gagal juga. Khabarnya presiden Pas juga kurang setuju dengan cadangan pelantikan Wan Azizah.

Isteri Anwar ini juga pernah menjadi calon dan menang di Permatang Pauh pada 1999, 2004 dan 2008. Namun meletak jawatan untuk memberi laluan kepada Anwar sebagai ahli parlimen bagi memperjuang kepentingan “rakyat”.

Oleh kerana kes beliau dengan pembantunya tidak lepas, akhirnya cita-cita Anwar ke Putrajaya tidak kesampaian.

Adakah Wan Azizah ada karektor untuk menjadi pemimpin selepas masuk keluar dalam pilihan raya? Bagi penduduk dan pengundi di Permatang Pauh, barangkali ada, namun bagi orang muda yang memerhati gelagat parti berkenaan, rasanya lebih baik diberi kepada orang lain yang bertenaga dan mampu memberi fokus kepada keperluan rakyat Permatang Pauh rakyat Malaysia.

Orang muda perlukan calon yang lebih berani menyuarakan pandangan rakyat bukannya menyuarakan pandangan suami yang ada masalah peribadi, mengajukan keperluan hidup rakyat bukannya mengajukan keperluan hidup suami seorang, membantu ekonomi rakyat dengan analisis fakta bukannya analisis auta.

Orang muda perlukan stamina dan kerakusan idea pemimpin yang dinamik bukannya idea pemimpin yang tidak banyak berubah.

Orang muda juga perlukan jaminan dalam peluang pekerjaan, penempatan dan kehidupan yang lebih selamat bukannya membuat demonstrasi mengganggu orang cari makan.

Orang muda perlukan ruang untuk melihat jaluran jalan raya yang selamat, persekitaran yang bersih dan senggaraan yang berterusan. Lihat saja bagaimana jalan-jalan di Kajang, berlubang sana-sini, garisan putih yang sudah pudar, sampah berselirat dan banjir (semakin kerap akhir-akhir ini).

Orang muda tidak mahu retorik dalam politik, perjuangan peribadi atau bawa sekali anak-beranak untuk berpoitik yang hanya menutup peluang orang lain yang lebih layak. Politik anak-beranak tidak sesuai dalam negara yang sudah maju ke hadapan kerana tidak memberi ruang kepada pencapaian berdasarkan merit.

Orang muda juga tidak mahu masalah salah strategi pengurusan kewangan negara menjadi beban kerana ia pasti mengganggu kelancaran pentadbiran negara.

Pendek kata, pilihan raya di Permatang Pauh sangat penting kerana calon PKR yang akan menang itu bakal menjelmakan suara dan fikiran Anwar Ibrahim, menjadi lidah sambung kepada perjuangan peribadi. Sementelahan pula ada suara dari parti  berkenaan yang mengatakan hudud tidak sesuai dalam masyarakat pelbagai bangsa di Malaysia. Kenyataan ini menyinggung ramai pihak khususnya Pas yang berusaha merealisasikan pelaksanaan undang-undang syariah di Kelantan khususnya dan di Malaysia amnya. Bukan sahaja Pas, orang Islam yang ada kecenderungan melihat undang-undang syariah berdiri megah di Malaysia juga turut tersinggung.


Pada masa hadapan, parti yang menolak pelaksanaan undang-undang syariah dijangka bakal kehilangan undi orang Islam.