Saturday, January 31, 2015

Fikir dan kongsi idea









Proses berfikir menjadi lebih cepat dan segar apabila kita berkawan atau mengikut jejak langkah orang yang suka berfikir. Mereka ini boleh jadi rakan sekerja, rakan melepak, jiran, bos atau pakar dalam sesuatu bidang. 

Berbuat baik dan peramah dengan semua orang memberi ruang untuk kita pilih orang yang benar-benar mengajak kita berfikir. Mereka yang mengajak kita berfikir ini ibarat besi keluli yang menajamkan satu sama lain. 

Sediakan diri kita untuk diproses, dicanai dan dibentuk sebagai pemikir yang bijak. Kita perlu ingat, pemikir tidak muncul secara berkala atau tiba-tiba sebaliknya muncul daripada sifat disiplin diri, istiqamah, sentiasa mencatat dan membuat dokumentasi. 

Hari ini lebih mudah kerana kita boleh taip idea kita dalam blog dan berkongsi dengan orang lain di seluruh dunia.


Friday, January 30, 2015

Tulis di mana-mana saja









Menjadi pemikir atau orang yang berfikir perlukan sedikit usaha mendedahkan diri kepada input-input yang baik. Konsepnya adalah mencari perkara-perkara yang dapat mencetuskan proses pemikiran. 

Antara input tersebut adalah membaca buku, majalah yang berfokus, mendengar perbahasan, membaca analisis kajian, bertukar-tukar pandangan tentang isu-isu yang berfakta dan meluangkan masa bersama pemikir yang hebat. 

Saya teringat seorang penyelidik di Brunei, kira-kira 13 tahun lalu yang sentiasa meletakkan pen atau pensel di banyak tempat dalam rumahnya. Apabila ada sesuatu yang menarik perhatian, dia akan menulis idea yang terlintas di fikirannya. 

Dia berfikir apa yang ditulisnya dari semasa ke semasa supaya dapat merangsang mindanya untuk berfikir setiap masa.


Thursday, January 29, 2015

Lombong minda









Seorang penulis terkenal, Napoleon Hill mengatakan lebih banyak intan permata yang dikorek daripada pemikiran manusia berbanding mana-mana lombong di dunia. Menggali dan mengorek lombong emas, lama-kelamaan emas akan kehabisan. 

Pasaran saham mungkin runtuh merudum. Pelaburan hartanah mungkin tidak menjadi tetapi minda dan fikiran yang sentiasa berfikir umpama lombong berlian yang tidak pernah kering. 

Minda yang hebat juga tidak dimakan usia. Orang yang mempunyai fikiran hebat boleh lagi memberi idea walaupun umur sudah mencecah 70 tahun atau 80 tahun kerana dalam minda mereka sentiasa ada persoalan. 

Setiap persoalan ini perlukan jawapan dan mereka sentiasa berusaha untuk memberikan jawapan yang terbaik.



Wednesday, January 28, 2015

Bisnes makanan mengubah hidup










Bisnes wujud apabila terdapat pengkhususan dalam pengeluaran barangan dan perkhidmatan yang cekap. Bisnes juga banyak memberi faedah kepada orang ramai kerana aktiviti-aktiviti ini dapat memenuhi kehendak dan keperluan ramai orang dengan menyediakan berbagai-bagai jenis barangan dan perkhidmatan yang dikeluarkan sama ada di dalam negara ataupun diimport dari luar negara.

Selain itu, bisnes juga dapat menjana keuntungan yang memberi galakan untuk berkecimpung dan mengembangkan usaha ahli perniagaan sehingga sanggup menghadapi risiko daripada pelaburan wang dan masa. Sebahagian besar masyarakat Malaysia menyara kehidupan melalui pekerjaan yang diperolehi daripada sektor bisnes ini. Pendapatan yang diterima melalui pekerjaan sebagai usahawan dapat menyara kehidupan malah boleh meningkatkan taraf hidup masyarakat. Selain itu, pekerja yang kehilangan pekerjaan dan terdesak semasa berlakunya kemelesetan ekonomi boleh beralih kepada bisnes terutamanya perniagaan secara kecil-kecilan sebagai sumber rezeki yang baru.

Salah satu bisnes kecil-kecilan adalah warung makanan dan minuman yang diusahakan oleh Kak Ida di Taman Sutra Wangi, Batu Berendam, Melaka. Berikut adalah analisis temubual yang dijalankan bagi mengetahui lebih lanjut operasi perniagaan beliau.

Zahadi: Assalamualaikum wbt. Kami pelajar dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka sedang melakukan kajian mengenai pembangunan sosioekonomi masyarakat Malaysia dan impak terhadap komuniti. Hari ini kami akan menemu bual puan untuk mendapatkan maklumat bagi melengkapkan kajian ini sahaja. Boleh puan terangkan sedikit mengenai latar belakang puan khususnya dari segi pendidikan, tempat tinggal dan keadaan kesihatan ketika ini.

Ida: Nama saya Rosidah. Saya berusia 45 tahun dan berasal dari Perak tetapi sekarang saya sekeluarga menetap di sini. Suami saya bernama Nor Azizi dan beliau bekerja di sektor awam. Saya mempunyai lima orang anak iaitu tiga lelaki dan dua perempuan. Saya berpendidikan STPM dan, Alhamdulillah buat masa ini saya sihat dan tidak mengidap penyakit yang merbahaya setelah 15 tahun berniaga disini.

Wan: Adakah puan melibatkan diri dalam persatuan atau organisasi berkaitan keusahawanan ataupun kemasyarakatan, sama ada di kawasan tempat tinggal ataupun di negeri ini? Jika ada, apakah persatuan berkenaan menjadikan puan lebih melibatkan diri dalam membina kerjasama dengan rakan-rakan usahawan yang lain?

Ida: Seingat saya, sepanjang 17 tahun saya berkecimpung dalam bidang bisnes ini , saya masih belum pernah lagi memasuki atau menceburkan diri dalam persatuan atau organisasi berkaitan keusahawanan ataupun kemasyarakatan. Minat tu ada, tapi kekangan masa menjadi penghalang utama. Masa seharian banyak dihabiskan menguruskan keluarga dan juga bisnes. Cuma, kadang-kadang ada mengetahui serba sedikit mengenai persatuan-persatuan melalui rakan dan jiran tetangga. Sedikit sebanyak dari itu saya mempelajari lebih mendalam mengenai alam bisnes.

Zulaika: Pada pandangan puan, sejauh mana aktiviti dalam masyarakat dapat membantu puan supaya lebih aktif dalam mengubah keadaan hidup?

Ida: Saya tidak menyertai mana-mana persatuan di kawasan ini kerana saya lebih cenderung melakukan perkerjaan secara bersendirian tanpa melibatkan orang lain.

Fazira: Adakah puan merasai perubahan keadaan hidup selepas menyertai persatuan masyarakat seperti menghadiri kursus-kursus berkaitan keusahawanan atau peningkatan kemahiran? Adakah kursus-kursus ini membantu puan lebih berjaya dalam bidang keusahawanan?

Ida: Saya tidak menyertai mana-mana persatuan masyarakat yang berkaitan keusahawanan atau peningkatan kemahiran kerana saya tidak berminat dalam menyertai mana-mana persatuan.

Fatin: Adakah puan mempunyai pekerja dalam membantu puan menguruskan bisnes ini?

Ida: Buat masa sekarang saya tidak ada mengambil mana-mana pekerja. Kalau dulu pernah mempunyai pekerja tetapi tidak lama di sebabkan oleh sedikit masalah yang di hadapi.

Fatin: Apakah cabaran puan yang pernah di hadapi dalam mengembangkan bisnes ini?

Ida: Terlalu banyak cabaran yang saya hadapi sepanjang bisnes ini berlangsung. Selama 17 tahun saya berniaga, tahun 2014 ini adalah tahun yang paling mencabar yang pernah saya hadapi. Pada mulanya, banyak buang makanan yang tidak habis. Tapi kita kena bersabar, mulut pun kena jaga apabila buka bisnes. Bila orang kritik makanan kita, kita kena terima. Percakapan pun kena jaga. Nak mulakan bisnes ini, kita kena mula dari bawah. Itulah antara cabaran-cabaran yang pernah kak ida hadapi.

Arzihan: Adakah  puan mendapat pembiayaan bisnes untuk menjalankan bisness ini? Adakah pembiayaan berkenaan mencukupi? Sekiranya tidak mencukupi, bagaimana puan berusaha mengembangkan bisnes ini?

Ida: Saya tidak mendapat pembiayaan bisnes dari mana-mana pihak kerana saya tidak suka berhutang. Pembukaan kedai ini adalah hasil daripada wang yang dikumpul oleh saya dan juga suami. Modal permulaan pembukaan kedai membeli barang masakan dan juga beberapa buah meja  sebanyak RM1000. Pembiayaan pada masa tersebut cukup kerana saya hanya memborong barang keperluan sahaja.  Barang keperluan yang selalu diborong tidak memerlukan kos yang mahal  antara contohnya mee, bihun, kuey teow  dan juga keropok lekor.

Fatinah: Adakah puan menerima galakan dari mana-mana pihak untuk menyimpan wang atau membeli aset? Pada pandangan puan, adakah bisnes dapat membantu mengubah hidup dengan memiliki aset yang lebih banyak.

Ida: Tiada pihak yang memberi galakan pada saya. Semua yang saya buat adalah hasil titik peluh sendiri. Suami dan keluarga banyak memberi sokongan. Hasil daripada bisnes yang saya jalankan sepanjang 17 tahun ini, saya dapat beli dua buah kereta untuk anak dan juga dapat hantar anak untuk sambung pelajaran. saya sangat setuju dengan bisnes dapat mengubah hidup seseorang.

Murni: Pada pandangan puan, adakah hidup telah banyak berubah setelah menceburi bidang bisnes?

Ida: Ya, banyak sangat perubahan dan kesenangan hidup yang dikecapi setelah menceburi bidang bisnes ini. Walaupun sekadar bisnes kecil-kecilan, saya mampu mendapat keuntungan dengan purata RM350-RM500 dalam sehari. Alhamdulillah, saya mendapat pulangan modal serta untung yang membolehkan saya merasa hasil bisnes setiap hari. Dengan duit ini jugalah saya dapat menambah baik bisnes dari semasa ke semasa. Mana tahu lepas ni saya berhijrah tempat baru, boleh lah cuba menjual jenis makanan baru.


Tuesday, January 27, 2015

Kecenderungan pengaruh budaya, bahasa dan agama dalam kalangan masyarakat Portugis di Melaka










1.0 Pengenalan

Pendudukan awal komuniti berketurunan Portugis di Melaka bermula selepas kejatuhan Melaka pada tahun 1511. Bermula dari tarikh tersebut, sedikit demi sedikit orang-orang Portugis membentuk komuniti mereka sendiri dan mengamalkan kahwin campur dengan penduduk tempatan. Amalan ini diteruskan semasa pemerintahan Belanda dan juga Inggeris di Tanah Melayu. Penempatan masyarakat berketurunan Portugis secara berkelompok mula dilaksanakan.

Perkampungan ini terletak di daerah Ujong Pasir iaitu kira-kira 3 kilometer dari pusat bandar Melaka. Idea penubuhan perkampungan ini sebenarnya telah dibangkitkan sejak tahun 1926 lagi. Pada tahun 1933, sebanyak 28 ekar tanah di daerah ini telah dibeli dengan tujuan memberi bantuan membina rumah bagi masyarakat keturunan Portugis yang miskin serta mengekalkan warisan budaya masyarakat Portugis. Tanah yang berpaya telah diterangkan dan sebanyak sepuluh rumah kayu lantai tanah dan bumbung atap telah dibina.

Pada tahun 1934, perkampungan ini berjaya dibina sepenuhnya. Dua orang paderi Katolik yang bertanggungjawab dalam usaha pembinaan perkampungan ini ialah Father Alvaro Manuel Coraodo dan Father Jules Pierre Francois. Sebab itulah perkampungan ini juga dikenali dengan nama Padre Sa Chang atau tanah paderi. Perkampungan Portugis dahulunya dikenali dengan nama Perkampungan St. John.


Tiga perkampungan Portugis ini diketuai oleh seorang Regedor atau ketua kampung dan beberapa orang anak buah yang merupakan Ahli Jawatankuasa (AJK) bagi setiap folio yang terlibat. Tugas Regedor sama seperti tugas sebagai seorang ketua kampung yang terdapat di tempat-tempat lain di Malaysia. Mereka dibayar elaun oleh kerajaan sebagai sumbangan kepada masyarakat dan tanggungjawab yang dipikul oleh mereka.

Di Malaysia, jumlah keseluruhan penduduk berketurunan Portugis ialah seramai 25,000 orang termasuk Portuguese Eurasian. Mereka bukan sahaja tertumpu di negeri Melaka tetapi terdapat juga di negeri-negeri lain seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan dan Johor. Bancian pada tahun 1960 mendapati bahawa bilangan penduduk berketurunan Portugis ialah sebanyak 1,500 orang. Menurut Baxter (1988), terdapat lebih kurang 1,300 orang yang menetap di perkampungan ini.

1.1  Objektif kajian

Objektif kajian ini adalah mengetahui kecenderungan pengaruh bahasa, budaya dan agama dalam masyarakat Portugis di samping mengetahui kecenderungan pengaruh bahasa dan budaya Melayu terhadap masyarakat Portugis.


2.0 Sorotan Literatur

Menurut Tan Chee Beng dalam Journal Of Malaysia, dalam artikel yang bertajuk Ethic Relation in Malaysia Historical and Sociological Perspectives, beliau mengupas mengenai kesinambungan hubungan etnik masyarakat Tanah Melayu sebelum merdeka dalam menyeimbangi kehidupan sosial masyarakat ketika itu. Artikel tersebut menceritakan keadaan semasa sosioekonomi kaum pada tahun sekitar 1950 hingga 1970 yang mencatatkan pelbagai peristiwa dalam sejarah negara. Pada masa yang sama, peristiwa tragis 13 Mei 1969 yang mengundang konspirasi perkauman yang amat ketara telah mewujudkan sikap prejudis yang amat tebal dalam kalangan anggota masyarakat ketika itu. Walau bagaimanapun, tindakan bijak yang diatur kerajaan pemerintah, dalam merangka pelbagai dasar-dasar ke arah mewujudkan integrasi nasional dalam usaha menyemai kembali elemen perpaduan negara Malaysia dalam memastikan prinsip-prinsip hubungan etnik terpelihara.

Selain itu, dalam kajian yang telah dilakukan oleh John Clamer dalam Journal of Malaysia yang bertajuk Race Relation in Malaysia menyatakan; Taking from Wan Hashim’s book is a useful tough very condensed historical and sociological account of ethnic relation in Malaysia from colonial times down to progress day. It does not add anything new to our knowledge of events movements or personalities involved, but what it has done is to provide a kind of summary map of ethnic process in a country where such process have dominated political, cultural and economic values.


3.0 Metodologi

Bagi memperolehi dapatan kajian yang lebih tepat, borang kaji selidik telah dibentuk berpandukan kepada tujuan dan matlamat kajian. Selain itu, kaji selidik ini juga dibentuk agar dapat menjawab persoalan - persoalan kajian yang telah ditetapkan. Soalan – soalan ini terdiri daripada lima bahagian iaitu bahagian A merujuk kepada soalan-soalan yang berkaitan dengan demografi responden dan bahagian B merujuk kepada soalan-soalan mengenai faktor-faktor budaya Melayu dalam budaya Portugis melalui empat aspek utama iaitu perkahwinan, pakaian, makanan dan kehidupan sosial. Seramai 40 responden telah dipilih untuk mengisi soal selidik. Mereka terdiri daripada pelajar dan staf Universiti Teknikal Malaysia Melaka. Bagi mengukuhkan dapatan, temu bual telah dilakukan ke atas responden terpilih.


4.0 Hasil  Kajian
           
Faktor  latar  belakang  umur  dan  jantina  digunakan  sebagai  pemboleh  ubah  dalam  kajian  ini  kerana  faktor  tersebut  adalah  berkaitan  tentang  pengetahuan  responden  terhadap  masyarakat Portugis. 

Berdasarkan  Jadual  1,  didapati responden seramai  12  orang  responden terdiri  daripada  kategori umur  bawah 20 tahun,  15 orang yang berumur  21  tahun  hingga ke  30  tahun,   lima orang berumur 31  tahun  hingga  ke  39  tahun,  tujuh orang berumur 41  tahun  hingga  ke  umur  49  tahun seorang responden berumur lebih daripada 50 tahun.

Daripada 40 responden,  lelaki  adalah  25 orang dan  perempuan  adalah  15  orang.  Dari segi agama, penganut Islam mendominasi iaitu seramai 20 responden beragama Islam manakala penganut Buddha seramai tiga responden. Terdapat juga lima responden yang terdiri daripada penganut agama Hindu dan 12 responden yang beragama Kristian.

Seramai sepuluh responden bekerja di sektor awam dan dua responden di sektor swasta. Majoriti responden adalah daripada kalangan pelajar iaitu seramai 25 orang.


Rajah 1: Kewujudan masyarakat Portugis di Melaka

Seramai 35 responden tahu akan kewujudan masyarakat Portugis di Melaka.


Rajah 2: Masyarakat Portugis mempunyai pengaruh dari masyarakat Melayu

Kebanyakan responden bersetuju dengan pernyataan bahawa pakaian masyarakat Portugis mempunyai pengaruh dari masyarakat  Melayu.


Rajah 3: Masyarakat Portugis Melaka masih menjalinkan hubungan dengan negara asal mereka

Separuh daripada responden tidak pasti dengan pertanyaan ini. Hanya lima orang responden iaitu 12.5% daripada jumlah responden mempunyai pengetahuan tentang jalinan hubungan antara masyarakat Portugis di Melaka dengan negara asal.


Rajah 4: Jaket/kot serta seluar panjang berwarna hitam dan merah adalah pakaian tradisi kaum lelaki masyarakat Portugis


Peratusan bagi responden yang mengetahui tentang pakaian tradisi kaum lelaki masyarakat Portugis adalah seramai 75% daripada jumlah responden


Rajah 5: Pakaian tradisi bagi wanita ialah skirt lebar yang berlapis-lapis

Sebanyak 25% responden tidak mengetahui pakaian tradisi bagi kaum wanita ialah skirt lebar yang berlapis-lapis manakala selebihnya iaitu seramai 75% daripadanya tahu tentang pemakaian tradisi ini.


Rajah 6: Seni bina kediaman masyarakat Portugis dipengaruhi oleh seni bina masyarakat Melayu

Peratusan bagi responden yang bersetuju bahawa seni bina kediaman masyarakat Portugis dipengaruhi oleh masyarakat Melayu adalah seramai 50%.


Rajah 7: Masyarakat Portugis mempunyai persamaan dalam proses perkahwinan orang Melayu seperti merisik, bertunang, meminang dan bernikah

Seramai 56% responden tidak pasti bahawa proses perkahwinan mempunyai persamaan dengan adat orang Melayu manakala 33% responden mengatakan tidak ada persamaan dari aspek ini.

           
Rajah 8: Masyarakat Portugis mempunyai perkahwinan campur dengan masyarakat Melayu

Terdapat 25 orang iaitu 62.5% daripada jumlah responden bersetuju bahawa masyarakat Portugis mengasimilasikan perkahwinan campur dengan masyarakat Melayu.


Rajah 9: Agama yang diamalkan oleh masyarakat Portugis di Melaka

Seramai 75% daripada jumlah responden memilih agama Kristian yang banyak dianuti oleh masyarakat Portugis. Agama Islam dan yang lain-lain hanya dipilih oleh sebilangan responden yang mungkin menganggap masyarakat Portugis menganuti agama tersebut disebabkan perkahwinan campur.


Rajah 10: Pesta San Pedro dan perayaan Easter merupakan budaya tradisi dan keagamaan masyarakat Portugis

Ramai responden iaitu 62.5% tidak mengetahui yang Pesta San Pedro dan perayaan Easter merupakan budaya tradisi dan keagamaan masyarakat Portugis.

Rajah 11: Bahasa yang menjadi bahasa perantaraan masyarakat Portugis

Kebanyakan responden iaitu 62.5% memilih bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan yang digunakan oleh masyarakat Portugis. Bahasa Melayu dan bahasa Portugis hanya digunakan sebilangan masyarakat Portugis iaitu masing-masing seramai 25% dan 12.5%.


Rajah 12: Pengaruh Melayu yang dikaitkan dengan masyarakat Portugis

Responden seramai 50% mendominasi makanan sebagai pengaruh Melayu yang dikaitkan dengan masyarakat Portugis. Adat tradisi, bahasa pertuturan dan pakaian hanya menjadi pilihan sesetengah responden.


5.0 Kesimpulan

Konklusinya, setelah meneliti laporan berdasarkan kajian yang telah dijalankan, dapat dirumuskan bahawa terdapat pengaruh, bahasa, budaya dan agama terutamanya dalam aspek perkahwinan, pakaian, makanan dan kehidupan sosial yang diaplikasikan dalam kehidupan masyarakat Portugis di Melaka sehingga hari ini. Dapatan kajian juga menunjukkan kecenderungan pengaruh bahasa dan budaya Melayu terhadap golongan Portugis. Masyarakat Portugis harus dihargai supaya kepelbagaian etnik di Malaysia dapat dikekalkan dan perlu dipelihara kesinambungan mereka agar golongan muda pada masa akan datang dapat mengetahui tentang sejarah kewujudan golongan penjajah daripada masyarakat Portugis supaya mereka menghargai tanah air.


Rujukan

Abdul Aziz Zakaria.1993. Portugis Dalam Sejarah Melaka. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

John Clamer. (1983). Race Relation in Malaysia. Journal of Malaysia, Vol 1.

Shamsul Amri Baharuddin. (2011). Modul Hubungan Etnik. Shah Alam, Selangor: Penerbit UiTM.

Tan Chee Beng. (1989). Ethnic in Malaysia, historical and sociological perspectives. Journal Of Malaysia, Vol 5.



MZ Zainudin, Aizat Syaszani Zulkifli, Anati Zafirah Zainal Abidin, Jacky Even Junis, Muhammad Ashraf Habil, Muhammad Fahmi Sateri, Noor Zuzielah Lykha Zulkifli, Nurul Amira Abdullah